Subhanallah! Setelah menghabiskan sedikit masa membaca postings saya sendiri di sini yang merupakan bahagian-bahagian daripada sebuah artikel bertajuk "Susah payah satu perjuangan" yang ditulis lebih 4 tahun lalu, maklumlah dah lama tidak melihatnya, saya rasa eloklah artikel berikutnya juga dipaparkan sama... Sekurang-kurangnya untuk melepaskan sedikit frustration di dada kerana artikel-artikel ini sebenarnya ditulis sebagai usaha untuk memulakan sebuah buku tahun 2002 tetapi akhirnya terbengkalai jua.
Sepertimana postings sebelum ini, artikel ini pun saya akan pecahkan kepada 3 bahagian... Di sini terimalah bahagian pertama... Sat lagi saya sambung lagi yang lain ya! Sila! :]
AGENDA YAHUDI DAN MEDIA
April 11 2002
Malam semakin lanjut menghampiri Subuh. Walaupun agak letih akibat sehari suntuk berkejar ke merata Lembah Klang demi menyelesaikan beberapa hal yang sudah lama tertunda, saya masih tidak dapat melelapkan mata. Lebih sejam saya terbaring dalam gelap dengan harapan akan jatuh lena tapi masih tak berjaya. Selalunya dalam keadaan ini, saya akan membaca majalah-majalah ringan supaya senang mengantuk tetapi saya telah berazam tidak mahu mempedulikan lagi majalah-majalah ini yang banyak dihiasi gambar perempuan-perempuan seksi. Nak baca buku pulak, koleksi saya agak berat isinya. Silap-silap saya boleh terjaga sampai pagi kerana fikiran yang memang senang hyper-active bila dicucuk dengan idea-idea dan pendapat yang mencabar. Akhirnya saya buat keputusan untuk pergi ke ruang tamu dan bermain game di komputer laptop.
Entah macam-mana, lepas dua round main "Minesweeper" saya terus tergerak untuk menyambung isi buku ini. Lagipun, sudah dua minggu saya tidak menulis kerana urusan lain. Oleh itu saya rasa wajar memulakan bab baru dengan perkembangan terkini berkaitan rancangan Zionis untuk menakluki dunia lebih-lebih lagi regim Yahudi di bawah perdana menteri Ariel Sharon telah menceroboh segenap bumi Palestin hampir dua minggu yang lalu. Untuk itu saya perlukan bahan rujukan semasa.
Sayangnya, suratkhabar New Straits Times yang saya beli awal pagi tadi rupanya tertinggal di rumah mertua. Mungkin saya boleh menunda penulisan ke hari esok tapi belum tentu rasa dan ilham yang sama akan tercetus jika saya menunggu lagi. Jadi saya mesti menulis malam ini juga. Bukan senang nak dapat gerak hati untuk membolehkan penulisan buku ini berjalan. Lainlah kalau tulis artikel suratkhabar. Pakai formula dan standard format pun jadi kerana kita tak perlu bersusah-payah sangat mencari gaya yang sesuai untuk menterjemahkan idea dan gerak perasaan di hati. Tapi nak buat macam-mana, mana nak cari suratkhabar malam-malam buta.
Nasib baik saya teringat restoran nasi kandar 24 jam yang tak jauh dari tempat tinggal saya. Di sana memang ada suratkhabar untuk tatapan pelanggan. Saya pula boleh dikira "regular costumer". Mungkin saya boleh mintak senaskah suratkhabar atau salah satu ceraiannya untuk di bawa balik ke rumah.
Dengan memakai pakaian tidur sahaja iaitu sehelai kain pelekat dan t-shirt buruk, ditambah dengan jaket untuk menahan hawa malam, saya pun melangkah ke sana. Tak perlu naik kenderaan kerana restoran tu cuma 300 meter dari rumah. Banyak juga idea penulisan yang terbit sepanjang perjalanan. Agaknya Tuhan tak kasi saya tidur lagi malam ni kerana nak bagi sedikit ilham supaya boleh menyambung buku ini. Cuma gaya bahasa dan jalan cerita sahaja yang masih samar.
Sampai di restoran, saya terus bergegas ke sebelah kaunter bayaran di mana surat-surat khabar selalu diletak. Seperti biasa, ada The Star dan Utusan Malaysia. Tetapi kali ini saya terus pilih Utusan tanpa merujuk langsung pada Star kerana buku ini di tulis dalam bahasa Melayu. Setelah memesan segelas teh halia tarik, saya pun terus membuka bahagian berita luar negara dan meneliti tajuk-tajuk utama.
"Israel didesak undur elak konflik merebak", tajuk terbesar berita luar negara Utusan untuk hari Khamis 11 April 2002 seperti menjerit meminta perhatian. Para pemimpin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia dilaporkan telah mengeluarkan kenyataaan bersama pada hari sebelumnya di Madrid, Sepanyol mendesak Israel berundur dari wilayah Palestin setelah lebih seminggu bermaharaja-lela di hampir segenap penjuru bumi yang pernah menjadi negara Arab berdaulat itu.
Pada saya berita ini tidak lebih daripada cakap-cakap melepaskan batuk di tangga. Pengalaman sebagai wartawan di New Straits Times selama lima tahun telah mengajar betapa kerapnya pemimpin-pemimpin mengeluarkan kenyataan semata-mata untuk memenuhi ruangan semasa, samada atas desakan wartawan yang ingin mencari cerita terbaru atau desakan ramai. Memangpun ramai pihak telah meminta Israel berundur dari bumi Palestin tapi siapa yang pernah berjaya mendesak Yahudi berbuat begitu?
Seperti yang kita tahu, cadangan sebegini telah lama diutarakan di forum-forum antarabangsa seperti PBB tapi akhirnya jadi tak lebih dari cakap-cakap kedai kopi. Macam-mana nak suruh Yahudi ikut cakap jika polis dunia Amerika Syarikat masih melindungi mereka. Undi beratus negara lain dalam PBB senang-senang saja diveto oleh kuasa besar itu. Seperti yang kita tahu, anggota-anggota tetap majlis keselamatan PBB seperti Amerika Syarikat, Britain dan Peranchis boleh menolak apa-apa cadangan pihak lain tak kiralah berapa ramai pun penyokongnya dengan kuasa veto tanpa perlu memberikan sebarang alasan pun. Inilah hasil salah satu perancangan jauh pihak Yahudi untuk memastikan kepentingan mereka sentiasa disokong kuasa-kuasa besar yang sebenarnya telah dikuasai mereka di sebalik tabir sejak lebih seratus tahun dahulu. Negara-negara ini juga pernah didalangi pihak Zionis melalui perancangan mereka yang mencetuskan Perang Dunia Kedua. Hasilnya, Amerika Syarikat, Britain, Peranchis dan Russia yang mengalahkan pakatan Jerman, Itali dan Jepun telah berkuasa penuh ke atas PBB yang ditubuhkan tidak lama kemudian dan salah satu natijahnya ialah penubuhan negara Israel di atas negara berdaulat Palestin tanpa dapat dihalang pihak lain.
Mungkin Russia sahaja yang berani menentang pendirian kuasa-kuasa besar lain kerana perdana menteri mereka sekarang Vladimir Putin yang agak nasionalis memang tidak suka tekanan luar. Tapi apa boleh buat, negara besar yang pernah mengimbangi kuasa Amerika Syarikat semasa era perang dingin itu sekarang kurang bermaya akibat permainan Yahudi yang berjaya memecah-belahkan Soviet Union di zaman perdana menteri Gorbachev atas nama perestroika, satu dasar liberasasi kononnya supaya gergasi besar ini akan mendapat menafaat dari sistem ekonomi kapitalis setelah lama mengamalkan sistem sosialis dan komunis. Tapi kesannya menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan harian naik mendadak disamping kesan-kesan ekonomi lain yang membebankan rakyat menyebabkan Soviet Union melutut menagih pertolongan ekonomi Amerika Syarikat. Akhirnya beberapa wilayahnya berpecah menjadi negara-negara bebas menyebabkan tanah jajahannya mengecut atas nama Russia.
Satu laporan lain pula mengatakan orang buruan Amerika Syarikat, bekas jutawan Arab Saudi Osama bin Laden yang mengetuai kumpulan militan Al-Qaedah dituduh mendalangi serangan September 11 masih hidup. Ya lah tu. Afghanistan dulu diserang hebat dan kerajaan Taliban yang memerintah langsung digulingkan atas alasan Amerika Syarikat dan sekutunya mesti memburu Osama dan kumpulannya yang dikatakan berlindung di sana. Agaknya tak lama lagi akan keluar berita Osama sedang berlindung di Iraq pula. Boleh la serang Iraq dan jatuhkan kerajaan Saddam Hussein yang menjadi duri dalam daging bagi Israel.
Sebuah laporan lagi mengatakan ketua rundingan Palestin Saeb Arakat menuduh Israel membunuh 500 penduduk Palestin dalam serangan-serangannya di Tebing Barat. Macamlah kuasa-kuasa besar ambil peduli. Sementara itu, pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin, Yasser Arafat dikepung tentera Israel di ibu pejabatnya sejak 29 Mac. Apa boleh buat. Lagipun Arafat sebenarnya tak lebih dari boneka Amerika dan Yahudi dalam permainan mereka di bumi Palestin. Kalau tak percaya tanya Pak Habib.
Kerajaan-kerajaan Arab pula dituduh mengkhianati Palestin. Mengikut satu laporan yang difailkan di Kaherah kumpulan-kumpulan militan Islam dari lebih sepuluh negara mengishtiharkan jihad kini menjadi tugas keagamaan kepada semua umat Islam sambil menuduh kerajaan-kerajaan Arab mengkhianati Palestin.
Mereka yang tidak memahami dunia kewartawanan mungkin cenderung untuk menelan bulat-bulat berita-berita ini tapi sesiapa yang membuka mata hati dan faham keadaan semasa boleh sedar ada agenda di sebalik cerita. Kalau anda perhatikan betul-betul, laporan-laporan ini diakhiri dengan nama-nama seperti AP, AFP atau Reuters. Tahukah anda apa makna nama-nama ini? Inilah nama-nama agensi berita antarabangsa yang berpengkalan di luar negara. Disebabkan akhbar-akhbar tempatan tidak cukup besar dan kuat untuk menempatkan pemberita di seluruh dunia, mereka tidak ada pilihan selain melanggan laporan-laporan dari agensi-agensi untuk memenuhi ruangan berita luar negara. Tapi apa yang mereka lupa atau buat-buat lupa ialah setiap berita yang disampaikan oleh agensi-agensi ini diwarnai oleh kaca-mata tuan-tuan punya agensi. Siapa lagi tuan-tuan ini kalau bukan orang Yahudi. Insya'allah hal ini akan saya perincikan dalam bab yang lain.
Kadang-kadang kita akan jumpa nama "Agensi" di akhir suatu laporan. Ini maknanya laporan itu ialah gabungan dari berita-berita yang dibekalkan oleh agensi-agensi ini tetapi diolah oleh pengarang akhbar tempatan. Ini disebabkan ada fakta-fakta yang diutarakan oleh satu agensi tidak ada pada agensi yang lain dan sebaliknya. Walaupun pemberita-pemberita mereka mungkin meliputi peristiwa yang sama, mungkin angle atau sudut cerita yang diambil berlainan. Seorang pemberita mungkin melihat peristiwa September 11 dari sudut ketenteraan manakala seorang lagi dari sudut kemanusiaan. Ataupun mereka melihat dari sudut yang sama tetapi memperolehi fakta yang berlainan. Yalah, komen yang keluar dari mulut datuk bandar New York mungkin tak sama langsung dengan komen yang keluar dari mulut seorang polis yang bertungkus-lumus meredakan keadaan. Lagipun pemberita-pemberita memang suka mencari cerita eksklusif. Kalau boleh mereka nak dapat cerita yang pemberita lain tak boleh dapat atau dari sudut yang tak terfikir oleh yang lain. Jadi masing-masing kalau akan merujuk kepada sumber masing-masing. Kalau dapat, dia seorang je yang nak cakap dengan datuk bandar atau presiden. Tapi selalunya orang berjawatan tinggi begini dikejar oleh banyak pemberita. Sebab itu kita selalu dapati berita yang sama dari agensi-agensi dan pemberita yang berlainan. Cuma cara penulisan mungkin berlainan.
Berita-berita ini pula sampai melalui rangkaian sistem telekomunikasi yang disambung terus ke komputer-komputer di pejabat akhbar tempatan yang selalunya melanggan dengan beberapa agensi supaya mereka boleh memilih yang terbaik untuk digunakan. Pengarang boleh memilih beberapa banyak cerita yang mereka suka secara bulat-bulat tanpa disunting atau menggabungkan laporan dari beberapa agensi yang berlainan menjadi satu cerita untuk tatapan pembaca tempatan. Komen dari datuk bandar New York yang ditulis oleh agensi AFP boleh digabungkan dengan komen dari polis yang didapatkan oleh Reuters.
Begitu juga yang berlaku di Malaysia kerana berita di dari sini juga selalu mendapat ruang di akhbar antarabangsa. Ada di antara agensi-agensi berita asing yang menggunakan warga tempatan untuk mencari berita di negara kita kerana sesetengahnya seperti Reuters mempunyai cawangan di Kuala Lumpur. Ada yang menghantar pemberita luar untuk meliputi peristiwa-peristiwa tertentu sahaja seperti apa yang terjadi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno dulu.
Apa yang pasti, berita yang dihasilkan tetap akan diolah mengikut kaca-mata tuan punya agensi. Kadang-kadang ini dilakukan kerana ada agenda tersembunyi. Ada masa pula ini disebabkan pemberita bidang terjun yang dihantar secara tergesa-gesa ke Malaysia untuk mendapatkan satu berita hangat tidak dapat menghayati makna sebenar sesuatu peristiwa kerana tidak memahami latar-belakang negara ini atau saja malas hendak mengkaji. Percayalah ini selalu terjadi kerana banyak manusia lebih mementingkan perut dari kebenaran.
Tapi dalam suasana dunia sekarang, kebanyakan berita yang disunting agensi luar memang mempunyai agenda di sebalik tabir. Ini kerana mereka rata-rata dikuasai pihak Yahudi dan seperti yang kita tahu, mereka memang tak suka orang Islam, apa lagi negara Islam seperti Malaysia yang begitu berdikari dibanding kebanyakan negara Islam lain yang sudah lama berada di bawah telunjuk mereka. Berita tentang pemecatan Anwar Ibrahim digembar-gemburkan untuk menggambarkan pemerintah Malaysia sebagai orang yang zalim. Berita-berita dari sumber pihak pembangkang seperti PAS dan DAP pula digunakan supaya kerajaan yang ada sekarang kelihatan tidak mendapat sokongan rakyat. Cerita-cerita mengenai demonstrasi jalanan diperbesarkan supaya masyarakat dunia ingat negara kita tidak lagi stabil, penuh dengan huru-hara. Bayangkanlah kesannya sekurang-kurang dari segi ekonomi negara yang banyak bergantung kepada pelaburan luar. Persepsi itu penting dalam dunia perniagaan dan kita telah lihat akibatnya bila Bursa Saham Kuala Lumpur jatuh meredum.
Sebenarnya agenda di sebalik tabir ni berlaku di mana-mana. Akhbar-akhbar utama di Malaysia pula cenderung untuk menyokong kerajaan dan ini menyebabkan banyak berita diolah untuk memihak pemerintah sehingga kadang-kadang terlalu berat sebelah. Para wartawan diberitahu ini dilakukan untuk kemajuan negara. Cara ini dipanggil "constructive journalism" atau cara liputan yang membina kerana kita tidak mahu orang luar melihat keburukan dalam usaha kita untuk memajukan negara.
Dari satu segi, ini bukanlah satu kesalahan. Kita tidak perlu membuka pekung di dada walaupun kita tahu ia wujud. Cukuplah kita berubat secara senyap-senyap. Lagipun akhbar-akhbar utama ini perlu mengimbangi serangan akhbar-akhbar lain seperi Harakah yang didalangi parti PAS yang selalu memburuk-burukkan setiap usaha kerajaan. Ada ke akhbar yang langsung tidak mempunyai kecenderungan pada suatu pihak? Tepuk dada tanyalah selera. Sekurang-kurangnya berita yang dimuatkan mestilah tidak menyinggung perasaan tuan punya akhbar.
Wartawan yang hidup untuk cari makan sangat faham akan prinsip ini. Mereka yang berfikiran lebih bebas boleh mencuba untuk menulis berita yang tidak mempedulikan kepentingan tuan punya akhbar dan kawan-kawan atau sekutu mereka demi menegakkan kebenaran tetapi jangan harap berita itu akan disiarkan. Silap haribulan mereka akan dilarang menulis atau dipecat terus. Ini adalah perkara biasa dan lumrah kehidupan. Berapa ramailah manusia yang berani mengakui kekurangan lebih-lebih lagi dalam zaman yang penuh dengan fitnah ini.
Masalahnya timbul bila orang yang terlibat tidak mahu pekung ini diubat sebaliknya memaksa orang lain memaparkan kisah yang muluk-muluk belaka. Contohnya bail-out syarikat gergasi Renong oleh kerajaan apabila ia mengalami masalah akibat krisis ekonomi yang melanda Asia Tenggara pada tahun 1997. Walaupun setengah masyarakat mengatakan ini tidak patut dilakukan kerana bertentangan dengan prinsip fair-play atau kesaksamaan dalam dunia perniagaan, saya dapat menerima tindakan ini kerana Renong menaungi beribu-ribu anak Melayu. Kalau syarikat ini jatuh, ramai anak bangsa yang akan dipaksa menganggur dan masyarakat Melayu akan kehilangan satu flagship yang juga melambangkan maruah bangsa dalam dunia perniagaan yang lebih dikuasai masyarakat Cina. Oleh itu media utama tempatan didapati banyak melindungi syarikat ini walaupun ramai orang komplen. Kerana turut dilindungi ialah beribu-ribu anak Melayu yang baru bertapak dalam dunia korporat. Tapi perlukah juga kita menyelamatkan beberapa individu yang telah beberapa kali silap langkah dalam mentadbirkan sebuah syarikat yang begitu penting atas nama kedaulatan Melayu? Tidakkah mereka ini merupakan pekung yang perlu diubat atau lebih baik, dibuang langsung sebelum ia merebak ke serata badan.
Tapi perkara ini tidaklah semudah bercakap di kedai kopi. Mengkritik memang senang tetapi berapa ramai yang sedar akibatnya. Dalam hal ini Melayu terlalu lemah. Jika individu-individu yang gagal ini dibuang, berapa kerat lah tinggal orang Melayu korporat yang boleh dibanggakan? Ini soal maruah dan psikologi bangsa. Kalau nak buang pun biarlah disediakan dulu pelapis yang sesuai. Buat sementara waktu, yang gagal masih dianggap simbol kekuatan Melayu dan yang mencanangkannya adalah pihak media, mungkin atas arahan tertentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan