Salam awal pagi Selasa 11 Rabiul Akhir 1443 Hijriah. Pada penghujung artikel Laksamana pulang ke Perak? Madad ya Rasulullah! yang dipersembahkan pada jam 11:01 malam Jumaat lalu 11 Nov 2021 ada disebut begini :-
Ketika menulis artikel ini saya sedang bersedia untuk membuat perjalanan lebih jauh ke Kedah. Ada panggil kebatinan yang tidak dapat lagi dielakkan. Ini juga melibatkan keturunan dan gelaran Laksamana. Tapi dari belah Kedah kerana moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang di Perak itu pernah beristerikan Wan Long Saadiah binti Wan Mat Saman (Perdana Menteri Kedah) bin Wan Ismail (Laksamana Paduka Raja Kedah). Lalu terbitlah datuk kepada datuk saya yang bernama Arshad.
Sekarang biar dipersembahkan artikel berkenaan.
Tiga hari selepas kembali dari perjalanan ke Perak 3-6 November 2021 saya menerima pesanan WhatsApp daripada seorang kenalan bertanyakan jika ada kelapangan pada hari Jumaat malam Sabtu 12 November. Apabila ditanya kenapa katanya ada majlis tahlil sempena sambutan 200 Tahun Perang Musuh Bisik mahu diadakan di Kuala Kedah lalu saya diundang. Jawab saya tak dapat kerana penat selain kesibukan.
Perang Musuh Bisik ini merujuk pada perang panjang yang bermula pada tarikh 12 November 1821 apabila angkatan Siam menyerang Kedah. Akibatnya Kota Kuala Kedah ditawan dan ramai orang Melayu kecundang. Mana yang masih hidup disiksa selain dijadakan hamba. Tentang pelbagai kekejaman yang berlaku sehinggalah orang Melayu bangkit kembali namun tetap dikalahkan disebabkan pelbagai faktor sila cari sendiri bacaan berkenaan.
Masuk hari Khamis 11 November timbul rasa kuat untuk bersama dalam majlis. Terasa ada panggilan leluhur kerana seperti disebut pada awal artikel ini saya ada moyang yang pernah menjadi Laksamana Kedah. Saya pun teringat, sekembalinya dari Perak lewat petang Sabtu 6 November ada dua orang kawan datang bertandang ke rumah yang mana seorang ada menyatakan mahu ke majlis berkenaan. Saya pun menghubungi beliau menyatakan mahu menumpang kereta kalau jadi ke sana. Berlakulah perbincangan dengan seorang lagi kawan yang turut ada datang ke rumah petang Sabtu.
Pada mulanya kami memikirkan mahu bergerak bertiga tengah malam. Kemudian ditukar rancangan isteri mahu ikut sekali bergerak jam 3 pagi. Kemudian berlaku dua orang kawan tadi menyatakan tak jadi ke majlis kerana berlaku kesangsian seperti ada yang menghalang. Hal ini menyebabkan saya dan isteri menilai kembali apakah harus bergerak begitu jauh ke Kuala Kedah lebih 400 km sedangkan kami bukan sahaja belum hilang penat akibat perjalanan 4 hari 3 malam di Perak. Kereta-kereta kami pun sedang bermasalah...
Sebuah kereta ada masalah nak tukar gear ketat sehingga pernah jam selain meter jarak pada dashboard tidak bergerak. Sebuah kereta lagi pula lampunya tidak hidup kecuali dibuka tinggi iaitu high beam. Tetapi panggilan kebatinan terasa begitu kuat sehingga terasa harus bergerak juga dengan kereta rosak apabila sampai waktu siang. Nasib baik kawan-kawan menukar fikiran. Seorang pun datang dari Balakong, seorang dari Kajang ke rumah kami di Bandar Sungai Buaya, Rawang. Lalu sekitar jam 11 pagi Jumaat 12 November kami pun bergerak dengan kereta milik seorang melalui Lebuh Raya Utara Selatan.
Sekitar jam 1.30 sampai ke hentian Bukit Gantang di Perak. Singgah untuk makan tengah hari. Nak solat Jumaat di mana-mana memang tak sempat dan kami pun sedang bermusafir jauh lebih daripada dua marhalah. Sengaja dipilih makan di sini kerana Bukit Gantang pernah menjadi medan angkatan perang Kedah bertemu dengan angkatan perang Perak sebelum berlakunya Perang Musuh Bisik tahun 1821.
Jam 3.09 kami sampai ke Seberang Perai. Tiba-tiba saya menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan memberitahu beliau telah sampai ke lokasi majlis di Kuala Kedah (majlis ini ada komponen pengkisahan sejarah pada jam 3) tetapi langsung tiada orang. Rupa-rupanya sudah berlaku pertukaran lokasi yang diputuskan lewat malam Jumaat. Nasib baik kawan yang memandu merangkap tuan punya kereta tahu lokasi baru. Bila disemak kedudukan ternyata ia telah dialih jauh 16 km ke utara bandar raya Alor Setar.
Hal ini membuat saya terpanggil untuk membuat posting atas di Facebook. Tujuannya supaya mereka yang hendak pergi tahu kedudukan lokasi baru. Oh. Sebetulnya saya ada membuat pengumuman lebih awal di FB menyatakan ada kemungkinan mahu ke Kedah. Biar dikongsikan di bawah...
Tetapi saya tidak ada rancangan untuk menziarahi beliau kali ini. Ini kerana keputusan untuk ke Kedah baru sahaja dibuat dalam masa yang suntuk. Rancangan perjalanan juga agak penuh sedangkan kami harus kembali ke Lembah Klang sebelum hari Isnin. Rumah Poksu Mid di Kuala Pai, Kuala Nerang juga boleh tahan jauh. Letaknya lebih 30 km ke timur laut Alor Setar.
Ketika kami sampai ke susur keluar yang dicadangkan oleh Google Map iaitu di Pendang pun sudah jam 4.30. Ada jarak lebih 40 km lagi dari susur keluar ke Kuala Pai. Saya tahu Poksu Mid cuma menerima tetamu pada waktu tertentu sahaja. Besar kemungkinan kami sampai selepas waktu tersebut.
Namun pesanan untuk menziarahi sangat menyentak fikiran. Terasa kalau tak ziarah diri ini sombong. Mentang-mentanglah mungkin hendak mendapat gelaran menjadi orang besar (rujuk cerita berkenaan dalam artikel
Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai), sampai malas hendak menziarah seorang yang dianggap wali hidup. Nasib baik isteri dan kawan-kawan akur walaupun saya menyatakan ada kemungkinan tidak dapat melihat beliau.
Kami sampai ke rumah Poksu Mid pada jam 5.25 petang.
Ternyata kami bukan sahaja lewat. Poksu Mid pun rupa-rupanya tidak menerima tetamu langsung. Mungkin kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan masalah virus Covid-19. Tak mengapa. Kami sudah berusaha untuk menziarahi beliau. Cukuplah dapat sampai hingga ke perkarangan rumah.
Cuma kurang manis cara penolakan orang yang duduk di serambi rumah. Kami berkejar lebih 400 km bukan hendak meminta didoakan dapat pangkat ke harta ke atau apa-apa kepentingan dunia yang sewaktu dengannya. Kami cuma mahu bersalam cium tangan sebagai tanda hormat kepada Poksu Mid sebelum meneruskan urusan di Kedah. Tak perlulah bermasam muka seolah-olah kehadiran kami sangat mengganggu isi rumah. Boleh sahaja sebut baik-baik Poksu Mid tidak dapat menerima tetamu kerana kepenatan/uzur dan sebagainya. Kami sedia faham kerana beliau selalu diziarahi orang lalu harus berhadapan dengan pelbagai kerenah orang pada usia yang lanjut, hampir 100 tahun kalau tak salah.
Dari Kuala Pai kami menghala kembali ke Alor Setar lalu singgah ke Tanjung Inggeris di Langgar untuk menziarahi makam Sheikh Abdul Qadir Alirah Syah. Boleh kata setiap kali lalu berdekatan saya dan isteri mesti menziarahi makam yang katanya berusia lebih 1,100 tahun ini...
Seterusnya ke makam diraja Kedah di bahagian lain Langgar.
Walaupun sudah ditutup kerana melepasi waktu buka cukuplah dapat menyampaikan salam dari luar pagar...
Seterusnya kami ke surau/masjid lama tidak jauh dari makam diraja...
Lalu dapat tahu kawasan ini baru 2-3 hari surut banjir setinggi paras pinggang.
Kami beriktikaf dan menjamakkan solat Zohor dan Asar. Masjid ini sudah banyak kali menjadi tempat saya dan keluarga bermalam.
Sejurus sebelum Maghrib baru bergerak ke lokasi majlis di Mentaloon menghampiri Anak Bukit. Makan malam dahulu di sebuah warung berdekatan sebelum ke lokasi yang merupakan sebuah surau.
Keadaan dalam surau ketika masuk ke dalam. Sebelum itu makan lagi di khemah halaman surau...
Ketika gambar ini diambil sudah jam 9.27 malam. Majlis hol bermula tidak lama kemudian dengan bacaan Yasin diikuti maulud lalu isteri ada membuat rakaman hampir penuh melalu
live FB. Lihat
sini dan
sini.
Selepas maulud ada sesi bergambar. Kami keluar jam 12.44 tengah malam ketika mahu dimulakan persembahan silat kerana kawan yang memandu tidak tahan penat. Dalam kepenatan itu beliau tersilap mengambil jalan ke tempat penginapan. Sekitar jam 1.30 pagi baru sampai lalu baru dapat berehat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan