Salam hari Sabtu malam Ahad 4 Syawal. Sejumlah masa telah dihabiskan untuk membetulkan satu kesilapan seperti dinyatakan dalam artikel Ralat yang terbit akibat satu perjalanan jauh disangkakan dua perjalanan berlainan. Lalu terbitlah artikel Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain siang tadi sebagai usaha pembetulan demi mendapatkan ketepatan. Sekarang biar dinyatakan satu luahan melibatkan perjalanan-perjalanan lama.
Pendek kata sesiapa pun boleh membuat perjalanan lebih 179,389 km setakat dengan berulang alik pergi ke pejabat dalam tempoh masa 10 tahun lebih bekerja. Apa barang dibuat jumlah itu 'sekadar' untuk 171 perjalanan sejak tahun 1989 ya kan? Sekarang ini jawaban saya. 179,389 km itu bukan sekadar berulang alik dalam satu kawasan. Ia meliputi banyak tempat dan banyak perkara.
Apakah sama perjalanan berjumlah 300,000 km misalnya kalau ia setakat meliputi jarak pergi balik kerja dari Taman Tun Dr Ismail ke Segi Tiga Emas KL? Mungkin kita akan jadi lebih berpengetahuan tentang selok belok jalan. Tahu short cut mana hendak diambil bila ada traffic jam, road block dan sebagainya, tahu di manakah kedai roti canai terbaik. Kita juga mungkin tahu segala macam perubahan - dahulu ada bangunan ini di situ, 10 tahun kemudian langsung berubah jadi itu ini lalu boleh bercerita tentang sejarah tempat. Tetapi setakat mana berguna pengetahuan ini berbanding segala macam penggalian melibatkan kajian sejarah yang dapat saya buat antara banyak lagi perkara dalam perjalanan yang berjumlah 179,389 km itu? Perjalanan yang semuanya ada direkodkan siap dengan peta dan lakaran laluan lalu boleh dicapai melalui Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain?
Dalam pada itu memang ada yang telah mengembara jauh ke sana ke mari dengan pelbagai cara. Memang mengalahkan segala yang pernah dibuat saya. Ada yang dah pergi ke Kutub Utara, ada sudah mendaki Gunung Everest. Jangankan itu. Ramai termasuk sejumlah anak Melayu sendiri telah membuat perjalanan kereta api rentas benua Trans Siberia sejauh hampir 10,000 km itu. Saya sendiri masih menyimpan angan-angan untuk melakukannya kerana ia memerlukan banyak belanja selain kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan.
Tapi itu kalau difikir daripada segi jarak dan tarikan tempat-tempat yang disinggahi sahaja. Daripada segi pengalaman yang boleh membentuk jati diri, kekuatan dalaman dan pandangan sarwa jagat hidup saya percaya apa yang telah dilalui tidak kalah hebat.
Teringat ketika berbuka puasa di Masjid Sheikh Ismail di Hulu Bernam 8 hari lalu (rujuk cerita perjalanan terbaru Kompilasi cerita iktikaf penghujung Ramadhan tahun 2021). Selepas menghadiahkan senaskah buku "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" kepada masjid seorang ahli qariah memberitahu ada kenalan baik dalam Facebook dan WhatsApp grup selalu naik motosikal besar ke Mekah. Katanya hampir tiap tahun buat. Sekali bawa dalam 20 orang secara berkonvoi.
Saya tanya bagaimana tentang surat menyurat masuk sempadan juga visa untuk menunaikan haji/umrah?. Jawab beliau semua settle, dia boleh atur. Oh... orang berduit ni kata saya lalu memberitahu perjalanan pusing Eropah tahun 1995 itu memakan masa 33 hari dengan belanja kurang RM1,000. Tidur tepi jalan dalam sleeping bag, hitchhike menumpang kereta orang bagai, menanggung pelbagai risiko seperti orang menggugut kata ada pistol Colt .45 dan kena masuk lokap di Perancis kerana dituduh sebagai pengganas Islam.
Ya. Kalau orang banyak duit merata boleh pergi di dunia ini. Memang saya kalah. Tapi daripada segi nilai pengalaman disebabkan susah payah? Itu yang boleh menerbitkan pelbagai ilham lalu dapat berkongsi bermacam ilmu yang sebelum itu belum pernah diwar-warkan orang lain.
Sebagai nota untuk difikirkan. Perjalanan paling pendek termasuk dalam Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain cuma meliputi jarak 120 km sahaja. Apa barang hendak diceritakan sedangkan banyak lagi perjalanan lain boleh mengambil tempat kalau dilihat pada jarak? Kalau setakat dari rumah pergi balik ke Seremban ke, ke Putrajaya ke, ke Bukit Tinggi saya tak disebut langsung kerana terlalu banyak. Pergi balik kampung ke Muar yang memakan jarak 500 km pun banyak tidak dikongsikan kerana terlalu kerap.
Keistimewaan dalam hal ini bukan terletak pada jarak tetapi apa yang dilakukan. Lihat Misi malam Tujuh Likur - Iktikaf di 11 buah masjid.... Cuma orang buta hati, jahil muraqqab dan/atau bodoh sombong sahaja tidak nampak bagaimana ia boleh jadi istimewa.
Hal inilah yang menjadi perkara utama untuk diluahkan. Saya telah mengembara lama ke sana ke mari dengan penuh penat lelah setelah meninggalkan segala macam kesenangan dunia yang mampu diperolehi melalui kelulusan tinggi berserta jaringan kenalan daripada zaman sekolah dan kolej juga jaringan yang diperolehi termasuk kenalan dalam kalangan menteri kabinet juga bakal raja (sekarang dah jadi raja) semasa bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001. Malah jaringan dalam keluarga terdekat pun banyak yang sudah lama bergelar VIP. Cuma saya memang bukan jenis orang yang suka gunakan contact.
Namun imbal baliknya lebih berharga buat saya. Saya diberikan sedikit pengetahuan berguna termasuk daripada sumber yang selalu disebut orang sebagai ilmu laduni. Ada cebisan-cebisan ilmu mula dikongsikan kepada umum apabila buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" terbit Jun 2006. Pada penghujung tahun sama blogspot CATATAN SI MERAH SILU ini dibuka lalu lebih banyak pengetahuan dikongsikan secara percuma.
Sampai sekarang, walau telah menulis lebih 6,000 artikel, 2,000 lebih di blogspot ini, selebihnya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), saya tidak pernah monetise atau menjadikan blogspot-blogspot ini sebagai sumber pendapatan melalui siaran iklan seperti dilakukan sesetengah orang. Ramai pula telah mengambil faedah daripada penulisan-penulisan saya. Cuma sedar atau tidak sahaja, mengaku atau hendak berlaku sombong kononnya dapat ilmu dengan 'kehebatan diri sendiri'. Antara yang tidak mahu mengaku ini adalah orang-orang yang ditegur kerana cerita banyak je lebih. Sedangkan tempat-tempat yang diceritakan itu mereka tak pernah sampai pun walaupun ditegur lagi beberapa tahun kemudian. Mereka-mereka inilah yang kemudian berkempen agar jangan mengambil ilmu pengetahuan sejarah daripada saya. Sehingga apabila ditunjukkan gambar saya sampai ke suatu tempat yang seseorang itu rajin bercerita tapi rupanya memang tak pernah sampai dikatakan pula monyet pun boleh bergambar sebelah artifak.
Bersungguh-sungguh mereka-mereka ini hendak menafikan sumbangan ilmu pengetahuan yang saya didapati bukan sekadar daripada wacana dan kertas kerja akademik, buku-buku, pengalaman mengembara menjejak suatu tempat dan sebagainya. Ada yang didapati daripada orang tua-tua yang disebut orang lain sebagai wali selain diberi petunjuk melalui mimpi, bayangan dan gerak hati. Sedangkan mereka ini rata-rata cuma mendapat ilmu daripada Intenet dan buku, paling hebat pun kertas-kertas kerja akademik dalaman universiti yang cuma boleh dicapai segelintir orang. Mereka tidak memiliki apa-apa pengalaman sebenar di lapangan sedangkan itulah yang membentuk isi segala macam bacaan mereka. Tapi punyalah poyo muka tak tahu malu siap boleh keluar 'kitab sejarah' seolah-olah itulah rujukan besar bagi semua anak Melayu.
Saya bukan pontianak sejarah yang menipu orang ramai kononnya hari ini berada di Sepanyol, besok di Amerika Selatan lalu anak-anak muda yang kurang pengalaman hidup boleh bulat-bulat percaya. Saya bukan orang yang menghantar wakil untuk meminta kepada seorang penjual buku dalam pesta buku agar buku tulisannya diletak sama dengan buku-buku tulisan pengkaji sejarah lain atas satu rak. Tetapi kemudian mewar-warkan di Facebook dan blogspot bahawa penjual buku itulah yang mencari buku-bukunya kerana sangat 'laku keras' konon. Saya bukan orang yang meminta senaskah dua buku tulisan orang kemudian membuat ulasan tetapi memberitahu orang lain bahawa penulis buku itulah yang sanggup menghantar bukunya untuk diulas walhal dia sebenarnya yang meminta. Saya bukan jenis orang yang apabila dikongsikan sedikit rahsia peribadi seseorang diwar-warkan pula dalam FB kononnya rahsia orang itu semua berada di dalam tangannya. Bila-bila masa boleh dibocorkan seolah-olah jatuh bangun orang tersebut berada di dalam genggamannya.
Saya bukan jenis manusia yang meremehkan orang lain dengan mengatakan seseorang itu cuma memiliki 'sijil' sahaja daripada luar negara sedangkan ia adalah ijazah daripada salah satu universiti paling terkemuka di dunia. Saya bukan jenis memerli orang yang tidur di makam-makam lama sedangkan di tempat-tempat begitulah iman seorang boleh jadi teruji selain mendapat pengetahuan yang tidak boleh diperolehi secara biasa. Saya juga bukan jenis orang yang baru kenal seorang dua ahli kongsi gelap tapi mengaku seluruh operasi kongsi berada dalam pengetahuannya, maka sebab itu kongsi akan melindunginya. Walaupun telah menulis lebih 6,000 artikel menggunakan berpuluh ribu malah mungkin dah lebih 100,000 gambar yang diambil sendiri tidak pernah saya mendabik dada mengaku memiliki empayar data.
Tidak. Saya tidak suka menipu orang ramai dengan pelbagai ayat-ayat marketing kerana saya menulis semuanya atas gerak rasa yang mana kalau tidak dikongsikan suatu perkara itu saya tidak senang duduk tak boleh tidur. Bukan untuk menjual buku walaupun benar telah menghasilkan 13 buah buku. Kalau hendak main jahat saya boleh sahaja mendedahkan rekod chat yang menunjukkan orang yang mengutuk itu bagaimanakah diri sebenarnya. Tapi tak mengapalah. Saya lepaskan luahan ini supaya dapat meneruskan proses seterusnya tentang perjalanan-perjalanan lama dengan hati yang lapang. Sebagai mengakhiri artikel biar dikongsikan sedikit tentang jarak perjalanan-perjalanan lama jika dimasukkan sekali jarak penerbangan berkenaan.
1. Dua kali pergi balik ke London = Sehala 10,611 km. Pergi balik 21,222. km. Dua kali pergi balik 42,444 km.
2. Sekali pergi balik ke Paris = Sehala 10,447 km. Pergi balik 20, 894 km.
3. Dua kali pergi balik Jeddah = Sehala 7,071 km. Pergi balik 14,142 km. Dua kali pergi balik 28,284 km.
4. Tujuh kali pergi balik Aceh = Sehala 763 km. Pergi balik 1,526 km. Tujuh kali = 10,682 km.
5. Dua kali pergi balik Surabaya = Sehala 1,664 km. Pergi balik 3,328 km. Dua kali = 6,656 km.
6. Sekali pergi balik Brunei = Sehala 1,488 km. Pergi balik 2,976 km.
7. Sekali pergi balik Makassar = Sehala 2,164 km. Pergi balik 4,328 km.
8. Sekali pergi balik Kota Kinabalu = Sehala 1,630 km. Pergi balik 3,260 km.
9. Sekali pergi balik Phuket = Sehala 703 km. Pergi balik 1,403 km.
10. Sekali pergi balik Kota Bahru, Kelantan = Sehala 346 km. Pergi balik 692 km.
11. Sekali pergi balik Pontianak (Kalimantan) = Sehala 914 km. Pergi balik 1,814 km.
12. Sekali pergi balik Jogjakarta = Sehala 1,515 km. Pergi balik 3,030 km.
13. Sekali pergi Medan balik lalu Aceh = Ke Medan 329 km, kembali dari Aceh 763 km jadi 1,092 km.
14. Sekali pergi Padang (Minangkabau) balik lalu Pekan Baru = Ke Padang 422 km, kembali dari Pekan Baru 254 km jadi 676 km.
15. Sekali ke Siem Reap (balik lalu darat) = 1,202 km.
Jumlahnya = (42,444 + 20,894 + 28,284 + 10,682 +6,656 + 2,976 + 4,328 + 3,260 + 1,403 + 692 + 1,814 + 3,030 + 1,092 + 676 + 1,202) km = 129,433 km
Kalau campur 179,389 km perjalanan atas permukaan bumi seperti dikira bagi 171 perjalanan dalam Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain jadi 308,822 km. Ini adalah lebih 7.7 kali pusing bumi. Namun ia tetap tidak meliputi semua perjalanan saya. Ada banyak lagi tetapi diabaikan kerana dianggap terlalu biasa.
Ini sama halnya seperti cerita berulang-alik ke tempat kerja yang dikongsikan awal tadi. Seperti orang lain saya juga ada melakukan hal serupa selama beberapa tahun malah pergi lebih jauh dari itu kerana sebagai wartawan berulang-alik ke tempat kerja itu cuma basic sahaja. Apabila sampai ke pejabat diutus pula keluar meliputi majlis-majlis sehingga lebih 70 km jauh dari pejabat. Dan ini berlaku pada sebahagian besar tempoh lebih 5 tahun menjadi wartawan. Agak-agak berapakah jumlah mileage itu?