Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, September 04, 2012

Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Ujian Sungai Koyan ke Cameron Highlands

Hari ni sudah 17 Syawal. Adapun hujung minggu lalu sempena cuti hari kemerdekaan Malaysia yang ke 55 kami sekeluarga ada membuat satu perjalananan kecil yang harus diceritakan nanti. Buat masa ini biar disambung cerita dari Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran menunggang ke Raub melalui Bukit Fraser. Biar juga dikongsi peta di bawah ini...



Peta ini menunjukkan laluan pengembaraan yang diceritakan dalam Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran menunggang ke Raub melalui Bukit Fraser. Seharusnya ia dikongsikan dalam artikel tersebut tetapi ketika mempersembahkannya saya belum tahu cara mudah untuk melakar kembali laluan pada peta... hujung minggu lalu baru ditunjukkan cara oleh seorang sahabat saya, Zaidi.

Melalui lakaran yang boleh diterbitkan secara automatik di Google Map ini saya diberitahu jarak yang dilalui adalah 135 km. Tetapi ini tidak dicampur jarak saya berpusing-pusing melihat pemandangan di Kuala Kubu Baru juga sebahagian Bukit Fraser sebelum mencari makam Raja Billah di Kampung Sempalit, Raub. Maka saya percaya jarak sebenar perjalanan harus tidak kurang 148 km.

Dengan adanya peta ini saya rasa elok dinyatakan bahawa pada asalnya saya mahu mengambil laluan Rawang-Batu Caves kemudian lebuh raya Karak ke Bentong untuk ke Raub. Laluan ini lebih jauh tetapi lebih mudah dan selamat kerana saya sudah tahu kedudukan stesyen-stesyen minyak dan ia dilalui lebih banyak kenderaan berbanding jalan Bukit Fraser. Dan walaupun kedua-duanya menyeberangi kawasan pergununan Banjaran Titiwangsa, lebuh raya Karak jauh lebih lancar berbanding laluan Bukit Fraser yang sempit lagi berliku-liku. Tetapi setelah memikirkannya dalam-dalam saya terasa harus lebih berani mengambil laluan Fraser dan ini sebenarnya menjadikan saya lebih yakin untuk membuat perjalanan seterusnya.


Ahad 12 Ogos 2012, setelah puas bermalam di rumah almarhum Nenek di Kampung Sempam Baru, Raub saya pun bersedia untuk ujian hari kedua.


Saya mahu naik Cameron Highlands melalui Sungai Koyan, satu laluan yang belum pernah saya ambil sebelum ini. Singgah dahulu di makam Nenek yang terletak tidak jauh dari rumah.




Jalan ke Sungai Koyan melepasi pekan kecil Batu Malim. Saya terpanggil untuk turun sebentar mengambil gambar Sungai Lipis di sebelah sini. Lihat artikel Lipis river at Batu Malim di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Perjalanan diteruskan ke Kuala Medang, 60 km ke utara bandar Raub. Saya menyeberangi Sungai Jelai untuk masuk ke satu kawasan kampung.


Adapun Kuala Medang terletak sekitar 9 km melepasi simpang ke Cameron Highland di Sungai Koyan. Tapi biasa le saya, suka sangat berjalan-jalan melihat pelbagai ceruk rantau tempat orang.


Saya sudah beberapa kali berjalan ke Kuala Medang tetapi cuma dua kali masuk ke kawasan kampung selepas sungai. Teringat bagaimana sekitar 10 tahun lalu saya berjalan di sekitar ini untuk mendapatkan 'rasa' sejarah berkenaan perjalanan pahlawan-pahlawan lama Pahang terutama Datuk Bahaman, si Orang Kaya Semantan. Kali ini saya pergi lebih jauh ke dalam sehingga mengambil jalan batu-batu kasar yang rupa-rupanya boleh membawa kembali ke pekan kecil Kuala Medang selepas melepasi dua lagi jambatan.


Puas berjalan-jalan melihat kampung saya kembali ke Sungai Koyan lalu mengisi minyak. Di stesyen ini saya terserempak dengan sekumpulan 8 orang gitu penunggang motosikal besar dari Kuala Lumpur yang baru sahaja selesai membuat perjalanan balik hari ke Cameron Highlands.


Selepas berehat seminit dua saya pun bersedia untuk mengambil laluan tersebut.


Adapun laluan Sungai Koyan ke Cameron Highland ini baru sahaja dibuka tahun 2010 menjadikannya jalan naik keempat untuk ke Cameron. Jalan terawal iaitu dari Tapah, Perak sudah lama wujud ketika saya pertama kali sampai ke tanah tinggi peranginan tersebut penghujung tahun 70an atau awal 80an, laluan kedua pula iaitu dari Simpang Pulai, Ipoh dibuka tahun 1990an tetapi baru penghujung 2010 saya mengambilnya. Laluan ketiga iaitu dari Gua Musang dibuka sekitar tahun 2003 dan dilalui saya buat pertama kalinya 3 tahun lepas. Sekarang sampailah giliran untuk mencuba laluan Sungai Koyan...


Sejak seorang sepupu dari Raub memberitahu tentang laluan ini lebih setahun lalu menyimpan hasrat untuk mencubanya, masuk bulan Ramadhan tahun ini baru betul-betul menanam tekad. Terus terang cakap saya agak risau kerana akan menunggang motosikal besar berusia 15 tahun yang pernah tersadai 5 tahun akibat kerosakan, motosikal yang sudah 9 tahun tidak dibawa berjalan jauh. Setelah mendapat tahu jarak dari Sungai Koyan ke Ringlet di Cameron Highlands di mana terdapat stesyen minyak adalah 80 km, bukan lebih 100 km seperti disangkakan pada awalnya baru hilang sedikit kerisauan. Alhamdulillah, kejayaan mengambil laluan Bukit Fraser ke Raub pada hari pertama pengembaraan bermotosikal besar ini turut meningkatkan keyakinan.


Ternyata jalan ini cantik dan lebar seperti halnya laluan dari Simpang Pulai juga dari Gua Musang. Setelah melepasi laluan Bukit Fraser yang lebih sempit malah lebih berliku-liku daripada laluan lama Tapah ke Cameron Highlands, jalan dari Sungai Koyan terasa jauh lebih santai.


Tidak lama kemudian sampai ke simpang masuk ke penempatan Orang Asli di Pos Betau.


Selepas itu motosikal menyeberangi sebuah jambatan. Sekitar 200-300 meter kemudian timbul rasa tak puas hati kerana mahu melihat sungai dengan lebih teliti. Saya pun berpatah balik lalu bertanyakan orang tempatan yang kebetulan ada berdekatan. Apabila diberitahu ia adalah Sungai Jelai saya pun mengambil gambar. Lihat Jelai river near Pos Betau.

Sepanjang perjalanan saya ada berhenti lagi di beberapa tempat untuk menikmati pemandangan. Lihat Jelai river from further up Pos Betau dan The views from a fully elevated part of the Sungai Koyan-Cameron Highlands road. Tidak lama selepas itu motosikal pun memasuki sempadan daerah Cameron.


Ini diikuti satu kawasan pembalakan.




Saya sempat berhenti melihat satu lagi pemandangan sebelum cuaca mula memburuk menandakan hujan lebat di hadapan. Lihat A look at some development just after entering Cameron Highlands. Saya pun berhenti di tempat yang kelihatan ini untuk memakai baju hujan juga menutup beg kulit kiri dan kanan motosikal dengan lapisan kanvas. Teringat pula pengembaraan pertama dengan motosikal sama yang dilakukan tahun 1997, setahun selepas bekerja di akhbar The New Straits Times lalu disahkan kedudukan dan dibenarkan mengambil cuti. Teringat saya mengambil cuti satu setengah bulan. Selepas menghadiri majlis perkahwinan seorang sepupu di Bukit Damansara saya terus bergegas untuk mengembara tanpa mempedulikan saranan saudara mara agar bermalam dahulu di sana. Malah saya redah hujan lebat tanpa memakai pun baju hujan sehingga masuk ke negeri Perak. Kalau tak salah ingatan saya telah bermalam samada di Tanjung Malim atau di Tapah kemudian esoknya naik ke Cameron...


Berbalik pada pengembaraan terbaru ini, ternyata pakaian hujan murah yang dibeli beberapa tahun lalu tidak dapat menahan penangan hujan lebat. Saya basah teruk seluruh badan sedangkan tidak ada tempat untuk berlindung sampailah ke Lembah Bertam. Dalam keadaan sejuk disapa hujan lebat dan kedinginan angin pergunungan saya membuat keputusan untuk terus sahaja ke stesyen minyak di Ringlet. Di situ baru dapat berlindung, membuka baju hujan, jaket dan baju t-shirt untuk mendapat sedikit kelegaan.


Di situ juga saya mengisi lagi minyak dan harus menunggu setengah jam sebelum hujan betul-betul reda. Setelah langit cukup terang saya menyimpan baju hujan, jaket yang masih basah diikat pada penyandar kerusi belakang motosikal agar dapat disapa angin dalam perjalanan. Saya memakai kembali t-shirt basah yang telah diperah lalu menyambung perjalanan ke Tanah Rata. Walaupun kedinginan, sapaan angin dapat menghilangkan sedikit kelembapan. Sambil itu saya berhenti di dua tempat untuk menikmati lagi pemandangan. Lihat artikel A misty after rain look at the Bharat plantations dan Bharat plantations from a higher point of view.


Sekitar jam 5: 43 petang saya pun sampai ke bandar Tanah Rata.


Terus menuju ke masjid jameknya di mana saya akan beriktikaf satu malam.


Selepas mandi dan bertukar pakaian bersih saya berjalan kaki ke pusat bandar. Hampir waktu berbuka baru kembali ke masjid. Lihat Walking from Tanah Rata mosque.


Ini adalah keadaan orang bersolat tarawih di masjid.


Ini pula adalah sudut yang dipilih untuk bermalam.


Peta perjalanan hari kedua. Perkiraan Google Map meletakkan jarak yang dilalui sebagai 161 km. Tetapi kalau dicampur jarak saya berpusing mengambil jalan kampung di Kuala Medang (tidak wujud dalam Google Map), jarak berpatah balik untuk melihat lebih teliti pemandangan di beberapa tempat malah ada juga jarak berpusing di Tanah Rata sebelum tidur saya percaya jumlah perjalanan sebenar yang dibuat hari itu sekitar 183 km.


Rabu, Ogos 29, 2012

Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Cabaran menunggang ke Raub melalui Bukit Fraser

Assalamualaikum warohmatullahi ta'ala wabarakatu. Setelah membuat artikel Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa" pada hari terakhir bulan Ramadhan saya belum lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Bathin kepada pembaca. Hari ini hari ke 11 kita merayakan bulan Syawal rasanya tidak terlambat untuk mengucapkannya. Untuk sedikit perkongsian raya lihat artikel Johan's first Hari Raya dan Second raya when the extended family gathered di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

OK. Sebelum raya saya ada menulis artikel Akan datang cerita - Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun memberitahu saya ketika itu baru sahaja kembali dari satu pengembaraan baru.   Sedikit pengenalan tentang pengembaraan yang dibuat 22-27 Ramadhan itu telah dibuat dalam artikel tersebut. Hari ini saya rasa sesuai untuk memulakan huraian cerita. Bismillahirrohmanirrahim... :]



Tengah hari Sabtu 11 Ogos 2012 bersamaan 22 Ramadhan 1433. Setelah menyiapkan segala barang yang perlu saya pun bersedia untuk memulakan pengembaraan baru. Adapun punat meter pada motosikal besar saya sudah lama patah lalu tidak boleh direset atau dikosongkan. Maka saya ambil gambar ini untuk mengingatkan bahawa perjalanan dimulakan dengan meter bawah menunjukkan angka 150.6 yang bermaksud 150.6 batu pada motosikal ini, bukan kilometer (motosikal ini ikut style lama).


Allah! Timbul rasa sayu ketika hendak melangkah keluar terutama apabila melihat muka anak kecil saya Muhammad Alauddin Johan yang ketika itu berumur hampir 6 bulan. Sudah disebut dalam artikel pengenalan sejak berkahwin dengan isteri sekarang penghujung 2008, paling lama saya pernah meninggalkan keluarga adalah 3 hari 2 malam. Kini saya mahu mengembara sendirian 6 hari 5 malam...


Namun sebagai seorang lelaki saya harus juga membuat pengembaraan sendirian apa lagi untuk mengambil berkat bulan puasa. Kelihatan saya sudah bersedia dengan motosikal kesayangan yang sudah berumur 15 tahun, jentera berkuasa tinggi yang dibeli setelah cukup duit hasil hampir setahun bekerja sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times 1997, motosikal yang pernah tersadai di Janda Baik akibat kerosakan 2003-2008.


Sebelum motosikal tersadai saya sering mengembara jauh ke merata pelusuk Semenanjung Malaysia. Sejak ia diperbaiki 2008 paling jauh saya pernah membawanya adalah untuk balik kampung di Muar. Lihat muka toya saya ini, muka seorang family man. Dahulu muka ini sering berkitar antara garang bermata tajam seperti hendak menelan orang, sentiasa mahu menang dan menundukkan lawan atau muka tersenyum gatal mengurat perempuan, jika tidak tersenyum angkuh kerana terlebih yakin atas kebolehan sendiri apalagi sering dipandang tinggi orang. Kini saya cuba menyembunyikan dan menahan sebak di dada untuk meninggalkan anak dan isteri walaupun cuma buat beberapa hari.


Dari rumah di Bandar Tasik Puteri motosikal pun meluncur laju ke Rawang terus melepasi Serendah menghala ke Kuala Kubu Baru. Singgah sebentar bersolat di masjid lama Ampang Pecah.

Adapun dalam perjalanan itu saya nyaris-nyaris berpatah balik apabila enjin motosikal tiba-tiba mati sebelum persimpangan ke Hulu Yam. Tak tahulah apa masalahnya. Maklumlah motosikal yang sudah lama tidak dibawa berjalan jauh. Apakah saya sudah terlupa mengisi minyak dan silap menjangka keadaan kerana motosikal ini memang dibuat tanpa meter penanda aras minyak? Kita pula yang kena pandai agak-agak berdasarkan kapisiti tangki 13.5 liter yang ketika penuh boleh membawa hingga ke sekitar 200 km atau lebih, boleh juga menjadi kurang bergantung pada cara kita membawa motosikal, memecut dan sebagainya. 

Tetapi anggaran ini terpakai jika motosikal keadaannya seperti baru. Dalam keadaan sudah berumur 15 tahun dan pernah tersadai 5 tahun, pernah rosak satu karburator hampir sepanjang hayatnya sebelum diganti  elok sekitar tahun 2010, saya tidak dapat membaca keadaan sebenar apa lagi sudah lama tidak dibawa berjalan jauh. Saya terpaksa menolak motosikal berat ini beberapa puluh meter sebelum ada penduduk tempatan bertanyakan apa masalahnya. Saya jawab tak tahu. Mungkin terlupa mengisi minyak. Dia menyuruh seorang anak muda yang kebetulan lalu berdekatan untuk membeli sedikit minyak daripada stesyen lebih kurang 1 km di hadapan sementara kami menunggu di tempat teduh. Peliknya sejurus sebelum pemuda itu kembali motosikal dapat dihidupkan. Aaah...




Apapun saya tetap mengisi minyak yang dibeli sekitar RM5 tadi. Sampai di Kuala Kubu saya mengisi lagi sehingga penuh lalu mendapati bahawa paras minyak ketika enjin mati masih setengah tangki! Maka apakah yang menyebab ia mati tadi? Apakah akibat memecut laju jauh setelah lama tidak berbuat begitu? 

Ah... hampir-hampir saya jadi pengecut apabila terfikir mahu berpatah balik ke Rawang mencari mekanik di tempat biasa saya lalu menundakan perjalanan ke tarikh lain atau membatalkannya terus. Selama bertahun dahulu saya tidak pernah risaukan itu semua namun Allah tetap menyampaikan saya ke destinasi walaupun pernah banyak kali berlaku kes enjin 'batuk' malah mati akibat karburator yang tidak lancar berfungsi. Apakah saya sudah hilang keyakinan terhadap Qada' dan Qadar serta perancangan Ilahi?


Tidak. Saya tidak boleh membiarkan diri ini ragu-ragu. Saya bukan tidak pernah tersangkut seorang diri dalam hutan dan sebagainya baik di negeri orang mahupun di tempat sendiri. Namun tetap saya cekalkan hati atas keyakinan dan tawakal kepada Yang Maha Perancang. 

Saya pernah lebih 5 tahun mengembara merata seorang diri tidur bersepah di masjid dan makam-makam tanpa memiliki apa-apa sumber pendapatan. Saya sanggup ditendang kerja, bercerai dengan anak dan isteri dan dicerca keluarga untuk mencari makna hidup yang sejati. Apakah keyakinan saya sudah luntur setelah hampir 4 tahun hidup selesa berumah-tangga kembali?

Tidak. Saya tidak boleh membiarkan ini. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk mengembara sendirian setelah beberapa lama. Antaranya untuk menghidupkan kembali rasa yakin dan tawakal tersebut, rasa yang tidak boleh didapati jika kita sekadar pandai berbincang dan berteori tentang kehidupan, ilmu kenal diri, ilmu Tasawuf dan sebagainya dalam keselesaan rumah dan pejabat juga di depan komputer. Selepas berpusing-pusing sedikit di pekan Kuala Kubu saya pun meneruskan perjalanan ke empangan Kuala Selangor. Lihat paras air rendah yang ditunjukkan dengan tanah merah. Dianggarkan  paras air sudah turun 25 kaki. Apakah ini berkaitan krisis air yang dikatakan bakal melanda Selangor?


Ini pula gambar di sekitar kawasan air terjun Sungai Chiling beberapa kilometer selepas itu. Kalau tidak memikirkan takut terlepas jadual turun naik Bukit Fraser harus saya turun bermandi-manda (ketika itu saya tak tahu perubahan keadaan di bukit itu).


Jalan semakin berliku menunjukkan pendakian semakin galak menaiki kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa.


Tidak lama kemudian sampailah ke tempat bernama Gap yang boleh dikira sebagai 'pangkal' Bukit Fraser. Ketika itu sudah jam 3.37 petang. Saya dapati tidak ada orang menjaga pondok jalan masuk. Mungkin kerana saya sampai setelah lebih setengah jam jalan dibuka untuk kenderaan mendaki ke atas?


Saya sudah banyak kali naik Bukit Fraser termasuk sekurang-kurangnya 2 kali menunggang motosikal besar. Mereka yang pernah ke sana tentu tahu bagaimana jalan ke atas yang agak sempit itu digilir-gilirkan antara jam tertentu buat kenderaan naik dan turun.


Maka saya agak terperanjat apabila melihat papan tanda menunjukkan ada jalan lain untuk turun. Bukan saya tidak pernah lalu tetapi jalan ini pernah ditutup agak lama akibat selalu sahaja dilanda tanah runtuh. Sehingga apabila kali terakhir saya naik dengan kereta bersama anak-anak dan isteri tahun 2010, kami diberitahu kemungkinan besar jalan yang dibina kurang 10 tahun  ini (kalau tak salah) akan ditutup terus buat kenderaan awam.


Selepas berpusing-pusing sebentar menikmati udara dingin di puncak Bukit Fraser saya pun turun melalui jalan tersebut. Rasanya inilah kali pertama motosikal saya dibawa melalui ini.


Sampai ke pekan kecil yang kalau tak salah ingatan dipanggil Tranum teringat bagaimana ketika kecil-kecil dahulu bapa selalu membawa kami sekeluarga menaiki kereta menggunakan jalan lama Kuala Lumpur-Pahang untuk kembali ke kampungnya di Raub. Jalan yang berliku-liku sering membuat kami pening sambil terhimpit-himpit apabila mengambil selekoh. Seringkali juga kami termuntah apabila tak tahan. Selain itu teringat juga di sekitar pekan ini selalu ada sekatan jalan yang dibuat tentera. Ini kerana sehingga tahun 70an hutan sekitar masih kawasan hitam tempat pengganas komunis beroperasi dan membuat kacau.


Di satu selekoh hampir ke Raub saya berhenti melihat satu bahagian sungai jauh ke bawah. Gambar ini sebenarnya dizoom. Kedudukan sebenar lebih jauh ke bawah. Saya seringkali tertarik untuk berhenti apabila melewati kawasan ini. Sungainya kelihatan seperti memanggil-manggil untuk kita terjun dan mandi.


Ah. Ketika menulis perenggan tadi saya teringat bagaimana kereta yang dipandu bapa boleh terjatuh masuk gaung di jalan yang sama tapi tak pasti di kilometer atau batu mana. Walhal bapa saya seorang yang agak handal mengendalikan kenderaan. Akibatnya kereta yang ketika itu baru sekitar 3 minggu dibeli rosak teruk, terus total loss, tidak boleh diperbaiki dan dipakai. Menariknya ketika itu ibu sedang mengandungkan saya tidak sampai 3 bulan. Mereka sedang menuju ke Raub untuk memberitahu almarhum Tok Chat (ayah kepada ayah) dan Nenek (ibu kepada ayah) bahawa mereka bakal mendapat cucu sulung.

Adapun ayah saya adalah anak sulung, begitu juga ibu anak sulung keluarganya. Saya adalah cucu sulung keluarga sebelah bapa juga sebelah ibu. Walaupun kemalangan berlaku agak dasyat ibu dan bapa tidak cedera malah saya yang masih berupa kandungan kecil terus melekat dengan kuasa Allah. Kini saya memasuki usia 42 tahun, kalau ikut kalender Islam sudah berumur 43 tahun apabila masuk malam tujuh likur 27 Ramadhan. Kalau ikutkan pengalaman hidup sudah berlaku banyak peristiwa di mana saya boleh sahaja mati terbunuh tanpa disedari ahli keluarga.  Tetapi atas sebab tertentu Allah masih memanjangkan umur...


Alhamdulillah akhirnya sampai juga saya ke tujuan utama hari pertama pengembaraan motosikal besar ini iaitu Raub, tempat ayah pernah membesar setelah dia mengikut almarhum Tok Chat dan Nenek berhijrah dari Teluk Intan, Perak. Teringat pula bagaimana saya baru mula hendak mengenali salasilah keluarga ketika Nenek hampir-hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir 10 tahun lalu. Teringat bagaimana penghujung 2001 saya telah mendapat satu mimpi tertentu lalu tidak lama selepas itu berkejar menaiki motosikal besar ke rumah Nenek seorang diri untuk menanyakan maksud mimpi tersebut. Kemudian apabila mendapat tahu identiti seorang moyang utama saya pun berkejar ke Perak dengan mengambil jalan dari Raub ke Bukit Fraser lalu bermulalah proses menziarahi makam-makam lama nenek moyang.


Sesungguhnya banyak kenangan lalu bermain di fikiran ketika membuat perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun ini. Insyaallah saya akan imbau kembali mana yang patut dan difikirkan sesuai dalam siri ini, antaranya perjalanan jauh pertama yang dibuat penghujung 1997, beberapa bulan setelah membeli motosikal itu, setahun setelah saya bekerja sebagai wartawan lalu dipastikan kedudukan dan dibenarkan mengambil cuti. Ketika itulah saya mengambil peluang menglangsaikan semua cuti 28 hari setahun seperti dibenarkan untuk wartawan yang memiliki ijazah universiti. Campur cuti hujung minggu saya akhirnya bercuti lebih sebulan di mana sebahagian besarnya digunakan untuk membuat perjalanan mengelilingi satu Semenanjung Malaysia, separuh daripadanya ketika bulan puasa.

Oh. Sementara belum sampai waktu berbuka puasa di Raub saya mengambil peluang untuk mencari makam seorang tokoh yang baru sebulan dua saya tahu wujud di sekitar itu. Lihat artikel Makam (Tomb of) Raja Billah, Kampung Sempalit di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Walaupun saya bercadang untuk bermalam di rumah almarhum Nenek yang kini dihuni seorang ibu saudara dan suaminya saya rasa mahu berbuka puasa di bandar terlebih dahulu. Saya teringin hendak makan masakan ikan keli asam rong yang nampaknya cuma terdapat di Raub. Alhamdulillah, dapat juga di bazar ramadhan lalu saya pun menunggu waktu di sebelah masjid bandar.


Ketika menunggu itulah turun hujan lebat. Alhamdulillah, Allah telah membenarkan saya mengharungi cabaran hari pertama dalam keadaan cuaca terang dan selesa. Setelah sampai dan selesai hajat untuk menziarahi makam juga mendapatkan makanan idaman, baru hujan turun lebat. Di kala itu saya sudah selesa duduk di tempat yang terlindung selamat... :]



Sabtu, Ogos 18, 2012

Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa"



OK. Pembaca setia blogspot ini mesti sedia maklum bagaimana lebih 3 bulan kebelakangan ini telah digunakan untuk menceritakan perjalanan saya, isteri dan anak-anak pusing ke serata tempat di Pulau Jawa 1-14 Mei 2012. Sempena hari raya Aidil Fitri bakal menjelang biar dikumpulkan links untuk semua artikel berkenaan yang sudah dibuat di ketiga-tiga blogspot saya. Semoga ia menjadi bacaan yang berguna dan menyegarkan pada cuti raya...








































































































102. Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Solo, Kediri, pendopo kerajaan Majapahit dan makam Sheikh Jamaluddin Kubro di Mojokerto

103. Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi


Jumaat, Ogos 17, 2012

Akan datang cerita - Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun



Assalamualaikum. Pada akhir artikel Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi yang dibuat hari Jumaat, tepat seminggu lalu saya ada menyebut sudah sampai masanya untuk saya mengejar sisa-sisa 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Biar diingatkan. Artikel tersebut merupakan penamat bagi siri "Pusing Pulau Jawa anak-beranak" yang mengambil masa lebih 3 bulan untuk diselesaikan. Dengan itu saya pun mengorak langkah untuk satu pengembaraan baru yang sudah dirancang awal bulan...

Adapun sejak berkahwin dengan isteri sekarang penghujung 2008 saya tidak pernah lagi keluar mengembara jauh seorang diri. Kecuali perjalanan-perjalanan kecil yang dibuat dalam tempoh sehari kami selalu sahaja keluar mengembara bersama ke mana-mana, kemudiannya membawa anak bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid (lahir 13 Oktober 2009) diikuti Muhammad Alauddin Johan (lahir 17 Februari 2012) sekali. Selain itu saya cuma pernah keluar sendiri untuk membuat kerja misalnya menaiki kereta api hingga ke Hatyai, Thailand dan Tumpat, Kelantan untuk satu projek buku mewah (lihat Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi) juga menghadiri acara. Sejak penghujung 2008 paling lama saya berpisah dengan anak dan isteri adalah 3 hari 2 malam untuk menghadiri satu kursus 4  bulan lalu. Lihat Bengkel penulisan buku kanak-kanak dan makam Parameswara di Tanjung Tuan.

Awal Ramadhan timbul rasa bahawa saya harus membuat satu perjalanan jauh sendirian dengan menaiki motosikal besar yang dimiliki sejak tahun 1997. Saya rasa setelah beberapa lama saya harus memperuntukkan beberapa hari dalam bulan yang mulia ini untuk bersendirian dengan Ilahi selain merasa kembali nikmat mengembara menaiki kenderaan kesayangan yang sudah lama tidak dikecapi. Untuk pengetahuan, motosikal tersebut pernah digunakan untuk membuat banyak perjalanan jauh ke merata tempat malah sekeliling Semenanjung Malaysia sehinggalah ia terbengkalai akibat kerosakan tahun 2003. Selepas itu saya tetap rajin mengembara tetapi dengan menaiki kenderaan awam selain hitchike atau menumpang kenderaan orang. Motosikal cuma diperbaiki hingga elok sekitar Ogos 2008 kemudian ditambah beberapa barangan baru bulan berikutnya. Lihat Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?.

Tidak lama selepas motosikal elok saya pun berkahwin dengan isteri sekarang. Bermulalah fasa baru di mana kami sering sahaja keluar mengembara bersama. Antara tempoh motosikal elok sehingga kami berkahwin saya cuma ada membawanya sendirian balik ke kampung di Muar dan berjalan di sekitar itu sahaja. Maka tidak menghairankan jika nanti timbul rasa saya harus mengembara jauh sendiri menaiki motosikal itu, mengembara mencari pengalaman baru sambil mengimbau kenangan pengembaraan-pengembaraan lama yang pernah dilalui bersama kenderaan kepercayaan yang kini berusia 15 tahun.

Asalnya saya merancang mahu keluar sebelum masuk malam Nuzul Quran 17 Ramadhan. Tetapi timbul hal-hal lain yang perlu diselesaikan sebelum saya boleh mengembara meninggalkan keluarga, antaranya kerosakan kereta sehingga perlu dilakukan top overhaul. Saya tidak boleh meninggalkan rumah selagi kereta yang menjadi kegunaan isteri tidak siap diperbaiki. Jumaat minggu lepas, selepas waktu Maghrib baru ini selesai. Sebagai tanda bersedia untuk berjalan saya pun menyiapkan artikel  Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Hidung lembu di Pasar Turi yang gambar-gambarnya telah diletakkan lebih awal petang.

Alhamdulillah, perjalanan dapat dimulakan pada tarikh yang sesuai. Saya keluar hari Sabtu di mana malamnya masuk 23 Ramadhan dengan niat cuma akan kembali 27 Ramadhan iaitu semalam. Biar diberitahu, selain malam pertama di rumah almarhum Nenek di Raub, Pahang saya telah bermalam di masjid Tanah Rata, Cameron Highlands diikuti surau di Kampung Temong, Kuala Kangsar, masjid pekan di Lumut dan masjid Kampung Bahagia di Teluk Intan. Selain singgah di beberapa lagi surau dan masjid saya mengambil peluang untuk menziarahi makam-makam termasuk beberapa yang saya tidak pernah singgah sebelum ini, antaranya makam Tok Sego Aceh di Kampung Pasir Sena, Lambor Kanan dan makam Laksamana Aceh di Kampung Pulau, Lambor Kiri.

Pada awalnya saya risau juga membawa motosikal besar berusia 15 tahun berjalan jauh kerana takut timbul masalah kerosakan di tengah jalan. Ya. Masalah memang timbul apabila enjin tiba-tiba mati tidak lama selepas meninggalkan rumah iaitu selepas Serendah. Hampir sahaja saya berpatah balik untuk mencari mekanik di Rawang kalau tidak kerana mengingatkan azam tidak pernah menyerah dan berpantang undur apabila melangkah. Dengan kuasa Allah tidak lama kemudian enjin dapat dihidupkan kembali. Perjalanan pun diteruskan dengan mendaki dahulu Bukit Fraser sebelum ke Raub. Sedar tak sedar akhirnya motosikal ini dapat menempuh jarak lebih 1,400 km malah dapat memanjat sehingga ke puncak Gunung Brinchang yang terletak pada ketinggian 2,031 meter atau 6,666 kaki dari paras laut.

Antara cabaran yang dihadapi adalah tayar belakang motosikal meletup di Kampung Batu Tiga, dekat Damar Laut, Lumut. Bayangkan. Semasa pengembaraan dimulakan pun tayar dah licin, botak. Tetapi untuk menjimatkan belanja saya sanggup memakainya untuk beberapa tempoh. Pengalaman lalu menunjukkan tayar motosikal itu boleh dipakai sehingga 3 bulan walaupun sudah botak teruk sehingga nampak benang. Cuma  kali ini saya terlebih banyak melalu tempat-tempat lasak agaknya. Selepas keluar dari satu jalan kampung yang penuh batu-batu kasar di Kuala Medang 45 km gitu ke utara Raub hari Ahad saya dapati benang tayar mula timbul di satu bahagian.

Dengan tayar sebegitulah motosikal dibawa mendaki Cameron Highlands melalui jalan baru di Sungai Koyan. Dengan tayar itulah juga ia turun ke Simpang Pulau sebelum berpusing ke Gopeng, Batu Gajah, Papan, pinggir Ipoh hingga ke Sungai Siput mengambil jalan dalam ke Trosor dan Jawang lalu ke Kuala Kangsar. Jadi apalah hendak dihairankan jika ia boleh meletup selepas mengambil beberapa lagi jalan lasak? Insyaallah cerita akan dipanjangkan selepas hari raya. Semoga dengan berkat cerita pengenalan ini dibuat Jumaat teakhir Ramadhan akan timbul semakin banyak ilham dan petunjuk yang berguna nanti. Wassalam... :]


Nota : Selepas solat Jumaat baru saya tersedar. Hari ini 17 Ogos genaplah umur anak saya Muhammad Alauddin Johan 6 bulan. Menariknya dia lahir 17 Februari pun pada hari Jumaat, awal pagi sebelum Subuh...