
Salam 1 Ramadan. Selamat berpuasa kepada semua pembaca Muslim yang dimuliakan. Dalam artikel Kolokium Sejarah Maritim Alam Melayu Dalam Peta Dunia - Hari 2 yang dipersembahkan Jumaat malam Sabtu ada dinyatakan bahawa beberapa lama selepas masuk waktu Maghrib keluar perisytiharan rasmi menyatakan puasa bulan Ramadhan akan bermula pada hari Ahad 2 Mac iaitu hari ini. Timbul rasa, sebelum berpuasa hendak berjalan-jalan keluar hiking mendaki bukit, satu di Kuala Kubu sebelum tengah hari, satu di Tanjung Malim, pada petangnya kemudian bersolat Maghrib, Isyak dan Tarawikh di mana-mana masjid dalam laluan kembali ke rumah. Sukacita dimaklumkan apa yang difikirkan itu sudah selamat dan berjaya dilaksanakan semalam. Ini adalah cerita berkenaan.
Pagi Sabtu 1 Mac 2025 saya pun keluar meninggalkan rumah untuk melaksanakan perkara. Namun entah kenapa sekitar 400 meter dari rumah terlanggar seorang tupai.
Apa yang berlaku adalah mula-mula terserempak tupai lain berlari menyeberang jalan dari kanan ke kiri. Saya yang memang sukakan haiwan seronok melihat.
Sekitar tiga detik kemudian muncul seekor lagi tupai, kali ini menyeberang dari kiri ke kanan. Tak sangka pula ekornya boleh digilis tayar kereta sehingga terlucut sebahagian dari tulang. Fikir saya elok dah lepas daripada laluan.
Hal ini membuatkan terfikir apakah ada petanda tidak baik tentang perjalanan? Setelah meletakkan tupai dari tengah jalan ke pokok di tepian saya memutuskan untuk meneruskan perjalanan.
Singgah beriktikaf di masjid lama ini sebentar.
Masuk ke pekan Kuala Kubu Baru.
Kemudian baru menuju ke bukit pertama yang mahu didaki, Bukit Batu Pahat.
Alhamdulillah saya tiada masalah mencari permulaan denai untuk mendaki. Ketika itu sudah tengah hari jam 12.15 gitu.
Setelah beberapa lama jumpa satu tempat menarik dengan batu-batu besar termasuk batu terbelah.
Pemandangan daripada atas sebuah batu sana.
Selepas jam 1.30 sampai ke puncak.
Pemandangan dari puncak begitu cantik menyebabkan saya melepak agak lama di puncak.
Dalam perjalanan turun berhenti rehat di kawasan batu-batu besar.
Ketika itu angin sedang bertiup nyaman menyebabkan rasa hendak tidur sebentar.
Sepanjang tempoh mendaki dan turun saya cuma dua kali minum air sahaja. Itupun setakat beberapa titik bagi membasahkan tekak. Sudah begitu petua kebiasaan saya apabila keluar mengembara. Dah selamat keluar baru boleh makan dan minum banyak. Ketika gambar ini diambil sudah jam 3.50.
Perjalanan diteruskan ke pekan Tanjung Malim. Singgah iktikaf sebentar di masjid jamek sana.
Jam 5 baru menghampiri bukit seterusnya yang mahu didaki, Bukit Asa atau Bukit Changkat Asa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan