Tengahari Ahad lepas Zuhur, 4 Julai 2010 bersamaan 21 Rejab 1431 Hijriah timbul rasa untuk mencari sebuah bukit tertentu di Kuala Selangor. Seperti biasa isteri mahu ikut membawa anak kecil kami bersama. Tiba di kereta tengok-tengok ada sejenis ulat bulu pelik yang belum pernah kami lihat seumur hidup melekat pada pintu.
Dari rumah di Bandar Tasik Puteri, kami masuk ke Batu Arang menghala ke Batang Berjuntai sebelum menyeberangi Sungai Selangor melalui sebuah jambatan kecil membawa ke sebuah jalan melepasi Universiti Selangor (Unisel) yang boleh membawa ke Tanjung Karang juga Kuala Selangor. Sampai di Kampung Raja Musa hati saya terbetik di sini ada bukit. Ternyata memang ada tetapi selama ini saya yang terlepas pandang...
Walaupun pernah melalui jalan ini sekurang-kurangnya 2 kali sebelum itu saya tidak pernah terlihat walau satu pun bukit berdekatan. Rata-rata muka bumi di sekitar sehingga ke beberapa batu setiap arah adalah landai sedangkan bukit yang ada tidaklah setinggi mana... dengan mudah ia boleh terkepong di sebalik pepohon kelapa sawit dan sebagainya...
Untuk bukit yang baru saya tahu akan kewujudannya ini pula iaitu Bukit Tangga (baru saya tahu nama setelah melihat papantanda), ia rata-rata telah dijadikan tanah perkuburan Cina. Maka kalau ada kesan sejarah Melayu pun rasanya sudah terhakis begitu sahaja. Lagipun bukit yang ingin dicari sebenarnya bernama Bukit Raja. Katanya ia terletak di Kampung Permatang, lebih dekat ke pekan Kuala Selangor. Untuk pengetahuan, walaupun pekan ini terletak sekitar 20 km perjalanan kereta dari Kampung Raja Musa (kalau boleh terbang terus, jaraknya cuma 15 km sahaja...), daerah Kuala Selangor lebih luas sehingga meliputi Batang Berjuntai dan Ijok.
Dalam artikel Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung yang ditulis pada hari yang sama selepas artikel Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab ada diceritakan, selepas mendaki Bukit Jeram saya pergi ke Bukit Melawati lalu memasuki muzium yang ada. Kemudian disebut :
Di muzium itu saya menyemak kembali maklumat dengan kedudukan bukit-bukit bersejarah yang ada di dalam daerah Kuala Selangor termasuk Bukit Jeram. Rupa-rupanya Jeram pernah menjadi satu pelabuhan penting dahulukala. Di bukit itu beberapa kerabat diraja pernah mendirikan pusat. Ia juga pernah dijadikan markas tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Adapun dalam beberapa bukit bersejarah yang tersenarai cuma tinggal lagi satu bukit sahaja yang saya tidak tahu lokasinya. Ia adalah Bukit Hospital (yang kemudian saya temui lalu diceritakan dalam artikel tersebut)...
Rupa-rupanya tersilap. Saya juga tidak tahu di manakah letaknya Bukit Raja kecuali ia berada di Kampung Permatang yang pun tak tahu kat mana. Dengan kuasa Allah, selepas Kampung Raja Musa saya terlepas simpang menuju ke Kuala Selangor lalu terus menghala ke Tanjung Karang. Selepas menyedari kesilapan, saya cuba mencari simpang seterusnya yang boleh membawa ke Kuala Selangor. Lalu dengan tidak sengaja ternampak bukit ini...
Oh. Pengawal sekolah memberitahu bahawa ada orang yang rajin masuk ke Bukit Raja lalu membersihkan kawasan makam. Katanya orang itu juga selalu menziarahi makam-makam lama di satu bukit lain dipanggil Bukit Talang. Saya pun meminta arah ke sana. Kebetulan jalan yang akan diambil melalui Bukit Belimbing. Saya pun singgah bersolat di masjid berdekatan. Lihat Masjid (Mosque of) Nurul Hasanah, Bukit Belimbing, Kuala Selangor. Seperti biasa anak kecil kami Al-Rasyid cukup seronok apabila dapat keluar berjalan...
Kelihatan di latar-belakang gambar Bukit Belimbing dilihat dari luar kawasan masjid. Bukit ini boleh dikatakan pencetus asal pada gerak serius mencari jejak sejarah di bukit-bukit kecil sekitar Kuala Selangor. Lihat artikel Apa ada di Bukit Belimbing? yang ditulis setengah tahun lalu.
Kemudian baru kami mencari bukit yang disebut pengawal sekolah sebagai tempat seorang pelawat ke Bukit Raja juga selalu bertandang untuk menziarahi makam-makam lama. Namanya ialah Bukit Talang, terus teringat kata seorang saudara belah Bugis bahawa keturunannya (sebenarnya keturunan saya juga tetapi induk keturunan saya lebih kuat ke Aceh) dilarang makan ikan talang.
Rupa-rupanya Bukit Talang ini terletak di Kampung Raja Musa juga, kena berpatah-balik lebih 10 km menghala ke Batang Berjuntai. Malah boleh kelihatan Bukit Tangga yang kami temui lebih awal sedikit ke belakang. Patutlah semasa meninggalkan Kampung Raja Musa awal tadi saya terasa ada lagi bukit, selain Bukit Tangga yang dipenuhi kuburan Cina. Cuma saya yang selalu terlepas pandang...
Apapun, Bukit Talang nampaknya adalah bukit utama di sekitar ini. Ladang kelapa sawit yang meliputi jarak lebih 5 km gitu ke semua arah dikenali sebagai estet Bukit Talang. Saya pun naik memanjat untuk menikmati pemandangan yang ada. Lihat artikel Views from Bukit Talang near Kuala Selangor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
6 ulasan:
Comeeelnyaa AlRashid...
Alhamdulillah, saya sedang menyiapkan laman utk tapak kota2 bersejarah melayu di semenanjung. Info yg tuan berikan amat saya hargai.
Sejarah tak berapa penting... Masa sekarang dan yg akan datang jauh lebih penting.....
Sy nak cari umah tradisional 100 th lebih di hilir perak. . Admin tau tak
di kg permatang tu ada tak rumah kampung lama yg tiga tingkat. teringin nak jejak kaki juga mencari reka bentuk rumah melayu lama
Bukit talang tu sempena berkaitan isu bugis tak blh mkn ikan talang ke?
Catat Ulasan