Uncle Nasir adalah bapa kepada pengantin lelaki. Saya, isteri dan Al-Rasyid telah bermalam di bilik anaknya itu. Dari dapur rumah kelihatan sebuah pangsapuri bernombor 165. Ini mengikatkan pada satu kumpulan yang suka menggunakan nombor tersebut sebagai logo, katanya 1 untuk rukun Ihsan, 6 rukun Iman dan 5 rukun Islam.
Dari luar rumah boleh kelihatan masjid di mana saya mengalami deja vu lama petang Sabtu. Lihat artikel sebelum ini Al-Rasyid naik keretapi ke Singapura - Majlis perkahwinan di 2 tempat dan deja vu lama di Masjid Yishun.
Setelah selesai mengemas rumah dan sebagainya Uncle Nasir pun menghantar kami ke stesyen MRT terdekat.
Tapi sebelum itu dia membawa kami bersiar-siar di kawasan sekitar. Baru kali ini saya dapat melihat lebih dekat rumah-rumah bungalow yang ada di Singapura.
Seperti umum tahu, rumah-rumah di Singapura rata-rata berbentuk pangsapuri tinggi akibat kekurangan tanah dan penduduk yang padat. Namun ada sedikit kawasan rumah sebiji-biji. Keadaannya saling tak tumpah seperti di kawasan mewah juga separa mewah di Petaling Jaya.
Oleh kerana saya teringin melihat kawasan laut atau lebih tepat Selat Tebrau yang terdekat, Uncle Nasir membawa kami ke Kampung Wak Hassan. Masyaallah saya deja vu lama melihat perairan yang ada. Menariknya isteri saya kemudian mendapat tahu di sinilah babak sekitar rumah isteri ketiga P. Ramlee yang dimainkan Sarimah diambil dalam filem terkenalnya Madu Tiga. Lihat artikel The scene at Kampung Wak Hassan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Tak cukup itu, saya deja vu lagi apabila dibawa masuk kawasan hutan berdekatan.
.
Dari seorang ahli masjid kami mendapat tahu mimbar dan ukiran yang ada ditempah dari Muar, Johor. Untuk pengetahuan masjid ini pernah diabaikan sekian lama sebelum diperbaiki dan dibuka kembali baru ini.
Di belakang masjid beberapa orang ahli masjid sedang membuat persiapan untuk Hari Raya Korban. "Ambillah sekali gambar kambing di belakang!" kata seorang. Ait? Perli saya ke hapa? Heh! :]
Kelihatan juga di belakang adalah rumah-rumah atap rumbia yang agak klasik. Kemudian baru saya diberitahu ini adalah set satu penggambaran.
Uncle Nasir membawa kami ke satu lagi tempat berdekatan. Di sini ada pokok botol katanya...
Malah siap ada kelab yang dipanggil Bottle Tree. Tak tahulah nama diberi sempena pokok botol sahaja atau tempat ini memang untuk kaki botol, hehe...
Uncle Nasir menurunkan kami di stesyen MRT Yishun. Dari situ kami membuat perjalanan keliling separuh pulau. Lihat Taking the MRT down half the island.
Kami turun di stesyen Harbour Front berdekatan jalan masuk ke Pulau Sentosa. Tempat yang ingin dituju terletak di seberang jalan sahaja.
Namun saya tersilap pergi agak jauh ke barat. Rupa-rupanya suruh makan tengahari dahulu isi perut yang dah keroncong...
Kemudian baru kami berpatah-balik tetapi melalui bahagian seberang jalan. Kelihatan kereta kabel dari puncak Mount Faber (nama lamanya Bukit Teluk Belanga) ke Pulau Sentosa.
Inilah tempat yang ingin dituju... Masjid Temenggung di Teluk Belanga. Selepas bersolat dan berehat sebentar saya dan sepupu saya Hanif menziarahi makam diraja Johor di sebelah. Isteri yang sebenarnya demam terus berehat bersama Al-Rasyid. Lihat The Temenggung mosque and Johor royal mausoleum revisited.
Dari situ ke tempat seterusnya iaitu makam Radin Mas sangatlah dekat. Memang asalnya kami bercadang untuk jalan kaki sahaja. Tetapi ketika itu saya tidak menjangka betapa dekatnya makam Radin Mas sedangkan isteri tidak dapat menyembunyikan kepenatan akibat demam. Kami pun mengambil teksi untuk ke sana. Lihat The tomb of the princess Radin Mas.
Saya juga asalnya bercadang mahu berjalan kaki hingga ke Bukit Singapura atau Fort Canning Hill di pusat bandar. Tapi keadaan memaksa kami menaiki teksi hingga ke atas...
Sebenarnya selain masalah kesihatan, kami juga kesuntukan masa. Rancangan asal adalah mula keluar dari rumah jam 8 pagi. Tapi dicampur perjalanan dengan Uncle Nasir dan hal lain, jam 12:30 baru kami meninggalkan Yishun, 2 jam kemudian baru sampai ke Masjid Temenggung.
Kenapa saya sebut kesuntukan masa? Sebelum itu kita lihat dahulu apa yang ada di Bukit Singapura. Satu, ada peninggalan kerajaan Melayu lama. Lihat Tapak kajipurba (Archeological dig), Bukit Singapura.
Di bukit ini juga ada sebuah makam yang dipanggil Keramat Iskandar Syah. Gambar ini telah digunakan pada artikel 777, umur 40 dan tawaran terhad buku yang dibuat pada hari lahir saya sebulan lalu. Menariknya Iskandar Syah dikatakan Sultan Singapura abad ke 14 Masihi. Lebih menarik ada kenyataan menyebut baginda juga adalah Parameswara yang membuka Melaka! Lihat Makam (Tomb of) Iskandar Syah.
.
Di puncak bukit ini pula terdapat kawasan tadahan air yang dikawal ketat oleh kerajaan. Kalau tak silap ia dijadikan begitu sejak British masuk memerintah hampir 200 tahun lalu walhal dipercayai ramai bahawa di atas inilah letaknya istana keSultanan Singapura yang telah wujud sebelum zaman keSultanan Melaka. Entah apa yang ditakutkan sangat sehingga puncak bukit dijadikan kawasan larangan. Kata orang sebab itu juga bukit ini dikenali sebagai Bukit Larangan.
Turun dari bukit kami mengambil bas.
Tempat seterusnya terletak berdekatan Bugis Junction.
Kami terus berjalan kaki ke destinasi.
Di manakah ini? Al-Rasyid sedang merenung apa entah? Orang di belakang pula kelihatan seperti orang kenit yang terapung di hadapan mata...
Baiklah. Biar disebut. Kami pergi melihat istana Kampung Gelam, istana Sultan terakhir Singapura yang telah dijadikan muzium juga Masjid Sultan. Kelihatan masjid baru dipasang kipas seperti kipas helikopter. Lihat Around Masjid Sultan and Kampung Gelam.
Kemudian kami berkejar ke stesyen MRT terdekat yang dipanggil stesyen Bugis. Teringat kali pertama menaiki MRT di sekitar ini lebih 4 tahun lalu. Tiba-tiba keluar pengumuman menyebut : "Bugis, Bugis!". Ingatkan ada orang kurang ajar nak cari pasal dengan Bugis, rupanya nak beritahu dah sampai stesyen Bugis! Hek eleh...
OK. Tadi ada diberitahu kami kesuntukan masa. Sebenarnya kami harus kembali ke Malaysia dengan keretapi malam jam 10.30 dan untuk itu kami harus sampai ke stesyen Tanjung Pagar paling lambat pun jam 10. Sebelum itu kami harus kembali ke rumah Uncle Nasir di Yishun bersiap dan mengambil barang dan ini memakan masa tidak kurang setengah jam dengan MRT. Dari Yishun ke Tanjung Pagar pula perjalanan kereta boleh memakan masa 1 jam, maka logiknya kami sudah berlepas dari sana jam 9.
Memang pun kami dijangka kembali ke Yishun paling lambat pun selepas Maghrib untuk mandi, bersolat dan siap. Sebaliknya masuk waktu Maghrib kami baru mahu menaiki bas ke satu destinasi lain yang asalnya diharap dapat dijejaki sebelum senja. Isteri dan sepupu mula risau kerana takut terlepas keretapi. Saya cakap tawakallah kepada Allah. Kerana ini juga ujian untuk menyelesaikan satu perkara.
Sejak awal tahun saya ada menyimpan niat jika sampai lagi ke Singapura akan singgah ke Masjid Ba' Alawi sebuah masjid yang terkenal kerana menjadi tumpuan para Sayyid dan Sharifah keturunan Nabi Muhammad SAW dan orang Islam yang percaya pada keberkatan Ahlul Bait. Pada mulanya saya menyangkakan kedudukannya sekadar berjalan kaki dari Masjid Sultan tetapi kemudian baru mendapat tahu ia terletak di Lewis Road berdekatan Bukit Timah. Nasib baik stesyen MRT terdekat terletak dalam perjalanan ke Yishun. Namun apabila sampai di stesyen tiada seorang pun tahu tentang Masjid Ba' Alawi.
Saya harus menunggu bertanya ke sana ke mari sambil isteri dan sepupu semakin risau sebelum dapat berjumpa orang yang tahu. Dia seorang wanita yang berasal dari Kuantan tapi kini menetap di Singapura, dalam perjalanan kembali ke rumah dari tempat kerja. Menariknya wanita berumur 20an ini menetap di sebuah rumah tidak jauh dari Masjid Ba'Alawi. Untuk ke masjid perlu menaiki bas agak jauh sedangkan masa semakin suntuk. Namun saya cekalkan diri dan pergi juga lalu mendapati memang lawatan itu sudah lama ditakdirkan kerana di situ saya deja vu lama lagi.
Di atas adalah gambar baju perang Islam yang terpampang dalam masjid. Turut terpampang adalah sejumlah barangan lain yang ada kena-mengena dengan sejarah Islam, semuanya termasuk rupabentuk masjid pernah dilihat dalam mimpi atau bayangan entah berapa tahun lalu (lihat Masjid (Mosque of) Ba'Alawi, Singapura). Selesai solat jamak Maghrib dan Isyaq ternampak seorang jemaah sedang menuju ke sebuah teksi. Rupa-rupanya dia seorang pemandu yang kadangkala sahaja bersolat di situ. Dapatlah kami menaiki teksi terus ke Yishun.
Kami sampai sekitar jam 8:30 lalu tidak sempat mandi, setakat cukup masa untuk menyiapkan barangan sahaja. Namun dari satu segi kami dapat menepati jadual asal apabila sempat bergambar sama sebentar di bawah sebelum meninggalkan Yishun jam 9.
Alhamdulillah pergerakan trafik lancar sehingga kami dapat sampai ke Tanjung Pagar dalam tempoh setengah jam. Sempatlah makam nasi briyani lagi lalu berehat berbual-bual...
Selepas jam 10 amaran dibunyikan agar penumpang masuk. Lagipun kami perlu melalui pemeriksaan imigresyen Malaysia sebelum boleh menaiki keretapi.
Masuk sahaja keretapi kami terus mengambil tempat, kali ini di gerabak berkatil yang cuma terdapat pada keretapi malam.
Cukuplah diberitahu sebelum turun untuk pemeriksaan imigresyen Singapura di Woodlands, saya sempat mandi ringkas di dalam tandas keretapi. Cukuplah untuk menghilangkan rasa peluh melengas agar dapat tidur selesa sehingga sampai ke Kuala Lumpur. Tamat dah siri kecil... :]
2 ulasan:
Sewaktu anda di Sembawang, pernah kah anda melihat kawasan makam didaerah sembawang?
Tak ingat. Mungkin ada nampak tanah perkuburan umum Islam kot? Ada ke?
Catat Ulasan