Salam petang Rabu 12 Zulkaedah 1442 Hijriah. Sudah lebih sebulan saya tidak menulis di blogspot iaitu selepas mempersembahkan artikel ke-2,181, Melihat kembali semua perjalanan lama dan kepentingan buat diri juga orang lain pada 22 Mei. Memang asalnya fikir saya hendak menyepikan diri daripada membuat apa-apa penulisan buat beberapa lama, kecuali untuk penulisan tesis sahaja. Tetapi inipun tidak adil bagi diri saya. Sesungguhnya saya menulis bukan kerana nama tetapi kerana luahan rasa dan terapi jiwa, satu perkara yang amat diperlukan sebenarnya untuk memastikan kelancaran penulisan tesis yang asyik tersangkut sejaa beberapa lama.
Memandangkan ada beberapa Webinar mahu disertai bermula esok saya fikir bolehlah mula menulis kembali di blogspot selepas itu. Namun lewat malam tadi baru dapat tahu ada Webinar menarik pagi ini lalu saya pun sertai. Maka bolehlah menulis tentangnya hari ini.
Rasanya sudah 10 tahun kami saling mengenali terutama melalui majlis-majlis ilmu di tempat beliau pernah mengajar iaitu di Universiti Malaya. Sejak majlis pelancaran tersebut ada sekali dua bertemu di UM tahun 2019. Selepas itu tidak bertemu sehingga sekarang apa lagi musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat penularan virus Covid-19...
Adapun sejak setahun kebelakangan ini terasa malas untuk mengikuti mana-mana majlis ilmu kecuali yang melibatkan guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Tetapi apabila terlihat nama Abdullah sebagai pembentang dan lagi sudah lama kami tidak berhubung terus terasa mahu mengikuti. Cuma platform yang digunakan iaitu Cisco-Webex tidak pernah dipakai sebelum ini. Saya biasa mengikut Webinar melalui Zoom kalau ada niat mahu berinteraksi dalam majlis. Kalau setakat mahu menonton cukup dengan Youtube atau FB Live.
Maka saya mengambil sedikit masa untuk membetulkan settings, antara supaya dapat dengar audio atau suara daripada majlis. Ada dekat 10 minit juga tak dapat dengar suara. Bila dapat, sudah selesai sesi pengenalan lalu masuk syarahan oleh Abdullah.
Pada mulanya saya fikir mahu mendengar tanpa menaip nota. Tetapi setelah beberapa lama terasa harus juga menaip kerana takut tak ingat memandangkan syarahan memakan masa 2 jam. Adapun saya sudah membuat keputusan tidak akan lagi memaksa diri untuk berkongsi panjang lebar tentang apa-apa Webinar kerana ini memenatkan dan memakan masa. Cukuplah dikongsi secara ringkas apa yang dapat.
Abdullah menyebut baru dihubungi beberapa hari lalu oleh penganjur majlis iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar memberikan syarahan lalu diminta memberikan tajuk. Selepas beberapa lama beliau pun memilih "Pernyataan dan Penyelesaian Permasalahan Dalam Sejarah Malaysia". Diberitahu ini adalah berdasarkan penulisan tesis yang mana ada harus ada pernyataan permasalahan (dalam bahasa Inggeris disebut Problem Statement) sebagai awal perkara. Ini pun boleh dipanjangkan menjadi tesis yang membawa pada penyelesaian masalah,
Dibangkitkan persoalan misalnya ada yang berkata sejarah Sabah sebelum tahun 1963 tidak boleh dimasukkan ke dalam sejarah Malaysia kerana Sabah tiada dalam Malaysia sebelum tahun tersebut. Tapi ada yang kata patut masuk lalu memberikan alasan mereka. Ada pula melihat sejarah Sabah daripada sudut imperialism (merujuk pada pengembangan kuasa imperialis iaitu atas nama kerajaan dan raja British), ada melihat daripada colonialism (kolonialisma atau penjajahan yang tak semestinya dilakukan oleh kerajaan tetapi boleh dilakukan oleh syarikat bukan kerajaan), ada pula mercentalism (daripada sudut pedagang - perdagangan). Setiap satu sudut pandang menerbitkan persoalan tersendiri.
Satu lagi contoh adalah ada yang mengatakan penglibatan British di Tanah Melayu bermula pada tahun 1874 (melalui Perjanjian Pangkor), ada kata sebelum itu. Semua yang disebut ini boleh menjadi pernyataan masalah lalu boleh dikaji untuk mencari penyelesaian. Abdullah pun menegaskan diri sebagai seorang conversative historian iait seorang yang mengkaji sejarah berdasarkan turut peristiwa atau kronologi. Ini ditegaskan sebagai lawan pada satu aliran baru yang disebut sebagai thematic iaitu berdasarkan tema (lalu kajian dikembangkan untuk menyokong suatu tema tanpa perlu sangat melihat pada kronologi).
Disebut bahawa sebagai pelajar sejarah kena kaji dahulu apa yang pernah ditulis tentang suatu perkara (literature review), kemudian kaji sumber primer seperti perjanjian dan surat menyurat asal yang boleh ditemui di Arkib Negara. Berbalik pada hal apakah British terlibat di Tanah Melayu bermula pada 1874 atau sebelum itu lagi. Disebutlah nama Francis Light sebagai sebenarnya menduduki Pulau Pinang tahun 1786 secara haram, Ini kerana tidak memenuhi syarat yang diminta oleh Sultan Kedah - kalau musuh datang dari laut akan dihadang oleh kompeni (merujuk pada Syarikat British Hindia Timur yang menjadi sandaran Light) dengan belanja kompeni. Kalau datang dari darat kompeni harus membantu, kali ini dengan belanja Kedah
Kedua-duanya tidak dipenuhi Francis Light atas alasan menunggu bantuan dari Calcutta (pusat pemerintahan rasmi kerajaan British di sebelah sini). Sedangkan Calcutta tidak mahu membantu dan tidak ada peruntukan untuk penglibatan sebegitu. Pun begitu, walaupun benar pendudukan Light duduk di Pulau Pinang tidak sah, British adalah kuasa paling besar zaman itu. Walaupun pendudukan bukan atas nama kerajaan British ia tetap melibatkan seorang warga British.
Seterusnya disebut tentang penglibatan Stamford Raffles di Singapura bermula tahun 1819. Pada tahun 1824 pulau itu diduduki melalui perjanjian dengan Belanda. Ertinya sebelum 1874 jelas British sudah terlibat dalam pentadbiran Tanah Melayu atau Negeri-negeri Melayu.
Disebut pula tentang pembentukan Negeri-negeri Selat pada tahun 1826, kedatangan James Brooke ke Sarawak 1839 kemudian tahun 1841 baru masuk campur tangan, Disebut juga tentang kewujudan fail berwarna merah jambu (pink file) di arkib negeri Sabah menyatakan tentang perkara-perkara yang tidak memuaskan hati tentang kompeni di Sabah. Di arkib negeri Sarawak ada perjanjian dalam tulisan Jawi asli antara Pengeran Muda Hashim dengan James Brooke yang memberikan kebenaran Brooke mentadbir Sarawak (di Divisyen 1 sekitar Kuching sahaja asalnya). Tetapi dengan kepandaian politiknya dapat mengembangkan kuasa sehingga meliputi Sarawak yang dikenali sekarang.
Disebut tentang hal negeri Melayu yang didakwa setengah pihak tidak pernah dijajah, cuma dinaungi atau dilindungi. Benar, tidak ada dalam mana-manan perjanjian menyatakan British menjajah. Tetapi apabila melihat pada keadaan sebenar bagaimana raja-raja Melayu harus menurut 'nasihat' British itu adalah keadaan orang dan negeri yang dijajah. Dan lagi jelas bahawa semua proses dalam menuntut kemerdekaan seperti dibuat oleh Tunku Abdul Rahman memakai perkataan merdeka atau independence. Dilaungkan di hadapan ribuan saksi perkataan merdeka setelah memperolehinya pada 31 Ogos 1957. Merdeka daripada itu kalau bukan penjajahan? Cukuplah perkongsian daripada saya ya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan