Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Sunday, April 18, 2021

Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 - Asbab berlaku perjalanan

Salam hari Ahad malam Isnin 7 Ramadhan. Sampai masanya untuk memulakan satu lagi siri baru cerita perjalanan lama. Selepas siap siri ini nanti tinggal dua sahaja cerita perjalanan lama perlu dikongsikan bagi melengkapkan isi 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa. Tetapi dua perjalanan itu sebenarnya sudah lama dikongsikan cerita-ceritanya. Cuma dahulu tidak dibuat kompilasi.

Maka yang penting bagi saya adalah untuk menyajikan siri ini. Ia merujuk pada satu perjalanan ke Terengganu tidak lama selepas kembali dari perjalanan pertama ke Aceh seperti telah dikongsikan dalam artikel Kompilasi cerita "Berpetualang ke Aceh" tahun 2004.



Perjalanan ini agak penting kerana mengeratkan hubungan kebatinan saya dengan tinggalan-tinggalan kerajaan Islam lama yang pernah wujud di Terengganu. Ini adalah berkaitan Batu Bersurat Terengganu serta tokoh lama yang menulisnya (menurut Prof Syed Naquib al-Attas pada tahun 1303 Masihi) dan kaum keluarga baginda yang dipercayai berasal daripada keturunan Saidina Hassan. Cerita berkenaan boleh dirujuk dalam artikel Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003. Jika cerita tersebut berlaku dalam tempoh 2-3 bulan (kalau tak salah) sebelum pertama kali pergi ke Aceh tahun 2004 maka cerita ini pula berlaku dalam tempoh 2-3 bulan juga (kalau tak salah) tetapi selepas kembali dari Aceh. 

Maka jika perjalanan tahun 2003 berlaku kerana hendak mendapatkan wasilah kerohanian ke Aceh (rujuk Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Mencari wasilah ke Aceh ) perjalanan tahun 2004 pula seperti hendak menyambungkan dengan apa yang diperolehi di Aceh. Sebagai mukadimah biar dikongsikan cerita berkenaan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007). Ia daripada bab bertajuk "Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda : Puncak Kegemilangan Aceh". Biar ditambah tajuk-tajuk kecil. Ini adalah berdasarkan cerita sebenar perhubungan dengan teman wanita lama yang pada waktu itu sedang menghadapi masalah 'dipegang' oleh satu kumpulan yang kuat bermain ilmu kebatinan. Lalu saya perlu ke Terenggau untuk membawa beliau ke luar  daripada terus 'dipegang' kumpulan.

----------


PERMAINAN KEBATINAN MEMUJA SEMANGAT

Ramai yang tidak menyenangi perhubungan ini termasuk beberapa orang lelaki yang menaruh hati terhadap Nur. Mereka cuba memburuk-burukkan peribadi Rasyid lebih-lebih lagi dalam keadaannya sedang “gila”, suka menziarahi makam-makam lama dan tidak henti bercerita tentang para wali dan raja-raja. Lelaki-lelaki ini  juga sanggup “membeli” keluarga si gadis dengan kata-kata manis berserta hadiah mewah di kala Rasyid tidak mampu membuat  apa-apa  persembahan. Lebih dasyat lagi, ada yang sanggup menggunakan sihir, guna-guna dan ilmu pemujaan semangat untuk mendapatkan wanita cantik idaman ramai ini di samping menghantar pukulan secara batin untuk menamatkan riwayat lelaki kesayangannya!

Rasyid masih ingat bagaimana seorang pemuda yang disokong sebuah kumpulan pengamal ilmu kebatinan Tasawuf sesat berjaya membuatkan mereka selalu bergaduh sehingga putus hubungan. Kumpulan itu berlindung di sebalik gerakan agama berbentuk Tabhliq yang kononnya ingin memulihkan anak Melayu bermasalah. Mereka juga mendakwa diri mereka sebagai pejuang akhir zaman yang akan menyokong kebangkitan Imam Mahdi. Ketua kumpulan ini telah berjaya menarik beribu orang pengikut. Mengikut ceritanya, dia pernah mengikuti gerakan Tabhliq serta Tariqat Naqsyabandiah sebelum menerima ijazah amalan kebatinan tertentu lalu “diangkat menjadi Sultan” yang kononnya akan menyatukan seluruh ummah di Nusantara ini untuk kebangkitan Islam akhir zaman. 

Ramai pengikut kumpulan adalah bekas penagih dadah yang berjaya “dipulihkan” melalui “pengisian” kebatinan, berkat naungan sang “Sultan”. Tetapi mereka yang cuba meninggalkannya akan datang rasa ketagih dan terjebak semula dengan najis dadah... Lalu perlu dibawa kembali ke pangkuan ketua kumpulan yang juga dikenali sebagai seorang ustaz untuk “dipulihkan”. Dengan cara ini, sang “Sultan” berjaya membina sebuah “empayar” yang terdiri daripada beribu anak Melayu bermasalah, disokong para pembantu sealiran. Para ibu-bapa pula merasa senang hati melihat  anak-anak mereka mula bersolat dan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW, pandai pula menghormati orang tua dan sangat beradab. Ini kerana kumpulan ini mengambil pendekatan yang zahirnya menyerupai gerakan Tabligh... Dengan menekankan cara kehidupan mengikuti Sunnah seperti memakai celak dan minyak wangi, bersugi, sentiasa bersolat jemaah, mendengar tazkirah serta memperbanyakkan zikir dan amalan sunat.

Apa yang ibu-bapa ini tidak tahu, anak-anak muda itu telah digunakan untuk memajukan rangkaian perniagaan “Sultan”. Mereka juga terlibat dalam sebuah rangka-kerja besar berunsur militan untuk menerbitkan sebuah Daulah Islamiah tersendiri yang disokong “kerajaan langit”. Ahli kumpulan yang telah lama mengikuti program lalu dikira layak untuk memasuki peringkat seterusnya pula akan disuruh bertapa di dalam gua atau mana-mana tempat sunyi yang dikira sesuai. Di sanalah mereka menerima ujian seperti diganggu hantu pocong, harimau jadian ataupun perempuan jelmaan yang ingin menggoda “keimanan” mereka. Ahli yang lebih maju akan di bawa berjumpa “para wali dan Nabi-nabi” malah ada yang  mendakwa telah naik “Mikhraj”  lalu “bertemu” Allah Subhanahuwata’ala! 

Pengaruh “Sultan” begitu kuat sehingga berjaya menarik seorang personaliti terkenal tanah-air untuk “diisi” dengan “roh” Puteri Gunung Ledang, kononnya dialah jelmaan puteri legenda itu! Kebetulan personaliti tersebut adalah kenalan Nur... Melaluinya, gadis kesayangan Rasyid itupun terjebak sama, setelah menghadiri beberapa acara kelolaan mereka. Ketua kumpulan dapat melihat kelebihan tertentu yang ada  pada Nur lalu ingin “menjadikannya” sebagai Puteri Balqis. Seorang pengikut kanan kumpulan pula sangat meminati gadis itu... Maka sang “Sultan” pun menggunakan segala ilmu dan kebolehan yang ada untuk “menggandingkan” mereka.

Sejak itu, Nur sering hilang ingatan dan resah tidak tentu pasal. Dia mula berulang-alik ke Pantai Timur  untuk menziarahi markas kumpulan di dalam hutan. Rasyid tidak tahu bagaimana hendak menolongnya... Gadis itu sering naik angin tidak tentu pasal apabila dihubungi. Manakan tidak, setiap kali ke sana,  dia diberi makan-minum yang “diisi” dengan sesuatu.  Semangatnya pula dipuja secara batin supaya terus mengikuti kumpulan!

Nur yang semakin parah kerana tidak sedar diriya telah diremote-control hampir terjebak menghisap dadah. Jiwanya seolah “diseru” supaya mencuba! Nasib baik dia sempat mengadu kepada  Rasyid walaupun ketika itu mereka sudah putus hubungan... Jika tidak, sudah tentu gadis itu akan terikat kerana ketagihan yang timbul cuma dapat diubati sang “Sultan”... 

Rasyid sudah dapat menghidu sesuatu yang tidak kena lalu bergegas ke Pantai Timur membawa seorang kawan yang lebih arif tentang ilmu kebatinan berkenaan pemujaan semangat. Kawan itu juga agak mahir dalam ilmu berkaitan Qarin dan jin yang menjadi permainan kumpulan. Dipendekkan cerita, Nur yang sedang dalam keadaan separuh sedar dapat dikeluarkan daripada lingkungan pengaruh mereka sebelum dipulihkan. Tetapi kumpulan itu pula berdendam dengan Rasyid… Sudahlah sebelum itu, sang “Sultan” tidak menyukainya apabila mendapat tahu pemuda itu berasal daripada keturunan tertentu yang boleh menyanggah dakwaannya sebagai “Sultan”, kini “Puteri Balqis”nya pula telah dibawa lari keluar…

Tidak lama kemudian, anak kelahiran Muar, Johor itu mendapat satu “kunjungan mesra”. Ketika sedang berbaring antara tidur dan sedar, tiba-tiba mata-hatinya dapat melihat beribu lelaki bertubuh sasa muncul, masing-masing dengan pedang siap terhunus untuk  memenggal kepalanya!


Sedutan tadi adalah daripada muka surat 240 hingga 242 buku. Selepas itu dikongsikan beberapa cerita pengalaman sebenar saya berhadapan dengan perkara-perkara kebatinan. Antaranya adalah apabila ada orang cuba menyantau ketika minum teh tarik di warung tepi jalan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur ketika berumur sekitar 18 tahun. Nasib baik dengan kuasa Allah SWT gelas yang mengandungi bahan berkenaan meletup tinggal tapak. 

Seterusnya diceritakan tentang pengalaman selalu diganggu mimpi-mimpi ganjil semasa pengajian di London tahun 1991-1995. Sampai masuk tiga lapis mimpi, bila sedar rupa-rupanya masih dalam mimpi. Sedar lagi tetap dalam mimpi. Sedar lagi sekali baru kembali ke dunia realiti. Diceritakan juga tentang pengalaman sering melihat roh sendiri keluar masuk badan tanpa dipinta dan beberapa perkara berkaitan. Masuk muka surat 247 baru disambung cerita tentang serangan kebatinan daripada kumpulan yang pernah 'memegang' teman wanita lama...

---------


KUNJUNGAN MESRA MELALUI ALAM BAWAH SEDAR...

Beratus, mungkin beribu pemuda bersenjatakan pedang mula mengepung lalu membuka langkah untuk menyerang... Kecuali di sekitar tempat Rasyid berdiri, setiap ruangan dipenuhi mereka, maka susah untuk meneka berapa ramaikah kesemuanya. Sekonyong-konyong itu, mereka bergerak ligat melompat-lompat sambil melibas-libaskan pedang-pedang tajam lagi berkilauan... Semakin lama semakin laju lalu membentuk sebuah puting-beliung besar diselang-selikan gerakan-gerakan liar yang tidak dapat lagi diekori dengan mata kasar... Mahu berpinar mata memandang... 

Rasyid sedar mustahil dia boleh melawan… Pemuda itu cuma bertangan kosong sedangkan lawan yang dihadapi terlalu ramai dan tidak dapat lagi dihidu pergerakan - terlalu laju bertari perang lagi bersimpang-siur hingga menutup setiap sudut walaupun sekadar untuk lari melepaskan diri. Nasib baik belum ada lagi serangan yang dapat melekat ke tubuhnya, tidak tahulah kenapa… Mungkin kerana penyerang-penyerang ini masih mengacah-acah? Sebab itu tidak ada satu libasan pun yang mengena? Apapun, bukankah segalanya berlaku dengan Qudrat dan Iradat serta izin Allah jua? Hmm... Mungkin Tuhan belum mahu mengizinkannya cedera...

Pemuda berhati kering yang sudah hilang rasa takut mati kerana mempunyai pegangan Tasawuf yang amat kental terutama dalam bab tawakal inipun memejamkan mata. Kalau dibuka pun tiada gunanya... Bukannya dapat menduga serangan yang begitu laju menderu-deru. Dia menenangkan jiwa-raga lalu melangkah ke dalam hakikat kalimah Lahaulawaquwataillah billahil aliyil azim – Tiada daya dan upaya kecuali daripada Allah. “Kalau hendak matipun matilah. Aku bukannya punya apa-apa lagi…” bisik hatinya  redha menerima segala yang bakal terjadi.

Seketika kemudian baru Rasyid membuka mata... Terus dia mendapati dirinya berada di tengah putaran serangan musuh tetapi cukup jauh dan selamat untuk disentuh. Walaupun putaran itu masih liar dan ligat, pemuda itu dapat merasakan dirinya begitu tenang, seolah sedang berada di tengah-tengah mata puting beliung, the eye of the storm  di mana tidak ada pergerakan angin walau sedikit pun. Tiba-tiba gerakan laju di sekeliling itu hilang... Seketika itu juga kelihatan, seorang lelaki berambut panjang jatuh melutut di hadapan,  ahli kanan kumpulan ajaran Tasawuf sesat yang menaruh minat terhadap gadis kesayangannya Nur. Di tangan kanan Rasyid pula tergenggam sebilah pedang, rasanya milik hamba Allah itu yang mengetuai serangan... Entah bagaimana pula boleh beralih ke tangannya pula!

Rasyid mengangkat pedang itu tinggi-tinggi untuk memancung kepala lelaki durjana yang hampir berjaya menyesatkan gadis pujaannya. Timbul rasa geram mengenangkan betapa dia dan Nur telah dianiaya permainan batin lelaki ini serta konco-konconya - maka memang dia ada hak untuk membalas dan membunuhnya. Nasib baik anak kelahiran Muar, Johor itu lembut jiwa... Hati kecilnya sempat menahan sehingga dirinya tersentak.

“Astaghfirullah! Apa sudah jadi pada aku?” terpacul kalimah istighfar berserta kesedaran yang mendalam. “Nenek-moyangku begitu pemaaf sehingga sanggup mendoakan kebahagian manusia-manusia yang telah menganiaya, meracuni dan membunuh mereka. Kenapa pula aku mesti bersikap kejam dan memancung kepala lelaki di hadapanku ini?”

Seketika itu juga Rasyid terkeluar daripada keadaan antara sedar dan tidur di mana semua ini berlaku lalu kembali ke alam dunia nyata. Tidak tahulah apa yang akan terjadi jika dia betul-betul menghayunkan pedang di tangannya lalu menceraikan kepala lelaki itu daripada badan walaupun sekadar di dalam mimpi… Lama kemudian, baru dia tahu apakah akibatnya jika dia meneruskan niat memancung kepala. Kata seorang tua yang amat arif tentang hal-hal kebatinan, besar kemungkinan lelaki itu akan meracau-racau di alam nyata...  Kemudian menggelupur lari tidak tentu arah, langgar dinding, langgar segala benda di sekeliling kerana tidak dapat lagi melihat, seolah-olah sudah tidak ada lagi kepala di badannya…


--------------


Mungkin cerita ini kelihatan berlebih-lebihan. Mungkin saya sahaja yang perasan ada beribu orang mahu menyerang lalu berjaya mematahkan serangan. Ya. Mungkin saya tersilap pandang tetapi begitulah ceritanya. Mungkin yang menyerang itu tidaklah sebanyak mana. Yang pasti memang terlihat mereka seperti memenuhi segenap ruang. 

Kalau begitu anggarkanlah sendiri berapa ramai orang diperlukan sehingga kelihatan memenuhi hampir seluruh ruang pandang. Kalau 10 saya tak pasti tak cukup, 50 pun belum tentu lagi. Pada saya memerlukan sekurang-kurangnya 100 orang. Ya, tak sampai pun 1,000 lalu saya telah berlebih-lebihan bercerita dalam buku. Tetapi begitulah yang berlaku dalam keadaan antara jaga dan sedar.

Apapun, serangan yang diceritakan itu sebenarnya sudah melangkau skop cerita perjalanan. Apa yang betul-betul relevan lalu mahu dijadikan mukadimah siri sebenarnya terkandung dalam dua ayat sahaja. Ia berada dalam perenggan kedua terakhir bawah tajuk kecil "Permainan kebatinan memuja semangat" tadi. Begini bunyinya...


Rasyid sudah dapat menghidu sesuatu yang tidak kena lalu bergegas ke Pantai Timur membawa seorang kawan yang lebih arif tentang  ilmu kebatinan berkenaan pemujaan semangat. Kawan itu juga agak mahir dalam ilmu berkaitan Qarin dan jin yang menjadi permainan kumpulan. 

Tetapi bagaimana hendak faham keadaan sebenar kalau tidak disertakan cerita tentang kumpulan? Bagaimana hendak diterangkan tentang bahaya apa yang kami harus berhadapan kalau tidak dikongsikan cerita tentang serangan kebatinan walaupun ia sebenarnya berlaku setelah selesai perjalanan? Pun begitu apa yang dinukilkan adalah pandangan saya terhadap kumpulan. Orang lain mungkin memiliki pandangan yang berlainan kerana mengganggap kumpulan dan ketuanya sebagai penyelamat anak-anak Melayu yang bermasalah. Beberapa tahun kemudian baru saya dapat melihat dengan kaca mata yang lebih lembut memahami walaupun tetap kurang bersetuju dengan cara mereka.



No comments: