Salam petang Jumaat. Cerita hari ke-5 perjalanan umrah. Bersambung daripada Umrah sekeluarga 2026 - Dari Jabal Thur ke Jabal Nur dan Gua Hira' malam Jumaat.
Awal pagi Jumaat 13 Februari 2026. Ke Masjidil Haram untuk solat Subuh.
Seperti biasa laluan untuk ke halaman sekitar Ka'abah telah ditutup.
Selepas selesai solat baru dibuka.
Dapatlah membuat tawaf sunat. Oh. Sekarang ni cuma orang lelaki yang berpakaian ihram sahaja dibenarkan masuk ke halaman Ka'abah. Selain itu cuma boleh ke dalam masjid sahaja, itupun disuruh masuk melalui laluan yang terpisah dengan mereka yang berpakaian ihram.
Cuma isteri dan anak bernama Rasyid sahaja yang ikut. Makcik berumur 76 tahun yang duduk sebilik dengan sepupu sedang berehat kepenatan akibat mendaki Jabal Nur malam Jumaat. Anak lelaki bongsu serta abang lebih tua dan kakaknya pun masih kepenatan di hotel. Makcik yang memimpin rombongan bersama kawannya berjalan sendiri. Mereka tak ikut naik Jabal Nur.
Jam 9.50 saya dan tiga anak lelaki keluar untuk bersolat Jumaat. Tengok-tengok takda bas.
Kenalah berjalan kaki ke Masjidil Haram hampir 2 km melalui terowong yang membelah gunung yang memisahkan kawasan persekitaran hotel yang dikenali sebagai Aziziah dengan masjid.
Ketika berjalan baru nampak anak bongsu, si Johan kurang sihat. Padahal malam sebelumnya kelihatan begitu bersemangat dan kuat mendaki Jabal Nur. Sehingga haversack yang saya pakai membawa sejumlah barangan pun dimintanya hendak dibawa. Untuk senaman katanya.
Saya pula yang terasa begitu kuat dan bersemangat berjalan kaki agak laju. Sehingga harus berhenti beberapa kali menunggu anak-anak.
Nah. Ketika gambar ini diambil jam 10.15 masih ada lebih 2 jam sebelum masuk waktu Zohor dan solat Jumaat. Tapi banyak laluan sudah dihadang. Begitulah cara pihak berkuasa mengawal jemaah.
Kami masuk ke laluan sa'ie antara Safa dan Marwah. Ketika itu semua laluan ke halaman Ka'abah telah ditutup.
Diambil satu sudut untuk berehat beriktikaf sambil menunggu masuk waktu solat.
Johan yang tidak sihat boleh baring dan tidur.
Selepas selesai solat Jumaat baru laluan ke halaman Ka'abah dibuka.
Buatlah tawaf sunat.
Selepas beberapa lama pergi ke tapak tanah milik moyang, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Saya telah menandakan kawasan dalam Google Map sebagai tempat untuk bertemu seorang anak buah isteri yang sampai ke Mekah sehari dua selepas kami.
Pergi ke bangunan menara jam Mekah.
Makan tengah hari lewat di medan selera sementara menunggu isteri, anak perempuan dan sepupu sampai.
Selepas mereka sampai saya berjalan seorang diri lalu menunaikan solat Asar di perkarangan bangunan menara jam yang bersambung dengan perkarangan Masjidil Haram kemudian masuk ke masjid.
Selepas menunaikan lagi tawaf sunat mendapat tempat menghadap Multazam dan pintu Ka'abah untuk menunggu masuk waktu Maghrib.
Selepas Isya' di halaman luar baru kembali ke hotel.