Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Januari 25, 2024

Teologi Islam - Menyatukan suara-suara yang pelbagai

Salam semua. Dalam artikel Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor yang dipersembahkan sejurus selepas masuk waktu Maghrib malam tadi ada disebut bahawa pada hari Khamis dan Jumaat lalu 18-19 Januari berlangsung  satu seminar ilmu anjuran bersama ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) dengan sebuah universiti terkemuka di United Kingdom. Tajuk seminar adalah sesuatu yang sangat diminati namun saya tidak menghadiri kerana berada dalam mood tidak mahu jumpa orang sejak beberapa hari kebelakangan. Namun apabila datang ke ISTAC akibat panggilan guru pagi Selasa 23 Januari saya jadi ceria kembali. Itu yang dapat ditulis artikel kali pertama ke ISTAC itu. Keceriaan dan semangat baru membuatkan ingin berkongsi cerita tentang majlis ilmu yang terlepas itu walau tidak menghadiri. 



Ini posternya yang telah dilihat berlegar-legar di Facebook dan WhatsApp ISTAC sejak lebih 2 minggu lalu. Tajuk majlis berupa persidangan antarabangsa dalam bahasa Inggeris ini boleh diterjemahkan sebagai "Teologi Islam - Menyatukan Suara-suara yang Pelbagai". Diadakan dalam bentuk seminar dengan beberapa sesi pembentangan yang mana setiap sesi menyaksikan dalam dua tiga orang pembentang bergilir menyatakan dapatan ia adalah tentang bagaimana pelbagai aliran ilmu dalam dunia Islam  menanggapi makna keTuhanan daripada zaman dahulu hingga sekarang. Walaupun tidak hadir saya tahu ia menarik kerana telah mengikuti rakaman. 

Dalam artikel Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor ada dinyatakan bahawa rakaman video hari pertamanya sepanjang 8 jam 30 minit sudah habis ditonton 2 hari lalu (sebelum menulis artikel). Rakaman video hari kedua yang sama panjang pula tinggal lagi 2 jam lebih. Lewat malam tadi saya telah menyambung sedikit lagi tetapi tidak dapat dihabiskan akibat kepenatan. Ini kerana selain aktiviti-aktiviti yang diceritakan dalam artikel saya juga sedang membuat kajian baru tentang Perjanjian Pangkor.  Sambil itu juga meneruskan bacaan dan menelaah tentang satu subjek berat sebagai persediaan untuk membuat PhD akan datang insyaallah. 

Lalu tinggal lagi 1 jam suku lagi rakaman untuk menamatkan. Cadangnya mahu diselesaikan pagi tadi tapi belum berkesempatan. Fikiran ini sekejap menarik ke arah hal Perjanjian Pangkor, sekejap ke arah kajian untuk PhD yang subjeknya belum bersedia untuk dikongsikan dengan awam. Setakat ini cuma isteri saya dan dua orang kawan rapat serta guru saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sahaja yang tahu tentang cadangan. 

Tengah hari ini pula harus ke Tanjung Malim untuk membincangkan hal mengadakan satu syarahan tentang Laksamana Raja Muhammad Amin berdasarkan buku saya yang berkenaan. Lihat Mengenang 150 tahun Perjanjian Pangkor - Tawaran istimewa buku Laksamana. Dengan itu biarlah dibuat perkongsian ini demi melepaskan 'gerak'.


Di sini tidaklah ingin diulas panjang tentang pengisian majlis. Cukuplah dinyatakan ia memang sangat menarik. Pelbagai aliran mazhab dan ilmu dalam dunia Islam telah dibincangkan termasuk hal empat mazhab paling besar dan terkenal (Maliki, Hanafi, Syafiee, Hanbali), reaksi terhadap pemikiran Muktazilah dan puak Khawarij, hal puak Syiah, golongan Sufi dan macam-macam. Yang mengupas pula ilmuwan daripada pelbagai negara termasuk dari Eropah dan Afrika. Ada antaranya 'Mat Saleh' yang masih mengekalkan nama asal Barat. Tapi saya tahu mereka sudah lama memeluk Islam.




Disebut nama dan pemikiran ilmuwan-ilmuwan terkenal lampau seperti Al-Farabi dan Ibnu Sina. Malah beberapa orang pembentang memperkatakan lalu mengupas tentang pemikiran Ibnul Arabi yang tinggi lagi kontroversi. Ini termasuk bagaimana ia mewarnai pemikiran Hamzah Fansuri dan golongan Wujudiyah di Aceh dan Tanah Melayu pada abad ke-16 Masihi dan kemudian. 

Secara rata yang diusahakan adalah bagaimanakah pelbagai aliran pemikiran yang sesetengahnya bercanggah dalam menanggapi makna keTuhanan lalu membawa implikasi besar terhadap hubungan manusia dan peranan mahu dibawa untuk memajukan ummah malah manusia sejagat. Sila ikut sendiri melalui video-video yang dipaparkan.


Rabu, Januari 24, 2024

Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor

OK. Hari tu saya ada membuat artikel khas bagi tarikh 20 Januari 2024 iaitu Mengenang 150 tahun Perjanjian Pangkor - Tawaran istimewa buku Laksamana. Sekarang biar dibuat satu khas bagi tarikh 24 Januari 2024 (24/01/24). Ia sangat kena mengena.



Ahad malam Isnin 21 Januari guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran  dan Tamadun Islam) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar tiba-tiba menghantar pesanan di WhatsApp bertanya bilakah boleh berjumpa. Seingat saya kali terakhir berjumpa adalah dalam satu majlis zikir awal bulan Disember tahun lalu. Selepas itu tiada.




Kalau ikutkan saya masih dalam mood tidak mahu bertemu orang. Boleh dikatakan sejak masuk tahun baru 2024 begitulah keadaan. Selain ada sejumlah perkara mengganggu fikiran saya sebenarnya sedang memberikan tumpuan bagi membaca tulisan-tulisan berkenaan satu subjek berat yang fikirnya akan dijadikan kajian bagi tesis PhD akan datang.




Punyalah tiada mood hendak bertemu orang, sehingga tidak pergi ke satu seminar ilmu anjuran bersama ISTAC dan sebuah universiti terkemuka di United Kingdom, Khamis dan Jumaat 18-19 Januari. Padahal tajuk seminar adalah sesuatu yang sangat diminati. Sampai majlis zikir seterusnya melibatkan Osman Jumaat malam Sabtu itu pun tak datang. Dan tanpa menyatakan apa sebab tidak dapat datang dalam grup WhatsApp berkenaan.




Mungkin inilah menyebabkan beliau tiba-tiba bertanya bila mahu berjumpa. Apabila guru yang dipandang tinggi bertanya maka saya pun bersedia untuk bertemu. Tanpa meminta langsung penerangan kenapa hendak berjumpa ditetapkanlah bertemu di kampus ISTAC pagi Selasa 23 Januari jam 11.




Kebetulan beberapa hari lalu saya ada dihubungi pejabat pentadbiran ISTAC untuk memberitahu bahawa saya diminta terlibat dalam satu proses audit program sarjana Malay World Studies (pengajian dunia Melayu) oleh MQA (Malaysian Qualification Agency). Lalu ditetapkan saya hadir temuduga mereka pada pagi Selasa jam 9. Maka sampailah dengan kereta Kenari milik isteri yang baru diambil keluar dari bengkel berdekatan pagi Sabtu selepas dicat baru. Kiranya baru pertama dibawa keluar kawasan selepas mendapat rupa baru.




Kali terakhir sampai ke ISTAC adalah pada 27 Disember untuk satu majlis ilmu. Cerita berkenaan telah dinukilkan dalam artikel Pemikiran dan pendekatan Malik Bennabi dalam pembaharuan ketamadunan dan reformasi pada 1 Januari.




Ah. Baru ingat. Sebetulnya Osman ada pada majlis tersebut. Saya nampak dia dan dia nampak saya. Cuma kami duduk berjauhan dan bilik majlis sedang penuh orang. Biasanya selepas suatu majlis yang beliau turut hadir saya akan mencari lalu bersalam dan mencium tangan. Tetapi semasa itu tidak. Ini kerana mahu mengejar perkara lain. Sementara itu beliau sendiri nampaknya sedang sibuk melayan orang. 

Saya tahu guru saya yang sudah beberapa tahun kebelakangan disenaraikan sebagai antara 500 orang Islam yang paling berpengaruh di dunia selalu didekati orang. Saya takkan kacau kalau kelihatan begitu sibuk. Ini pun agaknya sebab beliau tiba-tiba bertanya bilakah mahu berjumpa. Pada 27 Disember nampak tapi tak bersalam. Pada 18-19 Januari tak datang sedangkan beliau tahu saya suka majlis dengan tajuk berkenaan. Ke majlis zikir selepas itu pun tidak.

Oh. Nanti akan dikongsikan cerita tentang majlis ilmu berkenaan. Rakaman video hari pertamanya sepanjang 8 jam 30 minit sudah habis ditonton 2 hari lalu. Rakaman video hari kedua yang sama panjang tinggal lagi 2 jam lebih. Nanti pada kelapangan seterusnya akan disambung tonton.




Mungkin ada yang tertanya-tanya. Kalau hormat kepada guru kenapa sebut nama beliau sebagai Osman sahaja dalam penulisan? Sebetulnya saya cuma ikut gaya merujuk kepada seseorang dalam akhbar yang biasa dipakai ketika menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times. Untuk kali pertama sebut (first mention) memang sebut pangkat dan  nama penuh. Misalnya Profesor  Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Itupun diambil pangkat anugerah tertinggi sahaja. Kalau Tan Sri Datuk cuma disebut Tan Sri. Untuk sebutan seterusnya pakai nama sahaja.

Itu dalam akhbar. Kalau dalam tulisan akademik memang sesiapa pun disebut nama sahaja. Kalau dalam kes guru saya, sebut Osman Bakar. Selepas itu Osman. Namun boleh disebut pangkat itu melalui nota kaki. Dalam teks pun boleh tetapi tak perlu pun. Ini sama halnya dengan nama seorang penulis disebut begitu sahaja pada kulit hadapan buku. Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali misalnya, seorang rujukan utama saya dalam bidang sejarah diletakkan nama Abdullah Zakaria Ghazali sahaja pada kulit buku. Dalam biodata baru disebut pangkat.

Sebetulnya dalam rujukan rantaian perawi hadis pun begitu. Kita sebut misalnya hadis disampaikan oleh Ibnu Abbas atau Ali bin Abi Thalib melalui si polan dan si polan. Tidak disebut Al-Fadhil Al-Ustaz dan macam-macam gelaran yang biasa orang pakai berjela sekarang untuk menunjukkan taraf dan kedudukan. Cuma ada orang tertentu sahaja biasa disebut sebagai Imam, misalnya Imam Ghazali atau Imam Syafie. Sekali lagi, tidak ada berjela-jelalah Al-Fadhil Al-Ustaz bagai walaupun taraf keilmuan Islam mereka tinggi melangit berbanding ustaz-ustaz sekarang.




Haa. Tu dia bila gerak penulisan mengalir keluar jujur daripada hati. Tiada rancangan pun hendak menulis begitu. Cuma terkeluar secara spontan dalam bercerita. Apapun temuduga MQA saya selesai dengan cara yang boleh dikira sangat baik, sehingga orang-orang yang menemuduga menyatakan nanti boleh panggil saya untuk bercakap tentang ilmu dan pengajian termasuk pengalaman hidup berkenaan.

Gambar atas diambil selepas temu duga. Baca beberapa muka surat Al Quran untuk proses khatam bagi  bulan Rejab sementara menunggu untuk bertemu Osman. Sudah bertemu baru dapat tahu. Sebab pertama beliau mahu berjumpa adalah kerana terfikir mahu membuat seminar separuh hari di ISTAC tentang Perjanjian Pangkor dalam tempoh seminggu dua akan datang. Beliau memberitahu terfikir setelah membaca tulisan saya dalam artikel Mengenang 150 tahun Perjanjian Pangkor - Tawaran istimewa buku Laksamana. Ia ada dipanjangkan ke WhatsApp grup ISTAC. Beliau mahu saya menjadi salah seorang panelis lalu memberitahu saya ada kedudukan istimewa dalam perkara kerana nenek moyang terlibat dalam perjanjian. Beliau mahu perspektif cerita daripada kaum kerabat.




Perkara lain yang mahu dibincangkan melibatkan zikir dan tariqat. Saya juga mengambil peluang untuk menyatakan rancangan dan skop kajian bagi PhD insyaallah. Beliau menggalakkan malah memberikan separuh tajuk yang dapat memandu hala tuju kajian dan tulisan. Cuma saya memberitahu akan mendaftar setelah berjaya menulis tesis ke tahap yang cukup memuaskan. 

Pengalaman menyiapkan tesis sarjana yang sebenarnya terlajak dua tahun (rujuk Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53) menunjukkan, setelah mendaftar muncul tekanan untuk menyiapkan mengikut jadual selain beban mencari duit untuk membayar yuran. Formaliti seperti  harus selalu membuat progress report dan pelbagai perkara berkenaan juga terasa begitu membebankan. Saya ini jenis orang yang biasa buat dan menjayakan suatu projek tanpa mengkehadapankan kertas kerja.




Sungguh, apa yang berlaku di ISTAC sepanjang hari itu membuat saya menjadi kembali ceria dan bersemangat lalu juga kembali mudah bergaul dengan orang. Cuma hendak dijadikan cerita tercicir telefon pintar. Ini cuma disedari dalam perjalanan kembali ke rumah dah lebih separuh jalan.  Ia boleh jadi tercicir di ISTAC. Tetapi boleh jadi juga di Masjid Al-Bukhary kerana ada singgah bersolat ketika berjalan-jalan di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Selepas itu ada keluar sekejap dari kereta ketika berhenti di tempat rehat (RnR) jejantas Sungai Buluh.




Nasib baik dapat menghubungi kakitangan pejabat ISTAC selepas beberapa lama sampai di rumah lalu diberitahu memang ada telefon bimbit tertinggal selepas duduk makan-makan bersama sejumlah pensyarah. Ia menjadi asbab untuk datang lagi ke ISTAC siang tadi 24 Januari. Kali ini membawa kereta sendiri. Isteri bawa kereta Kenari ke pejabatnya di Shah Alam, kali pertama beliau sendiri membawa setelah dicat baru ke luar kawasan.




Selepas mengambil telefon dari pejabat didapati bateri cuma tinggal 7%. Sementara mengecas sambunglah membaca Quran untuk khatam bagi bulan Rejab.




Menarik adalah kedudukan bacaan. Saya dapat menghabiskan Surah Ar-Ra'd yang merupakan Surah ke-13, dalam Juz 13. Satu kedudukan unik yang mengingatkan bagaimana saya mendapati datuk kepada datuk saya yang dikenali sebagai Orang Kaya Arshad, anak kepada Laksamana Raja Mahkota Amin pernah menjadi Laksamana ke-13 Perak. Rujuk artikel lama Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part IV.




Selepas itu bergerak pula ke Muzium Negara. Saya ingin membuat semakan-semakan tertentu tentang Perjanjian Pangkor sebagai persediaan bagi membentang dalam seminar akan datang di ISTAC. Sebelum itu ada ke Jalan Riong dekat pejabat lama zaman wartawan untuk menikmati hidangan istimewa nasi beringin. Sayang, bila sampai dah habis licin.




Artikel ini ditulis sejurus selepas kembali ke rumah agar dapat dipaparkan pada tarikh 24 Januari 2024 yang boleh ditulis sebagai 24/01/24 itu. Namun ditunggu malam selepas masuk waktu Maghrib untuk dipaparkan. Ini kerana ketika itu baru masuk tarikh Hijriah 13 Rejab tahun 1445.  Siang tadi kan dapat habis Surah ke-13 dan dalam Juzuk ke-13 yang mengingatkan tentang hal Laksamana ke-13?




Tarikh Barat 24 Januari sebenarnya ada satu cerita. Jika pada 20 Januari 2024 tepat 150 tahun berlakunya Perjanjian Pangkor 1874, pada 24 Januari pula genap 150 tahun Belanda berjaya menawan pusat pemerintahan Kesultanan Aceh iaitu Banda Aceh. Ini adalah selepas hampir setahun berperang,  bermula pada 5 April 1873. Walaupun ia sesuatu yang negatif, sama halnya seperti bagaimana Perjanjian Pangkor kemudian memberi jalan untuk British menguasai Perak kemudian negeri-negeri Melayu lain, ia adalah satu tarikh yang harus diingati sebagai iktibar. 

Sesungguhnya Kesultanan Aceh ada kaitan yang sangat kuat dengan Kesultanan Perak. Perak pernah berada di dalam aturan pemerintahan Aceh selama seabad. Dan kaum kerabat Laksamana pula sebenarnya berasal daripada kerabat diraja Aceh-Bugis yang merajai Aceh sejak tahun 1727 Masihi. Dinasti ini terus merajai sehingga Kesultanan Aceh dilupuskan oleh Belanda pada tahun 1904.


Sabtu, Januari 20, 2024

Mengenang 150 tahun Perjanjian Pangkor - Tawaran istimewa buku Laksamana

Salam semua. Satu artikel khas untuk hari ini pagi Sabtu yang tarikhnya adalah 20 Januari 2024. Bersamaan 8 Rejab 1445 Hijriah.



Salinan Perjanjian Pangkor seperti terpapar dalam buku Cempaka Sari : Sejarah Kesultanan Negeri Perak (1986)...


Rasanya ramai tahu atau sekurang-kurangnya pernah mendengar tentang Perjanjian Pangkor. Ditandatangani pada 20 Januari 1874 iaitu tepat 150 tahun lalu,  ia dipanggil begitu kerana berlaku di perairan Pulau Pangkor. Perjanjian diadakan antara sejumlah pembesar Perak dengan wakil kerajaan Inggeris atau British bagi menaikkan Raja Muda Abdullah ibni Sultan Ja'afar Muadzam Syah sebagai Sultan ke-26 Perak, atas kapal British bernama HMS Pluto. Semakan melalui Google menunjukkan ketika itu adalah hari Selasa. 

Menurut kiraan saya tarikh Islamnya harus bersamaan 29 Zulkaedah 1290 Hijriah atau sekitar itu. Ertinya sudah hampir masuk musim menunaikan ibadah haji. Bagi mereka yang hendak menunaikan rukun Islam kelima itu harus sudah sebulan dua bertolak lebih awal dengan kapal laut kerana perjalanan memakan masa selain mahu mengambil peluang dapat beribadah lama di tanah suci. Zaman itu kapal laut biasanya diambil dari Pulau Pinang. Pada tarikh tersebut harus sudah berada di Mekah kerana mesti menyelesaikan rukun-rukun haji yang kemuncaknya adalah wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, cuma seminggu lebih sahaja lagi.

Sebetulnya para pembesar Melayu yang menandatangani, termasuk moyang atau lebih tepat moyang kepada datuk saya iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin sanggup menerima syarat-syarat perjanjian dengan pemahaman bahawa British akan membantu mengamankan dan memajukan Perak di bawah kekuasaan Sultan, dibantu oleh pembesar. Namun sejarah telah menyaksikan ia secara efektifnya membawa kepada campur tangan aktif British dalam pentadbiran negeri Perak. Ini melangkaui sempadan kuasa yang difahami dan dipersetujui oleh orang Melayu. 

Campur tangan yang semakin hari semakin meresahkan  kemudian membawa kepada pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875. Ketika itu umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidil Fitri, kalau tak salah pada 2 Syawal. Tetapi kebongkakan Birch dan orang-orangnya mengganggu suasana hendak terus menampal kertas-kertas perisytiharan sistem baru cukai British dan memaksa orang kampung menurut kata membawa pada pembunuhan. Berlakulah Perang Perak-British yang berakhir dengan kekalahan para pejuang Perak awal tahun 1876 lalu sejumlah pembesar seperti Dato' Maharajalela dihukum gantung sampai mati. Sementara itu Laksamana Muhammad Amin dan Sultan juga dua orang pembesar lain dibuang negeri ke Pulau Seychelles 1877, di perairan Afrika.

Campur tangan aktif di Perak yang bermula secara rasminya melalui Perjanjian Pangkor secara rata membentuk polisi dan gerak kerja British dalam  menangani negeri-negeri Melayu yang lain. Secara rasmi dan atas kertas British mendakwa masuk sebagai penaung dan 'sahabat' bagi membantu memajukan negeri. Tetapi hakikat perbuatan memaksa ikut cakap menggunakan kekuatan pasukan bersenjata sehingga boleh menurunkan raja yang tidak disukai lalu menaikkan mereka yang ikut cakap tidak lain adalah menceroboh dan menjajah. Melalui pengalaman dan pertapakan di Perak itulah mereka dapat membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1895) diikuti Negeri-negeri Tidak Bersekutu (1909) yang kemudian digabungkan menjadi Persekutuan Tanah Melayu (1948). Entiti inilah yang kemudian menerima kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Daripada situ kemudian terbentuklah negara Malaysia 16 September 1963. 

Perlembagaan negara Malaysia boleh dikatakan mendapat asas pengisian dan hala tuju daripada Perjanjian Pangkor. Perkara 6 Perjanjian yang mana raja hendaklah menurut dan menerima pakai 'nasihat' Residen British kecuali dalam hal agama Islam dan adat istiadat Melayu membentuk had kekuasaan raja-raja Melayu juga peranan pembesar Melayu tradisional dalam perlembagaan. Inilah yang memberi ruang untuk undang-undang ciptaan British (British Common Law) mengatasi undang-undang syariah Islam sehingga mahkamah syariah dilihat inferior atau bawahan berbanding mahkamah sivil. Perkara 10 yang mana cuma pihak British boleh memungut dan mengawal segala sumber pendapatan (seperti memungut cukai) pula memastikan cengkaman ekonomi. Ini secara efektiknya memaksa raja dan pembesar tunduk mengikut telunjuk. Mereka sekadar boleh menerima gaji, bukan lagi sumber pendapatan sendiri yang memberikan kekuatan untuk menentukan hala tuju pentadbiran orang Melayu.

Inilah yang zaman sekarang menyebabkan ramai melihat raja-raja apa lagi pembesar tradisional tidak ada peranan kecuali menjadi rubber stamp, setakat instrumen atau alatan rasmi bagi mengesahkan keputusan para ahli politik yang membentuk kabinet jemaah menteri. Mereka adalah satu kumpulan yang secara efektifnya mewarisi peranan Residen dan konco-konco mereka.   Sedangkan naiknya mereka menjadi para pemimpan negara bergantung pada undian dalam pilihan raya. Secara praktikalnya undi dan sokongan boleh dibeli oleh pihak-pihak berkepentingan yang mampu. Lalu orang bukan Melayu dan bukan Islam boleh jadi begitu berani mempersoalkan banyak perkara waima yang melibatkan orang Islam sahaja seperti kerap berlaku semenjak satu dua dekad kebelakangan ini.




