Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, September 22, 2018

Persidangan ASAL - Daripada hubungan Melayu-Cina membawa kepada kepentingan strategik Selat Melaka



Sketsa demi sketsa untuk menunjukkan kehebatan tamadun lama Melayu terus dipaparkan untuk menyokong tema acara. Kelihatan sejumlah pelakon menunjukkan keadaan dalam istana agung Melaka di mana para pembesar malah pedagang asing dapat berinteraksi dengan penuh adab di hadapan sang sultan.


Sketsa tersebut menjadi pembuka untuk pembentang keenam. Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang merupakan pakar pengajian dunia Melayu memulakan perkongsian. Caranya, dia dipanggil masuk menghadap Sultan kemudian pentas diberikan sepenuhnya untuk beliau bercerita.



Beliau yang pernah menjadi profesor bahasa Melayu di Beijing memilih untuk bercerita tentang hubungan Melaka-Cina sejak enam abad lalu. Menariknya Awang memakai busana tradisonal Melayu. Sedangkan setahu saya beliau yang merupakan budayawan bahasa terkenal, pernah menjadi ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka tidak pernah berpakaian begitu  dalam mana-mana majlis ilmu sebelum ini.


Sukacita dimaklumkan Awang adalah pensyarah saya bagi kelas "Islam in Malay History and Culture" di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Rujuk artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia yang dipersembahkan 22 hari  lalu kenapa saya menyambung pengajian pasca-siswazah di sana. Setiap kali menghadiri syarahan di ISTAC saya akan sekurang-kurangnya memakai tanjak kalau tidak pun sepersalinan penuh busana tradisional Melayu. Hal ini membuatkan beliau memberitahu kelas pertama kami 17 hari lalu bahawa beliau bercadang untuk memakai busana tradisional semasa persidangan ASAL berlangsung 12-13 September.


Sebagai penutup beliau membawa dua orang pembantu termasuk seorang rakyat Cina yang kini bekerja di Malaysia untuk mendeklamasikan satu sajak tulisan beliau tentang pertautan hubungan antara budaya. Selepas itu saya harus meninggalkan dewan untuk satu urusan


Apabila masuk kembali didapati bermula satu sketsa menggunakan alunan nazam penuh makna mendodoi anak kecil untuk menggambarkan suasana tradisional majlis bercukur bayi dalam dunia Melayu.


Selepas beberapa lama baru tersedar  saya nampaknya sudah tertinggal perkongsian ilmu oleh pembentang ketujuh Prof Madya Dr Farish A. Noor, seorang pakar sejarah yang kini bertugas di Singapura. Ini cuma disedari apabila pembentang kelapan,  Prof Madya Dr Syed Muhammad Khairudin AlJunied dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) naik ke pentas lalu membuka kata-kata.



Menariknya adalah bagaimana beliau menegaskan dengan penuh semangat dan bangga ketinggian  serta kehebatan tamadun Melayu lama. 


Sedangkan beliau berketurunan Arab bergelar Sayyid daripada susur galur Nabi Muhammad SAW. 


Sketsa seterusnya menunjukkan satu latihan silat. Sayangnya gerak langkah yang dipamerkan tebal dengan lenggang lenggok kumpulan penari, bukan langkah mantap kebiasaan pesilat.


Seterusnya naik pembentang kesembilan, Prof Madya Dr Muhd Pauzi Abd Latif, orang yang bertanggungjawab mendirikan muzium warisan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan koleksi barangan agak nadir seperti senjata api Melayu lama dan manuskrip-manuskrip luar biasa koleksi peribadi. Beliau kini bertugas di ISTAC untuk mendirikan muzium serupa di sana lalu turut menjadi pensyarah saya untuk kelas Research Methodology,


Pauzi bercakap tentang senjata api Melayu sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 malah seawal abad ke-13 di Pahang. Beliau menggunakan tulisan Barat seperti catatan harian Afonso Albuquerque ketika menyerang Melaka dan kajian lapangan W. Linehan yang terakam dalam JMBRAS (Jornal of Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society) untuk menyokong perkara.


Pembentang kesepuluh, Prof Madya Dr Asyaari Muhammad yang merupakan seorang pakar arkeologi maritim kemudian berkongsi pengalaman menarik beliau dalam bidang.


Beliau bercakap panjang lebar tentang kajian-kajian lapangan yang telah dilakukan di beberapa tempat terutama melibatkan Melaka serta kota pertahanan yang ditinggalkan oleh Portugis, Belanda dan Inggeris.


Saya sudah lupa sketsa seterusnya tentang apa, cuma melayan persembahan visual yang tetap menarik. Tenyata fikiran ini sibuk mencongak pelbagai kemungkinan tentang sejarah Melaka yang hilang lalu belum dapat disahkan melalui kajian-kajian bersifat akademik yang boleh diterima dunia.


Pembentang kesebelas dan terakhir Profesor Emeritus Dorodiatun Kuntjoro-Jakti merupakan seorang pakar ekonomi yang pernah menjadi menteri berkenaan di Indonesia. 


Beliau bercakap panjang lebar tentang kepentingan strategik Selat Melaka kepada dunia dan bagaimana pentingnya Malaysia dan Indonesia menjalinkan kerjasama untuk memanfaatkannya bersama.


Menarik adalah data-data yang dipaparkan seperti kelihatan cuma dapat dicapai oleh seorang yang memiliki kedudukan sangat penting dalam negara.


Turut dikongsikan rancangan strategik Indonesia untuk membangunkan seluruh Pulau Sumatera dalam memanfaatkan kepesatan laluan perdagangan Selat Melaka. Untuk butiran lanjut tentang sidang ASAL sila lihat laman sesawang mereka di sini. Cukup perkongsian buat malam ini.



Persidangan ASAL - Daripada busana tradisional Melayu ke matawang Kesultanan Melaka

Meneruskan usaha melepaskan gerak sambil meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang. Pergi ke satu majlis ilmu yang berlangsung di Kuala Lumpur Selasa-Ribu 12-13 September lalu.


Pagi Rabu 13 September 2018. Saya pergi ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menghadiri acara yang dipanggil sebagai Persidangan ASAL.


ASAL adalah singkatan untuk "Agung Sejak Azali Lagi". Ia merujuk kepada ketamadunan Alam Melayu yang dipercayai sudah sedia gilang gemilang sejak beberapa lama.


Majlis ini dianjurkan oleh rangkaian televisyen Astroawani. Ia menggabungkan persembahan seni budaya berbentuk teatrikal dengan pembentangan-pembentangan ilmu.


Untuk membantu persembahan sebuah layar besar selebar 100 kaki didirikan atas pentas. Ada juga skrin digital besar di kiri dan kanan dewan selain kombinasi permainan lampu ala kegunaan konsert yang berwarna-warni.



Tak hairanlah jika tiket masuk untuk acara adalah RM200 untuk orang awam, RM50 untuk pelajar. Selepas persembahan tarian kebudayaan membuka penggunaan pentas Gurindam Dua Belas karangan pujangga terkenal Melayu-Riau abad ke-19 iaitu Raja Ali Haji pula dialunkan berlatarbelakangkan lakaran grafik istana agung Kesultanan Melayu Melaka.


Ini diikuti pengenalan majlis oleh pengacara serta paparan barisan pembentang. Selepas beberapa lama, pembentang pertama Puan Zubaidah Sual yang merupakan seorang pakar busana tradisional Melayu pun muncul bercerita.


Beliau berkongsi ilmu tentang sejarah perkembangan pemakaian busana tradisional menggunakan beberapa sumber bertulis terutama kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor Tun Sri Lanang.


Penerangan kemudian diiringi sejumlah pembantu merangkap pelakon/model memakai persalinan pakaian yang menggambarkan beberapa watak seperti raja dan para pembesar pada zaman kegemilangan Melaka,


Ciri-ciri dan komponen pemakaian bagi setiap pangkat dan kedudukan pun diterangkan dari hujung kaki sanpai hujung rambut.


Pembentang seterusnya Profesor Dr Siti Zainon juga merupakan seorang pakar busana selain pakar rujuk budaya warisan Melayu 


Oleh kerana perincian pemakaian telah diterangkan oleh Zubaidah, beliau memilih untuk memanjangkan perkara daripada segi sudut warisan, asal usul dan sejarah.






Pembentang ketiga, Profesor Madya Dr. Paitoon Masmintra Chaiyanara merupakan seorang pakar rujuk bahasa yang pernah berkhidmat di beberapa universiti di Malaysia. 


Beliau memberikan penerangan panjang lebar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca atau bahasa perdagangan utama yang bukan sahaja dikenali di Alam Melayu tetapi di rantau sekeliling membawa ke tanah Arab, Parsi dan sebagainya.





Adapun pembentangan beliau dibuka dengan satu sketsa di mana beberapa orang pelakon memainkan watak orang Melayu yang kononnya menghadapi masalah mahu berdagang dengan bangsa asing yang datang ke Melaka disebabkan perbezaan bahasa. Paitoon pun memberitahu, seharusnya tiada muncul masalah kerana bahasa Melayu dikenali di serata dunia... semua yang datang berdagang wajib tahu bahasa kita itu. Pembentangan diakhiri dengan pelakon-pelakon tersebut berterima kasih kepada Paitoon setelah berjaya mendapatkan bahan dagang. Elemen-elemen teatrikal beginilah yang memberikan nilai tambah besar bagi persidangan ASAL,


Seterusnya hadirin diberikan gambaran tentang kesibukan dan kemeriahan dunia dagang di pelabuhan Melaka.


Ia menjadi pembuka bagi pembentangan keempat oleh Profesor Madrya Dr Ahmad Jelani Halimi, seorang pakar sejarah maritim tempatan. 



Beliau bercerita tentang kehebatan industri perkapalan Melayu yang menyemarakkan perdagangan di pelabuhan Melaka.


Seterusnya muncul Dr Ibrahim Bakar yang merupakan seorang pakar numismatik atau wang dan matawang.


Beliau bercerita tentang bentuk-bentuk matawang yang pernah digunakan beberapa kerajaan lama Alam Melayu terutama Kesultanan Melaka...





Jumaat, September 21, 2018

Menyambung/memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan sempena Ma'al Hijrah tahun 1440

Salam hari Jumaat. Demi melepaskan gerak lagi hendak meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang biar dilepaskan satu cerita daripada perjalanan hampir 2 minggu lalu.



Petang Isnin 10 September 2018 saya dan keluarga berlepas ke Perak untuk memenuhi satu panggilan kebatinan demi menyambung atau lebih tepat, memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan.



Hari itu adalah hari terakhir tahun 1439 Hijriah. Sampai ke pinggir bandar Teluk Intan kami membelok ke arah Kampung Gajah untuk sampai ke makam seorang moyang awal yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.



Untuk makluman inilah makam lama pertama pernah saya tuju demi menyambung wasilah keluarga. Ini berlaku selepas mendapat mimpi-mimpi dan petunjuk tertentu penghujung tahun 2001. Cerita berkenaan ada dipanjangkan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006.



Kami singgah bersolat di Masjid Kampung Bahagia yang terletak berdekatan. Inilah masjid pertama tempat saya menginap dalam rangka kerja menjejak salasilah keluarga dengan cara menziarahi makam-makam lama.



Dah sampai Teluk Intan terasa mesti pergi ke Menara Condong di tengah bandar. Oh. Sebelum itu kami singgah di masjid utama bandar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sultan Idris II, Teluk Intan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas itu baru ke tujuan utama kami berjalan ke Perak iaitu ke masjid lama Batak Rabit yang didirikan dalam tanah wakaf keluarga sebelah bapa iaitu keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. Saya mahu menunaikan niat bermalam 1 Muharram atau Ma'al Hijrah di masjid yang mungkin paling tua masih wujud di Perak.



Di sebelah masjid terdapat tanah perkuburan Islam yang dikhaskan untuk kaum kerabat kami sahaja, orang luar tak boleh masuk. Terperanjat kami apabila mendapati ada satu bahagian telah dibina bangunan cantik berbumbung. Difahamkan Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa ada melawat masjid dan tanah perkuburan kerana ada hubungan kekeluargaan lalu memberitahu mahu mendirikan bangunan. Tak pasti apakah ia memang peruntukan daripada baginda atau pihak lain.



Cuma yang menjadi kemusykilan kenapa ia dinyatakan sebagai makam seorang moyang utama kami yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam? Setahu saya juga pakcik-pakcik (mereka membesar di Batak Rabit, ayah saya pula mengikut ayahnya berhijrah ke Pahang) makam Laksamana pertama Perak ini atau lebih tepat Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor terletak di suatu tempat lebih 10 km ke arah timur laut. Lihat Makam baru (New tomb of) Laksamana Nakhoda Hitam?.



Apapun kami dapat tidur dalam masjid dengan nyenyak dan nyaman. Esoknya siang awal pagi 1 Muharram tahun 1440 Hijriah saya meninjau-ninjau persekitaran Sungai Perak di hadapan masjid. Tengok-tengok dah jadi tempat sewa bot untuk orang memancing udang galah. Lihat artikel The boating area at Batak Rabit di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Saya pun mengajak isteri dan anak-anak menikmati suasana pagi tepian sungai. Tengok-tengok seorang pemilik atau pengusaha perkhidmatan bot mengajak kami berjalan-jalan dengan bot. Nampaknya beliau cuba mengambil hati saya setelah mendapat tahu kami adalah ahli waris pemilik tanah wakaf. Sebelum itu saya ada memberitahu datang daripada keluarga Laksamana. Ini kerana pakcik-pakcik saya ada menyatakan rasa kurang senang tanah keluarga kami dijadikan tempat orang turun memancing. Sedangkan ia asalnya diwakafkan untuk aktiviti-aktiviti keagamaan seputar masjid yang turut didirikan nenek moyang kami yang bersemenda dengan keluarga Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah (yang dibuang ke Pulau Seychelles oleh British tahun 1875) juga keluarga adinda baginda, Raja Muda Musa, moyang kepada Raja Muda Perak sekarang, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Aziz (Sultan ke-31 Perak) ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Jaafar (Sultan ke-23). 



Saya sebagai generasi yang lebih muda boleh faham ada bagusnya terdapat tempat bot dan memancing di hadapan masjid dalam kawasan keluarga kami itu. Sekurang-kurangnya ada kemeriahan menaikkan perniagaan dan aktiviti orang tempatan sambil mereka menyumbang kepada tabung masjid. Pengusaha membawa kami sekitar satu kilometer ke hulu menghampiri satu kawasan yang dipanggil Sungai Durian di seberang. Ia adalah kawasan kaum kerabat saya daripada satu cabang lain.



Di situ ada makam seorang moyang utama yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu Keramat Sungai Durian. Walaupun terletak dalam kawasan hutan belukar berduri berpaya bagai ia boleh dicapai kalau sanggup meredah sampai ke pangkal dua batang pokok kelapa yang kelihatan seperti berkembar. Terperanjat saya dan isteri apabila mendapati kedua-dua pohon tidak ada lagi pucuk atau daun akibat disambar petir 3-4 bulan lalu. Entah apa petandakah ini. Yang nyata batang pokok yang tinggal seperti menjadi nesan tinggi menandakan kedudukan makam...






Tanpa dipinta kami dibawa berjalan lagi lebih jauh beberapa kilometer tapi ke hilir sehingga sampai ke jambatan menyeberangi Sungai Perak ke Lumut. Kami juga ditunjukkan satu tapak di mana dikatakan pernah berdiri sebuah kota Belanda hampir tiga abad lalu. Lihat artikel A boat trip of Perak river from Batak Rabit dan Down the bridge at Batu Lima Teluk Intan-Lumut route.



Tengah hari itu kami pergi ke Sungai Durian dengan menaiki kereta sekitar 15 km perjalanan darat untuk menziarahi makam kaum kerabat belah sana.




Dalam perjalanan kembali ke Bandar Sungai Buaya singgah ke rumah seorang kenalan di Sungkai lalu dibawa ke makam seorang tokoh tempatan yang dipercayai ada kena mengena dengan keluarga Laksamana. Lihat Makam (Tomb of) Tok Raja Tua, Sungkai.


Nota tambahan : Sekitar jam 9 malam seorang saudara telah menghubungi saya untuk memberitahu bahawa memang benar jasad Nakhoda Hitam telah dipindahkan ke Batak Rabit. Menurut beliau ini berlaku sekitar tahun 1940an atau 50an. Memang saudara ini patut tahu kerana lebih dekat dengan pejabat Laksamana. Bapa beliau pernah memegang jawatan tersebut, begitu juga datuk dan moyangnya.


Selasa, September 18, 2018

Mengenang Sebab Sebenar Kejatuhan Melaka - Tentang Teknologi Senjata Api Melayu dan Perbalahan Dalaman yang Dahulu Tidak Pernah Disebut Orang

Salam semua. Tadi timbul gerak untuk menaikkan artikel lama Sebab sebenar kejatuhan Melaka yang dikongsikan di blogspot ini hampir 12 tahun lalu ke Facebook. Namun timbul masalah kerana review untuk artikel tidak dapat dimuatnaik ke FB atas sebab tertentu. Untuk mengatasi masalah biar isi artikel dipersembahkan kembali menjadi satu artikel baru.

Saya tergerak untuk menaikkan isi artikel lama yang merupakan artikel ke-4 dalam blogspot ini yang kini memiliki lebih 1,700 buah artikel sendiri kerana memikirkan bagaimana kesedaran sejarah anak Melayu sudah jauh berubah sejak itu. Dahulu hal kejatuhan Melaka akibat perbalahan dalaman tidak pernah disebut orang, sekurang-kurangnya dalam wadah umum. Yang asyik disebut adalah Melaka kononnya ketinggalan zaman daripada segi persenjataan. Tidak ada diberitahu kepada umum bahawa Melaka sudah memiliki teknologi senjata api yang setanding dengan Barat ketika Portugis datang menyerang tahun 1511.

Di sini saya juga mengambil peluang untuk memperbaiki persembahan daripada segi spacing, justify dan sebagainya agar cerita lebih muda dibaca. Berikut adalah isi artikel yang sudah diperbaiki persembahannya...


Lakaran perang Aceh-Portugis di Melaka tahun 1629 Masihi


Assalamualaikum warahmatullah hi ta'ala wabarakatu.

Salah satu sebab utama saya memberanikan diri menulis buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang isinya menongkah arus zaman walaupun ramai memberi peringatan ia mungkin tidak akan memberi apa-apa keuntungan malah belum tentu lagi dapat mengembalikan modal adalah untuk memperjuangkan beberapa perkara yang saya yakin penting untuk mengembalikan jati diri sebenar bangsa Melayu Islam. Salah satu perkara tersebut ialah sejarah Melayu yang digelapkan. Kenapa sebut digelapkan? Kerana saya percaya banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang kekuatan sebenar bangsa kita dahulukala. Dan memang ada pihak berkepentingan yang tidak mahu kita tahu.

Pihak yang mana? Banyak. Paling utama adalah penjajah Barat pro Zionis, disokong para pemikir Orientalis. Bersama, mereka amat berkuasa menentukan arah hala-tuju sosio-politik dunia di samping mengawal kurikulum pelajaran sejagat lalu menulis sejarah termasuk tentang tanah air kita mengikut kaca mata dan kepentingan mereka sahaja. Saya juga percaya, rangkaian Zionis serta sekutu mereka yang bergerak di balik tabir sambil memakai pelbagai topeng muluk seperti persatuan membela hak asasi manusia dan gerakan politik pembaharuan amat arif akan ilmu jiwa dan sosiologi yang diperlukan untuk meneruskan agenda penggelapan. Ini kerana mereka memang mahukan umat Islam sentiasa merasa kerdil dan celaru jati diri akibat kurang faham hakikat asal usul kita yang sebenar.

Kita sering disogokkan dengan sejarah "rasmi" bahawa keSultanan Melaka yang merupakan simbol kegemilangan bangsa Melayu dahulukala jatuh ke tangan Portugis kerana ia bersifat kuno berbanding kuasa Barat. Kita diajar, budaya ilmu kita tidak sehebat Barat maka itu kita tidak mampu menepis kedatangan mereka. Kita diberitahu berulang-kali, kita kalah kerana pejuang kita cuma mengharapkan keris, tombak dan pedang sedangkan Portugis dan bangsa-bangsa Barat lain memiliki pistol, senapang dan meriam yang mampu membunuh daripada jauh. Maka itu, kita pun digambarkan seperti orang hutan yang duduk atas pokok lalu "sudah patutlah" kita dikalahkan dengan senang. 

Betulkah semua ini? Pernahkah kita fikirkan apakah kebenarannya secara mendalam?

Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan katanya itu baru separuh daripada meriam milik Melaka. Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu! Ada cerita menyebut, orang Portugis terjumpa sebuah benda ajaib di istana Melaka. Bila dipandang objek tersebut, muncullah muka manusia di dalamnya. Apabila diteliti balik, muka manusia itu adalah muka orang yang memandang... Rupa-rupanya objek itu adalah cermin tetapi orang Portugis baru kali pertama melihatnya! Jadi siapakah yang kuno dan siapakah yang lebih bertamadun? Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh ke tangan Barat?

Buku "Berpetualang ke Aceh" cuba mengajak bangsa Melayu supaya memikirkan perkara ini dan mengukur balik sejarah "rasmi". Beberapa bulan lepas, sedutan berkenaan sebab sebenar kejatuhan Melaka ini pernah dibangkitkan dalam website terpilih di Internet dan telah mendapat reaksi yang menggalakkan. Maka biarlah ia dibangkitkan lagi supaya perjuangan membongkar balik kebenaran agar yang bathil gugur dengan sendirinya dapat diteruskan. Insyaallah! Berikut adalah sedutan berkenaan daripada buku yang terbit Jun 2006 :-


===============


Pernahkah anda bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah? Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu? Lalu bagaimana ia boleh jatuh ke tangan Portugis yang menurut ceritanya cuma membawa beberapa buah kapal sahaja? Apakah kelengkapan Melaka begitu lemah?


Sejarah rasmi sering menyebut Melaka jatuh kerana kelengkapan moden angkatan Portugis mengatasi kelengkapan kuno orang Melayu. Mereka memiliki meriam-meriam berkuasa tinggi, istinggar (pistol lama), baju dan perisai besi sedangkan orang Melayu kononnya cuma mengharapkan tombak, lembing, pedang dan keris. Pakai pula baju Melayu yang senang dirobek senjata. Orang Portugis pakai baju besi yang tidak lut dek keris. Mana tak Melayu kalah? Kuno dan mundur ketinggalan zaman...

Tetapi tanyalah diri anda secara jujur. Apakah orang Melaka yang ketika itu telah lama menerima para pengunjung dan pedagang dari peradaban-peradaban besar seperti empayar Islam di Timur Tengah, China dan India begitu daif dan mundur? Kita telah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang jauh lebih maju daripada Barat zaman itu. Apakah orang Melayu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia? Apakah bangsa kita begitu kolot dan bodoh?


—————————


“Tidak. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno,” Rasyid bercerita ala seorang pejuang bangsa di hadapan beberapa orang kenalan lain pula. “Dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam dan istinggar yang boleh dibeli dari Timur Tengah atau Cina, sudah kenal apa itu baju besi. Malah aku yakin orang Melayu sudah mampu membuat semua alatan perang ini sendiri. Ingat Melayu dahulu bodoh sangatkah?”

“Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang,” dia meneruskan. “Bukan tidak pernah melihat senjata moden atau berfikiran kuno. Percaya atau tidak, mereka memiliki kebolehan tertentu untuk mengatasi alatan canggih.”

Angkatan laut Melaka yang sering meronda sepanjang Selat Melaka, laluan dagang tersibuk di dunia sampai sekarang pula diakui kecekapannya. Di bawah kepimpinan tokoh-tokoh berwibawa seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, ia telah berjaya memukul mundur armada laut Siam, juga ancaman mana-mana pihak...

“Bukankah ia cukup besar dan kuat untuk menjamin keselamatan penduduk, pendatang dan pedagang sepanjang Selat Melaka?” Rasyid mengutarakan. “Mampu meronda dari utara Semenanjung sehingga selatan ke Pulau Jawa, memantau dan menghidu pergerakan musuh sebelum mereka dapat menghampiri pusat pemerintahan di Kota Melaka?”

Lalu bagaimana Kota Melaka boleh jatuh? Lebih pelik lagi, di manakah angkatan laut Melaka ketika ia diserang? Satu soalan cepumas yang membuat ramai kenalan pemuda itu ternganga...

“Bacalah mana-mana buku cerita atau sejarah mengenai kejatuhan Melaka termasuk tulisan Barat yang berat sebelah,” dia mencabar pula. “Angkatan laut ini langsung tidak terlibat sehingga Melaka dengan senangnya boleh dibedil Portugis dari laut. Tidak ada satu pun kapal Melaka menghalang, tidak ada apa-apa sekatan. Tidakkah ini aneh?”

