Salam semua. Salam 13 Syawal 1446 Hijriah. Sukacita dimaklumkan saya dan keluarga baru sahaja selesai satu perjalanan baru di selatan Thailand. Kami sampai petang semalam setelah 7 hari 7 malam berada di perantauan menggunakan kereta sendiri sepanjang perjalanan.
Merujuk pada artikel Kompilasi perjalanan selatan penghujung 2024 yang dipersembahkan pada 8 Januari lalu. Ada dinyatakan bahawa pada asalnya, untuk hujung tahun 2024 kami merancang mahu masuk ke selatan Thailand melalui Perlis dan keluar melalui Kelantan kerana itulah yang difikirkan sejak pertengahan tahun. Tapi apabila masuk pertengahan November asyik mendengar berita banyak tempat dalam laluan terkena banjir tukarlah rancangan untuk ke selatan. Sekarang, tanpa membuang masa biar dimulakan perkongsian cerita perjalanan akhir terzahir baru ini.
Perjalanan secara rasminya bermula apabila kami meninggalkan rumah selepas jam 10.20 Jumaat malam Sabtu 4 April 2025 lalu memasuki lebuh raya ke utara. Ini adalah selepas sehari sahaja berehat daripada perjalanan balik raya kampung ke arah selatan yang mana kereta yang sama telah dipandu sejauh 1,090 km, dalam tempoh 6 hari 7 malam. Lihat artikel-artikel berikut :-
Berhenti untuk makan di perhentian rehat Simpang Pulai. Gambar ini diambil jam 11.54 malam. Sebelum balik kampung itupun saya asyik berjalan, ada masanya bersama isteri, ada masanya bersendirian. Lihat
Ramadan paling 'meriah' sejak sekian lama. Perjalanan ke selatan Thailand ini asalnya dirancang untuk penghujung 2024 kerana anak lelaki yang duduk kanan dalam gambar sedang bercuti dari tahfiz. Pertengahan Februari 2025 anak yang duduk tengah dalam gambar pula masuk tahfiz sama. Dekat nak raya baru kedua-duanya dapat bercuti. Itu yang ambil peluang untuk melakukan perjalanan ke selatan Thailand pada musim raya.

Berhenti untuk mengisi minyak di perhentian rehat Gunung Semanggol. Gambar diambil jam 1.11 pagi Sabtu 5 April. Kalau boleh kami juga ingin membawa dua orang anak yang lebih tua bersama. Kali terakhir dapat keluar enam beranak ke selatan Thailand adalah pada penghujung 2022 di mana kami kemudian menghadapi masalah kereta namun dapat juga membuat perjalanan melebihi 2,000 km. Lihat artikel lama
Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022.

Sayangnya kedua-dua anak dewasa terikat dengan jadual kerja lalu tidak dapat bersama. Selepas melepasi Seberang Perai fikirnya hendak berehat sebentar di perhentian Gurun, supaya dapat menghadap ke Gunung Jerai buat suatu masa. Tengok-tengok tersilap mengambil simpang lalu keluar ke tol Gurun. Alang-alang begitu pergilah ke kaki Gunung Jerai. Untuk pengetahuan, Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan Kesultanan Kedah bermula di suatu tempat di kaki Gunung Jerai, pada suatu zaman yang mana ia dikelilingi air lalu dikenali sebagai Pulau Serai.


Kali ini cukuplah setakat syarat dapat sampai ke kaki gunung yang di belah timur, ke utara sedikit dari pekan Gurun. Itu adalah permulaan laluan utama malah satu-satunya laluan yang membolehkan naik dengan kenderaan bermotor. Nak naik ke puncak 9 km naik jalan berliku kemudian turun memakan masa sedangkan kami mahu sampai ke sempadan Thailand awal pagi itu. Sesuatu yang istimewa. Nampaknya nama Wan Mat Saman yang pernah menjadi Perdana Menteri Kedah separuh kedua abad ke-19 Masihi telah diangkat melalui kewujudan muzium baru di kaki gunung. Untuk makluman, melalui almarhumlah keluarga saya dikatakan ada darah keturunan Laksamana Kedah. Lihat artikel
A late night stop at the foot of Gunung Jerai di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
.
Lalu juga di hadapan istana Kedah...
Kalau tidak kerana 'tersilap' mengambil simpang tentu kami akan terus di atas lebuh raya melepasi Gunung Jerai, cuma keluar dari lebuh raya sekitar 30 km ke utara Alor Setar iaitu hampir ke Changlun.
Sebaliknya kami dibawa 'keadaan' untuk lalu di tempat-tempat yang memiliki kedudukan tersendiri dalam sejarah Kesultanan Kedah. Seterusnya Google Map membawa untuk lalu jalan kecil sunyi atas batas sawah padi menuju ke Arau, lalu di suatu tempat bernama Megat Dewa.
Jam 4.31 sampai ke sempadan negeri Perlis. Untuk pengetahuan, Perlis asalnya adalah sebahagian daripada negeri Kedah. Begitu juga bahagian selatan Thailand yang mahu dijejaki selepas itu.
1 ulasan:
Assamualaikum.wbt. Certa yang menarik semoga dipermudahkan urusan dalam nenjejaki warisan. Alhamdulillah.
Catat Ulasan