Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Januari 22, 2008

Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul...

Hmm... Apa punya tajuk pulak ini? Sebelum saya menyambung cerita, eloklah dibaca sebuah artikel yang baru muncul di dalam Berita Harian edisi 13 Januari 2008... Opps, Berita Minggu sebab hari itu hari Ahad minggu lepas. Untuk cerita on-linenya boleh klik sini . Biar saya copy and paste di bawah...


PANDUAN Pelayaran berusia 300 tahun dipercayai digunakan Daeng Parani ketika menjelajah ke Tanah Melayu

MAKAM Daeng Parani yang terletak di Kampung Lubuk Ekor dekat Sidam Kiri, Sungai Petani.

ARTIFAK lama dipercayai milik Daeng Parani.


Daeng Parani maut dibedil meriam


Oleh Johari Ibrahim

Raja Kechil tolak cadangan damai menyebabkan berlaku peperangan selama setahun dengan Raja Kedah

PENEMUAN makam Daeng Parani, tokoh yang terbabit secara langsung dalam percaturan politik Kedah lama pada kurun ke-18 di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri dekat Sungai Petani, menambah satu lagi produk pelancongan bersejarah negeri itu. Usaha menjejaki peninggalan Daeng Parani dikatakan dilakukan sejak lebih 30 tahun lalu oleh keturunannya yang ramai tinggal di kampung berkenaan.

Usaha lebih terancang dan agresif dengan kajian ilmiah berpandukan buku Sejarah Melayu yang ditulis oleh Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis, hanya dilakukan oleh Persatuan Keturunan Opu Dahing Parani sejak kira-kira dua tahun lalu. Selain itu, cerita mengenai Daeng Parani juga disebut dalam buku sejarah lama lain seperti Salasilah Melayu dan Hikayat Siak.

Setiausaha persatuan itu, Roshaliza Abdul Razak, berkata kajian agresif dan ilmiah dimulakan pada 6 Ogos 2006 dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keturunan tokoh berkenaan. Kemuncak kepada usaha menjejaki peninggalan Daeng Parani apabila forum yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Negeri Kedah (PSNK) pada 13 Mei 2007 bersetuju dan menegaskan makam Daeng Parani terletak di kampung berkenaan.

Forum berkenaan yang khusus untuk membincangkan lokasi makam tokoh itu dipengerusikan oleh pensyarah sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Mohd Isa Othman dan panel dianggotai oleh Pensyarah Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Abdullah Zakaria Ghazali dan Pengerusi PSNK, Datuk Wan Samsuddin Mohd Yusof. Pembabitan Daeng Parani serta empat saudaranya, Daeng Marewah, Daeng Menambun, Daeng Celak dan Daeng Kemasi, dalam politik Kedah lama bermula apabila dia dipanggil oleh Raja Kedah pada 1720-an untuk membantu dalam isu perebutan takhta.

Misi Opu Bugis Lima Bersaudara itu ialah membantu mengambil alih takhta daripada adinda Raja Kedah ketika itu dengan sokongan kuat orang Bugis dan Mengkasar. Abdullah Zakaria dalam kertas kerjanya pada forum berkenaan menyatakan pembabitan Daeng Parani dan saudaranya dalam politik Kedah apabila dia mengutus surat kepada Raja Kechil mengenai cadangan pembahagian kuasa dan tugas bagi mengelak sengketa.

Bagaimanapun, Raja Kechil menolak cadangan itu dan berlaku peperangan yang berlarutan selama setahun antara gerombolan Raja Kedah dan Raja Kechil. Daeang Parani terkorban dalam pertempuran kali kedua walaupun angkatan Raja Kechil tewas, yang dikatakan berlaku dekat Kampung Ekor Lubuk dan dikebumikan secara adat raja-raja di situ oleh saudaranya.
Dia dikatakan meninggal dunia apabila dibedil dengan meriam oleh Raja Kechil ketika mahu melabuhkan perahunya dekat Sungai Muda untuk berdepan dengan Raja Kechil. Selain Kedah, Daeng Parani lima bersaudara itu yang dikatakan tinggi ilmu agama dan pelayaran juga terbabit secara langsung dalam politik Johor, Selangor, Negeri Sembilan yang disebut Linggi dan Perak ketika itu.

Roshaliza berkata, sehingga ini PSNK mengiktiraf bahawa makam itu adalah pusara Daeng Parani manakala Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dikatakan dalam proses untuk membaikpulih kawasan pusara supaya menjadi tapak lawatan orang ramai.

"Sehingga ini, kami berjaya mengumpulkan kira-kira 5,000 ahli keturunan Daeang Parani di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," katanya. Pahlawan Melayu gunakan baju, topi besi ketika berperang

DAENG Parani disifatkan sebagai pahlawan yang mempunyai ilmu agama dan pelayaran yang tinggi sehingga membolehkan dia dan empat saudaranya mengembara dengan kapal kecil dari Kepulauan Sulawesi ke Tanah Melayu. Setiausaha Persatuan Keturunan Opu Dahing Parani, Roshaliza Abdul Razak, berkata perkara itu terbukti dengan kewujudan sekeping jadual pelayaran yang mempunyai gambar haiwan tertentu, kapal dan simbol tertentu dan bertulisan Jawi tetapi amat sukar difahami yang dipercayai ada kaitan dengan jadual pelayaran Opu Bugis Lima Bersaudara itu.

Malah, lima bersaudara itu juga dikatakan mula menggunakan baju dan topi besi ketika berperang, peralatan yang dianggap maju ketika itu dan menggerunkan lawan.

"Mereka juga adalah keturunan Raja di kepulauan itu dan kecuali Daeng Parani, semua empat adik-beradiknya pernah menduduki takhta di beberapa kawasan di Indonesia," katanya.

Berdasarkan catatan dalam Tuhfat al-Nafis, lima bersaudara itu amat rapat antara satu sama lain dan keempat-empat beradik, Daeng Chelak, Daeng Marewah, Daeng Menanbung dan Daeng Kemasi amat patuh kepada arahan Daeng Parani. Bukti kepada kesepakatan itu apabila Daeang Parani berangkat ke Siak untuk berbincang dengan empat saudaranya itu mengenai strategi apabila dia menerima surat daripada Raja Kedah memohon bantuan berkaitan perselisihan takhta.

Lima bersaudara itu adalah anak kepada Raja Bugis, Opu Tendriburang Daeng Rilaga, putera kepada La Maddusalat, yang memerintah Luwuk, Indonesia ketika itu. Roshaliza berkata, jadual pelayaran itu disimpan oleh keluarganya sehingga turun temurun selain beberapa artifak lain seperti tempayan dan pedang.

Lima bersaudara itu dikatakan datang ke Kedah pada 1724 sekali gus terbabit dengan politik negeri itu ketika itu. Selepas mangkat, makam Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk dekat Sungai Petani dikatakan disembunyikan manakala ahli keluarganya di situ tidak dinamakan dengan Daeng bagi mengelakkan daripada dijadikan mangsa dendam oleh angkatan Raja Kechil yang ditewaskan.


Info Daeng Parani Lima Bersaudara

- Mereka adalah anak kepada Raja Bugis, Daeng Rilaka (Opu Tanderi Burung)

- Jalan utama di Kuala Lumpur seperti Raja Bot dan Raja Mahdi mengambil sempena keturunan lima bersaudara itu.

- Kecuali Daeng Parani yang meninggal dunia di Kedah, empat lagi saudaranya meninggal dunia di Riau, Indonesia.

- Buku Sejarah Tanah Melayu dan Sekitarnya mencatatkan takhta kerajaan Johor sekarang adalah waris langsung daripada perkahwinan Daeng Parani dengan Tengku Tengah, anakanda kepada Sultan Abdul Jalil IV (1699-1718)

- Buku yang sama mencatatkan takhta Selangor sekarang adalah daripada keturunan Daeng Celak yang mangkat pada 1745.


---------------------------


OK. Sekarang barulah saya boleh menyambung cerita, tentang apa yang berlaku kepada saya baru-baru ini.

Adapun seperti yang ramai pembaca blogspot ini sedia maklum, saya baru sahaja kembali daripada satu pengembaraan mengelilingi Johor meliputi daerah-daerah utama di negeri selatan ini iaitu Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Kluang dan Segamat. Kemudian sempat bersantai di lereng Gunung Ledang sebelum bermalam di Tangkak seterusnya singgah di Pengkalan Kempas, Linggi, Negeri Sembilan.

Selepas beberapa hari kembali ke Kuala Lumpur, saya telah bertemu seorang rakan dari Ipoh. Rakan ini menyatakan mahu ke Kedah tidak lama lagi dan mengajak saya turut serta. Walaupun saya sebenarnya masih kepenatan, gerak hati ini menyuruh agar turut ke sana. Dipendekkan cerita, pada hari Sabtu saya telah bergegas menaiki keretapi ke Ipoh dan keesokannya baru mengikut rakan ini ke Kampung Ruat, Yan, Kedah.

Rakan ini sebenarnya mempunyai tugasan di beberapa lokasi di utara. Sementara dia bekerja, bolehlah saya berjalan ke mana-mana saya suka dan dirasakan perlu. Apabila mendapat tahu saya ingin berjalan-jalan, seorang rakan lain yang lebih tua, pemilik rumah tempat kami bermalam di Kampung Ruat menghubungi rakannya di Sungai Petani memintanya tolong membawa ke mana-mana yang saya kehendaki.

Biasanya saya lebih selesa berjalan sendiri, samada menaiki bas, berjalan kaki ataupun hitchiking menumpang kenderaan orang. Tetapi apabila rakan di Ruat ini beriya-iya mahu menyuruh rakan di Sungai Petani menolong, saya anggap ia sebagai sebahagian "arahan" dan gerak daripada Allah Ta'ala akan arah perjalanan saya untuk hari seterusnya iaitu hari Isnin.

Memandangkan rakan dari Ipoh perlu membuat tugasan di Seberang Perai dan Pulau Pinang, saya pun menumpang sampai ke Sungai Petani untuk bertemu rakan baru (baru bagi saya, lama bagi rakan-rakan lain ini) di sana. Hmm... Susah juga kalau tak disebut nama... Perlu dipanggil sebagai rakan daripada Kampung Ruat, rakan daripada Ipoh dan rakan daripada Sungai Petani pula... Panjang...

Baiklah. Biar disebut nama. Yang di Kampung Ruat dipanggil Pak Chak, orangnya berumur penghujung 50an. Yang dari Ipoh berumur sekitar 35 tahun, di Sungai Petani 40 tahun. Yang menarik, kedua-duanya bernama Badrul. Kita panggil Badrul Ipoh dan Badrul Sungai Petani ya... Atau lebih ringkas, Bad Ipoh dan Bad SP.

Bad Ipoh menghantar saya sampai ke rumah Bad SP lalu mengenalkan kami sebelum pergi. Setelah selesai mandi dan bersiap-sedia, Bad SP bertanya ke mana saya mahu pergi... Saya sudah memikirkan hendak menziarahi Makam Daeng Parani seperti yang tertera dalam artikel Berita Harian di atas ini. Lagipun saya sudah lama ingin hendak ke sana, sejak beberapa bulan lalu apabila mendapat tahu tentang kewujudannya.

Saya juga teringin untuk menziarahi sebuah makam lama yang dikenali sebagai Makam Tok Soh. Kedua-duanya saya belum pernah sampai, begitu juga Badrul belum pernah ke sana. Nasib baik dia tidak pelik mendengar hasrat saya ke makam-makam kerana sudah mengenali ramai orang yang kecenderungannya hampir serupa... Dipendekkan cerita setelah bertanyakan arah kepada beberapa orang rakan lain selain membuat rujukan di Internet, baru kami dapat tahu kedua-dua makam ini terletak dalam satu perjalanan daripada Sungai Petani menghala ke Kulim. Lalu pergilah kami ke sana, mula-mula ke Makam Tok Soh yang lebih dekat kemudian baru ke Makam Daeng Parani. Ketika hendak ke Makam Daeng Parani, kami terlajak beberapa kilometer lalu terjumpa sebuah masjid dengan rekabentuk yang agak unik. Insyaallah akan saya paparkan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) suatu hari nanti...

Apapun, sepertimana di Makam Tok Soh, masjid unik tadi malah di mana-mana tempat dan pemandangan yang menarik perhatian, saya pun mula sibuk mengambil gambar di Makam Daeng Parani. Tetapi di sana, saya menghadapi masalah kamera... Entah kenapa, gambar yang diambil tidak lekat. Atau lekat sekejap kemudian tidak dapat dibaca. Ah! Apa ini? Pening kepala saya memikirkannya. Sehinggakan saya tidak senang duduk sepanjang perjalanan kembali sekitar 20km ke Sungai Petani kerana mahu mencari akal menyelesaikan masalah ini... Selain risau kamera rosak dan tidak boleh dipakai, saya takut kehilangan banyak juga gambar yang telah diambil kebelakangan itu...

Ketika berehat makan tengahari di pinggir SP, baru saya sedar yang memory card saya sudah rosak, sudah short-circuit. Baru teringat, hari sebelumnya, kamera digital murah itu sudah terkena titisan air di dalam bilik air tetapi saya lupa hendak memeriksa dengan lebih teliti kerana ia kelihatan masih berfungsi dengan baik. Rupa-rupanya kesannya baru kelihatan setelah beberapa waktu kamera itu digunakan. Patutlah kelihatan seperti habuk-habuk dan karat pada bahagian tembaga di memory card sedangkan sebelum ini tidak pernah terjadi begitu.

Itupun nasib baik kamera itu sendiri tidak rosak. Kalau tidak lagilah susah. Apapun, saya perlu membelanjakan sejumlah wang untuk membeli memory card baru. Apa yang membuat saya terkilan adalah kehilangan segala gambar-gambar yang diambil beberapa hari kebelakangan termasuk di Makam Diraja Perak di Bukit Chandan dan Makam Sultan Muzaffar Shah Kedah pada hari Ahad. Dan tentu juga turut hilang gambar-gambar yang diambil di Makam Tok Soh, masjid unik tadi dan Makam Daeng Parani.

Saya cuba menyedapkan hati... Sekurang-kurang perkara ini berlaku sekarang, tidak selepas sudah lebih lama berjalan dalam pengembaraan terbaru ini atau berlaku lebih awal. Bayangkan jika kerosakan ini berlaku sejurus selepas selesai pengembaraan di Johor dan gambar belum sempat diletakkan ke dalam komputer. Tentu saya kehilangan lebih 500 gambar yang diambil sepanjang perjalanan mengembara penuh penat-lelah.

Apapun, saya teruskan perjalanan yang rasanya patut dibuat untuk hari itu... Dan ia harus dibuat bersendirian kerana Bad SP ada urusan. Saya anggap tidak ada rezeki mendapatkan gambar Makam Toh Soh dan Makam Daeng Parani. Oh... Turut hilang adalah gambar terbaru makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Bukit Chandan... Setelah lebih kurang 16 bulan dibawa kembali daripada buangan di Singapura. Untuk mengetahui apa ceritanya, sila baca cerita Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan... dan cerita-cerita berkaitan... Dalam gambar terbaru ini baru kelihatan makam laksamana dibina cantik dengan batu mar-mar berbanding dengan ditanda kepingan papan ringkas sahaja sebelum ini...

OK... Kembali kepada rancangan perjalanan hari itu... Sekitar setahun lepas, dalam lawatan kali pertama saya ke daerah Yan yang terletak di kaki barat Gunung Jerai, saya sempat melawat pekan Tanjung Dawai yang terletak di sebelah utara muara Sungai Merbok yang agak luas. Ceritanya ada di Incursion to Tanjung Dawai... Daripada sana, saya dapat melihat perkhidmatan bot menyeberang sungai ke Pantai Merdeka, maka saya ada menyimpan hajat untuk ke sana, seeloknya dengan menaiki bot.

Dalam pengembaraan dahulu yang turut meliputi Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Perlis selain mendaki Gunung Jerai seorang diri pada malam Jumaat, saya juga sempat singgah ke Kuala Muda atau Kuala Sungai Muda. Cuma ketika itulah baru saya tersedar bahawa Kuala Muda yang saya pergi adalah yang di dalam Seberang Perai, bukan di dalam Kedah. Maka kalau boleh saya teringin untuk ke Kuala Muda yang di Kedah juga.

Lalu dalam fikiran saya ada memikirkan ingin pergi ke Kuala Muda di Seberang Perai lalu menyeberang ke Kuala Muda di Kedah menaiki bot. Kemudian pergi ke Kota Kuala Muda (yang ini saya sempat pergi tahun lepas) sebelum melalui Bukit Meriam menghala ke Pantai Merdeka lalu menaiki bot ke Tanjung Dawai. Kemudian baru akan mendapatkan apa-apa pengangkutan untuk kembali ke tempat menginap di rumah Pak Chak di Kampung Ruat, Yan. Tetapi rancangan itu sudah sedikit kacau dan masa menjadi suntuk akibat masalah kerosakan kamera tadi. Selain mengganggu mood dan tumpuan, saya terpaksa meluangkan banyak masa untuk mencari ganti memory card yang sesuai (murah tapi cukup berkesan)...

Saya melangkah dalam keadaan sedikit serba salah. Ketika selesai hal berkenaan kamera, jam sudah hampir 2 petang. Kalau mahu berjalan ke mana pun saya harus ingat, ada tempat yang tidak ada pengangkutan awam lagi selepas jam 5 sedangkan saya harus memastikan dapat kembali ke Kampung Ruat hampir 40km daripada SP. Lalu bagaimana ini? Haruskah saya menangguh perjalanan ini dahulu? Kebetulan bateri handphone saya hampir kehabisan cas, menunggu masa sahaja untuk mati sedangkan bateri spare tertinggal di rumah Pak Chak. Allah! Macam-macam...

Apapun saya pergi ke stesyen bas SP. Kalau perlu kembali ke Ruat pun memang harus mengambil bas di sana. Ternyata Allah telah menyediakan jawaban kepada dilema saya... Sebaik sahaja sampai, kelihatan bas ke Kota Kuala Muda baru hendak meninggalkan stesyen. Saya terfikir boleh juga ke Kuala Muda Kedah. Pedulikan Kuala Muda di Seberang Perai kerana saya sudah sampai malah pernah bermalam di sana.

Di dalam bas itu baru saya tahu tidak terdapat apa-apa perkhidmatan bas ke Kuala Muda Kedah. Kalau mahu ke sana juga perlu menaiki teksi atau menumpang kenderaan orang... Menumpang kenderaan orang tidak jadi masalah jika tidak kesuntukan masa sedangkan saya ada destinasi-destinasi lain yang ingin dituju, menaiki teksi pula memerlukan belanja yang agak besar... Rupa-rupanya selepas pergi ke Kota Kuala Muda, bas itu terus pergi ke Pantai Merdeka melalui Bukit Meriam. Lalu saya membuat keputusan untuk terus ke Pantai Merdeka.

Sampai di sana, maka tertunailah hajat lama yang disimpan ketika sampai di Tanjung Dawai tahun lepas. Maka saya berkira pula hendak menaiki bot penambang menyeberangi Kuala Sungai Merbok daripada Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai. Ternyata saya salah perkiraan... Bot penambang yang ada cuma akan bergerak jika terdapat 6 penumpang atau lebih sedangkan semasa itu hari minggu, tidak ramai orang... Kalau adapun mereka semua berkenderaan sendiri dan tidak perlu menggunakan bot. Kalau saya mahu menyeberang juga, maka perlu menyewa sebuah bot seorang diri... Mahal dan rugi!

Saya pun menukar rancangan. Nampaknya saya perlu mengambil bas kembali ke Sungai Petani. Saya pun menghubungi Bad Ipoh yang juga perlu kembali ke Kampung Ruat nanti. Janjinya, selesai urusan di Seberang Prai dan Pulau Pinang, kami akan berjumpa di SP sekitar jam 4.30 petang tapi tak confirm lagi, nanti baru diberitahu dan dipastikan tempat dan waktu... Ketika itu sudah sekitar jam 3...

Adapun perkhidmatan bas SP-Kota Kuala Muda-Pantai Merdeka ini cuma berjalan sejam sekali, Saya pun menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di sekitar Pantai Merdeka lalu pergi makan rojak buah... Kemudian datang sakit perut pula... Sudah... Lama mencangkung di dalam tandas. Kemudian baru menyelesaikan solat wajib yang boleh diqasarkan dan dijamak.

Keluar daripada surau pula timbul rasa untuk berjalan-jalan lagi di tepi pantai. Tidak lama kemudian baru saya ternampak bas baru meninggalkan Pantai Merdeka sedangkan saya berada 200 meter daripada hentian! Memang tak sempat kejar... Jam pula hampir 4 petang sedangkan bateri handphone saya sudah kong langsung ketika itu! Allah! Bagaimana mahu bertemu dengan Bad di SP jam 4.30 petang sedangkan bas seterusnya cuma akan muncul sejam kemudian? Bagaimana pula mahu menghubunginya atau dia menghubungi saya sedangkan handphone saya sudah mati? Allah!

Ah... Daripada duduk termangu, baik berjalan kaki menghala ke SP. Insyaallah, boleh cuba tahan dan tumpang sesiapa dalam perjalanan. Lalu saya mula meninggalkan kawasan peranginan Pantai Merdeka. Dengan kuasa Allah, tidak lama kemudian muncul seorang lelaki dewasa menaiki motosikal lalu saya tahan. Kebetulan dia memang hendak ke Sungai Petani. Masalahnya cuma dia tidak membawa topi keledar lebih.

Apapun dia sudi menumpangkan sejauh mana yang boleh, Sekali lagi dengan kuasa Allah, sekitar 2km sebelum sampai pekan Kota Kuala Muda, dia dapat melihat bas merah ke SP sedang bergerak, bas yang baru sekitar 5 minit meninggalkan Pantai Merdeka ketika saya bertembung dengan orang ini di Pantai Merdeka tadi... Dipendekkan cerita, kami dapat mengejar dan memotong bas ini lalu saya dapat menaikinya di Kota Kuala Muda dan selamat sampai di SP sekitar jam 4.30 petang.

Masalahnya bagaimana hendak berjumpa dengan Bad Ipoh sedangkan semasa meninggalkan pesanan tadi, saya setakat sempat memberitahu jumpa di sekitar stesyen bas 4.30 petang, itupun tak pasti kerana saya ada memberitahu cuma akan membuat confirmation nanti. Sekarang, nak confirm macamana sedangkan handphone saya tidak dapat dipakai dan dihubungi. Sampai di stesyen bas pula semua public phone tak boleh dipakai? Apa-apa pulak masalah ini?

Allah... Ternyata segala-galanya telah dirancang dalam Qada' dan Qadar Nya. Setelah terbukti tidak terdapat talipon awam yang boleh digunakan di stesyen saya mula berjalan di luar untuk mencari talipon. Ketika itulah Bad yang sedang meletakkan kereta dan menunggu di luar stesyen dapat melihat saya lalu menegur. Alhamdulillah! Selesai lagi satu masalah...

Setelah selamat berjumpa Bad, timbul rasa untuk mengajaknya pergi ke Makam Tok Soh dan Makam Daeng Parani. Lagipun sekarang saya sudah tahu jalan untuk ke sana dan Alhamdulillah Bad bersetuju... Saya pula senang hati kerana dapat peluang kedua mengambil gambar setelah gambar-gambar yang diambil pagi tadi langsung hilang.

Agaknya inilah hikmah berlakunya kamera short-circut di Makam Daeng Parani tadi diikuti masalah tidak dapat bot mahu menyeberangi Sungai Merbuk. Lalu saya perlu kembali ke SP seterusnya berjumpa dengan Bad. Maka hari itu saya 2 kali pergi ke Makam Tok Soh, Makam Daeng Parani juga masjid unik tadi, dua-dua kali dengan orang bernama Bad... Jika pagi saya ke sana dengan Badrul daripada Sungai Petani, di sebelah petang pula saya pergi bersama Badrul Ipoh!

Oh... Sebuah cerita bergambar tentang Makam Daeng Parani sudah diletakkan tadi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) di bawah tajuk Makam (tomb of) Daeng Parani . Elok juga dibaca bersama cerita-cerita berkaitan yang telah dibuat di sana sebelum ini iaitu Makam (tomb of ) Bendahara Tun Habab , Makam (tomb of) Sultan Mahmud Mangkat DiJulang dan Makam (tomb) of Laksamana Bentan .

Hmm... Ingat tak gambar Sheikh Jalaluddin Rumi yang dipangkai untuk artikel sebelumnya di blogspot ini, artikel bertajuk Kata-kata spontan 10 Muharram... ? Sebenarnya gambar itu diambil daripada sebuah website yang menceritakan akan jalan hidup sheikh ini. Lalu tadi saya tergerak untuk copy and paste ceritanya (dalam bahasa Inggeris) di blogspot BERPETUALANG KE ACEH di bawah tajuk In memory of Jalaluddin Rumi . Jenguklah... Insyaallah nanti gambar Sheikh Jalaluddin Rumi ini (versi kecil) akan diletakkan di atas c-box. Saya rasa gambar ini cukup sesuai kerana ada sesuatu yang begitu hidup dan redup tentangnya. Ada suatu macam pandangan penuh karamah... Kalau ada masa, elok juga dibaca balik artikel-artikel ini:- Kaitan para Daeng anak-anak Raja Bugis dengan Aceh... , Lagi kaitan Daeng dengan Aceh... dan Maka terbukti kaitan Daeng-Daeng di Perak dengan Daeng lima bersaudara... Sekian! :]


p/s: Hmm... Lega dapat keluarkan cerita ini walaupun macam-macam hal le mengganggu termasuk connection komputer slow yang merosakkan mood penceritaan dan menyebabkan sakit-sakit kepala. Buat makluman, cerita ini siap ditulis hampir jam 3.30 pagi... Tengok ni, saya tunaikan request pembaca yang nak tahu sangat cerita tentang perjalanan terbaru ke Kedah ni... Lepas ni kena sambung balik cerita Johor yek. Take care...


7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salamssss merah silu .. .. terdahulu Jiwa juga tertarik dengan subjek daeng parani berkenaan yang tersiar di akhbar tempatan .. .. terutamanya makan bersalut kain kuning diraja dan peta pelayaran yang unik .. .. Jiwa tertarik pada cara merah silu berpetualang .. .. mempunyai cara dan pendirian tersendiri .. .. bagaimanapun, 'nasib' petualangan kita mempunyai persamaan apabila kadangkala ke sesuatu tempat tanpa perancangan diselang seli pula dengan hal itu dan ini yang memberikan impak tersendiri kepada diri .. .. kisah daeng lima bersaudara ini menambat hati .. .. tak semua orang bisa menempa pengalaman dan takdir seperti kamu meskipun berkeiginan dan berkecenderungan sama .. .. semoga bisa sukses di atas petualangan yang seterusnya jua .. .. insyaAllah .. ..

Tanpa Nama berkata...

pembetulan:

>terutamanya makam bersalut kain kuning diraja dan peta pelayaran yang unik .. ..

>tak semua orang bisa menempa pengalaman dan takdir seperti kamu meskipun berkeinginan dan berkecenderungan sama .. ..

maklumlah lumrah manusia biasa .. .. kesilapan dan kesalahan asam garam kehidupan .. .. tapi itu juga berarti kita mempunyai peluang untuk memperbetulkannya bukan .. .. ahah .. ..

PerpatihTulus berkata...

memory card yg rosak tu masih ada simpan ke ?

mungkin boleh retrived lagi kot.. kena test dulu tuh..

Radzi Sapiee berkata...

Wah, techical expert dah mai. Ada, ada aku simpan. Banyak kenangan tu. Hang boleh tengok kan ke?

p/s: Laptop aku plak masih tinggal kat kedai komputer. Lama tak hidup sejak bag jatuh masa nanti bas terhenjut-henjut Mersing pi Kluang. Adus... Ni berapa plak kena ni nanti? Hujung tahun lepas aku buat slack duduk atas haversack aku. Masa tu aku penat sangat, tak terfikir pun aku duduk tu sudah lenyek laptop. Tengok2 cermin screen aku pecah. Hangus RM550 kena ganti screen baru. Adus...

Tanpa Nama berkata...

aku tumpang kesian je...

shk berkata...

Salam... saya salah seorang yang ada menyimpan akan perihal salasilah keluarga ini. Daripada maklumat yang diperolehi, kemungkinan kami juga adalah keturunan daripada Daeng Parani di Kota Kinabalu Sabah & W.P.Labuan, sebabnya anak Daeng Parani yg bernama Daeng Kemboja adalah adik kepada Daeng Saring cuma tiada butiran lanjut mengenai adik beradik Daeng Kemboja. Drpd penceritaan secara lisan, dipercayai asal usul keluarga saya juga berasal daripada Johor-Riau, cuma tidak dapat dipastikan sejauhmana kebenarannya memandangkan tiadanya sebarang bahan rujukan yang dapat membuktikannya, dan baru-baru ini saya telah cuba mencari bahan-bahan bagi mempastikan dakwaan itu berasas.
Daripada pakcik saya ada menceritakan secara lisan akan keturunan keluarga kami adalah berasal daripada Johor-Riau melalui daripada Daeng Saring. Sinopsis ceritanya lebihkurang begini : “Semasa berlaku perpecahan di Riau dahulu berlakunya pertengkaran antara ahli keluarga/pembesar yang puncanya daripada perebutan kepada seorang wanita, akibat daripada itu Daeng Saring bersama adiknya Daeng Kemboja telah melarikan diri ke Borneo melalui Brunei, seterusnya ke Lawas Sarawak. Daeng Saring telah berkeluarga di Sundar, Lawas Sarawak dan tidak mahu lagi balik ke Riau, manakala adiknya Daeng Kemboja telah balik ke Riau. Dalam perjalanan balik ke Riau, sampai di Johor, beliau telah ditabalkan menjadi Raja akibat beliau sepertinya telah dinobatkan oleh seekor Gajah (mengikut cerita Pakcik tsbt, Gajah tsbt dapat mengenal akan keturunan Raja-Raja, tak tahu sejauh mana kebenarannya). Kebetulan pula pada masa tersebut diceritakan kerajaan Johor tidak mempunyai Raja”.
Jadi begitulah serba sedikit ringkasan ceritanya, daripada itu saya cuba mencari maklumat melalui laman2 web berkaitan sejarah Bugis Johor-Riau. Dalam pencarian tersebut saya mencari zaman mana yang ada keturunan Daeng-Daeng ini. Memandangkan saya ni bukan juga seorang yang arif pasal sejarah, maka saya sangat teruja bila mendapati adanya nama Daeng Kemboja dalam salasilah kesultanan melayu Johor-Riau, sebaliknya pula saya tidak menemui akan nama Daeng Saring, dan daripada apa yang diperolehi, tiadapun sebarang nama yang berkaitan dengan Daeng Saring dalam Salasilah Daeng Kemboja tersebut. Daripada ini membuatkan saya menjadi keliru adakah Daeng Kemboja yang diceritakan oleh Pakcik saya itu adalah orang yang sama atau berlainan. Tapi bila dilihat dari logik akal dari mana datangnya nama Daeng Kemboja seperti yang diceritakan secara turun temurun oleh Pakcik saya itu.???. Saya ada juga diberitahu akan adanya salahsilah bertulisan jawi yang diperbuat daripada kulit kambing yang telah dibawa bersama semasa Daeng Saring dan Daeng Kemboja sampai ke Borneo dahulu, tetapi difahamkan salasilah tersebut telah hilang. Maka itulah, memandangkan tuan lebih arif dan telah banyak membuat kajian berkaitan sejarah ini agar dapat kiranya supaya dapat membantu saya membuat pengesahan ataupun memberikan sebarang pandangan atau cadangan bagi menjejak salasilah keluarga ini. Untuk makluman juga dalam simpanan saya telah ada maklumat salasilah keturunan Daeng Saring sebanyak 10 generasi.

Shk- Kota Kinabalu, Sabah
e-mail nyad73@yahoo.com

Unknown berkata...

Assalammualaikum.... Maaf saya sebenarnya nak cari salahsilah keluarga saya, jadi saya banyak baca artikel saudara, dalam laman si merah silu... kalau tak keberatan saya ada beberapa soalan nak bertanya saudara itu pun kalau saudara sudi menjawabnya... saya sebenarnya nak tahu asal usul dan salahsilah orang kaya lipis.... dan salahsilah syed alwi dipekan.... dan kalau saudara tahu siapa gerangan raja othman bin raja mansur ( kuala lipis ) ibunya kalau tak silap bernama raja pah dan dia berkahwin dengan sharifah hasimah bt syed alwi (pekan pahang)... kalau ada sesiapa yang tahu tolong reply masej saya ya... terima kasih..