Hal-hal berkenaan Perjanjian Pangkor dan kesan jangka panjang ada diceritakan panjang lebar dalam buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" (terbit secara rasminya pada 13 Mei 2023). Buku ini memiliki tajuk tambahan "Perjuangan yang Belum Selesai", kerana harus menjadi tanggung jawab anak cucu untuk berusaha membatalkan kesan-kesan negatif yang terbit akibat perjanjian. Antaranya adalah rentetan peristiwa dan perkembangan zaman yang menyebabkan orang bukan Islam hari ini kelihatan sering mencampuri urusan orang Islam atas alasan boleh berbuat begitu kerana dibenarkan oleh perlembagaan, atas alasan undang-undang sivil boleh mengatasi lalu menterbalikkan apa-apa keputusan yang dibuat menurut undang-undang syariah. Sebahagian hal yang diceritakan boleh diikuti melalui artikel-artikel berikut :-



2. Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023

3. Dari Webinar impromptu Laksamana Muhammad Amin ke perkongsian tentang ketokohan dan perjuangan di Book Haven

4. Misi hartanah dan wacana Laksamana - Akhirnya terlaksana rancangan lebih 3 bulan lalu

5. HIKMAH ke-23 di Sarang Art Hub - Dari seni rupa ke perjuangan Melayu dan Islam (di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH))

6. Bicara Laksamana di Pesta Buku Selangor


Dengan itu, sempena mengenangkan 150 tahun Perjanjian Pangkor ingin dibuat satu tawaran istimewa. Adapun buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin setebal 576 muka surat itu mengandungi banyak maklumat tentang sejarah negeri Perak terutama pada zaman perjanjian berlaku dan beberapa dekad selepasnya. Harganya adalah RM99. Tetapi sempena hari ini tepat 150 tahun Perjanjian Pangkor saya menawarkan diskaun/potongan 40% lalu jadilah harganya RM59.40 sahaja. Campur Poslaju RM7.90 jadi RM67.30.

Cuma tawaran ini terbuka sehingga hujung bulan Januari sahaja. Masuk 1 Februari 2024 ia kembali pada harga biasa. Sesiapa yang berminat boleh bank-in jumlah berkenaan ke akaun berikut :-


 Affin Islamic Bank : 20-530-011171-1

Atas nama: Mohd Fahrulradzi b Mohamad Sapiee


Selepas itu WhatsApp bukti bayaran ke nombor telefon 013-3082131 dan berikan alamat pos. Insyaallah buku akan diposkan lalu sampai tidak lama selepas itu.


Isnin, Januari 15, 2024

Ke Ipoh tanpa dirancang - Perjalanan jauh pertama bagi tahun baru 2024

Menyambung lagi gerak 'pemecahan kemalasan menulis' daripada artikel Makan-makan pertama di rumah tahun 2024.



Petang Sabtu 13 Januari 2024 bersamaan 1 Rejab 1445 Hijriah saya membawa isteri dan tiga orang anak bergerak ke Ipoh.




Ia adalah perjalanan jauh pertama bagi saya juga keluarga pada tahun baru 2024.




Sebelum itu iaitu sejak masuk tahun baru 2 minggu lalu paling jauh kami keluar dari kawasan rumah adalah ke Sijangkang untuk menghadiri pengkebumian akak ipar isteri pada pagi Jumaat  12 Januari. Arwah meninggal dunia pada malam Jumaat sekitar jam 10.30.




Sebelum bergerak ke Ipoh secara rata masa banyak dihabiskan di rumah. Ini kerana ibu bapa dan adik saya, bersama anaknya datang bertandang dari Muar sejak Selasa malam Rabu 9 Januari.




Kalau ikut rancangan saya cuma akan ke Ipoh bagi mendengar keputusan kes faraid hartanah Laksamana Muhammad Amin (di Mekah) di Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Februari. Sudah diceritakan beberapa kali di CATATAN SI MERAH SILU bahawa sejak pertengah tahun 2022 hampir setiap bulan saya ke Ipoh untuk mengikuti perjalanan kes.




Perjalanan kali ini memang tidak dirancang. Cuma mengambil kesempatan atas kehadiran dua orang anak kami yang sudah bekerja dan menetap di tempat lain dapat kembali bercuti beberapa hari.




Maka jadilah ia perjalanan jauh pertama bagi tahun baru 2024. Ini adalah pemandangan ke luar tingkap daripada balik hotel kami bersebelahan Sungai Kinta pada pagi Ahad 14 Januari. Lihat artikel Views of Ipoh city from a hotel besides the Kinta river di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Membawa masuk barangan ke dalam kereta selepas mendaftar keluar hotel.




Makan tengah hari di restoran berdekatan.




Kemudian baru menaiki kereta untuk ke bahagian lama bandar raya Ipoh. Lihat artikel  A walk around Ipoh old town, diikuti Menara jam kenangan Birch (Birch memorial clock tower) dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Sekitar jam 2.30 mula meninggalkan pusat bandar raya.




Pergi ke Tasik Cermin di Gunung Rapat. Ia sudah menjadi satu tarikan pelancongan berbayar. Lihat New visit to the lake called Tasik Cermin.




Sekitar jam 3.40 ke Gaharu Tea Valley di Gopeng.




Masuk waktu Maghrib berada di perhentian (RnR) Ulu Bernam. Apabila sampai ke rumah waktu Isyak didapati sudah berjalan sejauh 351 km.


Nota tambahan : Baru teringat. Tahun 2024 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Perak. Kiranya kami telah menyahut saranan sebelum masuk setengah bulan tahun baru 2024. Alhamdulillah.


Makan-makan pertama di rumah tahun 2024

Merujuk pada artikel Pemikiran dan pendekatan Malik Bennabi dalam pembaharuan ketamadunan dan reformasi yang dipersembahkan pada hari Isnin 1 Januari iaitu tepat 2 minggu lalu. Ia adalah artikel pertama di CATATAN SI MERAH SILU sedangkan perkara yang diceritakan berlaku pada penghujung tahun 2023. Sejak itu saya agak malas hendak menulis walaupun ada membuat banyak perkara yang boleh dikongsikan cerita. Sekarang biar kemalasan itu dipecahkan dengan satu cerita kecil yang berlaku pada hujung minggu pertama tahun 2024 lalu baru betul-betul satu cerita daripada tahun baru.



Petang Sabtu 6 Januari 2024 kami membuat satu majlis makan-makan di rumah.




Ini adalah sempena pada hari Jumaat 5 Januari yang merupakan hari bekerja adalah hari ulang tahun kelahiran isteri yang ke-48.



Seorang kawan isteri yang menetap di taman perumahan sama pun menyambut tarikh ulang tahun kelahiran yang sama. Cuma beliau lebih tua setahun.




Kawan itu yang sudah sekitar 10 tahun kematian suami baru sahaja bernikah kembali pada hari Sabtu itu.




Selepas menghadiri majlis perkahwinan beliau di sebuah dewan dalam kawasan perumahan dibuatlah majlis makan-makan di rumah kami pula. Supaya sejumlah kawan dari luar kawasan yang hadir majlis perkahwinan dapat ke tempat kami.







Selain itu makan-makan diadakan sempena sebuah bilik kecil selesai dibina dan dihias di ruang hadapan luar rumah.







Lagipun kali terakhir kami mengadakan majlis makan-makan di rumah adalah pada musim raya Aidil Fitri lebih setengah tahun lalu.










Cuma untuk makan-makan ini kami tidak mengajak ramai datang seperti pada hari raya...










Yang penting dapat bergembira makan-makan sehingga lewat malam.