Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Februari 25, 2007

Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian II)

Sambungan daripada artikel Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian I)...


“Kitab Sejarah Melayu juga menyebut peristiwa yang serupa tentang pengIslaman Melaka pada zaman Sultan Muhammad Syah,” kata Nasri selepas membaca sedikit tulisan Rasyid mengenai pengIslaman Samudera. “Sultan ini dikatakan memerintah tahun 1424 hingga 1444 Masihi, selepas kemangkatan pengasas keSultanan Melaka, Sultan Iskandar Zulkarnain Shah yang dikenali sejarawan Barat sebagai Parameswara. Baginda juga bermimpi berjumpa Rasulullah SAW lalu disuruh mengucap kalimah syahadat. Kemaluannya telah dikhatankan apabila bangkit dari beradu dan baginda tidak henti-henti mengucap kalimah syahadah. Tidak lama kemudian, sebuah rombongan yang diketuai seorang ulamak bernama Saiyid Abdul Aziz pun sampai untuk mengIslamkan penduduk Melaka.”

Rasyid tersenyum mendengar penerangan bekas pelajar University of Aberystwyth, Wales yang ditemui kembali di Kuala Lumpur setelah bertahun mereka tidak berhubung. Sebelum itu dia tidak pernah menduga rakan lamanya juga mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah lama Melayu. Maklumlah mereka berdua dahulu agak keBaratan... Jadi orang Melayu pun setakat memenuhi syarat sahaja, boleh berbahasa Melayu, beragama Islam dan faham sedikit adat-istiadat. Lalu sejak kebelakangan ini, peguam muda yang pernah duduk sebilik dengannya di kolej itulah yang sering menjadi teman rujukan dalam usaha pemuda itu menulis bukunya tentang kisah-kisah lama berkaitan Aceh.

“Betul tu!” sahut Muhammad Al Aminul Rasyid. “Tetapi peristiwa pengIslaman Merah Silu dan rakyat Samudera berlaku 200 tahun lebih awal. Lebih istimewa lagi, ia mendapat mandat yang tidak dimiliki mana-mana kerajaan lain, mandat wasiat Nabi yang disertai perkakas dan alat kerajaan dari Mekah,” tambahnya lalu menyuakan tulisan seterusnya...

Selesai sahaja pengIslaman Samudera, Sheikh Ismail pun menyuruh orang-orangnya menurunkan segala alat dan perkakas yang dibawa dari Mekah untuk disampaikan kepada Sultan Malikus Salih. Hikayat Raja-raja Pasai menceritakan: Maka pada ketika dan saat yang baik, berhimpunlah segala para menteri, hulubalang, orang-orang besar dan sekalian rakyat dari segala teluk rantau datang mengadap baginda. Sultan Malikus Salih pula memakai selengkapnya pakaian kebesaran yang turut dibawa dari Mekah kerana baginda hendak ditabalkan sekali lagi, kali ini menurut cara pertabalan Raja-raja Islam.

Sekalian orang-orang besar, para menteri, hulubalang dan rakyat yang hadir pun duduk bersaf-saf di balairong seri mengadap. Sekalian bentara berdiri di tempat masing-masing untuk menunaikan pekerjaan. Nobat Ibrahim Khalilullah diletakkan di hadapan baginda dan bermulalah upacara. Semuanya teratur penuh istiadat...

Gendang nobat pun dipalu orang lalu sekalian orang yang mengadap mengangkat sembah dan berkata: “Daulat dirgahayu tuanku dzillullahu fil’ alam (bayangan Tuhan di alam ini)”.

Maka rasmilah pertabalan Sultan Malikus Salih menurut cara Islam, disaksikan Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad.

Selesai segala adat istiadat dan selepas duduk beberapa lama di Samudera, Sheikh Ismail pun bermohon hendak kembali ke negerinya. Sultan Malikus Salih menyampaikan hadiah daripada berjenis-jenis barang iaitu ambar, kapur barus, gaharu, cendana, kemenyan, khalambah, lada hitam, cengkih dan sebagainya, semuanya barangan berharga sebanyak kira-kira tiga bahara, setengahnya untuk Sharif Mekah.

Sheikh Ismail pun belayar meninggalkan Samudera. Tinggallah Fakir Muhammad dan anaknya terus mengembangkan ajaran Islam.


————————


“Sekarang timbullah beberapa persoalan yang agak berat!” Rasyid menarik nafas lalu memulakan satu polemik. “Siapakah Sultan Malikus Salih ini sehingga pertabalannya telah diwasiatkan Rasulullah SAW melalui arahan baginda supaya dibawa perkakas dan alat kerajaan daripada Mekah? Mengapa ini cuma berlaku di Samudera, tidak di negeri-negeri lain? Mengapa tidak di Pasai, sebuah lagi kerajaan besar yang akan diasaskan Sultan ini nanti, mengapa tidak di Melaka yang raja-rajanya sering diagung-agungkan sebagai keturunan berdaulat anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain yang turun ke Bukit Siguntang?”

Nasri baru hendak bersuara tetapi kawannya terus memotong: “Nanti! Tak habis lagi... Mengapa seorang anak cucu Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad sanggup turun takhta lalu menjadi fakir untuk turut menjalankan wasiat Nabi ini?” dia menambah. “Apakah keistimewaan Samudera sehingga ini semua terjadi? Kenapa Rasulullah SAW menyebut kerajaan itu mesti diIslamkan kerana di situ akan muncul ramai wali?”

Nasri terpaksa berfikir secara lebih mendalam. Otak peguam muda inipun mula berputar ligat. Setelah memerhatikan dari beberapa sudut baru dia bersuara: “Soalan-soalan yang kamu timbulkan ini menarik juga, memang mencabar minda yang analitik. Tetapi kalau nak dimasukkan ke dalam buku yang akan ditatap khalayak ramai, aku rasa agak bahaya ni!”

Rasyid kelihatan hairan. Bahaya bagaimana pula? Ini bukannya soalan-soalan berbentuk ideologi politik atau reformasi yang boleh menjatuhkan kerajaan. “Mengapa pula kamu kata begitu?” dia menyoal...

Rakannya membalas soalan itu dengan muka serius. Sebagai lulusan undang-undang daripada United Kingdom yang terlatih dengan teknik-teknik memaparkan hujah yang berkesan serta arif dengan implikasi sesuatu perbuatan terhadap perspektif masyarakat, dia tahu isi sesuatu buku itu boleh dipersoalkan khalayak ramai lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hal-hal berkaitan agama. Perkara begini bukan boleh dibuat main...

“Acid, kamu dengar baik-baik,” dia menyusun kata-kata. “Kamu menulis cerita dan menimbulkan persoalan-persoalan yang agak berat berdasarkan sebuah wasiat Nabi yang disebut dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai. Masalahnya, setahu aku tidak pernah wujud kata-kata sebegini dalam mana-mana kitab kumpulan hadis seperti Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Takut ini boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat Islam nanti!”

Ah... Itu rupanya masalahnya. Ingatkan apa...

“Hmm... Betul juga kata kamu,” Rasyid menjawab. “Aku pun pernah memikirkan hal ini. Tetapi aku rasa aku sudah memiliki sedikit hujah untuk menyokong wasiat Nabi tentang kemunculan Samudera itu. Aku sudah lama mengkaji pelbagai cerita-cerita lama serta sejarah berkaitan Aceh malah sejarah perkembangan awal Islam termasuk banyak cerita yang tidak diketahui umum, cerita-cerita daripada sumber-sumber tertentu...”

“Aku percaya kamu tentu ada alasan,” Nasri memotong. “Aku tahu kamu tidak akan menulis sembarangan, mesti ada sokongan yang kukuh. Tetapi berhati-hatilah... Apapun, dapatkan second opinion dahulu daripada orang yang lebih tahu tentang hadis, orang yang berkelayakan. Kalau tidak, aku takut nanti ada pihak yang akan mempertikaikan kewujudan wasiat ini sebagai tidak lebih daripada cerita dongengan malah pemalsuan kata-kata Nabi untuk mengagung-agungkan kebesaran Raja-raja Pasai.”


—————————


Lama juga Rasyid termenung memikirkan cara terbaik menangani masalah ini. Walaupun hati kecilnya tetap yakin wasiat Rasulullah SAW berkenaan Samudera itu bukannya dongengan, walaupun dia mempunyai hujah tersendiri untuk menyokongnya, bagaimanakah cara terbaik untuk mengenengahkan ini tanpa menyinggung pegangan umum?

Seperti yang ramai maklum, setiap perkataan Rasulullah SAW adalah hadis Nabi, selain wahyu yang menjadi ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Qudsi yang merupakan firman Allah SWT. Lagipun dari segi bahasa, perkataan ‘hadis’ itu bermaksud apa-apa perkataan yang keluar daripada mulut seseorang. Maka pemuda ini percaya, kemungkinan wasiat tentang Samudera itu keluar daripada mulut Nabi memang ada kerana selama 23 tahun baginda menjadi Rasul, tentu banyak perkara yang diperkatakannya, boleh dikumpul menjadi beribu-ribu jilid buku jika mahu.

Apapun, seperti diungkit kawannya Nasri, selain hikayat itu dan kitab Sejarah Melayu, tidak ada mana-mana kitab lain menceritakan wasiat Rasulullah SAW ini, apa lagi kitab-kitab rasmi hadis yang diterima umum seperti Sahih Bukhari mahupun Sahih Muslim. Maka itu, kalau kitab-kitab hadis ini dijadikan ukuran utama untuk menentukan kesahihan sesuatu hadis atau apa-apa perkataan yang keluar daripada mulut Rasulullah SAW, boleh dikatakan wasiat Nabi ini tidak pernah wujud sama sekali!

Kalau begitu, mengapa pula kitab Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu yang merupakan sumber-sumber utama pensejarahan keSultanan-keSultanan Melayu lama boleh meriwayatkannya? Apakah pengarang kitab-kitab ini begitu buta ilmu hadis atau bersifat dusta, penipu sehingga sanggup mengenengahkan sebuah wasiat palsu? Tambahan pula kedua-dua kitab ini pernah menjadi bahan rujukan utama pelajar sastera Tingkatan Enam di semua sekolah-sekolah di Malaysia suatu masa dahulu. Dan cetakan moden kitab-kitab ini masih tersebar luas sehingga sekarang. Takkanlah ini boleh berlaku jika wasiat itu hanya dusta semata-mata?

Ah... Mungkin betul juga kata Nasri. Dia perlu mendapatkan second opinion, pendapat yang bernas daripada orang yang mempunyai kelayakan tentang ilmu hadis... Perkara berat begini tidak boleh dihuraikan seorang diri. Sekurang-kurangnya ringan sedikit beban pemikiran yang dihadapi.



Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian I)

Assalamualaikum. Tiba-tiba timbul gerak untuk memaparkan isi daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti", daripada bab bertajuk "Samudera Pasai: Bumi para wali." Silalah baca...



SAMUDERA PASAI : 
BUMI PARA WALI


“Sepeninggal aku telah wafat kelak,
akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.”
“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu,
serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,
serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat.
Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”
“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu,
hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri,
bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.”



- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.



Pada satu hari, Merah Silu keluar memburu bersama orang-orangnya membawa anjing pemburunya, si Pasai. Sampai ke satu tempat, baginda menitahkan supaya anjing itu dilepaskan. Seketika kemudian si Pasai menyalak pada satu tanah tinggi. Rupa-rupanya, ia ternampak seekor semut besar, hampir seekor kucing besarnya!


Merah Silu pun menyuruh orang-orangnya menangkap semut itu lalu dibawa pulang ke istana. Entah mengapa, semut itu terus dimakan baginda. Kemudian Merah Silu menyuruh orang-orangnya menebas dan menerangkan tempat tadi kerana raja itu hendak membuat negeri. Baginda pun membangunkan sebuah istana yang cukup lengkap dengan kota dan paritnya serta sebuah penempatan.



Selepas siap segalanya, Merah Silu dan orang-orangnya pun berpindahlah ke negeri yang baru dibuka. Maka negeri itu dinamakan baginda Samudera, ertinya semut besar...


————————



Rasyid tertarik apabila mendapat tahu kitab Hikayat Raja-raja Pasai ada menceritakan Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada seorang sahabat, satu hari nanti akan muncul negeri bawah angin bernama Samudera. Apabila ini terjadi hendaklah dihantar orang membawa perkakas dan alat kerajaan ke sana dan Islamkan sekalian isi negeri kerana di situ ramai orang akan muncul menjadi wali. Rasulullah SAW juga berwasiat supaya rombongan ini singgah di negeri Mengiri mengambil seorang fakir untuk dibawa bersama ke Samudera. Kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang ada meriwayatkan cerita yang sama tetapi menyebut negeri itu bernama Muktabar pula.


Wasiat itupun sampai kepada Sharif Mekah iaitu Raja yang memerintah Mekah dan sekitarnya, Madinah dan wilayah Hijaz. Menurut satu kisah, baginda mendapat tahu tentang kewujudan Samudera daripada jemaah haji Nusantara yang datang ke Mekah lalu menitahkan supaya diperbuat sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke sana. Seorang ulamak besar bernama Sheikh Ismail dijadikan mualim atau nakhoda kapal. Beliau dan orang-orangnya pun belayar ke negeri Mengiri seperti diwasiatkan Nabi, sebuah negeri yang terletak di benua Hindi...

Adapun negeri Mengiri ini diperintah oleh seorang raja bernama Sultan Muhammad. Menurut ceritanya, baginda berasal dari keturunan sahabat karib Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar Al-Siddiq Radiallahuanhu, Khalifah pertama umat Islam.



Sebaik sahaja mendapat tahu ada kapal hendak ke Samudera atas titah Sharif Mekah dan diketuai Sheikh Ismail berlabuh di negerinya, baginda terus turun takhta lalu menabalkan seorang anaknya sebagai Raja Mengiri yang baru. Malah baginda juga melucutkan pakaian kebesaran kerajaan di tubuh-badannya lalu menukarkannya dengan pakaian seorang fakir!

Raja yang telah menjadi fakir inipun membawa seorang anaknya yang muda untuk turut serta meninggalkan istana dan menjadi fakir. Mereka pergi berjumpa Sheikh Ismail lalu meminta supaya dibawa belayar ke Samudera untuk bersama menunaikan wasiat Nabi...


————————



“Fakir tu apa uncle Acid?” tiba-tiba Afiq yang baru berumur enam tahun menegur Rasyid yang sedang leka menaip dalam komputer laptop.



Pemuda itu terjaga daripada dunia pemikirannya lalu tersenyum memandang anak lelaki comel kepada seorang rakan tempatnya menumpang minggu itu. “Mengapa Afiq hendak tahu?” dia bertanya.



“Tadi Afiq dengar uncle baca cerita, ada kapallah, ada apa... em... semut? Semut dera? Ada syeikh mail... em... Lepas itu ada orang jadi ha...jadi fakir... Fakir tu apa uncle ? Macam kafir ke?” tanya kanak-kanak itu lagi, innocent...

“Hmm...” getus pemuda itu. Rupa-rupanya dalam sedar tidak sedar dia sudah terbaca kuat isi fikirannya semasa menulis sehingga kanak-kanak ini boleh terdengar hampir setiap kata-katanya. Bagaimana hendak bercerita tentang ini? Budak-budak boleh fahamkah konsep sebenar fakir? Ah... Bagi sahaja jawaban senanglah... Yang biasa orang sebut, fakir itu fakir miskin. Orang sengkek... Merempat, hidup melarat...

Lalu Rasyid menjawab: “Fakir tu orang miskin Fiq... Tak ada kereta, tak ada duit... Kadang-kadang rumah pun tak ada. Tidur kat mana-mana aje, masjid, surau, tepi jalan... Pakai baju pun buruk-buruk belaka...”

“Macam uncle lah, selalu pakai baju buruk juga? Tak ada rumah, suka tidur rumah Afiq?” tanyanya jujur sambil menuding ke arah t-shirt lusuh pemuda itu yang sudah luntur dan berlubang di beberapa tempat.

Rasyid tersenyum mendengar celoteh anak itu. Betul juga katanya... Fakir itu lebih kurang macam dia. Memang pemuda itu lebih selesa berpakaian buruk, lusuh. Dan dia sudah lebih empat tahun tidak bekerja, tidak ada apa-apa sumber pendapatan tetap, apalagi memiliki sebuah rumah.

“A’a lah... Pandai Afiq. Fakir tu macam uncle lah,” anak muda itu menjawab lalu melakonkan gaya seorang peminta sedekah disusuli gelak ketawa.

Tiba-tiba kanak-kanak itu terdiam. Seolah-olah teringatkan sesuatu. Lama kemudian baru dia bersuara: “Tapi Ayah cakap dulu uncle banyak duit! Kerja best dapat jalan macam-macam tempat. Dulukan uncle selalu datang rumah Afiq naik motor besar? Vroom! Vroom!... Best ! Afiq suka motor besar. Nak naiklah... Mana pergi motor uncle?” dia bertanya pula.

Rasyid terdiam panjang. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Bolehkah kanak-kanak ini faham kalau diberitahu uncle ini telah meninggalkan sedikit kemewahan hidup yang pernah dikecapinya dahulu demi mencari kefahaman, jawaban kepada beberapa persoalan yang sudah lama membelenggu jiwanya? Sesekali sahaja berjumpa kawan-kawan dan saudara-mara, baru merasa duduk di tempat yang lebih selesa...

“Ah...” getus hatinya. “Apa yang aku buat ini kira sedikit sahaja. Bukan seperti wali Allah Ibrahim bin Adham yang sanggup meninggalkan takhta untuk menelusuri jalan kerohanian. Bukan seperti Siddharta Gautama Buddha yang lebih dahulu berbuat begitu untuk mencari makna kewujudan, erti kehidupan yang sejati.” Dan bukan juga seperti Sultan Muhammad dalam Hikayat Raja-raja Pasai yang sanggup menjadi fakir semata-mata untuk mengikuti rombongan Sheikh Ismail ke Samudera.

“Hmm...” tiba-tiba Rasyid terfikir. “Kenapa anak cucu Saidina Abu Bakar As-Siddiq ini sanggup berbuat begitu?” Hikayat itu mahupun kitab Sejarah Melayu tidak menceritakan sebab-musababnya. Setakat yang dia tahu, Sultan Muhammad terdengar berita persinggahan rombongan Sheikh Ismail di negerinya lalu terus tergerak menjadi fakir untuk mengekori sama.

Apakah baginda pernah mendengar wasiat Nabi mengenai Samudera daripada keluarganya? Mungkin ia telah disampaikan kepada Saidina Abu Bakar lalu diturunkan kepada anak cucunya, menunggu masa sahaja untuk dilaksanakan? Atau baginda telah mendapat alamat melalui mimpi? Yang pasti, Sultan atau Fakir Muhammad inilah fakir yang dimaksudkan...


————————


Rombongan Sheikh Ismail yang disertai Fakir Muhammad itupun belayar mencari negeri Samudera. Tetapi mereka tidak pasti di manakah letak kedudukannya sehingga tersasar ke Barus, Lamuri dan Perlak.

Rombongan ini singgah ke negeri-negeri itu untuk mengIslamkan raja dan penduduknya tetapi apabila disuruh membaca Quran yang dibawa dari Mekah, tiada seorang pun dapat membacanya...

Maka tersebutlah kisah Merah Silu di Samudera. Pada suatu malam, sedang baginda lena beradu, maka bermimpilah ia melihat seorang tua berbaju jubah datang seraya memegang dagu Merah Silu dan menutup mata baginda dengan tangannya.

Kata orang tua yang muncul itu: “Hai Merah Silu, ucaplah olehmu akan kalimah syahadat”.

Maka sahut Merah Silu: “Bagaimana hamba hendak mengucap kalimah syahadat itu?”

Ujar orang tua itu: “Bukalah mulutmu.”

Merah Silu pun membuka mulutnya lalu diludahi orang itu.

Orang tua itupun mengisytiharkan: “Hai Merah Silu, engkaulah raja negeri ini dan namamu Sultan Malikus Salih. Segala binatang yang kamu sembelih halal kamu makan, tetapi jangan memakan binatang yang tidak bersembelih. Sekarang kamu adalah dalam syariat agama Islam, iaitu agama Allah. Dalam empat hari lagi akan sampai sebuah kapal dari Mekah, maka hendaklah kamu turut apa juga yang dikatakan orang kapal itu, jangan kamu bantah atau lawani sebarang kata mereka itu.”

Merah Silu bertanya: “Siapakah kamu ini?”

Maka sahut suara orang tua berjubah dalam mimpi itu: “Akulah Nabi Muhammad SAW yang di Mekah.”


————————


Orang tua itu melepaskan dagu Merah Silu daripada tangannya lalu berkata: “Hai Merah Silu, tunduklah kamu ke bawah.”

Merah Silu pun tunduk lalu terjaga daripada beradu. Kemaluannya pula terasa seperti sudah dikhatankan orang... Boleh dilihat kesannya nyata pada tubuh-badan, bukannya khayalan. Baginda juga sentiasa mengucapkan kalimah syahadat tiada berhenti, kemudian membaca Al-Quran tiga puluh juzuk dengan lancar sehingga tamat. Segala orang-orang besar dan menteri hulubalang sekalian pun merasa hairan mendengar apakah yang disebut raja mereka kerana belum pernah mendengar sebutan yang demikian.

Tidak lama kemudian, rombongan Sheikh Ismail pun sampai ke Teluk Terai lalu berlabuh di situ. Fakir Muhammad bertemu seorang nelayan lalu bertanya “Apakah nama negeri ini?”

Jawab nelayan itu: “Negeri ini namanya Samudera.”

Beliau bertanya lagi: “Siapakah nama penghulunya?”

Sahut sang nelayan: “Nama penghulu atau raja negeri ini Merah Silu, gelarannya Sultan Malikus Salih.”

Selepas mendengar ini, fakir itupun kembali naik ke bahteranya lalu terus belayar ke kuala Samudera. Setelah semalaman belayar, rombongan tersebut sampailah ke pusat negeri dan kerajaan. Mereka pun naik ke darat lalu terus masuk menghadap rajanya Merah Silu. 

Setelah bersua muka, Sheikh Ismail pun berkata: “Hai Merah Silu, ucap dan sebutlah olehmu akan kalimah syahadat.”

Merah Silu mengucapkan kalimah suci itu dengan petah, tiada sedikit jua pun bersalahan. Rombongan ini berpuas hati kerana raja itu sudah tahu menyebutnya dengan sempurna.

Keesokannya, Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad masuk menghadap lagi, kali ini dengan membawa kitab suci Al-Quran yang dibawa mereka dari Mekah. Inilah ujian utama yang akan menentukan segala cerita...

Merah Silu menyambut kitab itu penuh hormat, seraya dijunjung dan dikucupnya dengan rasa merendah diri. Kitab itupun dibuka baginda dan dibacanya di hadapan mereka dengan fasih dan lancar. Alhamdulillah, tiadalah payah diajar lagi membaca Al-Quran. Ternyata inilah orang serta negeri yang dicari rombongan itu selama ini...

Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad pun mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahuwata’ala kerana telah berjaya menemui negeri Samudera seperti yang tersebut dalam wasiat Rasulullah SAW.
Hatta Sheikh Ismail memohon Sultan menghimpunkan sekalian orang-orang besarnya serta rakyat dari segala ceruk rantau. Setelah dihimpunkan, mereka pun diajar mengucap kalimah syahadat dengan meyakinkan maknanya dalam hati masing-masing.

Maka akhirnya negeri Samudera pun disebut Darul Islam atau Darussalam. Kerana penduduk negeri itu masuk Islam tiada perlu dipaksa atau diperangi. Jadilah ia daerah kesejahteraan...


Jumaat, Februari 23, 2007

Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar

Di sini adalah edisi ke 4 segmen "Laksamana pulang ke Perak" untuk akhbar tabloid Kencana. Oleh kerana ia telah pun keluar dalam tabloid untuk Feb 1-15, maka bolehlah ia dipaparkan di sini pula. Untuk makluman, penulisan di sini adalah yang asal. Maka terdapat sedikit perbezaan dengan yang keluar di Kencana kerana yang di sana telah disunting pengarang. Silakan! 


------------


Assalamualaikum pembaca sekalian. Di sini ingin diumumkan arah tujuan baru dalam proses penceritaan. Jika keluaran lepas segmen “Laksamana pulang ke Perak” lebih merupakan kisah-kisah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006, bermula keluaran ini pula kita akan meneroka sedikit sejarah dan cerita-cerita lama berkaitan lokasi terpilih dalam pengembaraan peribadi penulis kebelakangan ini. 

Boleh kata hampir seumur hidup penulis rajin mengembara dengan pelbagai cara termasuk hitchiking – menumpang kereta, lori dan apa-apa kenderaan orang yang ditahan di tengah jalan. Ada masanya, perkelanaan diteruskan dengan berjalan kaki berpuluh batu, sampai masuk dan sesat ke dalam hutan dan kawasan pergunungan pun ada. Maka itu banyak juga pengalaman berharga yang boleh dikongsi bersama, sesetengahnya mungkin boleh membuka mata mereka yang dahagakan kisah pengembaraan mencabar seperti sering dilihat dalam kaca TV… Cuma kali ini ia bukan fantasi tetapi realiti!

Dalam pada itu, terbuka juga cerita-cerita menarik tentang tempat-tempat yang dilawati lebih-lebih lagi 5 tahun kebelakangan. Sejak itulah, penulis mula berkelana untuk mendapatkan petunjuk berkaitan sejarah lama Melayu dan Islam di Nusantara termasuk cerita-cerita yang disembunyikan pihak berkepentingan. 

Kalau dahulu, perjalanan dilakukan ke sana ke mari sehingga sanggup tidur bersepah di tepian jalanan Eropah demi memuaskan naluri adventure, sekarang ia dibuat dalam rangka-kerja yang lebih bermakna dalam mengenali salasilah dan wasilah keluarga. Maka itu tajuk “Laksamana pulang ke Perak” masih lagi relevan walaupun lokasi pengembaraan akan melangkau jauh ke luar Perak… Kerana apabila diteliti lebih mendalam, rupa-rupanya kisah-kisah yang dapat dirungkai di luar sana juga masih berkaitan, disebabkan sejarah keluarga turun-temurun menjarah jauh untuk meliputi seluruh pelusuk Nusantara malah sampai ke Timur Tengah, Mekah dan Madinah.


Kenapa Muar? 

Penulisan ini dimulakan petang Sabtu 6 Januari 2007 di stesyen keretapi komuter Kajang, semasa menunggu perkhidmatan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Seorang sepupu yang bekerja sebagai jurutera Petronas sedang melaksanakan tugasan di Seberang Perai dan telah menghubungi penulis mengajak menemaninya menginap di hotel. Dan dia ingin membawa berjalan ke tempat-tempat yang dirasakan menarik di sekitar. 

Kebetulan, penulis yang sedang berehat di sebuah rumah keluarga di Kajang memang menyimpan niat untuk berkelana ke utara tanah-air setelah 2 tahun tidak ke sana. Maka setelah menyelesaikan beberapa hal tertunda, langkah pun dibuka. 

Untuk makluman, perenggan di atas ditulis ketika menunggu bas 8 malam ke Butterworth berlepas daripada Puduraya sedangkan ayat berikut dikarang di perkarangan Masjid Lebuh Aceh di bandaraya Pulau Pinang selepas Subuh 15 Januari. Cerita selebihnya berjaya disiapkan di sebalik deruan ombak di Batu Feringghi pada malam hari. Pendek-kata, segmen ini ditulis di pelbagai lokasi pada masa berlainan, mengikut gerak rasa dan ilham yang muncul tidak menentu. 

Lebih kurang begitulah keadaan hidup penulis sejak menjadi pengembara sepenuh masa 5 tahun kebelakangan. Sebenarnya, hala tuju baru segmen “Laksamana pulang ke Perak” ini ingin dimulakan dengan cerita perjalanan ke Pantai Timur yang dilakukan penghujung Disember 2006. Sebuah rangka-kerja sudah pun disediakan di mana keluaran ini sepatutnya memperihalkan kisah di Kuala Terengganu termasuk hal berkaitan Bukit Puteri yang terletak di antara Istana Maziah dan Pasar Payang… Tetapi 3 hari selepas menyambut Aidil Adha di kampung ibu di Muar, editor Kencana telah menalifon meminta penulis menziarahi beberapa lokasi di daerah yang terletak di utara negeri Johor Darul Takzim itu. Katanya urgent, ada sesuatu yang perlu diselesaikan… 

“Semalam, aku dapat mimpi pergi menziarahi masjid di sebelah makam Sultan Alauddin Riayat Shah,” dia membuka cerita. “Dalam mimpi itu, ada seorang tua memberi aku satu benda. Oleh kerana aku berada di Kuala Lumpur, aku harap engkau boleh pergi ke sana. Rasanya ada sesuatu yang ingin disampaikan.” 

Di samping itu, saudara editor juga meminta penulis supaya menjejakkan kaki ke bekas kubu Bentayan yang terletak berdekatan pasar Muar. “Aku tak pernah sampai ke sana tapi aku tahu di situ dikatakan tempat pertahanan terakhir kerajaan Melaka sebelum kalah peperangan dengan Portugis 1511. Aku harap engkau boleh singgah dan mengambil sedikit gambar.” 

Penulis telah beberapa kali menziarahi makam Sultan Alauddin tetapi kali ini terasa malas hendak bertandang kerana letih mengembara hampir 2 minggu di Terengganu, Kelantan dan Pahang sebelum ini belum lagi susut. Niat di hati pula, dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur nanti, penulis ingin bertandang ke Pulau Besar di Melaka setelah setahun tidak ke sana. Kalau mahu ke makam Sultan Alauddin, perlu menghala ke Kampung Raja di Pagoh, arah yang berlawanan dan 15 km jauh daripada kampung ibu sedangkan penulis cuma mengharapkan kenderaan awam. 

Dipendekkan cerita, ketika sedang menunggu bas ke Melaka di hadapan bangunan Mara Muar, bas ke Pagoh pula sampai dahulu. Maka itulah penulis menjejakkan kaki lagi ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah dan buat pertama kali bermalam di masjid bersebelahan sekali. 


Apa yang istimewa tentang makam Sultan Alauddin Riayat Shah 

Cerita mengenai Sultan Melaka yang terkenal ini serta kewujudan makamnya di Kampung Raja, Pagoh telah pun keluar dalam Kencana bulan Oktober, selari dengan edisi pertama segmen “Laksamana pulang ke Perak”. Di situ telah dinyatakan, makam Sultan Alauddin Riayat Shah adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud di Malaysia. Makam Sultan lain nampaknya telah hilang ditelan zaman, sebenarnya dirombak penjajah terutama Portugis yang mahu menghilangkan kesan warisan orang Melayu daripada bumi ini. 

Nasib baik Sultan Alauddin dimakamkan di Pagoh, jauh daripada wilayah kekuasaan Portugis. Maka itu makamnya selamat dan dapat dilihat generasi sekarang. Cuma yang jadi persoalan, mengapa baginda dimakamkan di sana. Sebagai seorang Sultan, bukankah baginda patut disemadikan di kawasan permakaman diraja yang pernah terletak dalam lingkungan kota Melaka sekarang? 

Persoalan ini telah dikupas serba sedikit dalam buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” lalu dibentangkan kembali dalam Kencana Oktober. Mengikut cerita penduduk tempatan, politik istana serta perebutan takhta telah menyebabkan Sultan yang dikenali warak dan kuat pegangan agama itu membawa diri… Tetapi baginda akhirnya mangkat diracun orang lalu dimakamkan di Kampung Raja. 

Penulis sampai sejurus sebelum waktu Asar… Sempat berehat minum air di sebuah kedai makan di persimpangan pekan Pagoh/ Kampung Raja, sekitar 2 km daripada makam dan melihat kesan banjir luar biasa yang melanda sebahagian besar Johor penghujung tahun 2006. 

Kampung ibu penulis yang terletak 5 km daripada bandar Muar selamat daripada malapetaka tetapi persekitaran Pagoh yang terletak lebih jauh ke pendalaman kelihatan muram. Walaupun banjir telah surut 2 hari lepas, kesan lumpur dan kotoran masih kelihatan merata. Masyarakat setempat pula nampak sibuk mengatur balik kehidupan, ada yang mencuci halaman rumah, ada yang menjemur barangan seperti tilam. 

Perjalanan kali ini ternyata lebih bermakna. Jika dahulu, penulis setakat singgah bersolat tahiyatul masjid di masjid lama bersebelahan sebelum menziarahi makam, kali terserempak dengan imam dan sempat menunaikan solat Asar sebagai makmum. Lebih istimewa lagi, kami sahaja yang berada di masjid ketika itu. Kata imam yang berumur hampir 70 tahun itu, mungkin orang lain tidak dapat hadir kerana sibuk menguruskan rumah masing-masing selepas banjir surut. 

“Kebanyakan orang terpaksa berpindah ke pusat-pusat yang disediakan termasuk bangunan di hadapan masjid ini,” katakan seraya menunjuk ke sebuah balai dengan senibina bumbung Minangkabau, juga bersebelahan makam. “Tapi saya dan isteri saya memilih untuk terus tinggal di rumah walaupun air naik masuk ke dalam sehingga mencapai 1 inci sahaja daripada tilam.” 

Dalam berkenal-kenalan itulah penulis meminta izin untuk bermalam di masjid. Pak imam memberikan persetujuan. Cuma dia berpesan, jangan buat perkara bukan-bukan kerana masjid ini ada “penjaga”nya. “Tetapi jika niat kamu baik, insyaallah apa-apa kehendak dan hajat kamu akan Allah tunaikan berkat tempat ini baik kerana ia bersebelahan makam Sultan Alauddin Riayat Shah, wali Allah yang terpilih.” 

Malam itu, selesai solat Isyak di mana terdapat 7 orang makmum turut serta bersolat, pak imam telah memberi sekeping sampul bersurat berserta nama dan alamat seorang penduduk lama Kampung Raja yang kini menetap ke Kuala Lumpur. 

“Balik nanti carilah dia,” pak imam berpesan. “Orang tua ini sudah berumur lebih 80 tahun tapi masih boleh tahan cergas. Dia tahu kebanyakan cerita lama yang melibatkan Pagoh termasuk cerita mengenai Sultan Alauddin.” Nampaknya betullah telahan saudara editor Kencana meminta penulis pergi ke sana. Rupanya, memang ada sesuatu yang ingin di sampai oleh seorang tua… Samada ia berguna, itu kita akan lihat nanti! 


Kubu Bentayan, pertahanan terakhir kerajaan Melaka 1511 

Selesai bermalam di masjid lama bersebelahan makam Sultan Alauddin di Kampung Raja, sampailah masa untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Pulau Besar, Melaka. Sudah setahun tidak ke sana dan alang-alang berada berdekatan (letaknya sekitar 30 km daripada Muar, dan dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur), eloklah menziarahi makam Sultan Ariffin Sheikh Ismail di pulau itu. 

Untuk makluman baginda adalah seorang wali Allah daripada keturunan raja segala wali Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, pernah datang menyebarkan Islam ke Nusantara 700 tahun lalu. Hikayat Raja-raja Pasai menyebut, Sheikh Ismail juga telah menabalkan Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai (dalam Aceh sekarang). Cerita ini ada dihuraikan panjang lebar dalam buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti.” 

Selepas mandi dan solat Subuh berjemaah, penulis singgah sebentar di makam Sultan Alauddin sebelum melangkah ke jalan besar. Kebetulan pemandu sebuah lori kecil yang membawa getah buku sudi menumpangkan sampai ke pekan Pagoh. Maka di sanalah penulis bersarapan pagi sebelum mendapatkan sebuah teksi ke bandar Muar. 

Dalam perjalanan, saudara editor Kencana telah menalifon bertanyakan khabar. Oh… Terlupa pula… Hari sebelumnya, penulis sempat menghantar pesanan ringkas memberitahu akan bermalam di masjid bersebelahan makam Sultan Alauddin. Maka saudara editor yang sangat senang hati pun mengingatkan supaya singgah di kubu Bentayan. 

“Jangan lupa, cari sebuah pohon besar berdekatan Sungai Bentayan. Kalau boleh ambil gambarnya sekali,” dia memberi ingatan. 

Dipendekkan cerita, penulis pun singgah di kubu Bentayan yang terletak bersebelahan pasar Muar serta stesyen bas ekspress ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Kalau tidak kerana ingatan yang diberikan, kemungkinan besar perjalanan mungkin diteruskan ke stesyen bas lagi satu untuk menaiki bas bukan ekspress ke Melaka. 

Kubu Bentayan terletak berhampiran kuala Sungai Bentayan yang bertemu dengan Sungai Muar. Di atas kualanya terdiri bangunan Medan Selera Bentayan. Maka seseorang itu boleh berdiri betul-betul di atas kuala Sungai Bentayan yang lebarnya lebih-kurang 20 kaki tanpa perlu mencecah air atau menaiki sampan. 

Sebuah tugu peringatan kecil tertulis “Kubu Bentayan. Pertahanan terakhir kerajaan Melaka 1511” yang didirikan Majlis Daerah Muar Selatan (sekarang Majlis Perbandaran) kalau tak salah ingatan lebih 10 tahun lalu masih wujud berdekatan, di sisi stesyen teksi dan kaunter pembelian bas ekspress. Malangnya, ia seolah-olah tidak dipedulikan.

Masyarakat sekarang nampak tidak kisah, suatu masa dahulu di sini pernah berlaku perang besar yang menentukan nasib kerajaan Melayu Melaka. Selepas kejatuhan kota Melaka tahun 1511, orang Melayu telah mengatur barisan baru di Bentayan pada tahun yang sama dengan diketuai Raja Ahmad atau Sultan Ahmad. Ceritanya ada dinukilkan sedikit dalam artikel berkaitan. Ayahanda baginda, Sultan Mahmud pula berkubu di Pagoh. 

Jika angkatan Sultan Ahmad di Bentayan berjaya menepis serangan Portugis, kemungkinan besar mereka akan naik kembali ke utara lalu membebaskan Kota Melaka. Sebaliknya sejarah mencatatkan, angkatan baginda diikuti angkatan Sultan Mahmud kalah lalu memaksa mereka berundur ke Pahang selama beberapa tahun. Maka terbuanglah mereka daripada kota Melaka, jika bernegeri kembali pun jauh di wilayah lain seperti Johor dan Bentan. 

Setelah berlegar-legar agak lama di sekitar kawasan untuk mencari beberapa sudut yang sesuai untuk diambil-gambar, ternyata tidak kelihatan apa-apa pohon besar seperti disebut saudara editor Kencana. Penulis pun menghubunginya untuk memberitahu. Rupa-rupanya saudara editor tidak tahu bahawa kubu Bentayan terletak di dalam kawasan bandar. 

“Patutlah aku nampak dalam mimpi macam ada pokok besar. Rupanya dalam kawasan bandar,” jawabnya mudah. Atau mungkin pohon besar yang dimaksudkan pernah wujud satu ketika dahulu? Mungkin pohon itu tumbang selari dengan kejatuhan Melaka 500 tahun lalu? 


Sultan Ahmad, Sultan terakhir Melaka? 

Ingat lagi cerita peminangan Puteri Gunung Ledang di mana Sultan Melaka telah diberi 7 syarat yang pelik-pelik jika hendak mengahwini sang puteri rupawan? Termasuk di dalam syarat-syarat ini adalah sang Sultan mesti menyediakan sedulang hati nyamuk dan sedulang hati kuman. Baginda juga mesti mendirikan sebuah jambatan emas yang menghubungkan Melaka dengan Gunung Ledang. 

Mengikut ceritanya, semua syarat ini dapat dipenuhi kecuali satu sahaja – menyediakan setampuk pinang darah anakanda Sultan iaitu Raja Ahmad. Semasa itu, putera raja itu masih seorang bayi. Maka jika darah sebanyak itu dikeluarkan daripada tubuhnya, samalah juga dengan membunuh terus bayi itu. 

Apapun, catatan sejarah Nusantara yang diterima ramai termasuk kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang menyebut, Raja Ahmad akhirnya mati dibunuh ayahandanya Sultan Mahmud juga. Ini berlaku tidak lama selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. 

Sultan Mahmud diketahui sangat zalim. Selain menindas rakyat demi memenuhi syarat peminangan Puteri Gunung Ledang, baginda pernah mengarahkan pembunuhan adinda tirinya Raja Zainal kerana cemburu, adindanya yang elok paras-rupa sering menjadi perhatian para perawan Melaka. Sultan Mahmud juga sanggup menghapuskan seluruh keluarga Bendahara Tun Mutahir akibat dendam. Baginda berkenan dengan puteri Bendahara, Tun Fatimah yang cantik rupawan tetapi telah dijodohkan dengan Tun Ali. Lalu apabila ada pihak memfitnah Bendahara ingin merampas takhta, baginda tanpa usul periksa terus menghapuskan keluarga Bendahara kemudian mengambil peluang mengahwini Tun Fatimah pula.

Adapun anakandanya Raja Ahmad dikatakan sebagai seorang warak yang sangat merendah diri. Mungkin putera raja itu telah melihat segala macam keburukan yang menyebabkan Melaka jatuh ke tangan penjajah, lalu insaf atas apa yang berlaku serta menjalankan polisi pentadbiran yang jauh berbeza dengan cara Sultan Mahmud? 

Ada cerita-cerita lama menyebut, Raja Ahmad tidak mengambil berat akan protokol istana kerana sering bergaul dengan golongan marhaen tanpa memerhatikan batasan yang selalunya memisahkan golongan raja dengan rakyat biasa. Selain itu, baginda dikatakan kurang memberi perhatian terhadap para pembesar lama, mungkin kerana Raja Ahmad tahu sifat sebenar mereka yang menyebabkan kejatuhan Melaka. 

Di sini, biar dipaparkan sedutan berkaitan daripada buku “Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti”... 


Sebelum Melaka diserang, Raja Ahmad sempat menaiki takhta. Malah menurut kitab Sejarah Melayu, bagindalah sebenarnya Sultan terakhir Melaka, bukannya Sultan Mahmud. Tetapi Sultan Ahmad yang baik dan elok budi pekertinya tidak sempat membetulkan kesilapan ayahandanya. Baginda memegang kuasa ketika Melaka hampir jatuh, ketika para pengkhianat sudah bermaharajalela dan rahsia pertahanan kota sudah jatuh ke tangan musuh. Maka Portugis pun dapat menduduki Kota Melaka dengan mudah. Larilah dua beranak ini ke Muar, menurut Sejarah Melayu, Sultan Mahmud berkubu di Pagoh, Sultan Ahmad di Bentayan. Malangnya, musuh menyusul lalu menyerang dan mengalahkan mereka. Terpaksa pula lari ke Pahang sebelum berpindah ke Bentan beberapa tahun kemudian. 

Sultan Ahmad pun bernegeri di Kopak dan mula mengatur pemerintahan. Tetapi mengikut ceritanya, baginda lebih memberi perhatian kepada para pembesar muda, tidak pandai “mengambil hati” para pembesar senior dan orang-orang lama. Agaknya sebab baginda tahu pembesar tua lah yang menyebabkan kejatuhan Melaka? Buat apa lagi nak beri muka? 

Maka mengadulah mereka kepada Sultan Mahmud. Menurut Sejarah Melayu, Sultan Mahmud menyaksikan sendiri bagaimana anaknya lebih mementingkan para pembesar muda. Lalu disebut dalam kitab itu : 

Maka tiada berkenan baginda akan pekerti anakanda itu, maka disuruh kerjakan seperti firman Allah, Idzaja’ ajaluhum, la yasta’ khiruna sa’atan, wa la yastakdimuna, ya’ani ertinya, apabila datang ajal seseorang mereka itu tiada terkemudian seketika, dan tiada terdahulu seketika juapun. 

Dalam bahasa mudah, Sultan Ahmad dibunuh atas titah ayahandanya sendiri! Tidak lama kemudian, Kopak pun diserang Portugis. Maka merempatlah lagi Sultan Mahmud. Ish. kasarnya si Rasyid bercerita... 

“Selepas dipaksa melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat, Sultan Mahmud akhirnya berlindung di Kampar dan mangkat di sana. Agaknya masa dekat hendak meninggal barulah dia betul-betul menyesal kot?” kata pemuda itu lagi seraya menjeling kenalan yang menegurnya tadi.


Isnin, Februari 12, 2007

Pulau Pangkor dalam kenangan

Selesai sahaja pengembaraan 3 minggu di utara tanah-air, saya telah bergegas ke Manjung untuk mengikuti perhimpunan Forumers CVT pada 27 Januari. Begitu bersemangat sekali untuk bertemu-mesra dengan kawan-kawan on-line yang dikenali melalui forum ini sehingga sanggup turun daripada puncak Gunung Jerai terus ke Gurun kemudian Sungai Petani seterusnya ke Butterworth untuk mendapatkan bas ekspress ke Ipoh... Jam 2 pagi itu baru dapat bas untuk ke Lumut lalu menginap di masjid jamek sebelum bertemu kawan-kawan pada tengahari.
Selesai perhimpunan yang diadakan di sebuah chalet di Teluk Batik keesokannya, beberapa orang kawan terpanggil untuk turut serta pergi ke Pulau Pangkor pula. Di sana, kami menginap di chalet rimba tepian pantai di Teluk Nipah.. Sempat melawat Kota Belanda dan Batu Bersurat di Teluk Gedung lalu berjalan kaki masuk hutan untuk ke Teluk Segadas, berjumpa pula dengan kumpulan komando tentera laut yang sedang menjalankan latihan di sana.
Adapun gambar-gambar di bawah ini sebenarnya mahu diletakkan di dalam thread "Gathering Manjung" di Forum CVT... Sudah lama saya tidak menghantar gambar petikan sendiri di sana dan baru tadi timbul gerak...
Selalunya, gambar yang ingin diketengahkan di sana dimasukkan melalui website Photobucket tetapi banyak pula masalahnya tadi, rasa lebih senang dimasukkan sahaja ke dalam blog kemudian dicopy and paste balik ke dalam forum. Cuma saiz gambar menjadi lebih kecil apabila dimasukkan melalui blogspot kerana terpaksa mengikut kadar yang telah ditetapkan... Tetapi ini lebih baik daripada melangut buang masa menunggu gambar berjaya diupload melalui Photobucket lalu tiba-tiba ada pula error sehingga proses meletakkan gambar terpaksa diulang semula berkali-kali.
Apapun ada juga hikmahnya ini berlaku.... Sekurang-kurang boleh juga dijadikan cerita tambahan di blogspot ini.
Memandangkan gambar-gambar ini asalnya dibuat untuk tatapan kawan-kawan di Forum CVT, izinkan saya menggunakan bahasa santai yang biasa dipakai di sana untuk mengiringi... Senang cerita, aku nak jadi kutu berahak sat bercerita ikut sukahati kepala bapak aku... Boleh? He! He!





Dua gambar di atas menunjukkan beruk-beruk sedang bersiap untuk ke Pulau Pangkor... Tengok le satu mamat tu dengan spek ngan topi dia... Bersemangat betul nak pi memancing, he! he!


Peh... Lain macam je dua orang ni... Dah le duduk romantik dok tengok laut, sorang tu lain macam betul cara renungannya... Woit!!! Baru 2-3 malam pi berjalan outstation dah rindu kat orang rumah ke?



Beruk-beruk sedang melakukan aksi orang zaman batu...


"Peh! Aku dah jumpa dah trilobite!" kata seorang hamba Allah tu dengan begitu gembira... Maklumlah, terasa macam dah jumpa fossil binatang zaman pra-dinosaur yang berumur lebih berpuluh juta tahun...



Tu dia... Dok berangan lagi... Macamana tak berangan? Best woo lepak kat Pulau Pangkor. Yang satu mamat tu tak habis-habis dok test joran dia... Last-last dalam tempoh 24 jam tu dapat gak sotong daun buat makan tengahari... Tu pun punya excited gila sampai kejut orang tengah tido semata-mata nak tunjuk sotong nya yang tak beso mana... Tak pa la... Usaha anda masih boleh dikira layak mendapat pujian... Tima kasih le sebab provide lauk nasik lemak untuk kami.



Beruk-beruk memulakan perjalanan mencari pisang... Tadi sibuk sangat carik kat celah batu... Baru le perasan, mana ada pokok pisang tumbuh kat celah batu... Eh... Ke nak pegi cari kayu api? Cari kayu api, cari kayu api... Tapi kayu api pun mana ada tumbuh celah batu dah... Hek eleh!



Tengok tu pemandangan kat Teluk Nipah... Rugi woo tak pegi Pulau Pangkor! (Saja je nak bagi jealous sesapa yang tak dapat pegi hari tu... Itu belum cerita lagi pasal minah-minah saleh yang dok bersidai kat tepi pantai untuk menguji keimanan kami, he! he!)

Lagi gambar-gambar di Muar

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Di sini saya tergerak untuk memaparkan lagi beberapa gambar yang diambil di sekitar Muar. Silalah tatap!



Bangunan pintu gerbang di Tanjung Emas

--------------------------------------------------------


Gerbang yang sama daripada sudut berlainan

--------------------------------------------------------

Bandar Muar dilihat daripada Tanjung Emas

--------------------------------------------------------


Kuala Sungai Muar dilihat daripada tepian stesyen bas bandar

--------------------------------------------------------

Muar Traders Hotel, dahulunya Bangunan UMNO Pagoh. Bangunan setinggi 12 tingkat ini adalah bangunan "pencakar langit" pertama di Muar

--------------------------------------------------------

Jambatan lama Muar dilihat daripada tepi stesyen bas bandar

--------------------------------------------------------


Masjid Jamek Muar

--------------------------------------------------------


Menara Masjid Jamek Muar

--------------------------------------------------------



Pemandangan di dalam Masjid Jamek Muar

--------------------------------------------------------


Masjid Jamek kedua Muar yang terletak di Tanjung Agas menyeberangi Sungai Muar, dilihat daripada tepi Masjid Jamek yang asal

--------------------------------------------------------



Masjid Jamek kedua dilihat daripada tepian stesyen bas bandar

--------------------------------------------------------


Masjid Jamek kedua dilihat daripada Tanjung Emas

Sabtu, Februari 10, 2007

Sedikit pengalaman diganggu makhluk halus

Assalamualaikum... Di sini saya tergerak untuk menyertakan sedikit isi daripada buku 2 "Berpetualang ke Aceh" yang mempunyai sub-title "Membela Syiar yang Asal." Untuk makluman, buku ini masih dalam proses editing... Beberapa hari yang lepas, saya telah tergerak untuk mengeluarkan isi yang sama dalam Forum CVT tetapi ketika itu ada bahagian yang belum disunting lagi... Silalah baca... Semoga ada manfaat untuk semua... :]


Dahulu lagi, seorang bapa saudara pernah memberitahu ada golongan manusia yang seboleh-bolehnya mahu menghapuskan seisi keluarga Rasyid dengan cara halus kerana tidak mahu sesiapa pun daripada jurai keturunan mereka muncul mengembalikan hak kepimpinan keluarga yang pernah dipegang nenek-moyang mereka turun-temurun zaman berzaman. Yang menyedihkan, golongan ini termasuk saudara-mara mereka juga!
"Pernah sekali, seisi rumah kami dilanda demam teruk dan semua orang diganggu benda halus," bapa saudara itu bercerita. "Teruk jugalah keadaan kami semasa itu... Selalu menggigil tidak tentu pasal, mahu tidur pun susah, ada pula suara seperti memanggil-manggil. Bila terlelap mata pula asyik ternampak benda yang bukan-bukan seperti hantu dan tengkorak!"
Nasib baik Allah masih melindungi mereka. Katanya, beberapa hari kemudian, sebiji petir muncul menembak dua pucuk pohon kelapa bersebelahan rumah. Yang pelik, ketika itu hari sedang terang, tidak ada apa-apa pun tanda hujan. Demam yang melanda keluarga pula surut dan gangguan pun hilang. Dua pohon kelapa tersebut "botak" sampai sekarang!
Rasyid sendiri membesar dalam keadaan selalu diganggu mimpi buruk serta "ditemani" kehadiran sesuatu yang menyeramkan... Seperti kelibat hitam yang cuma dapat ditatap sekali imbas. Ketika menuntut di sekolah berasrama penuh pula, dia selalu ditekan suatu lembaga sehingga sesak nafas. Anak muda ini juga pernah beberapa kali mendengar bunyi laungan anjing dan ngauman harimau dari sebelah bilik asramanya di tingkat 3, pernah juga terdengar derapan orang berkawat di tengah malam buta!
Pernah gelas yang digunakan Rasyid untuk menikmati teh tarik meletup berkecai halus sehingga tinggal tapaknya sahaja! Ini berlaku selepas tamat zaman persekolahan, ketika sedang berehat di sebuah warung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Apabila air di dalam gelas tinggal tidak sampai setengah inci tinggi, dia tergerak untuk bangun dan membayar harganya. Pemuda itu kembali ke tempat duduk untuk menghabiskan sisa teh tarik itu tetapi gelasnya pula meletup sebelum sempat disentuh...
Reaksi awalnya adalah memandang ke atas sebelum mencari-cari ke sekeliling kerana menyangkakan mesti ada benda keras telah terjatuh daripada atas lalu menghentam gelas yang terletak di atas meja makan. Tetapi setelah diteliti, tidak terdapat apapun benda daripada atas. Bangunan yang terdekat, sebuah rumah pangsa 12 tingkat pula terletak agak jauh, hampir 100 kaki dari tempatnya duduk! Jadi, apakah yang telah berlaku?
Kebetulan, Rasyid sedang duduk bersama beberapa orang kenalan yang sudah masak dengan selok-belok kehidupan malam di ibukota... Mereka ini faham akan realiti kehidupan jalanan yang sering menyaksikan manusia bersifat samseng bergaduh untuk menunjukkan siapa jaguh... Pantang ada silat atau ilmu batin, mesti hendak mencabar orang...
"Ada orang mahu menguji kamu, itu sahaja..." kata seorang kenalan. "Kerana gaya dan penampilan diri kamu nampak lain macam, tidak seperti kebanyakan orang. Lalu ada yang menghantar santau ke dalam air minuman kamu. Nasib baik ada kuasa melindungi... Sebab itu gelas tadi meletup!"
Rasyid sendiri kurang menyedari apa yang berlaku kerana tidak berminat mendalami ilmu sebegini. Cuma semasa zaman budak-budak di Muar dahulu, ada orang pernah mengajar ayat-ayat untuk pukulan batin jarak jauh... Katanya ilmu Nasrulhaq. Selain itu, ada juga permainan kebatinan Buluh Rencong dan Bintang Tiga tetapi semuanya suka-suka untuk bermain-main di hadapan masjid sahaja. Lagipun, dia sudah lama meninggalkan kesemuanya. Lalu apakah yang telah menyelamatkannya?
"Rasanya kamu ini ada pelindung," kata kenalan itu. "Mungkin disebabkan darah dan zat tertentu yang mengalir di dalam tubuh kamu?"
———————————
Semasa memulakan pengajian universiti di London, tahun 1991, Rasyid telah diserang sejenis penyakit ganjil yang menyebabkannya selalu kuat tidur... Sekali tidur sampai berbelas jam, tiga hari berturut pun pernah, bangun pun sekadar untuk buang air sahaja! Sebenarnya, sejak Tingkatan Tiga lagi penyakit ini sudah mengganggu tetapi cuma dalam tempoh tertentu... Mungkin tiga hari berturutan sekali kena, mungkin seminggu sebelum pulih kemudian kena lagi sebulan dua selepas itu.
Di luar negeri, penyakit itu menjadi semakin teruk.Tidur berlebihan yang tidak dapat dibendung menyebabkannya cuma dapat menghadiri kelas pengajian mungkin tidak sampai 20 jam setahun. Fikiran pula jadi tumpul dan badan sering terasa lemah sehingga ada-kalanya hendak menulis pun tangan menggigil dan bercakap pula asyik tersasul. Cuma anak muda ini bernasib baik kerana sedikit ketajaman fikiran yang tinggal masih cukup untuk membolehkannya kembali ke tanah air dengan segulung ijazah kepujian. Kalau tidak, tentu segalanya jadi habuk belaka!
Dalam tempoh itu, Rasyid selalu mengalami mimpi yang ganjil-ganjil... Kadang-kala jadi mimpi dalam mimpi, atau mimpi dalam mimpi dalam mimpi - bermimpi sehingga tiga lapisan seperti dalam filem seram Nightmare on Elm Street... Sedar daripada satu mimpi tetapi rupa-rupanya masih berada dalam mimpi. Dan apabila sedar daripada mimpi itu pula, rupanya masih belum selesai lagi, perlu tiga kali sedar sebelum dapat kembali ke alam nyata! Anak muda ini menjadi begitu lali sehingga dia "terbiasa" bermain dengan mimpi - menukar isi cerita lalu menerbitkan watak-watak dan latar-belakang yang dikehendaki. Dengan cara ini, mimpi buruk boleh ditukar menjadi mimpi menyenangkan. Dan dia paling suka apabila dapat "terbang" menjelajahi pelbagai alam aneka rupa kerana itulah yang sering dialami semasa kanak-kanak jika tidak diserang igauan ngeri atau gangguan menakutkan lagi menyakitkan hati.
Masalahnya, penyakit ini menyebabkannya lebih banyak "menuntut ilmu" di alam mimpi daripada mengaji di universiti sehingga dia kadang-kala terlupa, yang mana mimpi yang mana realiti. Pernah beberapa kali, ketika bersiar seorang diri di tengah kesibukan kota London, pemuda ini nyaris berbaring di atas jalan untuk membiarkan dirinya digilis bas ataupun teksi kerana merasakan dirinya masih bermimpi... Pada ketika lain pula, (yang ini bukan mimpi) anak muda berdarah Aceh ini dapat melihat sejenis makhluk menyerupai dirinya sedang melayang-layang di udara, dalam 20 hingga 30 kaki di atas sambil mengekorinya dengan gaya seperti Superman... Walaupun ketika itu dia sedang berjalan mencelah di antara berpuluh ribu orang yang membanjiri jalan utama tempat membeli-belah di Oxford Street. Ada masanya, Rasyid dapat melihat dirinya sendiri sedang berjalan-jalan di bawah... Peliknya, dia melihat daripada sudut pandangan makhluk yang menyerupainya di atas, kata Orang Putih, bird’s eyeview! Melihat daripada kacamata seekor burung...
Tidak cukup itu, ada ketikanya (dan pemuda itu yakin ini juga bukan mimpi), dia dapat melihat diri sendiri daripada satu sudut yang tidak dapat digambarkan kerana ia bukan terletak di dalam ruang alam nyata... Bukan dari tepi, hadapan ataupun dari atas, dalam matahati agaknya... Apabila melihat pada diri dalaman ini, akan kelihatanlah satu peribadi dengan rupa-paras sama tetapi lebih tenang dan bercahaya tanpa masalah dan rasa gundah-gulana... Tetapi apabila melihat "ke luar", akan kelihatan pula diri harian biasa sedang berserabut memikirkan berbagai perkara.
Rasyid juga sering mendengar suara-suara seperti orang berbual di telinga. Ada kalanya, ia bergerak melalui otak, sekejap ke telinga kiri, sekejap kanan seperti sedang bermain-main dengannya. Ada ketikanya ia datang mendayu-dayu memanggil nama seperti dalam cerita hantu! Gangguan yang bermula sejak sekolah menengah ini amat menakutkan sehingga anak muda itu selalu demam-demam seram sejuk dengan bulu meremang... Hendak melelapkan mata untuk tidur pun takut kerana jika tertidur, selalunya dia akan mengalami gangguan yang lebih teruk.
Gangguan suara tanpa rupa ini terus dialami di universiti serta beberapa tahun kemudian. Ketika sedang bekerja sebagai wartawan di sebuah syarikat akhbar berbahasa Inggeri terkemuka di ibukota, dia telah diganggu lagi semasa sedang berbaring di atas sofa bilik komputer waktu makan. Kali ini, pemuda yang selalunya ketakutan apabila ini berlaku memberanikan diri lalu bertanya dengan lantang: "Apakah yang kamu mahu?" Soalan itu dijawab dengan satu "serangan" berbentuk gerakan bunyi membingitkan yang bermain di dalam kepala... Tetapi ia beransur hilang apabila Rasyid berjaya mengumpulkan tekad untuk melawan.
Sejak itu, suara-suara ini tidak lagi muncul lagi. Tetapi pemuda itu dapat merasakan masih ada percubaan untuk menakutkannya daripada arah ghaib. Dan sejak itu juga dia telah mengalami berbagai lagi percubaan untuk menganggu malah menghancurkannya melalui kaedah batin seperti santau angin serta pukulan jarak jauh. Alhamdulillah, kebanyakkannya tidak "melekat" kerana perlindungan diri yang semakin kuat hasil ketekunan diri mendalami ilmu Tasawuf. Tetapi ada juga serangan yang berjaya menyusup ke dalam menyebabkannya sengsara dalam diam.
Pada Rasyid, ini berlaku kerana kerana salah sendiri juga – kerana belum mencapai darjah kesempurnaan yang dituntut oleh darah dan zat yang mengalir di dalam diri. Lagipun anak muda ini masih belum bersedia berhenti merokok, satu-satunya perkara buruk yang masih diamalkan demi mendapatkan sedikit kelegaan yang boleh mengekang sifat panas-baran yang telah lama berakar-umbi. Di situlah terletak kelemahan utama yang menyebabkannya masih boleh disihir orang... Kerana asap itu adalah makanan jin. Melalui jalan itulah mereka boleh menyusup ke dalam badan dan berkembang-biak lalu memporak-porandakan sistem dalaman.

Sabtu, Februari 03, 2007

Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang!

Allah! Lega sungguh rasanya apabila posting tadi bertajuk "Chaakk!!!" (sempena lama tak buat posting di sini) "melekat" juga. Maka di sini, ingin pula hamba menambah cerita terbaru di bawah segmen "Laksamana pulang ke Perak" yang telah keluar di dalam edisi ke-111 majalah tabloid Kencana (untuk 15-31 Januari 2007). Cuma yang di sini ada sedikit perbezaan kerana ia adalah copy yang asal sedangkan cerita yang keluar dalam Kencana telah disunting pengarang. Iqra'... :) 


----------


Kelmarin kita telah menyentuh mengenai kemungkinan akan adanya makna tersirat di sebalik pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 9 September 2006. Makna tersirat yang dimaksudkan adalah mungkin telah sampai masanya sejarah Tanah Melayu patut diselidik, dirombak dan ditulis kembali demi mengembalikan kekuatan sebenar bangsa yang semakin luput ditelan arus kemodenan zaman. 

Sekadar mengimbas kembali, Laksamana Muhammad Amin adalah salah seorang pejuang Melayu Perak yang disabitkan terlibat dalam peristiwa pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. Pada kala beberapa pejuang lain seperti Datuk Maharajalela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Pandak Endut dan Si Putum dihukum gantung 1877, beliau, Sultan Abdullah, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma’amor pula dibuang negeri jauh ke Pulau Seychelles di perairan Afrika. 

Sultan Abdullah mendapat “pengampuan” British lalu sempat kembali ke negeri asalnya sebelum menghembuskan nafas terakhir di sana 1922 sementara yang lain dilaporkan meninggal dunia di Singapura. Dalam konteks ini, pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Perak ternyata amat bermakna. Ia dilakukan penuh istiadat, dan kebetulan jenazah dibawa kembali menaiki kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin! 

Jenazah Ngah Ibrahim turut dibawa kembali bersama tetapi ada pihak mempertikaikannya. Menurut mereka, menantu Laksamana itu sempat kembali ke Perak secara senyap dalam tahun 1920an lalu identitinya dirahsiakan untuk mengelak dari dikesan pihak penjajah. Nasib baik tidak ada pertikaian tentang identiti jenazah Laksamana kerana pada tahun 1980an, ia pernah dialih daripada Jurong, Singapura yang sedang dimajukan, ke Pusara Abadi dengan disaksikan waris terdekat. Maka biarlah cerita ini diteruskan lagi mengikut perspektif penulis, seorang anak Melayu generasi ke-5 keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. 

Apapun, negeri Perak seterusnya seluruh Tanah Melayu banyak dibentuk mengikut acuan Barat setelah hilangnya para peneraju perjuangan bangsa seperti almarhum. Maka apakah pengembalian jenazah Laksamana ke negeri asalnya itu setelah hampir 100 tahun “ditahan” di Singapura, pusat pentadbiran penjajah Inggeris di Nusantara menandakan permulaan beberapa cerita lama yang selama ini terpendam akan dibuka kembali untuk menyedarkan generasi kini dan akan datang? 


Cetusan Ilham dalam mencari kebenaran 

Dalam cerita yang lepas, telah dinyatakan bagaimana kebanyakan yang kita ketahui atau pelajari sebagai sejarah rasmi tanah-air kita sebenarnya lebih merupakan sejarah yang dibentuk daripada perspektif Barat atau kaca-mata penjajah. Maka itu tidak dapat tidak, mesti ada kisah yang digelapkan lalu digantikan dengan penceritaan (malah tokok tambah!) daripada sudut lain demi menjaga kepentingan pihak tertentu dan meminggirkan golongan yang tidak sealiran. 

Telah dinyatakan juga bagaimana penulis sendiri tergerak untuk memikirkan sejak bilakah bandar-bandar yang diterajui bangsa bukan Melayu mula bercambah di Tanah Melayu. Cetusan rasa itu berlaku ketika mengikuti rombongan membawa jenazah Laksamana Muhammad Amin daripada Lumut ke Bukit Chandan… 

Bukankah bandar pertama sebegini ialah Taiping yang diwujudkan pihak British tahun 1880an? Bukankah sebelum itu semua bandar di bumi Timur ini dikuasai orang Melayu sejak zaman-berzaman? Jadi mengapakah kita yang hidup sekarang ini merasakan seolah-olah orang lain telah menguasai ekonomi Tanah Melayu sejak azali lagi? Perhatikanlah di mana-mana… Siapakah yang menguasai dunia perniagaan rantau ini? Kedai dan tokoh siapakah yang terserlah di seluruh pekan dan bandar-bandar sehingga dikatakan ekonomi negara akan lumpuh jika bangsa bukan Melayu berhenti berniaga walaupun sehari. Apakah yang telah berlaku sehingga semua ini terjadi? 

Di sini, biar diulang sedikit apa yang telah dipaparkan dalam segmen “Laksamana pulang ke Perak” sebelum ini :- 


Sejak tahun 1877 menyaksikan para peneraju utama kepimpinan negeri Perak dibunuh atau dibuang negeri, tinggallah negeri yang mewarisi benih keSultanan Melaka itu terumbang-ambing dihimpit kekuasaan British berserta kemasukan beramai-ramai kaum lain yang bakal membentuk demografi negara Malaysia moden nanti. 

Mungkin ramai tidak tahu, sejak itu, Perak sebenarnya diperintah British atas nama Sultan Abdullah sedangkan si Sultan pula terkapai-kapai jauh di negeri orang. Gantinya cuma Raja Yusuf yang bergelar Raja Muda, maka Perak sebenarnya tidak beraja sampailah 10 tahun kemudian apabila Raja Yusuf ditabalkan sebagai Sultan Yusuf Sharifuddin, Sultan Perak ke 27 pada 11 May 1887. Itupun sang Sultan sempat bertakhta tidak sampai 3 bulan, sebelum mangkat 26 Julai tahun yang sama. 

Maka tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyekat apa-apa program British untuk membentuk Perak mengikut acuan mereka, samada dengan menghilangkan kesan-kesan kegemilangan bandar Melayu mahupun dengan mendirikan bandar-bandar baru yang bakal diterajui bangsa asing yang dibawa beramai-ramai ke Perak. 

Baki kerabat diraja dan pembesar nampaknya terpaksa mengalah dan angguk bersetuju dengan apa-apa program British. Sejarah membuktikan Perak adalah negeri pertama di Tanah Melayu yang “dirombak” penjajah dalam proses “modernisasi”nya sebelum polisi yang sama dikembangkan ke atas negeri-negeri lain di Semenanjung. 


Dalam menangani persoalan apakah yang terjadi kepada bandar-bandar Melayu sehingga kisahnya langsung pupus daripada sejarah rasmi, penulis telah mendapat gerak ilham daripada arah tidak disangka. Sejak 5 tahun kebelakangan, penulis suka mengkaji cerita-cerita lama berkaitan salasilah keluarga. Maka 3 tahun lalu, seorang bapa saudara telah menyarankan supaya menziarahi makam seorang kerabat diraja Perak bernama Raja Ahmad. 

Penulis tidak mengendahkan saranan ini kerana sebelum itu menganggap Raja Ahmad tidak termasuk di dalam lingkungan keluarga terdekat. Tetapi entah kenapa, sebaik sahaja jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin selamat disemadikan di makam diraja Perak di Bukit Chandan, timbul rasa serta gerak hati yang sangat kuat untuk menziarahi makamnya. Oh… Siapakah Raja Ahmad? Sila baca artikel berkenaan. Di sini penulis sekadar ingin mengulangi sedikit pengalaman mencari makam sehingga terjumpa sebuah kampung tinggal. Di situlah terdapat petunjuk bagaimanakah sejarah Melayu telah diubah supaya kita dipinggirkan daripada kekuasaan ekonomi tanah-air sendiri. Maka jadilah sesetengah anak bangsa seperti melukut di tepi gantang sampai ke hari ini.


MENCARI MAKAM RAJA AHMAD 

Satu petang di Teluk Intan lebih 3 hari setelah jenazah Laksamana selesai kembali ke Perak. Penulis telah menziarahi makam Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad I (memerintah 1851-1857) di satu sudut bandar kemudian berehat di kawasan warung perbandaran sambil menumpang signal Internet percuma di sana… Terleka melayari dunia Cyber sehingga tertinggal bas terakhir ke Kampung Gajah. 

Lalu tidak ada pilihan lagi jika mahu menziarahi makam Raja Ahmad yang terletak dalam perjalanan ke sana kecuali menyewa teksi dan membayar lebih. Ternyata ada hikmahnya kerana bapa saudara setakat memberitahu makam itu terletak sekitar Matang Pelanduk sedangkan apabila ditanya penduduk sana, rupa-rupanya ia terletak berbatu-batu lagi ke hadapan. Kalau naik bas tadi, mungkin terpaksa berjalan kaki jauh atau menunggu lebih sejam lagi untuk mendapatkan bas seterusnya. Inilah masalah tidak memiliki kenderaan sendiri sejak motor besar kesayangan tersadai 2 tahun lepas. 

Sampai di sekitar Teluk Memali, kelihatanlah papan-tanda menyatakan arah ke beberapa makam kerabat diraja Perak termasuk makam Raja Ahmad. Teksi pun menghala masuk ke jalan yang semakin sempit, tamat jalan bertar, tinggal jalan tanah merah… Itupun tersilap mengambil selekoh sehingga sampai ke sebuah empangan kecil, terpaksa berpatah balik agak jauh juga sebelum sampai ke simpang tiga berhadapan Sungai Perak.

Hari sudah senja dan pemandu teksi tidak dapat menyembunyikan rasa gelisah. Manakan tidak, disuruh masuk ke kawasan sebegini sunyi tempat jin bertendang pada waktu begini. Untuk menyedapkan hatinya, penulis terpaksa memberi bayaran tambahan RM10 lagi atas tambang yang telah dijanjikan lebih awal. Itupun katanya dia cuma sanggup menghantar sampai ke simpang tiga itu sahaja. 

Penulis faham dan akur. Tidak ramai manusia sanggup masuk ke berbatu ke dalam kawasan belukar bercampur ladang kelapa sawit ketika matahari mula menghilang. Sudah dihantar sampai ke sini pun syukurlah, biarlah penulis berjalan kaki seorang diri untuk mencari makam yang ingin diziarahi. 

Teksi bergegas meninggalkan simpang tiga, nampak agak panik pun ada. Berpandukan gerak hati kerana tiada pihak yang boleh memberi petunjuk, penulis mula menyusur simpang ke kanan yang juga menghala ke utara. Tidak lama kemudian, terjumpa sebuah masjid atau surau tinggal dengan ukiran seni lama yang sangat indah. Berpandukan pengalaman lepas berkelana ke sana ke mari menziarahi bangunan lama, masjid ini boleh dianggarkan berumur tidak kurang 80 tahun, tidak mustahil lebih 100 tahun. 

Kalau diikutkan minat, mahu sahaja bermalam di sana tetapi lupa membawa bekalan makanan sedangkan perut telah mula berkeroncong. Penulis pun meneruskan perjalanan lalu terjumpa makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (memerintah 1806-1825). Kemudian sampai ke kubur J.W.W. Birch dan ketika itu juga kedengaran azan Maghrib berkumandang, mungkin daripada masjid berdekatan jalan besar?

Dipendekkan cerita, penulis terpaksa berjalan kaki lebih setengah jam lagi sebelum dapat menumpang sebuah lori kelapa sawit untuk keluar daripada kawasan tidak berpenghuni itu. Ketika itu sudah masuk jam 8.30 malam, maka terpaksalah menunggu keesokan hari untuk menziarahi tempat yang sebenarnya ingin dituju. 

Semasa menghampiri simpang ke jalan besar barulah sedar, rupanya makam Raja Ahmad terletak cuma 400 meter sahaja ke dalam… Jika penulis masuk melalui simpang di Pulau Besar yang terletak beberapa kilometer di hadapan simpang Teluk Memali! 


Bandar Melayu yang hilang 

Ternyata ada hikmah kenapa perlu melalui jalan jauh yang masuk daripada Teluk Memali. Paling nyata, jika terjumpa terus makam Raja Ahmad, kemungkinan besar sampai bila-bila pun penulis tidak akan sampai ke masjid atau surau lama dengan ukiran seni lama yang sangat indah serta makam Sultan Abdul Malik dan kubur J.W.W. Birch yang letaknya terpencil di dalam. 

Paling istimewa, dalam perjalanan inilah timbul cetusan ilham memberi petunjuk akan apa yang terjadi kepada bandar-bandar Melayu sehingga hilang ceritanya lalu digantikan bandar-bandar moden yang diterajui bangsa lain. Beberapa buah rumah kayu buruk tinggal di celah belukar serta ladang kelapa sawit sepanjang perjalanan menunjukkan kawasan itu pernah menjadi sebuah penempatan sederhana besar. 

Kewujudan masjid atau surau lama yang sebegitu indah pula menyatakan sebelum itupun telah ada penempatan pesat di situ yang berumur tidak kurang daripada 80 tahun. Ditambah makam Sultan ke 19 Perak yang terletak lebih kurang 300 meter daripada masjid serta kubur J.W.W. Birch lagi 300 meter ke hadapan, terbukti kawasan yang tinggal terpencil tidak berpenghuni itu bukan sahaja sebuah penempatan ramai malah sebuah bandar besar lagi pesat 130 tahun ke atas! Lalu kenapa ia boleh tinggal sebegini daif? 

Tulisan pada papan-tanda di makam Sultan Abdul Malik menunjukkan kawasan itu dijadikan tempat bersemayam serta ibunegeri Perak sejak baginda memerintah 1806 dan dikenali sebagai Bandar Baru. Mengikut adat struktur binaan istana Melayu dan sekelilingnya, sudah tentu pernah wujud bangunan istana dengan kota berlapis yang mempunyai masjid negeri serta makam diraja di sisi, diikuti perkampungan para pembesar dan pengikut mereka yang diselang-seli kawasan pasar, kedai serta pelbagai jenis perniagaan yang diterajui bangsa Melayu. 

Catatan jurnal pegawai-pegawai British zaman penjajahan seperti catatan peribadi Frank Swettenham juga ada menyatakan akan peri kepentingan serta kedudukan Bandar Baru dalam struktur pentadbiran Perak. Maka itu J.W.W. Birch telah mendirikan pusat pentadbiran British di situ setelah termetri Perjanjian Pangkor 1874 dan maka itu jugalah mayatnya berserta mayat beberapa pegawai British yang terkorban akibat kemarahan orang Melayu tahun 1877 ditanam di kawasan itu juga walaupun mereka terbunuh di Pasir Salak yang terletak menyeberangi Sungai Perak. Sekarang fikirkan… Tempat ini diberi nama Bandar Baru sekurang-kurangnya tahun 1806. Mengikut cerita orang lama, ia diberi nama itu kerana di sekitar kawasan selatan Pasir Salak, pernah wujud sebuah penempatan besar yang dikenali sebagai Bandar… Atau Bandar Tua (selepas Bandar Baru wujud). Ada pula cerita lisan menyebut Bandar Tua itu dipelopori pengikut Sultanah Aceh sejak abad ke 17 lagi! Maka di sini terletak lagi satu cerita tersembunyi tentang pengaruh kuat Aceh terhadap Perak. Yang nyata, memang terdapat bandar-bandar Melayu yang besar di kawasan itu. 

Penulis telah mengembara hampir seluruh pelusuk tanah-air untuk mengkaji cerita-cerita lama daripada sudut tersendiri lalu mendapati kebanyakan makam diraja terutama di Perak sendiri (yang ada 30 makam Sultan di merata lokasi!) terletak di dalam kawasan terpencil seperti belukar serta estet getah dan kelapa sawit. Pening juga kepala memikirkan, kenapa pula raja-raja disemadikan di dalam tempat-tempat jin bertendang. Apakah tabiat Raja-raja Melayu suka dimakamkan di dalam hutan? 

Ketika memikirkan semua ini sekonyong-konyong terbitlah jawaban… Tidak… Raja-raja Melayu dahulukala bukanlah orang hutan yang sengaja mahu dimakamkan di tempat terpencil. Kecuali kerabat diraja yang lari membawa diri, mereka sebenarnya dimakamkan DI DALAM BANDAR MELAYU seperti di Bandar Baru, tidak jauh daripada kawasan istana dan masjid negeri. Tetapi British yang mula menunjukkan taring penuh sejak menghukum bunuh atau membuang para pemimpin Melayu Perak 1877 berjaya menghilangkan cerita ini… Caranya, bakar dan hancurkan bandar-bandar Melayu seperti yang pernah berlaku di Bandar Baru, Batak Rabit, Kota Setia, Pasir Salak dan beberapa lagi bandar Melayu ketika perang orang Melayu dengan British memuncak akibat pembunuhan Birch, penduduknya bertempiaran merempat mencari penempatan baru. Kemudian di atas puing-puing kota Melayu ini, mereka dirikan estet getah atau kelapa sawit, atau tinggalkan ia menjadi hutan belukar… Dengan cara itu, bukti kewujudan bandar-bandar Melayu dapat dikuburkan. Tinggallah sedikit kesan seperti makam-makam raja terperosok jauh di tempat jin bertendang. 

Pada masa yang sama, penjajah secara sistematik mendirikan bandar-bandar baru mengikut acuan mereka, diterajui bangsa-bangsa bukan Melayu, diwar-warkan seantero dunia agar menjadi identiti tanah-air ini… Sistem yang sama juga dilakukan di setiap negeri Melayu yang berjaya dikuasai mereka. Lalu kekallah ciri-ciri ini dan sampai sekarang orang Melayu jadi keliru akan kekuatan serta asal-usul bangsa sendiri.


Siapakah Raja Ahmad…

Salasilah rasmi keSultanan Perak mencatatkan Raja Ahmad sebagai anakanda kepada Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah ibni Sultan Ahmaddin Shah. Baginda dikatakan telah berkahwin dengan Che Long, juga dikenali sebagai Che’ Puan Busu, anak seorang Raja Bugis daripada Lingga bernama Daeng Masiah. 

Menurut ceritanya, daripada perkahwinan ini terbitlah Sultan Jaafar yang menjadi Sultan ke 23 Perak (memerintah 1857-1865). Sultan Jaafar ialah ayahanda kepada Sultan Abdullah Muhammad II (Sultan ke 26, memerintah 1874-1877), raja yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma’amor. 

Seorang lagi anakanda Raja Ahmad ialah Raja Bendahara Alang Iskandar, ayahanda kepada Sultan Idris I yang membuka Bukit Chandan tahun 1880an. Sultan Idris ialah bapa kepada Sultan Abdul Jalil, datuk kepada Sultan Perak sekarang Sultan Azlan Shah (Sultan ke 34, ditabalkan 1984). Sultan Idris I juga adalah datuk kepada Sultan Idris II ibni almarhum Sultan Alang Iskandar, Sultan ke 33 Perak. Maka itu, Raja Ahmad yang hidup pertengahan abad ke 19 adalah moyang kepada Sultan dan setiap kerabat diraja Perak terdekat dalam abad kebelakangan. 

Adapun salasilah lain menyebut Raja Ahmad bukanlah anak kandung Sultan Abdul Malik malah adalah menantu baginda. Ada pula cerita menyambung, baginda adalah seorang anak raja daripada Daik. Cerita lain pula menyebut baginda asalnya cuma seorang pahlawan sahaja tetapi diangkat menjadi kerabat diraja atas jasa kepada raja di samping mengahwini puteri raja. Jadi siapakah sebenarnya Raja Ahmad? 

Penulis mula tertarik untuk menziarahi makamnya beberapa hari setelah jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin selamat disemadikan kembali ke makam diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006, selepas diingatkan lagi oleh seorang bapa saudara dan kerana makam itu kononnya dijaga oleh seekor harimau yang untut satu kaki, dikenali sebagai Harimau Tepok. Mengikut cerita lisan tempatan, Harimau Tepok juga menjaga makam watak legenda yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor di Teluk Intan. Dan Keramat Kuala Bidor pula berkait dengan Nakhoda Hitam, Laksamana Raja Mahkota pertama yang hidup pertengahan abad ke 18. Gerak hati mengatakan ada kaitan antara semua watak ini tetapi tidak pasti bagaimana lalu apabila tidak dapat lagi membendung rasa, penulis pun sampai ke situ. 

Sejarah rasmi Perak menyatakan Raja Ahmad pernah memegang jawatan Raja Kecil Tengah, Raja diHilir kemudian Sultan Muda. Ada pula yang memanggil baginda dengan gelaran Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat Khalifatullah, tetapi papan tanda di makam yang dibina pihak berkuasa setakat menyatakan baginda sebagai Raja Kecil Tengah yang agak jauh kedudukannya daripada takhta.Mengapa timbul percanggahan ini? Apakah ada cerita lama yang ingin disembunyikan? 

Baginda dikatakan mati terjatuh di Kuala Sungai Terus lalu jenazahnya tidak ditemui. Maka itu, makamnya yang terletak di dalam mukim Pulau Besar, Perak itu didirikan sebagai tanda tempatnya hilang, dengan batu peringatan tertulis perkataan “Sultan Ahmad Waliullah.” Mengikut ceritanya, Raja Ahmad adalah penjaga jin kerajaan Perak di Beting Beras Basah, kuala Sungai Perak, tempat terakhir wajib diziarahi setiap Sultan Perak dalam proses pertabalan. Teringat cerita rakyat tempatan menyebut Beting Beras Basah dijaga oleh orang ghaib yang dikenali sebagai Haji Ahmad Dewa. Ada pula kisah menyebut Ahmad Dewa, Keramat Kuala Bidor serta Nakhoda Hitam adalah orang yang sama. Jadi siapakan sebenarnya Raja Ahmad? Apakah kaitan baginda dengan keluarga Laksamana Raja Mahkota? 

Yang pasti memang ada kaitan yang nyata. Sultan Abdul Malik Mansur Shah (yang menurut salasilah rasmi adalah bapa Raja Ahmad, mengikut cerita lain bapa mertua) adalah anak Sultan Ahmaddin Shah, Sultan ke 18 Perak dengan puteri seorang Laksamana. Dan Raja Ahmad hilang di Sungai Terus yang merupakan sempadan utara tanah jajahan di bawah kuasa Laksamana...


Untuk cerita berkaitan, sila klik ini:- 






Sebenarnya artikel Mencari Makam Raja Ahmad ni ada 6 bahagian... Belum dicampur selingan yang ada kena-mengena... Senang cerita carilah sendiri kat blogspot ni... Takkan semuanya nak bagi makan suap belaka, heh! :]



Chaakkk!!!

Subhanallah! Setelah lebih 2 minggu membiarkan blogspot ini "berkarat" tanpa menambah apa-apa isi baru, baru malam ini tergerak untuk bercerita lagi di sini. Sebenarnya penceritaan telah dimulakan lebih setengah jam tadi dengan memperihalkan pengembaraan terbaru saya di utara tanah-air yang baru tamat Isnin lalu, terus ke dalam blogspot ini. Malangnya komputer laptop saya ada sedikit masalah semenjak-dua menjak ini. Kalau dalam beberapa hari lepas ia kadang-kadang tidak mahu hidup - terpaksa pula dibetulkan balik kedudukan bateri sebelum on balik, sejak petang ini pula ia menghadapi masalah mati tiba-tiba tanpa sebab... Dan tadi ia buat hal lagi sebelum posting sempat "melekat"... Mungkin kerana disebabkan hentakan demi hentakan yang ditanggung selama ini? Sepanjang pengembaraan, saya turut membawa laptop ini bersama dan untuk memudahkan perjalanan, ia cuma disimpan di dalam beg galas, bukan beg khas yang boleh menyerap hentakan. Dan sudah lazimnya apabila berjalan lasak, ada masanya beg ini terhentak pada dinding atau jatuh ke lantai dan permukaan keras.
Apapun, cukuplah kalau dikatakan hampir sebulan kebelakangan ini telah digunakan untuk menjelajah utara tanah-air. Minggu pertama boleh dikira santai kerana saya duduk di hotel mahal di Prai untuk menemani seorang sepupu yang sedang outstation... Selepas itu barulah keluar mengembara seperti biasa menaiki kenderaan awam di samping hitchike menumpang motosikal, kereta dan lori atau berjalan kaki berbatu-batu tak kira masa.
Dipendekkan cerita, saya sempat bermalam di Masjid Lebuh Aceh, Batu Feringgi dan Kuala Muda Penaga (di sempadan Pulau Pinang/ Kedah) sebelum singgah di Kota Kuala Muda dan Sungai Petani. Seterusnya tidur di sebuah surau di Merbok sebelum melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang, pusat ekskavasi Pengkalan Bujang dan menziarahi makam Sultan pertama Kedah masuk Islam, Sultan Muzaffar Shah yang dikatakan mangkat tahun 1136 Masihi, hampir 300 tahun sebelum kemunculan keSultanan Melaka!
Perjalanan diteruskan untuk ke Yan, Alor Setar, Kuala Kedah, Langkawi, Kangar di Perlis sebelum timbul gerak untuk menapak seorang diri memanjat ke puncak Gunung Jerai pada malam Jumaat lepas... Keesokannya sempat pula ke Manjung untuk menghadiri sebuah perhimpunan kawan-kawan di Teluk Batik seterusnya mengembara ke Pulau Pangkor setelah hampir 7 tahun tidak menjejakkan kaki ke sana.
Hmm... Penat sungguh rasanya kerana pengembaraan saya kali ini sebenarnya telah dimulakan pertengahan Disember lalu untuk ke Terengganu, Kelantan dan Pahang sebelum menyambut Aidil Adha di kampung ibu di Muar lalu singgah bermalam di makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488 Masihi), seterusnya Pulau Besar, Melaka.
Cukuplah buat masa ini.... Bila timbul gerak insyaallah saya akan bercerita panjang lebar lagi... Takut pula kalau-kalau komputer buat pasal nanti! Selamat membaca...

Isnin, Januari 15, 2007

Gambar-gambar di Muar

Assalamualaikum pembaca sekalian. Saya kini dalam perantauan di utara tanah air. Selama seminggu, saya telah menginap di Hotel Pearl View di Seberang Prai. Seorang sepupu yang bekerja sebagai jurutera di Petronas Kuala Lumpur perlu melaksanakan kerja di Prai lalu mengajak saya menemaninya di sana. Semalam dia telah kembali ke KL sementara saya pula pergi ke bandaraya Pulau Pinang lalu bermalam di masjid lama Lebuh Aceh.
Sekarang saya berada di Batu Feringgi untuk mengambil angin laut dan menyiapkan sedikit penulisan. Dalam pada itulah saya tersedar, penulisan untuk segmen "Laksamana pulang ke Perak" dalam edisi terbaru akan datang tabloid Kencana sudah tertunda agak lama. Kebetulan editor Kencana telah menalifon bertanyakan khabar. Maka saya pun tergerak untuk menyiapkan segmen ini.
Alhamdulillah, setelah berhempas-pulas dengan sedikit demam dan writer's block, saya dapat menyiapkan penulisan yang perlu sebelum jam 11 malam. Gambar-gambar yang diperlukan juga telah disediakan, cuma perlu dihantar dengan cara paling afdhal... Maka dalam keadaan ini, media Internet lah yang paling sesuai dan dengan sebab itulah saya memilih untuk menyertakan gambar yang perlu sebagai isi terbaru dalam blogspot ini. Saksikan sedikit gambar yang diambil di Muar awal 2007... Sila...

-----------------------------------------------------------

Di bawah adalah gambar-gambar yang diambil berdekatan persimpangan ke Kampung Raja/ Pagoh. Ketika itu saya sedang dalam perjalanan untuk menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah. Kebetulan Pagoh termasuk kawasan yang teruk dilanda banjir luarbiasa di Johor hujung tahun 2006. Gambar-gambar ini diambil dalam keadaan banjir baru 2 hari surut.






-----------------------------------------------------------

Gambar menunjukkan arah persimpangan ke Muar dan Kampung Raja, juga makam Sultan Alauddin Riayat Shah.


-----------------------------------------------------------

Tugu mengandungi maklumat tentang makam Sultan Alauddin Riayat Shah. Di belakang adalah masjid lama bersebelahan makam.


-----------------------------------------------------------

Sedikit maklumat tentang makam.


-----------------------------------------------------------

Makam Sultan Alauddin Riayat Shah. Di kiri adalah makam Puteri Berdarah Putih.


-----------------------------------------------------------

Dewan di hadapan masjid yang menjadi salah sebuah tempat perlindungan mangsa banjir.


-----------------------------------------------------------

Sungai Bentayan berlatar-belakangkan Medan Selera Bentayan.


-----------------------------------------------------------

Surau bersebelahan kubu Bentayan.


-----------------------------------------------------------

Tugu peringatan menandakan kubu Bentayan, tempat pertahanan terakhir kerajaan keSultanan Melayu Melaka sebelum kalah kepada Portugis tahun 1511.


-----------------------------------------------------------

Medan Selera Bentayan yang terletak di atas Sungai Bentayan. Kelihatan seorang lelaki sedang berdiri betul-betul di atas kuala sungai Bentayan!


-----------------------------------------------------------

Inilah rupa kuala sungai Bentayan...