Merujuk pada artikel
Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Muar-Pagoh-Gunung Ledang-Jelai yang dipersembahkan 3 hari lalu. Pada perenggan terakhir artikel ada disebut bahawa "Esoknya akan berlaku perjalanan yang lebih menarik di mana kami dapat menjejak beberapa buah masjid lama berusia sekitar 100 tahun atau lebih walaupun ini asalnya langsung tiada dalam rancangan". Hari ini biar dikongsikan cerita berkenaan. Maka bersambunglah kisah daripada artikel tersebut.
Tengah hari Sabtu 1 Ogos 2020, ketika saya masih lagi berada di Muar seorang kawan sejak zaman kolej akhir tahun 80an telah menunjukkan gambar-gambar sebuah masjid lama di Negeri Sembilan melalui Facebook lalu mengajak ke sana hari Isnin. Memandangkan saya dan keluarga memang mahu bergerak ke NS petang itu saya pun memberitahu akan menjejak sendiri masjid pada keesokannya hari Ahad. Melalui Google Map didapati kedudukannya tidak jauh daripada jalan yang mahu diambil ketika menuju kembali ke Lembah Klang nanti. Satu rancangan spontan pun mula dirangka ketika itu.
Tengah hari Ahad 2 Ogos. Setelah puas berada di rumah kakak isteri di Felda Jelai kami pun memulakan penjejakan.
Dari Felda Jelai ada jalan barat menuju ke masjid lama yang dimaksudkan. Tetapi saya memilih untuk mengambil jalan sebelah timur kerana mahu menghilir terlebih dahulu bahagian Sungai Muar yang berdekatan.
Adapun Sungai Muar yang kualanya terletak di daerah kelahiran saya iaitu Muar berpunca di Negeri Sembilan. Fikir saya selepas menyusuri Sungai Muar berdekatan Felda Jelai akan masuk jalan dalam ke masjid lama. Sebaliknya kami 'ditarik' ke arah Bahau.
Apa yang berlaku adalah kami sepatutnya mengambil satu simpang kiri di pekan Rompin 20 km di selatan Bahau. Sebaliknya isyarat bagi program Google Map tersangkut teruk sehingga terlepas simpang lalu kami bergerak terus ke arah Bahau.
Saya ambil ini sebagai petanda bahawa kami harus membuat persinggahan di satu tempat di Kampung Jambu Lapan sekitar 3 km ke timur Bahau.
Di situ terdapat apa yang dipanggil sebagai Sungai Pertemuan iaitu pertemuan antara Sungai Muar dengan Sungai Jempol.
Ia adalah sebahagian daripada laluan purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan. Cerita tentangnya sudah disebut beberapa kali disentuh dalam blogspot ini. Boleh rujuk artikel-artikel berikut :-
Selepas itu baru ke masjid lama yang gambarnya ditunjukkan oleh kawan. Letaknya cuma sekitar 7 km sahaja ke timur Sungai Pertemuan.
Adapun ketika mencari maklumat tentang masjid pada malam sebelumnya didapati terdapat beberapa buah lagi masjid lama tidak beberapa jauh dari situ yang masing-masing berumur sekitar 100 tahun atau lebih. Saya pun merangka laluan paling ekonomi untuk meliputi semua lalu singgah di masjid ini. Letaknya sekitar 4.5 km ke timur-daya masjid tadi. Lihat
Masjid lama (Old mosque of) Kampung Rembang Panas.
Masjid seterusnya mahu disinggahi terletak di Jemapoh, dalam laluan utama menuju ke bandar Kuala Pilah dari Bahau. Kebetulan di belah sana ada rumah seorang sepupu kepada isteri. Kami pun singgah ke rumahnya terlebih dahulu. Dapatlah mendengar cerita-cerita menarik tentang almarhum datuk kepada isteri yang berasal dari Kebumen di Pulau Jawa.
Abang sepupu ini sangat rapat dengan datuk mereka bernama Haji Salleh lalu dapat merasai dan melihat beberapa pengalaman mistik. Antaranya menunggang harimau (ghaib?) belaan datuknya untuk sampai cepat ke suatu destinasi juga melihat bagaimana datuknya boleh melompat lalu berdiri di atas pelepah pokok pisang. Kelihatan ilmunya lebih kurang seperti watak Datuk dalam siri novel terkenal awal tahun 80an dahulu iaitu "Bercakap Dengan Jin". Isteri pula baru tahu tentang ini. Teringat beberapa tahun lalu kami anak beranak pernah berjalan pusing Pulau Jawa lalu menjejak wilayah asal nenek moyang isteri baik sebelah bapa mahupun sebelah ibu. Sebelum itu kami sempat menjejak wilayah asal seorang datuk belah ibu saya yang juga berdarah Jawa. Lihat artikel-artikel berikut :-
Ternyata masjid lama Jemapoh terletak kurang 1 km selepas rumah abang sepupu menghala ke Kuala Pilah. Beliau memberitahu, menurut orang tempatan masjid itu dijaga oleh jin berserban hijau. Lihat
Masjid lama (Old mosque of) Jemapoh.
Perjalanan diteruskan ke Kampung Pelangai sekitar 4 km sebelum Kuala Pilah. Masjid lamanya pada saya sangat menarik.
Masjid lama seterusnya tiada langsung dalam rancangan hari itu. Nasib baik abang sepupu isteri memberitahu. Letaknya dalam bandar Kuala Pilah. Nama masjid pula seperti hendak menyatakan sesuatu. Lihat
Masjid (Mosque of) Tok Muar, Kuala Pilah.
Sesungguhnya Kuala Pilah dan semua masjid-masjid lama di sekitarnya terletak di dalam lembangan Sungai Muar iaitu kawasan yang disaliri oleh sungai tersebut dan anak-anak sungainya. Malah Masjid Tok Muar juga Masjid Terusan iaitu masjid lama pertama disinggahi dalam perjalanan ini terletak hampir bersebelahan Sungai Muar
Seterusnya kami mengambil jalan alternatif ke arah Seremban iaitu bukan jalan utama Kuala Pilah- Seremban demi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang selalu teruk melanda jalan tersebut pada hujung minggu. Begitu teruknya kesesakan sehingga Google Map memberitahu jika mengambil jalan alternatif sehingga ke Tanjung Ipoh kemudian masuk ke Seri Menanti lalu masuk kembali ke jalan utama melalui laluan ke hadapan sedikit dapat menjimatkan 40 minit. Sedangkankan ia adalah tambahan 8 km berbanding mengambil jalan utama sepanjang 38 km itu. Menurut Google Map kesesakan memakan masa lebih satu setengah jam.
Baik laluan utama mahupun laluan alternatif membawa ke arah hulu Sungai Muar. Cuma laluan alternatif yang meliputi bukit bukau lebih dekat dengan sungai tetapi perlu turun naik bukit masuk kampung orang...
Ziarahlah kami ke makam wali Allah yang terkenal awal abad ke-20 ini di hadapan masjid. Yang ini baru termasuk dalam rancangan asal persinggahan kami di NS iaitu sebelum diberitahu oleh kawan tentang masjid lama. Tentang siapakah Tuan Tulis boleh rujuk melalui artikel lama ini -
Berkenaan 7 wali Melayu dan lawatan ke makam-makam mereka.... Saya cuba mencari penerangan dalam artikel-artikel lama saya tetapi mendapati sudah banyak kali makam disinggahi lalu disebut dalam cerita tetapi tidak diterangkan panjang lebar siapakah beliau.
Kalau ikut rancangan asal selepas ziarah makam Tuan Tulis kami mahu ke bandar diraja Negeri Sembilan iaitu Seri Menanti. Kebetulan itu juga laluan terbaik ditunjukkan Google Map untuk mengatasi kesesakan di jalan utama Kuala Pilah-Seremban. Tetapi disebabkan ketika meninggalkan masjid pun sudah dekat jam 6 petang kami tak jadi singgah. Sebaliknya kami meneruskan dengan mengambil satu lagi jalan alternatif ke Seremban. Ia tidak ditunjukkan oleh Google Map tetapi ada papan tanda menunjukkannya di hadapan Masjid Tuan Tulis.
Walaupun tidak ditunjukkan oleh Google Map saya dapat mengesahkan ia boleh dilalui sehingga sampai ke bahagian hadapan jalan utama dengan menggunakan program tersebut. Cuma kita harus pandai membaca peta yang terdapat dalam Google Map secara manual. Nampaknya program tidak dapat merangka jalan alternatif menggunakan laluan yang melepasi beberapa simpang kampung itu.
Malah sampai satu bahagian jalan dalam peta pun kelihatan terputus. Tetapi saya dapat melihat secara fizikal dibantu 2-3 buah papan tanda bahawa ia masih boleh membawa lebih jauh ke hadapan menghala ke Seremban sebelum masuk kembali ke jalan utama. Oleh kerana laluan membawa dekat ke jalan masuk ke sebuah empangan kami pun cuba masuk ke sana. Sayang pintunya terkunci, orang awam dilarang masuk.
Untuk makluman baru sehari dua itu saya dapat tahu empangan ini terletak di bahagian lebih ulu Sungai Muar berbanding satu empangan sedikit ke bawah yang kami suami isteri pernah sampai. Lihat artikel-artikel berikut :-
Adalah menjadi harapan saya satu hari nanti dapat menyusuri Sungai Muar sehingga ke sebetul-betul punca di lereng-lereng gunung. Peta menunjukkan, untuk itu saya harus mengkaji kawasan tanah tinggi Gunung Telapak Buruk (1,193 tinggi meter daripada paras laut) yang bahagian selatannya disempadani oleh jalan Kuala Pilah-Seremban membawa ke bandar Kuala Klawang dan daerah Jelebu ke utara. Punca berupa anak-anak sungai kini susah hendak kelihatan dalam peta. Ia memerlukan ekspedisi turun padang masuk hutan naik bukit bukau dan gunung ganang yang memenatkan serta memakan masa. Ini kerana kawasan-kawasan punca telah menjadi tasik-tasik akibat wujudnya empangan di tempat-tempat yang disebutkan di atas ini.
Sesungguhnya Sungai Muar memiliki peranan yang sangat penting dan strategik dalam sejarah lama Negeri Sembilan. Terdapat ramai penduduk awalnya datang berhijrah melalui sungai yang bermuara di daerah Muar (pernah bertaraf negeri sebelum diserapkan ke dalam Johor). Rasanya lebih separuh sungai-sungai yang berada di timur negeri iaitu ke timur Banjaran Titiwangsa terutama di sekitar Kuala Pilah dan Bahau mengalir masuk untuk membentuk aliran Sungai Muar. Malah bandar diraja NS iaitu Seri Menanti itu sendiri asalnya adalah sebahagian daripada Luak Ulu Muar, luak yang mendapat nama kerana terletak di bahagian hulu Sungai Muar. Raja-raja awal NS berketurunan Minang yang berasal dari Pagaruyung, Sumatera dapat bertakhta dan memiliki kawasan pusat melalui restu Penghulu Ulu Muar.
'
Apapun selepas itu kami berjaya melepasi semua bahagian sesak di jalan utama Kuala Pilah- Seremban. Dari laluan alternatif kami dapat sampai ke bahagian hadapan jalan mendekati Seremban yang tiada lagi kesesakan lalu lintas. Sampai ke kawasan rekresai Ulu Bendol baru berhenti untuk makan tengah hari lewat merangkap makan malam awal. Lihat artikel
A stop at Ulu Bendol recreation forest di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
7 ulasan:
Assalamualaikum tuan saya harap dapat menimba ilmu sejarah lebih banyak seperti tuan
Assalamualaikum tuan saya (Fachrul Razi) ingin bertanya tentang susur galur keturunan tuan Radzi Sapiee. Misalnya keturunan sebelah ibu dan bapa dan keturunan moyang tuan. Tiada sebarang niat buruk pun. Hanya memandang dari perspektif sejarah nusantara semata-mata
Assalamualaikum tuan saya (Fachrul Razi) sebenarnya merupakan salah satu daripada penggemar blog tuan dan juga sejarah peribadi tuan. Kalau ikutkan hati banyak persoalan sejarah yang bermain di fikiran saya yang ingin saya tanyakan kepada tuan. Tetapi untuk hari ini cukup lah satu persoalan sahaja iaitu mengenai sejarah jalan penarikan. Terlintas tak di hati tuan kalau ikut logik Dato'Sempedang atau gelaran lain Shah Pedang lah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan jalan penarikan kepada umum. Adakah ini mungkin memberi gambaran seolah-olah belum ada lagi penduduk atau tamadun yang mendiami kawasan sekitar Jalan penarikan itu sendiri. Sedangkan dikatakan Dato'Sempadang adalah orang Pasai yang membuka Jalan penarikan. Bagaimana mungkin orang Pasai yang jauh nun di sana dapat mengetahui lokasi jalan penarikan sedang kan penduduk setempat (jika ada) tidak tahu tentang hal itu yakni merujuk jalan penarikan itu sendiri. Saya harap kalau ada masa free tuan boleh lah reply persoalan saya. Terima kasih.
Satu lagi tuan lupa nak sebut tadi kalau tiada siapa yang mahu komen di blog ini biarlah saya jadikan blog ini sebagai medium untuk saya memperoleh lebih banyak ilmu sejarah. Diharap tuan harus berlapang dada kerana masih banyak persoalan yang ingin saya pertanyakan pada tuan. Lagi pun ilmu semakin dibelanjakan pasti semakin banyak dan tidak pernah kurang. Terima kasih. Jangan marah haa nanti kena jual. Hehhe gurau saja
Baru saya perasan nama saya dan tuan agak sama walaupun berlainan ejaan
Wassalam. Keturunan saya sebelah bapa adalah daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. Dikatakan ia ada darah kerabat diraja Aceh, Bugis dan Melaka/Perak. Darah Aceh itu dipercayai bersambung hingga ke Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera-Pasai. Belah ibu ayahnya Bugis, dikatakan keturunan Daeng Parani, ibunya Jawa, dipercayai sampai ke Sunan Gunung Jati. Tentang Jalan Penarikan dikatakan Datuk Sempedang mengetuai 9 buah keluarga dari Pasai yang berhijrah lalu menetap di Jempol. Dikatakan juga sebenarnya ramai lagi keluarga ikut berhijrah dari Pasai tapi berhenti lalu menetap di tempat-tempat berlainan sepanjang Sungai Muar. Ada memberitahu pernah berlaku bencana di Pasai seperti Tsunami menyebabkan mereka berhijrah. Tetapi boleh jadi juga disebabkan hal lain.
Menurut satu sumber pernah seorang raja dan rombongan meninggalkan kerajaan Perlak (ke tenggara dari Pasai tapi kemudian menjadi sebahagian daripada Pasai, kemudian Pasai pula masuk dalam Aceh) lalu membuka kerajaan di kuala Sungai Muar. Mungkin atas sebab itu orang Pasai seperti Datuk Sempedang boleh mengetahui mengenai Jalan Penarikan? Wallahualam.
Jika benar rombongan dari Perlak ada mendirikan sebuah kerajaan purba di Kuala Sungai Muar tetapi kenapa tiada sebarang maklumat mengenai hal ini atau mungkin sengaja digelapkan atas faktor geopolitik semata mata. Wallahualam bissawab
Catat Ulasan