Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, November 26, 2019

Amerika Syarikat menjadi kuasa dunia dengan 'pertolongan' Alam Melayu - Satu kisah lama yang mendunia bermula di Aceh

Salam petang Selasa 26 November 2019 bersamaan 29 Rabiulawal 1441 Hijriah. Menurut tarikh 'Omputih' 26 November hari ini genaplah umur saya 49 tahun. Tetapi menurut kiraan Hijriah umur saya sudah menghampiri 51 kerana masuk 50 pada 27 Ramadhan 1440 H iaitu sudah setengah tahun lalu. Apapun hari ini terasa elok dipersembahkan artikel ke-1,881 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Satu lagi perkongsian daripada tempat saya sedang menyambung pengajian pasca-siswazah iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.


Majlis kali ini adalah edisi November bagi diskusi bulanan buku yang telah diadakan di ISTAC sejak Januari 2019. Tajuk buku yang mahu dibincangkan "America' Encounters with Southeast Asia, 1800-1900 : Before the Pivot" boleh diterjemahkan sebagai "Pertemuan Amerika dengan Asia Tenggara, 1800- 1900 : Sebelum berlaku 'Paksi'". Perkataan Pivot yang saya terjemahkan sebagai 'Paksi' merujuk pada polisi Amerika terhadap timur Asia pada zaman Presiden Obama (presiden ke-44 Amerika, memegang pentadbiran 2009 to 2017). Ini merupakan perubahan dasar yang menyaksikan lebih banyak pelaburan Amerika mengalir ke Asia Tenggara dan negara-negara berdekatan China berbanding Timur Tengah (negara-negara Arab) dan Eropah sebelum itu.


Kalau ikutkan pada hakikat bahawa sudah berapa banyak kali berturut-turut saya menghadiri majlis-majlis ilmu di ISTAC elok kali ini berehat apa lagi badan tak berapa sedap. Minggu lalu sahaja sampai 2 kali bermalam di masjid ISTAC supaya senang menghadiri majlis termasuk satu di Muzium Negara. Selepas menghadiri pula terasa wajib untuk berkongsi cerita secukup rasa. Lihat artikel-artikel berikut :-









Yang disenaraikan di atas ini adalah daripada majlis-majlis yang dihadiri daripada Isnin lalu sehingga Sabtu baru ini. Kalau campur majlis-majlis dalam tempoh sebulan kebelakangan ada 15 telah dihadiri kesemuanya lalu dikongsikan cerita. Daripada jumlah itu 11 majlis adalah di ISTAC 40 km dari rumah saya. Yang lain terletak lebih jauh, paling jauh di USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) hampir 100 km dari rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor. 


Jadi tidak hairanlah jika saya sering terasa tidak sedap badan dan kepenatan. Nak ke majlis kena bergerak 40 km atau lebih kemudian perlu mencerna ilmu. Selepas mencerna perlu menulis pula. Belum campur hal-hal lain termasuk urusan rumahtangga. Tetapi memikirkan bahawa pada pagi Selasa 26 November (tadi) anak-anak mahu disunatkan lalu buat beberapa waktu harus menjaga mereka biar saya bergegas ke ISTAC pagi Isnin semalam 25 November. Ini kerana ada kemungkinan saya tidak boleh keluar jauh daripada kawasan rumah sehingga 2 minggu akan datang. Cuma Rabu esok 27 November sahaja akan ke UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) di Tanjung Malim kerana sudah lama berjanji akan menghadiri satu majlis. Untuk itu isteri sanggup menukarkan cuti anak bersunat (dapat 1 hari sahaja, sepatutnya hari ini ) kepada esok supaya beliau boleh memerhati.


Jam 10.24 saya memasuki bilik majlis lalu mendapati ramai sudah menunggu. Oleh kerana Sheikhul Qulliyah ISTAC iaitu Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar belum muncul saya pun keluar sebentar ke pejabat di tingkat atas untuk menyelesaikan satu urusan akademik.


Jam 10.28 masuk kembali ke bilik lalu mendapati Osman sedang menyebut tentang diskusi buku. Katanya ada beberapa sesi diskusi buku telah dilakukan kebelakangan ini di ISTAC tetapi bukan dalam kalendar bulanan. Misalnya diskusi pada pagi Selasa minggu lalu. Lihat Pelancaran pembacaan baru Hikayat Raja Pasai oleh Timbalan Perdana Menteri.  Yang bulanan cuma ada satu sahaja bagi setiap bulan dan ini termasuk  pada pagi semalam. Berikut adalah diskusi bulanan yang sempat saya hadiri lalu tuliskan cerita :-







6. Melihat balik makna 'Atas Angin' dan perkara-perkara berkaitan


Osman kemudian memperkenalkan penulis buku untuk diskusi kali ini iaitu Profesor Madya Dr Farish A Noor daripada Nanyang Technological University, Singapura. Oleh kerana ia adalah tentang pertemuan Amerika Syarikat (AS) dengan Asia Tenggara disebutlah tentang AS pernah membeli Filipina daripada kerajaan Sepanyol dengan harga $20,000. Semakan di Internet menunjukkan ini berlaku tahun 1898 sebagai susulan daripada perang AS dengan Sepanyol di Amerika Utara. Untuk pengetahuan Sepanyol pernah menjadi salah satu kuasa Eropah yang terkuat di dunia bermula abad ke-16 Masihi. Ia pernah menguasai sebahagian besar benua Amerika Utara dan Amerika Selatan sebelum kekuasaannya merosot lalu empayarnya jatuh.

Namun semakan juga menunjukkan Filipina sebenarnya dibeli oleh AS pada harga $20 juta matawang Sepanyol melalui Perjanjian Paris 1898 yang mana beberapa jajahan lain Sepanyol iaitu Guam dan Puerto Rico dilepaskan sekali kepada AS. Apapun yang hendak ditekankan Osman adalah bagaimana ramai cuma tahu sejarah penglibatan Amerika di Asia Tenggara paling awal pun ketika Filipina dikuasai. Sedangkan ada sejarah lebih awal lagi seperti ditunjukkan dalam buku. Disebut juga bahawa bermula tahun 2020 Farish akan menjadi visiting professor (profesor melawat) di ISTAC. Atas kapasiti ini beliau akan memberikan syarahan sekurang-kurangnya sebulan sekali.


Jam 10.35 Farish memberikan penerangan tentang buku dengan menyatakan bahawa banyak sejarah penglibatan Amerika di Asia Tenggara telah dipadamkan oleh kuasa-kuasa penjajah dari Eropah. Mereka inilah yang kemudiannya menulis kembali sejarah rantau ini menurut kaca mata mereka. Kata beliau buku yang sedang dibincangkan ini adalah ke-2 dalam satu siri trilogi untuk melihat kembali sejarah Asia Tenggara. Disebutlah bahawa ketika kuasa-kuasa penjajah (dari Eropah, disebut sebagai colonial powers) datang tidak terfikir pun dalam benak mereka kita semua akan merdeka suatu hari nanti.

Orang Amerika pula melihat daripada kacamata yang berlainan kerana mereka sendiri pernah dijajah oleh British 1607-1783. Disebabkan pengalaman itu mereka tidak mahu menjadi kuasa yang menjajah. Tidak seperti kuasa-kuasa Eropah mereka datang dalam keadaan yang lebih 'rendah diri' kerana asalnya cuma mahu berdagang terutama bagi mendapatkan bekalan lada hitam.  Namun untuk kapal-kapal mereka sampai ke sini harus melalui negeri-negeri dan pelabuhan yang dikuasai oleh negara-negara empayar Eropah seperti Sepanyol, Belanda dan Inggeris. Hal ini kemudian membawa kepada perubahan sikap yang menyaksikan mereka juga nanti menjadi kuasa imperial dunia.

Kata Farish beliau telah membuat kajian terhadap buku-buku dan laporan akhbar di Amerika bagi tempoh masa yang berkenaan lalu memasukkannya ke dalam buku beliau. Tarikh kemunculan terawal AS di Asia Tenggara yang tepat tidak jelas. Yang nyata mereka sudah berdagang buat suatu masa sebelum berlaku agresi atau pencerobohan pertama terhadap suatu penempatan di Alam Melayu (saya lebih suka perkataan ini berbanding Asia Tenggara). Pada tahun 1832 mereka telah menyerang pelabuhan Kuala Batu di pantai barat utara Pulau Sumatera. Ia adalah salah satu pelabuhan dalam kerajaan Aceh. 

Kuala Batu adalah salah satu pelabuhan utama bagi perdagangan lada hitam di Alam Melayu. Pada waktu itu laluan perdagangan kapal-kapal Amerika adalah dari pantai timur AS menyeberangi Lautan Atlantik menyusuri pantai barat Afrika ke selatan sebelum naik ke utara menyusuri pantai timur benua membawa ke hujung Semenanjung Arab terus ke perairan Parsi dan Hindi. Oleh itu memang Aceh adalah wilayah pertama dalam Alam Melayu ditempohi daripada arah itu. Dalam tempoh waktu tersebut berlaku kemerdekaan Mexico daripada Sepanyol (tahun 1821). 

Mexico ketika itu lebih besar daripada hari ini lalu menggelarkan dirinya sebagai empayar. Kemudian berlaku perang Amerika-Mexico (1846-1848) yang dimenangi oleh AS. Tahun 1850 wilayah California (dahulunya milik Sepanyol kemudian Mexico) yang memanjang di pantai barat Amerika Utara jatuh ke tangan US. Terbukalah laluan perdagangan terus menyeberangi Lautan Pasifik membawa kepada Kepulauan Filipina sebagai wilayah pertama ditemui di Alam Melayu.


Kelihatan dalam gambar Profesor Emeritus Datuk Muhammad Abu Bakar, fellow kajian ISTAC yang menjadi satu-satunya pengulas buku. Katanya buku tulisan Farish itu memberikan satu penglihatan yang jarang sekali (rare insight) terhadap sejarah Amerika. Cuma beliau menegur tentang kurangnya konteks pengenalan atau latar belakang perkara bagi pembaca biasa. Menurut beliau buku ini memerlukan orang yang sudah memiliki cukup pengetahuan latar belakang sejarah Amerika untuk memahaminya dengan baik. Tanpa latar belakang itu boleh jadi susah untuk membaca.

Berbalik pada hal perubahan sikap AS terhadap Asia Tenggara. Sudah disebut dahulu mereka lebih 'merendah diri' kerana pengalaman pernah dijajah British. Perdagangan lada hitam yang diambil dari pelabuhan-pelabuhan Aceh telah menjadikan pedagang mereka kaya raya. Kata Farish Salem di pantai barat AS pernah menjadi bandar terkaya di Amerika kerana menjadi pusat bekalan lada hitam ke seluruh negara.  

Namun sejak sekian lama kapal-kapal mereka harus melalui negeri-negeri dan pelabuhan yang dikuasai oleh negara-negara empayar Eropah seperti Sepanyol, Belanda dan Inggeris. Atas faktor keselamatan untuk menyokong aktiviti dagang AS mula membina angkatan laut yang kuat lalu menguasai pelabuhan-pelabuhan tertentu. Secara rata Farish percaya bahawa AS naik menjadi kuasa besar dunia akibat perdagangan dengan Asia Tenggara (Alam Melayu). Pengalaman dan keperluan dalam berdagang membawa ia untuk membina kekuatan demi kekuatan sehingga muncul sebagai satu kuasa dunia hinggalah ke hari ini. 

Daripada pihak yang 'rendah diri' ia bertukar menjadi kuasa sombong seperti halnya sekarang. Apapun ini menunjukkan betapa pentingnya Asia Tenggara dalam sejarah dunia. Oleh itu sudah sampai masanya sejarah kita dilihat dalam konteks yang lebih besar, bukan sekadar sejarah tempatan yang boleh dikatakan bersifat 'kekampungannya' sahaja. Lebih banyak kajian dan penulisan harus dibuat agar kita (Alam Melayu ini) dapat dimasukkan ke dalam sejarah perdana dunia.


Nota : Semakan di Internet menunjukkan perdagangan lada hitam Amerika yang berpusat di bandar Salem bermula seawal tahun 1654 apabila satu rombongan pedagang dihantar ke Aceh pada tahun itu. Tujuannya adalah untuk memecahkan monopoli Eropah dalam perdagangan bahan itu. Cuma ketika itu negara yang bernama Amerika Syarikat belum lagi wujud. AS secara rasmi cuma wujud apabila 13 negeri jajahan takluk British bergabung lalu membuat perisytiharan kemerdekaan 4 Julai 1776. Ini disusuli dengan peperangan yang memanjang sehingga kemenangan AS tahun 1783. Selepas itu baru ia boleh berkembang untuk menjalankan perdagangan atas nama AS.

Berikut adalah sedutan berkenaan tentang perdagangan lada hitam melibatkan Aceh. Selebihnya boleh dibaca di sini...


Almost two hundred years of lucrative pepper trading ended for the city of Salem on this day in 1846, when the brig Lucilla entered the harbour carrying the last bulk cargo of pepper.

The Salem pepper trade began with a man called Elihu Yale. Yale was born in Massachusetts but was taken to England at the age of three years, never to return to America. He made his fortune working for the East India Company in its heyday, and a large part of his success was the establishment of the pepper trade out of the port of Salem. In 1654 he sent representatives to Aceh in northern Sumatra in 1654, with the aim of breaking the European monopoly of the lucrative spice trade.

The venture was successful almost beyond the dreams of avarice. In 1806 one single consignment of five hundred tons of pepper was valued at over one million pounds. As an acknowledgement of the source of its wealth, the seal of the City of Salem still bears an image of an Achenese person in traditional dress. On a different scale altogether, as an acknowledgement of his financial backing, a college back in the country of his birth, in New Haven, Connecticut, would be re-named in Elihu Yale’s honour.


Ahad, November 24, 2019

Teknologi pembuatan keris dalam Al-Quran - Apakah yang tersurat dan tersirat?

Masuk cerita majlis tentang keris yang dihadiri di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi Sabtu. Bersambung daripada artikel Iqra' sebagai asas ketamadunan Islam.


Dalam artikel Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China yang dipersembahkan Selasa lalu ada disebut - Sudah menjadi kebiasaan atau boleh dikatakan keistimewaan di ISTAC tiba-tiba boleh muncul suatu majlis ilmu tak dirancang. Keadaan ini ibarat hari ni bagi cadangan lusa dah jadi majlis. Ini bergantung pada kelapangan dan ruang juga pembicara/pensyarah yang dicadangkan berserta topik. Sudah beberapa kali berlaku seseorang ahli akademik dari luar datang ke Kuala Lumpur untuk tujuan lain. ISTAC dapat tahu lalu terus hubungi dan ajak berikan syarahan.  Setelah mendapat persetujuan dan komitmen terus keluar poster dengan tajuk itu ini. Tahu tahu je dah jadi majlis.

Majlis yang ditunjukkan dalam poster atas muncul dalam keadaan serupa. Cuma pembentang utamanya bukan orang luar tetapi seorang pelajar berusia yang memegang jawatan presiden Persatuan Pelajar ISTAC (ISTACSS). Menariknya ia diwar-warkan tak sampai seminggu selepas replika keris gergasi di bulatan utama kampus besar UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak dicabut lalu dialih ke tempat lain untuk memberikan laluan kepada replika baru berbentuk rehal dan kitab. Untuk pengetahuan UIAM adalah badan yang menaungi ISTAC. 


