Merujuk pada artikel Bersedia untuk webinar "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" jam 9.15 malam 20 Januari yang dipersembahkan seminggu lalu. Alhamdulillah acara sudah berjaya dilaksanakan pada waktunya, sempena hari ini 20 Januari 2025 tepat 151 tahun selepas berlakunya peristiwa Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Cuma muncul hal tak dijangka. Namun dapat juga dilaksanakan walau sekadar secukup rasa.
1. Judul : "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun
: Satu Penilaian Semula"
2. Pencadang : Radzi Sapiee
3. Mukadimah : Pada tahun lalu sejumlah acara termasuk satu seminar besar telah dirancang mahu diadakan sempena Perjanjian Pangkor 1874 telah 150 tahun berlalu. Antaranya adalah seminar melibatkan tokoh sejarawan terkenal Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di Pulau Pangkor. Tetapi hampir tarikh acara tiba-tiba dimaklumkan ia ditunda. Setelah dimaklumkan tarikh baru tidak lama kemudian ditunda lagi sehingga akhirnya tak jadi. Sehingga habis tahun 2024 lalu terlepaslah tempoh 150 tahun itu.
Saya sendiri pernah diminta untuk membentang tentang perkara di tempat belajar saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC, sekarang turut menjadi Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi ISTAC, memberitahu mahu menganjurkan seminar setengah hari di kampus. Saya pun mula membuat kajian dan mencari bahan. Tetapi setelah beberapa lama tidak ada berita susulan tentangmya.
Baru ini , setelah lama melupakan perkara, tergerak untuk menyemak kembali bahan. Terus timbul rasa apa yang ada sudah cukup untuk terus dibentangkan. Dan lagi pada tahun ini, pada tarikh 20 Januari 2025 adalah genap 151 tahun berlakunya Perjanjian Pangkor. Masih tidak terlewat untuk meraikan bahkan nombor 151 itu sebenarnya kelihatan lebih cantik berbanding 150 tahun lalu.
4. Tujuan : Meluruskan sejarah. Perkara ini pernah dinyatakan mahu diusahakan oleh seorang kerabat diraja Perak, Raja Azam bin Raja Kamaralzaman bin Raja Mansor bin Sultan Abdullah Muhammad Syah II (yang dibuang ke Pulau Seychelles itu). Ini dinyatakan dalam artikel suratkhabar The New Straits Times bertarikh 26 Mac 1996. Beliau ada menyatakan mahu melaksanakan hajat bapa dan datuknya supaya menyampaikan cerita daripada pihak mereka. Mereka mahu meluruskan perkara. Terma yang digunakan dalam artikel suratkhabar adalah “setting the record straight”. Lihat lampiran.
5. Rasional (Kepentingan) : Membersihkan nama Sultan dan para pembesar yang terlibat. Ini juga melibatkan anak cucu mereka. Untuk makluman saya adalah keturunan langsung laki-laki Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, generasi ke-5. Almarhum yang merupakan saudara tiga pupu Sultan di satu pihak, bapa saudara di satu lagi pihak, sama-sama menandatangani Perjanjian Pangkor. Jadi secara peribadi saya ada kepentingan. Sebagai pengkaji pula ini melibatkan sejarah negeri Perak. Ramai orang sebenarnya ada kepentingan bagi meluruskan sejarah berkenaan.
Yang sebenarnya perjanjian ada dua versi. Satu dalam bahasa Inggeris, satu dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Yang biasa diwar-warkan adalah terma-terma daripada versi bahasa Inggeris yang dibuat terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Itu yang dijadikan rujukan sejak sekian lama.
Sedangkan yang difahami, dipersetujui lalu diturunkan tandatangan/cap mohor adalah versi bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. Ada banyak perbezaan daripada segi penggunaan kata-kata. Sejumlah sebenarnya membawa maksud yang sangat berlainan berbanding versi bahasa Inggeris.
Ringkasnya, jika dalam versi Inggeris Sultan mesti meminta nasihat Residen lalu melaksanakannnya versi Melayu cuma menyarankan, tidak mewajibkan. Ada beberapa hal lagi yang sebenarnya difahami begitu begini oleh orang Melayu tetapi lain oleh Inggeris. Lalu orang Melayu dilihat tidak mematuhi perjanjian sehingga membawa kepada konflik demi konflik yang akhirnya menyebabkan Perak jatuh ke tangan Inggeris. Walaupun daripada segi dokumen dan surat menyurat Perak cuma ‘dilindungi’ mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan