Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Januari 11, 2017

Wacana mengenai kewujudan Hang Tuah di UPNM

Artikel untuk majlis ilmu  pertama dihadiri saya tahun ini.


Beberapa hari lepas saya mendapat tahu tentang acara yang terpapar di atas mahu diadakan di UPNM iaitu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Setakat yang dapat dilhat ini adalah acara pertama berbentuk seminar dan sebagainya melibatkan sejarah mahu diadakan di mana-mana instirusi pengajian tinggi atau badan yang setarafnya di Malaysia buat tahun baru 2017.


Terasa ia adalah pembuka tahun yang baik untuk seorang pengkaji sejarah yang mahu mendaulatkan Melayu Islam seperti saya. Sampai waktunya iaitu pagi semalam 10 Januari, satu tarikh yang cantik sebenarnya (10 Januari bersamaan 10.01...seperti 1001 malam) saya pun bergegas ke lokasi acara...

















Ketika saya mengambil tempat duduk di barisan hadapan dewan sekitar jam 10,36 Profesor Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Bin Wan Teh yang merupakan dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM.sedang memberikan sedikit kata-kata pengenalan tentang Hang Tuah dan majlis.


Beliau yang merupakan orang lama dalam pengkajian hal-hal mengenai ketamadunan Melayu, pernah memimpin ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) memberikan gambaran apakah yang akan dipersembahkan oleh ahli-ahli panelis majlis.


Para panelis adalah seperti berikut, Saya sunting sedikit daripada maklumat yang dipanjangkan kepada saya melalui Facebook :-


1. Dr Rohaidah Kamarudin dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau disebut akan bercakap tentang dokumen-dokumen dari kerajaan Ryukyu abad ke 15 Masihi (sekarang sebahagian daripada negara Jepun) yang mana terdapat surat-surat dari Laksamana, juga sebilah keris lama Melayu di sana, Turut mahu disebut adalah tentang kunjungan Hang Tuah ke kerajaan Vijayanagar di benua Hindi ataupun India.

2. Prof Emeritus.Dr Hashim Musa, dijangka bercakap tentang kapal Melayu.

3. Dato Paduka Zainal Al-Johan, katanya bekas kor marin Amerika Syarikat.(US) semasa Gulf War atau Perang Teluk dan keturunan Bendahara Melaka.



Mereka didudukkan di atas pentas dari kiri ke kanan sepertimana aturan panelis yang disenaraikan tadi. Di atas kelihatan paparan sebuah buku yang ditulis oleh Rohaidah dan Hashim. Rujuk ulasan saya lebih setahun lalu tentang buku tersebut. Lihat artikel Buku "Hang Tuah : Catatan Okinawa".



Sekitar jam 10.50 Rohaidah pun mengambil tempat. Beliau tidak membuka dengan Ryukyu tetapi dengan berkongsikan beberapa penemuan terbaru membuktikan Hang Tuah pernah menjejakkan kaki di kerajaan Vijanagar.



Ditunjukkan satu video dokumentari sejarah India buatan orang sana yang mana watak bernama Hang Tuah disebut dengan terang pernah menghadap lalu berkhidmat dengan maharaja kerajaan Vijayanagar,





Sesungguhnya cerita ini memang ada disebut di dalam Hikayat Hang Tuah, Namun ramai masih beranggapan hikayat itu adalah dongeng semata-mata. Maka itu untuk membuka mata orang ramai perlu dicari bukti-bukti berkaitan di negara-negara dan tempat yang disebut hikayat pernah dilawati Hang Tuah. Di bawah ini saya letakkan video dokumentari India yang menceritakan tentang Hang Tuah itu,,,



Video ini sebenarnya sebahagian daripada satu siri dokumentari 53 episod tentang sejarah India yang diterbitkan tahun 1988.  Ia dibuat berdasarkan buku The Discovery of India tulisan Jawaharlal Nehru, perdana menteri pertama India (berkhidmat 15 Ogos 1947 – 27 Mei 1964). Saya menyemak sendiri secara laju (bukan tengok semuanya daripada mula sampai akhir) video ini lalu mendapati watak yang dikatakan Hang Tuah muncul mulai minit 22:17 dengan perkataan "Hikayat Hang Tuah" disebut dengan jelas walaupun semua dialog adalah dalam bahasa India. Saya mengesan lagi watak Hang Tuah mulai minit 41:26. Cuma kali ini beliau disebut sebagai Laskhman, merujuk pada pangkat dan gelaran beliau iaitu Laksamana...




Kemudian baru Rohaidah menysebut tentang bukti-bukti Hang Tuah pernah melawat negara Jepun. Lebih tepat Jepun yang dimaksudkan adalah kepulauan Okinawa laut belah selatan menghala ke China. Di situ pernah berdiri kerajaan tersendiri Ryukyu sebelum ia diserapkan ke dalam Jepun yang kita kenal hari ini bermula sekitar abad ke-19 gitu.



Apa yang diperkatakan tentang Hang Tuah dan Ryukyu adalah lebih kurang serupa dengan apa yang saya lihat dibentangkan oleh beliau dalam satu majlis lain di Kuala Lumpur lebih setahun lalu. Lihat artikel Antara mitos dan sejarah Hang Tuah - Leonardo da Vinci pun ada kena mengena?



Sekitar jam 11.15 sampai giliran Hashim yang merupakan guru Rohaidah untuk membentang. Untuk makluman mereka adalah penulis buku tentang Hang Tuah dan Okinawa (Ryukyu) yang disebut pada awal artikel ini. Dan mereka juga sama-sama pernah membentang dalam majlis di Wisma Sejarah yang disebut sebentar tadi.


Maklumat awal yang saya terima tentang pembentangan menyebut beliau akan bercerita tentang kapal Melayu. Tetapi apabila naik ke pentas ternyata Hashim mahu menambah lagi bukti-bukti tentang kewujudan Hang Tuah, kali ini melalui cerita-cerita tentang pahlawan besar Melayu itu yang tersebar luas di Alam Melayu/Nusantara kita.








Skop pengembaraan/perjalanan Hang Tuah ke merata dunia seperti disebut dalam Hikayat Hang Tuah kemudian mula dikupas beliau.





Disebut juga 7 perkara pada diri dan peribadi Hang Tuah yang melambangkan sifat budiman atau gentleman orang Melayu.


Sekitar jam 11.43 giliran Zainal mengambil pentas dengan menceritakan apa yang beliau ketahui tentang Hang Tuah melalui kajiannya yang tersendiri.



Bercakap terus tanpa bantuan slaid beliau memberitahu bahawa tidak patut lagi keris Taming Sari yang sering dikaitkan dengan kehebatan Hang Tuah diperbesar-besarkan lagi. Kata Zainal sepatutnya yang diperbesarkan adalah keris Tempa Melaka yang dianugerahkan oleh Sultan Melaka kepada Hang Tuah.


Beliau yang menyatakan diri sebagai keturunan keluarga Bendahara Melaka juga menunjukkan alat-alatan yang menurut beliau diwarisi turun temurun dalam keluarga sejak 500 tahun lalu.



Tetapi terus terang saya harus menyatakan di sini. Banyak dakwaan beliau perlu disiasat dengan adil dan teliti. Ini kerana saya tahu sejumlah cerita kurang enak tentang Zainal yang antara lain mempersoalkan apakah barang-barang yang didakwa diwarisi dalam keluarga sejak 500 tahun dahulu adalah barangan asli atau buatan kemudian, barangan yang boleh ditiru orang, boleh dibeli di tempat-tempat seperti Central Market (Pasar Seni) atau sesetengah pasar karat? Selain itu ada dakwaan malah laporan polis dibuat orang melibatkan wang 'dilaburkan' kepada beliau 'belum lagi menjadi'.  

Posisi saya tentang semua ini, Zainal memang hebat dalam bercerita hal-hal yang boleh membangkitkan semangat orang Melayu. Tetapi apakah kata-kata beliau selari dengan perbuatan dan amalan diri sendiri? Mereka yang sudah 'terkena' telah menyatakan sebaliknya. Cukup kata-kata saya tentang ini.



Sekitar jam 12.42. Tanpa masuk dalam rancangan asal program, budayawan dan penyair Dr. Ibrahim Ghaffar dipanggil naik ke pentas membaca sebuah sajak.


Nasib baik beliau sentiasa siap siaga untuk melantunkan bait-bait puitis. Pilihan untuk memakai busana tradisional anak bangsa menyerlahkan penampilan. Peribadi dan semangat sejati orang Melayu pun dilaungkan menambah warna acara tentang Hang Tuah ini.




Ibrahim yang juga merupakan seorang pesilat selain aktivis budaya bukan seorang sahaja berpakain begitu. Beberapa orang aktivis termasuk saya turut datang berbusana tradisional Melayu. Dikongsikan beberapa keping gambar yang diletakkan kawan-kawan ke dalam FB...


Kami berbuat begini kerana mahu menampilkan identiti sejati keMelayuan dalam satu majlis yang mahu memperkatakan tentang satu tokoh besar ikon orang Melayu seperti Hang Tuah. Bergambar beramai-ramai bersama hadirin yang majoritinya merupakan pelajar dan tenaga pengajar UPNM.


Kawan-kawan busana bergambar bersama panelis dan lain-lain selepas makan tengah hari. Difahamkan kehadiran kami berpakaian begini agak memeranjatkan namun sangat memuaskan hati pihak penganjur. Alhamdulillah... :)



Sabtu, Januari 07, 2017

Rancangan tahun 2017 dan HIKMAH 313

Salam tahun baru semua. Hari ini setelah masuk 7 hari tahun baru 2017 baru saya hendak berkata sesuatu di sini. Maka biar dimulakan artikel pertama di blogspot ini untuk tahun 2017. Saya buka dengan copy paste satu update yang dibuat di Facebook pagi semalam.



Salam pagi Jumaat pertama tahun 2017, satu pagi yang berkat. Selesai 3 urusan dalam tempoh sejam lebih je - bayar cukai pintu, buat paspot antarabangsa baru, buat kad pengenalan baru. Patani, Pagaruyung dan Aceh sedang memanggil2 kuat. Doakan perjalanan saya selamat dan hidup sentiasa berkat, dapat menyumbang kepada masyarakat demi kedaulatan Melayu dan Islam.


------------------


Kata-kata di atas sedikit sebanyak merumuskan rancangan perjalanan saya untuk tahun 2017,. Lebih spesifik lagi, panggilan ke Patani, Pagaruyung dan Aceh itu merujuk pada perjalanan-perjalanan yang akan dibuat dalam tempoh 3 bulan akan datang. Nama-nama tempat diberikan menurut turutan atau kronologi perjalanan dengan rancangan tambahan sebanyak mungkin tempat-tempat di sekitar yang menarik dan bersejarah akan disinggahi sama jika ada kesempatan dan kelapangan. Saya tidak mahu memberikan butiran kecuali menambah perjalanan ke Aceh itu insyaallah akan menyaksikan acara pertama HIKMAH untuk tahun 2017 dilaksanakan di sana.

Hampir 3 tahun lalu kami pernah melaksanakan acara ke-10 HIKMAH di Aceh lalu sudah sampai masanya acara diadakan lagi di sana. Lihat artikel Rancangan untuk mengadakan acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Artikel tersebut itu sendiri adalah artikel kedua di blogspot itu untuk tahun 2017. Artikel pertama, Dirham cenderahati HIKMAH tahun 2017 dipersembahkan Selasa lalu 3 Januari untuk berkongsi rancangan kami menerbitkan matawang dirham sendiri, Insyaallah ia akan berada di pasaran bulan April nanti.





Pada artikel Di Muar bersama ibu bapa yang baru kembali daripada percutian di negara-negara Balkan yang menjadi artikel terakhir di blogspot ini untuk tahun 2016 ada diberitahu bahawa ketika itu saya sedang menghampiri penghujung satu gerak penulisan intensif yang sebenarnya bermula beberapa hari sebelum itu. Gerak itu bertujuan untuk melampiaskan atau meluahkan apa yang patut sambil menyiapkan pelbagai penulisan tertunggak di 3 blogspot berkenaan pengembaraan dan pencarian sejarah serta makna hidup milik saya (CATATAN SI MERAH SILU,  BERPETUALANG KE ACEH dam SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)) campur 1 untuk aktiviti NGO (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ia akhirnya ditutup apabila artikel Penegasan tentang keistimewaan dan prestij HIKMAH sebagai penutup kata-kata tahun 2016 terpapar  jam 6.39 petang Sabtu 31 Disember 2016.

Artikel tersebut adalah tulisan saya yang terakhir di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) juga terakhir di mana-mana blogspot buat tahun 2016. Selasa 3 Januari 2017 baru timbul rasa untuk menulis kembali lalu artikel Dirham cenderahati HIKMAH tahun 2017 di Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) menjadi pembuka kata-kata pada mana-mana blogspot. Ini diikuti artikel Rancangan untuk mengadakan acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 Rabu 4 Jan dan Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan? Khamis 5 Jan. Dua hari selepas itu baru dibuat artikel untuk blogspots yang lain.

Maka terjadilah artikel Masjid (Mosque of) Saidina Ali, Bukit Sentosa, Rawang dan Masjid (Mosque of) Tuanku Mizan, UiTM, Shah Alam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) selepas Zuhur tadi diikuti Reminiscing some old travels via international passports di BERPETUALANG KE ACEH. Artikel "Reminiscing" itu pula sebenarnya dibuat sebagai 'penyokong' kepada artikel yang anda sedang baca ini, artikel pertama tahun 2017 untuk blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Bukankah artikel ini dimulakan dengan cerita paspot baru? Ketika meneliti paspot itu juga paspot-paspot lama tercetuslah ilham untuk menulis artikel "Reminiscing"yang bercerita tentang perjalanan-perjalanan yang dibuat menggunakan paspot-paspot lama.


Gambar hiasan penutup: Air terjun tinggi di Gunung Stong, Dabong, Kelantan,,,


Artikel Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan? yang dipersembahkan petang Khamis 5 Januari mmuncul sebagai artikel ke-313 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ini adalah satu nombor yang sangat bermakna dalam perjuangan dan sejarah Islam. Ia mengingatkan pada 313 ahli tentera Islam Perang Badar melawan lalu mengalahkan lebih 1,000 tentera Mekah jahiliyah yang memiliki persediaan perang dan alatan jauh lebih hebat dan lengkap, peperangan pertama dalam sejarah Islam zaman junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Nombor ini juga boleh merujuk kepada 313 tentera Talut melawan Jalut, mukadimah kepada kenaikan Nabi Daud AS sebagai raja kerajaan Bani Israel.

Nombor 313 turut merujuk kepada jumlah keseluruhan rasul sejak zaman Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW (yang selalu disebut 25 rasul itu adalah yang wajib kita ketahui dan hafal). Sedangkan jumlah keseluruhan nabi (semua rasul adalah nabi tapi tak semua nabi adalah rasul) mencapai 124,000 orang. Hal ini menimbulkan rasa untuk menyemak kembali apakah artikel ke-313 di blogspots saya yang lain. Ternyata di blogspot ini ia adalah Apa ada di Gunung Stong? 

Sudah disebut di atas bukan terdapat panggilan dari Patani, Pagaruyung dan Aceh buat saya? Untuk ke Patani saya dijadualkan mengikut satu rombongan masuk ke selatan Thailand melalui pekan Rantau Panjang di Kelantan. Untuk ke sana pula laluan terbaik diberikan oleh Google Map bagi mereka yang memandu kenderaan dari Lembah Klang adalah melalui tepian Gunung Stong di mana boleh kelihatan pemandangan air terjun tinggi dalam gambar atas.

Nampak tak sekarang bagaimana segala ini boleh terkait? Inilah yang dimaksudkan sebagai HIKMAH 313 pada rancangan untuk tahun 2017. Cukup hal ini sebagai pembukaan cerita daripada saya awal tahun.



Sabtu, Disember 31, 2016

Di Muar bersama ibu bapa yang baru kembali daripada percutian di negara-negara Balkan

Salam semua. Salam 31 Disember penghujung tahun 2016. Sukacita dimaklumkan gerak penulisan intensif yang sebenarnya bermula petang Rabu lalu hampir mencapai penghujungnya. Gerak yang bertujuan untuk melampiaskan atau meluahkan, melepaskan rasa apa yang patut sambil menyiapkan pelbagai penulisan tertunggak di 3 blogspot saya yang berkenaan pengembaraan dan pencarian sejarah serta makna hidup (CATATAN SI MERAH SILU,  BERPETUALANG KE ACEH dam SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)) campur 1 untuk aktiviti NGO (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)) itu  mula memuncak petang Khamis. Akibatnya saya tidak dapat berhenti rehat, lupa makan minum, tidak tidur langsung. Selepas Maghrib Jumaat malam Sabtu iaitu malam semalam barulah dapat melelapkan mata dalam 2 jam sebelum keluar ke Tanjung Malim untuk satu urusan, 

Kembali ke rumah jam 4 pagi tadi saya menyambung lagi tulisan demi tulisan. Selepas jam 9 baru tidur, masuk waktu Zohor terbangun lalu bersolat dan menyambung penulisan lagi. Jam 3 lebih baru terasa ada ruang untuk makan sedikit mengisi perut bagi tempoh tengah hari. Sekarang biar diteruskan gerak untuk penulisan ini.


Dalam artikel sebelumnya di blogspot ini iaitu Membawa keluarga naik MRT sambil saya berbusana tradisional Melayu saya telah bercerita tentang aktiviti bersama keluarga dengan kawan dari Aceh bersama keluarganya Khamis 22 Disember. Aktiviti tak dirancang ini terbit sebagai susulan daripada perjumpaan yang berlaku di rumah saya malam sebelumnya. Lihat artikel Makan-makan dan gathering ad hoc kawan-kawan HIKMAH. Dua hari kemudian iaitu pada hari Sabtu 24 Disember saya dan keluarga pergi pula ke satu majlis di Labohan Dagang berdekatan Banting, Selangor melibatkan keluarga sebelah isteri. Lewat petang itu bertolak kami untuk kembali ke rumah ibu bapa saya di Muar bagi meluangkan masa bersama mereka.


Selain mahu mengambil kesempatan atas cuti umum sambutan Hari Krismas 25 Disember Ahad itu kami mahu melawat ibu bapa yang baru sahaja beberapa hari kembali daripada bercuti ke  negara-negara Balkan. Ini merujuk pada sejumlah negara di tenggara Eropah, dalam kawasan pergunungan Balkan, Negara-negara yang tersenarai sebagai negara-negara Balkan atau Balkan States adalah Slovenia, Croatia, Bosnia dan Herzegovina, Macedonia, Serbia, Kosovo, Montenegro, Macedonia, Albania, Bulgaria, Romania dan Moldova.


Ibu bapa saya mengikuti satu rombongan dari Malaysia yang membuat perjalanan selama 9 hari 9 malam gitu (kalau tak salah itu tidak termasuk masa penerbangan). Antara negara yang disebut dilawati mereka (melalui darat) adalah Greece, Albania, Montenegro, Bosnia dan Macedonia. Ketika saya melaksanakan acara terbaru HIKMAH, acara penutup kami bagi kalendar tahun 2016 iaitu pada 2 minggu lalu mereka masih berada di sana, Lihat artikel Acara kesembilan belas HIKMAH di Dusun Nora, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember 2016

Kali terakhir saya bersama mereka sebelum lawatan ke Muar ini adalah ketika ibu bapa datang untuk majlis perkahwinan seorang sepupu di Ampang lalu menginap beberapa hari di rumah saya di Sungai Buaya, Rawang. Ini berlaku selepas saya menghadiri satu majlis ilmu di Dewan Bahasa dan Pustaka penghujung bulan Oktober. Lihat Wacana politik dan pemerintahan kesultanan Melayu di DBP. Ketika itu saya terlupa pun ada majlis nikah sepupu, Nasib baik ibu bapa menelefon untuk memberitahu mereka datang. Ketika itu saya sedang memandu kereta ke DBP...



OK. Cerita ini saya kongsikan sambil menunjukkan gambar-gambar kami sekeluarga keluar pagi Ahad hari Krismas untuk menikmati hidangan nasi beringin kegemaran saya di warung tepian Sungai Muar bersebelahan perhentian bas ke Melaka. Tiga gambar teratas diambil dalam van yang dipandu bapa, saya duduk paling belakang. Gambar betul-betul atas adalah bangunan ikonik Muar yang pernah menjadi satu-satunya bangunan 'pencakar langit' sana daripada awal 80an hingga masuk abad ke-21. Ini diambil selepas kami keluar van untuk berjalan kaki ke warung...


Ah. Baru teringat. Dalam perjalanan untuk kembali ke Muar lewat petang Sabtu kami sampai ke Melaka hampir waktu Isyak lalu mengambil satu laluan kampung untuk memotong dari Alor Gajah ke Air Keroh. Singgahlah untuk bersolat di sebuah masjid masjid kampung. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ubaidah, Melaka Pindah. Kebetulan masuk waktu Isyak, saya pun ikut solat berjemaah,

Selain mahu singgah bersolat saya mahu bertanyakan arah ke sebuah makam lama yang kewujudannya saya baru dapat tahu dalam tempoh sebulan dua itu, Apa yang menarik adalah ia katanya milik seorang pembesar istana Melaka yang berundur ke sana selepas angkatan Portugis menakluki Kota Melaka tahun 1511. Lihat artikel Makam (Tomb of) Maharajalela, Melaka Pindah

Lebih menarik perhatian adalah gelaran Maharajalela yang dinisbahkan kepadanya. Saya tertarik kerana rasanya gelaran Maharajalela masih asing di Melaka pada zaman itu. Biar dicopy paste update saya di Facebook tentang perkara sekitar jam 3 petang tadi.


----------------


SIAPAKAH DATO' MAHARAJALELA YANG KATANYA MEMBUKA KAMPUNG MELAKA PINDAH?

Salam semua. Tinggal beberapa sahaja lagi artikel perlu disiapkan lalu dipersembahkan sebelum saya merasa cukup lapang untuk menyambut kedatangan tahun 2017 kurang 10 jam lagi. Dipersembahkan di sini artikel ke-1,600 di blogspot ARTMELAYU saya. Kiranya ini adalah artikel terakhir sana buat tahun 2016,

Ia adalah tentang makam lama yang katanya milik Dato' Maharajalela di Melaka Pindah, katanya pembuka kampung tersebut lebih 500 tahun lalu. Soalnya siapakah Maharajalela ini? Benarkah beliau seorang pembesar Istana Melaka yang mengundurkan diri selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan askar Portugis tahun 1511? 

Saya bertanyakan ini kerana belum menemui apa2 manuskrip lama yang menyatakan pangkat Maharajalela sebagai pembesar lama Melayu Melaka. Sebaliknya nama Maharajalela menjadi terkenal sebagai pembesar Istana Perak yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch, residen British pertama ke Perak tahun 1875. Untuk pengetahuan, Kesultanan Perak memang berasal daripada keturunan Kesultanan Melaka. Tetapi ia tidak semestinya mewarisi gelaran2 yang sama untuk para pembesar istana. Sebaliknya Perak turut menerima pengaruh stuktrur pemerintahan Aceh dan Bugis lalu mungkin mengambil gelaran dari belah sana...



Kembali pada cerita perjalanan ibu bapa. Semenjak beberapa tahun kebelakangan mereka yang kini sama-sama berumur 74 tahun sering berjalan ke luar negara. Ke Turki, ke Jordan, masuk Baitul Muqaddis... kalau tak salah ke utara Afrika pun ada. 


Ini mungkin sebagai ganti mereka tidak dapat menunaikan haji. Semenjak zaman orang tertentu memegang pemerintahan negara lalu turut memegang separuh kuota haji supaya boleh diagih-agihkan kepada para penyokong mereka memang makin susah dah nak naik haji.



Sebenarnya ibu bapa saya sudah 4 kali menunaikan haji dan entah berapa kali pergi menunaikan umrah.


Cuma kali terakhir mereka naik haji itu kalau tak salah pada awal tahun 2004. Kalau tak salah ingatan ketika itu saya sendiri sedang pertama kali masuk ke bumi Serambi Mekah iaitu Aceh, satu pengalaman unik yang kemudian menjadi latar belakang utama penceritaan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007).



Mereka sudah lama rindu untuk menunaikan lagi haji. Tetapi apa boleh buat? Ada duit dan keinginan sahaja tidak menjaminkan tempat. Zaman sekarang ini pandai main politik dan sanggup jadi pak turut kuat makan dedak pun tiba-tiba boleh naik haji percuma tanpa perlu menunggu giliran atau membina cukup simpanan di Tabung Haji atau mana-mana badan. 


Oh, Gambar-gambar ini menunjukkan kami keluar bersantai ke taman rekreasi Tanjung Emas selepas puas makan nasi beringin di sebelah stesyen bas.



Sejak kecil kawasan ini menjadi salah satu tempat permainan utama saya. Halaman hadapan masjid jamek berdekatan pernah menjadi gelanggang anak-anak muda bersilat termasuk bermain pukulan jarak jauh batin Nasrul Haq dan sebagainya.



Banyak perubahan baik nampaknya sudah siap dilakukan semenjak saya kali terakhir kembali ke Muar iaitu untuk menyambut Hari Raya Haji penghujung bulan September. Selepas balik ke kampung itulah saya menjejakkan kaki ke satu tanah perkuburan lama Melaka yang cerita tentangnya sedang hangat diperkatakan ketika itu. Lihat Menjejak tanah perkuburan lama di Kampung Chohong.



Saya mengambil masa bersendirian untuk menikmati pemandangan kawasan tanjung berdekatan muara Sungai Muar ini sambil mengimbau kembali banyak kenangan lama. 


Cukuplah bercerita tentang bab ini. Lihat juga artikel Around the area where Muar river meets the Straits of Melaka. Kiranya ini adalah penutup penulisan saya di blogspot ini bagi tahun 2006.