Selain tumpang membuang air, saya juga mahu bersolat Tahiyatul Masjid seraya berdoa kepada Allah Ta'ala meminta agar perjalanan dimudahkan. Saya tahu di sekitar inilah perjalanan paling mencabar dan saya tidak mahu timbul apa-apa halangan. Jika anda merasakan perjalanan ke makam Sultan Tajul Ariffin di Pulau Semat (lihat Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Makam keramat di Pulau Semat...) sudah cukup adventure, tunggu sehingga anda dapat menjiwai perjalanan seterusnya...
Mula-mula kami menziarahi makam Raja Ahmad yang terletak cuma 600 meter gitu dari jalan besar. Dari segi cabaran ini belum apa-apa. Lihat artikel Makam (Tomb of) Raja Ahmad di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Seterusnya kami ke makam Sultan Mahmud Shah. Lihat Makam Sultan ke 16 Perak (Tomb of the 16th Sultan of Perak). Jalan kecil yang berlubang sudah mula menunjukkan cabaran...
Jalan menjadi semakin sukar selepas itu. Lihat sahaja laluan yang menunjukkan pernah ada jalan tetapi telah runtuh masuk ke dalam sungai. Jika tadipun jalan sudah teruk berlubang-lubang, dari sini kenderaan besar memang langsung tak boleh lepas. Saya terpaksa meninggalkan anak dan isteri di dalam kereta sebelum menumpang motosikal seorang penduduk tempatan.
Oh. Penduduk tempatan ini sebenarnya ditemui berdekatan makam Raja Ahmad. Dari mulutnya baru saya tahu makam tanda itu kini dijaga dengan baik oleh Raja di Hilir Perak, Raja Jaafar. Nasib baik dia sudi menolong apabila saya memberitahu mahu menziarahi makam-makam Sultan di sekitar Pulau Besar. Saya tahu keadaan jalan yang begitu teruk. Ini yang menyebabkan saya setakat itu cuma dapat menziarahi makam 2 orang Sultan, tidak pernah menziarahi 3 lagi yang terletak di kawasan paling ceruk.
Seterusnya kami melalui makam Sultan Abdul Malik Mansur, Sultan ke 19. Lihat Makam (tomb of) Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Makam ini telah beberapa kali saya sampai malah boleh kata makam yang wajib diziarahi apabila berada di sini.
Kalau dah lalu sini tak sah juga jika tak menjenguk masjid lama tinggal ini. Lihat artikel Latest visit to the old abandoned mosque at Teluk Memali (or is it just Bandar Baharu)? di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Gambarnya pernah digunakan untuk menghiasi buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007). Kali pertama sampai ke sini 4 tahun lalu, saya terserempak masjid, kemudian makam Sultan Abdul Malik kemudian baru kubur Birch.
Dengan kuasa Allah sampailah kami ke makam pertama di sebelah selatan. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini.
Inilah makam Sultan ke 17 Perak, Sultan Alauddin Mansur Iskandar Muda yang telah lebih 2 bulan ingin dijejaki. Sejak mendapat tahu baginda memiliki satu identiti lain yang sangat rapat dengan keluarga saya sering berkira-kira hendak ke sini. Peliknya, saya mendapat ilham dan gerak rasa tentang identiti yang dimaksudkan sejurus setelah melawati sebuah makam lama di Kuala Selangor. Saya tergerak untuk menulis artikel bertajuk Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak? Januari 11 dan semasa menulis itulah terbetik akan identiti lain Sultan tersebut.
Beberapa hari kemudian timbul ilham dan petunjuk baru sehingga tergerak untuk menulis artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... diikuti Teknik penggelapan salasilah... Februari 22. Kebetulan hari Jumaat itu Februari 26 bersamaan 12 Rabiulawal, hari Maulud Nabi atau Maulidur Rasul. Saya pun bercadang untuk ke Perak menziarahi makam Sultan Alauddin Mansur Iskandar Muda buat kali pertama seumur hidup saya. Namun sebaik sahaja selesai menulis 2 artikel tersebut saya mendapat panggilan telefon. Seorang kenalan menjemput kami sekeluarga untuk menyambut Maulidur Rasul di Perlak, Aceh. Perkara ini telah diceritakan dalam artikel Maulidur Rasul di Aceh : Dari Perak bertukar ke Perlak.... Siapa sangka sebulan setengah kemudian baru saya dapat menjejakkan kaki ke makam Sultan Alauddin Mansur Iskandar Muda?
Perjalanan yang dilalui serupa dengan apa yang dibuat bersama rakan-rakan ketika membuat rakaman video untuk DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" penghujung 2008.
Saya tahu sudah berada di Kampung Bandar, satu tempat yang 2 tahun lalu ingin dilawati tetapi tidak pernah pergi kerana tersilap menjangkakan sebuah kampung lain sebagai kampung ini. Lihat catatan yang tertulis pada artikel Masjid (Mosque of) Muhammediah, Kampung Ayer Mati. Saya tahu di Kampung Bandar ini terletak sebuah masjid lama dengan makam seorang ulamak besar. Tetapi saya tidak dapat melihat ia atau cara menuju ke arahnya dari tepian jalan. Maka itu setelah mencari-cari lagi sehingga melepasi sekolah, saya mengambil satu simpang kanan menuju ke satu kelompok dua atau tiga buah rumah di tepian Sungai Perak...
Alhamdulillah, di salah sebuah rumah kami bertemu dengan seorang pakcik yang nampak begitu faham akan niat kami menziarahi makam-makam lama. Beliau pun membawa kami ke masjid dan makam. Rupa-rupanya kami perlu masuk ke satu simpang lain berdekatan sekolah. Lihat Masjid Bandar dan makam Sheikh Muhammad Taib (The Bandar mosque and tomb of Sheikh Muhammad Taib).
Alhamdulillah juga pakcik ini tahu kedudukan makam 2 orang Sultan di seberang. Memang pun ia lebih senang dicapai melalui jalan air dari Kampung Bandar. Apapun kami perlu mendapatkan bot sedangkan pakcik ini cuma memiliki sebuah sampan kecil. Nasib baik ada anak saudara di sebuah kampung berdekatan, dapatlah kami menumpang kenderaan miliknya untuk sampai ke makam-makam. Lihat klip-klip video berikut...
Oh! Saya ingin mengambil peluang ini untuk menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada Almarhum Habib Ali Batu Pahat yang baru sahaja kembali ke Rahmatullah petang tadi, begitu juga kepada Allahyarham Ustaz Ashaari bekas pemimpin Arqam yang meninggal dunia siang lebih awal. Walaupun amat sederhana orangnya dan sering menolak permintaan untuk memimpin, Almarhum Habib Ali memang seorang yang amat dihormati sehingga dikunjungi para pencinta Ahlul Bait dari Afrika juga Tanah Arab.
Tentang Ustaz Ashaari pula saya menghormati perjuangan beliau memartabatkan Islam sehingga dapat membina rangkaian ekonomi sendiri yang mampu menggugat rangkaian perniagaan kuffar. Namun itu bukanlah tiket untuk menyatakan seseorang itu bertaraf wali apalagi Pemuda Bani Tamim. Kalau nak ikutkan, daya kepimpinan Ustaz Ashaari yang sering diwar-warkan sebagai ajaib oleh orang tertentu cuma 'seco'et' sahaja berbanding sesetengah orang. Banyak lagi orang yang pencapaiannya lebih dasyat baik dari segi kepimpinan mahupun kewangan dengan latar-belakang agama yang mantap berserta pengikut di seantero dunia...
Mereka yang berbangga dengan pencapaian Ustaz harus melihat, kalau dengan rangkaian yang dibinanya itupun ada yang merasakan beliau begitu tinggi, apalah sangat pencapaian itu berbanding menjadi Perdana Menteri Malaysia atau Presiden Amerika. Kita mungkin senang mengutuk PM atau Presiden sebagai orang yang angkuh dibuai harta, pangkat dan kuasa tetapi apakah kedudukan kita sendiri jika merasakan diri kita besar dan tinggi apabila mendapat pengikut beribu-ribu, belum lagi berjuta? Dalam konteks ini saya merasakan pemergian Ustaz Ashaari merupakan satu rahmah. Ternyatalah sungguh beliau bukan Pemuda Bani Tamim yang dicari, dapatlah kita semua keluar dari terus dibuai mimpi...
Oh, untuk pengetahuan walaupun pada bawah dinyatakan artikel ini ditulis pada jam 7.19 petang itu cuma waktu permulaan membuka ruang untuk menulis. Hakikatnya, selepas itu saya masih perlu menyiapkan beberapa artikel sokongan di blogspots lain. Lalu artikel ini cuma benar-benar dapat dimulakan selepas jam 9 malam, siap selepas jam 3 pagi! Selamat pagi Jumaat...
7 ulasan:
Ptg tadi saya dan family tiba2 terdetik nk melawat makam2 lama yg ada di kg teluk memali... kami ikut jalan dri kg tersusun teluk memali.. tp cuma jumpa mkm yg terletak x jauh dr surau lama tu dan perkuburan brich je.. memandangkan hari dah lewat petang kami memilih utk balik... hmpr 20 minit kami cari jln kluar... jln dlm tu mmg trk..
Alhamdulillah. Tak sangka jumpa insan yg mampu provide info yg sangat detail dan kemas seperti ini. Shukur
Salam. Encik pernah pergi Pulau Indera Sakti. Nak tahu keadaan dan suasana di sana macam mana.
Wassalam. Kawasannya terpencil dekat kuala Sungai Kinta masuk ke Sungai Perak. Sekeliling ada kebun dan belukar. Lihat artikel ini...
https://merahsilu.blogspot.com/2010/10/menyelesaikan-bab-perak-akhirnya-sampai.html
Alhamdulillah. Makam Sultan Ahmad Shah Wali Allah Pulau Besar dijaga oleh Opah saya Idah Kulop Resad suaminya Yeop Mohd Rashid Anjang Leman Atuk saya, Pekedai Runcit dan Pembeli Getah di depan Masjid Pulau Besar j3 kiri sikit dari masjid. Opah Idah dikenali dengan Gelaran Pawqng Biru di Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar.
Alhamdulillah. Makam Sultan Ahmad Shah Wali Allah Pulau Besar dijaga oleh Opah saya Idah Kulop Resad suaminya Yeop Mohd Rashid Anjang Leman Atuk saya, Pekedai Runcit dan Pembeli Getah di depan Masjid Pulau Besar j3 kiri sikit dari masjid. Opah Idah dikenali dengan Gelaran Pawqng Biru di Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar.
Teruskan usaha.
Catat Ulasan