Buat suatu masa iaitu daripada tahun 2018 hingga awal 2019 ISTAC pernah menjadi singkatan bagi nama baru International Institute of Islamic Thought and Malay World (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu). Hal ini menarik beberapa orang aktivis yang mahu mengangkat hal-hal Melayu termasuk saya untuk menyambung pengajian peringkat pasca-siswazah di ISTAC. Pengalihan replika keris dilihat seperti memandang rendah lambang kebanggaan Melayu. Pembentang yang merupakan sahabat baik saya dalam dunia persilatan dan busana Melayu tradisional malah mengaku bahawa majlis diadakan sebagai reaksi kepada pengalihan keris itu. 

Pada beliau mereka yang memandang remeh lambang keris atau menuduh ia sebagai bersifat asobiyah Melayu tidak faham bahawa itulah lambang keTauhidan bagi orang Melayu. Tidak lama kemudian dikeluarkan poster baru yang kelihatan lebih jelas hendak menjawab kedudukan keris berbanding kitab. Ditambah sekali bahawa mahu diadakan perbincangan tentang satu majlis dipanggil Seloka Keris Kedah. Ini adalah susulan daripada kejayaan satu majlis sebelumnya yang mana sahabat tersebut adalah antara penggerak utama. Lihat artikel Seloka 1000 Keris - Satu majlis baru yang layak dijadikan acara tahunan negara yang dipersembahkan hampir 3 minggu lalu.


Saya pula lebih terbuka dalam menanggapi hal replika keris dialih itu. Pada saya tiada masalah ia digantikan dengan rehal dan kitab apa lagi itu memang ada pada lambang dan logo UIAM. Yang mengguris hati adalah apabila ada menyatakan kepada umum bahawa pengalihan itu melambangkan 'kemenangan' kitab terhadap keris. Walaupun saya bersetuju kitab lebih utama sebagai lambang bagi sebuah institusi pengajian tinggi antarabangsa yang mengatasnamakan ilmu tak perlulah dibuat kenyataan sebegitu rupa. Pada saya mungkin ini akibat keris sering dikaitkan dengan satu parti politik Melayu. Namun hakikatnya ia sebenarnya adalah satu lambang jiwa dan bangsa yang sangat bermakna bagi semua orang Melayu yang faham tak kira apakah kecenderungan politiknya.


Halnya inilah yang mahu ditegaskan oleh pembentang iaitu Tengku Ahmad Ridhaudin (kiri dalam gambar). Beliau sedang membuat tesis PhD tentang keris di ISTAC.


Beliau yang percaya keris adalah lambang keTauhidan bagi orang Melayu mahu menceritakan kehebatan keris melalui teknologi pembuatannya. Menurut beliau teknologi ini ada disebut di dalam Al-Quran lalu terkait dengan saranan dalam kitab jua.


Dikongsikan dahulu beberapa hal teknikal seperti jenis-jenis besi dan suhu pada mana ia boleh lebur lalu mudah dibentuk.


Ditunjukkan kedudukan beberapa jenis logam terutama Manganese dan Ferum (yang ini besi asli menurut ilmu kimia) dalam jadual yang kelihatan. Teringat ini ada saya pelajari semasa kelas kimia di Sekolah Menengah Sains Johor lebih 30 tahun lalu.


Diterangkan tentang jenis-jenis batu besi yang boleh ditemui secara semulajadi.


Batu-batu besi ini turut mengandungi bahan-bahan lain lalu perlu melalui beberapa proses melibatkan peleburan pada suhu-suhu tertentu sebelum dapat dijadikan besi semurni mungkin yang berguna kepada manusia.


Maka teknologi penghasilan besi melalui alatan lama yang terdapat di Sungai Batu, Kedah, tamadun yang didapati telah wujud seawal abad ke-8 Sebelum Masihi dirujuk...





Teknologi di Kedah yang sudah berusia 2,800 tahun itu didapati sama dengan teknologi pemprosesan besi masa kini. Cuma skalanya berbeza.


Di Sungai Batu relau-relau kecil digunakan dengan jumlah yang banyak untuk menghasilkan besi berbanding zaman sekarang di mana satu relau besar boleh melalukannya. Menurut Tengku Ahmad atau juga dipanggil sebagai Ku Din ini disebabkan dahulu teknologi blower atau alat peniup untuk menaikkan suhu api sehingga dapat mencapai tahap lebur besi tidak secanggih kini. Alatan dahulu kecil dan tidak kuat kuasa mampatan sehingga memerlukan 7 hari 7 malam untuk relau mencapai suhu lebur sekitar 1,500 Celsius berbanding 3-4 jam kini.


Ditunjukkan pula contoh-contoh pisau zaman dahulukala Eropah yang kelihatan memiliki ciri-ciri seperti keris.


Kata Ku Din ada yang didapati atau dibuat pentarikhan sudah wujud sejak tahun 1750 Sebelum Masihi (1,000 tahun lebih awal daripada Sungai Batu).







Namun kesan teknologi-teknologi ini di Eropah tidak lagi ditemui. Yang ada cuma barang yang sudah terhasil. Tidak seperti di Sungai Batu di mana ditemui relau, alat-alat peniup malah bijih-bijih besi pada skala yang besar menunjukkan wujudnya industri besi...



Ditunjukkan pula kajian moden telah mendapati begitu banyak jenis besi digunakan dalam pembuatan suatu bilah keris Melayu.





Hal ini menunjukkan teknologi tinggi dalam menghasilkan keris...


Disebut pula langkah-langkah pembuatan keris.


Oleh kerana keris sudah wujud di Alam Melayu sebelum Nabi Muhammad SAW diutus sebagai rasul akhir zaman sekitar 1,400 tahun lalu maka Ku Din percaya ia terkait dengan ajaran Tauhid rasul-rasul sebelum itu.


Ditegaskan keris sebagai pakaian ketamadunan orang Melayu bukannya senjata. Walaupun boleh digunakan sebagai senjata itu sebenarnya bukan fungsi utama. Sesungguhnya kaki tangan kita pun malah kain biasa pun boleh digunakan sebagai senjata walaupun itu bukan fungsi asalnya.


Tentang keris sebagai pakaian dikaitkan dengan satu ayat Quran yang sering diterjemahkan sebagai Nabi Daud diajar membuat baju-baju besi untuk menjaga keselamatan keluarga dan sebagainya. Pada Ku Din ia bukan membawa maksud sekadar baju tetapi pakaian. Lalu boleh dikaitkan dengan keris sebagai pakaian diri.


Sesungguhnya senjata untuk mempertahankan diri hanya disebut sedikit sahaja dalam Al-Quran. Itupun diingatkan supaya jangan menceroboh atau memulakan perang.


Diulas pula cerita tentang tokoh besar bernama Zulkarnain diminta membina tembok bagi menghalang makhluk perosak Yakjuj dan Makjuj.


Dikaitkan dengan kisah penggunaan besi dalam Surah al-Hadid (Hadid itu selalu diterjemahkan sebagai besi)


Masuk pula bab manusia dibangkitkan selepas mati. Menurut Ku Din ini boleh juga merujuk pada cara besi 'dihidupkan' daripada batu besi.








Kembali pada hal baju besi dibuat oleh Nabi Daud AS. Kali ini disebut bahawa ia harus sesuai dengan badan (seseorang). Dikaitkan dengan bagaimana suatu keris itu harus dibuat sesuai dengan pemakainya...


Sebetulnya cara melompat-lompat mengaitkan besi dan pembuatan keris Melayu ini saya lihat belum cukup mantap untuk dihadapkan kepada para akademik. Nasib baik kebanyakan yang datang adalah ahli persilatan yang lebih mudah menerima perkara-perkara mistik.





Tak mengapa. Ini boleh diperbaiki. Yang jelas Ku Din mahu menunjukkan cara pembuatan besi dan cara ia dijadikan sebagai 'baju' (pakaian) boleh dikaitkan dengan pembuatan keris Melayu dengan kewujudan industri purba pembuatan besi di Sungai Batu sebagai bukti bahawa kita sudah menguasai ilmu tersebut sejak sekian lama. Dan teknik sama masih dipakai dalam pembuatan keris sehingga ke hari ini.



Iqra' sebagai asas ketamadunan Islam

Dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah? yang dipersembahkan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam)  Jumaat malam Sabtu ada disebut bahawa sekali lagi saya akan bermalam di ISTAC bagi memudahkan mengikut majlis-majlis ilmu. Malam itu ada satu syarahan bersiri, esoknya pagi ada majlis akademik tentang keris. Sekarang biar dikongsikan cerita tentang syarahan tersebut.


Syarahan adalah yang ke-10 dalam siri "The Eternal Messages of Islam and Its Civilisation".  ("Pesan  Abadi Islam dan Tamadunnya"). Tajuk kecilnya "The Genesis of Islamic Civilisation" boleh diterjemahkan sebagai "Asal Usul Tamadun Islam : Asas Ideologinya di Mekah". Ini adalah sambungan bagi syarahan sebelumnya 2 minggu lalu. Syarahan terdahulu itu bercakap tentang sejarah spiritual Mekah daripada zaman Nabi Adam AS membawa ke zaman Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS sehingga mencapai suatu macam kesempurnaan pada zaman junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Lihat Kesucian dan kekotoran dalam sejarah spiritual Mekah : Muhammad dan kemenangan tamadun monoteistik.


Syarahan dimulakan dengan mengulangi beberapa konsep yang pernah disebut Osman dalam syarahan-syarahan terdahulu. Antaranya adalah antropologi spiritual berbanding antropologi biasa seperti difahami Barat yang cuma mengkaji dimensi fizikal atau zahir sahaja. Oh. Konsep ini saya pertama kali dengar disebut beliau melalui satu siri syarahan lain setiap petang Rabu. Lihat artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual yang dipersembahkan tepat sebulan lalu. Satu lagi konsep besar disebut adalah theomorphic man iaitu manusia sebagai makhluk yang boleh menzahirkan sifat-sifat keTuhanan dalam diri. Bukanlah ia bermaksud manusia menjadi Tuhan sebaliknya manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi lalu pada dasarnya memiliki sifat-sifat keTuhanan tetapi pada skala kecil yang bersesuaian (mikro berbanding makro). Hal ini pernah dipanjangkan dalam artikel Seluruh alam yang boleh terbayang dalam diri manusia dan hati tempat 'bertakhtanya' Tuhan lebih 2 bulan lalu.


Konsep-konsep ini penting untuk memahami peranan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dalam membawa agama Islam. Sebelum itu harus ditekankan bahawa setiap nabi dan rasul sejak zaman manusia pertama iaitu Nabi Adam AS membawa ajaran Tauhid dan Islam. Tauhid merujuk pada penyembahan terhadap Tuhan yang Satu dan bagaimana kita mengEsakanNya. Islam berbalik pada kata asalnya Salam yang membawa makna aman dan penyerahan. Yang berbeza adalah cara mengzahirkan ajaran. Inilah yang dipanggil sebagai Syariah lalu boleh berbeza menurut keadaan zaman dan tempat.

Menurut Osman diri Nabi Muhamad SAW itu sendiri menggambarkan Tauhid. Ini boleh dilihat pada kalimah Lailahaillallah Muhammadarrasulullah. Kalimah pertama (Lailahaillallah yang membawa maksud tiada ilah iaitu yang disembah kecuali Allah) adalah pernyataan Tauhid yang boleh dikatakan bersifat teoritikal dan dalaman. Kalimah kedua (Muhammadarrasulullah yang membawa maksud Muhammad pesuruh Allah) adalah penzahiran atau unsur praktikal bagi pemahaman Tauhid itu.


Dalam konteks ini Nabi Muhammad SAW membawa Islam 'yang terbaru' (menyeluruh bagi seluruh alam dan terpakai sehingga akhir zaman). Asas penerimaan adalah keadaan Mekah pada zaman baginda, maka itu sejarah spiritual Mekah ditekankan pada syarahan sebelum ini dalam siri (rujuk kembali Kesucian dan kekotoran dalam sejarah spiritual Mekah : Muhammad dan kemenangan tamadun monoteistik). Selama 13 tahun di Mekah baginda menerima wahyu lalu mengembangkan ajaran dalam keadaan harus berhadapan dengan penentangan Arab Jahiliyah yang menyembah berhala. Dalam tempoh waktu ini ayat-ayat yang diturunkan semuanya menekankan Tauhid tetapi daripada pelbagai aspek. Belum ditekankan aspek-aspek hukum, ketatanegaraan, mualamat (jual beli) dan sebagainya seperti halnya setelah berhijrah ke Madinah.


Asas yang paling asas adalah wahyu pertama yang diterima di Gua Hira' dekat puncak bukit/gunung Jabal Nur. Inilah kali pertama setelah dewasa (baginda berumur 40 tahun ketika itu) bersua dengan malaikat Jibril (Barat menyebutnya sebagai Gabriel) lalu melihatnya dalam bentuk yang memenuhi seluruh pandangan mata sebelum menzahirkan diri dalam bentuk menyerupai manusia. Saya sebut pertama kali kerana seingat saya baginda pernah bersua dengan Jibril ketika zaman kanak-kanak tetapi tidak begitu menyedari apa yang berlaku. Seingat saya (betulkan kalau tersilap) ketika itulah baginda dibawa ke satu tempat lalu dibelah dada dan isinya dicuci dengan air zamzam. 

Osman tidak menyebut hal ini tetapi saya harus menyebutnya kerana teringat ketika menulis perenggan tadi. Oh. Terasa ingin berkongsi bahawa alhamdulillah saya sudah 2 kali berpeluang bersolat dan beramal di Gua Hira'. Lihat artikel lama Umrah 2005 - Akhirnya Jabal Nur dan Gua Hira... diikuti Ziarah dan umrah 2013 - Ke Hudaibiyah sebelum bermalam di Gua Hira' dan Ziarah dan umrah 2013 - Keseronokan berada lama di Gua Hira' dan Jabal Nur. Berbalik pada apa yang disebut Osman. Wahyu pertama diterima baginda Rasulullah SAW adalah 5 potong ayat bermula dengan perkataan Iqra'...



Umum tahu ini adalah 5 ayat pertama dalam Surah al-Alaq. Di atas adalah ayat-ayat daripada surah ke-96 Al-Quran itu. Perkataan paling awal turun dalam bentuk wahyu iaitu Iqra' membawa makna baca. Umumnya kita disuruh membaca kitab terutama Al-Quran dan sebagainya. Tetapi baca juga membawa makna dapat mengambil manfaat, menafsirkan pergerakan alam, menduga suatu keadaan dan perubahan. Misalnya dengan melihat keadaan langit kita boleh 'membaca' hari akan hujan.

Osman mengingatkan kembali bagaimana seluruh alam ini boleh dibaca sebagai ayat-ayat Allah. Rujuk artikel Pesanan keTuhanan dalam Buku Alam Semulajadi : Penciptaan sebagai Wahyu yang dipersembahkan hampir sebulan setengah lalu. Disebut bahawa seruan Iqra' atau membaca dalam ayat pertama wahyu disertakan dengan nama Tuhan yang mencipta. Maka kita harus membaca dalam keadaan sedar hakikat Tuhan menciptakan segala sesuatu.

Ayat kedua saya lihat tidak dikupas Osman tapi kita harus sedia faham ia merujuk pada hakikat penciptaan zahir manusia yang merupakan makhluk berdaging dan berdarah (made from flesh and blood). Ayat ketiga pula cuma ditekankan perkataan Akram (kerana Iqra' pada awal ayat sudah diulas dan dipanjangkan). Terjemahan dalam bahasa Melayu menyebut ini sebagai pemurah. Osman menterjemahkan dengan perkataan bahasa Inggeris bountiful yang boleh dikatakan pemurah juga. Faham saya bounty ni seperti ada banyak hasil, hadiah. Bountiful bermakna ada begitu banyak hasil, hadiah yang boleh diberikan. Jadi memang pemurah le...

Ayat keempat diulas perkataan Qalam. Apa itu Qalam? Bahasa mudahnya adalah pen, pena, alat tulis.  Ini boleh merujuk pada kitab bertulis lalu kita dapat membaca lalu belajar daripadanya. Tetapi ia boleh juga ditafsirkan sebagai pernyataan. Qalam adalah alat pernyataan seperti halnya seluruh takdir makhluk, qada' dan qadar dikatakan sudah tertulis dengan Qalam di Loh Mahfuz entah dalam bentuk apa (contoh saya ini). Yang penting faham apakah konsep besar Qalam. Maka kita harus mengambil pelajaran daripadanya.

Ayat kelima seingat saya tidak diulas Osman, Mungkin kerana sedia boleht difahami dalam konteks Qalam tadi. Apapun Osman mengatakan bahawa 5 ayat inilah yang menjadi asas ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Sesuai dengan tajuk kecil syarahan iaitu " Asal Usul Tamadun Islam : Asas Ideologinya di Mekah" perkataan pertama iaitu Iqra' boleh dikatakan asas bagi ketamadunan Islam.



Jumaat, November 22, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?

Salam petang Jumaat 22 November 2019 bersamaan 25 Rabiulawal 1441 Hijriah. Malam ini sekali lagi saya akan bermalam di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi memudahkan mengikut majlis-majlis ilmu. Malam ini ada satu syarahan bersiri, esok pagi ada majlis akademik tentang keris. Sebelum itu biar dilepaskan satu cerita daripada majlis ilmu di ISTAC petang Rabu.


Adapun daripada hari Selasa hingga Khamis semalam saya telah melepaskan 3 cerita berturut seperti berikut :-





Sekadar memberitahu. Majlis pertama berlaku di ISTAC petang Isnin 18 November, majlis kedua berlaku di Muzium Negara pagi Selasa 19 November diikuti majlis ketiga di ISTAC pada petangnya. Selepas itu baru kembali ke rumah setelah menginap malam sebelumnya di ISTAC. Petang Rabu 20 November ke ISTAC lagi untuk satu syarahan bersiri.


Ia adalah edisi ke-7 semester ini bagi siri syarahan "Classification of Knowledge in Islam". Siri ini mengulas buku  tulisan Sheikhul Qulliyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar dengan tajuk sama. Syarahan 2 hari lalu bermula daripada bahagian tengah muka surat 10 buku, setelah syarahan minggu sebelumnya terganggu akibat berlaku black out atau putus bekalan eletrik. Ini menyebabkan seluruh ISTAC bergelap daripada jam 6  petang hingga sehingga selepas 7.30 malam. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan.


Muka surat tersebut bercakap tentang latar belakang pendidikan dan kesarjanaan ulamak silam Al-Farabi (hidup  872-950 Masihi). Syarahan berpanjangan sehingga ke hujung perenggan kedua muka surat 12 sambil nota-nota berkenaan pada muka surat 32 dan 33 diulas sekali. Daripada segi ini ia boleh dikatakan bersamaan separuh akhir syarahan ke-5 semester lalu membawa ke syarahan ke-6. Walaupun tidak hadir pada syarahan ke-6 tersebut saya boleh menebak isinya berdasarkan bagaimana syarahan ke-7 (bagi semester lalu) bermula. Rujuk artikel-artikel berikut :-



Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik


Seperti biasa muncul ulasan-ulasan baru tentang perenggan-perenggan yang sama (syarahan semester ini dimulakan kembali daripada muka surat 1 kerana muncul muka-muka baru yang tidak ada pada semester lalu). Ini boleh berlaku kerana proses soal jawab yang berbeza. Satu adalah tentang pelbagai dimensi Al-Quran atau dalam memahami isi Quran. Osman selalu menyebut bahawa kitab suci itu adalah sintesis atau penggabungan daripada semua ajaran-ajaran Tauhid terdahulu.

Oleh itu Quran memiliki dimensi ajaran Confucian (Cina), ajaran Nabi Ibrahim juga ajaran pemikir Yunani purba Pythagoras (hidup 570–495 Sebelum Masihi, dikenali kerana menerbitkan formula panjang sisi pada segi tiga tepat - Pythagoras Formula). Dipanjangkanlah bagaimana ulamak-ulamak silam Islam dahulukala tidak pernah mengkafikan para pemikir Yunani purba seperti halnya pada hari ini di mana mereka semua dituduh sebagai penyembah berhala lalu tidak patut diambil tahu. Ulamak dahulukala percaya nama-nama seperti Aristotle (384-322 SM), Plato (428/427-424/423 SM), Plato dan Socrates (470–399 SM) adalah pengamal agama Tauhid. Bahkan mereka adalah hukamah atau para ahli hikmah!

Osman pun menyebut tentang Omar Khayyam (1048-1131). Menurut beliau, ulamak silam tersebut adalah ahli matematik paling hebat dalam dunia Islam. Tetapi Barat mengenalinya sebagai ahli puisi sahaja, bukan pakar matematik. Hmm. Teringat semasa di London  awal tahun 1990an saya sangat meminati buku puisi Omar bertajuk Rubaiyat kerana bahasa tinggi yang penuh makna keSufian. Kata Osman,  Omar adalah pengikut Pythagoras. Pythagoras dikenali membawa ilmu matematik yang memiliki dimensi spiritual bersifat keTuhanan.

Pemikir besar Yunani ini belajar ilmu hikmah purba di Alexandria, Mesir. Ilmu itu dipercayai diwarisi daripada Nabi Sulaiman AS. Barat selalu mengatakan Yunani menerbitkan ilmu pengetahuan mereka sendiri (tanpa campur tangan pihak lain). Sekarang baru sejarawan mereka tahu Yunani belajar daripada Mesir.

Kata Osman ilmu-ilmu hikmah lama turut diperolehi daripada ajaran Nabi Idris AS yang dikenali sebagai Enoch. Dalam tradisi Islam disebut bahawa Allah SWT telah menunjukkan isi seluruh alam kepada Idris dan bagaimana ia berfungsi. Lalu Idris juga dikenali sebagai  Abul Hukama, bapa kepada semua ahli hikmah atau para pendita.

Disebut bahawa satu kumpulan intelektual silam Islam dipanggil Ikhwan as-Safa juga menganggap diri mereka sebagai murid Pythagoras. Kata Osman matematik adalah bahasa khas agama. Disebut pula tentang minat Al-Farabi terhadap ajaran dan pemikiran Plato and Aristotle. Tentang  ulamak tersebut mengikuti cara ajaran Aristotle yang menerbitkan sekolah pemikiran atau aliran Mashaikh dalam dunia Islam telah disebut banyak kali oleh Osman dan ini ada ditekankan dalam buku. 

Walaupun Al-Ghazzali (turut dibincangkan dalam buku, hidup 1058-1111 M) mengkritik ajaran dan pemikiran Aristotle beliau percaya tokoh besar Yunani itu tetap percaya pada Tuhan yang Satu. Aristotle  berguru dengan Plato, Plato dengan Socrates. Tentunya ada unsur-unsur sama dalam kepercayaan teras mereka.

Osman pun bercerita tentang kematian Socrates akibat dijatuhkan hukuman bunuh. Kata beliau setiap kali satu masyarakat itu mula menyembah berhala Tuhan akan hantar seorang Nabi untuk membetulkannya. Masyarakat Yunani zaman itu percaya kepada banyak tuhan ataupun dewa terutama 12 paling besar bawah apa yang dikenali sebagai Greek Pantheon.  Dewa-dewa ini juga dikenali sebagai 12 Olympian. Kepercayaan terhadap mereka menjadi agama rasmi negara. Ketua mereka dikatakan Zeus, bapa kepada dewa-dewa.

Datang Socrates bercakap melawan sistem dan negara. Beliau yang selalu mengadakan kelas untuk orang muda dihadapkan ke mahkamah atas 2 tuduhan :-


1- Merosakkan pemikiran anak muda Athens (kota utama Yunani)

2. Menyebar Assabiah (ya, ini perkataan Yunani). 


Kata Osman beliau tidak terperanjat jika perkataan Arab Assobiyah  datang daripada situ kerana membawa maksud yang sama iaitu kepercayaan bersifat sekterian atau berpecah-belah. Socrates didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman bunuh.

Kata Osman, kalau bagi orang Islam ini adalah mati Syahid kerana mempertahankan Tuhan yang Satu. Socrates menyebarkan ajaran Tauhid. Hal ini sama seperti di Tanah Arab di mana Nabi Muhammad SAW membawa ajarah Tuhan yang Satu menentang bangsa Arab yang sedang menyembah 360 tuhan ataupun dewa.

Banyak lagi perkara berkenaan dipanjangkan tetapi biar ditambah beberapa ini sahaja. Apakah Socrates adalah seorang nabi (merujuk pada hakikat bahawa 124,000 orang nabi telah diutuskan bagi pelbagai umat, yang kita wajib tahu cuma 25)? Kata Osman kita tidak tahu. Yang pasti beliau memang seorang hukamah/ahli hikmah ataupun pendeta. Setiap nabi adalah hukamah. Tetapi tidak setiap hukamah adalah nabi.

Ditanya tentang kepercayaan sesetengah pihak bahawa Socrates adalah Lukmanul Hakim yang disebut dalam Al-Quran kata Osman cuba siasat dahulu ciri-cirinya. Lukmanul Hakim diketahui memliki seorang anak laki-laki yang selalu dinasihatinya. Apakah Socrates begitu ceritanya?

Penulisan yang dibuat di ISTAC ini dimulakan jam 6.20 petang. Kini sudah jam 7.50 sedangkan jam 8.15 saya mahu mengikut satu syarahan bersiri yang diadakan 2 minggu sekali. Cukuplah perkongsian ya. Selamat malam.