Jumaat, Julai 09, 2010

Mencari Bukit Raja di Kuala Selangor... singgah juga di Bukit Talang, Kampung Permatang dan beberapa tempat

Assalamualaikum. Dalam artikel Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab yang ditulis 3 minggu lalu, saya ada menyebut : 

Hmm... entah kenapa saya masih tidak dapat meluahkan cerita tentang perjalanan menaiki keretapi ke utara yang dibuat hingga masuk ke Hatyai, Thailand lebih 3 minggu lalu. Kalau siap itu saya bercadang mahu melepaskan cerita perjalanan ke Perak yang turut meliputi tempat-tempat di Bernam, Selangor selain Lumut, Beruas dan sekitar Pantai Remis, Perak. Perjalanan itu boleh dikira kesinambungan dari perjalanan menziarahi kesemua makam Sultan dan tokoh-tokoh utama di sepanjang aliran Sungai Perak yang dibuat 6 minggu lebih awal. Kalau cerita perjalanan Perak itu selesai, saya bercadang untuk akhirnya melepaskan cerita perjalanan pertama saya dan isteri ke Aceh membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid penghujung Januari 2010.

Adapun cerita perjalanan keretapi hingga ke Hatyai itu telahpun tamat apabila artikel Projek buku keretapi : Kembali dari Hatyai daaa... siap disajikan seminggu lalu. Maka itu saya harus menyajikan cerita perjalanan ke Perak untuk seterusnya. Namun dalam tempoh terdekat ini berlaku sesuatu yang menyebabkan cerita-cerita Perak itu cuma dapat disajikan paling awal pun minggu hadapan. Sekarang, saya harus melepaskan beberapa cerita melibatkan Selangor...

Tengahari Ahad lepas Zuhur, 4 Julai 2010 bersamaan 21 Rejab 1431 Hijriah timbul rasa untuk mencari sebuah bukit tertentu di Kuala Selangor. Seperti biasa isteri mahu ikut membawa anak kecil kami bersama. Tiba di kereta tengok-tengok ada sejenis ulat bulu pelik yang belum pernah kami lihat seumur hidup melekat pada pintu.


Dari rumah di Bandar Tasik Puteri, kami masuk ke Batu Arang menghala ke Batang Berjuntai sebelum menyeberangi Sungai Selangor melalui sebuah jambatan kecil membawa ke sebuah jalan melepasi Universiti Selangor (Unisel) yang boleh membawa ke Tanjung Karang juga Kuala Selangor. Sampai di Kampung Raja Musa hati saya terbetik di sini ada bukit. Ternyata memang ada tetapi selama ini saya yang terlepas pandang...

Walaupun pernah melalui jalan ini sekurang-kurangnya 2 kali sebelum itu saya tidak pernah terlihat walau satu pun bukit berdekatan. Rata-rata muka bumi di sekitar sehingga ke beberapa batu setiap arah adalah landai sedangkan bukit yang ada tidaklah setinggi mana... dengan mudah ia boleh terkepong di sebalik pepohon kelapa sawit dan sebagainya...


Kenapa ingin mencari bukit? Kerana sejak kebelakangan ini saya semakin terasa bukit-bukit di sekitar Kuala Selangor banyak yang memiliki kesan sejarah silam Melayu lama terutama berkaitan Bugis. Kesan-kesan ini mungkin sudah hilang tetapi auranya adakala masih boleh terasa. Namun aura lama boleh ditenggelami pembinaan estet yang menghancurkan kesan lama fizikal, apalagi apabila ada kuil yang menjadi tempat pemusatan makhluk halus berbangsa kafir menghilangkan kesan spiritual keMelayuan (yang sekurang-kurangnya ada sedikit unsur keIslaman).

Untuk bukit yang baru saya tahu akan kewujudannya ini pula iaitu Bukit Tangga (baru saya tahu nama setelah melihat papantanda), ia rata-rata telah dijadikan tanah perkuburan Cina. Maka kalau ada kesan sejarah Melayu pun rasanya sudah terhakis begitu sahaja. Lagipun bukit yang ingin dicari sebenarnya bernama Bukit Raja. Katanya ia terletak di Kampung Permatang, lebih dekat ke pekan Kuala Selangor. Untuk pengetahuan, walaupun pekan ini terletak sekitar 20 km perjalanan kereta dari Kampung Raja Musa (kalau boleh terbang terus, jaraknya cuma 15 km sahaja...), daerah Kuala Selangor lebih luas sehingga meliputi Batang Berjuntai dan Ijok.


Dalam artikel Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung yang ditulis pada hari yang sama selepas artikel Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab ada diceritakan, selepas mendaki Bukit Jeram saya pergi ke Bukit Melawati lalu memasuki muzium yang ada. Kemudian disebut :

Di muzium itu saya menyemak kembali maklumat dengan kedudukan bukit-bukit bersejarah yang ada di dalam daerah Kuala Selangor termasuk Bukit Jeram. Rupa-rupanya Jeram pernah menjadi satu pelabuhan penting dahulukala. Di bukit itu beberapa kerabat diraja pernah mendirikan pusat. Ia juga pernah dijadikan markas tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Adapun dalam beberapa bukit bersejarah yang tersenarai cuma tinggal lagi satu bukit sahaja yang saya tidak tahu lokasinya. Ia adalah Bukit Hospital (yang kemudian saya temui lalu diceritakan dalam artikel tersebut)...

Rupa-rupanya tersilap. Saya juga tidak tahu di manakah letaknya Bukit Raja kecuali ia berada di Kampung Permatang yang pun tak tahu kat mana. Dengan kuasa Allah, selepas Kampung Raja Musa saya terlepas simpang menuju ke Kuala Selangor lalu terus menghala ke Tanjung Karang. Selepas menyedari kesilapan, saya cuba mencari simpang seterusnya yang boleh membawa ke Kuala Selangor. Lalu dengan tidak sengaja ternampak bukit ini...


Pondok yang ada kelihatan sama seperti dalam gambar Bukit Raja yang ada di muzium, pondok yang melindungi satu kawasan pemakaman diraja. Alhamdulillah setelah bertanyakan penduduk memang inilah bukitnya. Dan kawasan ini memang termasuk di dalam Kampung Permatang!


Untuk naik ke atas, kita boleh masuk melalui kawasan sekolah...

 

Maklumat yang ada menyebut bukit ini pernah menjadi tempat Raja Nala berkubu menentang Belanda. Untuk pengetahuan Raja Nala adalah anakanda kepada Sultan pertama Selangor, Sultan Salehuddin @ Raja Lumu ibni Daeng Chelak. Raja Nala menjadi Raja Muda ketika kekandanya Sultan Ibrahim memerintah sebagai Sultan kedua penghujung abad ke 18 Masihi.

 

Namun setahu saya Raja Nala sendiri mangkat di Aceh. Maka saya tak tahu siapakah yang disemadikan di bukit ini., apakah ahli keluarga terdekat Raja Nala? Yang pasti mereka memang kerabat diraja lama. Lihat artikel Kawasan pemakaman diraja (Royal mausoleum of) Bukit Raja, Kampung Permatang, Kuala Selangor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

 

Di tepi pintu masuk makam terdapat barang lama, saya pun tak pasti apa... macam meriam kecil pula rupanya...

 

Oh. Pengawal sekolah memberitahu bahawa ada orang yang rajin masuk ke Bukit Raja lalu membersihkan kawasan makam. Katanya orang itu juga selalu menziarahi makam-makam lama di satu bukit lain dipanggil Bukit Talang. Saya pun meminta arah ke sana. Kebetulan jalan yang akan diambil melalui Bukit Belimbing. Saya pun singgah bersolat di masjid berdekatan. Lihat Masjid (Mosque of) Nurul Hasanah, Bukit Belimbing, Kuala Selangor. Seperti biasa anak kecil kami Al-Rasyid cukup seronok apabila dapat keluar berjalan...


  Kelihatan di latar-belakang gambar Bukit Belimbing dilihat dari luar kawasan masjid. Bukit ini boleh dikatakan pencetus asal pada gerak serius mencari jejak sejarah di bukit-bukit kecil sekitar Kuala Selangor. Lihat artikel Apa ada di Bukit Belimbing? yang ditulis setengah tahun lalu.


  Kemudian baru kami mencari bukit yang disebut pengawal sekolah sebagai tempat seorang pelawat ke Bukit Raja juga selalu bertandang untuk menziarahi makam-makam lama. Namanya ialah Bukit Talang, terus teringat kata seorang saudara belah Bugis bahawa keturunannya (sebenarnya keturunan saya juga tetapi induk keturunan saya lebih kuat ke Aceh) dilarang makan ikan talang.


