Salam petang Selasa 4 Zulhijjah 2024. Sampai masanya untuk menamatkan cerita permusafiran 6 hari 6 malam yang berakhir seminggu lalu. Bersambung daripada artikel Musafir ilmu dan buku - Dari diskusi buku ke majlis persilatan ke walimatul urus.
Pagi Isnin 3 Jun 2024. Sekali lagi saya telah menginap di surau tertentu di Janda Baik. Pemandangan dari luar surau.
Seperti dinyatakan dalam
Musafir ilmu dan buku - Dari diskusi buku ke majlis persilatan ke walimatul urus saya ke Janda Baik kerana harus menghantar anak kembali masuk ke asrama tahfiz. Sudah menjadi kebiasaan sejak beliau belajar di sana awal tahun 2022 saya akan menginap satu malam sebelum mengambil pagi Sabtu untuk bercuti awal hujung bulan kemudian menginap lagi setelah menghantar petang Ahad atau malamnya. Ini supaya saya tidak perlu terkejar-kerja hendak ke Janda Baik mahupun kembali apatah lagi selalunya laluan di Lebuh Raya Karak biasa sesak teruk Ahad malam Isnin.
Sebetulnya Isnin itu cuti am kerana Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Tetapi tidak bagi tahfiz yang mengikut jadual pengasasnya dari Indonesia.
Kalau ikut rancangan asal selewatnya tengah hari Isnin telah mengorak langkah kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya ke utara Lembah Klang. Sebaliknya isteri mengajak ke Bandar Saujana Putra jauh ke selatan, setelah mendapat tahu seorang tokoh Sufi ada kelapangan untuk bertemu dalam tempoh masa itu.
Lalu bertemulah kami di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) seperti dilakukan sejak beberapa hari itu. Dari situ naik satu kereta ke Saujana Putra. Makan di sebuah restoran sementara menunggu waktu yang dijadualkan untuk bertemu tokoh tersebut.
Ini pula di kompleks bangunan ISTAC pagi Selasa 4 Jun. Saya telah bermalam di masjid situ setelah lebih setahun rasanya tidak berbuat begitu.
Saya bermalam di ISTAC supaya dapat mengikuti satu acara menarik sepenuh hari pada siang Selasa.
Ia adalah satu persidangan meja bulat bagi menentukan hala tuju kajian ekonomi Islam. Berdasarkan apa ia harus dikembangkan? Takkan semata-mata sekadar reaksi kepada perkembangan dan segala macam teori ekonomi Barat?
Ketika itu, apabila melihat jadual perkongsian ilmu dan tajuk-tajuk memang terasa menarik hendak pergi. Tapi tu le, kan dah beberapa hari keluar bermusafir sejak meninggalkan rumah tengah hari Khamis 30 Mei? Lihat artikel pembuka siri kecil ini,
Musafir ilmu dan buku - Antara ISTAC dan PBAKL.
Seperti disebut pada awal artikel ini. Sepatutnya selewatnya tengah hari Isnin 2 Jun saya sudah mengorak langkah kembali ke rumah. Tetapi disebabkan isteri mengajak ke Bandar Saujana Putra permusafiran pun dipanjangkan lagi.
Disebabkan itu juga isteri tiada masalah saya mahu menginap di luar satu malam lagi, supaya dapat mengikuti acara ekonomi Islam di ISTAC sepanjang siang Selasa 3 Jun. Isteri memberitahu, hari itu boleh bekerja di pejabat syarikatnya yang dekat dengan rumah lalu boleh menguruskan seorang lagi anak pergi balik sekolah rendah dan sekolah agama.
Sungguh, perbincangan ekonomi Islam ini sangat menarik dan memberikan harapan tentang nasib ummah pada masa hadapan. Cuma nak komen sedikit. Ketika sesi dibuka untuk perbincangan ramai saya ada menyatakan kita harus mengambil kira hal-hal 'luar akal' seperti Barakah, seperti sedekah dibalas 10 kali ganda (di muka bumi, bukan di akhirat), seperti janji Allah SWT bahawa setiap anak telah ditulis dan dijanjikan rezekinya. Kalau tidak kita akan sentiasa terikat dengan pemikiran ekonomi Barat yang merupakan "zero sum game" yang mana setiap yang dibelanjakan harus ada setimpal banyak duitnya datang daripada mana. Pemikiran logik sebeginilah yang menyebabkan orang jadi takut hendak beranak lebih. Kerana gaji tak cukup sedangkan kos sara hidup semakin meningkat. Pemikiran sebeginilah yang menyebabkan ramai terlibat dengan rasuah. Sekali lagi, kerana melihat pendapatan halal sedia ada tidak cukup. Langsung tidak difikirkan hal keberkatan rezeki.
Tetapi ada yang menolak dengan alasan ini cuma pemikiran idealistik berbunga-bunga sahaja. Lebih kurang begitulah kata-katanya. Walhal ekonomi Islam tidak sepatutnya lari daripada unsur-unsur di luar logik kebiasaan akal. Kalau tidak, kita sebenarnya masih berfikir dalam kerangka 'realistik' ekonomi Barat tetapi cuma mahu diberikan solekan kosmetik Islam. Supaya terasa kita telah membuat kerja sepatutnya demi kepentingan ummah. Walhal kerangka pemikiran kita sebenarnya telah tersasar jauh daripada ekonomi sebenar Islam yang sepatutnya percaya ada bantuan Tuhan di luar kira-kira akaun untung rugi kebiasaan.
Apapun saya mengikut acara sehingga tamat sekitar jam 5 gitu. Kemudian pergi ke KLCC untuk satu urusan.
Makan malam mee Aceh pula di Chow Kit.
Apabila sampai ke rumah lewat malam meter kereta menunjukkan saya telah memandu sejauh 475.9 sejak memulakan permusafiran tengah hari Khamis 30 Mei. Tetapi itu dengan kereta yang ini. Dengan kereta lagi satu (rujuk Musafir ilmu dan buku - Dari diskusi buku ke majlis persilatan ke walimatul urus) saya telah berjalan sejauh 208 km. Cuma ada dalam 35 km itu isteri memandu kerana saya dah tahan penat.
Secara rata permusafiran ini telah menyaksikan saya berjalan dengan kereta sejauh jumlah 683.9 km. Banyak aktiviti dapat dilakukan walaupun dalam keadaan ada batuk-batuk sakit tekak sehingga tangkap ke telinga kiri dan demam. Insyaallah selagi hayat dikandung badan saya sedia untuk melakukan lagi dan lagi perjalanan-perjalanan sebegini. Pada saya inilah perjuangan demi menambah ilmu juga meningkat jati diri supaya dapat berbangsa kepada agama, bangsa dan negara insyaallah, bukan sekadar kata-kata slogan supaya kelihatan seperti jaguh pembela tetapi sebenarnya cuma mahu disanjung dan diangkat tinggi kemudian dapat hidup selesa dengan gaji atau pendapatan tinggi.
Perjalanan bermula siang Khamis 30 Mei lalu pada siang Selasa 4 Jun sudah masuk 6 hari 5 malam. Namun ia cuma berakhir Selasa malam Rabu. Maka jadilah keseluruhannya 6 hari 6 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan