Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mac 07, 2014

Misi HIKMAH Pulau Pinang - Dan acara pun berlangsung dengan jayanya...

Salam hari Jumaat. Oleh kerana cerita pada artikel Misi HIKMAH Pulau Pinang - 24 jam menuju ke acara yang dibuat 10 hari lalu menunjukkan perjalanan yang boleh dikatakan built-up kepada acara maka haruslah acara tersebut iaitu Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX itu sendiri diceritakan. Saya rasa cukuplah meletakkan gambar-gambar berikut. Apa yang berlaku boleh dibaca pada artikel-artikel dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Saya sertakan links selepas gambar...




























Isnin, Mac 03, 2014

Tentang anak cucu Saidina Hassan yang 'hilang'...






Salam. Beberapa hari kebelakangan ini hati saya terasa begitu terhiris, sedih dan terluka akibat ada orang menuduh saya tidak menghormati perjuangan menyebarkan Islam yang dibuat oleh para Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW. Ini kerana saya pernah menyatakan salah satu tajuk pembentangan pada acara ke-9 HIKMAH, diadakan di Pulau Pinang 9 hari lalu adalah "Ancaman Syiah dan Wahabi terhadap Akidah Umat Islam". Tajuk itu diminta oleh penganjur utama majlis, Qaryah Masjid al-Hidayah, Bayan Lepas. Namun apabila mendapati perkataan Syiah itu menyinggung sesetengah orang yang bergelar Sayyid iaitu dari keturunan Nabi Muhammad SAW akibat pegangan mereka yang mengutamakan kepimpinan Ahlul Bait diserkap jarang ramai pihak sebagai berfahaman Syiah, saya telah menukar tajuk menjadi "Ancaman terhadap Akidah Umat Islam".

Kini acara sudah berjalan dengan jayanya. Tajuk ditangani oleh sahabat baik saya, Sheikh Raja Aman ibni Raja Mokhtar yang merupakan seorang khalifah tariqat Naqsyabandiah dengan penuh berhemah. Beliau yang memiliki darah kerabat diraja Perak campur kerabat diraja Patani dan Kelantan tidak sesekali menyatakan mana-mana firqah sebagai ancaman akidah sebaliknya menyebut ancaman sebenar adalah dari nafsu amarah di dalam diri sendiri. Lihat artikel HIKMAH IX - Menangani ancaman terhadap umat Islam melalui ukhuwah yang kuat di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Selesai membuat artikel itu beberapa hari lalu saya pun meletakkan link di Facebook. Terus saya diserang hebat dikatakan begitu bermusuhan dengan Syiah juga merendahkan peranan Ahlul Bait, mungkin kerana di FB tajuknya muncul separuh menjadi "Menangani ancaman terhadap..." membuatkan orang tertentu menyangkakan saya masih bertegas mengutuk Syiah semasa majlis. Lalu HIKMAH dikatakan wadah mengutuk Syiah sedangkan secara peribadi saya selalu memeras otak memikirkan atau mencari jalan tengah terbaik untuk menyatukan dua fiqrah besar Sunni dan Syiah yang sentiasa bertelagah, atau dilaga-lagakan sebenarnya oleh musuh-musuh Islam.

Lebih sedih lagi apabila saya dituduh tidak menghargai perjuangan Ahlul Bait. Walhal sejak mula menerbitkan buku pertengahan 2006 diikuti blogspot penghujung tahun itu, saya selalu menyatakan kepentingan kepimpinan Ahlul Bait demi kesejahteraan ummah. Keadaan ini membuat saya begitu sedih sehingga terasa mahu menarik diri dari menyertai apalagi menjalankan aktiviti-aktiviti umum. Kesedihan saya terasa begitu memuncak siang tadi sehingga menangis teresak-esak lalu untuk melegakannya timbul rasa untuk berkongsi pantun yang pernah digunakan untuk menghias buku ketiga saya...


-----------------------


Dari Perak hingga ke Perlak,
Telah kususuri perjalanan yang mutlak,
Pergi jauh ke Timur Tengah,
Asal bermula Islam dan dakwah.

Samudera Darussalam punca berkembang,
Syiar yang asal sampai ke tujuan,
Satu Nusantara menjadi terang,
Demi menghadapi cabaran akhir zaman.

Melaka dan Aceh pembawa tali,
Hubungan Ilahi Melayu sejati,
Lama kucari diri dan erti,
Baru tertanggung rahsia abadi.

Kini semua sudah kufahami,
Punca diri menjadi dagang,
Sampailah masa menabur bakti,
Akhirnya sirih pulang ke gagang?


-----------------------


Tidak lama kemudian timbul rasa untuk membuat update berikut di FB. Seterusnya terasa elok dikongsikan di blogspot ini. Alhamdulillah, selepas membuat ini saya terasa lebih lapang dan lega... :]


-----------------------


TENTANG ANAK CUCU SAIDINA HASSAN YANG 'HILANG'...


Nak upkan balik perenggan ni pula. Ada diletakkan dalam bab bertajuk "Tok Pulau Manis, Batu Bersurat Terengganu dan beberapa warisan Aceh" dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" yang terbit Nov 2007...


                            -----------------------------


Segala puji-pujian itu bagi Allah, Tuhan semesta alam.. Selawat dan salam ke atas Rasulullah Salallahualaihiwassalam dan Ahlil Baitnya, Saidina Abu Bakar dan Khalifah-khalifah Rasulullah, Saidina Ali Karamallahuwajha, Saiditina Fatimah Al-Zahrah, Al-Hassan, Al-Hussein dan Salman Al-Farisi.

Menjunjung kemuliaan Khalifah-khalifahmu Paduka Sharif Muhammad dan Paduka Sharif Al-Kubra Sheikh Sharif Abdul Malik Tok Pulau Manis, kedua-dua kota sucimu di kawasan Timur jauh. Dan kami bermohon bergantung padaMu dan berwasilah kepada Rasulullah SAW kepadaMu. Adapun kemudian daripada itu, kami berlindung kepadaMu Ya Allah akan pena yang derhaka dan pendustaan dan mengada-adakan sesuatu daripada sesuatu untuk maksud sesuatu.

Kami mohon ditonton oleh umat akan kehadiran keturunan Rasulullah SAW yang disebutkan menjadi khalifah ke seluruh dunia dan setelah gagal dibatalkan oleh Bani Umaiyah dan kaum-kaum Wahabi dan kaum-kaum Ahli Kitab Al-Fasik, Yahudi dan Nasrani dan kaum-kaum derhaka dan ahli siasat dan ahli muslihat…


                             ------------------------------

Kata-kata ini merupakan pembuka pada risalah kecil tentang Tok Pulau Manis (wali Allah di Terengganu abad ke-17 Masihi) yang dihadiahkan kepada saya oleh seorang waris, ketika pertama kali sampai ke makam wali Allah tersebut tahun 2003. Ketika itu saya masih sibuk mencari salasilah keluarga dan baru sahaja diberi pengetahuan bahawa suatu masa dahulu anak cucu Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW yang sebenarnya pernah menjadi khalifah ke-5 umat Islam banyak memainkan peranan mengembangkan Islam ke Alam Melayu. Saya juga baru seminggu dua mendapat ilham bahawa Tok Pulau Manis dan moyangnya, Sheikh Muhammad al-Baghdadi yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu adalah dari keturunan Saidina Hassan. Sampainya saya ke makam itu adalah untuk menyambung wasilah hingga ke Aceh.

Perhatikan perenggan akhir petikan atas yang menyebut KAMI MOHON DITONTON OLEH UMAT AKAN KEHADIRAN KETURUNAN RASULULLAH SAW YANG DISEBUTKAN MENJADI KHALIFAH KE SELURUH DUNIA. Siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang mula terbit dengan buku pertama, bertajuk kecil "Mencari Diri dan Erti" Jun 2006 mungkin adalah buku pertama, malah mungkin satu-satunya buku terbitan awam yang banyak menonjolkan cerita peranan anak cucu Saidina Hassan mengembangkan Islam. Rata-rata buku tentang peranan Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW menonjolkan perjuangan anak cucu adinda Hassan, Saidina Hussein terutama dari keluarga Alawiyin Hadramaut. Keadaan begitu berat sebelah sehingga ada keluarga Alawiyin menganggap anak cucu Saidina Hassan tidak begitu aktif berdakwah sehingga ke peringkat lembap, mereka sahaja yang hebat, paling berjasa memainkan peranan.


Selepas ketiga-tiga buku terbit dan menemui khalayak umum baru kelihatan ramai orang tahu tentang peranan anak cucu Saidina Hassan yang begitu lama tidak didendangkan dalam sejarah. Maka sekali lagi mahu dinyatakan bahawa saya sudah cukup memikul peranan untuk mewar-warkan kewujudan keturunan tersebut. Sesungguhnya wujudnya kami bukan untuk menuntut apa-apa takhta, mahupun harta dan nama. Moyang kami Saidina Hassan sanggup menyerahkan takhta kekhalifahan kepada Muawiyah demi mendamaikan dua pihak besar Islam yang bertelagah. Semasa zaman peralihan Bani Umaiyah ke Bani Abbasiyah kaum keluarga kami adalah yang paling teruk dibantai, disiksa, dibunuh dan difitnah. Hanya kerana rakyat lebih menyokong moyang kami Muhammad bin Abdullah bin Hassan Muthanna bin Saidina Hassan sebagai khalifah baru umat Islam, para pembelot dari kaum Abbasiyah cuba menghapuskan keturunan kami, ada kaum keluarga bahkan ditanam hidup-hidup sambil dinding bangunan didirikan atas jasad.

Maka bertebaranlah mana-mana yang panjang umur, menghilangkan jejak warisan mereka sebagai Ahlul Bait lalu hilang juga dari catatan nasab. Keturunan terus hidup dengan memakai nasab induk keturunan lain agar tidak terus diburu musuh. Apa-apa bukti keterkaitan darah keturunan dengan Nabi Muhammad SAW tinggal sebagai cerita lisan yang jarang sekali dituturkan. Sesetengah anak cucu pula cuma diberi faham ketika sudah berumur 30an. Tiba-tiba disuakan dengan amanah yang ia tidak terfikir sanggup menanggung tapi tak boleh lari kerana kalau tak buat tak boleh tidur dan hidup tak tenang.

Tidak teringin kami hendak mendakwa diri sebagai Ahlul Bait kecuali untuk menerangkan kami juga faham bagaimana pedihnya rasa nenek-moyang ramai dibunuh dan difitnah akibat dengki dan perebutan kuasa zaman berzaman. Selain itu kami kadangkala terpaksa menyebut hakikat keturunan kerana haram menerima sedekah - kalau ada orang mahu memberi kami apa-apa hendaklah diniatkan sebagai hadiah. Oleh itu saya secara peribadi sangat terhiris hati apabila melihat permusuhan Sunni-Syiah yang melampau. Kenapa bila timbul hal ini saya mengaku sebagai keturunan Saidina Hassan, tidak menekankan Hussein walaupun turut memiliki darah keturunan tersebut? Kerana melihat fahaman Sunni sering ditegakkan atas nama para sahabat diikuti tabi'in dan tabi tabi'in sedangkan fahaman Syiah pula sering ditegakkan atas nama Ahlul Bait anak cucu Nabi tetapi terlalu memperbesarkan nasab belah Saidina Hussein terutama apa yang dipanggil sebagai Imam 12. Sedangkan Saidina Hassan sanggup mengorbankan takhta kekhalifahan malah diracun sehingga mati tetapi melarang adindanya Hussein daripada membalas dendam supaya dua puak besar Islam yang bertelagah, dua puak yang boleh dikatakan Sunni-Syiah awal itu berdamai.

Sungguh, tidak patut mereka yang mengaku Sunni iaitu Ahlul Sunnah Wal Jamaah mengkafirkan semua yang dipanggil Syiah kerana turut diserkap jarang itu adalah mereka yang berdarah Ahlul Bait. Sementara itu tidak pantas pula mereka yang bergelar Sayyid keturunan Nabi Muhammad SAW, kebanyakannya dari belah Alawiyin Hadramaut iaitu dari satu cabang Saidina Hussein menunjukkan akhlak buruk sebagai tindak balas. Teringat saya bagaimana ada orang bergelar Sayyid merendah-rendahkan almarhum Sultanul Ariffin Sheikh Ismail yang dimakamkan di Pulau Besar, Melaka juga moyang baginda Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang dimakamkan di Baghdad, sekarang dalam negara Iraq. Katanya dua orang wali besar ini cuma berketurunan sahabat sahaja, lebih rendah dari para Alawiyin sebab memakai gelaran Sheikh. Walhal nasab Ahlul Bait Sheikh Ismail dan Sheikh Abdul Qadir itu lebih afdhal dan kuat kerana induknya adalah Saidina Hassan yang bukan sahaja abang malah memiliki paras rupa dan akhlak yang paling menyamai Nabi Muhammad SAW. Namun susah untuk mereka yang taksub Alawiyin mahupun Imam 12 untuk menerima ini kerana merasakan para ulamak dari pihak mereka sahaja lebih utama. Susah untuk mereka menerima bahawa Imamul Mahdi yang akan mendaulatkan Islam di seluruh dunia akhir zaman nanti induknya iatu lelaki bin lelaki adalah daripada Saidina Hassan, bukan dari Hussein seperti halnya kepercayaan Imam 12.


Selasa, Februari 25, 2014

Misi HIKMAH Pulau Pinang - 24 jam menuju ke acara

Merujuk pada koleksi links pada artikel Kompilasi Misi HIKMAH Pulau Pinang yang dibuat lebih sebulan lalu. Nampaknya siri harus disambung untuk melengkapkan gerak...


Pagi Jumaat 21 Februari 2014. Kami telah bermalam di rumah seorang kenalan di Kampung Padang Changkat, belakang Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.


Letaknya cuma 100 meter gitu dari makam Daeng Selili, Dato' Maharajalela Pancung Tak Bertanya pertama Perak. Saya pun membawa keluarga berjalan kaki ke situ.


Hampir sejam kemudian baru kami meninggalkan rumah kenalan. Singgah sebentar ke kawasan pemakaman diraja Bukit Chandan untuk menziarahi makam Laksamana Muhammad Amin, moyang kami yang pernah dibuang ke Pulau Seychelles bersama sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah akibat dikatakan terlibat dengan pembunuhan residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875.


Timbul juga rasa untuk menziarahi makam sultan ke-28 Perak, Sultan Idris I, orang yang membuka dan mengalihkan pusat pemerintahan raja ke Bukit Chandan.


Selepas itu baru perjalanan ke utara disambung, kali ini menggunakan jalan lama. Sempatlah singgah di sebuah masjid yang agak menarik di Bukit Gantang juga sebuah makam. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Pauh, Bukit Gantang dan Makam Long Jaafar pada siang hari (Tomb of Long Jaafar during daytime) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Oh. Lupa nak cakap. Perjalanan ini dibuat untuk menjayakan acara ke-9 HIKMAH. Ia akan berlangsung di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari Sabtu 22 Feb. Perjalanan diteruskan melalui jalan lama sehingga melepasi gerbang masuk ke sempadan negeri. Sempatlah melihat satu masjid kayu yang sangat menarik di utara Perak. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Bagan Serai.


Selepas itu perjalanan diteruskan melalui Lebuh Raya PLUS sebelum masuk ke Butterworth.


Terus ke terminal feri. Alhamdulillah tak perlu menunggu lama untuk menyeberang ke pulau...





Sampai ke bandar raya Georgetown tempat pertama dituju adalah Masjid Lebuh Aceh.


Duduk sebentar bersama jemaah yang menunggu masuk waktu solat Jumaat.


Memandangkan ketika itu ada masa setengah jam lagi sebelum masuk waktu perjalanan pun diteruskan dengan mengambil jalan yang dikira menuju ke Bukit Bendera.


Saya main bantai aje ambik jalan sebab tak bawak peta. Fikir saya hala ke Bukit Bendera dan singgah jika ada tempat yang terasa menarik dalam perjalanan. Ternampak sebuah masjid di tepi Jalan Dato' Kramat.




Solat Jumaat didirikan di masjid besar ini. Lihat Masjid negeri (State mosque of) Pulau Pinang.


Selepas itu baru ke Bukit Bendera. Tapi setakat pusing-pusing kat kaki bukit je. Terlihat sebuah lagi masjid lalu mengambil gambar. Lihat Masjid (Mosque of) al-Qadri, Air Itam, Pulau Pinang.


Dari situ kami ke Bayan Lepas melalui jalan bukit. Sampai ke kompleks tabung haji di mana HIKMAH mahu diadakan nampak persiapan yang dibuat orang Pulau Pinang terutama ahli Qaryah Masjid al-Hidayah Bayan Lepas cukup rancak. Lihat artikel Aku naik saksi tiada yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah rasulNya di  blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Untuk memastikan kejayaan mereka turut mengadakan tahlil dan qasidah di masjid selepas Isyak. Doa dipanjatkan agar majlis mendapat keberkatan. Terasa bersungguh betul mereka menyokong HIKMAH...


Rabu, Februari 19, 2014

Memanjat bukit-bukau di sekitar rumah baru


Sudah dinyatakan bahawa saya dan keluarga telah berpindah ke rumah baru di Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Satu perkara menarik tentang kawasan ini adalah kewujudan banyak bukit-bukau yang nampak begitu menarik untuk dipanjat. Cuma keadaan diri yang masih belum 100 pulih dari kecedaraan patah kaki yang dialami penghujung April tahun lepas sahaja menghalang. Tulang kataya sudah baik tapi sakit urat masih mengganggu sehingga nak lipat jari kaki pun tak boleh sampai habis kerana terasa sakit. Solat pun masih duduk kerana susah nak duduk antara dua sujud juga bertahyat.

Dalam keadaan ini saya belum berani untuk melompat mahupun berlari. Maka kelincahan pergerakan jadi tersekat, tak mahu le kaki terpelecok ke hapa. Saya diingatkan dalam keadaan pemulihan selepas patah kaki jangan main-main perkara ini. Kalau tidak kerana itu turun naik bukit pun insyaallah saya boleh melompat dan berlari kerana kalau stamina tak kuat seperti dahulupun saya cukup lincah untuk mengelak dan melepasi halangan. Kalau terjatuh atau tergelincir cepat bangun kembali mendapat keseimbangan. Kalau momentum terlebih apabila turun saya boleh ikut sahaja keadaan dengan berlari laju sambil mengelak halangan, sesekali melompat ke tempat yang lebih kukuh.

Panjat memanjat ini adalah permainan saya sejak kecil lagi. Zaman tadika saya suka melompat keluar dari tingkap ke tanah sedangkan sekolah terletak tinggi atas tiang-tiang. Saya boleh berlari-lari terus naik pokok, melompat dari pokok ke pokok, dari akar Tarzan ke akar Tarzan dan sebagainya. Jadi bila dah patah kaki dan tak boleh buat semua ini memang terasa. Saya cuma boleh menyedapkan hati dengan akur terhadap faktor umur yang tahun ni masuk 44 tahun selain dah lama tak jaga badan.

Namun satu hari tu saya rasa tak tahan lagi hendak memanjat apabila memandang sebuah bukit di Sungai Buaya. Lama-lama pandang saya rasa harus panjat juga. Alhamdulillah dapat meneruskan ke puncak walau perlahan-lahan, walau merasa juga sakit jatuh tergelincir ketika turun. Setelah itu saya beberapa kali naik bukit di sekitar dan baru ini dapat naik bersama anak kecil sampai ke satu puncak bukit yang dilihat paling 'memanggil-manggil'. Dengan ini biar dikongsikan 3 buah artikel yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH...

Ahad, Februari 16, 2014

Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah

Pada artikel Tentang penat dan kesibukan kebelakangan dan aktiviti akan datang yang dibuat 3 hari lalu telah disebut saya dijadualkan membuat satu perkongsian ilmu dan pengalaman di Wisma Sejarah pagi Sabtu. Malam ini setelah 24 jam gitu tak sedap badan, tengah malam tadi siap muntah-muntah dan badan bisa-bisa teruk,  baru terasa cukup selesa untuk menulis. Mungkin ini akibat kesan penat lelah menyelesaikan pelbagai perkara terutama berpindah rumah baru betul-betul menangkap.  Tak mengapa le. Dah boleh menulis sikit ni pun dah kira baik...


Pagi Sabtu 15 Februari iaitu semalam. Saya dan keluarga telah berkejar ke Wisma Sejarah yang terletak di sebelah Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur. Selepas meletakkan kereta lalu pergi ke lif terlihat pada dinding hal tentang perkongsian ilmu dari saya. 


Biasanya saya suka mengambil gambar-gambar menunjukkan keadaan dari tempat masuk sampai ke bilik diadakan acara. Kali ini tidak sempat kerana dimaklumkan hadirin sudah lama menunggu. Mengikut undangan yang dibuat pada saya majlis bermula jam 10 pagi. Fikir saya masih ada banyak masa kerana sampai 9.30. Rupa-rupanya ada hadirin sudah sampai sebelum jam 9 lagi kerana diberitahu majlis bermula jam 9. Maka saya harus terus ke hadapan menyiapkan apa yang perlu untuk memulakan acara.



Saya sudah beberapa kali ke Wisma Sejarah mendengar perkongsian pengalaman dan/atau ilmu dari orang lain. Inilah kali pertama saya diundang berbuat begitu oleh PSM, Persatuan Sejarah Malaysia.  Selepas pengenalan dibuat oleh pengerusi majlis saya pun memulakan bicara. PSM memanggil acara-acara sebegini sebagai sembang santai. Tajuk yang dipilih adalah "Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah".



Secara rata saya berkongsi pengalaman ketika mula mencari salasilah keluarga 13 tahun lalu. Segalanya berlaku dalam keadaan saya masih bersifat agak keBaratan lalu tercari-cari makna keMelayuan. Ia dimulakan dengan ringkasan mimpi yang dialami seminggu dua sebelum berlakunya peristiwa keruntuhan menara berkembar World Trade Centre (WTC) di New York 11 September 2001. Mimpi dan peristiwa membawa saya untuk berjumpa almarhum Nenek, ibu kepada ayah saya yang sudah 3 tahun tidak ditemui. lalu diberitahu tentang kewujudan seorang moyang induk kami yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. 


Saya pun bergegas untuk menziarahi makam watak misteri tersebut di Teluk Intan. Ini diikuti dengan ziarah ke beberapa lagi tempat terutama makam-makam sultan, mengikut jalan mudik Sungai Perak.




Apa yang diceritakan pernah dikongsi dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", cuma penumpuan lebih banyak pada tempat-tempat di negeri Perak.


Selain berkongsi pencarian diri, saya mengajak hadirin untuk berfikir tentang apa yang tersurat dan tersirat di sebalik keadaan suatu tempat atau tinggalan sejarah.






Misalnya di satu tempat terpencil bernama Teluk Memali, antara Teluk Intan dan Kampung Gajah, kenapa boleh wujud sebuah masjid tinggal yang agak cantik? Kenapa berdekatan itu ada makam Sultan ke-19 Perak yang kelihatan tidak terjaga sedangkan tidak jauh dari situ juga terdapat kubur residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch yang terjaga elok?


Selepas itu baru saya menceritakan sedikit hal masuk ke Aceh Januari 2004 ketika ia masih lagi darurat dilanda perang.


Dan selepas saya berjaya membukukan pengalaman tersebut pada novel pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006), tidak lama kemudian jasad seorang moyang saya yang meninggal dalam buangan di Singapura dibawa kembali ke Perak lalu disemadikan di kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan.


Rasanya cukuplah saya mengulas secara ringkas apa yang dikongsikan pada majlis.




Saya cuma berkesempatan mengambil gambar sekitar majlis ketika satu video buatan sendiri menunjukkan tempat-tempat bersejarah di Aceh ditayangkan. Rujuk artikel Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...






Selesai majlis semua hadirin dijemput makan.


Bergambar bersama kawan-kawan berbusana dari NGO Armada Malaiu. Kami mengapit Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (tengah kiri) dan Tan Sri Dr Omar Hashim, pengerusi jawatankuasa eksekutif PSM. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,177 di blogspot ini.

Khamis, Februari 13, 2014

Tentang penat dan kesibukan kebelakangan dan aktiviti akan datang


Salam. Pembaca setia blogspot ini dan mereka yang peka dengan keadaan mungkin sedar betapa 2-3 bulan ini saya agak jarang menulis. Di sini biar diterangkan keadaan agar saya sendiri terasa lapang. Adapun sejak selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun 2013 kami suami isteri telah disibukkan dengan hal mencari rumah baru lantaran rumah yang kami duduki di Bandar Tasik Puteri sejak hujung 2008 mahu dinaikkan kadar sewa. Alang-alang dah nak naik bayaran bulanan biarlah ia untuk rumah yang dimiliki sendiri bukan? Apabila sudah terjumpa rumah yang dirasakan sesuai, kami disibukkan pula dengan urusan jual-beli diikuti urusan membaik-pulih serta mengelokkan lagi rumah yang sudah bertahun tidak diduduki... sehingga banyak barangan seperti kepala paip, wayar, tingkap dan sliding door telah hilang dicuri orang. Dalam keadaan itu kami tetap meneruskan beberapa aktiviti, antaranya penganjuran acara-acara HIKMAH. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)

Paling sibuk dan memenatkan adalah tempoh sebulan kebelakangan kerana sambil menyiapkan rumah, saya harus berusaha menjayakan 3 acara HIKMAH berturut-turut dalam masa terdekat. Lihat artikel 3 acara HIKMAH akan datang dan Maulidur Rasul. Bayangkan. Lewat hari Rabu 29 Januari  rumah tersebut baru siap dicat dan dibersihkan. Sedangkan tempoh kami menginap di rumah sewa tamat hujung bulan. Pagi Khamis kami mula memindahkan barangan secara besar-besaran dengan lori, lewat malam Jumaat baru siap dengan satu lagi trip lori. Itupun masih tinggal lagi sedikit barangan, selesai diambil setelah beberapa kali perjalanan ulang-alik dengan kereta 2-3 hari berikutnya. 

Seminggu kemudian rumah menjadi lokasi acara ke-8 HIKMAH yang merupakan juga acara housewarming iaitu 'pemanas'/perasmian rumah. Bayangkan petang Jumaat saya masih sibuk mengecat pondok hadapan rumah yang mahu digunakan untuk meraikan tetamu. Malam hampir Isyak baru siap. Selepas Isyak pula bumbung tempat letak kereta hadapan rumah, satu lagi bangunan yang mahu digunakan untuk meraikan tetamu baru siap dipasang.

Pagi itu saya begitu sibuk mengemas barangan pertukangan sebelum dapat mandi kemudian memakai busana tradisional Melayu untuk acara. Kini alhamdulillah, acara sudah selesai. Lihat Acara kelapan HIKMAH di Sungai Buaya, Rawang 8 Feb 2014. Bolehlah saya menumpukan tenaga dan fikiran pada hal-hal seterusnya. Walaupun penat dan sakit-sakit badan akibat melaksanakan pelbagai hal masih belum reda perjuangan harus diteruskan kerana kita sedang menggalas harapan ramai orang.




Dengan selesainya HIKMAH VIII di rumah sendiri, tumpuan harus diberikan untuk menjayakan acara ke-9 HIKMAH di Bayan Lepas, Pulau Pinang Sabtu 22 Februari iaitu 9 hari sahaja lagi. Lihat artikel Aura HIKMAH mula membara di Pulau Pinang... yang baru dibuat kurang 2 jam tadi. Sambil itu saya juga harus memerhatikan perkembangan acara ke-10 HIKMAH yang mahu diadakan di Aceh 28 Mac. Sukacita dimaklumkan kebenaran telah diterima dari pihak berkuasa sana untuk mengadakan acara. Ada kemungkinan pada malam selepas acara rombongan HIKMAH dari Malaysia akan diraikan oleh Wali Nanggroe Aceh, serupa dengan Yang di-Pertua Negeri di Melaka, Pulau Pinang juga Sabah dan Sarawak. 

Sesiapa yang berminat untuk mengikuti rombongan boleh menghubungi Ustaz Mahyuddin (019-5064949, FB Antiq Sufi) atau Suzairi Latip (019-6610165). Rombongan akan berada di Aceh 26-29 Mac menziarahi pelbagai tempat, antaranya makam Bendahara Johor Tun Sri Lanang di Samarlanga lebih kurang 3-4 jam perjalanan ke tenggara dari Banda Aceh dan makam pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Saleh di Geudong, Lhoksuemawe 2 jam lagi perjalanan. Rombongan akan bertolak dari LCCT KLIA di Sepang pagi 26 Mac dengan memakai busana tradisional Melayu. Rancangan kami ini telah mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kedutaan Indonesia juga NGO-NGO di Aceh.

Oh, sebelum saya betul-betul dapat memberikan tumpuan pada 2 acara HIKMAH akan datang ini, saya harus dahulu menyelesaikan bab jemputan oleh Persatuan Sejarah Malaysia. Saya telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam sesi sembang santai bertajuk "Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah" di Wisma Sejarah, sebelah Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur jam 10 pagi 15 Februari iaitu Sabtu ini. Rujuk surat yang tertera di atas. Acara adalah percuma dan terbuka, semua dijemput datang. Insyaallah saya akan berbusana tradisional Melayu, bertanjak, bersampin dan berkeris. Sejumlah kawan seperjuangan telah menyatakan akan turut serta menyerikan majlis dengan berpakaian begitu.



p/s : Satu perkembangan menarik tentang blogspot ini... setelah lebih 7 tahun dibuka barulah pageviewsnya melepasi angka sejuta. Perkara ini disedari 2-3 hari selepas berpindah ke rumah baru. Biar dikongsikan print screen yang dibuat Rabu 5 Feb di mana kebetulan saya mendapat nombor pageviews yang sangat cantik...





Rabu, Februari 12, 2014

Busana Aceh dalam majalah Seni Beladiri

Dua bulan lalu saya ada menulis artikel bertajuk Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana!. Ini boleh dikira susulan ceritanya...


Semalam saya telah menelaah isi majalah Seni Beladiri edisi terbaru iaitu Februari 2014. Edisi ini telah keluar selewatnya 2 minggu lalu. Tetapi baru itu saya cukup lapang untuk melihat isinya dari satu mukasurat ke satu mukasurat.


Baru saya tersedar cerita kawan-kawan dari Aceh datang ke majlis guru seni bela diri Malaysia turut menjadi isi.


Maaf kerana kebelakangan ini saya agak malas ataupun berat untuk bercerita. Klik sahaja pada gambar-gambar yang ada untuk cerita lebih lanjut ya...