Seminggu lalu sudah diberitahu saya berada di negara itu melalui artikel Salam dari Brunei.... Setelah selesai tempoh lawatan 8 hari 7 malam baru dapat diberikan sedikit butiran perjalanan. Sukacita dimaklumkan, kami juga mengambil peluang untuk melawat Labuan kerana ia cukup dekat dengan Brunei, lawatan pertama kami ke pulau bebas cukai itu. Keluarga yang menaja lawatan kami ke Brunei pula membawa kami ke Sarawak kemudian, juga lawatan pertama kami ke bumi kenyalang itu.
Untuk makluman, baik Labuan mahupun Sarawak dahulu termasuk di dalam jajahan takluk Brunei tetapi kini berada di dalam Malaysia. Maka cukuplah saya telah menjejakkan kaki ke setiap 13 buah negeri di dalam Malaysia, di samping 3 wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Walaupun saya telah mengembara ke seluruh Semenanjung entah berapa banyak kali, saya cuma pernah sampai ke Malaysia Timur sekali sahaja. Itupun setakat ke Sabah untuk mendaki Gunung Kinabalu kalau tak salah ingatan tahun 1998.
Lawatan ke Labuan dibuat dengan menaiki feri begitu juga apabila kembali masuk ke Brunei. Lawatan ke Sarawak dibuat menaiki kereta dan begitulah juga kembali. Campur perjalanan menaiki kapalterbang dari Kuala Lumpur 9 hari lalu, secara rasminya kami telah pergi ke Brunei 3 kali dan ini termaktub di dalam paspot. Cukuplah kami dapat sampai ke negara itu melalui 3 cara, udara kemudian laut dan darat.
Tajuk yang timbul untuk artikel membuatkan saya tercari-cari gambar kami anak-beranak untuk dijadikan hiasan. Maklumlah, kami kan bertiga... kenalah dengan tajuk 3 kali masuk Brunei. Ternyata daripada lebih 1400 gambar yang diambil, cuma satu sahaja yang ada memaparkan kami semua! Dalam kesibukan merakamkan keadaan, saya terlupa mendapatkan satu untuk kenangan kami. Nasib baik tanpa dipinta, seorang ahli keluarga yang menaja menawarkan untuk mengambil gambar. Itupun pada hari terakhir kami berada di Brunei, kurang 3 jam sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur!
Kebetulan gambar kami bertiga ini diambil di hadapan usungan atau kereta sorong yang dinaiki Sultan Brunei sekarang, Sultan Hassanal Bolkiah semasa ditabalkan. Untuk pengetahuan baginda ditabalkan tahun 1967 lalu kereta sorong yang digunakan cuma sekali sahaja dijadikan bahan pameran di galeri alat-alat kebesaran diraja. Sukacita dimaklumkan saya juga sempat melawat dan merakamkan gambar 9 buah masjid juga menziarahi makam 7 orang Sultan Brunei. Ada kemungkinan saya juga telah melawat makam 2-3 lagi orang Sultan. Semasa melihat sebuah batu bersurat dipanggil Tarsilah Brunei di dalam sebuah tanah perkuburan kelihatan beberapa buah makam yang terserlah. Balik dari Malaysia, semasa meneliti koleksi gambar termasuk sejumlah yang diambil di muzium, baru saya tersedar di sekitar batu itu terdapat makam beberapa orang Sultan.
Cukuplah jika disebut kami sempat melawat banyak tempat menarik. Pernah dengar taman permainan Jerudong Park yang pernah diibaratkan sebagai Disneyland di Brunei? Kami juga ke sana. Pernah dengar kampung air dengan rumah-rumahnya dibina di tengah sungai, katanya penempatan atas air yang terbesar di dunia? Kami juga sampai. Pernah dengar atau melihat gambar Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin dengan kubahnya dibuat daripada emas sering menghiasi ruang? Tentunya ia termasuk 9 masjid yang dilawati dalam perjalanan ini. Pendekkata tempoh 8 hari 7 malam tidak berlalu sia-sia. Tunggulah siri cerita tentangnya selepas hari raya... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan