Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, September 14, 2017

Isu ancaman terhadap tapak kerajaan lama Aceh di Kampung Pande - Satu gerak kebangkitan Islam di Alam Melayu akhir zaman?

Salam. Ada satu perkara besar yang mengujakan sedang berlaku di Aceh membuatkan saya terasa harus menulis artikel khas tentangnya...



Empat hari lepas, selepas tengah malam atau lebih tepat, pada jam 12.49 pagi Ahad 10 September 2017 saya telah membuat update di Facebook yang berbunyi seperti berikut. Saya sunting sedikit untuk paparan di sini :-


---------------------------



TENTANG TAPAK SEJARAH ACEH LAMA DI KAMPUNG PANDE MAHU DIJADIKAN TEMPAT PELUPUSAN/ PEMPROSESAN SAMPAH DAN AIR NAJIS – APA NAK JADI DUNIA NI?

Salam semua. Walaupun telah kembali aktif di Facebook sejak menyepi lebih 3 bulan saya tidaklah begitu aktif lagi seperti sebelum penyepian itu. Walaupun sejak 3 minggu lalu saya kembali berkongsi gerak dan rasa kepada umum ia tidaklah sekerap seperti dahulu. Ini disebabkan kadangkala terasa tidak berguna bersuara kerana rentak dunia tetap macam itu. Manusia secara rata lebih pentingkan duit, harta benda, pangkat dan nama berbanding untuk memperjuangkan sesuatu demi kedaulatan agama, bangsa dan negara tanpa mengharapkan sesuatu. Dan makin lama saya terasa makin bodoh tak tahu apa-apa.

Tetapi malam ini saya terasa wajib menyatakan sesuatu tentang satu isu yang diikuti sejak 2-3 minggu lalu namun setakat ini belum pernah menyatakan pendirian tentangnya di mana-mana. Saya mahu bercakap tentang perjuangan kawan-kawan di Aceh mahu menyelamatkan tapak sejarah tempat permulaan kerajaan awal Aceh di Kampung Pande, Banda Aceh yang kini diancam projek mahu mendirikan pusat pelupusan sampah dan pengolahan air najis. Biar hal seterusnya dinyatakan secara point form seperti berikut :-


1) Walaupun tidak pernah memberikan apa-apa maklum balas ataupun komen di mana-mana saya telah mengikuti perkembangan perkara ini buat beberapa lama. Saya dapat melihat kawan-kawan di Aceh begitu bersemangat memperjuangkan perkara sehingga berjaya mendapatkan liputan media daripada beberapa pihak

2) Pun begitu projek nampaknya tetap hendak diteruskan dan usaha kawan-kawan setakat ini tidak dapat menghalang. Kalau diteruskan juga situs atau tapak sejarah yang mengandungi banyak makam kerabat raja-raja Aceh lama juga makam para ulamak akan hilang malah menjadi tempat sampah dan najis bermaharajela.

3) Difahamkan projek tempat pelupusan/pemprosesan sampah ini adalah antara projek utama di bawah plan pembangunan Presiden Indonesia kini Pak Jokowi. Apakah tidak ada tempat lain boleh dijadikan situs projek? Kenapa mesti sampai menghilangkan satu tapak sejarah yang penting untuk jati diri dan martabat/maruah orang Aceh? Dilihat dalam konteks bahawa beberapa bulan lalu Jokowi pernah mengisytiharkan Barus sebagai titik pertama masuk Islam ke Indonesia sedangkan Aceh diketahui umum lebih layak mendapat pengiktirafan itu saya melihat ini sebagai satu usaha jahat untuk menjatuhkan martabat keIslaman Aceh.

4) Tetapi itu hal Jokowi, presiden daripada suku kaum Jawa yang diketahui sejak sekian lama seperti tidak menyenangi orang Aceh dan sejarah kegemilangan kerajaan Islamnya. Saya tidak hairan jika benar Jokowi membenarkan projek ini terus berlangsung untuk menjatuhkan martabat Aceh atau menghalang ia daripada mencapai kegemilangan kembali. Yang saya hairan kenapa para pemuka kerajaan di Aceh sendiri tidak kelihatan menghalangnya?

5) Dengan ini saya menyeru kawan-kawan di Aceh supaya mendapatkan komen atau maklum balas rasmi daripada para pemuka kerajaan. Apakah mereka menyokong atau menentang… atau tidak mahu campur tangan. Kalau menyokong tanyakan kenapa. Kalau menentang kenapa. Kalau tidak mahu campur tangan kenapa. Biar jelas pendirian.

6) Paling diharapkan adalah komen rasmi daripada Pak Irwandi yang kembali menjadi Gabenor Aceh sejak beberapa bulan lalu. Difahamkan Irwandi yang menjadi Gabenor pertama Aceh selepas Tsunami 2004 kemudian kalah dalam pilihan raya kedua gabenor dapat kembali memegang jawatan setelah meraih kepercayaan para ulamak juga para pejuang sejarah dan budaya Aceh. Namun sehingga kini saya tidak mendengar beliau berkata apa-apa atau menampakkan apa-apa usaha untuk menaikkan kembali sejarah kegemilangan Aceh.

7) Pengalaman sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris Malaysia, The New Straits Times 1996-2001 mengajar bagaimana hendak mendapatkan maklum balas rasmi. Kita boleh menghubungi terus pejabat gabenor. Kalau tak dapat cari sahaja mana-mana majlis terutama sidang media yang dihadiri gabenor dan tanyakan soalan di hadapan umum. Pastikan kita mendapat jawaban yang boleh dipertanggungjawabkan sambil disaksikan ramai pihak.

8) Dapatkan juga komen rasmi dan maklum balas daripada para ulamak terkemuka Aceh. Apakah mereka rela tapak sejarah Aceh sebegitu penting seperti di Kampung Pande dijadikan tempat pelupusan/pemprosesan sampai dan air najis? Seharusnya tidak. Tak tahu le kalau dah terhutang budi menerima duit untuk memajukan madrasah dan sebagainya lalu tidak berani menentang. Sama ada itu atau mereka memang tidak tahu hujung pangkal cerita lalu harus dimaklumkan tentang perkara. Apapun kita mesti mendapatkan pendirian yang jelas daripada mereka.

9) Daripada maklum-maklum balas ini insyaallah kita dapat merangka gerak kerja seterusnya demi menyelamatkan situs/tapak sambil diperhatikan dunia. Dan kita juga dapat mengenal siapakah yang bersama, siapakah yang menentang kerana memiliki kepentingan duniawi...


Isu ini boleh diikuti melalui laporan-laporan berita pada pautan-pautan berikut :-


Proyek Tinja di Makam Ulama Bahagian 1




Anda juga boleh masuk ke Youtube lalu membuat keyword search “Kampung Pande air limbah” untuk mendapatkan banyak lagi laporan. Sila sebarkan supaya lebih ramai sedar dan terlibat untuk sama-sama membantu menyelamatkan tapak sejarah yang sebenarnya bukan sahaja penting untuk Aceh tetapi penting juga untuk memartabatkan sejarah perkembangan dan kegemilangan Islam seluruh Alam Melayu/Nusantara.


Nota : Gambar pada update ini diambil beberapa hari sebelum saya pertama kali mengadakan acara HIKMAH di Aceh 29 Mac 2014. Seperti biasa apabila sampai di sana saya suka melawat tempat-tempat bersejarah lalu buat pertama kalinya dibawa melihat tapak penting itu. Lihat artikel  Tapak pusat kerajaan awal Aceh (Site of the centre of Aceh early kingdom) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tentang majlis lihat artikel Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014, dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Pada 19 Mac 2017 iaitu setengah tahun lalu saya mengadakan satu lagi acara di Aceh. Lihat Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017 . Masuk itu sudah 8 kali saya ke Aceh...





Pada update tersebut saya setakat meletakkan pautan-pautan untuk laporan-laporan berita yang boleh menerangkan isu dengan baik. Di sini biar diletakkan laporan-laporan tersebut yang muncul dalam media sana...






Walaupun terdapat laporan-laporan lain muncul dalam tempoh waktu yang sama berserta updates berkaitan dalam FB kawan-kawan dari Aceh saya rasa 3 laporan ini sudah cukup lengkap untuk menjelaskan perkara. Sekarang biar dikongsikan perkembangan selepas saya membuat update pagi buta Ahad itu...


 

OK. Saya pun tak tahu kenapa terasa perlu menyatakan pendirian juga menyatakan cadangan lewat malam merangkap pagi buta tersebut. Yang saya tahu, ketika menyatakan pendirian belum nampak lagi jalan penyelesaian yang baik. Yang kelihatan dan kedengaran cuma suara ramai meminta projek dihentikan tetapi seperti langsung tidak dipandang oleh pihak atasan. Kelihatannya satu perkara mengejut atau drastik harus dilakukan untuk memaksa projek agar dihentikan. 

Usaha harus melibatkan masyarakat antarabangsa di luar Aceh dan bagi mencapai tujuan tersebut saya mencadangkan agar kawan-kawan di sana menghantar wakil untuk menghadiri satu seminar arkeologi antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang 3-4 Oktober. Di sana boleh diketengahkan perkara untuk menyeru sokongan yang lebih besar selain membuka mata masyarakat dunia.



Sebetulnya sejak kembali daripada menganjurkan acara ke-20 HIKMAH di Aceh saya tidak mahu lagi terlibat dalam apa-apa isu sana selain tidak mahu bersuara dalam blogspot mahupun media sosial buat beberapa lama. Saya juga tidak mahu menganjurkan lagi apa-apa acara HIKMAH. Sebabnya sudah dijelaskan dalam artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? Antaranya adalah saya tidak mahu lagi mana-mana pihak menuduh saya berhajat terhadap takhta kerajaan Aceh. Tetapi malam itu saya tidak dapat menahan diri lagi daripada memperkatakan sesuatu tentang isu. Tengok-tengok beberapa jam selepas itu berlaku satu perhimpunan yang sangat bermakna di tapak sejarah tersebut.




Saya dapat tahu melalui FB kawan-kawan Aceh lalu memaparkan gambar-gambar daripada mereka di sini. Himpunan dihadiri oleh sejumlah pemuka masyarakat termasuk keturunan dan ahli keluarga besar Kesultanan Aceh juga keturunan raja-raja bawahan, raja-raja yang memegang suatu daerah, dipanggil sebagai ulebalang dalam sistem pemerintahan lama sana. Walaupun kesultanan sudah diruntuhkan oleh penjajah Belanda lebih 100 tahun lalu masih wujud ramai keturunan yang boleh memikul peranan mensejahterakan rakyat. Ada yang masih diiktiraf menurut adat walaupun tidak memiliki kedudukan mahupun kuasa daripada segi politik dan undang-undang.



Mereka telah berkumpul untuk menyatakan pendirian lalu mendesak agar projek pembinaan pusat pemprosesan/pelupusan sampah dan najis di Kampung Pande dihentikan lalu dialihkan ke tempat lain. Mereka juga menziarahi makam-makam lama yang tergusur atau dipindah paksa akibat projek. Projek ini katanya turut melibatkan sebuah kampung lain berdekatan iaitu Kampung Jawa. Tetapi untuk memudahkan bicara biar disebut nama Kampung Pande sahaja. Lagipun memang kebanyakan kesan sejarah terdapat di kampung yang namanya timbul kerana menjadi penempatan ramai orang pandai dalam bidang masing-masing seperti pertukangan logam dahulukala.



Satu memorandum yang ditujukan kepada pihak berkuasa pun ditandatangani pada perhimpunan.



Ini disertai usaha dan kempen pelbagai NGO Aceh menunjukkan satu kesatuan sayang warisan yang sangat luar biasa.



Esoknya Isnin 11 September berlaku pula pertemuan antara satu NGO yang dianggotai ramai anggota kaum kerabat Sultan terakhir Aceh, Sultan Muhammad Daud Syah (bertakhta 1874-1903) dengan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dalam perkara. Turut hadir adalah pihak kontraktor projek. Mereka mengaku sekadar mengikut arahan. Terpulanglah kepada pihak kerajaan termasuk Walikota (Datuk Bandar) untuk memutuskan perkara. 

Antara paling ke hadapan meminta projek dihentikan adalah cicit sultan yang bernama Tuanku Warul Waliddin. Beliau dan ayahandanya Tuanku Raja Yusuf ibni Tuanku Raja Ibrahim ibni Sultan Muhammad Daud pernah bersama menjayakan acara ke-20 HIKMAH. Lihat HIKMAH Aceh 2017 - Pembukaan pelbagai ragam dan perkongsian ilmu dari Malaysia



Hari seterusnya Selasa 12 September baru saya mendapat tahu tentang pertemuan melalui FB. Tuanku Warul memberitahu hasil daripada pertemuan dan perbincangan projek yang mengancam tapak kerajaan lama Aceh itu telah disepakati agar dihentikan. Lihat laporan berkenaan di sini.

Masyaallah bisik hati saya. Subhanallah, rasa bangga dan teruja yang tidak terhingga. Beginilah baru betul kerabat diraja dan waris kesultanan bisik hati saya. Pada kala jalan penyelesaian belum lagi nampak walaupun sudah semakin besar dan jelas sokongan mereka dapat membantu mendapatkan kata putus yang diperlukan.



Itupun ada kawan-kawan yang masih terasa risau kalau-kalau itu cuma cakap-cakap dalam pejabat yang tidak dapat disahkan orang di luar. Saya pun risau takut-takut dalam kata lain luar kata lain. Bila dah keluar laporan akhbar hari Rabu 13 September menyatakan ia sebagai keputusan rasmi kerajaan baru kami betul-betul rasa lega. Walaupun projek dapat dihentikan buat sementara, sudah nampak hasil yang besar daripada usaha tidak kenal penat lelah dan jemu kawan-kawan.





Semalam juga berlaku pertemuan para wakil NGO berserta para pemuka masyarakat termasuk golongan akademik dengan DPRA - Dewan Perwakilan Rakyat Aceh. Kini usaha bukan sahaja tertumpu untuk menghentikan atau lebih tepat, mengalihkan projek pemprosesan/pelupusan sampah dan najis ke tempat lain. Kesedaran telah diangkat akan betapa pentingnya untuk menyelamatkan lagi melestarikan tempat-tempat bersejarah bagi menguatkan jati diri orang Aceh. Muncul juga cadangan agar dibina lalu dihidupkan kembali tata cara lama pembangunan Banda Aceh sebelum Belanda datang menceroboh lalu mula mengubah segala-galanya tahun 1874  oleh mereka yang cukup pakar dalam bidang. Bukankah bumi Serambi Mekah ini pernah menjadi pusat pertemuan masyarakat antarabangsa daripada seluruh dunia sambil mempamerkan nilai-nilai keIslaman yang tinggi?



Allah. Teruja dan terharu sungguh saya mendengar perkembangan positif ini. Saya merasakan telah timbul satu hikmah yang sangat besar daripada apa yang berlaku. Teringat betapa dahulu saya sering mengingatkan kawan-kawan di Aceh. Negeri kamu itu 99.9 % Islam. Kamu menerima royalti petroleum bernilai berbillion Ringgit Malaysia setiap tahun. Olahlah Aceh sebaik mungkin menurut acuan dan contoh yang sudah ditunjukkan oleh nenek moyang melalui tinggalan sejarah mereka. Jangan jadi macam Malaysia yang penduduk Melayu Islamnya tinggal sekitar 50%. Nak angkat undang-undang syariah pun dah susah disebabkan pembantahan orang bukan Islam dalam Parlimen. 

Tempat-tempat sejarah pun lebih diangkat yang peninggalan penjajah seperti pintu gerbang A Famosa buatan Portugis di Melaka dan kota Fort Cornwallis buatan Inggeris di Pulau Pinang. Aceh pernah menjadi tempat seluruh umat Islam di Alam Melayu/Nusantara menggantungkan harapan dalam menangangi cabaran akhir zaman. Bangkitlah Aceh memainkan peranan yang ia patut galas kembali sejak sekian lama. Seperti kata isteri saya apabila mendengar perkembangan positif ini - Sungguh Aceh menjadi kunci. Sesuailah dengan tema yang kami tetapkan untuk acara ke-20 HIKMAH di sana dahulu - "Hikmah Aceh 2017 : Kunci Kebangkitan Islam Akhir Zaman".


Tiada ulasan: