Awal pagi Selasa 20 Mac 2018 saya solat Subuh berjemaah bersama sejumlah pelajar sekolah pondok di sebuah masjid lama.
Kami anak beranak telah menumpang bermalam di masjid tersebut.
Beginilah rupa masjid (atau surau) lama apabila kami bersedia untuk menyambung perjalanan sekitar jam 10 pagi. Kami sampai malam sebelumnya pun dekat jam 3 pagi. Cukuplah dapat berehat sedikit melepaskan penat...
Masjid atau surau tersebut sudah kerap kami singgahi apabila lalu berdekatan sejak beberapa tahun kebelakangan. Letaknya sangat dekat dengan kompleks makam diraja Kedah di Langgar lalu kami pun singgah.
Inilah kali pertama kami ke situ setelah sultan Kedah terdahulu merangkap Yang di-Pertuan Agong Malaysia ketika itu, Sultan Abdul Halim mangkat 11 September 2017. Ziarahlah kami ke makam baginda juga makam beberapa orang sultan dan kerabat...
Dan sudah menjadi kebiasaan kami kalau berada di Langgar, Kedah mesti singgah makam seorang ulamak (ada kata pernah menjadi sultan) yang diperkirakan hidup lebih 1,000 tahun lalu. Ketika menulis ini baru teringat kami dan dua orang kawan ada singgah di Langgar selepas almarhum Sultan Abdul Halim mangkat iaitu sekembalinya kami daripada perjalanan jauh di Thailand 12-23 Disember lalu. Cuma ketika itu kami sampai malam, tidak masuk ke makam diraja Kedah. Rujuk artikel
Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Langkah-langkah akhir di Trang, Phattalung dan Hatyai.
Dari Langgar kami menghala ke timur kemudian timur laut ke pekan Kuala Nerang. Selepas Kuala Nerang itu ada satu laluan masuk ke selatan Thailand yang ingin kami cuba.
Apa pun inilah kali pertama kami mengambil laluan dari Langgar ini.. Inilah kali pertama saya sendiri sampai ke pekan Kuala Nerang.
Sekitar 30 km selepas itu sampailah ke pintu masuk sempadan di satu tempat bernama Durian Burung.
Urusan paspot mudah dan orang lain pun hampir tak nampak langsung dengan keadaan begitu lengang. Sekejap sahaja paspot kami disemak oleh pihak imigresyen Malaysia lalu kami sedia untuk melepasi sempadan.
Di belah Thailand ambil masa sedikit kerana kena turun kereta isi beberapa borang kemudian pergi ke kaunter. Pun begitu urusan masih mudah. Sekarang tinggal mendapatkan dokumen bagi membawa masuk kereta sendiri ke Thailand.
Di sinilah terbit masalah yang memakan masa dan wang yang agak besar. Bab immigresyen kereta tiada masalah. Tapi sangkut pula kat kaunter kastam. Dalam rekod mereka kereta saya dah kena blok kerana tidak menyerahkan surat atau dokumen yang sepatutnya ketika keluar dari Thailand dalam perjalanan terdahulu 12-23 Disember. Kalau nak masuk juga dengan kereta sendiri kena bayar denda 10,000 Baht!
Itu dah bersamaan RM1,270 tu. Bajet kami untuk perjalanan ini pun baru dalam 6,300 Baht. Seingat saya dah buat dah. Mereka tanya saya keluar dari mana dahulu. Saya jawab di Bukit Kayu Hitam.
Seingat saya tiada langsung masalah ketika keluar. Dah cop paspot, dah bagi surat kemasukan kereta, Saya tanya pegawai yang cop paspot dan ambil surat ok tak? Dia kata ok, dah boleh jalan . Pegawai kastam Thailand dekat Durian Burung atau lebih tepat, Banprakop (nama tempat di sebelah Thailand) kata mungkin saya patut ke Bukit Kayu Hitam untuk menyemak. Allah. Nak ke Bukit Kayu Hitam itu sendiri dah kena lebih 60 km perjalanan. Dan ia diketahui pintu masuk sempadan yang sangat sibuk dengan kenderaan keluar masuk. Apakah jaminan masalah dapat diselesaikan di sana bila sampai?
Setelah beberapa lama baru tersedar. Rupa-rupanya saya cuma bagi satu surat untuk bawa kereta iaitu surat immigresyen ketika meninggalkan Thailand melalui Bukit Kayu Hitam dahulu. Ada satu surat untuk kastam saya terlupa nak serahkan, masih ada terselit dalam sampul plastik yang menempatkan gran kereta juga insyurans Thailand daripada perjalanan terdahulu, Ada dinyatakan dengan jelas surat tersebut harus diserahkan kepada kastam ketika meninggalkan Thailand. Kalau tidak akan didenda 1,000 Baht setiap hari terlewat sehingga mencapai maksimum 10,000 Baht. Nak tak nak kena bayar denda jugak kalau nak bawa kereta sendiri masuk ke Thailand lagi. Nak naik kenderaan awam tak nampak satu pun di pintu masuk sini...
Saya sudah berkira-kira untuk membatalkan perjalanan ke Patani ini. 10,000 Baht bersamaan RM1,270 pada kadar tukaran matawang ketika itu bukanlah sedikit. Jauh langkah kami kalau digunakan untuk berjalan di tempat lain. Tetapi apabila memikirkan niat asal mahu menziarahi sejumlah makam yang tidak sempat dijejaki ketika perjalanan terdahulu di Thailand kami pun mengalah. Duit bekalan perjalanan sebanyak sekitar 6,300 Baht (termasuk untuk sewa hotel di Patani) pun lebur termasuk duit bayaran buku yang baru diterima hari sebelumnya (rujuk balik artikel
Jejak Wasilah Patani - Mukadimah hujan lebat ke Ipoh), ditukarkan ke dalam duit Baht di pusat immigresyen itu sendiri (ada warga Melayu Thai bukan orang immigresyen atau kastam membuat perniagaan sambilan) untuk membayar denda...
Baki tukaran wang termasuk wang yang isteri tukar untuk satu tujuan masih cukup untuk menampung sewa hotel 4 malam. Tapi mana cukup sekadar belanja penginapan? Kami perlu ada belanja makan dan lain-lain keperluan dalam perjalanan. Untuk itu kami harus berpatah balik 30 km ke Kuala Nerang bagi mengeluarkan duit daripada bank. Adapun gambar sebelum ini di mana ditunjukkan surat kastam bagi membawa masuk kereta daripada perjalanan terdahulu itu diambil dalam perjalanan menuju ke Kuala Nerang. Ketika itu kami belum membayar denda. Masih ada pilihan untuk membatalkan perjalanan masuk ke Thailand. Cuma kami tidak cop keluar lalu secara rasminya masih berada di Thailand...
Ini pula sebuah kuil Buddha ala Siam dalam perjalanan dari Kuala Nerang kembali ke Durian Burung. Ni pun awalnya lalu tak ambil gambar. Kali ini baru tangkap..
Dipendekkan cerita setelah membayar denda 10,000 Baht dapatlah dibawa masuk kereta dengan diberikan surat baru kastam. Lain kali ingat, mesti serahkan bila keluar dari Thailand nanti. Ini pula gambar ketika berehat di satu tempat dalam 1-2 km selepas melepasi sempadan. Kami sedang menunggu urusan membuat insyurans siap bagi membawa kereta sendiri dalam satu tempoh waktu.
Tu dia tuan-tuan dan puan-puan. Berjalan sendiri mengembara mencari jejak kesan sejarah ini bukan semudah bercakap besar cerita berdegar-degar di Internet. Namun kalau kita berhajat mahu betul-betul berjejak dan menjejak insyaallah pengalaman seperti saya lalui ini berguna untuk dijadikan panduan dan sempadan. Tapi kalau tetap mahu menafikan pengalaman sebenar orang atas alasan cukuplah mengkaji melalui perpustakaan dan Internet teruslah kamu hidup dalam angan-angan dengan menyangkakan nilai cakap sama malah mengatasi nilai berbuat. Nak lepas sempadan Thailand dengan membawa kereta sendiri kena bawa geran kereta, kena dapatkan surat immigresyen juga surat kastam (tak sama dua-dua tu) untuk pelepasan kereta, Kemudian kena cari tempat untuk beli insyurans bagi membawa kereta di Thailand. Itu baru urusan formaliti menurut undang-undang. Belum difikirkan urusan bagaimana mahu berhadapan dengan orang ramai juga polis malah pihak tentera apabila masuk dengan kereta sendiri tanpa orang lain memberikan panduan mahupun perlindungan keselamatan dalam wilayah yang dikenali selalu bergolak... selalu ada kes bunuh, pengeboman dan sebagainya akibat pertentangan berterusan antara pihak pemberontak (puak pemisah selatan Thailand) dengan kerajaan pusat di Bangkok.
