OK... Kita kembali semula kepada cerita-cerita mengenai perjalanan di Johor. Kali ini, cerita yang boleh dikira paling istimewa, satu cerita bergambar tentang tempat saya membesar lebih 20 tahun lalu, sebuah sekolah berasrama penuh kerajaan bernama Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ) di Kluang, Johor...
Cerita ini sudah lama ingin dinukilkan di sini... Kalau tidak disebabkan kerana masalah komputer laptop yang rosak selepas perjalanan Mersing ke Kluang dahulu, mungkin ia sudah dipaparkan sebulan lalu di Muar, sebaik sahaja tamat perjalanan meliputi 8 daerah utama di Johor selama 2 minggu itu malah mungkin lebih awal semasa di Kluang lagi!
Tiga hari lepas, sebaik sahaja sampai ke Teluk Intan dalam pengembaraan terbaru saya meliputi lokasi-lokasi tertentu di Kedah kemudian Perak, timbul rasa kuat untuk membuat nukilan ini tetapi entah kenapa, tak terkeluar juga... Semalam semasa di Kuala Kubu Baru, hampir sahaja artikel ini dibuat kalau tidak kerana Internet Cafe sana ditutup awal. Kini di Rawang, 30km sahaja sebelum kembali ke Kuala Lumpur, baru tekad itu dapat dizahirkan... Maka terimalah persembahan ini seadanya... Wassalam! :]
Sudah lebih 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke sekolah lama saya ini... Malah boleh dikatakan perjalanan keliling Johor yang tamat sebulan lalu sebenarnya terjadi semata-mata kerana timbul niat untuk ke Kluang demi menjejak balik kenangan suka-duka membesar di SMSJ. Begitu besarnya makna kenangan itu sehingga saya sanggup berjalan kaki hampir 2km daripada pusat bandar untuk ke sekolah dengan menyusuri jalan serupa yang dilalui ketika zaman bersekolah dahulu. Maka sebaik sahaja nampak papan-tanda di kaki bukit membawa ke sekolah ini terus timbul debaran dada yang kuat akibat rasa teruja yang amat sangat...
Saya pun menyusuri jalan yang ditunjukkan oleh papan-tanda... Sudah lain daripada jalan ketika saya membesar dahulu. Rupa-rupanya pintu masuk sekolah juga telah dialih, tak pasti sejak bila... Kali ini lebih dekat dengan kaki bukit...
Niat awal saya, kalau dapat sampai ke pintu masuk sekolah pun sudah cukup baik. Tetapi biarlah saya cuba untuk masuk ke dalam demi menelusuri nostalgia lama pahit manis membesar mengenal erti kehidupan yang penuh ranjau durinya.
Tentang masuk ke dalam kawasan sekolah ini, saya mempunyai satu pengalaman yang agak pahit. Terus terang saya cakap, di SMSJ inilah berlaku perubahan besar dalam hidup yang membawa saya memberontak lalu menjadi budak nakal. Sedikit sebanyak yang berlaku telah dinukilkan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I... Lalu semasa di Kluang lagi saya bercadang ingin membuat posting mengenai SMSJ dengan menyertakan sedutan cerita berkenaan. Sayangnya ia tidak dapat ditunaikan kerana isi buku adalah di dalam komputer laptop sedangkan laptop itu telah mengalami kerosakan.
Apapun, yang tertera di dalam BKA I adalah pengalaman pahit yang menyebabkan saya mula jadi nakal. Pengalaman pahit masuk ke sekolah yang ingin diceritakan di sini pula adalah yang berlaku kemudian iaitu selepas hampir penghujung tahun 1986, selepas saya dibuang sekolah atas masalah disiplin...
Beberapa bulan kemudian iaitu dalam tahun 1987, saya tergerak untuk melawat SMSJ. Ketika itu saya sudah kembali ke kampung di Muar dan bersekolah di Sekolah Tinggi Muar. Saya telah masuk ke kawasan sekolah dan asrama untuk bertemu kawan-kawan lama. Akibat rindukan suasana lama, juga atas saranan kawan-kawan, saya pun terus melepak lama dengan niat untuk bermalam di asrama.
Hampir tengah malam, beberapa orang tertentu telah mencari saya termasuk pengawas, guru sekolah atau warden yang menjaga asrama dan pengawal keselamatan. Lalu saya ditegur dan disuruh keluar. Kata seorang warden, jika saya memberitahu lebih awal, mungkin saya dibenarkan bermalam di dalam. Betulkah ini atau ia cuma alasan? Maklumlah, walaupun saya dikenali sebagai seorang pelajar pintar, saya juga dikenali sebagai seorang yang banyak masalah disiplin dan suka melawan.
Pun begitu, saya bukan mahu membuat kacau, cuma mahu menghirup udara segar bermalam bersama kawan-kawan seperti dulu-dulu. Tetapi apa boleh buat, saya dilayan seperti seorang budak yang akan membuat kekacauan besar... Tengah malam itu juga saya melangkah keluar dan berjalan kaki menuruni bukit lalu ke pusat bandar sejauh 2 km untuk mencari hotel murah buat menginap. Ketika itu bukan macam sekarang... Jalan ketika itu sentiasa sunyi dan memang orang kata "berhantu"...
Untuk pengetahuan, itulah kali terakhir saya menjejakkan kaki di sekolah lama saya ini, tahun 1987 lebih 20 tahun lalu. Dalam keadaan memori ini masih sedikit terngiang-ngiang di kepala, bayangkan bagaimana perasaan insan ini ketika ingin melangkah kembali ke pintu masuk sekolah lebih sebulan lalu... Bayangkan...

Alhamdulillah, dengan berkat doa dan harapan yang dipanjatkan kepada Allah Subhanahuwataala, pengawal yang menjaga ketika itu iaitu seorang wanita berumur membenarkan saya masuk ke dalam. Saya berterus-terang memberitahu yang saya seorang bekas pelajar yang ingin kembali menggamit memori lama. Ketika itu pula cuti sekolah, maka sekolah itu kosong kecuali guru dan kakitangan yang datang bermesyuarat serta beberapa orang pekerja kontrak yang membuat kerja-kerja membaik-pulih... Mungkin sebab itu saya dibenarkan masuk? Apapun, syukur Alhamdulillah!
Sampai di sini, baru saya dapat melihat bangunan lama kelas dengan tangki air sekolah...
Sedikit ke hadapan adalah bangunan yang pernah (atau masih lagi?) menjadi tempat kelas Seni Perusahaan. Di belakang ini juga pernah terletak bilik gerakan Pengakap... Dahulu sebelum saya bertukar menjadi budak nakal, saya pernah menjadi seorang ketua Pengakap yang boleh dikatakan sangat rajin dan berdisiplin...
Semasa saya masih bersekolah dahulu, bangunan yang menjadi bengkel Seni Perusahaan ini terletak di satu hujung sempadan kawasan sekolah. Sekarang sudah ada tempat letak kereta dengan bumbung warna biru seperti yang kelihatan dalam gambar ini serta sebuah surau (atau masjid?) yang agak besar dan selesa di dalam kawasan sekolah sedangkan dahulu, kawasan ini merupakan hutan belukar tempat jin bertendang!
Ah... Daripada kawasan bukit di belakang bangunan Seni Perusahaan yang dahulu terletak di luar kawasan sekolah (sebenarnya di sinilah letaknya puncak kepada bukit yang menampung sekolah ini!) saya dapat melihat dengan lebih terang bangunan-bangunan lama sekolah yang menggamit begitu banyak kenangan...
Oh... Ini kawasan puncak bukit tempat saya berdiri mengambil gambar tadi, dilihat daripada tepi bangunan Seni Perusahaan. Dahulu, kawasan di belakang ini merupakan jalan utama saya untuk keluar malam-malam meloloskan diri daripada sekatan disiplin hidup berasrama penuh. Sebabnya, ada banyak pokok-pokok hutan belukar yang boleh digunakan untuk menyorok dan menyelinap demi mengelakkan diri daripada dikesan pihak berkuasa...
Semasa itu, jalan bertar yang kelihatan dalam gambar ini belum lagi wujud. Sebaliknya terdapat pagar sebelum letak jalan itu, pagar dawai yang selalu terpaksa saya bersusah-payah panjat untuk melepaskan diri...
Hmm... Kalau difikirkan, memang itulah perangai saya... Bukan soal panjat pagar atau soal melanggar disiplin tapi soal suka keluar seorang diri, solo membawa diri mencari ketenangan di dalam pengembaraan.
Bayangkan ketika berumur 15 tahun sudah mula keluar seorang diri meredah hutan belukar walau pada jam 3 pagi semata-mata untuk menghirup udara segar di luar. Rupa-rupanya saya masih begini... Sekarang sudah berumur 38 tahun pun sanggup masuk ke tempat-tempat yang dikira menyeramkan termasuk kawasan kubur purba seorang diri walau dalam gelap-gelita pagi buta kerana rimas dengan hiruk-pikuk sesak dunia sekarang yang penuh dengan fitnah Dajjal!
Oh... Sebagai satu peringatan... Kepada para pembaca terutama jika ada adik-adik muda (bagi saya boleh dipanggil anak kalau berumur 18 tahun ke bawah!) terbaca cerita ini, jangan ikut perangai saya ini. Susah... Takut tak tertanggung beban dan akibatnya... Yang elok dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Bab berani tu elok juga diikut. Takut hanya pada Allah, bukan pada hantu, jin dan manusia. Tapi berani bukan bermakna jadi kurang ajar... Jangan suka melawan guru macam saya masa zaman nakal dulu. Dan jangan sampai melilau ke merata tempat sehingga tak dapat lagi mengatur hidup normal macam orang lain. Nak buat kerja biasa pun tak dapat... Macamana nak buat kalau nak duduk diam pun susah? Jangan jadi seperti saya... Takut menyusahkan masyarakat... Itu sahaja ya peringatan...
Oh... Berbalik pada puncak bukit tadi. Dahulu hutan belukar, sekarang sudah ada gelanggang bola keranjang dan gelanggang tenis!
Dari puncak itu juga kelihatan bangunan dewan tempat perhimpunan setiap pagi Ahad. Ketika zaman saya bersekolah dahulu, kami ada kelas setiap Ahad hingga Khamis kerana menurut waktu kerja di Negeri-negeri Tidak Bersekutu...

Lorong jalan kaki di sebelah bangunan Seni Perusahaan menuju ke kelas...
Oh... Terlupa hendak beritahu. Di dalam bangunan itu juga terletak kantin sekolah... Tiba-tiba teringat Mak Pah yang berniaga kantin dengan anak-anak perempuannya yang putih melepak cun-melecun tapi sedikit berisi... Hehe! :]
Salah satu blok bangunan kelas. Di tempat letak kereta inilah, pada tahun 1985, saya kali pertama melihat sebuah Proton Saga, kereta pertama buatan Malaysia setelah ia dikeluarkan tahun itu juga... Tak ingat milik siapa...
Bangunan dewan perhimpunan... Teringat sesi-sesi kelas muzik yang WAJIB dihadiri tetapi saya selalu "tuang" kerana tak suka. Hasilnya, saya termasuk salah seorang yang "didenda", kena mewakili sekolah dalam pertandingan koir (perkataan English nya choir, ala yang kena nyanyi beramai-ramai tu...) peringkat daerah.
Allah! Dah lah kena paksa, bila pertandingan, kena pakai bedak, dibedakkan orang malah di make up dan digincukan lagi! Aduh... Geli! Tapi dipaksa gak...
Yang lagi tak tahan, ingatkan dah buat "sehabis baik" nak selamatkan diri, tengok-tengok menang. Dah kena wakil daerah pulak lawan peringkat negeri Johor. Waduh!!! Pecah kepala dong!
Saya mula melangkah menelusuri padang utama sekolah. Saya sebut padang utama kerana sejak beberapa tahun lalu, mungkin juga beberapa tahun setelah meninggalkan SMSJ 1986, sebuah padang baru telah didirikan di sebelah bangunan asrama puteri.
Apapun, saya pasti padang ini tetap padang utama. Sebenarnya saya ada banyak gambar lagi untuk menyatakan kedudukan padang ini berbanding lokasi-lokasi lain di kawasan sekolah juga sebuah padang kecil yang pernah menjadi tempat para pelajar membuat latihan lompat tinggi dan bersilat. Tetapi kalau diletakkan, jadi banyak sangat pula gambar. Biar diletakkan beberapa yang terpilih sahaja ya...

Hmm... Sudah ada binaan seperti panggung utama stadium di lereng bukit tepi padang... Binaan ini belum wujud semasa saya bersekolah dahulu. Inilah kali pertama saya melihatnya. Tetapi binaan ini segar dalam ingatan sebagai salah satu senario dalam mimpi yang pernah dilihat secara terang beberapa tahun lalu. Untuk makluman, dalam perjalanan ke Johor ini, boleh kata tiap-tiap hari saya
deja vu... Malah ada
deja vu yang panjangnya melebihi setengah jam... Apa yang berlaku, sudut yang diambil, orang yang ditemui semuanya sama seperti dalam bayangan atau mimpi yang pernah berlaku entah berapa tahun lalu!
Dari panggung ini boleh kelihatan tulisan SMSJ serta KLG iaitu singkatan untuk Kluang dengan terang. Suatu masa dahulu, seseorang itu hanya perlu menyebut SMSJ untuk Sekolah Menengah Sains Johor dan tahu yang dimaksudkan adalah sekolah ini tanpa perlu menyebut duduk letaknya di Kluang. Ketika itu, SMSJ merupakan satu-satunya sekolah berasrama penuh sains di negeri Johor.
Pada tahun 1985 (kalau tak salah ingatan), muncul pula Sekolah Menengah Sains Muar, dan kemudian beberapa buah lagi sekolah menengah sains di Johor. Maka itu perlu disebut SMSJ Kluang supaya lebih terang sekolah mana yang dimaksudkan.
Ini adalah bangunan asrama putera atau asrama laki-laki. Jantung saya semakin berdebar kencang melalui kawasan ini...
Di tingkat 3 bangunan inilah terletak bilik-bilik tempat saya pernah bermastautin daripada tahun 1983-1986. Warga asrama, lelaki dan perempuan dibahagikan kepada 4 rumah sukan iaitu Segara (kalau tak salah, bahasa Sanskrit untuk lautan), Buana (hutan dan tumbuhan), Purnama (bulan) dan Suria (matahari). Lalu setiap rumah diberi warna yang sesuai dengan nama, Segara warna biru lautan, Buana hijau tumbuh-tumbuhan, Purnama merah (walaupun saya tidak pernah melihat bulan berwarna merah) dan Suria (kuning).
Dan setiap rumah diberi satu tingkat tempat menginap. Maka Segara yang mewakili lautan seharusnya di bawah diikuti Buana, Purnama seterusnya Suria di tingkat empat iaitu yang paling atas. Saya diberi rumah Purnama... Hmm... Seolah-olah memang saya ditakdirkan ada kaitan kuat dengan warna merah... Fikirkan... Lebih 20 kemudian, saya mula memakai nama Merah Silu di Internet, nama yang muncul sempena nama syarikat penerbitan saya Wasilah Merah Silu Enterprise. Hmm...
Tiba-tiba teringat. Adapun sejak kecil lagi saya mempunyai perangai lasak suka memanjat pokok dan bangunan, juga melompat atau terjun ke bawah setelah sampai ke atas. Dahulu, saya selalu juga melompat ke bawah daripada tingkat 2 atau rumah Buana. Kalau tak salah ingatan, daripada tingkat Purnama pun pernah. Tapi daripada tingkat Suria saya tak berani. Terlalu tinggi...
Sekarang kalau disuruh buat kerja macam ni, terus terang saya cakap, saya surrender walaupun tinggi setakat 5 kaki... Badan dah tak larat, kecuali terpaksa... Dulu dah banyak sangat lasak, dengan lompat-lompat, main ragbi, macam-macam... La ni macam-macam pulak dapat bisa-bisa badan. Hmm...
Ini pula dewan makan. Di sebelahnya adalah asrama puteri. Banyak juga kenangan macam-macam... Kalau nak cerita semuanya memang tak larat. Sekarang menulis ini pun dah terasa penat... Saya masih berada di Rawang, belum kembali lagi ke Kuala Lumpur setelah lebih 2 minggu mengembara dan badan pula tengah tak sedap... Tapi saya tetap menulis juga untuk meluahkan apa yang terbuku. Lagipun cerita ini sudah lama tergendala...

Blok bangunan kelas yang terletak betul-betul berhadapan dewan makanan ini mempunyai fungsi penting semasa zaman saya bersekolah. Dahulu, setiap Jumaat malam Sabtu (atau malam keesokannya? Saya pun terlupa tetapi memang malam hujung minggu), jika tidak ada apa-apa gangguan teknikal, akan datang sebuah van daripada luar membawa alat projektor serta segulung filem wayang...
Filem itu akan dipancarkan pada dinding tingkat 2 bangunan ini... Lalu warga sekolah pun berhimpun di bawah samada bersila atas tikar atau membawa kerusi yang diambil daripada dewan makan untuk menonton cerita.
Mereka yang malas turun pula sekadar melihat daripada tingkap di bilik-bilik tingkat atas. Mereka yang lebih berani (dan selalunya juga lebih nakal) akan mencabut kepingan tingkap bilik lalu keluar untuk berbaring dan duduk di "kaki lima" luar bangunan yang tidak ada pagar keselamatan. Yalah, tempat tu bukan untuk orang keluar apa lagi bersantai. Maka kalau jatuh ke bawah, nasiblah, siapa suruh keluar! Tetapi setakat yang saya ingat, belum ada pelajar pernah jatuh ke bawah tu...
Apapun, yang menjadi keseronokan kami ketika itu adalah menunggu wayang cerita apa yang keluar. Tapi kalau buruk pun, bukannya kami ada pilihan... Selain daripada itu, apalagi bentuk hiburan yang kami pelajar sekolah berasrama penuh boleh dapat?
Ini pula binaan di hadapan asrama puteri. Adapun bangunan yang kelihatan di kiri ini pernah menjadi pondok pengawal keselamatan zaman saya masih bersekolah dahulu. Di situlah, di hadapan ratusan pelajar perempuan yang memandang, saya dan 2 orang rakan pernah dipaksa berdiri tanpa baju selama lebih sejam setelah ditangkap malam hari cuba menyeludup keluar daripada kawasan sekolah!
Bayangkan perasaan malu kami ketika itu! Nasib baik masa tu badan saya memang tough... Banyak muscle berketul. Bukan angkat diri tapi itulah kenyataannya sekadar menunjukkan keadaan ketika itu. Tapi malu tetap malu. Dan itulah kali terakhir saya dihukum disiplin kerana sebelum itu saya pernah beberapa kali dihukum atas kesalahan lain. Dan esoknya saya terus dibuang dari sekolah!
Oh... Itulah juga kali pertama saya tertangkap ketika menyeludup keluar sekolah! Sebelum itu saya telah keluar beberapa kali terutama ketika malam buta tetapi tidak pernah tertangkap atau disedari, mungkin kerana keluar seorang diri.
Apa yang berlaku ketika itu, saya dipujuk 2 orang rakan untuk menunjukkan jalan kerana mereka ingin membeli rokok di luar selain ingin merasa keluar malam hari seperti saya. Sedangkan ketika itu, bermula sekitar sebulan sebelum itu, saya telah berikrar kepada diri sendiri dan keluarga tidak akan melanggar disiplin lagi setelah pernah sekali dibuang atas satu kesalahan kemudian diterima masuk kembali...
Apapun biarlah apa yang berlalu terus berlalu, Saya setakat bercerita apa yang terbit dalam proses penceritaan secara spontan yang mungkin berguna untuk merungkai masalah diri saya sendiri. Lagi satu nak beritahu, kawasan pejalan kaki berbumbung di sebelah bangunan kecil yang pernah menjadi pondok pengawal itu dahulu adalah pintu masuk utama ke sekolah...
Bila dilihat kembali kedudukan-kedudukan bangunan lama ini, baru saya sedar masjid yang sekarang berada di kawasan sekolah ini, masjid yang belum wujud ketika saya bersekolah ini terletak di kawasan utama luar sekolah tempat ibubapa menziarahi anak-anak sambil "berkelah" makan-minum bertanyakan khabar...
Allah! Teringat bagaimana perasaan anak-anak kecil yang ibu-bapanya tidak berpeluang menziarahi, mungkin akibat sibuk bekerja, mungkin kerana duduk jauh... Kalau datang pun bukan boleh selalu berbanding mereka yang lebih beruntung duduk dekat dan selalu diziarah saudara-mara.
Bayangkan perasaan anak-anak kecil yang baru membesar mengenali erti kehidupan duduk jauh di asrama, jauh daripada lingkungan kasih-sayang keluarga... Duduk terkongkong penuh disiplin dalam kawasan sekolah dan asrama yang terkecil di Malaysia, seminggu sekali sahaja dapat keluar sementara untuk bersolat Jumaat, 2 minggu sekali baru dapat outing sehingga jam 6 petang sebelum pulang ke dalam. Bayangkan... Belajar erti kehidupan, kena ragging dan macam-macam, teringin mengadu kepada keluarga tetapi keluarga tidak dapat datang. Bayangkan keadaan anda jika sifat semulajadi anda dan cara pemikiran ada sedikit lain daripada yang lain tetapi dipaksa menuruti cara kebiasaan ramai demi untuk terus hidup dalam lingkungan anak-anak lain yang sekadar bertindak seperti kelaziman orang kebanyakan. Bayangkan menyimpan segala perasaan dan tekanan jiwa seorang diri di kala melihat rakan-rakan yang lebih beruntung ketawa bergembira bersama sanak saudara yang datang membawa berbagai juadah dan buah tangan.
Bukan ibu-bapa saya tidak datang... Cuma tak boleh selalu. Maklumlah ayah bekerja di Kuala Lumpur, seminggu sekali kembali ke Muar di mana ibu duduk dan bekerja. Tentu penat perlu berkejar pula ke Kluang. KL ke Muar hampir 200km... Mahu ke Kluang lagi 90km begitu... Dan zaman itu belum ada Lebuhraya Utara-Selatan untuk memendekkan perjalanan... Dan adakalanya, saya lebih suka ibu-bapa tidak datang walaupun rindu. Sebabnya, ayah saya sangat garang dan saya selalu dimarahi sedang saya sedang menghadapi banyak masalah di asrama...
Ah cukuplah! Cukuplah diberitahu jalan yang kelihatan dalam gambar di atas ini juga menandakan jalan yang perlu diambil untuk keluar masuk sekolah. Lebih jauh dan berliku berbanding jalan masuk sekarang yang lebih dekat dengan kaki bukit...
Nah... Inilah jalannya. Kembali kita ke sini...
Maka sampailah masanya untuk meninggalkan SMSJ dan segala kenangannya. Oh... Cerita ini boleh dianggap sebagai kesinambungan 2 buah cerita mengenai Kluang yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Untuk membacanya, sila klik...
Reminiscing the teenage years in Kluang - Part 1
Reminiscing the teenage years in Kluang - Part 2
Selamat jalan! :]