Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Jun 01, 2007

Nostalgia kenangan silam di bandar Muar

Masjid Jamek Muar.

Nak tengok banyak lagi gambar-gambar di Muar, klik kat sini:-
Gambar-gambar di Muar (pictures in Muar)
Gambar-gambar di Muar 2 (Pictures in Muar 2)
Gambar-gambar di Muar 3 (Pictures in Muar 3)

Alhamdulillah, setelah bertungkus-lumus menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan terbitnya buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II sepanjang 2 minggu lepas, saya akhirnya boleh bernafas sedikit lega. Petang tadi, saya baru sahaja selesai mengalihkan 1,680 naskah buku ini daripada kilang percetakan ke tempat simpanan persendirian (angkat sendiri woo!!!) milik seorang rakan maka selepas ini saya boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap majlis pelancaran siri buku BKA yang akan diadakan Sabtu 9 Jun di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit pula.
Adapun, salah satu perkara yang mengganggu jiwa sepanjang 2 minggu ini selain penat-lelah mengejar masa melaksanakan pelbagai perkara di berbagai lokasi berlainan adalah keinginan untuk kembali ke kampung ibu di Muar, Johor (ayah yang berasal dari Perak pun dah jadi orang Muar) untuk menghadap dan memohon restu mereka. Kesibukan menyelesaikan bermacam-macam hal membuat saya terpaksa menunda keinginan ini.
Kalau ikutkan, proses mengalih baki buku daripada kilang adalah proses terakhir selepas sejumlah buku diserahkan kepada pengedar (maknanya tak lama lagi masuk le ke kedai-kedai seluruh Malaysia, yeye!). Ia sepatutnya selesai Isnin lalu, maka saya telah berkira-kira untuk untuk kembali ke kampung hari seterusnya dan berehat 2-3 hari di sana. Rupa-rupanya banyak hal lain menganggu sehingga proses pengalihan ini cuma dapat diselesaikan Jumaat petang tadi. Kalau nak balik kampung rasa terburu-buru pula sebab hari Ahad ini saya sudah berjanji untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat, kemudian mengatur langkah yang patut untuk majlis pelancaran siri buku BKA hujung minggu depan.
Nasib baiklah ada seorang kawan yang menawarkan untuk membawa saya balik hari ke Muar Khamis, semalam. Maklumlah, saya cuma mengharapkan pengangkut awam kerana tidak memiliki kenderaan sendiri (kecuali motor besar yang tersadai 2 tahun di Janda Baik menunggu masa untuk dibaik-pulih). Maka dapat juga saya kembali menghadap ayah dan bonda lalu memohon restu dan doa mereka agar usaha saya di dalam dunia penerbitan buku mendapat kejayaan. Sempat pula singgah di beberapa tempat di Melaka sebelum kembali ke Kuala Lumpur petang itu juga.
Apapun, saya sungguh bersyukur kerana gerak Qudrat dan Iradat daripada Allah Ta'ala yang telah melapangkan dada ini. Di sini, saya rasa ingin berkongsi sedikit cerita nostalgia zaman ketika masih menetap di Muar lebih 20 tahun lalu yang ada dinukilkan di dalam buku BKA II.
Sila, baca... :]
Oh... Terlupa pula. Cerita yang diambil daripada Bab 7 ini bermula dengan pengalaman berada di Pengkalan Brandan, Sumatera, Indonesia... Ketika berehat di sebuah jeti tepi sungai, tiba-tiba teringat pula pada Muar! Kena le beritahu, kalau tak nanti orang pelik, apa pula cerita ini, duduk kat jeti mana tetiba teringat kat Muar pula. Apa hal? Heh...


---------------------


Rasyid naik ke atas jeti. Kelihatan sebuah sungai yang agak luas, lebih kurang seluas Sungai Muar di bahagian kuala. Pemuda itu mengambil satu sudut yang selesa untuk menikmati pemandangan indah sungai yang luas dengan ramai orang sedang berperahu merata di permukaan air. Di seberang sungai kelihatan sebuah kampung yang terdiri di atas pelantar kayu atas air, berlatar-belakangkan hutan kayu bakau saujana mata memandang. Suasana dan pemandangan itu sungguh mempesonakan. Terasa begitu tenang dan aman, sudah lama betul dia tidak merasa damai sebegini...
Tiba-tiba anak muda itu terasa seolah-olah jiwanya ditarik satu kuasa anih memutarnya kembali ke tahun 60an (walaupun tidak pernah mengalaminya kerana dilahirkan tahun 70)... Balik pada suatu zaman di mana kehidupan lebih santai dan aman damai. Kata orang putih, simple life... Hamba Allah ini amat merindukan suasana kampung sejati di mana manusia tidak terkejar-kejar mencari dunia seperti sering dilihatnya sekarang. Rasanya, di Malaysia sekarang ini susah sungguh hendak terjumpa kampung yang betul-betul dapat memberikan rasa aman damai yang pernah dikecapi seperti semasa dia kecil-kecil dahulu. Zaman telah begitu jauh berubah dan manusia semakin mementingkan diri sendiri, kononnya di atas nama kemajuan. Semuanya nafsu-nafsi, seolah-olah tidak wujud lagi rasa kasih-sayang sejati yang tidak meminta pembalasan budi...

———————————————

Sebagai anak muda yang sempat membesar dalam zaman "Buku Hijau" bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak kemudian melalui zaman pentadbiran Tun Hussein Onn, Rasyid merasakan orang Melayu seperti dahulukala yang sangat mesra alam, sayangkan kehijauan kampung halaman serta tidak hairan pada harta menimbun sudah hampir pupus. Sejak akhir tahun 80an, pemuda itu dapat melihat bagaimana anak-bangsanya telah diajar untuk menggunakan segala kebolehan yang ada, segala resources atau hasil dalam tangan lalu menggadai tanah, kebun dan sawah milik keluarga turun-temurun untuk mengejar apa-apa peluang membuat duit, menghambat kekayaan dan kesenangan materialistik zaman sekarang... Walaupun ini akan menyebabkan mereka mulai tamak-haloba dan hilang budi-bahasa kebanggaan bangsa, mulai jadi manusia yang kurang-ajar. Segalanya harus berubah atas nama pembangunan!
Berbagai alasan telah dikemukakan atas nama kemajuan dan kemodenan.Konon ini semua perlu, "anjakan paradigma" dan "perubahan minda" mesti dilakukan supaya orang Melayu dapat bersaing dengan bangsa lain terutama Cina... Kata Orang Putih, to join the rat race, supaya dapat memenuhi sasaran Bumiputera menguasai kek ekonomi negara sekurang-kurangnya 30 peratus, tidak ketinggalan dalam perlumbaan mencari harta. Lalu ramai yang berhijrah ke bandar besar untuk mencari kehidupan lebih sejahtera yang kononnya dapat diukur dari segi pencapaian wang ringgit. Banyak pula yang mula berubah perangai dan jadi lupa diri apabila terasa sudah moden, up to date... Lalu rambut yang hitam arang bertukar jadi blonde, loghat Kedah jadi pelat palsu British dan Amerika, makan pakai tangan sudah geli, mesti pakai sudu dan garfu sahaja!
Natijah perubahan tatacara hidup yang sangat nyata akhir 80an menyaksikan kemunculan ramai OKB – Orang Kaya Baru dalam persada perniagaan juga politik negara. Mereka adalah orang-orang kaya Melayu yang berjaya diwujudkan melalui pelbagai program tajaan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup Bumiputra termasuk proses pengswastaan yang menyaksikan ramai bekas pegawai kerajaan menjadi ahli perniagaan dan korporat segera... Termasuk di kalangan mereka adalah orang Melayu yang mempunyai "kabel" atau talian politik yang membolehkan mereka memperolehi hasil durian runtuh daripada pengagihan pink slip, saham-saham Bumiputra yang diterbitkan melalui polisi 30 peratus Bumiputra ownership yang diwajibkan terhadap syarikat luar yang ingin beroperasi di Malaysia. Maka pada ketika syarikat-syarikat luar diberi pelbagai insentif menarik untuk melabur dan membuka anak syarikat di Malaysia, ramai mendapat untung atas angin lalu menjadi para OKB dalam sekelip mata!
Pada masa itu juga muncul anak-anak muda gaya baru sebaya Rasyid yang datuk-neneknya dahulu pernah berhempas-pulas berkebun dan bersawah. Atas nama kemajuan, anak-anak berbapakan para OKB ini seolah-olah diajar untuk melupakan sejarah silam keluarga demi mencipta identiti baru yang dikira lebih ranggi dan selari dengan status sebagai orang bandar. Sesetengah daripada mereka masih memiliki sepupu yang leka bermain dengan lumpur di luar bandar tetapi mereka pula mendakwa tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung-kampung, kononnya jijik, kotor, tak standard. Maklumlah, mereka dibesarkan di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru, tidak pernah kenal erti kehidupan kampung, tidak tahu keseronokan mengejar anak ayam dan dipatuk angsa berang! Lalu terdapat anak-anak Melayu yang baru beberapa tahun menjejakkan kaki ke luar negara, sesetengahnya setakat pernah duduk setahun dua di England semasa kecil kerana mengikuti ibu-bapa yang menyambung pengajian ke peringkat Masters... Tetapi berani mendakwa kepada kawan-kawan di Malaysia bahawa mereka telah dibesarkan hampir seumur hidup di London dan bila balik kononnya tidak tahu berbahasa Melayu!
Masuk tahun 90an pula, Rasyid melihat suasana kampung dan luar bandar turut berubah apabila budaya "serba moden" bandar mula menyelinap masuk ke dalam. Rumah-rumah kayu yang memilki character tersendiri sebagai identiti dan jati-diri Melayu dari pelbagai daerah dan pecahan ras bangsa banyak telah dirobohkan atau direnovate untuk dijadikan rumah batu seperti di bandar juga. Penduduknya pula semakin mementingkan diri sendiri, nafsu-nafsi belaka sehingga kawasan dan halaman rumah jiran yang dahulu pernah menjadi tempat permainan anak muda itu dan kawan-kawan tergolek dikejar angsa telah dipagar-tutup supaya orang ramai tidak boleh lagi menumpang lalu. Kononnya takut diceroboh pencuri... Maka tidak ada beza lagi kampung dan bandar kecuali dari segi kepesatan pembangunan dan jumlah bangunan tinggi. Semuanya mementingkan diri sendiri, yang tinggal Melayu cuma sifat hasad dan dengki.
Sekarang, kalau mahu merasa suasana aman damai kampung yang suci murni, kita terpaksa pergi jauh mencari kampung terpencil di pinggir hutan. Malah pinggir hutan pun belum tentu selamat daripada arus pembangunan yang membawa kepanasan dosa manusia yang tamak-haloba... Terpaksa pergi lebih jauh masuk ke dalam, barulah ada sedikit kedamaian. Kemajuan material yang dikejar-kejar memang telah memberi banyak manfaat kepada bangsa Melayu yang dahulu sering merasa kerdil selepas hidup lama di bawah ketiak penjajah tetapi apakah harganya? Apakah kesannya terhadap hati dan jiwa kita?
Memang sudah menjadi adat manusia... Mereka yang hidup di kampung kepingin hendak menghirup kehidupan berwarna-warni serba-moden di bandar-bandar besar tetapi mereka yang telah merasa segala macam nikmat duniawi urbanisasi yang disertai hiruk-pikuk yang membingitkan akhirnya ingin kembali mendekati alam semulajadi di kampung. Dulu semasa dibesarkan di Muar, di kawasan pinggir bandar yang bukan kampung tetapi dirasanya seperti kampung, Rasyid selalu bermimpi hendak melihat bandar kelahirannya menjadi sebuah kotaraya besar seperti Kuala Lumpur... Selalu ternanti-nanti bilakah Muar akan memiliki jalan double-lane, jejantas bertingkat juga lampu isyarat kerana seingatnya itupun belum wujud di situ ketika dia masih menuntut di sekolah rendah lebih 25 tahun dahulu. Semasa itu, dia amat mendambakan pembangunan besar di daerah kelahirannya sehingga angan-angan untuk melihat Muar memiliki bangunan pencakar langit terbawa-bawa ke tempat tidur!
Ketika sedang duduk mengelamun di Tanjung Emas, di kuala Sungai Muar sambil menikmati angin laut pula, pemuda ini sering berimaginasi, jika memiliki kuasa ajaib atau superpower, ada kekuatan magic yang boleh mencabut dan mengalihkan bandar-bandar, maka dia akan mengambil secebis kota New York bersama secebis kota London lalu mengaturnya di kedua-dua tebing sungai supaya Muar menjadi kotaraya besar, jauh lebih besar dari Kuala Lumpur yang sering disebut-sebut orang. Semasa itu, Muar yang dianggap bandar kedua terbesar di Johor selepas ibu negerinya Johor Bahru cuma merangkumi sedikit bahagian selatan sungai... Terlalu kecil untuk memuaskan imaginasi suburnya yang sering membayangkan kehebatan serta kepesatan kota-kota besar dunia seperti London dan New York seperti dilihat.dalam buku, poskad dan majalah, juga rancangan televisyen yang menjadi sajian harian zaman kanak-kanaknya.
Lagipun Rasyid cukup berminat dengan bangunan tinggi dan megah menggapai awan, sudah lama tertarik dengan rekabentuk infrastuktur hebat seperti Empire State Building di New York dan Sears Tower di Chicago. Maka dia kecewa kerana semasa itu, sebelum awal 80an, Muar belum lagi memiliki bangunan yang lebih tinggi dari lima tingkat, apalagi pencakar langit 30 tingkat ke atas seperti di Kuala Lumpur ataupun Singapura... Sampailah satu masa nanti, kalau tidak salah ingatan selepas Rasyid masuk sekolah menengah apabila bangunan UMNO Cawangan Pagoh setinggi 12 tingkat didirikan di sebelah stesyen bas. Lalu dia cukup berbangga Muar sudah ada bangunan tinggi, boleh dijadikan modal bercerita kepada kawan-kawan yang datang dari seluruh pelusuk tanah-air di sekolah asramanya, Sekolah Menengah Sains Johor di Keluang..
Sekarang semua itu tidak begitu penting baginya... Bukan keperluan hidup yang dapat menjamin kebahagiaan atau kesejahteraan sesiapa. Rasyid masih sukakan bangunan tinggi lagi megah, cuma tidak lagi kuat seperti dahulu. Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah tentu dia merasa bangga apabila Kuala Lumpur berjaya memiliki bangunan tertinggi di dunia (sekarang entah ke berapa kerana sudah banyak negara lain membangunkan bangunan yang lebih tinggi) iaitu menara berkembar Petronas... Sudah merasa bersantai di zon eksklusif tingkat 88 bangunan itu, juga pernah menikmati hidangan buffet restoran berpusing menara Telekom di Bukit Nenas yang membolehkan pelanggan melihat pemandangan setiap sudut kotaraya daripada aras ketinggian 300m!
Hamba Allah berjiwa halus ini juga masih meminati infrastruktur besar seperti lebuhraya dan persimpangan bertingkat yang boleh didapati hampir di mana-mana bandar besar Malaysia kini, masih boleh terpesona melihat bahu batu gergasi yang menyokong lebuhraya MR2 (Middle Ring Road) terutama di persimpangan Ampang berhampiran pusat membeli-belah Ampang Point. Tetapi dia lebih merindukan suasana damai aman tenteram, bukan ribut traffic jam, orang kelam-kabut mengejar masa dan duit seperti sering dilihatnya sekarang... Orang lebih banyak menyamakan masa dengan duit, bukannya anugerah Allah Ta’ala untuk manusia mengenali Pencipta dan perbuataanNya.
Banyak perubahan zaman sekarang yang Rasyid rasa kurang berkenan. Dia melihat kesibukan untuk memajukan diri masing-masing telah menyebabkan orang Melayu yang dahulu cukup terkenal dengan adab sopan juga rasa keprihatinan dan semangat ukhuwah yang tinggi sudah tidak berapa pedulikan lagi nasib orang lain walau yang sebangsa dan seagama dengan mereka... Malah kebanyakkannya sudah pandai menipu dan "menyembelih" anak bangsa sendiri demi mencari kekayaan dalam dunia yang semakin kehilangan arah dan pedoman. Pada Rasyid, bangsanya tidak lagi mementingkan budi pekerti elok dan akhlak mulia yang sejati. Kalau ada pun, mereka setakat memandang budi pekerti zahir penuh kepura-puraan yang sering dibuat-buat untuk mencapai sesuatu matlamat, budi pekerti PR atau Public Relations yang menjadi kebanggaan para hipokrit! Maka hatinya sering menjerit.. Ke manakah perginya kejujuran, keikhlasan dan rasa kasih sayang yang sebenar? Apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu sekarang? Apakah berbaloi dikorbankan segala sifat mulia yang pernah menghiasi anak bangsa semata-mata untuk menjadi kaya-raya dan berkuasa, supaya di pandang hebat masyarakat? Inikah natijah segala usaha untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain?

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Ke manakah perginya jati diri Melayu sebenar yang tidak hairankan harta dan pangkat, tidak boleh dibeli dengan apa bentuk imbuhan keduniaan apalagi rasuah yang menjadi penyakit manusia sekarang? Ke manakah menghilang hati-budi sejati bersuluh Nur Iman pancaran cahaya Ilahi yang tahu menilai budi pekerti mulia dan keikhlasan diri yang tidak mengharapkan balasan? Apakah terjadi kepada sifat-sifat mulia yang patut menjadi pakaian harian seorang Islam? Betul, zaman telah berubah dan arus kemodenan tidak dapat dielakkan... Tetapi adakah kita harus membuang segala yang lama sehingga hanyut dipukul gelombang kemajuan yang menghakis jati diri kita yang sebenar?
Rasyid sudah merasa hidup di Kuala Lumpur yang merupakan kotaraya terbesar di Malaysia... Pernah juga hidup bertahun di kotaraya London, sebuah kota yang jauh lebih besar dan maju dengan penduduk sekitar 10 juta orang. Dia pernah sampai ke Paris yang tidak kurang hebatnya juga beberapa kota megah lain di Eropah seperti Amsterdam, Brussels dan Frankfurt. Walaupun pemuda ini kagum dengan kepesatan hidup di sana, dia menjadi semakin rindu kepada kedamaian desa juga suasana santai seperti yang dirasakannya di pinggir bandar Muar ketika sedang membesar dahulu... Rindu suasana tahun 70 dan 80an ketika ramai orang masih suka berbasikal ke bandar, sesetengahnya menaiki beca...
Anak muda ini teringat pengalaman di Belanda, semasa hitchiking keliling Eropah selepas tamat pengajian di London tahun 1995. Kota-kota besarnya seperti Amsterdam dan Rotterdam bukan calang-calang, mewah dan kaya-raya lagi pesat dan maju pula. Tetapi beribu-ribu penduduknya masih memilih untuk berbasikal ke tempat kerja, juga bersantai di tengah kota. Kenapa Muar yang baru membesar sedikit meliputi bahagian utara sungai tidak mencontohinya? Apa salahnya terus berbasikal walau sudah berpangkat dan kaya-raya?
Anak mendiang Presiden Amerika, John F. Kennedy Junior, juga waris keluarga Onassis yang memiliki empayar perkapalan Greek bernilai berbillion Dolar pun boleh menunggang basikal ke tempat kerja, di tengah kesibukan kota gergasi New York. Kita yang tidak seberapa ini hendak sombong apa? Betullah cakap bekas Perdana Mentera Tun Dr. Mahathir, Melayu mudah lupa…

Selasa, Mei 29, 2007

Confirm! Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu 9 Jun!

Buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II telah berada di kedai Khazanah Fathaniyah sejak Rabu 16 Mei 2007. Untuk makluman, ia adalah KEDAI PERTAMA DI MALAYSIA yang ada menjual buku ini!

Pengumuman! Sukacita dimaklumkan, semua pihak yang terlibat menyelenggarakan kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit termasuk para pembantu kanan almarhum Ustaz Wan Saghir serta waris kanan almarhum telah bersetuju agar pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" diadakan di situ, Sabtu 9 Jun selepas Zuhur, lebih tepat lagi jam 2.30 petang. Maka itu saya menjemput para pembaca sekalian, saudara dan saudari, kenalan dan kawan-kawan supaya hadir untuk memeriahkan suasana. Untuk makluman, majlis ini diadakan untuk turut memperingati usaha dan perjuangan almarhum Ustaz Wan Saghir yang kembali ke rahmatullah lebih 44 hari lalu di samping mempromosi hasil-hasil kerjanya yang menjadi koleksi penerbitan Khazanah Fathaniyah.
Adapun majlis ini adalah majlis budget yang dicetuskan hasil cadangan seorang pembaca yang memakai nama AbuZahrah agar ditetapkan satu hari di mana mereka yang meminati siri buku BKA dapat berjumpa dan bersuai-kenal dengan saya sebagai penulis. Maka saya tidak dapat menjanjikan apa-apa juadah ataupun keseronokan keduniaan kecuali mengeratkan ukhuwah yang dapat menghubungkan kita saudara Melayu Islam walaupun datang daripada pelbagai aliran pengajian samada Tabligh, persilatan, perubatan mahupun golongan Tariqat dan Hakikat.
Apapun, saya akan cuba menghubungi pihak media agar ia mendapat liputan yang sewajarnya supaya dapat menolong membangkitkan semangat semua yang terlibat untuk berkarya dan berjuang demi mendaulatkan Islam. Sekurang-kurang, kita dapat memberi isyarat bahawa berkarya melawan arus zaman dalam menceritakan kekuatan tersembunyi Melayu Islam seperti yang saya lakukan dengan siri buku "Berpetualang ke Aceh" bukanlah perbuatan yang sia-sia walaupun sebelum ini tidak mendapat sokongan. Percayalah, jika kita sanggup mengorbankan jiwa dan raga untuk menegakkan haq, maka Allah Al-Haq sedia membantu lalu membuka jalan.
OK... Saya difahamkan, tak ramai yang tahu di manakah letak kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit ini. Adapun alamatnya ialah:

Khazanah Fathaniyah,
486-G, Jalan Tuanku Abdul Rahman,
50100 Kuala Lumpur.

Untuk apa-apa pertanyaan, boleh hubungi Ustaz Halim (013-3564496) atau Ustaz Azrul (016-3520094).

Cuma masalahnya kedai ni mungkin orang tak perasan sekali lalu sebab belum diletakkan papan tanda perniagaan. Maka itu saya ambil gambar di bawah supaya senang sedikit orang cam kedudukannya yang terletak hampir dengan persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit, cukup dekat dengan stesyen monorail Chow Kit atau dipanggil "pulau". Tengok ni...


Kedai tak bertanda di sebelah kiri Restoran Hj Nowo itu adalah kedai Khazanah Fathaniyah

Ini pula gambar dari sudut lain. Kalau sebut dekat Pasaraya Yoon Thye, rasanya semua orang kat Chow Kit tahu duduk letaknya...

Kalau susah nak cam dengan gambar, lihat sahaja peta di bawah yang baru saya buat beberapa hari lalu ya...
Mari! Mari kita bersama memeriahkan majlis pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di samping mengenang sumbangan serta perjuangan almarhum Ustaz Wan Saghir dan menaikkan hasil-kerja Khazanah Fathaniyah untuk khalayak yang lebih luas!
Jumpa kita di Chow Kit, Sabtu 9 Jun 2007, selepas Zuhur, jam 2.30 petang, Insyaallah! :]



Ilham pagi Ahad

Hmm... Dalam kesibukan menulis posting sebelum ini untuk mengajak para pembaca sekalian agar turut terlibat sama mewar-warkan siri buku "Berpetualang ke Aceh", timbul pula rasa untuk mencoretkan bagaimana boleh timbul ilham untuk mencipta poster berkaitan. Untuk makluman, pada pagi Ahad yang berkat itu, saya bukan sahaja mendapat mendapat gerak membuat reka-bentuk tertentu sehingga berjaya menyiapkan poster itu malah turut mendapat ilham tak kunjung putus lalu dapat membuat name-card untuk diri saya juga kulit buku BKA III yang memiliki sub-title "Sirih pulang ke Gagang?"
Dari satu segi, ini tidak menghairankan kerana sudah sepatutnya saya mempunyai poster untuk mempromosi siri buku BKA memandangkan jilid pertama sudah pun berada di pasaran sejak hampir setahun lalu. Name-card sebagai pengenalan diri pula merupakan satu keperluan profesional terutama setelah menjadi penulis dan penerbit persendirian yang harus berinteraksi dengan pelbagai pihak terutama ketika membincangkan hal-hal berkaitan penjualan buku.
Begitu juga, kemunculan ilham untuk mengolah kulit buku BKA III bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Walaupun belum pasti bila ia akan diterbitkan, ramai yang mengenali saya sedia maklum, buku "Berpetualang ke Aceh" memang mempunyai 3 jilid yang pada saya wajib diselesaikan jika ingin kembali hidup normal seperti orang lain.
Oh... Yang dimaksudkan hidup normal adalah hidup berkeluarga beranak-pinak berumah-tangga tanpa perlu lagi selalu sangat mengembara mengikut gerak-hati sehingga ada yang menganggap saya sudah gila seperti yang berlaku beberapa tahun kebelakangan. Perihal BKA ini mempunyai 3 jilid ada diceritakan dalam bab penutup BKA I iaitu "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Jadi kenapa pula perlu ada buku tambahan?
Sebenarnya sudah lebih setahun saya mendapat ilham akan kemungkinan wujudnya buku ke empat atau BKA IV malah siap berserta sub-title nya sekali iaitu "Kembali ke Makam Nenda". Tetapi, saya cuma akan menulis buku ini jika diTakdirkan dapat membawa seseorang yang penting dalam hidup saya kembali ke Aceh terutama ke makam Sultan Malikus Salih. Jadi apa perlunya saya membuat kulit untuk sebuah buku yang belum tentu akan wujud?
Apapun, itu soal lain. Apa yang ingin diceritakan di sini ialah turutan peristiwa yang akhirnya membawa saya untuk berehat seorang diri di sebuah rumah keluarga di Kajang pagi Ahad lalu muncul ilham untuk melaksanakan beberapa perkara terutama mencipta poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh".
Adapun pada malam sebelumnya, 26 Mei 2007, saya telah pergi menghadiri majlis tahlil sempena 44 hari kembalinya almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir yang diadakan di Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Taman Melewar, Gombak. Cerita mengenai majlis ini ada ada dinukilkan di Tahlil 44 hari almarhum Ustaz Wan Saghir.
Oleh kerana ia bermula jam 9 malam, saya perlu bersedia untuk tidur di masjid atau mana-mana tempat lain kerana penghuni rumah ibu saudara di Ampang tempat saya menumpang sekarang semuanya tidur awal. Sebelum jam 11 lagi mereka telah melelapkan mata dan masuk jam 12 sistem alarm pula mula beroperasi penuh. Maka sudah menjadi adat dan adab bagi saya yang sekadar hidup menumpang supaya tidak melanggar tatatertib hidup di rumah itu lalu saya akan tidur di luar kalau tidak dapat pulang dalam waktu yang munasabah.
Pada mulanya saya telah berkira-kira akan kembali ke sebuah rumah milik keluarga di Kajang sebaik sahaja majlis selesai tetapi ini akan membuat saya terburu-buru. Bayangkan, majlis tahlil bermula jam 9... Dengan ramai hadirin ingin memberikan hormat terhadap almarhum ustaz, sudah tentu tidak manis jika saya meninggalkan majlis (yang termasuk sesi, ucapan tetamu-tetamu kehormat, makan-minum dan sedikit berbual-bual) terlalu awal.
Telah diTakdirkan, majlis tamat selepas jam 11 malam. Sudah tentu saya yang mengharapkan pengangkutan awam tidak akan sempat mendapatkan keretapi komuter yang perlu diambil daripada pusat bandaraya Kuala Lumpur. Maka itu apabila pembantu almarhum, Ustaz Azrul bertanya ke manakah saya akan pergi malam itu, jawab saya ikut aje le gerak hati akan bawa ke mana, mungkin tidur masjid, mungkin berjalan ke tempat lain.
Daripada Dewan Sheikh Daud, saya terfikir samada akan berjalan kaki utara ke Taman Greenwood lalu pergi ke kedai makan Minang untuk menikmati sate padang atau pergi selatan menghala ke Sungai Mulia. Kebetulan, beberapa orang hadirin majlis sedang menuju ke kereta dan mereka menghala ke utara, lalu saya ditumpangkan ke Taman Greenwood.
Selesai menikmati sate padang, saya terus berjalan kaki ke kawasan Plaza Idaman, atau lebih dikenali sebagai Ong Tai Kim sempena nama sebuah supermarket di sana. Dalam perjalanan itu saya setakat berhenti untuk buang air besar serta mandi malam di sebuah masjid kemudian di Plaza Idaman, saya masuk ke sebuh Internet Cafe untuk menulis cerita mengenai majlis tahlil 44 hari almarhum Ustaz Wan Saghir di dalam blogspot ini.
Selesai kesemuanya, saya turun ke kedai makan untuk minum teh halia. Ketika itu waktu sudah melepasi jam 3 pagi. Jika mahu, saya boleh terus berehat di sekitar kawasan itu temasuk di masjid tetapi entah kenapa, timbul pula rasa untuk berjalan kaki sampai ke pusat bandaraya, Dipendekkan cerita, saya berjalan tanpa henti sampai ke Medan Tuanku, satu perjalanan hampir 10km (mungkin lebih?) dan sampai ke sana selepas jam 5!
Di sana, saya berehat sebentar untuk makan awal pagi, ada le sampai jam 6 kemudian mengambil monorail untuk ke KL Sentral. Selepas solat Subuh, saya terus mengambil keretapi komuter ke Kajang. Sebaik sahaja sampai ke rumah, saya terus tidur untuk menghilangkan penat-lelah.
Jam 11 pagi, saya terbangun lalu tergerak membuka komputer. Secara automatik, timbul gerak ilham untuk membuka program Photoshop lalu bermain-main dengan beberapa gambar berserta text berbagai ragam. Dalam keadaan itulah terbitnya poster untuk mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh", seterusnya name-card, diikuti rekabentuk kulit buku BKA III malah BKA IV sekali!
Subhanallah! Cukuplah gerak untuk saya bercerita tentang hal ini. Wassalam!

Mari bersama war-warkan "Berpetualang ke Aceh"


Assalamualaikum para pembaca sekalian terutama kawan-kawan dan mereka yang mengenali saya tak kira di manakah anda berada. Perhatikan gambar di atas... Apa macam, cantik tak?
Adapun gambar ini adalah poster promosi untuk siri buku "Berpetualang ke Aceh" atau BKA yang dicipta hasil cetusan ilham pagi Ahad semasa berehat seorang diri di sebuah rumah keluarga di Kajang. Sekadar mengingatkan, BKA I dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" (berkulit kuning) telah diterbitkan Jun 2006 sementara BKA II "Membela Syiar yang Asal" (berkulit hijau) baru siap dicetak 2 minggu lepas dan sedang memasuki pasaran. Lalu beberapa keping poster ini dengan saiz kertas A3 telah dicetak kemudian diserahkan kepada pihak pengedar petang Isnin keesokannya.
Saya rasa ramai yang sedia maklum bahawa saya adalah seorang penulis dan penerbit bebas yang kekurangan dana lalu mengharapkan cakap-cakap orang atau word of mouth untuk mempromosi siri buku BKA. Maka penerbitan poster ini adalah usaha julung-kali bagi pihak saya untuk merancakkan minat awam terhadap siri buku ini.
Di sini, saya ingin mengajak semua pihak malah meminta jasa baik saudara dan saudari sekalian supaya turut bersama memeriahkan usaha mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Caranya mudah... Ikut sahaja langkah yang diberikan di bawah:-

1. Doube-click (atau click butang mouse sebelah kanan dan open in new window) pada gambar poster di atas, nescaya poster itu akan di load kan kepada komputer anda dalam saiz file yang asal.

2. Save gambar yang keluar... Oh... Sebenarnya masa click butang mouse sebelah kanan tadi, ada pilihan save picture as. Nak gunakan ini pun boleh...

3. Print menggunakan mana-mana printer... Pastikan gambar telah di set-up supaya tidak senget atau terkeluar fokus dan sebagainya. Nak bagi warna boleh, hitam-putih pun boleh.

4. Tampalkan di bilik anda, tempat kerja atau mana-mana yang orang boleh nampak. Lebih elok lagi di tempat-tempat yang menjadi laluan orang ramai tetapi janganlah sampai melanggar undang-undang atau menyemakkan pandangan masyarakat OK.
Kalau ada sesiapa nak buat jadi poster kat baju pun boleh. Saya tak melarang asalkan jangan dijadikan kertas mengesat najis atau apa-apa yang sewaktu dengannya.
Dari segi hakcipta, saya dengan rasminya memberikan kebenaran untuk poster ini digunakan SECARA BAIK oleh mana-mana pihak. Hakcipta segala hasil kerja saya dipelihara Allah SWT. Hasbunallah wa nikmal wakil... Cukup Allah sebagai wakil ku, insyaallah!

5. Sampaikan ini kepada kenalan dan kawan-kawan lain. Inilah salah satu cara yang saya mampu buat untuk mempromosikan siri buku "Berpetualang ke Aceh".
Yang utama bagi saya adalah supaya lebih ramai orang dapat berkongsi cerita-cerita tertera di dalamnya, lalu kita wujudkan kesedaran akan kegemilangan sejati bangsa Melayu Islam dengan menghidupkan Mim (siapa yang faham, fahamlah...) dalam diri kita lalu diketengahkan ke peringkat negara, Insyaallah! :]

Ahad, Mei 27, 2007

Tahlil 44 hari almarhum Ustaz Wan Saghir

Murid tua almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir, Haji Hamdan Bokhari daripada Kalimantan memberikan sedikit kata-kata tentang hubungan beliau dengan almarhum pada majlis tahlil 44 hari kembalinya ke rahmatullah Ustaz Wan Saghir yang diadakan di Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Taman Melewar, Kuala Lumpur malam tadi.

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan... Malam semalam 26 Mei 2007 bersamaan 10 Rabiulawal 1428 Hijriah (ingat... Hari baru Hijriah bermula selepas masuk waktu Maghrib) selesailah majlis tahlil 44 hari setelah kembalinya almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir ke rahmatullah. Almarhum ialah seorang pengkaji sejarah Islam terutama tentang peranan para ulamak dahulukala mendaulatkan syiar yang syumul di bumi Melayu dan karya-karyanya sudah mendapat tempat di hati umum apabila ia sering menghiasi laman-laman agama di akhbar harian utama seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Majlis tahlil yang diadakan di Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Taman Melewar, Kuala Lumpur itu dihadiri lebih kurang 100 orang, terdiri daripada wakil-wakil NGO, persatuan agama, pengkaji sejarah, pelajar universiti malah pendokong Silat Cekak dan Silat Abjad. Antara tetamu kehormat ialah Ustaz Subky Haji Latif yang menulis di akhbar Harakah milik PAS.

Disebabkan beberapa hal lain, saya sampai agak lambat iaitu jam 9.30 malam sedangkan majlis bermula jam 9. Apapun, kedatangan saya disambut baik oleh para hadirin terutama salah seorang pembantu kanan almarhum Ustaz Wan Saghir iaitu Ustaz Azrul yang kebetulan duduk di tepi pintu masuk dewan.

Oh... Teringat pula. Siang tadi saya ada menalifon seorang lagi pembantu kanan almarhum iaitu Ustaz Halim untuk bertanyakan arah ke dewan itu. Maklumlah, baru ini saya mendengar tentang kewujudan Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Taman Melewar, setelah mendapat SMS jemputan untuk menghadiri majlis. Apakah ia terletak berhampiran markas PAS? Apakah ia sebuah bangunan yang baru dibina? Rupa-rupanya dewan yang dimaksudkan adalah rumah milik Ustaz Wan Saghir yang juga berperanan sebagai pusat utama Khazanah Fathaniyah sejak mula almarhum menerbitkan hasil penulisan beliau.

Kali terakhir saya sampai ke sana adalah lebih 2 tahun lalu. Ketika itu, artikel-artikel tulisan Ustaz Wan Saghir belum mendapat tempat di akhbar utama tempatan. Dewan (atau rumah?) yang dimaksudkan kelihatan agak dhaif dengan berkotak-kotak hasil penulisan terletak di atas lantai... Seolah berada di dalam gudang rasanya. Tetapi sekarang ia memang layak dipanggil dewan. Kalau tak percaya, cuba lihat gambar-gambar di bawah... Perhatikan sesetengah hasil kerja Ustaz Wan Saghir telah diatur dengan elok... Kelihatan tempat ini layak menjadi sebuah muzium untuk tatapan para pengkaji serta peminat sejarah Islam pula!







Terus-terang saya katakan, saya agak terperanjat melihat perubahan yang ketara pada tempat ini. Malah rumah bersebelahan telah dibeli oleh keluarga Ustaz Wan Saghir, maka jadilah tempat kediaman mereka terletak bersebelahan dengan Dewan Sheikh Daud al-Fathani.

Kata Ustaz Azrul, dewan ini baru siap dibina sebegini rupa kira-kira 4 atau 5 bulan lepas. Melihatkan suasana dan aturan di dalam yang agak menarik, saya rasa tempat ini mampu menarik ramai para pengunjung terutama mereka yang berminat tentang sejarah juga perjuangan Islam di Nusantara.

Bila disebut tentang ini, Ustaz Azrul menjawab, insyaallah ini akan diatur nanti. "Buat masa ini, dewan ini cuma dibuka pada masa tertentu. Belum ada tenaga kakitangan yang dapat memantau sehingga ia dapat dibuka setiap hari," katanya.

Tak mengapa. Moga-moga Allah memberkati segala usaha almarhum Ustaz Wan Saghir dalam memperjuangkan Islam dengan mengenengahkan hasil sumbangan ulamak-ulamak terdahulu. Dengan itu juga diharap Yang Maha Kuasa akan membuka jalan supaya Khazanah Fathaniyah dapat berkembang lebih pesat sebagai wadah keilmuan untuk para pengkaji sejagat berbakti kepada masyarakat selain menanamkan minat agar lebih ramai umat Islam menyedari dan mengambil iktibar akan perjuangan Islam yang sebenar. Yang pasti, ada banyak koleksi bacaan yang elok untuk dikongsi bersama terutama kitab-kitab berkaitan Tasawuf yang telah dibuat transliterasi oleh almarhum Ustaz.

Oh... Waris lelaki tua almarhum Ustaz Wan Saghir iaitu anaknya Wan Autad telah menyatakan persetujuan agar diadakan majlis pelancaran buku "Berpetualang ke Aceh" di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit, Kuala Lumpur selepas Zuhur 9 Jun hari Sabtu. Apa yang tinggal sekarang adalah bagaimana majlis ini hendak diatur dengan kerjasama Ustaz Halim dan Ustaz Azrul.

Majlis itu juga akan digunakan untuk memperingati perjuangan almarhum selain turut mempromosikan buku-buku, kitab dan hasil penulisan Khazanah Fathaniyah. Insyallah saya akan berikan berita terkini sedikit hari nanti. Teruskan membaca blogspot ini dan doakan kejayaan kami dan kelancaran majlis ini ya! Wassalam... :]

p/s: Hampir terlupa pula... Untuk sesiapa yang berminat untuk melawat Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, alamatnya ialah:

38, Jalan Batu Geliga 1,
Taman Melewar,
68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Sila talifon para pembantu atau ahli keluarga Ustaz Wan Saghir di 03-61897231 untuk sebarang pertanyaan.

Sabtu, Mei 26, 2007

Tutup sesi ini dengan Gurindam Hamzah Fansuri

Subhanallah! Setelah membuka sesi update pagi ini dengan gurindam Hamzah Fansuri, diikuti cerita tentang Tok Kenali kemudian Tok Selehor seterusnya Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani (yang kebetulan adalah anak murid Sheikh Hamzah Fansuri), izinkan hamba menutup gerak ini dengan sebahagian lagi gurindam Hamzah Fansuri ya... Sila baca, wassalam! :]


Wahai segala kita yang berhati
Jangan lupakan ma al-hayati
Barangsiapa tahu akan laut yang jati
Dunya akhirat tiada iya mati

Laut itulah yang bernama Ahad
Terlalu lengkap pada ashya' samad
Olehnya itulah lam yalid wa-lam yulad
Wa-lam yakun lahu kufu'an ahad

Ma' al-hayat itulah terlalu bayan
Pada kedua 'alam rupanya 'iyan
Muhitnya pada sekalian zaman
Olehnya itulah tiada iya bermakan

Jika sungguh kamu sekalian talibun
Baca : Wa'llahu khalaqakum wa-ma ta'malun
Daripada ertinya itu jangan ghafilun
Supaya jadi kamu sekalian 'alimun

Ketahui ma'na thalathatin illa
Huwa rabi'uhum Wa-la khamsatin illa sadisuhum
Wa-la adna min dhalika wa-la akthara illa Huwa ma'a-hum
Inilah ma'na Wa-Huwa ma'a-kum ayna-ma kuntum

Wa-Huwa ma'a-kum inilah ma'nanya dalam
Jangan kau pandang pada bunyi dan ragam
Pikirkan hendak siang dan malam
Supaya dapat dirimu karam

Man 'arafa nafsahu hadith daripada nabi
Fa-qad 'arafa Rabbahu pada sekalian peri
Setelah sampai mengenal diri qawi
Mangkanya dapat menjadi wali

La ilaha illa'llah ma'nanya zahir
Barang yang mungkir menjadi kafir
Di luar di dalam nentiasa satir
Manakan jauh pada sekalian nazir

La itulah yang bernama fana'
Dalamnya ithbat illa'llah al-baqa'
Mengenal Allah demikian pun kafa
Mithil ular Musa hakikatnya 'asa

Ketahui olehmu hai anak dagang
Rupamu itu seperti bayang-bayang
Menapikan diri jangan kau sayang
Supaya dapat kepada Huwa kau datang

La itulah menapikan wujud
Mengesakan sana shahid dan mashhud
Itulah Haqiqat nentiasa sujud
Pada sekalian awqat qiyam dan qu'ud

Illa'llahu di sana sempurna jamil
barang yang mendapat dia menjadi khalil
Bi-kulli shay'in muhit inilah dalil
Mengatakan lengkap rupa Rabbun jalil

Jamil itulah cahayanya terang
Pada kedua 'alam adanya senang
Barangsiapa sampai pada laut yang tenang
Dunya akhirat iyalah menang

Laut itulah yang bernama sedia
Tempatnya gha'ib terlalu sunya
Sungguh pun Tuhan yang Mahamulia
Hampirnya sangat kepada yang mengenal Dia

Hamzah Fansuri asalnya 'ali
Dengan ma' al-hayat tiada iya khali
Seperti ombak nentiasa fani
Haqiqatnya pulang ke laut Hayy al-Baqi


Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani dan Martabat Tujuh

Ini pula adalah sebuah penulisan dalam bahasa Indonesia, mengenai Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani yang hidup abad 16-17 Masihi. Beliau adalah Sheikhul Islam atau Mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1589-1604). Beliau juga terkenal sebagai salah seorang pendokong kuat fahaman Martabat Tujuh yang dikira amat kontroversi.
Mungkin ramai yang tidak menyedari ini, ulamak yang termasuk di dalam kumpulan empat orang ulamak agung Aceh ini telah meninggal dunia dan dimakamkan di Melaka, Malaysia, bukannya di Indonesia! Ini kerana beliau dipercayai terlibat sama dalam serangan Aceh ke atas Portugis yang dilakukan tahun 1629, semasa Aceh berada di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Johan Berdaulat (1607-1636).
Makamnya masih ada lagi di Kampung Ketek, juga dikenali dengan nama Kampung Pali, tidak jauh daripada Masjid Kampung Hulu yang berusia hampir 300 tahun. Saya sendiri dapat tahu tentang kewujudan makam ini setelah diberitahu seorang kenalan ketika berehat di Pulau Besar, Melaka lebih 2 tahun lepas. Kemudian saya tergerak untuk menziarahi Muzium Islam di Bandar Hilir lalu tercatit di muzium itu bahawa Sheikh Shamsuddin memang dimakamkan di Melaka!