“Inilah akibatnya bila raja yang bodoh dan rakus diangkat menaiki takhta sementara pembesar yang korup diharap menjaga negara.” Rasyid terus bercerita. “Mereka yang benar-benar berkebolehan dipinggirkan sedangkan pembesar berwibawa yang masih ada menjadi tawar hati. Bagaimana jentera pertahanan hendak digerakkan dengan cekap? Mungkin penduduk Melaka sendiri serta para pedangang luar sudah siap sedia membelot, membuka laluan untuk Portugis menawan Melaka? Atau memang sudah lama wujud gunting dalam lipatan yang inginkan Melaka jatuh sehingga angkatan laut Melaka tidak berfungsi sama sekali?”

Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga! Rasyid juga pernah terbaca, tidak ingat di mana, sebuah laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka. Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat? Yang pasti, ada pihak yang membelot...

Apapun, nasi sudah menjadi bubur. Melaka jatuh dan terus dijajah selama lebih 400 tahun. Sultan Mahmud pula menjadi orang pelarian dan menurut ceritanya, terpaksa meninggalkan Kota Melaka lari selatan ke Muar. Itupun terus dikejar Portugis, tidak boleh duduk aman lama di satu lokasi, terpaksalah hidup merempat dari satu tempat ke satu tempat. Apakah dia menyesal atas segala perbuatannya dahulu?

“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!” Rasyid menambah seraya bermadah pula. Madah berhelah agaknya... “Hendak kata dia menyesal pun tidak pasti kerana dalam pelarian itulah Sultan Mahmud sempat membunuh anak kandungnya sendiri, Raja Ahmad!”


Isnin, September 10, 2018

Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan

Siang semalam hari Ahad 9 September 2018 berlangsunglah hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 iaitu Sultan Muhammad V.  Ia adalah hari keputeraan kedua baginda pada peringkat nasional setelah beberapa lama menaiki takhta. Pada tarikh tersebut berlaku sesuatu perkara yang menarik buat diri saya. Ini ceritanya...


Satu artikel tentang kira-kira penyelarasan masa antara sains dengan kitab yang saya tulis lebih sebulan lalu akhirnya keluar dalam akhbar Mingguan Malaysia 9 September. Mereka yang selalu mengikut blogspot ini harus tahu bahawa kira-kira tersebut disuakan dalam buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu : Menyelaraskan Pengetahuan Tentang Penciptaan Manusia Berdasarkan Kitab Berbanding Sains" juga buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia : Menyelaraskan Sejarah Pergerakan Manusia Sejagat Berdasarkan Kitab Berbanding Sains". Kedua-dua buku secara rasminya terbit Mac 2018. Sejak itu saya pun berusaha agar lebih ramai tahu tentang kira-kira.


Artikel yang meringkaskan perkara asalnya ditulis untuk akhbar lain. Tetapi entah kenapa, setelah beberapa lama saya diberitahu ia tidak sesuai untuk siaran. Saya pun cuba menghubungi Mingguan Malaysia. Sukacita sungguh apabila mendapati dalam tempoh kurang 2 minggu setelah berhubung artikel itu disiarkan dalam akhbar. 


Ia malah mendapat kedudukan yang signikan dalam bahagian rencana muka surat 9. Hal ini menyebabkan saya mengambil gambar berkenaan lalu dikongsikan dalam Facebook dan WhatsApp. Teks yang mengiringinya berbunyi :-


MENGANGKAT KAJIAN PENYELARASAN MASA ANTARA KITAB DAN SAINS

Alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan. Pada hari ini 9 September 2018, hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15, Sultan Muhammad V, artikel saya tentang kira-kira penyelarasan masa antara kitab dan sains keluar di suratkhabar. Kira-kira ini bertujuan untuk menjawab bagaimana kajian DNA Melayu mendapati nenek moyang orang Melayu sudah wujud di Asia Tenggara 60,000 tahun yang lampau. Sedangkan kira-kira ulamak berdasarkan kitab menyebut manusia pertama iaitu Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu.

Kira-kira ini menjadi sebab menulis buku saya yang ke-11, "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" serta 'kembarnya', buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" lalu menerbitkannya Mac 2018. Disebabkan mahu mengangkat perkara ke persada lebih tinggi saya masuk program Masters of Arts in Malay World Studies di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu) bermula Selasa lalu.

Artikel dalam suratkhabar cuba meringkaskan perkara dalam kurang 1,000 perkataan. Ini terpampang dalam ruang rencana muka surat 9 akhbar Mingguan Malaysia hari ini Ahad 9/9/18.


Sebetulnya ada satu lagi perkara istimewa berlaku siang semalam iaitu pada tarikh 9 September. Hal ini dinyatakan melalui perkongsian gambar atas dengan teks berikut di FB :-


TRIPLE WHAMMY 9 SEPTEMBER HARI INI

Semua tahu hari ini 9/9/18 adalah hari keputeraan rasmi pertama bagi Yang di-Pertuan Agong kini. Tadi sudah dikongsikan artikel saya tentang penyelarasan masa antara kitab dan sains yang keluar dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Sekarang biar dikongsikan lagi satu perkara. Pada hari ini genaplah 12 tahun tinggalan jenazah moyang saya sebelah bapa iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dibawa kembali ke negeri asalnya Perak. 

Beliau pernah dibuang negeri ke Pulau Seychelles di Afrika tahun 1876 kerana dituduh terlibat dalam pembunuhan residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. Muhammad Amin kemudian meninggal dunia dalam buangan di Singapura tahun 1908 lalu dimakamkan di sana. Tarikh 9 September 2006 menyaksikan tinggalan jenazah beliau dibawa kembali ke Perak menggunakan kapal perang KD Laksamana Muhammad Amin milik TLDM. Tinggalan ini disemadikan di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.


Lewat malam tadi pula tergerak saya untuk berkongsi satu kertas kerja tentang kira-kira penyelarasan masa yang dibuat 5 bulan lalu. Ia mengiringi syarahan saya tentang perkara di ISTAC 3 April 2018. Kertas kerja asalnya adalah dalam bentuk PdF tapi dikongsikan malam tadi dalam bentuk gambar Jpeg agar lebih mudah dicapai awam. Lihat artikel Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago : Alignment of Time, Revealed Knowledge and Science di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Adapun tujuan utama penulisan ini dibuat adalah supaya gambar daripada artikel suratkhabar lebih mudah dihayati orang. Ini kerana gambar yang dikongsikan di FB dan WA dikecilkan saiz secara automatik lalu hilang ketajaman dan perincian. Tetapi saiz boleh dikekalkan dalam blogspot. Cuma perlu klik pada gambar atau buka dalam tetingkap (windows) baru untuk paparan lebih jelas.

Alang-alang mahu berkongsi gambar lebih jelas biar dikongsikan cerita-cerita berkenaan. Biar juga dikongsikan carta senarai 25 orang Rasul/Nabi yang patut diketahui berserta zaman kehidupan dan hayat. Ini dibuat berdasarkan maklumat daripada kitab juga jangka masa menurut kira-kira berdasarkan penyelarasan masa antara sains dan kitab. Ia terdapat dalam artikel suratkhabar juga kertas kerja yang dikongsikan dalam bentuk gambar melalui artikel Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago : Alignment of Time, Revealed Knowledge and Science . Untuk pemahaman lanjut rujuk artikel-artikel berikut serta ikuti rakaman syarahan/perkongsian di dalamnya :-








Berikut adalah teks isi artikel yang diperolehi daripada website atau laman sesawang Mingguan/Utusan Malaysia...


KEWUJUDAN MELAYU DALAM KITAB DAN SAINS

Radzi Sapiee
09 September 2018 12:00 PM


KITAB suci al-Quran menyebut manusia mula wujud apabila Allah mencipta Nabi Adam a.s daripada tanah. Ini diikuti isteri baginda, Siti Hawa yang dicipta daripada tulang rusuk Adam.

Kedua-dua asalnya menetap di syurga kemudian diturunkan ke muka Bumi. Daripada perkahwinan mereka wujudlah keturunan manusia sampailah sekarang. Namun, ini bertentangan dengan kepercayaan sains yang mendakwa manusia wujud akibat proses semula jadi di alam semesta.

Dikatakan manusia tercipta akibat proses evolusi panjang daripada makhluk asas satu sel berubah menjadi makhluk banyak sel. Ini berlaku dalam banyak peringkat. Selepas beberapa lama terciptalah kehidupan laut berbentuk ikan.

Daripada ikan ada yang berevolusi menjadi dinosaur seterusnya mamalia lalu membawa kepada kewujudan manusia. Itu yang selalu disebut saintis sebagai manusia berasal daripada beruk.

Manusia dalam bentuk kurang lengkap dikatakan telah wujud seawal empat juta tahun lampau. Manusia lengkap dengan sifat tubuh badan juga kapasiti otak serupa kita sekarang dikatakan mulai wujud 209,000 tahun lalu. Sains memanggilnya sebagai homo sapiens.

Sebagai orang Islam kita wajib menolak dakwaan yang mengatakan manusia berasal daripada beruk. Sebetulnya dalam kalangan saintis sendiri ada yang menolak teori tersebut.

Menurut kajian DNA memang tiada hubungan pun antara manusia moden homo sapiens dengan makhluk-makhluk awal manusia yang bentuknya dikatakan mendekati beruk itu. Oleh itu apakah homo sapiens pertama adalah Nabi Adam? Boleh jadi. Sains seharusnya memiliki kebenaran yang boleh diselarikan dengan kepercayaan dalam agama dan kitab.

Masalahnya homo sapiens dikatakan mulai wujud 209,000 tahun yang lampau. Sedangkan kira-kira ulama berdasarkan maklumat daripada al-Quran menunjukkan Nabi Adam diturunkan ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu.

Seorang saintis Melayu, Profesor Madya Dr. Zafarina Zainuddin daripada Universiti Sains Malaysia (USM) bahkan mendapati orang Melayu sudah menduduki Asia Tenggara seawal 60,000 tahun lalu. Bagaimana mahu dikait dengan Nabi Adam kalau kajian Zafarina itu benar?

Penulis sudah lama memikirkan hal ini lalu sering bertanya kepada golongan cendekiawan. Apabila didapati tiada siapa dapat memberikan jawapan memuaskan penulis pun berusaha untuk mencari jawapan sendiri.

Didapati penyelesaiannya terletak pada cara kita melihat dan mengira masa. Ini kerana penulis pernah diberitahu oleh orang tua-tua bahawa hari-hari pada zaman dahulu kala lebih panjang berbanding sekarang.

Perkara ini ada dibayangkan dalam satu hadis Nabi. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Tidak akan datang kiamat sehingga waktu semakin berdekatan, setahun seperti sebulan, sebulan seperti seJumaat, seJumaat seperti sehari, sehari seperti sejam, dan sejam terasa hanya sekejap,".

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa hari-hari menjadi semakin pendek maka semakin dunia menghampiri kiamat. Seorang tua pernah memberitahu, pada zaman Nabi Muhammad orang boleh menanam kacang waktu pagi dan mengutip hasilnya waktu petang.

Sedangkan ini memakan masa beberapa hari pada zaman sekarang. Setelah beberapa lama meneliti perkara ini, penulis mencipta satu formula matematik untuk menyelaraskan masa dan pandangan.

Berdasarkan ini didapati kenyataan sains yang mengatakan manusia moden homo sapiens telah wujud 209,000 tahun lampau boleh diselarikan dengan kenyataan berdasarkan kitab bahawa Nabi Adam diturunkan ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu.

Cuma dalam kalangan ulama sendiri terdapat beberapa kira-kira atau pendapat berbeza tentang pada tahun bilakah baginda diturunkan.

Setelah meneliti sejumlah rujukan, antaranya tulisan cendekiawan bertaraf antarabangsa Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan maklumat daripada Pameran Warisan Rasul dan Anbiya di Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam, Selangor, didapati Adam turun ke muka bumi 5,872 tahun Sebelum Masihi (SM).

Seterusnya diambil pendapat bahawa banjir besar Nabi Nuh berlaku pada tahun 3650 SM. Ini dipadankan dengan letupan gunung berapi gergasi yang menurut sains menerbitkan tasik besar Danau Toba di utara Sumatera 74,000 tahun lalu.

Pemadanan dibuat setelah mengkaji isi buku Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia tulisan Profesor Dr. Stephen Oppenheimer daripada Oxford University, United Kingdom (terbit tahun 1998) dan Atlantis : The Lost Continent Finally Found tulisan Profesor Arysio Santos daripada Federal University of Minas Gerais, Brazil (2005).

Kedua-dua cendekiawan Barat itu berkata Asia Tenggara pada zaman purba adalah sebuah benua besar dengan saiz dua kali ganda benua Hindi. Dikenali sebagai Sundaland atau Benua Sunda ia ditenggelami air akibat malapetaka sehingga wujud bentuk muka bumi sekarang.

Nombor-nombor atau nilai tersebut (209,000 tahun lalu menurut sains, 5872 SM berdasarkan kitab) difaktorkan ke dalam formula matematik berdasarkan graf fungsi salingan. Turut dimasukkan anggaran bahawa satu hari pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah bersamaan lima hari sekarang.

Kira-kira dan segala sebab musababnya ada dipanjangkan dalam buku bertajuk Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu. Implikasi kira-kira pula dipanjangkan dalam ‘kembar’ buku tersebut. Tajuknya adalah Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia. Kedua-duanya diterbitkan sendiri serentak pada Mac 2018.

Menggunakan kira-kira ini sejarah dunia dan manusia menurut sains dapat dipadankan dengan zaman kehidupan 25 orang Nabi yang wajib kita ketahui. Namun ia membawa kepada beberapa hal yang kelihatan 'gila'. Antaranya adalah satu hari pada awal zaman Nabi Adam AS adalah bersamaan 106 hari zaman sekarang.

Lebih 'gila' lagi adalah ini seterusnya membawa kepada implikasi baginda hidup selama 75,370 tahun jika dikira menurut masa sekarang. Untuk makluman, kira-kira berdasarkan kitab meletakkan baginda sebagai hidup 930 tahun di muka bumi. Itu sendiri sudah tidak masuk akal menurut neraca ilmu sains Barat yang menolak kewujudan Tuhan.

Pun begitu kira-kira ini dapat mengisi beberapa kelompongan besar yang wujud dalam sejarah alam Melayu. Misalnya kenapa kerajaan pertama diketahui wujud di Asia Tenggara iaitu Funan mula berdiri pada abad pertama masihi.

Sedangkan di China, benua Hindi, Parsi, Tanah Arab, Afrika dan Eropah sudah wujud kerajaan-kerajaan besar pada abad ke-6 Sebelum Masihi malah lebih awal. Ia juga dapat meletakkan orang Melayu yang menurut kajian DNA telah wujud 60,000 tahun lalu ‘masuk kembali’ sebagai keturunan Nabi Adam.

Disarankan para saintis dan agamawan dapat bersama mengkaji penemuan ini untuk mencapai titik temu. Semoga tidak ada lagi percanggahan dan pencapahan dalam cara sains dan agama melihat dunia dan sejarah panjang kewujudan manusia zaman berzaman.

PENULIS adalah pengasas NGO Himpunan Kedaulatan Melayu Akhir Zaman (HIKMAH).