Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Mei 13, 2007

Demokrasi vs Raja-raja lagi?

Assalamualaikum. Malam tadi, ketika melihat perbincangan terbaru dalam thread "Berpetualang ke Aceh" di Forum CVT (sekarang dah jadi Forum Rawatan Alternatif), saya dapati arah perbincangan berlegar-legar ke atas makna raja... Apakah bezanya darah raja dengan orang biasa dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Dalam pada itu, timbul gerak untuk menjawab tentang asal-usul raja-raja dengan sedutan daripada buku terbaru saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II" yang akan keluar tidak lama lagi, daripada bab bertajuk "Demokrasi vs Raja-raja".
Sedutan yang diletakkan dalam forum telah menerbitkan sedikit polemik. Lalu dijawab dengan sedutan tambahan daripada bab yang sama. Kebetulan, lebih 2 minggu lepas, saya ada meletakkan bahagian lain daripada bab ini dalam website Tranung-Online lalu malam tadi, saya tergerak untuk menyambungnya dengan sedikit lagi sedutan yang bersambung daripada cerita yang terdahulu.
Sebentar tadi, saya berhempas-pulas cuba untuk tidur kerana sudah larut malam tetapi entah kenapa, terasa begitu susah hendak melelapkan mata. Saya pun membuka komputer dan masuk ke Internet, tergerak pula untuk membuat update di blogspot ini menggunakan sedutan-sedutan dalam bab "Demokrasi vs Raja-raja yang telah diletakkan di dalam forum tadi. Sila... :]

----------------------------------

Kalau dikaji secara mendalam, sistem beraja adalah sistem pentadbiran masyarakat berasaskan wahyu yang menjemput naungan kerajaan langit. Ia diturunkan daripada Nabi Syith bin Nabi Adam sebagai pecahan sistem keKhalifahan dan keNabian yang diwarisi keturunan tertentu yang dipelihara Ilahi, keturunan terpilih yang memiliki ketokohan serta kelebihan semulajadi untuk memimpin masyarakat. Maka itu, sistem pemerintahan beraja yang sebenar berlandaskan Syariat dapat memartabatkan rakyat serta menjaga kemaslahatan mereka seperti pernah dilakukan raja-raja berdaulat yang memerintah Perlak, Samudera-Pasai, Melaka dan Aceh dahulukala.
Malangnya, raja dan kerabat diraja yang ada sekarang rata-rata bersifat seperti orang kebanyakan, terlalu sukakan hiburan, sibuk berniaga berjual-beli mencari keuntungan materialistik dan keduniaan dengan menggunakan kedudukan sebagai orang istana atau orang yang rapat dengan istana untuk mendapatkan cable perniagaan dan pengaruh politik yang tidak boleh dicapai orang lain. Masyarakat juga sudah terbiasa melihat gaya kehidupan sesetengah kerabat diraja yang mengarut, suka minum arak, main betina, keBaratan melebihi Orang Putih sendiri... Maka bagaimana orang Melayu sekarang mahu menghormati raja serta kerabatnya sedangkan kehidupan mereka telah jauh menyimpang daripada peranan sepatutnya sebagai ketua adat orang Melayu dan ketua Islam? Hormat yang ditunjukkan sekarang tinggal hormat luaran sahaja, itupun kerana manusia-manusia ini masih berpangkat dan berdarjat... Mereka cuma dihormati kerana ada gelaran Tengku, Tunku atau Raja, menetap pula di istana ataupun rumah-rumah besar bagaikan istana, kaya-raya, ada kekuasaan, ada panggilan Yang Mulia walaupun perangai mereka kadang-kala lebih teruk daripada binatang.
Bagaimana pula mereka yang bergelar Yang Teramat Mulia dan Duli Yang Maha Mulia? Adakah peribadi mereka setimpal dengan gelaran itu? Bukankah ia cuma layak diberikan kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja? Bagaimana raja-raja tidak besar kepala sedangkan mengikut kitab-kitab lama seorang raja sepatutnya adalah orang yang paling merendah diri di kalangan rakyatnya. Itulah salah satu amalan sebenar raja-raja dahulukala. Kalaulah harta kekayaan, istana dan kekuasaan serta gelaran dijadikan kayu pengukur untuk menentukan kemuliaan seorang raja atau kerabatnya, maka mana-mana orang buruk akhlak pun boleh menjadi raja. Malah sekarang ini ramai yang berani berkata terang-terangan: "Aku pun boleh jadi raja, kalau dilahirkan di istana dengan segala nikmat dunia tersaji di depan mata..."
Pada masyarakat liberal sekarang, seseorang itu dapat menjadi raja kerana nasib sahaja... Lahir di istana, anak kepada raja, itu sahaja. Mereka tidak nampak apa-apa yang mulia tentang raja. Yang mereka nampak, raja sama sahaja sifatnya seperti mana-mana manusia, tidak ada apa-apa kelebihan yang dapat membezakan mereka dengan rakyat biasa kecuali pangkat luaran yang diwarisi kerana lahir di dalam lingkungan istana.
Sejarah moden pula menunjukkan sistem beraja tidak cukup berwibawa untuk menangani masalah rakyat dan keperluan semasa. Malah pernah Raja-raja Melayu nyaris mengorbankan martabat mereka, kedaulatan negeri-negeri Melayu juga martabat orang Melayu sendiri apabila bersetuju menerima gagasan Malayan Union tahun 1946 yang akan menarik segala hak istimewa orang Melayu. Nasib baik ada pemimpin masyarakat seperti Datuk Onn Jaafar dan orang-orang sepertinya menubuhkan UMNO untuk membela nasib orang Melayu dan menyelamatkan institusi beraja daripada dijahanamkan penjajah biadab. Maka orang sekarang lebih menghormati pemimpin politik daripada menghormati raja... Kerana apa yang telah berlaku membuktikan mereka sebagai suara-hati rakyat yang lebih relevan dan berkuasa di kala raja-raja terdiam membisu, tidak lagi berani dan berwibawa, sedangkan sifat-sifat ini sepatutnya menonjol ada pada seorang raja. Tidak hairanlah jika orang kebanyakan sekarang beranggapan mereka pun boleh menjadi raja, menjadi kepala tertinggi rakyat jika sahaja diberi peluang... Seolah-olah raja adalah jawatan yang boleh dipikul sesiapa. Maka pada orang sekarang, lebih baik menerima sistem demokrasi berParlimen ciptaan Yahudi yang diterapkan penjajah Inggeris dahulu, sistem yang membenarkan orang buruk akhlak bermahajalela mendabik dada mengaku raja kerana boleh mendapatkan harta kekayaan, istana dan kekuasaan, malah gelaran-gelaran yang muluk-muluk melalui dunia politik dan perniagaan.
Cuba kalau rakyat tahu hakikat sebenar seorang raja, sifat yang perlu dimiliki, amalan yang perlu ditekuni supaya layak memimpin... Jika sahaja mereka tahu tanggungjawab beratnya. Ibarat kata Saidina Umar, dia akan dipersoalkan jika seekor kambing mati di Sungai Furat walaupun kambing itu tidak ada kena-mengena dengannya! Cuba baca adab dan amalan raja-raja dalam kitab Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja karangan Bukhari Al-Jauhari, karangan yang dikatakan adalah saduran daripada kitab-kitab ketatanegaraan Parsi, dibuat di Aceh pada tahun 1603. Tentu ramai akan menjadi takut walaupun sekadar untuk berangan menjadi seorang raja!
Cuba amati bagaimana beratnya amalan sebenar seorang raja… Selain mendirikan Syariat Rasulullah SAW yang wajib seperti solat dan puasa, seorang raja juga perlu selalu mengamalkan puasa sunat, seperti Nabi Daud, Raja Bani Israel yang mengamalkan puasa selang sehari sepanjang tahun. Kalau makan pun tidak boleh banyak, cukup sekadar boleh berdiri tegak... Paling kurang harus mengikut anjuran Nabi yang paling lemah dalam bab ini iaitu makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang. Isi perut dengan nisbah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, satu pertiga untuk angin atau ruangan kosong. Cuba baca cerita-cerita Melayu lama seperti Hikayat Malim Deman… Baginda bersantap beradat dengan memakan tiga suap sahaja sekali santap, barulah boleh dinamakan bersantap. Baru nampak perbezaan nyata dengan cara makan rakyat biasa, cara orang kebanyakan.
Itu belum dikira amalan lain yang patut dihidupkan, gaya hidup bertunjangkan amalan Tasawuf para wali, Nabi dan Rasul… Seorang raja yang memerintah mesti telah berjaya mengikis sifat-sifat buruk atau mazmumah seperti hasad dengki dan iri hati, tidak lagi mempunyai perasaan berdendam seperti orang kebanyakan. Sebaliknya semua ini telah digantikan dengan sifat-sifat mulia atau mahmudah seperti berbesar hati, zuhud, pemaaf dan lain-lain sifat muluk yang sepatutnya ada pada diri seorang berdarah raja, juga golongan bangsawan. Maka setiap perbuatan seorang raja menjadi ibadat yang mendapat pahala dan mengundang daulat kerana ada niat dan garis tujuan yang nyata seperti digariskan melalui wahyu dan sumber Ilahi. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Hidup semata-mata untuk mendapatkan keredahaan Allah. Kalau begini, barulah mandinya layak dikatakan bersiram, perjalanannya dikatakan berangkat dan pergaulannya dengan masyarakat biasa dikatakan mencemar duli... Kerana baginda terpaksa keluar daripada lingkungan hidupnya yang mulia, yang penuh sifat-sifat mahmudah untuk memasuki gelanggang kehidupan rakyat biasa yang masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat mazmumah. Itu sahaja.
Masalahnya, rata-rata orang sekarang termasuk mereka yang berdarah raja sendiri tidak faham hakikat hidup yang bertunjangkan amalan Tasawuf. Lalu untuk menyatakan "ketinggian" dan "perbezaan" mereka dengan masyarakat kebanyakan, mereka setakat mengamalkan penggunaan bahasa-bahasa istana yang berbunga-bunga sedangkan ia bukanlah sesuatu yang patut dibangga-banggakan sebagai simbol status atau lambang kebesaran yang menunjukkan penggunanya adalah seorang berdarah raja.

.......... (melompat sedikit ke hadapan)........

Apapun, daulat yang sebenar tidak perlu malah tidak dapat dipelajari. Apa yang dikehendaki adalah zat tertentu dalam tubuh seperti dimiliki seseorang berketurunan raja diikuti pengamalan mendalam Islam berdasarkan Tasawuf yang sampai ke lubuk hati... Kalau boleh, lebih dalam lagi ke suatu tempat yang dipanggil sir iaitu rahsia hati... Sebelum mencapai peringkat sir dalam sir, rahsia dalam rahsia hati. Kemudian serahkanlah segala urusan kepada Allah, bertawakallah 100 peratus, tawakal yang disebut Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al Jilani juga Imam Ghazali sebagai tawakal khusus wal khusus, tawakal orang khusus dari yang khusus. Maka jadilah mereka seperti seorang mayat di tangan pembasuh mayat, tidak boleh membantah apa-apa yang dibuat oleh tukang basuh mayat, apalagi hendak melawan. Biarlah pembasuh mayat yang hakiki menggerakan segala tubuh badan…
Peringkat tawakal sebegini bukan lagi tawakal orang awam atau tawakal yang diibaratkan Nabi seperti mengikat tali unta ke sebatang pohon sebelum masuk bersolat di masjid supaya unta tidak lari ketika tuannya bersolat... Bukan jenis tawakal yang memerlukan seseorang itu menyediakan payung sebelum hujan, kalau sakit cari ubat, paling kurang pun, berdoa meminta supaya cepat disembuhkan.Mereka yang ingin memasuki tawakal peringkat tertinggi ini mesti sanggup menerima segala dugaan Allah SWT dengan sabar dan redha termasuk penyakit yang memeritkan dan malapetaka yang tidak kunjung putus. Biar Dia sahaja yang menentukan bila semua ini selesai, bila akan datang hari-hari bahagia seperti yang pernah dialami Nabi Ayub AS. Maka itu sedikit sangat yang mampu mengamalkan semua ini...
Orang yang mengamalkan tawakal khusus wal khusus, yang juga merupakan peringkat tawakal yang menjadi pakaian raja-raja yang sebenar akan berani menyeberangi padang pasir yang luas tanpa membawa sedikit pun bekalan makanan dan minuman. Jika perlu berlapar, dia akan menahan perut sehingga pengsan kerana telah mempunyai keyakinan yang kental bahawa jika Tuhan mahukannya makan, tiba-tiba sahaja seekor burung boleh muncul dari atas awan lalu datang menyuapkan. Kalau ada orang berniat jahat pula misalnya hendak menetak raja itu dengan parang, silap-silap orang itu boleh beku di tempatnya berdiri. Itupun kira baik juga... Kalau tidak mungkin orang itu mati langsung disambar petir atau apa-apa sahaja sebab lain yang mencarik adat sedangkan sang raja mungkin terus berjalan seperti biasa tanpa menyedari pun ada percubaan orang untuk membunuhnya.
Raja sebegini tidak gentar menghadapi segala mara bahaya. Dan dia juga tidak hairan dengan perkara-perkara karamah yang berlaku di hadapan mata kerana amalan Tasawuf yang telah sebati menjadi pakaian dirinya zahir dan batin mengajar supaya tidak terpesona dengan ini semua. Malah seringkali dia sebenarnya tidak sedar pun apa yang berlaku di sekelilingnya kerana seluruh hati dan jiwanya sentiasa tenggelam dalam mengingati Allah semata. Sebagai imbal-balas atas ingatannya yang begitu kuat terhadap Sang Pencipta sehingga hilang ingatan pada makhluk dan apa-apa selainNya, raja inipun diberi perlindungan Ilahi sentiasa. Pada mereka yang faham, inilah yang dikatakan daulat sebenar, daulat orang yang sebenar-benar menyerahkan seluruh jiwa-raganya kepada Yang Maha Memelihara dan Wakil Terbaik dalam setiap urusan. Dalam keadaan sebegini, barulah seseorang itu layak memakai gelaran Al-Mutawakil - Yang bertawakal kepada Allah.
Dalam keadaan ini juga, dalam keadaan segala bentuk nafsu rendah seperti keinginan untuk dipuja dan dipuji telah disapu-bersih, maka segala perbuatan, gerak-geri dan kata-kata yang keluar daripadanya adalah daripada kudrat dan iradat Allah semata-mata. Maka itu dia marah kerana melihat sesuatu perkara yang Allah marah, dan dia memaafkan, sayang, dan merasa kesihan kerana Allah itu Maha Pemaaf, Penyayang dan Mengasihani. Pendekkata, segala apa yang muncul dari dalam dirinya adalah perbuatan Allah semata, bukan perbuatan seorang manusia biasa lagi Apabila ini terjadi, barullah seseorang raja itu boleh dikatakan Dzilullahi fil alam, bayangan Allah di alam ini... Ataupun Dzilullahi fil ard, bayangan Allah di muka bumi. Barulah dia boleh menjadi raja dalam erti katanya yang sejati.
Seorang raja sejati adalah seorang manusia yang telah mencapai taraf insan-al kamil iaitu insan yang sempurna, Maka dia merupakan seorang wali Allah yang kemudian diberi pula kerajaan untuk melaksanakan urusan memakmurkan rakyat di bawah naungannya. Malah dia adalah wakil Allah untuk mengatur keperluan makhluk...Dia cuma bertindak mengikut "gerak" Ilahi lalu menepati ciri-ciri yang menepati sebuah Hadis Qudsi:

Bila Aku mencintai seorang hamba,
maka Aku akan menjadi pendengarannya,
penglihatannya, lidahnya, tangannya dan kakinya.
oleh Ku dia marah dan oleh Ku dia berjalan.


Inilah dia daulat sebenar raja-raja yang tidak boleh disanggah, daulat yang muncul kerana dia telah menjadi "perkakas" Allah untuk menyatakan wujudNya di alam ini. Sebab itu kitab-kitab lama tafsir mimpi ada menyebut, bermimpi berjumpa seorang raja adalah sama dengan bertemu Allah! Dan sebab itulah tahap sebegini adalah di luar pencapaian manusia biasa...
Apapun, walaupun bakat semulajadi yang boleh menimbulkan daulat tersebut wujud di kalangan mereka yang terpilih daripada keturunan mulia, besar kemungkinan ia akan terpendam dan dibazirkan begitu sahaja jika tidak digilap dengan amalan-amalan tertentu. Sebab itu amalan khusus seperti adab makan, berpuasa, bercampur-gaul dan sebagainya seperti dihuraikan dalam kitab Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja yang menjadi pegangan istana diajarkan kepada setiap putera yang layak suatu masa dahulu.
Cara terbaik untuk mendapatkan manafaat sepenuhnya adalah dengan mendapatkan tunjuk ajar seorang guru mursyid yang diakui pencapaiannya, guru yang wasilah kerohaniannya bersambung terus-menerus daripada seorang guru mursyid kepada seorang guru mursyid yang terdahulu sampailah kepada guru segala guru iaitu Rasulullah SAW. Bukankah baginda pernah bersabda: "Aku ini gedung ilmu, dan Ali itu pintunya. Maka jika engkau hendak masuk ke gedung ilmu, masuklah ikut pintunya."
Pada yang faham, Nabi Muhammad SAW adalah raja segala raja. Maka setiap bakal raja mesti mendapatkan didikan khusus baginda yang diturunkan kepada guru-guru yang memiliki pertalian peribadi dengannya. Di sinilah terserlah peranan golongan Sufi dan para wali... Inilah yang berlaku dalam mendaulatkan bumi Aceh dan menimbulkan kebesaran raja-rajanya!

5 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum,barulah faham mengapa raja-raja memakai gelaran yang sebegitu tinggi tarafnya.Rupanya pakaian sebenar raja-raja ialah pegamaln Islam yang sebenar...

Radzi Sapiee berkata...

Waalaikumussalam! :]

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Radzi Sapiee berkata...

Saudara ada bertanya dalam ruangan komen artikel "Kaitan agama hindu dan buddha..." kan? Saya sudah menjawabnya di sana. Tak mengapa. Biar diletak sekali lagi. Untuk caranya sila masuk ke http://merahsilu.blogspot.com/2007/06/cara-cara-membeli-buku-bka.html . Saudara boleh copy link ini pada web browser dan tekan enter atau klik link "Cara-cara mendapatkan siri buku BKA dan DVD" di bawah video PilotKembaraNusantara (di bahagian atas blogspot ini)

Tanpa Nama berkata...

MasyaAllah.. tuan menjelaskan dengan begitu baik sekali..