-------------------------

Syamsuddin Sumatrani: Sufi Legendaris dari Nangroe Aceh

Sejak lama Aceh telah dikenal sebagai satu-satunya daerah yang aksentuasi keislamannya paling menonjol. Selain menonjolnya warna keislaman dalam kehidupan sosio-kultur di sana, ternyata di Serambi Mekah ini pernah tersimpan pula sejumlah Sufi ternama semisal Samsuddin Sumatrani.

Syamsuddin Sumatrani adalah salah satu tokoh sufi terkemuka yang telah turut mengguratkan corak esoteris pada wajah Islam di Aceh. Sayangnya perjalanan hidup sang sufi ini sulit sekali untuk dirangkai secara utuh. Hal ini selain karena tidak ditemukannya catatan otobiografisnya, juga karena langkanya sumber-sumber akurat yang dapat dirujuk.

Bahkan tidak kurang peneliti seperti Prof. Dr. Azis Dahlan yang pernah mengadakan penelitian untuk disertasinya, merasa kesulitan dengan langkanya sumber-sumber mengenai tokoh sufi yang satu ini. Diantara sumber tua yang dapat dijumpai mengenai potret Syamsuddin Sumatrani adalah Hikayat Aceh, Adat Aceh, dan kitab Bustanu al-Salathin. Itupun tidak memotret perjalanan hidupnya secara terinci. Meski demikian, dari serpihan-serpihan data historis yang terbatas itu kiranya cukuplah bagi kita untuk sekedar memperoleh gambaran akan kiprahnya berikut spektrum pemikirannya.

Mengenai asal-usulnya, tidak diketahui secara pasti kapan dan di mana ia lahir. Perihal sebutan Sumatrani yang selalu diiringkan di belakang namanya, itu merupakan penisbahan dirinya kepada “negeri Sumatra” alias Samudra Pasai. Sebab memang di kepulauan Sumatra ini tempo doeloe pernah berdiri sebuah kerajaan yang cukup ternama, yakni Samudra Pasai. Itulah sebabnya ia juga adakalanya disebut Syamsuddin Pasai.

Menurut para sejarawan, penisbahan namanya dengan sebutan Sumatrani ataupun Pasai mengisyaratkan adanya dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, orang tuanya adalah orang Pasai (Sumatra). Dengan demikian maka bisa diduga bahwa ia sendiri dilahirkan dan dibesarkan di Pasai. Jika pun ia tidak lahir di Pasai, maka kemungkinan kedua bahwa sang ulama terkemuka pada zamannya ini telah lama bermukim di Pasai bahkan ia meninggal dan dikuburkan di sana.

Berbicara tentang peranan Sumatra sebagai pusat pengajaran dan pengembangan Islam, Negeri Pasai itu memang lebih dahulu terkemuka daripada Banda Aceh. Paling tidak Samudera Pasai lebih dulu terkemuka pada kisaran abad ke-14 dan 15 M, yakni sebelum akhirnya Pasai dikuasai oleh Portugis pada tahun 1514. Sementara beralihnya tampuk kekuasaan Negeri Pasai kepada Kerajaan Aceh Darussalam baru berlangsung pada tahun 1524.

Peranan dan Pengaruhnya

Pada masa pemerintahan Sayyid Mukammil (1589-1604), Syamsuddin Sumatrani sudah menjadi orang kepercayaan sultan Aceh. Sayang dalam kitab Bustan al-Salathin sendiri tidak disingkapkan bagaimana perjalanan Syamsuddin Sumatrani sehingga ia menjadi ulama yang paling dipercaya dalam lingkungan istana kerajaan Aceh selama tiga atau empat dasawarsa.
Syamsuddin Sumatrani wafat pada tahun 1039 H/1630 M, dan selama beberapa dasawarsa terakhir dari masa hidupnya ia merupakan tokoh agama terkemuka yang dihormati dan disegani. Ia berada dalam lindungan dan bahkan berhubungan erat dengan penguasa Kerajaan Aceh Darussalam.
Syamsuddin Sumatrani adalah satu dari empat ulama yang paling terkemuka. Ia berpengaruh serta berperan besar dalam sejarah pembentukan dan pengembangan intelektualitas keislaman di Aceh pada kisaran abad ke-l7 dan beberapa dasawarsa sebelumnya. Keempat ulama tersebut adalah Hamzah Fansuri (?-?), Syamsuddin Sumatrani (?-1630), Nuruddin Raniri (?-1658), dan Abdur Rauf Singkel (1615/20-1693). Mengenai ada tidaknya hubungan antara Syamsuddin Sumatrani dengan ketiga ulama lainnya, ada baiknya disinggung seperlunya.

Mengenai hubungan Hamzah Fansuri dengan Syamsuddin Sumatrani, sejarawan A. Hasjmy cenderung memandang Syamsuddin Sumatrani sebagai murid dari Hamzah Fansuri. Pandangannya ini diperkuat dengan ditemukannya dua karya tulis Syamsuddin Sumatrani yang merupakan ulasan (syarah) terhadap pengajaran Hamzah Fansuri. Kedua karya tulis Syamsuddin Sumatrani itu adalah Syarah Ruba'i Hamzah Fansuri dan Syarah Syair Ikan Tongkol.

Adapun hubungannya dengan Nuruddin ar-Raniri, hal ini tidak diketahui secara pasti. Yang jelas adalah bahwa tujuh tahun setelah Syamsuddin Sumatrani wafat, Raniri memperoleh kedudukan seperti sebelumnya diperoleh Syamsuddin Sumatrani. Ia diangkat menjadi mufti Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1637 oleh Sultan Iskandar Tsani. Karena fatwanya yang men-zindiq-kan (mengkafirkan) paham wahdatul wujud Syamsuddin Sumatrani, maka para pengikut Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumatrani dihukum oleh pihak penguasa dengan hukuman bunuh. Bahkan literatur-literatur yang mereka miliki dibakar habis. Namun demikian, para pengikut paham Sumatrani itu ternyata tidak punah semuanya.

Pada kisaran tahun 1644 Raniri disingkirkan dari kedudukannya selaku mufti kerajaan Aceh Darussalam. Ia pun terpaksa pulang ke Ranir, Gujarat. Sebagai penggantinya, Sultanah Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) kemudian mempercayakan jabatan mufti kerajaan kepada Saifur Rijal. Saifur Rijal adalah seorang Minang yang juga penganut paham wahdatul wujud. Pada waktu itu ia baru pulang kembali ke Aceh dari pendalaman kajian agama di India. Dengan demikian, paham tasawuf Syamsuddin Sumatrani itu kembali mewarnai corak keislaman di Kerajaan Aceh Darussalam.

Karya-karyanya

Dari hasil penelitian Prof. Dr. Azis Dahlan diketahui adanya sejumlah karya tulis yang dinyatakan sebagai bagian, atau berasal dari karangan-karangan Syamsuddin Sumatrani, atau disebutkan bahwa Syamsuddin Sumatrani yang mengatakan pengajaran itu. Karya-karya tulis itu sebagian berbahasa Arab, sebagian lagi berbahasa Melayu (Jawi). Diantara karya tulisnya yang dapat dijumpai adalah sebagai berikut:

1. Jawhar al-Haqa'iq (30 halaman; berbahasa Arab), merupakan karyanya yang paling lengkap yang telah disunting oleb Van Nieuwenhuijze. Kitab ini menyajikan pengajaran tentang martabat tujuh dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

2. Risalah Tubayyin Mulahazhat al-Muwahhidin wa al-Mulhidin fi Dzikr Allah (8 balaman; berbahasa Arab). Karya yang telah disunting oleb Van Nieuwenhuijze ini, kendati relatif singkat, cukup penting karena mengandung penjelasan tentang perbedaan pandangan antara kaum yang mulhid dengan yang bukan mulhid.

3. Mir’at al-Mu'minin (70 halaman; berbahasa Melayu). Karyanya ini menjelaskan ajaran tentang keimanan kepada Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, para malaikat-Nya, hari akhirat, dan kadar-Nya. Jadi pengajarannya dalam karya ini membicarakan butir-butir akidah, sejalan dengan paham Ahlus Sunnah wal Jama'ah (tepatnya Asy'ariah-Sanusiah).

4. Syarah Ruba'i Hamzah Fansuri (24 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan ulasan terhadap 39 bait (156 baris) syair Hamzah Fansuri. Isinya antara lain menjelaskan pengertian kesatuan wujud (wahdat al-wujud).

5. Syarah Sya'ir Ikan Tongkol (20 balaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan ulasan (syarh) terbadap 48 baris sya'ir Hamzah Fansuri yang mengupas soal Nur Muhammad dan cara untuk mencapai fana' di dalam Allah.

6. Nur al-Daqa'iq (9 halaman berbahasa Arab; 19 halaman berbahasa Me1ayu). Karya tulis yang sudah ditranskripsi oleh AH. Johns ini (1953) mengandung pembicaraan tentang rahasia ilmu makrifah (martabat tujuh).

7. Thariq al-Salikin (18 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini mengandung penjelasan tentang sejumlah istilah, seperti wujud, 'adam, haqq, bathil, wajib, mumkin, mumtani’ dan sebagainya.

8. Mir’at al-Iman atau Kitab Bahr al-Nur (12 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini berbicara tentang ma’rifah, martabat tujuh dan tentang ruh.

9. Kitab al-Harakah (4 halaman; ada yang berbahasa Arab dan ada pula yang berbahasa Melayu). Karya ini berbicara tentang ma’rifah atau martabat tujuh.


Ajaran Tasawufnya

Syamsuddin Sumatrani dikenal sebagai seorang sufi yang mengajarkan faham wahdatul wujud (keesaan wujud) dengan mengikuti faham wahdatul wujud Ibnu Arabi. Istilah wahdatul wujud itu sendiri sebenarnya bukan diberikan oleh Ibnu Arabi sendiri. Artinya, Ibnu Arabi tidak pernah menyatakan bahwa sistem pemikiran tasawufnya itu merupakan paham wahdatul wujud.

Dari hasil penelitian WC. Chittick, Sadr al-Din al-Qunawi (w. 673/1274) adalah orang pertama yang menggunakan istilah wahdatul wujud, hanya saja al-Qunawi tidak menggunakannya sebagai suatu istilah teknis yang independen. Selain al-Qunawi, masih banyak lagi yang menggunakan istilah wahdatul wujud. Namun tokoh yang paling besar peranannya dalam mempopulerkan istilah wahdatul wujud adalah Taqi al-Din Ibn Taymiyyah (w. 728/1328). Ia adalah pengecam keras ajaran Ibnu Arabi dan para pengikutnya.

Di antara kaum sufi yang mengikuti jejak pemikiran Ibnu Arabi tersebut adalah Syamsuddin Sumatrani. Pengajaran Syamsuddin Sumatrani tentang Tuhan dengan corak paham wahdatul wujud dapat dikenal dari pembicaraannya tentang maksud kalimat tauhid la ilaha illallah, yang secara harfiah berarti tiada Tuhan selain Allah. Ia menjelaskan bahwa kalimat tauhid tersebut bagi salik (penempuh jalan tasawuf) tingkat pemula (al-mubtadi) dipahami dengan pengertian bahwa tiada ada ma’bud (yang disembah) kecuali Allah.

Sementara bagi salik yang sudah berada pada tingkat menengah (al-mutawassith), kalimat tauhid tersebut dipahami dengan pengertian bahwa tidak ada maksud (yang dikehendaki) kecuali Allah. Adapun bagi salik yang sudah berada pada tingkat penghabisan (al-muntaha), kalimat tauhid tersebut difahami dengan pengertian bahwa tidak ada wujud kecuali Allah.
Namun ia mengingatkan bahwa terdapat perbedaan prinsipil antara pemahaman wahdatul wujud dari para penganut tauhid yang benar (al-muwahhidin al-shiddiqin), dengan paham wahdatul wujud dari kaum zindiq penganut panteisme. Di lihat dari satu sisi, kedua pihak itu memang nampak sependapat dalam menetapkan makna kalimat tauhid la ilaha illallah, yakni tiada wujud selain Allah, sedang wujud segenap alam adalah bersifat bayang-bayang atau majazi. Tetapi sebenarnya kedua belah pihak memiliki perbedaan pemahaman yang sangat prinsipil. Bagi kaum panteisme yang zindiq alias sesat, mereka memahaminya bahwa wujud Tuhan itu tidak ada, kecuali dalam kandungan wujud alam. Jadi bagi kalangan panteis ini, segenap wujud alam adalah wujud Tuhan dan wujud Tuhan adalah wujud alam (baik dari segi wujud maupun dari segi penampakannya).

Jadi para penganut paham panteisme itu mengidentikkan Tuhan dengan alam. Mereka menetapkan adanya kesatuan hakikat dalam kejamakan alam tanpa membedakan antara martabat Tuhan dengan martabat alam. Paham demikian menurut Syamsuddin Sumatrani adalah paham yang batil dan ditolak oleh para penganut tauhid yang benar.

Bagi Syamsuddin Sumatrani, sebagaimana faham Ibnu Arabi, asdalah Keesaan Wujud berarti tidak ada sesuatu pun yang memiliki wujud hakiki kecuali Tuhan. Sementara alam atau segala sesuatu selain Tuhan keberadaannya adalah karena diwujudkan (maujud) oleh Tuhan. Karena itu dilihat dari segi keberadaannya dengan dirinya sendiri, alam itu tidak ada (ma’dum); tetapi jika dilihat dari segi “keberadaannya karena wujud Tuhan” maka jelaslah bahwa alam itu ada (maujud).

Dengan demikian martabat Tuhan sangat berbeda dengan martabat alam. Hal ini diuraikan dalam ajarannya mengenai martabat tujuh, yakni satu wujud dengan tujuh martabatnya. Tulisnya:

I’lam, ketahui olehmu bahwa (se)sungguhnya martabat wujud Allah itu tujuh martabat; pertama martabat ahadiyyah, kedua martabat wahdah, ketiga martabat wahidiyyah, keempat martabat alam arwah, kelima martabat alam mitsal, keenam martabt alam ajsam dan ketujuh martabat alam insan.

Maka ahadiyyah bernama hakikat Allah Ta’ala, martabat Dzat Allah Ta’ala dan wahdah itu bernama hakikat Muhammad, ia itu bernama sifat Allah, dan wahidiyyah bernama (hakikat) insan dan Adam ‘alaihi al-Salam dan kita sekalian, ia itu bernama asma Allah Ta’ala, maka alam arwah martabat (hakikat) segala nyawa, maka alam mitsal martabat (hakikat) segala rupa, maka alam ajsam itu martabat (hakikat) segala tubuh, maka alam insan itu martabat (hakikat) segala manusia. Adapun martabat ahadiyyah, wahdah dan wahidiyyah itu anniyyat Allah Ta’ala, maka alam arwah, alam mitsal alam ajsam dan alam insan itu martabat anniyyat al-makhluk.

Atas uraian Syamsuddin Sumatrani tersebut Prof. Dr. Abdul Aziz Dahlan memberikan ulasan: terhadap tiga martabat pertama yang disebutnya dengan ‘anniyyat Allah, maksudnya adalah martabat wujud aktual Tuhan; Sedang terhadap empat martabat berikutnya yang disebut martabat anniyyat al-makhluk, maka yang dimaksudkannya adalah wujud aktual makhluk.

Dengan demikian, tiga martabat pertama adalah qadim (dahulu tanpa permulaan) dan baqa (kekal tanpa kesudahan); Sedang empat martabat berikutnya disebut muhdats (yang dijadikan/diciptakan). Karena itu pula istilah ‘alam tidak digunakan untuk tiga martabat pertama, tapi jelas dipergunakan untuk empat martabat berikutnya. Dari semua itu dapatlah dipahami bahwa martabat ketuhanan itu tidak lain dari tiga martabat pertama, sedang martabat alam atau makhluk mengacu pada empat martabat berikutnya. Wallahu A’lam.

Tok Selehor

Ini pula adalah sebuah penulisan mengenai Tok Selehor, seorang lagi ulamak besar Kelantan yang dikatakan bertaraf wali Allah, hidup sezaman dengan almarhum Tok Kenali...

-----------------

TOK SELEHOR (1871-1935)

OLEH: USTAZ ISMAIL AWANG

TOK SELEHOR adalah seorang ulama’ yang telah memasyhurkan nama sebuah kampung pedalaman di jajahan Tumpat kerana ilmu pengetahuan yang disebarkan kepada para pelajar yang membina pondok-pondok di Kampung Selehor (Kini kampung ini lebih dikenali dengan nama Kampung Kok Pasir). Murid Tok Selehor bukan sahaja dikalangan penduduk tempatan tetapi juga mereka yang datang dari Patani, Kemboja, Pelembang, Jawa, Siak dan seluruh Tanah Melayu. Beliaulah ulama semasa dengan Tok Kenali bahkan dikenali sebagai ulamak' lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan. Mereka ialah Tok Selehor (1871-1935) dari Tumpat, Tok Kenali (1868-1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (1860-1953) dari Bachok, Tok Jelapang(1861-1934 dari Pasir Mas dan Tok Kemuning(1885-1934) dari Machang.
Pengenalan
Nama penuhnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik. Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, (di kawasan pondok Selehor) di pinggir Sungai Selehor oleh ibunya Mek Wi binti Muhammad Amin pada tahun 1871*. Beliau diasuh dan dibesarkan di kampung itu dengan mandian air sungai Selehor yang tenang dan masam kelat.(PH kurang daripada 6)
Pada zaman itu, di Kelantan pengajian al-Quran dipandang sesuatu perkara yang amat mustahak. Muda-mudi yang tidak menghabiskan al-Quran 30 jujuk itu dipandang dengan suatu pandangan hina dan sukar untuk mendapat pasangan. Bagi Tok Selehor beliau beruntung besar kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan bapanya sendiri.

Belajar di Patani

Ayah Tok Selehor , Haji Uthman bin Senik mempunyai cita-cita besar supaya anaknya menjadi seorang ulama' kerana pada pandangannya anak yang soleh itu akan dapat memberi faedah yang besar kepadanya, sama ada ketika masih hidup apatah lagi setelah dia meninggal dunia. Kerana hasratnya itulah beliau telah menghantar anaknya belajar di Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malek. Tidak lama di sini, beliau menyambung pelajarannya ke Patani.
Di sana beliau belajar daripada Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala Bekah. Tetapi oleh kerana Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thai sebab dibimbangkan pengaruhnya yang besar itu menimbulkan masalah politik di Selatan Thai. Beliau menyambung pelajarannya pula dengan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong. Tok Selehor belajar di Patani selama kira-kira tujuh tahun. Demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Kampung Kok Keli (Kampung berjiranan di sebelah Utara ) yang menjadi murid Tok Selehor selama lebih lapan belas tahun.
Semasa belajar di Patani beliau pernah berulang-alik balik ke Kelantan dengan berjalan kaki. Sepanjang perjalanannya beliau tidak gentar kepada musuh-musuh dan penyamun yang berada di Bukit Tanjung dan beberapa tempat lain kerana beliau pandai bersilat dan pandai bermain keris.

Minat Dalam Sastera

Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehor menjadi cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau pandai pula membaca dengan lagu-lagunya yang merdu. Tambahan pula suara beliau sangat merdu serta dapat menarik minat umum untuk mendengar kemerduan irama suaranya ketika bersyair. Tok Selehor bukan sekadar pandai mendendangkan syair tetapi juga pandai mengarang syair. Kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu tiada sesiapa yang dapat menandinginya. Oleh kerana kebolehannya yang agak luar biasa itu, namanya menjadi masyhur dan beliau pernah diminta mengarang syair romantis. Lantaran syairnya beberapa orang isteri yang dibencikan suami kembali berdamai setelah menerima surat syair yang ditulis oleh Tok Selehor. Antara syair yang sangat berpengaruh yang masih diingati oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah di Kampung Kok Pasir, Tumpat. (Kini Selehor adalah sebahagian daripada Kampung Kok Pasir).

Tiap-tiap malam kanda bermimpi
Adinda di tengah kanda di tepi
Menghisap rokok meminum kopi
Memeluk tengkuk mencium pipi.
Sedap rasanya tiada terperi
Harum baunya umpama kasturi
Suka dan hilai senang di hati
Kasih mesra sehingga mati.

Kahwin dan ke Mekah

Ketika masih belajar di Patani lagi beliau berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah, tetapi perkahwinan itu langsung tidak menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu Bakar beliau pulang ke Kelantan. Sekembalinya ke Kelantan dari Patani beliau menyambung pelajarannya di Mekah selama kira-kira lapan belas tahun. Menurut Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Hussin (Haji Lah Hutan Pasir), bahawa Tok Selehor sempat belajar di Mekah dengan Pak Cik Daud, mertua kepada Pak Da Ail, seorang guru bangsa Melayu yang masyhur di Mekah. Disebabkan catatan-catatan dan penerangan yang ditulis oleh Tok Selehor menarik perhatian Tok Kenali maka Tok Kenali telah memimjam kitab Musalli untuk mengajar murid-muridnya.
Ketika berada di Mekah Tok Selehor telah berkahwin dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu. Tidak lama setelah pulang ke Kelantan mereka berpisah. Kemudian Tok Selehor berkahwin dengan Hajjah Mek binti Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan kecantikannya pada ketika itu. Hasil daripada perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu dan ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad)
Manakala anak perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah. Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah binti Hj. Umar dari Penambang Kota Bharu. Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man dan hasil daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan Guru Haji Awang Jal.

Membuka Pondok

Setelah kembali dari mekah, Tok Selehor membuka pondoknya di tepi Sungai Selehor, dipercayai pada tahun 1340H. Beberapa tahun saja selepas penubuhan, pondok Tok Selehor berkembang dengan pesat sekali dengan penyertaan daripada pelajar dari dalam dan luar negeri. Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan saja terdiri daripada anak tempatan , tetapi juga mereka yang datangnya dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya. Bagi keperluan air bersih yang mencukupi, Tok Selehor telah mengali sebuah telaga besar pada tahun 1343H. Sehingga kini ( November 1999) telaga itu masih wujud dengan disesuaikan oleh waris beliau yang tinggal di Selehor.
Mengajar
Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf. Kitab Hikam oleh Ibn Ataillah merupakan kitab yang paling disukai diajarkan kepada muridnya dan orang ramai. Mungkin Tok Selehor mendapati kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah serta menjauhi dari sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, ria, sum'ah dan sebagainya.
Tok Selehor menyampaikan ajarannya begitu dimesrai oleh para pendengarnya. Pengajarannya tidak menjemukan walaupun disampaikan berulang-ulang kali. Menurut Tuan Guru Haji Hassan Ahmad: " Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih manis dan mesra yang dapat menandingi pengajaran Tok Selehor."
Ketika membicarakan tentang dosa maka Tok Selehor menyampaikan dengan begitu berkesan sekali sehinggakan ada di kalangan pendengarnya yang menanggis kerana takut dan insaf dengan ajaran-ajaran itu. Pada setiap hari Selasa Tok Selehor mengajar untuk mesyarakat umum dan pada hari itu berduyun-duyunlah manusia datang ke pondok selehor dengan berjalan kaki, walaupun berpuluh-puluh batu jauhnya. Disebabkan sukakan pengajaran Tok Selehor mereka tetap datang walaupun terpaksa merempuhi hujan dan panas terik.
Kebanyakan orang yang datang mendengar Tok Selehor mengajar ialah dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya sehingga Pondok Selehor menjadi seakan pekan kecil atau pasar minggu. Demikian dijelaskan oleh Pak Su Ismail bin Haji Abdul Rahman, bekas imam Tua Mukim Delima, Wakaf Bharu, yang juga seorang murid Tok Selehor.
Selain daripada mengajar di Selehor, Tok Selehor juga pernah mengajar di Wakaf Bharu, dan salah satu tempat beliau mengajar menjadi tapak kepada Masjid Wakaf Bharu. Di Wakaf Bharu tidak kurang juga ramai pendengar yang datang untuk mendengar ajaran Tok Selehor.
Tok Selehor juga suka membaca kisah Isra dan Mi'raj. Ketika beliau membaca kisah itu terasa benarlah kemesraan orang ramai terhadap nabi Muhammad s.a.w. dan ada orang terpaksa memanjat batang kelapa untuk melihat Tok Selehor yang sedang mambaca Isra' dan Mi'raj itu. Kebanyakan orang yang datang mendengar pengajaran Tok Selehor telah berubah dari tidak pernah sembahayang kepada sembahayang, dari berperangai jahat kepada berperangai baik dari seorang yang nakal kepada seorang yang insaf. Sehingga kampung Selehor yang dulunya banyak amalan pemujaan hantu-hantu dan lain-lain amalan khurafat hapus sama sekali.
Perayaan Maulid al-Nabi
Tok selehor pernah mengadakan perayaan maulid al-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan seperti itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran diadakan. Pernah beribu-ribu orang datang ke majlis perayaan maulid anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar di zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada nabi yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara ini anak-anak pondok lebih cepat bermera dengan ajaaran Nabi dari hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.

Kegemarannya

Tok Selehor sebagai seorang peminat seni iaitu beliau begitu gemar kepada perkara yang cantik-cantik. Beliau sukakan kuda yang cantik, biri-biri jantan yang cantik, dan suka kepada ayam jantan laklung (berkokok dengan suara yang merdu dan panjang). Selain itu hobinya ialah suka memburu rusa dan memukat ikan. Beliau pernah keluar memukat ikan di kuala Tumpat dan sebagainya. Istimewanya ikan-ikan yang diperolehi itu dibahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan kepada anak-anak pondoknya.

Bersuluk

Tok Selehor adalah seorang yang Zahid dan Wara'. Beliau bimbang hatinya menjadi angkuh kerana terlalu dipuja dan takut menjadi ria. Oleh itu beliau mengadakan suatu lubang di atas Kubur Selehor untuk tempat sembahayang dan tempat berkhalwat. Lubang yang dikenali sebagai suluk ini masih kekal hingga ke hari ini. Hj. Che Mamat Sharif menerangkan bahawa Tok Selehor berkata kepadanya tujuan dibuat lubang di dalam tanah itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa ingat kepada mati.
“Inilah sebenarnya suatu langkah untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada mati ialah dengan berkhalwat di dalam lubang terutama di atas kubur dan kerana di sana akan dirasai bagaimana hidup seorang diri di dalam tanah itu dan akan lahirlah perasaan ingin membuat bekal untuk menghadapi mati supaya tidak menyesal kemudiaan.”

Kawan Baik Tok Kenali

Tok Selehor adalah kawan baik Tok kenali. Sebab itu perhubungan mereka sering terjalin dan pernah mereka mengadakan perbincangan-perbincangan dalam usaha mengembangkan Islam. Tok Kenali mengelarnya sebagai "Penyair Kita". Mengikut keterangan Tuan Guru Encik Ismail Ali (pak Su Wail) Kampung Danggar, bahawa beliau bersama-sama melawat kematian Tok kenali dan pergi ke kubur bersama-sama Tok Selehor pada tahun 1933M.
Tok Selehor telah menyuruh beliau mengamalkan wirid wali tujuh dan supaya sentiasa membaca ayat Al-Kursi. Encik Ismail yang sempat belajar selama 15 tahun dengan Tok Selehor itu menjelaskan bahawa Tok Selehor seorang Zahid, wara, dan tawadhu; tidak banyak bercakap sia-sia dan suka beribadat.

Berburu di Tempat Puaka

Pada suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi pada kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang dianggap berpuaka. Tok Selehor tidak takut sedikitpun. Semasa berburu beliau mengunakan pipit pemanggil rusa. Setelah ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika itulah rusa dapat ditembak dan disembelih. Sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa. Demikian dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Husain dan Encik Mamat bin Senik, Selehor.

Yu Besar di Pengkalannya

Selepas tiga hari pulang dari memburu rusa, seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor. Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke laut . Dua hari kemudian datang kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya.
Beberapa hari selepas itu Tok Selehor ditimpa sakit kepala. Walaupun diubati tidak juga sembuh. Selepas lapan hari, iaitu pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935 jam 8.30 malam dia pun meninggal dunia dalam usia 64 tahun. (Pengasuh bil 459 ).

Kata-kata Tok Kenali

Kata-kata yang dikutip ini merupakan ulasan sidang pengarang majalah Pengasuh terhadap wali Allah yang sangat terkenal di Kelantan itu. Kebetulan majalah itu sendiri asalnya diterbitkan atas usaha Tok Kenali suatu masa dahulu!

-----------------

TOK KENALI (1868 – 1933)

Ketika kami Sidang Pengarang memilih "Tok Kenali" sebagai penghormatan untuk menghiasi kulit keluaran pertama majalah Pengasuh 1975, maka pemilihan itu bukan saja kami landaskan atas asas ketokohan ulung beliau sebagai ulama besar di zamannya, malah kami landaskan juga atas fakta beliau selaku pendorong dan pengasas majalah Pengasuh yang diterbitkan bagi pertama kalinya pada tahun 1918. Majalah Pengasuh adalah sama tua dengan majalah "Seri Pustaka" Indonesia yang diterbitkan dalam tahun 1918 oleh Balai Pustaka dan di Malaysia majalah Pengasuh merupakan majalah tertua yang kedua sesudah majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh Syed Sheikh bin Ahamad Al-Hady pada tahun 1906.
Walaupun Tok Kenali bukan seorang penulis yang konsisten seperti Syed Sheikh , namun beliau adalah seorang penulis yang mempunyai gaya penulisan yang gagah dan jelas. Seandainya beliau tidak dihambatkan oleh tugas-tugas yang banyak dan terus menulis dengan tekun, beliau tidak syak lagi dapat dideretkan sejajar dengan tokoh-tokoh besar yang merintis alam penulisan tanahair.
Tok Kenali sejak dari muda lagi meminati pembacaan dan menaruh pandangan yang begitu tinggi berhadap tugas-tuga penulis dan peranan majalah-majalah adan suratkhabar-suratkhabar selaku mass media yang berpengaruh untuk menyatupadukan umat Melayu dan atas kesedaran itulah beliau tampil mempelopori usaha memimpin majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam walaupun dapatlah kita teliti dari pernyataan-pernyataan belau yang tegas dalam tulisannya di bilangan pertama Pengasuh. Antara lain beliau menulis :
"Telah mengakulah saya bahawa saya ini tiada daripada kuda medan ini. Sekiranya jika ada orang yang mengangkatkan pekerjaan saya ini terhentilah saya, kerana bukan tujuannya saya hendak menunjukkan kebijakan dan mencari kepujian, kerana adalah orang yang mengarang itu jadi kikit bagi sekalian penembak. Jika tidak ia pejam matanya nescaya mati ia kerana dukacita, tetapi adalah dituntut daripada seseorang itu manfaatnya atau mudharatnya, beranilah saya menceburkan diri di dalam laut api yang sentiasa bernyala-nyala. Selama ada angan-angan yang baik itu tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru dan elok."
"Tatkala saya ketahui bahawasanya tiada ada orang yang boleh jadi utusan yang usaha pada menghimpunkan antara anak Melayu kita ini, maka cintalah saya dengan harapan bahawa diadakan pada tiap-tiap buah negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu kita ini sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang dipunyai oleh anak-anak negeri sendiri supaya menempati ia utusan yang bijaksana menyeru kepada bersekutu dan bersatu pada tiap-tiap pekerjaan yang mendatangkan muslihat bagi watan, bangsa dan ugama."
"Cuba anakku tilik cerah matahari kelebihan orang yang telah dapat kemenangan kerana amalan kebajikan dan pandangan kelam orang yang telah jatuh kerana amalan yang kejahatan, maka di situlah "Pengasuh" bertimpuh (duduk) membedakkan sekalian yang hadhir dengan bedak pengharapan, mudah-mudahan subur sekalian dengan darah dan daging yang boleh mengkhidmatkan tanahair dan menunjukkan kepada Raja."
Tok Kenali satu-satunya ulama kesayangan semua lapisan rakyat yang tiada tolok bandingnya. Kisah hidup beliau merupakan legenda-legenda yang diperkatakan mereka di segenap pelosok negeri hingga ke zaman ini.
Beliau menjadi begitu popular bukan sahaja kerana ilmu pengetahuan ugamanya yang tinggi dan akal fikirannya yang tajam dan bijaksana, malah kerana sifat-sifat kejujuran , rendah diri, peramah, pemurah, cara hidupnya yang zahid, bersahaja dan darwis iaitu sifat-sifat yang menjadi pakaian hidupnya sejak sebagai seorang pelajar di kota suci Makkah hingga sebagai ulama terbilang di tanahairnya. Beliau melayani yang bodoh sama dengan beliau melayani yang cerdik, beliau menghormati kanak-kanak sama dengan beliau menghormati orang-orang dewasa. Beliau tidak pernah menghampakan pemberian dan jemputan dari siapa saja. Dan jika diberi, maka pemberian-pemberian itu akan dibahagikan pula kepada orang-orang sekelilingnya dan apabila dijemput maka beliau akan tampil menjadi tukang masak. Inilah sifat-sifat dan cara-cara hidup beliau yang membuat setiap orang yang berhubung dengan beliau menyimpan kenangan-kenangan yang indah terhadapnya.
Tok Kenali adalah diantara tokoh-tokoh ulama yang telah diabadikan oleh rakyat Kelantan dengan gelaran "Tok" yang digandingkan dengan nama-nama tempat atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau kampung di mana ulama-ulama itu datang, lahir, belajar atau menaburi bakti mereka. Gelaran itu merupakan kemuncak penghormatan yang mencermin ketokohan dan kemasyhuran yang meluas. Diantara ulama-ulama itu Tok Khurasan, Tok Bachok, Tok Kemuning, Tok Selehor, Tok Mesir dan lain-lain. Tuan Tabal juga termasuk ulama yang diabadikan dengan nama sebuah kampung.
Tetapi Tok Kenali bukanlah sekadar menjadi lambang kemegahan tempatan Kelantan, malah kemasyhuran. Beliau menjangkau jauh di luar perbatasan Malaysia. Beliau dapatlah didirikan sejajar dengan tokoh-tokoh Nusantara lain yang berjasa di zamannya memberi sesuatu sumbangan yang berkesan kepada masyarakatnya.
Walaupun Tok Kenali tidak meninggal hasil-hasil karya yag besar dalam mana-mana bidang pengajian Islamiah, namun jasa beliau yang paling besar ialah kejayaannya melahirkan satu angkatan ulama yang memegang obor pengajian tinggi Islam bukan di negeri Kelantan dan Malaya, malah di Thailand, Kemboja dan Indonesia di separuh pertama abad dua puluh. Beliau juga telah berjaya membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab, nahu saraf, balaghah dan ‘arudh di dalam sistem pelajaran Pondok di negeri ini. Keahlian beliau dalam bidang-bidang itu merupakan legenda di kalangan ahli-ahli ilmu di zaman itu. Dalam kebanyakan waktu beliau mengajar tanpa kitab.
Tidak seperti kebanyakan ulama yang lain di zamanya, Tok Kenali tidak hanya aktif di sekitar Surau atau Pondoknya saja, malah aktif dalam bidang kegiatan kemasyarakatan dan pentadbiran negeri, di mana beliau disahabati dan dirundingi oleh pembesar-pembesar negeri terutama rakan karibnya Dato’ Perdana Menteri Kelantan almarhum Haji Nik Mahmud Ismail (ayahanda Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan Dato’ Nik Mustafa Fadhil). Hakikat ini dapatlah di perhatikan dari jawatan-jawatan yang disandang semasa hidupnya iaitu selaku anggota Majlis Ugama Islam, anggota Jemaah Ulama Kelantan, Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh dan Ketua Pelajaran Ugama. Seluruhnya merupakan jawatan-jawatan penting yang memerlukan pandangan-pandangan yang tajam dan pergaulan yang luas.
Tok Kenali telah dilahirkan di Kampung Kenali pada tahun 1868 dari satu keluarga kaum tani yang saleh. Nama tubuh beliau Muhamad Yusuf bin Ahmad dan nama timangan "Awang", satu nama sentimental yang amat disukai beliau. Majalah Pengasuh keluaran pertama memperkenalkan pengarangnya sebagai "Al-Fadhil Tuan Haji Awang Kenali" dan almarhum Al-Sultan Muhammad yang Keempat menyebut nama beliau dalam titah ucapan melantik beliau selaku anggota Majlis Ugama Islam dengan nama "Haji Awang Muhammad Yusuf Kenali".
Beliau dilahir dan dibesar remajakan dalam zaman permerintahan seorang Raja negeri Kelantan yang agung iaitu almarhum Al-Sultan Muhammad yang Kedua yang terkenal dengan gelaran "Sultan Mulut Merah". Beliau dilahirkan kira-kira setahun selepas dibina Masjid Besar Kota Bharu (masjid kayu) yang sesuku abad kemudian menjadi gelanggang keguruan dan kegiatan ilmiahnya yang mengharumkan nama Kelantan ke seluruh Tenggara Asia.
Dari sejak kecil lagi beliau memperlihatkan tanda-tanda kecerdasan yang luar biasa dan kecenderungan kepada ilmu pengetrahuan yang tidak pernah puas. Menurut Abdullah Al-Qari Haji Salleh, Tok Kenali telah melanjutkan pelajaranya di Kota Bharu dalam usia kira-kira sepuluh tahun dengan berguru pada para ulama yang terkenal di zaman itu, di antaranya ialah Encik Ismail (ayah kepada Dato’ Perdana Menteri almarhum Haji Nik Mahmud), Tuan Guru Asy-Syaikh Muhammad Ali bin Abdul Rahman yang terkenal dengan "Wan Ali Kutan", Tuan Guru Haji Taib Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor.

Mari bergurindam lagi bersama Hamzah Fansuri

Subhanallah. Pagi ini tiba-tiba muncul gerak untuk membuat update di blogspot ini dengan beberapa tulisan yang dikutip daripada Internet lalu disimpan sekian lama di dalam komputer laptop saya... Dimulakan dengan ini, satu bahagian lagi daripada Gurindam Hamzah Fansuri...


Wahai segala kita yang menyembah nama
Sayogia diketahui apa yang pertama
Kerana tuhan kita yang sedia lama
Dengan ketujuh sifat bersama-sama

Tuhan kita yang empunya Dhat
Awwalnya Hayy pertama bilang sifat
Keduanya 'Alim akan rupa ma'lumat
Ketiganya Murid akan sekalian iradat

Keempatnya Qadir dengan qudratnya tamam
Kelimanya sifat yang bernama Kalam
Keenamnya Sami' dengan adanya dawam
Ketujuhnya Basir akan halal dan haram

Dengan ketujuhnya ini adanya Qadim
Akan isti'dad 'alamina sempurna 'alim
Karena sifat ini dengan Kamal al-hakim
Bernama Bi'smi'llahi'r-Rahmani'r-Rahim

'Ilm itu haqiqat Muhammad al nabi
Menurutkan ma'lum dengan lengkapnya qawi
Daripada haqiqatnya itu jahil dan wali
Beroleh i'tibar dengan sekalian peri

Tuhan kita itu yang empunya Kamal
Didalam 'ilmunya ma'lum tiada pernah zawal
Rahman dalamnya perhimpunan Jalal
Beserta dengan Rahim pada sekalian Jamal

Tuhan kita itu yang bernama 'Ali
Dengan sekalian sifatnya nentiasa baqi
'Ala jami' al-'alamin atharnya jadi
Daripada sittu jihat sebab inilah khali

Cahaya atharnya tiadakan padam
Memberikan wujud pada sekalian 'alam
Menjadikan makhluq siang dan malam
Ila abad al-abad, tiadakan karam

Tuhan kita itu mithil bhar al-'amiq
Ombaknya penuh pada sekalian tariq
Laut dan ombak keduanya rafiq
Akhir ke dalamnya ombaknya ghariq

Lautnya 'alim halunnya ma'lum
Keadaannya qasim ombaknya maqsum
Tawfannya hakim shu'unnya mahkum
Pada sekalian 'alam inilah rusum

Jikalau sini kamu tahu akan wujud
Itulah tanda tempat kamu shuhud
Buangkan rupamu dari sekalian quyud
Supaya dapat ke dalam diri qu'ud

Pada wujud itulah sayogia kau qa'im
Buangkan rupa dan namamu da'im
Napikan rasamu daripada makhdum dan khadim
Supaya sampai kepada 'amal yang khatim

Jika belum engkau tetap seperti batu
Hukumnya dua lagi khadim dan ratu
Setelah luput engkau daripada emas dan matu
Mangkanya dapat menjadi satu

Jika belum fana' daripad ribu dan ratus
Dimanakan dapat adamu kau hapus
Napikan rasamu daripada kasar dan halus
Supaya dapat barang katamu harus

Hamzah Fansuri sunggu pun da'if
Haqiqatnya hampir kepada Dhat al-sharif
Sungguh pun habab rupanya khatif
Wasilnya da'im dengan bahr al-Latif

Jumaat, Mei 25, 2007

Pelancaran buku BKA di Khazanah Fathaniyah 9 Jun Sabtu?

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Sukacita dimaklumkan bahawa saya sudah mendapat persetujuan orang kanan Khazanah Fathaniyah iaitu Ustaz Halim dan Ustaz Azrul untuk mengadakan majlis pelancaran buku "Berpetualang ke Aceh" di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit pada 9 Jun hari Sabtu selepas solat Zuhur sekitar jam 2 atau 2.30 petang. Sekarang, saya cuma perlu mendapatkan persetujuan ahli keluarga almarhum Ustaz Wan Saghir, barulah betul-betul confirm.
Adapun majlis ini dibuat atas cadangan seorang pembaca di blogspot ini yang mencadangkan agar saya muncul di Khazanah Fathaniyah pada satu tarikh yang akan diumumkan agar para pembaca buku BKA dapat bersua muka dan beramah mesra. Cadangan ini dibuat setelah saya mengumumkan buku kedua "Berpetualang ke Aceh" yang mempunyai sub-title "Membela Syiar yang Asal" baru siap dicetak Isnin 14 Jun.
Kebetulan buku pertama BKA dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" yang telah memasuki pasaran sejak Jun 2006 tidak pernah dilancarkan di mana-mana, maka elok diambil peluang ini untuk melancarkan kedua-dua buku sekali. Kebetulan juga almarhum Ustaz Wan Saghir yang mengasaskan Khazanah Fathaniyah baru sahaja melepasi tempoh 40 hari selepas meninggalkan alam yang fana' ini, elok juga majlis ini digunakan untuk memperingati jasa-jasa serta perjuangan beliau untuk memartabatkan ulama Melayu dahulukala di samping memperkenalkan karya-karya beliau seperti transliterasi kitab lama kepada khalayak yang lebih besar, Insyaallah.
Hmm... Alang-alang sudah bercerita, ingin saya membuat sedikit pengumuman di sini (sementara sempat lagi)... Tadi Ustaz Halim telah menghantar SMS kepada saya yang berbunyi begini:
Tahlil arwah untuk al-marhum Syeikh Wan Muhammad Shaghir Abdullah ar-Riawi al-Fathani pada 26.5.07 Sabtu, bermula jam 9.00 malam di Dewan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Taman Melewar, KL. Semua dijemput hadir. Tk. Info PENGKAJI
Saya rasa jemputan ini bersifat umum. Saya tak pasti di manakah dewan ini kerana sudah lama tidak bertandang ke kawasan Taman Melewar. Yang saya pasti, ia tidak jauh daripada markas Pas di Jalan Gombak, maka Insyaallah saya akan menghadiri majlis ini. Mungkin para pembaca pun boleh turut serta?
p/s: Pada sesiapa yang tertanya-tanya, apakah kaitan saya dengan Khazanah Fathaniyah, sila klik di sini... Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan ...

Isnin, Mei 21, 2007

"Laksamana pulang ke Perak" dan Raja Nazrin?

Angkatan tentera laut dan para hadirin memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dimasukkan ke dalam liang-lahat yang tersedia di hadapan. Di belakang adalah sebahagian kawasan Masjid Ubudiyah di Bukit Chandan.

Semalam ketika berjalan-jalan di sekitar Masjid India, saya terjumpa seorang kenalan yang berniaga di situ. Kenalan itu dahulunya ada berniaga senjata-senjata lama Melayu seperti keris pusaka. Di sanalah saya terjumpa sebuah keris lok 13 bersarung warna hitam gelap yang diikat dengan kain kuning (menandakan kaitan dengan raja-raja) yang saya rasakan ada kena-mengena dengan Nakhoda Hitam, seorang watak legenda Perak yang hidup abad ke 18 Masihi.
Memang hati saya terasa berkenan dengan keris itu. Malangnya ketika itu, saya tidak memiliki wang RM2,000 yang diperlukan sebagai mahar untuk membelinya. Tidak lama kemudian keris itu tiada lagi di sana. Saya diberitahu bahawa pemilik keris yang dahulunya mahu menjual senjata itu telah mengambilnya kembali, tak tahulah kenapa.
Sekarang, kenalan ini tidak lagi berniaga keris sebaliknya dia berniaga beg. Yang janggalnya, semua beg yang dijual berwarna pink atau merah jambu dan kebanyakannya ada gambar patung mainan Barbie doll dengan tajuk-tajuk seperti "Princess" dan sebagainya. Hehe! Bayangkan, dahulu berniaga alat-alat senjata yang nampak macho, sekarang concentrate dengan alatan perempuan yang kekanak-kanakan, hehe!
Sebenarnya beg-beg itu telah diniagakan sejak saya mula mengenali kenalan ini hampir 2 tahun lalu... Tetapi ketika itu, semua ini adalah di bawah jagaan isterinya sedangkan dia pula berniaga keris yang diletakkan di atas meja di sebelah. Nasib baik, ada seorang kenalan lain yang masih berniaga batu-batu cincin, tasbih dan alatan sepertinya di situ... Kira balance balik le, takda le tempat itu terlihat begitu "keperempuanan", hehe!
Apapun, saya sebenarnya hendak bercerita tentang hal lain tetapi terkeluar pula mukadimah di atas. Ini adalah kerana kenalan itu menegur: "Tak pergi ke tengok Raja Nazrin kahwin?". Saya jawab tak. Katanya, "Ingatkan pergi ke sana, kan kamu ada kena-mengena..."
Hmm... Memang orang semua tengah sibuk dengan cerita Raja Muda Perak Raja Nazrin berkahwin dengan Sara Davidson Salim dan daripada satu segi saya memang ada kena-mengena dengan keluarga diraja Perak walaupun keluarga kami telah lama meninggalkan lingkungan istana. Mungkin kenalan itu bertanya kerana dia tahu saya pernah menghadiri majlis pengkebumian kembali Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006. Sehari sebelum itu, saya telah singgah di gerainya selepas membeli sepasang baju Melayu hitam siap songkok dan samping di supermarket Mydin berdekatan.
Oh... Saya dah berceloteh panjang pula di sini sedangkan tujuan saya membuat artikel ini adalah untuk menaikkan kembali beberapa buah artikel yang ditulis di bawah nama "Laksamana pulang ke Perak" di mana 5 daripadanya pernah menghiasi akhbar tabloid Kencana kelolaan seorang rakan. Adapun artikel-artikel ini di letakkan di sini dengan jarak masa yang agak lama antara satu sama lain lalu tenggelamlah ia di bawah koleksi archives menjadikannya susah hendak dicari kembali.
Di sini, saya tergerak untuk mengumpulkan sedutan artikel-artikel ini dengan link nya sekali supaya lebih senang ditatap pembaca terutama mereka yang baru mengenali blog ini. Tanpa membuang masa lagi, inilah sedutan-sedutannya... Saksikanlah... "Laksamana pulang ke Perak"....
Hmm... Baru dapat gerak... Biarlah dimulakan dahulu dengan sebuah artikel lama yang mengandungi gambar-gambar peristiwa bersejarah pengembalian kembali Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke Bukit Chandan yang dibuat untuk blogspot ini (bukan untuk tabloid Kencana sebaliknya asalnya dibuat untuk tatapan kawan-kawan di sebuah forum kegemaran saya). Ini dia...

Posting dibuat 7 Disember 2006

Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam Diraja Perak

Subhanallah... Dalam kesibukan (dan keasyikan?) melayari dunia Internet serta melihat balik blogspot-blogspot saya sambil memikirkan apakah tambahan artikel yang perlu dibuat, timbul gerak untuk memaparkan kembali sebuah peristiwa bersejarah yang julungkali diadakan di Malaysia malah mana-mana jua di dunia. Peristiwa itu ialah pengembalian kembali jenazah dua orang pejuang lama Perak iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin serta Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim ke negeri tanah-tumpah darah asal mereka, berlangsung 9 September 2006.
Kedua pejuang ini telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles di perairan Afrika pada tahun 1877 akibat dituduh terlibat dalam komplot pembunuhan Residen British pertama ke Perak J.W.W. Birch (mati tahun 1875 di Pasir Salak). Turut dibuang sama adalah Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26, memerintah 1874-1877) dan Syahbandar Uda Ma'amor. Untuk makluman mereka semua bersaudara. Syahbandar dan Menteri Paduka Tuan juga merupakan menantu Laksamana.
Sultan Abdullah telah "diampunkan" British lalu sempat kembali ke Perak dan meninggal di negerinya tahun 1922 sedangkan yang lain-lain dipaksa menghabiskan sisa umur mereka masih dalam buangan tetapi di Singapura pula. Maka di sinilah timbul sedikit kekhilafan apabila ada pihak mendakwa Ngah Ibrahim sempat melarikan diri balik ke Perak dan meninggal dunia di Beruas... Lalu mereka menambah jenazah yang dibawa kembali dalam upacara ini bukanlah jenazahnya yang sebenar.
Apapun, di sini saya cuma mengenengahkan proses pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin demi menjunjung rasa kasih dan hormat sebagai keturunan ke-5 almarhum. Gambar-gambar ini saya ambil sendiri ketika mengikuti rombongan membawa jenazah daripada Lumut di mana kapal Tentera Laut Diraja Malaysia KD Laksamana Muhammad Amin mendarat setelah lebih sehari belayar membawa jenazah ke luar Singapura. Setelah selesai adat-istiadat penyambutan jenazah di Lumut, barulah jenazah dibawa melalui jalan lama untuk ke Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar di mana Laksamana akhirnya disemadikan kembali.
Oh... Minta maaf jika gambar kurang terang. Ini disebabkan saya telah menggunakan format GIF semasa memasukkan gambar-gambar ini on-line untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan di sebuah forum kegemaran. Malah inilah gambar yang sama, dengan komen yang sama di bawah seperti dipaparkan di forum itu lebih 2 bulan lalu... Elok juga diletakkan di blogspot ini pula supaya lebih ramai orang dapat melihatnya, Insyaallah!


Konvoi membawa jenazah Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim dalam perjalanan dari Lumut ke Kuala Kangsar melalui jalan lama, setelah selesai adat-istiadat sambutan oleh pihak tentera di Markas TLDM Lumut. Ketika ini, konvoi sepanjang 1.5 km itu baru berada di sekitar Sitiawan, dalam jam 10.15 pagi gitu.

Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan...

OK... Sekarang baru boleh dipaparkan siri artikel "Laksamana pulang ke Perak". Perlu diingatkan, pada awalnya ia menceritakan peristiwa berkaitan zaman kehidupan Laksamana Raja Mahkota Muhammad sekitar Perjanjian Pangkor 1874 kemudian mula mencapah untuk meliputi hal-hal lain berkaitan Perak sebelum pergi jauh ke zaman dan tempat lain untuk menyentuh cerita-cerita lama seperti Hikayat Malim Deman serta kewujudan kubu Portugis di Muar. Iqra'. Bacalah dengan nama Allah...

Artikel 1...

Posting dibuat 23 November 2006

PENGEMBALIAN JASAD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN KE PERAK: CATATAN PERJALANAN SEORANG WARIS

Ketika lembaran suratkhabar tempatan hangat memperkatakan akan kembalinya jasad dua orang pahlawan Perak yang dibuang negeri semasa pemerintahan Inggeris, seorang waris muda yang baru mengenali kaitan peribadi dengan kedua-dua pahlawan itu terfikir apakah ada makna tersirat di sebalik peristiwa yang julung-kali diadakan di Malaysia malah mana-mana pun di dunia moden ini?
Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan menantunya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim adalah dua nama besar Perak yang dibuang negeri akibat memberontak melawan Inggeris tahun 1870an. Mereka berserta Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan Shahbandar Uda Ma’amor (juga menantu Laksamana) telah diasingkan ke Pulau Seychelles di perairan Afrika (dipanggil Pulau Sisek dalam cerita orang-orang tua Melayu) tahun 1877 untuk memadamkan api pemberontakan orang Melayu Perak yang menyala akibat ketidak-adilan Perjanjian Pangkor 1874.
Perjanjian itu timbul akibat kecelaruan iklim sosio-politik Perak. Tahun-tahun sebelumnya menyaksikan negeri Melayu itu kelam-kabut dilanda Perang Perak yang melibatkan pelombong-pelombong Cina, kumpulan-kumpulan gangster Ghee Hin dan Hai San serta sekutu-sekutu Melayu mereka lalu mengorbankan banyak nyawa. Pada masa yang sama, penggiliran takhta Perak turut celaru apabila Raja Ismail yang berketurunan Siak diangkat menjadi Sultan. Timbul pula sengketa tiga segi bersaudara antara Raja Ismail yang memiliki titisan diraja Perak sebelah ibu dengan Sultan Abdullah yang semasa itu berjawatan Raja Muda serta Raja Yusuf ibni Sultan Abdullah Muhammad Shah I, seorang lagi waris takhta yang merasakan dirinya tersisih.
Suasana kacau-bilau ini memberi peluang kepada penjajah Inggeris menyucuk jarum demi jarum sehingga terbit Perjanjian Pangkor 1874 yang menyaksikan Raja Abdullah diangkat menjadi Sultan dan Raja Ismail diturunkan menjadi Sultan Muda. Sambil itu, buat pertama kali dalam sejarah tanah-air, sebuah negeri Melayu terpaksa menerima seorang Residen Inggeris sebagai “penasihat” yang ternyata bakal menjadi penentu sebenar hala-tuju pentadbiran negeri. Residen pertama itulah manusia bongkak dan angkuh yang dikenali sebagai J.W.W. Birch, birokrat Inggeris biadap yang melanggar hampir setiap sensitiviti orang Melayu sehingga dia dibunuh orang-orang Datuk Maharajalela tahun 1875.
Susulan peristiwa pembunuhan ini menyaksikan Perak berperang dengan Inggeris sebelum ditundukkan dengan penuh kekerasan. Datuk Maharajela Pandak Lam, bapa mertuanya Pandak Endut, Datuk Sagor (Seri Agar Diraja) Ngah Kamdin, Siputum serta pengikut mereka dihukum gantung sampai mati sedangkan Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim dibuang ke Pulau Seychelles.
Selepas beberapa lama hidup dalam buangan, Sultan Abdullah sempat kembali ke Perak selepas menerima pengampuan Inggeris lalu mangkat dan disemadikan di kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tahun 1922 (check balik ini). Malangnya, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim tidak dibenarkan kembali kerana pengaruh mereka di kalangan orang Melayu masih ditakuti Inggeris. Sebaliknya mereka diasingkan ke Sarawak, kemudian Singapura sebelum meninggal dunia dan dimakamkan di pulau itu.
Ketika dada-dada akbar tempatan sibuk memperkatakan proses pengembalian kembali jasad Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim ke Perak (tempat persemadian akhir Uda Ma’amor di Singapura tidak ditemui), penulis baru sahaja dua bulan mengenali diri sebagai generasi ke-lima keturunan Laksamana itu. Jika empat tahun sebelumnya banyak dihabiskan untuk mengkaji sejarah serta susur-galur keturunan sehingga 1,400 tahun terdahulu, baru kebelakangan itu, penulis tergerak untuk menyusun kembali salasilah keluarga terdekat sehingga nyatalah kaitan peribadi dengan pahlawan tersebut.
Sampai satu ketika, penulis yang pernah menziarahi makam-makam lama berkaitan keluarga hampir seluruh tanah-air telah tergerak untuk mencari di manakah pula Laksamana Muhammad Amin disemadikan. Baru penulis sedar Laksamana dimakamkan di Singapura, lalu timbul pula keluhan bagaimana hendak ke sana dalam keadaan kekurangan belanja dan sudah lebih 20 tahun tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau itu.
Kebetulan hari itu juga muncul artikel tulisan Dr Talib Samat bertajuk “Dua Pahlawan kembali ke Perak” dalam Mingguan Malaysia 27 Ogos 2006 menyatakan jasad Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim akan dikembalikan ke tanah-air penuh istiadat 9 September. Lebih menarik, jasad mereka akan di bawa dari selatan tanah-air menaiki kapal tentera laut Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin! Dan Laksamana akan disemadikan di kawasan permakaman diraja, sekitar 8 meter sahaja daripada makam Sultan Abdullah yang mengikut salasilah rasmi adalah saudara tiga pupu beliau.
Penulis yang sangat teruja terus tergerak menghubungi seorang sepupu kepada bapa yang baru sahaja seminggu dikenali kembali setelah hampir 30 tahun tidak bertemu… Fikirnya, hendak memberitahu akan peristiwa itu tetapi rupanya bapa saudara itu telah lebih dahulu mengetahui. Malah beliau menyatakan waris-waris telah dijemput menghadiri majlis penuh-istiadat lalu mengajak penulis mendaftarkan diri.
“Dua buah bas kerajaan telah disediakan untuk mengangkut keluarga dan kaum kerabat dari Teluk Intan ke Lumut di mana jenazah akan diturunkan dari kapal ke pengkalan tentera laut sebelum dibawa ke Bukit Chandan,” dia memberitahu.

Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana kembali ke Perak

Artikel 2...

posting dibuat 8 Januari 2007

LAKSAMANA PULANG KE PERAK: APAKAH YANG TERSIRAT?

Sudah hampir 2 bulan jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, seorang pejuang Melayu abad ke 19 dikembalikan ke Perak… Begitu juga jasad menantunya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim yang turut dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 kerana terlibat dalam pembunuhan Residen British J.W.W Birch. Kedua-duanya sudah selamat disemadikan kembali di tanah-air tercinta, Laksamana di kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Menteri di kota peninggalannya di Matang.
Jika hari-hari sebelum peristiwa bersejarah itu menyaksikan dada-dada akhbar tempatan riuh sensasi dengan berita akan kembalinya jasad dua tokoh pejuang Melayu yang pernah “terkandas” hampir 100 tahun di Singapura akibat dilarang kembali ke tanah-air sendiri oleh British, hari-hari berikutnya pula menyaksikan mereka seolah-olah dilupakan kembali, hilang khabar berita hanyut semula ditelan zaman.
Seperti lazimnya dalam dunia moden hari ini, berita sebegini cuma hangat apabila ia mula-mula keluar sebelum senyap ditiup angin perubahan zaman apabila ia selesai. Tidak ada yang mahu mengulas apakah ada makna yang tersirat di sebaliknya.
Apapun, bagi sesetengah pihak terutama penulis yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Laksamana, proses pengembalian jasad itu meninggalkan erti penuh makna dalam jiwa ini, mungkin juga erti yang lebih besar bagi mereka yang sanggup mengkaji lebih jauh.
Alhamdulillah, sedikit cerita mengenainya sudah diabadikan dalam Kencana edisi lepas. Maka dalam edisi ini pula biar disuratkan sedikit pula makna yang mungkin tersirat di sebalik peristiwa yang julung-kali diadakan dalam sejarah mana-mana negara moden, hasil pengamatan dan perjalanan peribadi penulis.

Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Apakah yang tersirat?

Artikel 3...

posting dibuat 3 Februari 2007

Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang

Kelmarin kita telah menyentuh mengenai kemungkinan akan adanya makna tersirat di sebalik pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 9 September 2006. Makna tersirat yang dimaksudkan adalah mungkin telah sampai masanya sejarah Tanah Melayu patut diselidik, dirombak dan ditulis kembali demi mengembalikan kekuatan sebenar bangsa yang semakin luput ditelan arus kemodenan zaman.
Sekadar mengimbas kembali, Laksamana Muhammad Amin adalah salah seorang pejuang Melayu Perak yang disabitkan terlibat dalam peristiwa pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. Di kala beberapa pejuang lain seperti Datuk Maharajalela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Pandak Endut dan Si Putum dihukum gantung 1877, beliau, Sultan Abdullah, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma’amor pula dibuang negeri jauh ke Pulau Seychelles di perairan Afrika.
Sultan Abdullah mendapat “pengampuan” British lalu sempat kembali ke negeri asalnya sebelum menghembuskan nafas terakhir di sana 1922 sementara yang lain dilaporkan meninggal dunia di Singapura. Dalam konteks ini, pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Perak ternyata amat bermakna. Ia dilakukan penuh istiadat, dan kebetulan jenazah dibawa kembali menaiki kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin!
Jenazah Ngah Ibrahim turut dibawa kembali bersama tetapi ada pihak mempertikaikannya. Menurut mereka, menantu Laksamana itu sempat kembali ke Perak secara senyap dalam tahun 1920an lalu identitinya dirahsiakan untuk mengelak dari dikesan pihak penjajah. Nasib baik tidak ada pertikaian tentang identiti jenazah Laksamana kerana pada tahun 1980an, ia pernah dialih daripada Jurong, Singapura yang sedang dimajukan, ke Pusara Abadi dengan disaksikan waris terdekat. Maka biarlah cerita ini diteruskan lagi mengikut perspektif penulis, seorang anak Melayu generasi ke-5 keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.
Apapun, negeri Perak seterusnya seluruh Tanah Melayu banyak dibentuk mengikut acuan Barat setelah hilangnya para peneraju perjuangan bangsa seperti almarhum. Maka apakah pengembalian jenazah Laksamana ke negeri asalnya itu setelah hampir 100 tahun “ditahan” di Singapura, pusat pentadbiran penjajah Inggeris di Nusantara menandakan permulaan beberapa cerita lama yang selama ini terpendam akan dibuka kembali untuk menyedarkan generasi kini dan akan datang?

Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang!

Artikel 4...

posting dibuat 23 Februari 2007

Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar

Assalamualaikum pembaca sekalian. Di sini ingin diumumkan arah tujuan baru dalam proses penceritaan. Jika keluaran lepas segmen “Laksamana pulang ke Perak” lebih merupakan kisah-kisah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006, bermula keluaran ini pula kita akan meneroka sedikit sejarah dan cerita-cerita lama berkaitan lokasi terpilih dalam pengembaraan peribadi penulis kebelakangan ini.
Boleh kata hampir seumur hidup penulis rajin mengembara dengan pelbagai cara termasuk hitchiking – menumpang kereta, lori dan apa-apa kenderaan orang yang ditahan di tengah jalan. Ada masanya, perkelanaan diteruskan dengan berjalan kaki berpuluh batu, sampai masuk dan sesat ke dalam hutan dan kawasan pergunungan pun ada. Maka itu banyak juga pengalaman berharga yang boleh dikongsi bersama, sesetengahnya mungkin boleh membuka mata mereka yang dahagakan kisah pengembaraan mencabar seperti sering dilihat dalam kaca TV… Cuma kali ini ia bukan fantasi tetapi realiti!
Dalam pada itu, terbuka juga cerita-cerita menarik tentang tempat-tempat yang dilawati lebih-lebih lagi 5 tahun kebelakangan. Sejak itulah, penulis mula berkelana untuk mendapatkan petunjuk berkaitan sejarah lama Melayu dan Islam di Nusantara termasuk cerita-cerita yang disembunyikan pihak berkepentingan.
Kalau dahulu, perjalanan dilakukan ke sana ke mari sehingga sanggup tidur bersepah di tepian jalanan Eropah demi memuaskan naluri adventure, sekarang ia dibuat dalam rangka-kerja yang lebih bermakna dalam mengenali salasilah dan wasilah keluarga. Maka itu tajuk “Laksamana pulang ke Perak” masih lagi relevan walaupun lokasi pengembaraan akan melangkau jauh ke luar Perak… Kerana apabila diteliti lebih mendalam, rupa-rupanya kisah-kisah yang dapat dirungkai di luar sana juga masih berkaitan, disebabkan sejarah keluarga turun-temurun menjarah jauh untuk meliputi seluruh pelusuk Nusantara malah sampai ke Timur Tengah, Mekah dan Madinah.

Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar

Artikel 5...

posting dibuat 15 Mac 2007

Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar

Kitab Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor abad ke 17, Tun Sri Lanang ada menyebut, sebelum Raja Iskandar (dikenali Barat sebagai Parameswara) membuka kerajaan Melaka yang berpusat di Sungai Bertam (sekarang dikenali sebagai Sungai Melaka), baginda telah cuba membuka negeri di Muar terlebih dahulu. Menurut ceritanya, ini berlaku sejurus selepas kerajaan Singapura pimpinan baginda jatuh diserang Majapahit. Lalu larilah raja ini menghala ke utara dengan para pengikutnya untuk mencari tempat baru yang boleh dijadikan negeri.
Sampai ke suatu tempat di pinggir Sungai Muar, Raja Iskandar pun berhenti berjalan lalu cuba membina penempatan baru. Malangnya tempat itu selalu dinaiki biawak, bukan seekor dua tapi berpuluh sehingga beratus ekor! Mula-mula binatang-binatang ini dapat dibunuh tapi keesokannya datang sekawan besar biawak baru lalu dibunuh lagi. Ini berlaku beberapa hari seterusnya sehingga jadi bertimbun-timbun bangkai biawak yang membusuk. Baginda dan para pengikutnya tidak tahan lagi lalu meninggalkan tempat itu. Sebab itu kawasan ini dikenali sebagai Biawak Busuk.
Sang raja pun mudik lebih jauh menyusuri Sungai Muar sehingga terjumpa tempat baru yang dirasakan sesuai untuk dibuat negeri. Setelah berpenat-lelah membuka hutan sekitar, rakyat baginda berjaya membina sebuah kota. Nampaknya lokasi ini lebih baik daripada tempat sebelumnya, rupa-rupa tak juga… Mereka cuma sempat bermalam satu hari sahaja. Keesokannya, kota yang dibina bertukar menjadi buruk , tidak tahulah kenapa. Maka tempat itupun dikenali sebagai Kota Buruk sementara Raja Iskandar pula terpaksa mengembara lagi untuk mencari negeri.
Setelah berjalan lama, sampailah mereka ke tepi Sungai Bertam. Di situlah berlaku peristiwa yang terkenal dalam cerita pembukaan negeri Melaka iaitu anjing pemburu baginda ditendang seekor pelanduk yang berani sehingga anjing itu terjatuh ke dalam sungai! Kebetulan ini berlaku ketika sang raja sedang berehat di bawah pokok Melaka. Mengikut ceritanya, sempena peristiwa itulah, Raja Iskandar terasa tempat itu elok dibuat negeri, maka diberi nama Melaka.
Cerita mengenai pembukaan negeri Melaka ini boleh dikatakan sangat terkenal sehingga diketahui kebanyakan rakyat Malaysia yang sedikit peka terhadap sejarah negara. Berapa ramai yang sedar, sebelum itu baginda telah dua kali cuba membuka negeri di Muar tetapi gagal?
Dari satu segi, memang Raja Iskandar telah ditakdirkan untuk membuka negeri di Melaka, sebab itu baginda menghadapi masalah biawak busuk dan kota buruk terlebih dahulu. Tetapi daripada segi lain, kenapa pula seorang raja yang dikatakan berdaulat tinggi, keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang turun ke Bukit Siguntang boleh kecundang di Muar? Apakah ada yang tersirat di sebalik ini?

Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar

Artikel 6...

Laksamana pulang ke Perak: Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar

Semua orang tahu akan kewujudan kota A Famosa di Melaka. Walaupun kebanyakan bahagian kota Portugis berumur sekitar 500 tahun itu telah hancur ditelan zaman, beberapa bekas peninggalannya seperti bangunan besar di atas Bukit St. Paul berserta pintu gerbang utama yang sering menghiasi poskad daripada Melaka masih utuh untuk tatapan ramai.
Melaka mungkin telah beberapa kali bertukar pemerintahan daripada Portugis pergi ke tangan Belanda kemudian Inggeris kemudian baru kembali ke dalam genggaman orang Melayu terutama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi nama A Famosa yang bermaksud kota yang terkenal masih mekar sampai ke hari ini. Manakan tidak, suatu masa dahulu ia adalah satu daripada tiga kota utama di rantau Asia yang digunakan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan Timur ke Barat… Dua kota lagi ialah Hormuz di Timur Tengah dan Goa di benua Hindi. Lalu ramai yang tidak sedar bahawa di Semenanjung Tanah Melayu ini pernah wujud sebuah lagi kota Portugis, dalam banyak-banyak tempat di Muar, Johor. Walaupun kesannya telah lama hilang, tidak seperti tinggalan A Famosa yang boleh disaksikan sehingga kini, kewujudannya boleh dibuktikan melalui catatan-catatan Portugis terutama sebuah lakaran peta lama oleh Eredia yang dilukis tahun 1604.
Pada segmen “Laksamana pulang ke Perak” kali ini, biar kita bincangkan sedikit mengenai kota yang kemungkinan besar pernah meliputi pusat bandar Muar sekarang. Penulis ada sebab untuk percaya bahawa kota itu telah didirikan di atas runtuhan Kubu Bentayan yang tercatit sebagai tempat pertahanan terakhir kerajaan Melaka melawan Portugis sebelum kalah tahun 1511.
Selain itu, elok juga kita bercerita sedikit tentang Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5km daripada pusat bandar Muar. Mengikut cerita setempat, di sinilah berlaku peristiwa Si Tanggang, anak derhaka yang disumpah berserta seisi kapalnya menjadi batu kerana tidak mahu mengakui pertalian darah dengan ibu-bapanya.
Untuk melengkapkan segmen ini, penulis juga ingin bercerita sedikit tentang Raja Temenggung Muar, satu jawatan bangsawan bagi pemerintah daerah Muar (dahulunya negeri!) yang pernah meliputi wilayah Segamat. Untuk makluman, segmen kali ini adalah penutup cerita-cerita tentang Muar yang dibuat setelah beberapa kawasan di Johor dilandar banjir luar-biasa penghujung tahun lepas. Insyaallah selepas ini kita akan mula menerokai cerita-cerita lama dalam perjalanan penulis ke Pantai Timur yang dibuat sejurus sebelum itu. Ayuh… Teruskan membaca!

Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar

Baiklah. Cukup sampai di sini. Kalau diizinkan Allah, insyaallah cerita-cerita di bawah siri "Laksamana pulang ke Perak" akan muncul kembali di mana-mana akhbar (Kencana sedang menghadapi sedikit masalah), paling tidak pun di sini. Doakan kejayaan saya ya para pembaca sekalian. Wassalam! :]