  Rupa-rupanya Bukit Talang ini terletak di Kampung Raja Musa juga, kena berpatah-balik lebih 10 km menghala ke Batang Berjuntai. Malah boleh kelihatan Bukit Tangga yang kami temui lebih awal sedikit ke belakang. Patutlah semasa meninggalkan Kampung Raja Musa awal tadi saya terasa ada lagi bukit, selain Bukit Tangga yang dipenuhi kuburan Cina. Cuma saya yang selalu terlepas pandang...

Apapun, Bukit Talang nampaknya adalah bukit utama di sekitar ini. Ladang kelapa sawit yang meliputi jarak lebih 5 km gitu ke semua arah dikenali sebagai estet Bukit Talang. Saya pun naik memanjat untuk menikmati pemandangan yang ada. Lihat artikel Views from Bukit Talang near Kuala Selangor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas itu kami kembali menghala ke pekan Kuala Selangor. Saya mengambil peluang ini untuk meneliti balik kedudukan bukit-bukit kecil. Kelihatan di sini Bukit Kemuning tidak jauh dari Bukit Belimbing. Bukit Kemuning menjadi bukit kecil kedua yang pernah dilawati sekitar ini, lawatan yang dibuat akibat ingin mengambil gambar Bukit Belimbing seterusnya membawa kepada ziarah ke sebuah makam lama sehingga terbuka berbagai cerita. Lihat artikel Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak? yang dibuat Januari 11. Ketika itu saya dan isteri sedang bersiap untuk pertama-kali membawa Al-Rasyid ke Aceh.


Selepas Bukit Kemuning baru kami terlihat Bukit Raja. Baru menyedari kami telah beberapa kali lalu tetapi tidak pernah sedar akan kewujudan bukit ini!

 

Lalu buat pertama kali juga dalam ingatan kami membelok mengambil jalan Kampung Permatang ke Pasir Penambang...

 
Baru kami sedar akan kewujudan masjid dengan binaan indah ini. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Permatang, Kuala Selangor.

 

Kami juga baru tahu di Kampung Permatang terdapat banyak kubur lama termasuk di hadapan masjid...

 

Kampung ini juga terserlah dengan sejumlah rumah berciri tradisional Melayu klasik...

 





Namun seperti biasa saya lebih teruja melihat bentuk batu nesan tertentu sehingga sanggup berhenti meneliti apa yang ada. Lihat Tanah perkuburan Islam (Muslim burial area of) Kampung Permatang, Kuala Selangor .


Selesai itu kami berehat mengisi perut di Pasir Penambang. Kelihatan pokok besar yang perdunya terdapat batu nesan Aceh yang pernah mencetuskan satu gerak ilham. Lihat balik artikel Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak? .


 

Kami membawa Al-Rasyid melihat pemandangan Sungai Selangor di sebelah sini. Lihat The scene at Pasir Penambang...

 

Di kiri adalah Bukit Hospital dilihat ketika menyeberangi sungai menghala ke pekan Kuala Selangor. Rujuk balik artikel Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung.

 

Alang-alang dah keluar melihat bermacam bukit di sekitar, terasa mesti melihat juga Bukit Melawati...


 

Satu lagi bukit penting sekitar pekan adalah Bukit Tanjung Keramat juga dikenali sebagai Bukit Belanda kerana pernah dijadikan kubu mereka.

 

Tidak jauh dari situ terdapat sebuah bukit kecil dengan makam yang dikenali sebagai makam Keramat Anak Dara di atasnya. Malah bukit ini dengan Bukit Belanda sebenarnya bersambung, sebelum satu bahagian diletupkan oleh penjajah Inggeris dengan alasan mahu menggunakan batu untuk membuat jalanraya...

 

Kami naik ke Bukit Melawati hampir senja. Dengan ini terlepaslah beban penceritaan untuk perjalanan hari Ahad... :]


6 ulasan:

  1. Alhamdulillah, saya sedang menyiapkan laman utk tapak kota2 bersejarah melayu di semenanjung. Info yg tuan berikan amat saya hargai.

    BalasPadam
  2. Sejarah tak berapa penting... Masa sekarang dan yg akan datang jauh lebih penting.....

    BalasPadam
  3. Sy nak cari umah tradisional 100 th lebih di hilir perak. . Admin tau tak

    BalasPadam
  4. di kg permatang tu ada tak rumah kampung lama yg tiga tingkat. teringin nak jejak kaki juga mencari reka bentuk rumah melayu lama

    BalasPadam
  5. Bukit talang tu sempena berkaitan isu bugis tak blh mkn ikan talang ke?

    BalasPadam