Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Oktober 15, 2019

Aksara, naskhah & Tamadun Alam Melayu - Daripada perkembangan tulisan ke pemikiran akal logik mantik

Salam hari Selasa malam Rabu 15 Oktober 2019 bersamaan 17 Safar 1441 Hijriah. Nampaknya saya tidak dapat lagi berehat daripada menulis. Lepas satu timbul satu lagi acara yang harus dihadiri kemudian harus menulis tentangnya. Ini lagi satu.


Poster ini menunjukkan acara terbaru di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Saya telah menerima undangan daripada mereka sejak bulan awal September lalu memberikan komitmen akan hadir. Acara diadakan Selasa hingga Khamis 15-17 Oktober pagi hingga ke petang. Saya telah berbincang dengan isteri. Agar tidak perlu berulang alik dari rumah ke lokasi 50 km sekali pergi (pergi balik dah 100 km), perlu pula mengharungi kesesakan jalan raya sepanjang perjalanan saya akan bermalam di mana-mana, surau atau masjid. Tahulah nanti nak cari yang mana atau di mana kerana sudah biasa bermusafir begitu.


Atur cara yang diberikan, senarai pembentang dan tajuk-tajuk sangat menarik. Bagi orang yang sayangkan ilmu terutama melibatkan Melayu rugi tak pergi. Begini atur cara bagi hari pertama :-



8.00 pagi - 8.30 pagi : Pendaftaran dan ketibaan para jemputan

8.30 pagi - 9.00 pagi :  Ucaptama oleh: Prof. Dr. Wardiman Djojonegoro, Bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia

9.00 pagi  : Sesi I Aksara: Skrip Kuno Melayu

Pengerusi : Prof. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz (Universiti Putra Malaysia)

Pembentang : Prof. Madya Dr. Uli Kozok (University Hawaii, Honolulu) - Sejarah perkembangan tradisi tulisan Melayu dari Zaman Buddha ke Zaman Islam 

Pembentang : Encik Hermansyah (Universiti Islam Negeri Ar-Raniry) - Perkembangan Naskhah dan Aksara Jawi di Aceh

Pembentang: YBhg. Datuk Prof. Dr. Awang bin Sariyan (Penyandang Kursi Za’ba UPSI) - Sumbangan Manuskrip Melayu Lama Kepada  Peradaban Bangsa: Catatan Berdasarkan Beberapa Teks

 Sesi soal jawab

10.00 pagi : Minum pagi

10.30 pagi – 1.00 t/hari : Sesi II Aksara: Skrip Rumpun Melayu

Pengerusi : Prof. Madya Dr. Ab. Razak bin Ab. Karim (Universiti Malaya)

Pembentang : Prof. Dr. Nurhayati Rahman (Universiti Hasannuddin, Indonesia) - Karakteristik Teks dan Naskhah-Naskhah Bugis

Pembentang : Dr. Maridah binti Alias (IPG, Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur) - Budaya dan Pemikiran Melingkar Akal Budi, tidak Daif Peribadi

Pembentang : Prof. Dr. Azyurmadi Azra (Syarif Hidayatullah State Islamic University, Indonesia) - Nakhah (Keraton) Islam Dunia Melayu-Nusantara: Sumber Peradaban Islam Asia Tenggara

Sesi soal jawab

1.00 t/hari - 2.00 petang : Makan tengahari / solat

2.30 petang - 3.30 petang : Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2019

3.30 petang - 4.30 petang : Sesi III Batu Bersurat Alam Melayu

Pengerusi : Prof. Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd. Zarif (Universiti Sains Islam Malaysia)

Pembentang : Prof. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz (Universiti Putra Malaysia) - Batu Bersurat Terengganu Sebagai Asas Bahasa Melayu Klasik

Pembentang : Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir (Universiti Putra Malaysia) - Bidang Nyaya/Mantik/Logik dalam Batu Bersurat Tamadun Melayu?

Sesi soal Jawab

5.00 petang : Bersurai


Saya bertolak daripada rumah selepas jam 8.30. Masuk ke dewan auditorium PNM tempat acara diadakan pada jam 9.40 iaitu lebih sejam lewat kerana menurut atur cara jam 8.30 bermula ucaptama dan ia harus selesai sebelum jam 9 kerana pada waktu tersebut dijadualkan bermula sesi pertama pembentangan ilmu.


Memang nampaknya sudah terlepas ucaptama oleh Profesor Dr. Wardiman Djojonegoro, bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia. Tetapi semasa saya sampai itu beliau sedang menambah dengan memberikan pembentangan tentang manuskrip panji Melayu sebagai satu warisan bersama (Malaysia-Indonesia).








Malah selepas jam 10 baru bermula sesi pertama. Pembentang pertama, Profesor Madya Dr. Uli Kozok daripada University Hawaii, Honolulu membawa tajuk "Sejarah perkembangan tradisi tulisan Melayu dari Zaman Buddha ke Zaman Islam".





Beliau secara rata menunjukkan perkembangan penggunaan aksara Melayu daripada tulisan atau skrip Pallava dengan bahasa kuno yang banyak menggunakan kosa kata Sanskrit ke tulisan Jawi dengan bahasa Melayunya lebih menghampiri keadaannya kini dengan penggunaan banyak kosa kata Arab.


Cuma kesimpulan yang diberikan kurang enak. Walaupun saya bersetuju bahawa Alam Melayu sudah sedia bertamadun tinggi sebelum kedatangan Islam mengatakan tidak banyak perubahan berlaku selepas kemasukan Islam adalah suatu dakwaan yang tidak boleh diterima...





Menurut atur cara pembentang kedua adalah  Encik Hermansyah daripada Universiti Islam Negeri Ar-Raniry di Aceh. Sebaliknya tidak kelihatan kelibat beliau lalu  Profesor Datuk Dr. Awang bin Sariyan yang disenaraikan sebagai pembentang ketiga diawalkan pembentangannya. Awang yang merupakan penyandang Kursi Za’ba UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) pernah mengajar saya subjek "Islam dalam Sejarah dan Budaya Melayu" di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Lihat artikel Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC yang ditulis setahun lalu. Untuk majlis ini beliau membawa tajuk "Sumbangan Manuskrip Melayu Lama Kepada  Peradaban Bangsa : Catatan Berdasarkan Beberapa Teks".


Diberikanlah latar belakang tentang manuskrip dan bagaimana pentingnya ia buat tamadun Melayu.










Diberikan beberapa saranan untuk memajukan keadaan. Tak perlulah dihuraikan apa yang boleh dibaca sendiri dengan jelas ya...





Selepas waktu rehat untuk kudapan pagi saya kembali ke auditorium sedikit lewat lalu mendapati pembentang pertama sesi kedua, Profesor Dr. Nurhayati Rahman daripada Universiti Hasanuddin, Indonesia telah memulakan perkongsian. Ketika gambar ini diambil sudah jam 11.47. Sedangkan sesi sepatutnya bermula jam 10.30. 


Beliau membawa tajuk "Karakteristik Teks dan Naskhah-Naskhah Bugis". Satu perkara menarik disebut tentang aksara Bugis yang masih diguna pakai hingga ke hari dalam bentuk tulisan lama tradisional pada daun lontara yang digulung seperti tape atau pita dalam kaset. Setiap huruf atau aksara adalah berasaskan segi empat yang didirikan pada bucu seperti ketupat, bucu-bucu menunjukkan ke arah utara, barat, selatan dan timur. Utara membawa maksud kepintaran atau kecendiakawanan, barat membawa maksud berdagang atau berniaga (saya tulis ikut yang ingat ya. Kalau silap tolong betulkan). Selatan membawa maksud kekuasaan. Timur membawa maksud keberanian/kepahlawanan. Menurut Nurhayati orang Bugis mesti sekurang-kurangnya memiliki salah satu ini. Ia adalah jati diri Bugis yang kemudian tergambar pada bentuk aksara tradisional.


Seterusnya muncul Hermansyah dari Aceh membawa tajuk yang kelihatan. Sudah disebut tadi  beliau sepatutnya adalah pembentang kedua sesi pertama. Sekarang sudah dijadikan pembentang kedua sesi kedua pula...


Beliau menyenaraikan manuskrip sebagai antara khazanah warisan Aceh...








Disebutlah tentang perkembangan penulisan di Aceh kemudian diberikan beberapa cadangan bagi memajukan perkara.


Pembentang ketiga sesi, Dr. Maridah binti Alias dari IPG (Institut Pendidikan Guru), Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur membawa tajuk "Budaya dan Pemikiran Melingkar Akal Budi, tidak Daif Peribadi" dengan menonjolkan tulisan Jawi.


Kepentingan tulisan Jawi dan seni khat diangkat sebagai satu aspek amat penting ketamadunan Melayu.


Oh. Setiap pembentang telah dihadkan masa menjadi 15 minit untuk berkongsi ilmu berbanding 20-30 minit menurut jadual asal. Dengan cara itu dicampur fakta bahawa seorang pembentang iaitu Prof. Dr. Azyurmadi Azra  daripada Syarif Hidayatullah State Islamic University, Indonesia tidak dapat muncul pada sesi ini, jadual dapat dikembalikan kepada landasannya apabila sesi ditamatkan pada jam 12.40 iaitu 20 minit sebelum rehat makan tengah hari disenaraikan bermula jam 1.


Majlis disambung jam 2.30 dengan kedatangan tetamu kehormat, YB Datuk Mohamaddin bin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia lalu hadirin diminta bangun untuk menyanyikan lagu Negaraku diikuti lagu Malaysia Bersih (?).


Diadakan persembahan kebudayaan kemudian ucapan oleh Ketua Pengarah PNM, Puan Maizan binti Ismail diikuti satu lagi persembahan kebudayaan sebelum Mohammaddin memberikan ucapan lalu merasmikan keseluruhan majlis.


Jam 3.50 sesi pembentangan ketiga di mulakan dengan Profesor. Madya Dr. Adi Yasran bin Abdul Aziz daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa tajuk "Batu Bersurat Terengganu Sebagai Asas Bahasa Melayu Klasik". Sementara itu Mohamaddin dan dif-dif kehormat telah turun ke aras bawah bangunan utama PNM untuk perasmian pameran yang terkait dengan majlis.



Adi memberikan pengenalan tentang Batu Bersurat Terengganu diikuti Batu Bersurat Pagar Ruyung dan Batu Bersurat Minye Tujuh (di Aceh) lalu membuat perbandingan antara ketiga-tiga batu.


'



Didapati apabila disenaraikan 10 ciri-ciri yang membolehkan suatu batu bersurat itu dikatakan ditulis dalam bahasa Melayu klasik (yang sudah ada pengaruh Arab dan Jawi) Batu Bersurat Terengganu memenuhi 7 ciri, Batu Bersurat Pagar Ruyung tiada langsung dan Batu Bersurat Minye Tujuh 2 ciri...





Pembentang kedua sesi merangkap pembentang terakhir bagi hari Selasa, Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir juga daripada UPM kemudian membawa tajuk "Bidang Nyaya/Mantik/Logik dalam Batu Bersurat Tamadun Melayu?".


Secara rata beliau cuba mencari bukti apa-apa penggunaan ilmu logik/mantik dalam batu-batu bersurat di Asia Tenggara supaya boleh dibandingkan dengan perkembangan ilmu serupa di belahan dunia yang lain, misalnya ilmu logik Aristotle (ahli falsafah Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi) yang kaedah pemikirannya digunapakai ulamak-ulamak silam Islam bermula pada abad ke-8 Masihi sehingga terciptalah disiplin seperti ilmu kalam.


Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,855 di blogspot ini.


Artikel mula ditulis ketika perasmian majlis kemudian disambung di ruang membaca aras bawah PNM jam 5.50 hingga 6.50. Penulisan disambung kembali di sebuah restoran dekat Jalan Tuanku Abdul Rahman selepas solat Maghrib dan makan malam lalu selesai selepas masuk waktu Isyak. 


Selepas ini saya harus menyelesaikan satu urusan di satu tempat di Cheras 21 km ke selatan PNM. Kemudian carilah tempat tidur di mana-mana masjid ataupun surau asalkan mudah untuk ke majlis bagi sesi pagi esok Rabu 16 Oktober.


Tiada ulasan: