Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Mac 02, 2020

Membandingkan pemikiran Iqbal dan Nietzsche dalam mencari kesempurnaan manusia

Dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini yang dipersembahkan petang Jumaat lalu ada diberitahu tentang satu perkembangan politik negara. Ketika itu rakyat masih tertunggu-tunggu apakah yang akan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong tentang pemilihan Perdana Menteri Malaysia yang baru. Atau apakah parlimen akan dibubarkan? Apakah akan terbentuk gabungan kerajaan baru tanpa dibuat pilihan raya umum atau bagaimana? Malam itu pula saya pergi ke satu lagi majlis ilmu. Ini ceritanya.


Ini adalah poster bagi majlis tersebut. Saya diberitahu oleh seorang kawan melalui WhatsApp. Tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Iqbal dan Nietzsche - Ide tentang Manusia" terasa begitu menarik. Membawa tajuk adalah seorang sarjana muda Syed Muhyiddin Al-Attas, seorang anak murid kepada pemikir besar Islam bertaraf dunia, Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 

Saya kenal siapa beliau ini kerana boleh dikira sebagai adik angkat. Cuma jarang berjumpa. Ini kerana bapanya, penulis buku politik terkenal tanah air, Syed Hussein Al-Attas juga dikenali sebagai S.H. Alattas dan Pak Habib adalah bapa angkat saya.

Saya pernah duduk menumpang di rumah Pak Habib di Janda Baik juga di pejabatnya di Gombak tahun 2002-2005. Ini adalah zaman saya sibuk dengan pencarian makna diri juga mencari salasilah keluarga. Jika tidak keluar mengembara atau berada di rumah orang lain besar kemungkin saya berada di rumah Pak Habib. Ada masanya pula saya tolong menyunting buku-buku beliau.

Hal menumpang di Janda Baik ini ada diceritakan beberapa kali dalam blogspot ini. Lihat sahaja artikel-artikel berikut :-













12. Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Antara Raub dan Janda Baik

13. Memanjat bukit di Janda Baik anak beranak - Kali pertama setelah lama mengenali tempat



Selepas menunaikan solat Maghrib di rumah saya pun bergegas ke lokasi majlis lebih 50 km perjalanan ke arah selatan. Sebelum itu saya harus singgah ke pejabat isteri di pekan Rawang terlebih dahulu. Ini kerana mahu meninggalkan anak-anak bersama beliau juga bertukar pakai kereta - ketika itu isteri sedang membuat kerja tambahan (overtime) sehingga waktu malam.


Jam 9.08 saya pun sampai ke lokasi. Ia adalah sebuah kedai buku ke selatan bandar lama Petaling Jaya (PJ Old Town). 



Majlis dijadualkan bermula jam 8.30. Nampaknya saya sudah hampir 40 minit lewat.


Tak mengapalah. Janji sampai jugak. 


Walaupun pada mulanya susah nak tangkap kerana tak tahu hujung pangkal apa lagi ia melibatkan subjek falsafah tinggi dan berat saya beransur-ansur dapat mengikuti pembentangan. Nampaknya semua yang hadir adalah peminat dunia pemikiran. Kalau orang biasa-biasa sahaja memang susah nak faham kerana ia menelusuri pelbagai sudut pandangan sarwa jagat dan falsafah yang kemudian membentuk pecahan-pecahan masyarakat dan fikrah politik dunia zaman sekarang.


Melihat pembentang Syed Muhyiddin begitu petah dan lancar bercakap dalam bahasa Inggeris menyebut konsep-konsep falsafah tinggi baik daripada dunia Barat mahupun Islam tanpa memerlukan rujukan, sekali-sekala menyatakan ayat-ayat Al Quran yang berkenaan timbul rasa bangga sebagai seorang abang. Dahulu semasa menumpang di rumah bapanya tahun 2002-2005 beliau masih bersekolah, tahun 2016 ketika saya menganjurkan satu acara di rumah tersebut bapanya sengaja memanggil beliau untuk bercakap lalu kali pertama kali saya mendengar adik angkat ini mengutarakan gagasan fikiran yang dipelajarinya daripada Syed Naquib Al-Attas (rujuk HIKMAH Janda Baik di rumah Pak Habib 30-31 Januari 2016). Kini kedengaran beliau jauh lebih matang, berpengetahuan dan berkeyakinan.



Selepas beberapa lama duduk mendengar atas satu hamparan permaidani antara 2 rak buku kedai seorang diri (kelihatan hadirin lain semua duduk atas kerusi) baru tersedar bahagian bawah rak sebelah kanan dikhaskan bagi buku-buku Iqbal. Sedikit latar belakang pengetahuan saya tentang subjek atau tajuk pembentangan...

Kedua-dua Iqbal dan Nietzsche adalah pemikir besar dan ahli falsafah. Seorang mewakili dunia belah Timur dan Islam (Iqbal orang Pakistan), seorang mewakili dunia belah Barat yang sudah lama menolak kewujudan Tuhan (Nietzche adalah orang Jerman). Namun tidak adil untuk menyatakan semua orang Barat menolak Tuhan, terutama pada zaman itu. Ramai juga pemikir besar dan ahli falsafah mereka adalah penganut setia Kristian. Cuma konsep keTuhanan mereka berbeza dengan apa yang kita orang Islam percaya dan faham.

Buku-buku dan penulisan Nietzsche pernah saya baca dan hadam semasa mengaji dalam bidang Matematik pada peringkat sarjana muda di University College of London tahun 1991-1995. Buku-buku dan penulisan Iqbal saya langsung tak tahu dan tak pernah ambil tahu. Cuma pernah terdengar nama, kemudian menjadi selalu didengar apabila memulakan pengajian peringkat sarjana di ISTAC (Institut Antarbangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) September 1998. Dalam kalangan pelajar dan sarjana pemikiran Islam, Iqbal adalah salah satu nama besar selain nama-nama seperti Fazlur Rahman, al-Faruqi dan Naquib al-Attas. Mungkin saya sahaja yang masih bersekitar pada nama-nama zaman silam seperti Attar, Rumi dan Ibnul Arabi.


Kali ini saya harus mengambil tahu walaupun sedikit. Adapun Nietzche atau nama penuhnya Friedrich Wilhelm Nietzsche muncul 3 dekad lebih awal daripada Iqbal. Hidup 1844 hingga 1900 beliau telah mendapat pengiktirafan tinggi seawal umur 24 tahun apabila menjadi ilmuwan termuda menyandang Kursi Filologi Klasikal di University of Basel tahun 1869 (maklumat diperolehi daripada Internet). Beliau kemudian beralih ke dunia falsafah. Pemikirannya mempengaruhi banyak pihak sehingga ada polisi negara-negara Barat terbentuk akibat pemikiran itu.

Iqbal atau Allama Muhammad Iqbal pula hidup 1877 hingga 1938. Dilahirkan di Pakistan (ketika itu sebahagian daripada India di bawah pemerintahan British) beliau menerima pendidikan tinggi di Eropah, pernah menjadi peguam sebelum menjadi seorang ahli falsafah yang menulis dalam bentuk puisi. Tulisan-tulisan Nietzche termasuk antara yang mempengaruhi pemikiran Iqbal. Tetapi disebabkan masih setia pada ajaran Islam maka pemikiran beliau lebih terarah (sekurang-kurangnya daripada sudut pandang kita umat Islam) sehingga dikatakan wujudnya negara Islam Pakistan (sebagai entiti tersendiri yang terpisah daripada India) tahun 1947 adalah satu hasil fikir gagasan beliau.

Ketika sesi soal jawab saya adalah orang pertama bertanya kepada Syed Muhyiddin lalu menyatakan hal diri sampai lewat lalu terlepas banyak yang diperbincangkan. Maka itu saya bertanyakan soalan ini :-


Tajuk pembentangan adalah "Ide tentang Manusia" melibatkan Iqbal dan Nietzsche. Maka itu apakah persamaan antara mereka dalam hal ini (jika ada), apakah pula perbezaan (yang harus ada kerana sudah tahu latar belakang pemikiran mereka yang berlawanan)?


Jawaban tuntas yang diberikan oleh Syed Muhyiddin adalah kedua-keduanya mahu mencari kesempurnaan manusia atau mencari jalan bagi mencipta manusia sempurna. Yang berbeza adalah dalam melihat apakah makna manusia sempurna itu dan bagaimana untuk mencapainya. Disebabkan Nietzsche adalah seorang Ateis iaitu tidak percayakan Tuhan kesempurnaan cuma dapat dilihat dalam ruang lingkup pemahaman etika dan kemanusiaan (humanities) Barat disertai kekuatan dan kecekapan yang boleh dikaitkan dengan bidang ketenteraan misalnya. Syed Muhyiddin memberitahu satu contoh manusia sempurna yang pernah diberikan Nietzsche adalah gabungan kebolehan Goethe berkarya (merujuk pada penulis/seniman Jerman bernama Johann Wolfgang von Goethe yang hidup  1749 hingga 1832) dengan kecekapan ketenteraan Napolean (negarawan merangkap panglima tentera Perancis yang sangat terkenal, Napoléon Bonaparte, hidup 1769  hingga 1821). 

Teringat pula Nietzsche pernah menyebut tentang konsep Superman sebagai manusia hebat. Tetapi bukanlah Superman dalam filem dan kartun yang biasa kita lihat boleh terbang dan sangat kuat sehingga boleh memindah gunung itu. Superman Nietzche masih seorang manusia, cuma segala kebolehan yang dimilikinya, pemikiran, akal juga kesihatan tubuh badan telah dipertajamkan dan ditingkatkan sebaik mungkin  sehingga melangkaui kebolehan manusia biasa.

Iqbal sebagai seorang penganut Islam pula tentu melihat ideal manusia sempurna pada sosok tubuh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Beliau juga menerima konsep insan al-kamil iaitu manusia sempurna yang sering disebut dalam pengajian orang Sufi dan Tasawuf. Cuma beliau bersifat skeptik terhadap golongan Sufi di India pada zamannya. Ini kerana mereka dilihat tidak memainkan peranan dalam melawan penjajahan Barat mahupun membentuk pemikiran masyarakat. Mereka seperti mahu duduk dalam dunia sendiri sahaja, lari daripada menghadapi realiti zaman sedangkan para pejuang tuntas diperlukan untuk menghadapi cabaran sebenar di lapangan.

Saya sempat membaca sedikit puisi Iqbal yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris dalam sebuah buku. Difahamkan beliau selalu menulis dalam bahasa Urdu dan Parsi tetapi ada membuat terjemahan ke dalam bahasa Inggeris. Allah. Saya cuma dapat membaca sedikit sahaja kerana tidak sanggup meneruskannya. Ternyata ada rasa kerinduan terhadap Ilahi yang sangat mendalam seperti saya lihat pada puisi dan sajak-sajak Fariduddin Attar (hidup 1145-1221M) dalam kitab Mathnawi.

Walaupun setiap buku/kitab Tasawuf yang saya baca ada menyatakan rasa rindu terhadap Ilahi tetapi tidak semua menyatakan ia begitu syahdu. Saya takut dan rasa tergegar jiwa apabila membaca tulisan-tulisan sebegitu. Ini kerana terus timbul rasa mahu membuang dunia lalu keluar mengembara seorang diri tanpa mempedulikan apa-apa lagi. Walaupun hal sebegini sudah dilakukan lebih 3 kali dalam hidup (buang segalanya termasuk kerja dan rumah tangga lalu keluar mengembara lama tanpa arah tujuan jelas) saya masih takut mengalaminya. Ini kerana setiap kali 'menyelam' boleh jadi majzub macam orang gila. Bagaimana hendak menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab Bagaimana hendak menjaga keluarga atau menyiapkan tesis di ISTAC?

Oh. Artikel ini dimulakan dengan menyatakan sedikit perkembangan politik negara pada petang Jumaat lalu. Sukacita dimaklumkan bahawa Perdana Menteri terbaru merangkap ke-8 bagi Malaysia telah diisytiharkan pada petang Sabtu 29 Februari. Pemegang jawatan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengangkat sumpah semalam pagi Ahad 1 Mac. Tapi nak cakap episod berkenaan sudah selesai pun tak pasti lagi kerana dijangka akan ada cabaran dibuat dalam parlimen selewatnya seminggu lagi. Cukup.


Tiada ulasan: