OK. Hari ini Jumaat sudah 5 hari saya dan keluarga kembali dari perjalanan 12 hari di sekitar Medan hingga ke Banda Aceh. Adapun sedikit pengenalan atau mukadimah telah diberikan dalam artikel
Akan datang - Jejak "Berpetualang ke Aceh" yang dibuat hari Selasa. Maka sekarang kita terus masuk ceritanya ya. Mari! :]
Tengahari Rabu 2 November 2011. Setelah bermalam di rumah abang sulung kepada isteri, Abang Ma'ad kami keluar makan di kedai berdekatan.
Adapun rumah Abang Ma'ad terletak tidak sampai setengah jam perjalanan ke LCCT atau lapangan terbang tambang murah. Dia pun menghantar kami ke sana.
Tu dia. Bersiap sedia untuk pergi... dengan 2 beg sandang besar dan 1 beg kecil. Kiranya segala barangan yang perlu untuk merantau 12 hari berserta keperluan anak kecil termasuk 1 pek besar
pampers juga pek besar susu.
Perjalanan ini sebenarnya telah dirancang dan tiket kapal terbang ditempah seawal bulan Februari! Ketika itu isteri terlihat tawaran tiket murah akhir tahun di
website Air Asia untuk ke Banda Aceh lalu memberitahu saya. Saya pula teringat satu impian untuk mengulangi kembali tempat-tempat yang pernah diziarahi ketika cuba memasuki Aceh melalui Medan, ketika bumi Serambi Mekah itu masih darurat, dalam perjalanan yang dibuat Januari 2004, perjalanan yang kemudian menjadi asas penceritaan dalam siri novel trilogi "Berpetualang ke Aceh". Apabila disemak
website ternyata tawaran sama ada dibuat untuk penerbangan ke Medan, pada tarikh-tarikh tertentu. Itu yang membuat kami memilih untuk mendapatkan penerbangan ke Medan 2 November, kembali pula nanti dari Aceh 13 November.
Namun hari itu hujan sangat lebat. Teringat nasihat beberapa orang yang mencadangkan agar melupakan sahaja perjalanan ke Sumatera ketika ini. Kata mereka takut cuaca tidak elok seperti yang melanda Thailand sehingga bah merata. Ada pula yang takut berlaku gempa bumi dan tsunami lagi selain bimbangkan sentimen negatif rakyat Indonesia terhadap orang Malaysia.
Kami bertawakal sahaja kepada Allah. Niat kami seperi biasa... selain melihat tempat orang kami mahu menziarahi makam-makam watak-watak lama seperti para wali dan raja yang berperanan besar memayungi Islam di Nusantara. Allah jua yang menjaga keselamatan kami. Kalau nak ikut tenaga kudrat dan kebolehan sendiri sejauh mana saya mampu memastikan keselamatan kami sekeluarga apalagi apabila membawa anak kecil berumur 2 tahun yang agak
hyper active dan isteri yang sedang sarat mengandung 6 bulan?
Hujan lebat menyebabkan kami dapat menaiki pesawat lebih setengah jam dari yang dijadualkan. Apabila menaiki pesawat pula kami terpaksa menunggu lama sebelum berlepas akibat cuaca yang tidak menentu.
Alhamdulillah kami sampai juga ke Medan.
Kami sampai lewat lebih 1 jam dari yang dijadualkan. Namun ini menerbitkan hikmahnya yang tersendiri.
Adapun perjalanan kami dibuat tanpa bantuan pihak lain seperti
travel agent dan sebagainya. Selain tiket kapal terbang, tiada apa-apa tempahan dibuat baik untuk penginapan mahupun pengangkutan. Ikutlah macamana yang patut nanti... janji akan melalui tempat-tempat seperti disebut dalam buku "Berpetualang ke Aceh" dan sampai ke Banda Aceh sebelum 13 haribulan.
Rancangan awal saya adalah mahu menginap 3 malam di Medan sebelum bergerak utara ke Aceh. Kemudian isteri mencadangkan, apa kata pergi ke Danau Toba? Sambil itu saya harus memikirkan bahawa Ahad 6 November adalah bersamaan 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Haji. Kalau nak kejar beraya di Aceh rasanya kami akan terlalu tergesa-gesa.
Lalu saya membuat keputusan begini. Biar kita ke Danau Toba dahulu kemudian baru ke Medan lalu berhari raya di sana.
Cuma saya masih menduga-duga apakah perlu bermalam dahulu di Medan sebelum ke Danau Toba? Kalau ke Danau Toba pula apakah mahu ke Berastagi dahulu atau terus ikut jalan utama ke Parapat? Adapun kalau melalui Berastagi ia melawan arah jam kerana tetap mesti ke Parapat. Kalau lalu jalan utama pula arahnya mengikut putaran jam.
Adapun perjalanan Medan terus ke Parapat memakan masa tidak kurang 4 jam. Kalau ke Berastagi pula cuma 2 jam tetapi masih jauh hendak ke Parapat. Penerbangan yang tergendala 1 jam memudahkan keputusan kerana kami sampai lepas jam 3 waktu tempatan, selepas selesai segala urusan dah hampir jam 4 sedangkan di sana masuk senja dan waktu Maghrib jam 6:15 petang. Sambil diasak-asak para pemandu teksi dan kereta sewa yang mencari penumpang saya pun merundingkan harga. Lalu membuat keputusan untuk ke Berastagi kerana dijangkakan boleh sampai sebelum malam. Itulah perjalanan yang dilihat dalam beberapa gambar di atas...
Perjalanan ini menaiki kawasan pergunungan Bukit Barisan iaitu banjaran gunung utama di Sumatera. Singgah bersolat di Sibolangit, satu tempat tinggi di mana air mineral dari jenama Aqua diambil! Lihat artikel
Masjid (Mosque of) Al-Kamal, Sibolangit di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Atas sedikit kami berhenti di satu tempat lereng gunung.
Di sini, kami boleh melihat bawah ke Sibolangit...
Bangunan-bangunan yang kelihatan seperti titik-titik di bawah, itulah sebahagian dari bandar Sibolangit.
Berastagi terletak lebih ke atas. Kami sampai selepas masuk Maghrib.
Terletak pada ketinggian 4,500 kaki dari paras laut atau lebih suasananya lebih kurang seperti berada di Bukit Fraser, Malaysia. Ini adalah isteri saya dan anak kecil kami Al-Rasyid, selepas selesai mandi dan bersiap-siap, selepas mendapat tempat penginapan berdekatan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan