Ahad hari ke 9 bulan Ramadhan, sampailah masanya untuk meninggalkan Kuala Terengganu. Sebelum itu kami harus menyelesaikan beberapa 'bil tertunggak'... bermula dengan lawatan ke Masjid Abidin atau Masjid Putih yang terletak cuma 300 meter sahaja dari hotel tempat kami menginap...
Selepas itu kami ke Pulau Wan Man lagi dengan niat untuk terus menuju ke Taman Tamadun Islam...
Sebenarnya sejak sampai ke Kuala Terengganu petang Jumaat, saya menunggu sahaja hari yang sesuai untuk membawa anak-anak ke sini. Maklumlah semenjak dua menjak itu cuaca sebenarnya asyik hujan diselang-seli hari yang teramat panas sedangkan taman ini cuma buka siang hari.
Pagi Ahad itu pula cuaca kelihatan mendung, mungkin lebih sesuai untuk berjalan-jalan di taman yang memaparkan replika sekitar 20 masjid utama dari seluruh dunia ini. Rupa-rupanya untuk bulan Ramadhan ia beroperasi separuh hari... kenalah tunggu jam 3 petang baru ia mula dibuka untuk orang-ramai...
Dalam pada itu terlihat rumah-rumah banglo berdekatan untuk disewa pengunjung yang mampu...
Lihat... nampak tak sesuatu yang agak pelik?
Lihat lebih dekat. Bentuk ukiran yang saya suka panggil sebagai lidah tergantung atau menjulur keluar dari hujung setiap bumbung ini biasanya cuma terdapat di sekitar Perak, sedikit di kawasan tepian pantai Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Yang pasti, ia bukan bentuk biasa di Terengganu, sekurang-kurangnya bukan untuk zaman ini. Jadi mengapakah ia dibina balik di sini, di rumah-rumah banglo mewah untuk penginapan pelawat ke Pulau Wan Man?
Banglo-banglo ini menghadap Masjid Kristal juga Taman Tamadun Islam yang menjadi lambang negeri Terengganu dalam mengejar kemajuan di alaf baru. Apakah bentuk ukiran unik yang ada sengaja dipadukan sebagai lambang keterkaitan Terengganu dengan Aceh purba/ kerajaan gemilang Samudera dan Pasai suatu masa dahulu? Satu lambang yang tersembunyi di sebalik penulisan Batu Bersurat Terengganu yang dikatakan dibuat pada tahun 1303 Masihi?
Apapun, masih ada banyak masa sebelum taman ini dibuka. Kami pun berjalan-jalan ke tempat lain dahulu, keluar balik hingga ke Chabang Tiga lalu melawat Masjid Hiliran...
Rupa-rupanya ini aturan Allah jua. Dalam hati saya ada rasa tidak lengkap jika tidak menziarahi masjid juga makam yang terdapat di hadapan sedangkan awal tadi saya memikirkan mungkin tidak dapat singgah jika jadual perjalanan menjadi ketat akibat perlu berkejar lebih jauh petang nanti, sekurang-kurangnya hingga ke Kuala Besut...
Jika awalnya saya merancang mahu sampai ke Kuala Besut yang terletak lebih 100 km ke utara sejurus selepas waktu Zuhur, sekarang saya harus membiarkan dan mengikut sahaja apa yang berlaku. Lalu sekali lagi kami pergi ke kawasan perkuburan Tokku Paloh...
Dan kali ini saya membawa anak dan isteri hingga ke hadapan makam sekali...
Jadual perjalanan yang berubah juga memungkinkan kami untuk singgah di surau lama tidak jauh di satu sisi tanah perkuburan...
Untuk makluman, di sinilah surau tempat Tok Ku Paloh yang hidup 100 tahun lalu pertama kali bertemu Nabi Khidir. Jika selama ini saya cuma lalu sahaja di sini, kali ini saya dapat membawa anak isteri masuk bersama malah turut solat berjemaah jamak Zuhur dan Asar. Maklumlah dalam perjalanan-perjalanan yang lalu, kelihatan surau kecil ini tidak terjaga dan asyik tertutup selalu. Mungkin berkat kami datang satu keluarga, jalan pun dibuka?
Kami juga pergi ke Masjid Tokku Paloh lagi. Nampaknya jadual perjalanan spontan yang diatur Tuhan lebih lengkap. Peluh-peluh akibat berjalan siang hingga lepas Zuhur sangat sesuai dilampiaskan dengan mandi air telaga di sini yang dipunggah keluar dengan timba tembaga yang ada... sedangkan sejak malam tadi anak-anak ada menyimpan hajat untuk mandi di sini, begitu juga saya sendiri!
Kami juga dapat meluangkan masa untuk pergi ke muzium negeri yang terletak dalam perjalanan kembali ke Pulau Wan Man...
Di sini anak-anak sempat bergaya di hadapan Batu Bersurat Terengganu yang asli, diangkut dari tapak ia ditemui di Kuala Berang... sedangkan yang terdapat di tapak kini cuma replikanya sahaja. Lihat balik artikel
Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Tasik Kenyir, Kuala Berang dan Pulau Manis. Sejurus selepas itu saya ditegur pengawal keselamatan yang meminta agar kamera diletakkan ke dalam
locker di luar pintu masuk muzium... bersambung selepas ini...
2 ulasan:
untung la dpt ambik gambar kt dlm muzium ni..dulu saya & kawan acah2 je ambik gambar (takde kamera pun)diikut oleh security sampai la kami keluar...
alhamdulillah. saya juga diberi kesempatan untuk masuk ke surau lama tok ku paloh yg berkhalwat hingga selalu beliau jumpa nabi khidir.
.
Catat Ulasan