Ini pula gambar kami membeli SimCard tempatan. Ini pun satu keperluan penting dalam perjalanan. Dalam pengembaran terdahulu ke Thailand 12-23 Disember kami masuk melalui Betong iaitu selepas Pengkalan Hulu di Perak. Kami bernasib baik dapat berurusan dengan pemuda pekerja kedai telefon yang fasih berbahasa Melayu lalu beliau jelas dengan keperluan kami.
Ketika itu kami dicadangkan membeli nombor baru SimCard dengan harga 150 Baht. Katanya boleh pakai data tanpa had selama seminggu. Kali ini kami berurusan dengan orang yang tidak tahu berbahasa Melayu, dapatlah berhubung sedikit dalam bahasa Inggeris. Beliau mencadangkan kami membeli nombor baru dengan harga 50 Baht sahaja. Katanya boleh pakai data tanpa had selama seminggu juga!
Selepas menyambung perjalanan buat beberapa lama baru tersedar ada masalah untuk menggunakan Google Map. Rupa-rupanya data tanpa had selama seminggu dalam pakej 50 Baht itu adalah untuk penggunaan Facebook dan WhatsApp sahaja. Dalam keadaan terpinga-pinga kerana tidak boleh berpandukan arah menggunakan Google Map kami ikut sahaja jalan besar asalkan menghala ke arah timur yang diketahui menuju ke Patani. Sedangkan kami bercadang mahu ke Yala dahulu kemudian baru ke Patani.
Disebabkan hal itulah kami cuma dapat menemui simpang ke Yala pada lewat petang. Sedangkan ada simpang awal boleh menjimatkan jarak perjalanan tapi kami sudah lama terlepas. Kalau ikut simpang yang kelihatan ini perlu bergerak 20 km ke selatan untuk sampai ke Yala sedangkan Patani terletak 20 km ke utara dari simpang. Kalau pergi ke Yala kemudian Patani jadi jarak tambahan perjalaanan 40 km lagi. Sedangkan ketika itu tinggal sejam sahaja lagi nak masuk Maghrib. Lalu kami meneruskan perjalanan ke arah bandar Patani sambil melupakan Yala. Lihat artikel
The route from Durian Burung to Patani town di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Sebelum sampai ke bandar Patani kami menjamakkan solat Zohor dan Asar di masjid ini. Lihat
Masjid (Mosque of) Ridwaniah, Patani. Ia adalah masjid pertama kami singgahi di Patani dalam perjalanan kali ini.
.
Alhamdulillah kami sampai ke bandar sejurus sebelum masuk Maghrib. Pusing sat bandar satu round sebelum check-in hotel yang kami telah tempah setelah membuat perancangan perjalanan ini 2 bulan lalu. Kami memilih untuk menginap 4 malam atas satu sebab yang akan diceritakan kemudian. Menariknya hotel di tengah bandar ini terletak betul-betul di tepian Sungai Patani.
Ini adalah gambar resit denda 10,000 Baht dikepilkan bersama resit proses paspot immigresyen ketika masuk ke Thailand. Gambar ini baru diambil tadi. Ia disimpan bersama sejumlah kertas menunjukkan rancangan untuk perjalanan ini. Tanda pangkah dibuat kerana ikut rancangan kami akan menaik ke utara dari Yala ke Patani. Tetapi laluan tidak diambil akibat masalah Google Map seperti disebut tadi.
Apa pun, laluan diubah bukan semata-mata kerana masalah Google Map. Kami masih boleh ke Yala sebelum ke Patani selepas menemui simpang yang jelas. Tetapi disebabkan dah lewat petang itu yang dibatalkan. Dan kelewatan pula berlaku akibat hal denda 10,000 Baht.
Ini memakan banyak masa di sempadan juga menyebabkan kami harus berulang alik ke Kuala Nerang (30 km pergi 30 km balik).. Kami mula-mula sampai ke sempadan jam 1.12 tengah hari. Tetapi akibat masalah tersebut jam 3.42 baru betul-betul dapat meneruskan perjalanan di Thailand menggunakan kereta sendiri...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan