Salam petang Jumaat pertama tahun baru 1445 Hijriah. Sedikit perkongsian daripada satu majlis ilmu yang dihadiri petang semalam.
Adapun dalam setahun dua kebelakangan ini saya jarang hadir atau mengikuti majlis ilmu, tidak seperti sebelum itu. Namun sesekali muncul tajuk atau topik menarik yang menyebabkan saya rasa wajib mengikuti, kalau ada kelapangan saya akan berusaha untuk hadir secara fizikal. Majlis yang dinyatakan dalam poster atas adalah satu contoh. Sejak melihatnya disiarkan dalam WhatsApp grup ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) sekitar sebulan lalu saya sudah berazam untuk mengikutinya.
Tajuk bagi syarahan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan sebagai "Kejelasan Dalam Kerancuan : Al-Ghazali, Ibnu Rushdi dan Pemikiran Saintifik". Disampaikan oleh Profesor Dr Edward R. Moad dari Qatar University di Doha ia adalah sekitar perdebatan ilmu melibatkan falsafah yang pernah berlaku dalam dunia Islam lebih 1,000 tahun lalu. Dekan ISTAC Profesor Abdelaziz Berghout bertindak sebagai moderator atau pemudah cara.
Nasib baik majlis berlangsung pada hari Khamis 20 Julai 2023. Ini kerana pada hari tersebut isteri boleh membuat kerja dari rumah, tidak perlu ke pejabat lalu boleh mengambil anak dari sekolah pagi dan menghantar untuk ke sekolah petang. Kalau tidak saya yang harus membuat urusan berkenaan. Dengan itu bolehlah hadir secara fizikal ke majlis di ISTAC 40 km dari rumah.
Kelihatan AbdelAziz sedang memberikan pengenalan tentang pembicara. Walaupun Edward O. Moad masih mengekalkan nama Barat beliau sebenarnya sudah lama masuk Islam.
Kebiasaan saya apabila hadir secara fizikal dalam suatu majlis adalah mengambil gambar-gambar termasuk paparan slaid pada skrin untuk dikongsikan dalam artikel di blogspot. Kali ini saya membuat keputusan untuk mendengar sahaja tanpa mengambil gambar kecuali dua di atas tadi. Setelah agak lama menjadi biasa mengikuti majlis secara atas talian iaitu bermula daripada tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang wabak virus Covid-19 awal 2020 saya dapati adalah lebih mudah dan jelas mengambil screenshot paparan slaid daripada video majlis (kalau ada). Inilah yang ditunjukkan di atas juga dalam gambar-gambar seterusnya di bawah.
Moad memulakan dengan menyatakan bahawa apa yang akan dikongsikan adalah berdasarkan isi buku terbaru beliau yang akan terbit tidak lama lagi. Bahagian pertama tajuk buku sama dengan bahagian pertama tajuk syarahan. Cuma bahagian kedua sahaja berbeza. Ia boleh diterjemahkan sebagai "Antara Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi tentang Alam Semulajadi dan Alam Semesta". Oh. Pada paparan ini baru nampak bahawa beliau ada memakai nama Islam Omar. Ini digunakan sebagai middle name atau nama tengah beliau. Bagi penulisan seterusnya biar beliau dirujuk sebagai Omar.
Beliau memberitahu akan menggunakan pengenalan dalam buku untuk membuka perkara. Sebetulnya syarahan ini sangat sarat dengan ilmu aras pemikiran tinggi. Untuk memahaminya dengan baik harus tahu terlebih dahulu bagaima ilmuwan tersohor dunia silam Islam 1,000 tahun lalu, Imam Al-Ghazali yang hidup pada tahun 1058-1111 Masihi pernah menulis kitab bertajuk Tahafut al-Falasifa (boleh diterjemahkan sebagai "Kekeliruan Falsafah") bagi mengkritik ahli-ahli falsafah Islam yang dilihat terlalu mengagungkan gaya fikir falsafah warisan Yunani Purba seperti dibawah oleh Plato dan Aristotle lalu dijawab oleh Ibnu Rushdi yang hidup kemudian (1126-1198) melalui kitab Tahafut al Tahafut ("Kekeliruan atas Kekeliruan"). Kena faham bagaimana kritikan Al-Ghazali dilihat sesetengah pihak sebagai punca bermulanya kemunduran ilmu sains (kononnya) dalam dunia Islam. Lalu Ibnu Rushdi dilihat sebagai mewakili suara yang membela kembali ilmu falsafah, yang dengan itu dilihat juga membela ilmu sains.
Ini kerana Al-Ghazali lebih dilihat ramai sebagai seorang agamawan sementara Ibnu Rushdi dilihat sebagai seorang saintis silam. Lalu perdebatan antara pemikiran mereka sering dilihat sebagai perdebatan antara agama dan sains. Kata Omar ini salah. Kedua-duanya mereka sebenarnya adalah agamawan dan saintis. Masing-masing sebenarnya adalah pakar dalam pelbagai bidang. Oleh itu ia sebenarnya adalah perdebatan antara dua orang agamawan sains.
Kata Omar, Al-Ghazali juga adalah seorang ahli falsafah lalu yang dikritiknya bukanlah ilmu falsafah secara keseluruhan tetapi hal-hal berkenaan yang dilihat bercanggah dengan pemikiran sejati Islam. Tambah beliau, yang dikritik sebenar adalah ahli-ahli falsafah 'palsu' (terma yang digunakan adalah philosophy posers - orang yang suka berlagak bercakap perkara-perkara tinggi supaya kelihatan pandai, sebenarnya bukan ahli falsafah tetapi suka bercakap tentang falsafah). Mereka tidak mencerminkan ilmu falsafah sebenar. Lalu jika Al-Ghazali dikatakan menyerang kerancuan atau kecelaruan dalam pemikiran falsafah, Ibnu Rushdi yang sering dikatakan membuat hujah balas membela falsafah dikatakan Omar sebagai sebenarnya selari fikiran dengan Al-Ghazali.
Dengan itu pemikiran serta hujah-hujah mereka yang berkenaan harus diteliti secara 'sebelah menyebelah' untuk mencapai keseimbangan. Melalui cara itu juga dapat dilihat apakah atau bagaimanakah rupa bentuk pemikiran saintifik yang patut dicontohi daripada mereka. Kata Omar beliau akan berkongsi penilaian berkenaan lalu menyenaraikan 10 sifat atau 'hukum' yang dilihat sebagai mewakili pemikiran yang betul-betul layak dipanggil sebagai saintifik.
Sungguh syarahan ini sangat sarat ilmu sedangkan banyak perkara yang diperkatakan, kitab-kitab yang disebut saya belum bersempatan atau ada kelapangan untuk menelaah. Namun kritik-kritik dan hujah berkenaan pernah saya temui melalui bacaan-bacaan lain lalu dapatlah sedikit sebanyak faham. Di sini cukuplah dikatakan bahawa di celah-celah pelbagai perkara yang dikongsikan Omar menyatakan satu persatu 10 sifat pemikiran yang saintifik. Pertama, perlukan perhatian mendalam terhadap hubungan antara dakwaan-dakwaan empirikal dengan yang bersifat metafizikal.
Kedua. Perlu kejelasan dan keterbukaan tentang piawai epistemik atau kaedah ilmu yang dipakai. Tentunya Omar memberikan contoh-contoh berkenaan. Tetapi cukuplah saya sekadar menyatakan tanpa contoh atau huraian kecuali di satu dua tempat ya...
Ketiga. Perlunya kejelasan dan keterbukaan tentang had-had pada cara kita. Lalu jujurlah tentang darjah keyakinan yang dapat dicapai juga tentang ketidakpastian yang timbul.
Keempat. Perlunya kejelasan tentang terma-terma yang digunakan lalu mengelak daripada hal percanggahan atau kekeliruan semantik (kekeliruan boleh berlaku disebabkan beza faham tentang suatu terma merujuk kepada apa sebenarnya).
Kelima. Jelas tentang objektif atau arah tujuan dan skop/liputan apa yang hendak disiasat. Tentukan dengan cermat liputan siasatan berdasarkan kesedaran menyeluruh tentang arah tujuan kita. Skop/liputan sebenar bergantung pada hakikat perkara, bukan definisi yang dibuat oleh diri sendiri.
Keenam. Sedar bahawa penyanggahan suatu hujah cuma menunjukkan bahawa hujah itu tidak membuktikan apa yang didakwa suatu pihak boleh dibuktikan. Ia tidak memerlukan atau membuktikan bahawa kesimpulan hujah itu salah, atau suatu kesimpulan lain adalah benar.
Ketujuh. Suatu kritik atau penyanggahan yang dibuat semata-mata kerana itu (tanpa membentuk suatu pemahaman alternatif) nilainya boleh dipersoalkan. Ada dimensi sosial dalam sains membawa kepada tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
Kelapan. Terdapat pencapaian saintifik yang kurang demonstratif (kurang kelihatan cara pembuktiannya secara fizikal) namun lebih daripada sekadar dialektif (mencari faham melalui rangkaian pemikiran logik).
Kesembilan. Keberanian untuk menghadapi kejahilan diri sendiri adalah sebahagian daripada merendah diri dalam keilmuan. Namun, meninggalkan suatu penyiasatan hanya semata-mata kerana kita bukan pakar dalam bidang bukanlah bermakna kita tahu tempat (sedar kekurangan). Tetapi ia sebenarnya satu sifat pengecut dan kemalasan.
Akhir sekali. Pemikiran yang saintifik adalah terbentang lebar antara iman (keyakinan) dan sikap skeptik (berhati-hati lalu mempersoalkan setiap sesuatu). Sebagai rumusan melibatkan sikap dan hujah antara Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi yang diperdebatkan, jika falsafah menyatakan bagi setiap sesuatu ada susunan yang boleh ditemukan Al-Ghazali mengatakan kita tidak boleh tahu tentang itu. Ibnu Rushdi pula menjawab dengan mengatakan kalau kita tidak percaya (bahawa adanya susunan yang boleh ditemui) maka kita tidak akan sesekali mencarinya (lalu hilanglah usaha dan terbantutlah pencarian ilmu). Maklum balas yang boleh ditanggap daripada sikap (berdasarkan penulisan-penulisan) Al-Ghazali adalah kita tidak boleh mencari tanpa menguji (suatu andaian yang menentukan arah tuju carian). Dan tanpa rasa ragu-ragu (kerana terlalu yakin lalu menerima sesuatu pernyataan tanpa soal) kita tidak akan menguji. Untuk mengikuti sendiri syarahan sila tonton video di
sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan