Salam awal pagi Sabtu 10 Syawal. Setelah beberapa hari kebelakangan sibuk membuat analisis tentang perjalanan-perjalanan lama sampai masanya untuk merangkumkan kesemuanya ke dalam satu artikel sintesis (meminjam kata-kata daripada artikel Tujuan sebenar wujudnya Islam - Ke arah sintesis pelbagai wadah demi kesejahteraan ummah 3 hari lalu hehe... :])
OK. Usaha yang anda sedang lihat harus mencapai kemuncaknya ini bermula apabila artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu ditulis pada 22 November 2020 iaitu tepat 6 bulan lalu. Ditulis dalam keadaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi membendung penularan wabak virus Covid-19 telah diperketatkan kembali lalu tidak boleh dibuat perjalanan merentas daerah ia adalah yang pertama dalam siri yang akhirnya membentuk Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung pada 1 Februari 2021. Teringat ketika PKP pertama kali dikuatkuasakan 18 Mac 2020 begitu ketat sehingga hendak keluar lebih 10 km dari rumah pun boleh kena denda RM1,000. Asalnya untuk 2 minggu sahaja tetapi dilanjutkan lagi dan lagi sehingga hendak kembali ke kampung menyambut hari raya Aidil Fitri bulan penghujung bulan Mei pun tak boleh.
Hal ini rupanya berulang lagi tahun ini. Apapun ketika itulah ada terfikir ada baiknya digali kembali ingatan tentang perjalanan-perjalanan lama seperti pengembaraan motosikal yang dilakukan tahun 1989 itu lalu dijadikan siri. Sambil-sambil itu ada terfikir alangkah eloknya kalau dibandingkan sekali jarak semua perjalanan yang cukup signifikan lalu dibuat senarai paling jauh. Cuma apabila Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung siap 1 Februari baru ini menjadi resolusi yang kukuh lalu terbit artikel Akibat PKP - Persediaan untuk senarai 50 perjalanan terjauh dalam ingatan 3 hari kemudian.
Maka dipilih sejumlah perjalanan lama yang perlu diangkat lalu dipanjangkan menjadi siri sambil menggali ingatan selain apa yang sudah diceritakan dalam blogspot ini. Hasilnya terbit Senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa pada 23 April iaitu 2 bulan 3 minggu kemudian.
Ingatkan selepas itu bolehlah dibuat artikel tentang analisis perjalanan pula. Tetapi timbul rasa apa yang disajikan tidak cukup untuk menunjukkan tren dan corak perjalanan. Hal ini pun diisytiharkan dalam artikel Lain-lain perjalanan jauh yang harus diambil kira - Satu proses perlu bagi melengkapkan analisis 2 hari selepas itu. Maka berlakulah fasa seterusnya dalam mengeluarkan cerita-cerita lama sehingga terbit Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain 15 Mei iaitu 8 hari lalu.
Pun begitu, ia tetap tidak menunjukkan kesemua perjalanan yang pernah dibuat setakat ini. Sebaliknya ia cuma dianggap cukup untuk mewakili tren dan corak lalu bukanlah meliputi kesemua mileage yang pernah dibuat. Demi menekankan fakta ini ditulis artikel Setakat 179,389 km apa barang kan? pada hari yang sama. Ditekankan bahawa jarak itu tidak termasuk penerbangan melibatkan perjalanan-perjalanan berkenaan. Kalau termasuk harus tambah lagi 308,822 km.
Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain ini dapat mencapai objektif yang lebih adil dan saksama dalam menunjukkan perjalanan-perjalanan terjauh saya. Tetapi untuk mencapai objektif seterusnya iaitu membuat analisis kesemua perjalanan itu harus disusun mengikut kronologi pula iaitu turutan masa ia berlaku. Maka keluarlah Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 pada keesokan harinya. Selepas keluarnya senarai kronologi baru boleh dibuat analisis. Itupun timbul keperluan untuk menangani beberapa perkara. Biar diceritakan sambil disuakan pautan bagi artikel-artikel analisis...
Oh. Baru teringat. Sebelum memulakan usaha analisis pun saya sudah lebih awal memikirkan bagaimanakah corak untuk dipersembahkan nanti. Dengan itu biar dikongsikan nota-nota awal tentang perkara.
1. Fasa sebelum berumur 18 tahun - yang ni tak cerita sangat
2. Fasa zaman kolej 1988-1991
3. Fasa zaman universiti di UK 1991-1995
4. Fasa bekerja sebagai wartawan di The New Straits Times - 1996-2001
5. Fasa pencarian - 2001-2006
6. Fasa selepas menerbitkan buku - 2006 sampai sekarang. Pada masa itu juga menulis blog. Lalu kebanyakan perjalanan (bukan semua sebenarnya) mula direkod kemas pengalamannya di blog
Tentang fasa pencarian -
2001 pertama kali menziarahi makam2 - kebetulan diceritakan dalam buku 1 BKA
2002 pertama kali ziarah makam Tok Kenali - kebetulan dalam buku 2 BKA
2003 pertama kali ziarah makam Tok Pulau Manis - kebetulan dalam buku 3 BKA
On 50 terjauh -
Sorang 14, dengan orang 7
(ada yang tidak mahu ditunjukkan lagi)
On 10 istimewa
Sorang 4, dengan orang 2
(ada yang tidak mahu ditunjukkan lagi)
Lain2 (kena masuk semua perjalanan yang ada artikel kompilasi atau rujukan satu artikel)
Sorang, dengan orang
(ada yang tidak mahu ditunjukkan lagi)
Nota-nota ini sebenarnya dibuat ketika membina Senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa. Dalam mengeluarkan cerita-cerita perjalanan awal dengan jujur terkeluarlah hal perhubungan saya dengan dua orang teman wanita lama dan seorang bekas isteri kerana ada beberapa perjalanan melibatkan mereka. Hal ini meresahkan isteri sedia ada. Itu yang dibuat nota yang sebenarnya mengandungi kiraan setakat sempat dibuat pada ketika itu. Dikira berapa perjalanan melibatkan orang ini, berapa melibatkan orang itu.
Yang disebut sebagai "On 50 terjauh - sorang 14, dengan orang 7" itu bermaksud dalam senarai 50 perjalanan terjauh, 14 perjalanan dibuat secara berseorangan ataupun solo, 7 melibatkan orang lain seperti kawan-kawan dan kenalan. Yang disebut sebagai "(ada yang tidak mahu ditunjukkan lagi)" itu sebenarnya mengandungi butiran berapa perjalanankah melibatkan teman wanita yang ini, berapa melibatkan yang itu, berapa melibatkan bekas isteri. Ia dibuat untuk menunjukkan takda le banyak mana berbanding perjalanan-perjalanan dengan isteri. Ia cuma nampak seperti banyak ketika itu kerana isteri terlihat penulisan masuk cerita-cerita awal sekitar tahun 1991 hingga 2000, ketika kami belum lagi mengenali antara satu sama lain.
Apapun saya menulis dengan jujur kerana ia adalah luahan hati dan perasaan selain terapi jiwa. Tidak bermakna semua cerita dilepaskan, sekadar cukup untuk melegakan beban di dada. Berbalik pada hal analisis. Biar diceritakan keperluan untuk menangani beberapa perkara seperti disebut di atas sambil disuakan pautan bagi artikel-artikel analisis. Saya sebut keperluan kerana ada hal yang sepatutnya sudah ditangani dalam artikel analisis. Tetapi disebabkan sudah terasa terlalu sarat dan memenatkan saya abaikan dahulu dengan niat untuk menanganinya dalam artikel sintesis.
Walaupun Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain cuma mengandungi perjalanan dari tahun 1989 timbul rasa untuk menangani dahulu apa yang berlaku sebelum itu. Maka terbitlah artikel-artikel analisis seperti berikut :-
1. Analisis corak dan tren perjalanan - Melihat dahulu zaman membesar sebelum tahun 1989
Antara point penting timbul dalam penulisan adalah jika saya boleh membawa anak-anak berjalan jauh seawal umur mereka 40 hari lagi mengapa tidak bapa dengan saya. Kira-kira mudah mendapati saya telah berjalan lebih 30,000 km sebelum masuk fasa 1989 ke atas.
Zaman kolej saya sebenarnya bermula pertengahan 1988. Tetapi untuk penulisan cuma diambil bermula pertengahan 1989 ke atas kerana semasa itulah ada dibuat perjalanan-perjalanan jauh. Sepatutnya zaman kolej ini selesai pertengahan 1990. Tetapi dipanjangkan sehingga pertengahan 1991 kerana pernah dibuang keluar akibat masalah disiplin. Setahun kemudian baru tergerak untuk menyambung kembali pengajian.
Melalui ingatan yang digali dalam penulisan didapati bahawa dalam tempoh masa itu saya ada berjalan sekurang-kurangnya 2,000 km selain jumlah 1,736 km yang ada dalam senarai. Semasa di United Kingdom tahun 1991-1995 pula saya ada berjalan sekurang-kurangnya 19,000 km selain 9,450 km dalam senarai (tidak termasuk penerbangan). Maka jumlah perjalanan yang tiada dalam senarai adalah 21,000 km (2,000 + 19,000).
3. Analisis corak dan tren perjalanan - Zaman wartawan di New Straits Times 1996 - 2001
Ketika membuat artikel ini saya harus menyemak beberapa perkara dengan kawan lama lalu diberitahu purata orang ramai biasa memandu kereta adalah 2,000 km sebulan bersamaan 24,000 km setahun. Ini membuat saya ingin mengira berapa jauhkah ada berjalan selain diceritakan dalam senarai. Didapati ada sekurang-kurangnya 62,000 km selain 11,272 km yang telah dikongsikan. Dalam menulis artikel ini juga digali kembali di bahagian-bahagian manakah saya bertugas pada tahun sekian-sekian.
Lupa hendak menyebut dalam analisis tetapi ada dalam artikel lain bahawa tahun 2000 adalah suatu macam tahun kegemilangan sebagai wartawan sebelum mula ditekan tahun 2001 melalui permainan politik pejabat. Lalu muncul luahan panjang lebar berkenaan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh - Membela Syiar yang Asal" (terbit November 2007). Sedutan-sedutan berkenaan telah dikumpulkan dalam artikel Hari-hari terakhir sebagai wartawan - Cabaran seorang idealis mahu mengangkat ketamadunan tinggi di Malaysia.
4. Analisis corak dan tren perjalanan - Obsesi tentang jarak
Obsesi tentang mengira jarak terus berlegar-legar dalam kepala lalu dibuat satu artikel khas untuk menyatakannya. Kelihatan walau dicari sebanyak mungkin butiran saya tidak dapat mengatasi purata perjalanan orang biasa yang dikatakan mencapai 24,000 km setahun itu. Padahal cukup jelas kekerapan saya berjalan ke sana ke mari itu memang mengatasi kebanyakan orang.
Cuma tak dapat dicari cukup butiran untuk mengatasi purata. Dan takkan hendak dikorek begitu bersungguh-sungguh kerana purata kebanyakan orang itu termasuk termasuk perkara-perkara kecil seperti pergi ke kedai membeli barangan atau makan roti canai di restoran mamak? Takkan hendak dikorek sehingga ke sekecil-kecil perkara sedangkan perjalanan pergi balik sejauh 400 km pun banyak saya abaikan kerana tiada keperluan untuk mengingat kecuali yang melibatkan jejak ke tempat-tempat bersejarah.
Ini boleh dikatakan zaman paling meruntun jiwa. Berlaku kehilangan sejumlah ahli keluarga sedangkan saya pula sedang sibuk mengembara ke sana ke mari untuk mencari erti dan makna hidup. Pun begitu obsesi untuk mengira jarak tetap wujud lalu didapati saya ada membuat perjalanan sekurang-kurangnya 5,030 km dari penghujung 2001 hingga penghujung 2002. Ini tidak termasuk dua kali perjalanan pergi balik ke Muar dan sedikit perjalanan berkaitan kerana melibatkan kematian orang tersayang. Ada hal yang terasa terlalu sensitif, ada yang sangat memenatkan untuk dikorek dalam-dalam.
Ketika menulis dan menggali kembali ingatan juga didapati bahawa dalam tempoh masa 6 tahun iaitu dari pertengahan 1997 hingga pertengahan 2003 saya ada membuat perjalanan sejauh 117,000 km dengan motosikal besar. Ini termasuk 3 perjalanan yang ada dalam Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain iaitu seperti berikut :-
i. Bermotosikal besar solo keliling Semenanjung Dis 1997 – Jan 1998 - sekitar 3,850 km. Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung.
ii. Mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - sekitar 950 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000.
iii. Kali pertama ziarah makam tahun 2001 - sekitar 780 km. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.
Tiga perjalanan ini menjadikan jumlah 5,580 km (3,850 + 950 + 780). Maka perjalanan dengan motosikal buat tempoh 1997 hingga 2003 selain yang ada dalam senarai adalah 111,420 km (117,000 - 5,580).
6. Analisis corak dan tren perjalanan - Zaman lebih santai awal tahun 2007 hingga penghujung 2011
Tempoh waktu ini boleh dianggap sebagai zaman kelegaan setelah apa yang berlaku dalam tempoh 5 tahun sebelum itu. Ia boleh dikatakan bermula setelah menyajikan buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" Jun 2006. Ini kerana sudah terlepas sebahagian besar perkara yang selama ini disimpan dalam dada termasuk kisah suka duka zaman pencarian makna hidup 2001 hingga 2006. Apabila buku kedua "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" keluar Mei 2007 diikuti buku ketiga "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang" November 2007 bertambah-tambahlah rasa lega. Selesailah satu fasa kehidupan. Sampai masa untuk memulakan fasa baru.
Nota lama seperti diletakkan di atas ada menyebut begini :-
Tentang fasa pencarian -
2001 pertama kali menziarahi makam2 - kebetulan diceritakan dalam buku 1 BKA
2002 pertama kali ziarah makam Tok Kenali - kebetulan dalam buku 2 BKA
2003 pertama kali ziarah makam Tok Pulau Manis - kebetulan dalam buku 3 BKA
Seharusnya perkara ini dinyatakan dalam Analisis corak dan tren perjalanan - Zaman pencarian makna diri penghujung 2001 sehingga blogspot dibuka penghujung 2006 tetapi terlupa. Perjalanan-perjalanan lama berkenaan seperti ada dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 pun dirujuk menurut pernomboran asal :-
17. Berpetualang ke Aceh 2004 - sekitar 1,900 km. Lihat Kompilasi cerita "Berpetualang ke Aceh" tahun 2004
Perjalanan berkenaan menjadi latar belakang atau asas bagi penceritaan dalam siri trilogi novel BKA sambil dua perjalanan seterusnya dalam senarai ada dirujuk :-
Perjalanan-perjalanan selepas itu tidak dirujuk lagi kerana trilogi novel itu sendiri mula ditulis sebulan dua selepas perjalanan pertama saya ke Aceh Januari 2004 lalu mendapat bentuk yang cukup mantap selepas umrah ziarah yang berlaku selepas pertengahan tahun 2005 (lupa tarikh tepat). Dengan itu 3 perjalanan terawal dalam Analisis corak dan tren perjalanan - Zaman lebih santai awal tahun 2007 hingga penghujung 2011 pun dirujuk menurut pernomboran asal dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021...
71. Bermotosikal ke Pantai Timur Sept 2012 - lebih 1,400 km. Lihat Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Complete.
Tiga perjalanan ini memberikan jumlah jarak 3,500 km. Ini bermakna dalam 4 tahun itu (Sept 2008 hingga Sept 2012) saya ada membawa motosikal sejauh 18,796 km (22,296 - 3,500) selain daripada untuk perjalanan-perjalanan dalam senarai. Terus pada analisis seterusnya dan terakhir...
Tempoh masa ini meliputi zaman saya menyambung belajar iaitu bagi peringkat pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bermula September 2018. Sepatutnya segalanya sudah selesai pertengahan tahun lepas 2020. Tetapi berlaku bermacam hal dan ini menjadi salah satu sebab kenapa penulisan melibatkan cerita-cerita perjalanan lama ini dibuat. Nanti akan diterangkan. Dalam menulis analisis timbul gerak untuk membuat kira-kira lalu mendapat keputusan berikut :-
i. Dari September 2018 hingga penghujung Januari 2019 saya telah membuat perjalanan 4,800 km untuk menghadiri kelas.
ii. Sejak berpindah ke rumah sekarang di Bandar Sungai Buaya, Rawang awal 2014 hingga 2016 saya telah membuat perjalanan berjumlah 9,600 km untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Untuk tahun 2017 hingga 2019 pula tambah lagi 14,400 km.
iii. Jarak pergi balik ke ISTAC (untuk berjumpa penyelia membincangkan tesis juga mengikuti majlis ilmu) sambil berjalan-jalan di Kuala Lumpur untuk tahun 2019 pula memberikan jumlah sekurang-kurangnya 5,200 km.
Ini memberikan jumlah 34,000 km (4,800 + 9,600 + 14,400 + 5,200).
Masuk tahun 2020 wabak virus Covid-19 melanda dunia termasuk di Malaysia. Maka berlakulah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang menghadkan perjalanan mengikut peringkat pada waktu-waktu berlainan berdasarkan angka semasa jangkitan. Disebabkan itu dalam tempoh masa hampir setahun setengah hingga sekarang saya cuma dapat membuat 9 sahaja perjalanan yang boleh dimasukkan ke dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021. Sekarang pergi kita pada bab kesimpulan dan sintesis. Sebelum itu biar dipuaskan hati dengan menangani soal jarak.
Penelitian kembali terhadap 8 artikel analisis telah memberikan maklumat berikut tentang jarak :-
1. Sejak lahir tahun 1970 hingga sebelum masuk fasa 1989 saya telah berjalan lebih 30,000 km.
2. Untuk tahun 1989 hingga 1995 saya sudah berjalan sekurang-kurangnya 21,000 km selain daripada apa yang ada dalam senarai
3. Untuk 1996-2001 ada perjalanan lebih 62,000 km selain dalam senarai
4. Ada sekurang-kurangnya 5,030 km dibuat dari penghujung 2001 hingga penghujung 2002
5. Dalam tempoh 6 tahun dari pertengahan 1997 hingga pertengahan 2007 ada membuat perjalanan sejauh 111,420 km dengan motosikal. Tapi ada yang harus bertindih dengan maklumat dalam perkara 3 dan 4.
6. Untuk tempoh 2007-2011 sudah malas dikira jarak selain apa yang ada dalam senarai. Tapi ada terselit sedikit cerita tentang perjalanan 810 km dan 2,000 km menjadikan sekurang-kurangnya 2,810 km selain dalam senarai.
7. Didapati 179,389 km bagi 171 perjalanan yang telah disebut merata sebelum ini sebenarnya boleh ditambah lagi 449 km menjadi 179,838 km.
8. Dalam tempoh 4 tahun Sept 2008 hingga Sept 2012 saya ada membawa motosikal sejauh 18,796 km selain apa yang ada dalam senarai
9. Dari awal 2014 hingga penghujung 2019 saya telah membuat perjalanan berjumlah 34,000 km untuk menghantar anak-anak ke sekolah juga untuk ke tempat saya sendiri belajar di ISTAC.
10. Akhir sekali, ada disebut sedikit dalam analisis tetapi perinciannya adalah dalam artikel Setakat 179,389 km apa barang kan?. Bahawa jika dimasukkan jarak penerbangan melibatkan perjalanan-perjalanan berkenaan harus tambah lagi 308,822 km. Pun begitu ini sebenarnya masih tidak meliputi semua penerbangan saya. Ada yang langsung tidak diambil kira malah perjalanan berkenaan pun tidak pernah diceritakan.
Untuk mengira jumlah harus diambil kira dahulu bahawa jarak dalam perkara 5 ada bertindih dengan perkara 3 dan 4 dan sebagainya. Adapun motosikal besar kesayangan saya mula dimiliki pertengahan 1997 maka ada perjalanan dalam perkara 3 tidak melibatkan motosikal. Maka biar dibuat begini. Antara 1996 hingga 2001 ada tempoh masa 5 tahun. Bahagikan 62,000 km dengan 5 jadi 12,400 km setahun. Boleh dianggap 12,400 km pertama tidak melibatkan motosikal, yang lain boleh 'diserapkan' ke dalam jarak perkara 5.
Perkara 4 boleh diserapkan sepenuhnya ke dalam perkara 5 walaupun ada kala saya keluar dengan kereta juga pengangkutan awam dalam tempoh masa berkenaan. Untuk perkara 6 sebahagian daripada jarak 810 km boleh diserapkan ke dalam perkara 8 kerana saya masih ingat mana yang melibatkan motosikal mana tidak. Yang tidak melibatkan motosikal adalah jarak pergi balik KL ke kampung isteri di Tanjung Sepat untuk pernikahan iaitu 240 km.
Dengan itu jumlah perjalanan kesemuanya adalah :-
30,000 km (dari perkara 1) + 21,000 (perkara 2) + 12,400 km (per 3) + 0 (per 4) + 111,420 km (per 5) + (240 + 2000) km (per 6) + 179,838 km (per 7) + 18,796 km (per 8) + 34,000 (per 6) + 308,822 (per 10) = 718,516 km.
Itupun 308,822 km daripada iaitu 43% adalah jarak atas kapal terbang. Sebab itu tidak diambil kira langsung dalam kiraan asal bagi jarak setiap perjalanan berkenaan. Kerana dengan kapal terbang terasa begitu mudah dan cepat untuk meliputi begitu banyak jarak sedangkan pengalaman hidup sebenarnya tidak setimpal.
Sekali lagi sekadar melayan obsesi. Berdasarkan purata orang biasa memandu 2,000 km sebulan bersamaan 24,000 km saya sepatutnya sudah berjalan sejauh 1.2 juta km (24,000 km x 50 - walaupun umur saya sudah hampir 51 rasanya boleh diabaikan setahun disebabkan PKP yang menghadkan perjalanan semua orang). Jarak 718,516 km itu baru 59.8% dari 1.2 juta km. Lemah boh. Sangat below average kalau macam ni.
Untuk menyedapkan hati boleh diambil begini. Purata 2,000 km sebulan itu sebenarnya untuk orang yang sudah bekerja. Sebab itu ada ulang alik rumah ke pejabat dan bermacam lagi. Ambil umur orang bekerja itu sebagai 20 tahun. Dengan itu perjalanan saya sebelum tahun 1989 iaitu 30,000 km boleh ditolak dari 718,516 km menjadi 688,516 km. Bandingkan dengan perjalanan 30 tahun bekerja iaitu 30 x 12 x 2,000 km = 720,000 km. Pun masih bawah daripada purata. Tapi elok sikit le, dapat 95.6%.
Pun begitu (ya, pun begitu demi membela diri sendiri lagi, hehe... :]) jarak perjalanan saya sebenarnya tidak meliputi segalanya. Sudah disebut sebelum ini bahawa purata 2,000 km sebulan bagi orang biasa itu meliputi sekecil-kecil perkara asalkan melibatkan pemanduan kereta yang tiada masa untuk saya ambil kira. Seterusnya seperti disebut dalam Setakat 179,389 km apa barang kan? kalau 300,000 km berjalan pun kalau setakat pergi dari tempat sama ke tempat sama dalam tempoh beberapa tahun manakan sama dengan mengembara ke bermacam destinasi? Manakan sama sekejap naik kapal terbang, sekejap naik kereta, sekejap naik kereta api, sekejap naik motosikal, sekejap naik beca apa lagi sambil menziarahi tempat-tempat bersejarah dan menggali cerita-cerita tersembunyi? Ada turun naik ke puncak gunung selain melihat sungai-sungai utama dari pelbagai lokasi seperti dilakukan saya dan keluarga.
Tu dia. Tengok gambar yang disnip daripada bahagian arkib di sidebar kanan blogspot ini. Ia menunjukkan sudah 200 artikel ditulis untuk tahun 2021 sedangkan belum sampai pun setengah tahun ia berlalu. Kecuali sedikit sahaja semuanya adalah tentang perjalanan lama demi membina senarai yang membawa pada analisis kemudian artikel sintesis ini yang merupakan kemuncak usaha. Bandingkan dengan tahun-tahun lain. Cuma pada tahun 2008 sahaja ada lebih iaitu 224. Tetapi itu sebab sudah cukup setahun.
Usaha yang bermula tepat 6 bulan lalu dengan penulisan artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu pada 22 November 2020 ini menyaksikan jumlah artikel di blogspot CATATAN SI MERAH SILU bertambah secara drastik. Daripada sekitar 1,960 lebih waktu itu dapat mencecah 2,000 kemudian melepasi 2,100 seperti telah dicapai blogspots saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan 8 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pada awal tahun malah memintas pula hingga jumlah kini hendak menghampiri 2,200. Apapun secara rata boleh dikatakan corak dan tren perjalanan saya adalah begini :-
1. Sebelum 1988 - Setakat ikut ke mana keluarga bawa, kemudian ikut rombongan sekolah dan sebagainya.
2. Zaman kolej 1988-1991 - Mula ikut aktiviti kelab kembara. Tapi banyak juga perjalanan dibuat berseronok dengan kawan selain pergi ke kelab malam dan disko. Yang ini tidak disebut sebelum ini dalam usaha perkongsian perjalanan lama. Tapi pernah dipanjangkan dalam buku BKA 1 sebagai perbandingan untuk menunjukkan perubahan diri.
3. Zaman universiti 1991-1995 - Alang-alang sudah berada di United Kingdom berjalan le ke negeri-negeri sebelah sana. Apabila muncul peluang jalan pula pusing Eropah. Namun pada masa ini sudah mula muncul faktor lain selain melihat tempat-tempat. Sudah muncul sedikit faktor kerohanian menyuruh mencari makna diri dan tujuan hidup tapi masih tidak mahu patuh kepada Syariah.
4. Zaman menjadi wartawan 1996-2001 - Faktor kerohanian ada tapi jadi terlupa dengan keseronokan yang terhidung luas akibat menjadi wartawan. Ada berlaku perjalanan-perjalanan atas inisiatif sendiri seperti pusing Semenanjung dengan motosikal besar tetapi kebanyakan dalam senarai berlaku kerana dihantar untuk tugasan. Hujung tempoh ini baru ditarik kembali oleh faktor kerohanian
5. Zaman pencarian 'keras' 2001-2006 - Ini adalah tempoh masa saya banyak ke makam-makam lama. Mula-mula di Perak sebab ditarik oleh asal usul keturunan belah ayah dari sana. Kemudian 'ditarik' pula ke Pantai Timur yang juga ada kena mengena tetapi lebih melibatkan faktor kewalian sebelum dapat menjejakkan kaki ke Aceh, tanah asal nenek moyang.
6. Zaman melepaskan rasa melalui buku 2006-2007 - Ini adalah zaman kelegaan yang muncul setelah segala yang sarat ditanggung jiwa mula dapat dilepaskan dan diluahkan melalui penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh". Ia berlaku secara berperingkat dengan terbitnya buku pertama trilogi Jun 2006 diikuti buku kedua Mei 2007 dan buku ketiga Nov 2007
7. Zaman kembali berumah tangga 2008 - Bermula dengan pernikahan pada 11 Disember 2008 bersamaan 13 Zulhijjah 1429 Hijriah saya akhirnya mendapat kembali rasa home sweet home yang terasa hilang sejak berumur 12 tahun. Desakan untuk kembali berumah tangga, setelah lebih kurang 5 tahun menduda, ini muncul selari dengan sasaran untuk kembali 'menjadi umat Muhammad' sebelum genap umur 40 tahun mengikut kiraan Hijriah (sebelum 27 Ramadhan 1430). Bernikah itu kira mudah. Mendapat orang seperti isteri sekarang itu yang susah. Bermulalah pengembaraan demi pengembaraan dengan isteri kemudian diikuti sekali anak yang lahir 13 Oktober 2009 seterusnya seorang lagi anak 17 Februari 2012.
8. Zaman kembali belajar 2018 - Ini bermula apabila saya masuk mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah di ISTAC lewat Ogos 2018. Maka perjalanan-perjalanan seterusnya berlaku dalam konteks harus membahagi-bahagikan masa antara keinginan sendiri untuk berkelana, kehidupan biasa berkeluarga dan kehidupan sebagai seorang pelajar berusia.
9. Zaman PKP dan Covid-19 2020 - Zaman mencabar yang turut mengekang pengembaraan serta lain-lain aktiviti. Sambil itu ia juga menganggu usaha saya untuk menyiapkan tesis di ISTAC. Antara sebab saya memilih ISTAC adalah kerana bangunannya yang memiliki unsur-unsur seni bina Istana Alhambra di Andalusia hasil ilham pengasas ISTAC, Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib al-Attas. Tetapi disebabkan Covid sudah lebih setahun tiga bulan tidak menjejakkan kaki di situ. Dan disebabkan itu juga tidak dapat berbincang secara berhadapan empat mata dengan penyelia dan guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Memang terasa.
Maka pergilah kita pada sebab musabab usaha mengangkat kembali perjalanan-perjalanan lama. Ini boleh disenaraikan seperti berikut :-
b. Alang-alang dah korek biar dibuat senarai perjalanan-perjalanan terjauh - Dapat dibuat perbandingan sambil boleh dijadikan rujukan sesiapa.
c. Boleh dijadikan bukti keluasan pengalaman saya - Lebih mudah untuk menjawab kalau ada mempertikaikan kredibiliti saya, antaranya dalam usaha menggali sejarah-sejarah lama.
d. Bila sudah dibuat senarai biar dibuat sekali analisis
e. Perkara a hingga e sudah disebut beberapa kali sebelum itu. Yang belum disebut adalah analisis dibuat diikuti sintesi ini sebenarnya lebih untuk memahami lagi diri, menyelami hati budi sendiri.
f. Dengan itu dinyatakan, lebih penting dalam konteks sekarang adalah saya buat ini supaya dapat menghilangkan mental block yang mengganggu penulisan tesis. Ya. Inilah natijah terbesar daripada usaha yang memakan tempoh setengah tahun ini.
Sesungguhnya saya sedang menghadapi satu masalah dan konflik jiwa yang besar dalam menyiapkannya. Sepatutnya ia mudah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas yang dimiliki. Sebaliknya dalam menangani perkara yang melibatkan pertembungan antara sains dan agama saya seperti dibawa kembali pada percanggahan besar jiwa yang pernah berlaku ketika belajar di UK 1991-95.
Disebabkan percaya sangat pada sains dan kepandaian akal saya hampir-hampir jadi ateis. Kalau tidak kerana rahmat Allah SWT memberikan pengalaman-pengalaman ghaib mungkin sudah lama menjadi alat puak Yahudi Zionis dan Illuminati untuk mengekang agama dan bangsa sendiri. Dengan itu saya pun mula berubah arah menuju pada perkara-perkara kerohanian walau ada terlepa lagi semasa zaman bertugas sebagai wartawan 1996-2001. Yang nyata ketika itu tidak perlu menghadapi lagi perkara pertembungan antara sains dan agama ini kerana senakal-nakal saya pada suatu waktu masih berpegang pada agama tanpa perlu mengeluarkan hujah bagi melawan sains.
Kali ini, sebagai seorang pemikir dan dalam skop dunia akademik saya tidak boleh lagi mengelak daripada menangani pertembungan. Saya tidak boleh sekadar memberikan dalil agama mudah seperti ada kerusi ada le pencipta lalu perkara dianggap selesai. Saya harus melakukan dengan cara seorang ahli akademik yang tidak bias lalu boleh menjawab hujah para ateis secara tuntas sehingga boleh dipertanggungjawabkan oleh semua.
Doakan usaha ini berjaya dan mendapat berkat ya. Sekian wassalam dan selamat malam. Untuk makluman dan rekod saya sendiri ini adalah artikel ke-2,181 di blogspot.
Nota akhir : Melalui artikel ini boleh dirujuk banyak pengalaman sebenar hidup yang berguna melalui Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 juga artikel-artikel analisis selain artikel sintesis ini. Selain itu terdapat beratus artikel daripada majlis ilmu yang boleh dicapai melalui senarai pautan di bahagian bawah blogspot. Bagi mereka yang menggunakan telefon pintar sila tekan view in web version untuk mendapatkan jangkauan sebenar ilmu dan pengalaman yang dikongsikan. Begitu juga harus dilakukan pada blogspots saya yang lain.
Untuk pengetahuan pada ketika ini terdapat jumlah artikel seperti berikut :-
2,181 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU
2,128 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)
2,114 di BERPETUALANG KE ACEH
398 di Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)
Ini menjadi jumlah 6,821 artikel yang telah ditulis lalu dikongsikan setakat ini. Hampir kesemuanya adalah berdasarkan pengalaman sebenar saya, menggunakan gambar-gambar yang diambil sendiri. Sila ambil faedah.
Trima kasih atas perkongsian pengalaman tuan
BalasPadamSama2
BalasPadam