Salam petang Jumaat ke-2 bulan Rejab. Merujuk pada perjalanan selatan yang berlangsung 22 hingga 29 Disember lalu cerita-ceritanya telah dikumpulkan dalam artikel Kompilasi perjalanan selatan penghujung 2024 pada 2 hari lalu. Di celah cerita-cerita yang dipersembahkan antara 30 Disember hinggalah seminggu selepas masuk tahun baru 2025 itu ada diselitkan perkongsian daripada majlis atau peristiwa yang berlaku tahun baru seperti berikut :-
Namun, selagi perkongsian cerita perjalanan belum selesai selagi itu kepala saya sebenarnya masih dalam tahun 2024. Selain itu masih ada yang perlu dilepaskan daripada tahun tersebut. Itu yang dikeluarkankan artikel 'Quality time' bersama anak semalam, tentang apa yang berlaku 30 Disember hingga 31 Disember, malam sebelum masuk tahun baru. Dengan itu baru betul-betul selesai hal daripada tahun lalu. Barulah boleh masuk pada penceritaan yang pada saya baru betul-betul hendak membawa semangat dan harapan bagi tahun 2025.
Jumaat malam Sabtu 3 Januari 2025. Tiba-tiba seorang kawan menghantar gambar menunjukkan sedang mengadakan pertemuan dengan 'cucu' Laksamana Muhammad Amin. Walaupun rekod rasmi mengiktiraf beliau sebagai cucu saya telah menemui dokumen-dokumen sahih menunjukkan ia tidak benar. Status bapanya sebagai anak Muhammad Amin sangat boleh dipersoalkan.
Hal ini sudah lebih setahun dikongsikan kepada saudara mara terdekat. Cuma nak dedahkan kepada umum atau tidak sahaja. Dan lagi saya juga dapat membaca kenapa kawan bertemu orang itu. Lalu saya jawab lebih kurang begini : "Jalan sahajalah. Kami tahu siapa sebenarnya orang itu".
Tidak lama kemudian kawan menjawab dengan menyatakan orang tersebut membawa amanat sebagai 'cucu' untuk menyatukan semua saudara mara. Saya yang tahu cerita sebenar sejak awal terus terasa marah, bukan kepada kawan tetapi kepada 'cucu' yang mendakwa mahu menyatukan lalu membuat hantaran berikut di Facebook :-
'WARIS' DARIPADA ANAK YANG LAHIR 3 TAHUN SELEPAS 'BAPA' MENINGGAL DUNIA
Tukar topik. Ada satu hamba Allah ini. Dalam salasilah besar keluarga yang diterima istana diletakkan sebagai anak lelaki bongsu, melalui isteri bongsu kepada seorang tokoh pejuang Melayu semasa zaman awal kemasukan British dahulu. Disebabkan diletakkan sebagai anaklah maka dia dapat memegang jawatan pembesar istana turun temurun yang pernah dipegang tokoh tersebut. Kemudian anak kepada orang tersebut pula dapat memegang jawatan itu.
Namun kajian terperinci saya menunjukkan orang tersebut sebenarnya lahir 3 tahun selepas 'bapanya' meninggal dunia. Saya ada salinan dokumen dari Arkib Negara menunjukkan beliau sendiri pernah membuat surat sumpah lahir pada tahun sekian2 yang memang adalah 3 tahun selepas tokoh meninggal dunia. Malah bukti tambahan boleh ditemui melalui dokumen belanjawan British juga satu surat petisyen yang pernah dikeluarkan atas nama orang tersebut. Maka itu beliau sebenarnya tidak layak memang jawatan keturunan, begitu juga anak cucunya.
Beliau dan keturunan juga sebenarnya tidak layak menerima bahagian faraid harta daripada tokoh tersebut. Yang layak adalah mendapat bahagian daripada ibu yang memang isteri bongsu. Tapi tu le. Tidak ramai tahu hakikat sebenar, kalau tahu pun hendak disembunyikan.
Kalau hal sebegini jadi pada keluarga anda patutkah didedahkan dokumen2 berkenaan yang jelas menunjukkan orang itu lahir 3 tahun selepas 'bapa' meninggal dunia. Ke nanti tak pasal2 dokumen asal di Arkib 'dihilangkan' begitu juga lain2? Kita pula dituduh membuat fitnah lalu cuba dihancurkan?
Sekitar 11 minit kemudian kawan menghantar gambar susulan. Ah. Masak. Saya tahu sekarang siapa lagi terlibat dalam pertemuan lalu dapat membaca hala tujuan. Namun tidak memberikan maklum balas. Malas nak layan sebenarnya. Dua minit kemudian kawan menghantar teks mengulangi 'amanat' bagi menyatukan keluarga. Saya masih tidak mahu membalas.
Setengah jam kemudian kawan menelefon pula. Saya boleh agak apa yang mahu diperkatakan lalu tidak ingin terlibat. Namun disebabkan kawan saya pun menjawab. Setelah memberikan sedikit mukadimah beliau memberikan telefon kepada orang yang disebut terlibat. Dalam keadaan berat hati saya melayan hanya disebabkan kawan. Orang tersebut pernah ditemui di Ipoh bersama saudara mara kerana mendakwa boleh mengesan hartanah peninggalan Laksamana Muhammad Amin yang di Singapura lalu menawarkan diri sebagai ajen.
Saya sudah menyiasat sedikit latar belakang juga mengkaji betul-betul terma-terma tawaran lalu menasihatkan keluarga untuk tidak lagi berurusan dengan orang tersebut. Betul telahan saya. Beliau masih mahu kami menerimanya sebagai ajen, kali ini melalui 'cucu' berkenaan. Selepas melayan sedikit perbualan demi menjaga hati orang didapati beliau mahu membawa naratif yang pada saya jelas adalah usaha penipuan sejarah. Saya pun menamatkan dengan menyatakan tidak lagi berminat dengan perbualan.
Esoknya Sabtu 4 Januari saya disibukkan sehari suntuk sambil ada membuat perjalanan sejauh 350 km lalu tidak sempat menulis tentang perjalanan selatan sepertimana dilakukan setiap hari sejak 30 Disember. Pagi Ahad 5 Januari timbul rasa untuk membuat artikel bagi menerangkan kenapa tidak sempat menulis itu. Keluar secara spontan perkongsian melibatkan hal 'cucu' Laksamana dan orang yang terlibat dalam pertemuan. Jadilah artikel Tentang mesyuarat keluarga Laksamana di Bangi, usaha untuk mengubah sejarah, dan pengkebumian sepupu di Raub,
Artikel tersebut turut dikongsikan dalam grup Whatsapp satu persatuan sejarah peringkat negeri. Hantaran di Facebook pada 3 Januari telah dikongsikan lebih awal lalu telah menimbulkan sedikit polemik. Tidak lama kemudian pagi Ahad seorang kenalan yang aktif dengan persatuan menelefon menyatakan telah membaca semua yang dikongsikan. Beliau pun mengajak membentang dalam satu majlis yang katanya bertaraf antarabangsa pertengahan tahun nanti. Boleh juga menyumbang artikel bagi penerbitan berkenaan.
Antara isu yang dicadangkan mahu diangkat adalah Perjanjian Pangkor tahun 1874. Kebetulan saya ada mengumpul sejumlah bahan menarik awal tahun lalu. Kerana guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar pernah meminta agar membentang dalam seminar setengah di institut sebagai anak cucu Laksamana Muhammad Amin, seorang yang terlibat menandatangani perjanjian. Cadangan dibuat sempena genap 150 tahun peristiwa. Lihat artikel Mengenang 150 tahun Perjanjian Pangkor - Tawaran istimewa buku Laksamana diikuti Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor. Semakan menunjukkan cadangan dibuat pada tarikh Islam 11 Rejab 1445 Hijriah. Beza sehari sahaja daripada tarikh hari ini 10 Rejab 1446.
Sayangnya seminar di ISTAC tidak jadi lalu tidak dibuat pembentangan. Malah saya mendapat tahu ada majlis besar sempena 150 tahun perjanjian mahu diadakan di Pulau Pangkor melibatkan sejumlah sejarawan termasuk guru tidak rasmi saya dalam bidang, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali. Tetapi majlis ditunda kemudian ditunda lagi. Selepas beberapa lama langsung tak jadi.
Semalam petang Khamis 9 Januari tergerak untuk meneliti kembali bahan-bahan yang pernah dikumpulkan bagi pembentangan. Terus 'klik' dalam kepala lalu membuat hantaran WhatsApp kepada kenalan yang aktif dalam persatuan sejarah agar dapat membantu mengatur satu sesi. Sambil membuat hantaran demi hantaran baru tersedar lagi 11 hari sahaja akan sampai tarikh perjanjian iaitu 20 Januari. Elok sangat tu kalau dapat dibuat majlis pembentangan pada tarikh tersebut. Tepat 151 tahun. Dengan itu hantaran cadangan turut dipanjangkan kepada grup persatuan sejarah.
Namun saya sedar, kalau mahupun mengadakan, adalah susah untuk mereka mengejar tarikh 20 Januari. Terlalu suntuk itu. Sedangkan kebiasaan dalam mana-mana persatuan, kena ada surat cadangannya, kena ada mesyuarat untuk memutuskan mahu buat ke tidak, kalau mahu pula bila. Siapakah terlibat, bagaimana bajet atau belanjawannya? Walaupun menerima sedikit maklum balas positif dalam grup tempoh 11 hari untuk menjayakan acara atas nama persatuan memang terlalu suntuk. Itu yang menyebabkan saya membuat hantaran di Facebook menggunakan gambar atas berserta teks berikut :-
WEBINAR " "PERJANJIAN PANGKOR SETELAH 151 TAHUN : SATU PENILAIAN SEMULA" PADA 20 JANUARI INI - MAHUKAH MENYERTAI?
Salam semua. Kalau dibuat webinar dengan tajuk atas ni berminat tak menyertai? Saya nak kupas kembali perjanjian berdasarkan fakta bahawa sebenarnya terdapat 2 versi. Satu adalah dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Satu adalah dalam bahasa Inggeris. Yang difahami, dipersetujui dan ditandatangani oleh para pembesar Melayu sebenarnya adalah yang dalam bahasa Melayu itu. Sedangkan yang disuakan kepada kita selama ini adalah versi bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sehingga timbul persoalan kenapa pembesar Melayu 'tidak bijak' sehingga sanggup menandatangani perjanjian yang begitu merugikan orang agama, bangsa dan tanah air. Kenapa menerima Sultan harus meminta lalu memakai nasihat Residen kecuali dalam hal agama Islam dan adat Melayu?
Sebetulnya terdapat beberapa perbezaan yang nampak kecil pada perkataan2 dalam perjanjian antara 2 versi itu tetapi sangat berbeza makna. Dalam versi Melayu Sultan sebenarnya tidak wajib mengikut nasihat residen, cuma harus meminta pandangan sahaja. Dan ada lagi perbezaan makna lain dapat dikesan selain pemahaman orang Melayu bahawa Islam dan adat Melayu meliputi lebih banyak perkara jika tidak pun semua termasuk hak untuk mengutip cukai. Sebab itu sanggup menandatangani. Setelah beberapa lama baru sedar ditipu lalu cuba mengubah tetapi tidak berjaya.
Susulan daripada itu berlakulah pembunuhan J.W.W. Birch penghujung 1875 dan peristiwa2 berikutnya. Dalam surat menyurat dan dokumen Perak malah semua Negeri-negeri Melayu 'tidak pernah dijajah', cuma 'dilindungi' sahaja. Tetapi hakikat sebenar perbuatan dan perkara? Daripada situlah dan apa yang berlaku kemudiannya terbit Perlembagaan Negara Malaysia. Daripada situlah bangsa pendatang mula mendapat ruang melalui undang2 yang disokong British sehinggalah muncul keadaan seperti dilihat hari ini.
Berbalik pada Webinar. Saya cadangkan mahu buat Isnin 20 Januari kerana tepat 151 tahun selepas perjanjian berlaku. Saya ada mencadangkan kepada satu badan tertentu yang ada otoriti tetapi belum mendapat maklum balas. Kalau mereka tak dapat buat pada 20 Januari saya nak buat sendiri. Sila berikan maklum balas.
Kalau dibuat sendiri webinar tidak perlu terikat dengan formaliti perlu membuat kertas kerja, cadangan bagai, mesyuarat dan sebagainya juga urusan bajet. Itu boleh dibuat bagi sesi kemudian. Sekarang saya sangat mahu mengejar tarikh 20 Januari 2025 kerana tepat 151 tahun. Cantik nombor itu. Sebenarnya lebih cantik daripada sambutan 150 tahun kalau dibuat tahun lalu.
Cuma tu le. Perlu ada kemudahan atas talian seperti Zoom yang cantik. Seeloknya perkongsian melalui Zoom itu turut dapat dipancarkan ke secara langsung di Youtube melalui Youtube Live. Yang saya ada sekarang cuma Zoom percuma dengan had masa 40 minit. Tak tahu boleh atau tidak, bagaimana dapat disambung ke Youtube Live. Kalau buat Youtube Live secara luaran menggunakan telefon pintar sambil membentang dengan Zoom menggunakan komputer riba memang boleh. Tetapi susah hendak mendapat paparan serupa seperti dipancarkan melalui komputer. Saya mahu supaya pembentangan dapat direkodkan sebaiknya masuk ke Youtube. Supaya dapat diikuti pada bila-bila masa. Dan boleh menjadi contoh untuk cadangan pembentangan akan datang.
Sekarang biar dikongsikan beberapa gambar yang ada diletakkan dalam grup WhatsApp persatuan sambil menyambunng cerita...
Satu sumber utama bagi pembentangan. Saya letak ini dalam grup kerana selepas hantaran 3 Januari kelihatan ada yang seperti mempersoalkan kredibiliti. Seolah-olah selama ini saya cuma tahu menggali cerita-cerita sejarah menggunakan cerita lisan dan cakap-cakap orang semata-mata. Seolah-olah kajian-kajian saya tidak layak diberikan perhatian serius.
Saya pun menegaskan lebih kurang begini - "Mungkin tuan tidak tahu latar belakang saya memiliki sarjana muda dalam bidang matematik tulen daripada University College of London tahun 1995 kemudian menjadi wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Strais Times 1996-2001 sebelum menjadi penulis buku sepenuh masa. Mungkin tuan berpegang pada kaedah Rankean (merujuk pada pendekatan sejarawan Jerman, Leopold von Ranke yang hidup 1795 – 1886) lalu menolak cara pemikiran spekulatif seperti telahan bahawa Kesultanan Melaka semasa zaman Sultan Mansur Syah sudah memiliki hubungan dengan kerajaan Uthmaniyah di Asia Barat. Ini kerana pedagang daripada bumi belah sana sudah beribu tahun berulang alik ke Kepulauan Melayu. Maka itu apabila Sultan Muhammad al-Fatih berjaya menakluki kota Constantinople, pusat empayar Rom Timur, tentu mendapat berita lalu Sultan Mansur menghantar utusan tahniah. Bukankah penaklukan Constantinople oleh umat Islam ini telah dibayangkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri 1,400 tahun lalu. Dengan itu umat Islam seluruh dunia sudah lama menunggu ia berlaku."
Tetapi ada sejarawan yang terlalu tegas sehingga pada saya mencapai tahap jumud. Difahamkan, disebabkan memakai pendekatan Rankean mereka menolak telahan kerana tidak ada (belum menemui sebenarnya) dokumen sahih seperti catatan pedagang zaman itu menunjukkan terdapatnya perhubungan antara kerajaan Uthmaniyah dengan Melaka. Tiada misalnya rekod dalam arkib istana Turki mahupun istana Melaka (kedua-dua istana pun sudah lama runtuh diganti pemerintahan bukan beraja). Katanya itulah pemikiran saintifik yang dianut mereka.
Saya boleh faham keperluan untuk memastikan keaslian sumber. Tetapi pada saya harus diberi ruang untuk dicatatkan telahan. Cuma tambahlah catatan atau nota, walaupun masuk akal belum lagi terbukti. Maklum balas saya dalam grup adalah lebih kurang begini. Saya tahu sains tinggi seperti fizik yang banyak menggunakan matematik pun menerima pemikiran spekulatif. Misalnya, Albert Einstein yang cukup terkenal dengan Special Theory of Relativity juga General Theory of Relativity awal abad ke-20 yang mengubah langsung asas ilmu fizik yang dipakai sekian lama berdasarkan dapatan Isaac Newton abad ke-17. Beliau pernah berangan apakah terjadi kalau dapat 'menunggang' cahaya. Daripada angan-angan dapat ilham membawa kepada penerbitan teori.
Baru-baru ini saya ada bercakap dengan seorang kenalan sejarawan yang pernah belajar di Sorbonne, Perancis. Beliau yang berumur sekitar 70 tahun asalnya sarjana muda fizik. Ada mengambil setahun matematik. Selepas beberapa lama baru beralih ke bidang sejarah Saya beritahu bahawa kita yang belajar matematik memiliki asas pemikiran logik tinggi dan teratur yang tidak ada pada mereka yang berlatarbelakangkan sastera kemudian masuk bidang sejarah. Sebab itu boleh nampak apa yang mereka tak nampak atau tak mampu nampak.
Ini adalah salinan isi Perjanjian Pangkor yang diperolehi dari Arkib Negara tahun lalu. Lihat artikel Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari yang dipersembahkan 3 Mac 2024. Cuma dalam artikel saya menyebut "baru mendapat satu bahan yang dicari sejak lebih sebulan lalu". Sedangkan bahan yang dimaksudkan adalah salinan perjanjian seperti di atas ini.
Ternyata ia tidak lain, cuma terjemahan ke dalam bahasa Melayu daripada perjanjian versi Bahasa Inggeris. Isilahnya yang diwar-warkan sejak sekian lama dalam pensejarahan negara. Sedangkan yang difahami lalu diterima dan ditandatangani pembesar Melayu sebenarnya adalah perjanjian dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi.
Berbalik pada perkongsian dalam grup persatuan sejarah. Saya menyatakan banyak mengembara dan turun ke lapangan berpenat lelah, kadangkala mengambil risiko boleh hilang nyawa, lalu menulis tentangnya. Bukan sekadar membuat kajian kepustakaan lalu hanya menunggang penemuan orang lain. Melalui pengalaman sebenar dapat mengenal apa yang boleh dipakai apa tidak. Bagi menyokong hal diletakkanlah pautan berikut :-
Dinyatakan paling jauh pernah buat solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995. Itu meliputi jarak pengembaraan darat menghampiri 5,900 km. Pernah solo bermotosikal besar hujung 1997 hingga awal 1998 pusing Semenanjung lebih sebulan. Sempat naik Gunung Lambak, Gunung Ledang, Gunung Jerai bagai lalu meliputi jarak hampir 4,000 km. Sedangkan ada banyak lagi perjalanan tidak tercatat.
Beginilah rupa naskah Perjanjian Pangkor bahasa Melayu bertulisan Jawi yang ditandatangani, atau lebih tepat diturunkan cap mohor oleh para pembesar Melayu. Sayang, tiada siapa pun tahu di manakah ia kini, apakah masih wujud. Saya dah tanya pada Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Muzium Negara dan beberapa pihak berwibawa. Arkib Negara pun cuma ada gambar yang dijadikan salinan digital ini.
Berbalik pada maklum balas akibat perkongsian dalam grup WhatsApp persatuan sejarah. Saya disarankan agar membuat tulisan akademik tentang hal yang diangkat 3 Januari lalu dimasukkan ke dalam jurnal. Daripada situ boleh dinilai lalu mendapatkan sokongan ahli akademik.
Sebenarnya sebagai sebagai graduan matematik saya mampu menulis sangat akademik. Insyaallah, lebih kuat dalil saintifik (kalau perlu) berbanding orang berlatarbelakangkan sastera menjadi sejarawan. Namun saya lebih suka menulis secara awam seperti dalam CATATAN SI MERAH SILU. Itu adalah latihan yang saya dapat ketika menjadi wartawan - Memudahkan apa yang rumit agar sebanyak mungkin orang awam boleh faham. Bukan bercerita menggunakan bahasa tinggi supaya kelihatan lebih intelektual daripada orang lain.
Yang pasti selain banyak mengembara saya juga rajin mengikuti majlis-majlis ilmu lalu menulis tentangnya. Semua itu tidak masuk dalam mana-mana jurnal akademik (yang selalu dibanggakan, masuk Scopus ke ISSI ke hapa gitu, baru boleh diiktiraf kredibiliti katanya). Pengalaman sebenar rajin mengembara dicampur ilmu yang dipelajari baik dalam majlis mahupun melalui bacaan, juga daripada orang-orang tua yang ditemui dalam perjalanan sangat membantu. Dengan itulah mampu menilai keadaan lalu banyak menulis. Celah-celah dapat pula petunjuk melalui gerak hati, mimpi dan berbagai cara lagi. Sangatlah rugi kalau semua itu diketepikan atas alasan tiada dokumen bertulis di arkib atau perpustakaan sebagai rujukan.
Ini dikatakan adalah terjemahan bahasa Inggeris daripada dokumen asal Perjanjian Pangkor dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Tadi ada disebut, selain banyak mengembara saya juga rajin mengikut majlis ilmu lalu menulis tentangnya. Sebagai bukti telah diletakkan pautan-pautan berikut di grup persatuan sejarah :-
Terjemahan bahasa Inggeris daripada Perjanjian Pangkor asal berbahasa Melayu ini disahkan dan dibuat oleh penterjemah mahkamah tinggi Singapura tahun 1952. Oh. Walaupun telah menganjurkan banyak majlis ilmu secara fizikal pengalaman saya menganjurkan secara atas talian cuma sedikit sahaja. Lihat artikel-artikel berikut :-
Turut disediakan hampir setahun lalu adalah perbandingan teks Perjanjian Pangkor antara versi Inggeris yang terjemahan Melayunya disebarkan sebagai rasmi hingga kini berbanding versi Melayu (terjemahan bahasa Inggeris ada dalam tesis PhD rujukan saya) yang nampaknya dihilangkan cerita. Yang ditunjukkan dalam gambar cuma 2 perkara berbeza. Ada lagi beberapa.
Merujuk balik pada senarai pautan menunjukkan acara yang pernah saya adakan secara atas talian. Acara yang ditanda nombor 1 dan 2 kedua-duanya dibuat tahun 2023 menggunakan platform Zoom kawan. Beliau juga menyediakan kemudahan agar perkongsian melalui Zoom dapat dimasukkan ke dalam Youtube secara siaran langsung iaitu melalui Youtube Live. Dengan itu dapatlah rakaman video yang diletakkan dalam artikel. Saya tidak perlu memikirkan hal-hal teknikal, sekadar masuk membentang.
Yang dirisaukan adalah bagaimana jika tidak dibantu platform? Bagaimana jika harus menggunakan Zoom percuma yang ada had tempoh 40 minit sahaja bagi setiap sesi? Bagaimana jika harus melakukan semua seorang diri. Bagaimana hendak memastikan apa yang dikongsikan dapat diabadikan di Youtube?
Selepas sampai jam 3 petang Ahad 29 Disember 2024 dari selatan kami anak beranak berehat sahaja di rumah. Tiba-tiba petang esoknya Isnin tergerak untuk pergi ke pejabat JPJ, Jabatan Pengangkutan Jalan di Kuala Kubu Bharu untuk menyemak suatu perkara. Ajaklah anak lelaki remaja ikut bersama lalu berjalan-jalan ke pekan.
Sebetulnya memang nak bawa beliau berjalan-jalan. Esoknya petang Isnin 31 Disember anak harus kembali masuk ke asrama tahfiz di Cheras.
Kali terakhir membawa beliau dengan motosikal besar ke mana-mana adalah setakat di sekitar kawasan perumahan di Bandar Sungai Buaya lebih 3 tahun lalu.
Ketika berehat di tasik empangan Hulu Selangor tiba-tiba terasa hendak membuka apa sahaja muka surat yang terbetik dalam buku tulisan "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad".
Terus terbuka muka surat yang mana saya ada membuat telahan bahawa datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad pernah ke Singapura apabila mendapat tahu bapanya Laksamana Muhammad Amin telah dialihkan ke sana dari Pulau Seychelles di perairan Afrika tahun 1895.
Selepas itu membawa anak ke Sungai Pertak dan Sungai Chilling sebelum minum petang di pekan Kuala Kubu. Solat dan beriktikaf sebentar di masjid lama Ampang Pecah.
Petang Isnin 31 Disember membawa anak keluar dengan kereta.
Bersama menikmati hidangan kegemaran, nasi beringin dekat pejabat lama saya The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.
Selepas itu bersolat di masjid Universiti Malaya kemudian membawa anak berjalan dalam kampus. Buat pertama kali, setelah bertahun singgah terutama untuk majlis-majlis ilmu di Jabatan Sejarah pergi ke Jabatan Media untuk bertemu seorang sepupu yang sudah lama menjadi pensyarah.
Selepas menghantar anak kembali ke asrama tahfiz pergi ke rumah yang di Hulu Langat.
Cadangnya hendak bermalam sambil menyelesaikan suatu urusan. Di situlah dipersembahkan artikel Perjalanan selatan penghujung 2024 - Ke Port Dickson membawa ke Masjid Tanah dan Muar iaitu tentanh hari ke-2 perjalanan. Selepas beberapa lama terasa elok balik sahaja ke rumah yang di Bandar Sungai Buaya untuk bersama isteri dan anak. Dalam perjalanan kelihatan ramai orang sudah mula berkumpul di satu lereng bukit menghala ke Ampang, nampaknya untuk melihat sambutan tahun baru 2025 yang ada pertunjukkan bunga api di serata Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Dengan ini selesailah apa-apa yang tertunggak tentang tahun 2024.
OK. Melengkapkan penceritaan perjalanan selatan baru ini dengan kompilasi...
Asalnya, untuk hujung tahun 2024 kami merancang mahu masuk selatan Thailand melalui Perlis dan keluar melalui Kelantan. Itulah yang difikirkan sejak pertengahan tahun. Tapi apabila masuk pertengahan November asyik mendengar berita banyak tempat dalam laluan terkena banjir tukarlah rancangan untuk ke selatan. Sambil itu boleh balik kampung isteri di Tanjung Sepat dan kampung saya di Muar.
Sambil itu juga mahu menguji kereta terpakai berusia 7 tahun yang baru dibeli penghujung Oktober. Ketika dibeli sudah lebih 275,000 km tercatat pada meter. Ketika memulakan perjalanan selatan 22 Disember sudah lebih 279,000 km. Perjalanan sehingga ke penghujung selatan tanah besar Asia ini meliputi beberapa tempat di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Di celah-celah itu ada masuk hutan bakau di Taman Negara Tanjung Piai di Pontian juga mendaki Gunung Lambak di Kluang. Apabila kembali ke rumah, selepas 8 hari 7 malam, meter kereta menunjukkan ia telah dipandu sejauh 1,254.5 km.
Pagi Ahad 29 Disember 2024. Kami sekeluarga telah menginap di rumah Hulu Langat. Merujuk kembali pada artikel Perjalanan selatan penghujung 2024 - Dari penghujung tanah besar Asia ke Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kluang yang menceritakan hari-5 perjalanan. Tidak diberitahu dalam artikel bahawa di Kota Tinggi isteri ada mencadangkan agar singgah ke muzium sana. Tetapi ia telah tutup apabila kami sampai. Sejak itu anak bongsu asyik menyebut hendak ke muzium
Memikirkan itu kami meninggalkan Hulu Langat dalam keadaan saya telah mengenal pasti beberapa muzium untuk disinggahi di sekitar Lembah Klang. Yang pertama dituju adalah di lapangan terbang lama TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) di Sungai Besi. Google Map menandakan ada muzium penerbangan. Tapi bila sampai ke lokasi rupa-rupanya dah tak da lagi. Kawasan sudah lama dibeli syarikat persendirian untuk satu projek pembangunan.
Malam semalam, kenalan saya Dr Zain Musa yang merupakan seorang Melayu Champa dari Kemboja yang sudah menjadi rakyat Malaysia menghantar poster ini. Beliau yang pernah menjadi pensyarah sejarah di UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Felo di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam sudah beberapa kali menghantar poster mengajak menyertai wacana atas talian anjuran beliau. Namun setakat ini saya cuma ada kelapangan untuk mengikuti 2 sahaja lalu menulis tentangnya. Lihat artikel-artikel berikut :-
Untuk majlis terbaru saya telah memberikan komitmen akan mengikuti. Sampai masanya jam 9 tadi saya pun masuk melalui Zoom.
Kelihatan Zain memberikan pengenalan tentang acara. Beliau aktif berkongsi tentang masyarakat Melayu Champa di Kemboja. Masyarakat ini sebenarnya berasal daripada kerajaan lama Melayu Champa. Tetapi kerajaan tidak lagi wujud kerana telah 'ditelan' menjadi negara Vietnam moden.
Sedikit biodata tentang pembentang, saudara Jajang Nurzaman. Baru tamat sarjana muda tahun 2022 rupanya. Kemudian dihantar menjadi guru selama setahun di Kemboja.
Memang kelihatan begitu muda pembentang itu. Berdasarkan pengalaman tersebutlah beliau melihat tanggapan orang Kemboja terhadap orang Indonesia...
Aturan pembentangan beliau.
Jajang menjadi guru di wilayah Svay Khleang. Semakan melalui Google Map menunjukkan ia terletak sekitar 50 km ke timur laut bandar Kampong Cham. Saya sebut ini kerana pernah sampai ke Kampong Cham lalu dapat pergi ke beberapa penempatan orang Melayu Cham. Cuma taklah sampai ke Svay Khleang. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Persinggahan dibuat tahun 2018 dalam pengembaraan atas darat 12 hari 11 malam yang meliputi banyak tempat di Kemboja dan Thailand. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation. Sekarang tak perlulah diulas sangat apa yang dikongsikan. Boleh dibaca sendiri melalui slaid dalam bahasa Indonesia.
Cuma nampaknya terlepas slaid perkara 3 iaitu tentang akhlak dan kecerdasan murid di tempat beliau mengajar iaitu sekolah kelolaan badan NGO bernama SEPAMA yang diasaskan oleh Zain. Sebetulnya, sambil mengikuti pembentangan saya juga sedang menghabiskan bacaan satu buku kecil yang diminta mengulas panjang lebar untuk dijadikan artikel jurnal akademik.
Paling menarik adalah persepsi orang Kemboja seperti dinyatakan dalam slaid. Diberitahu, persepsi terbentuk melalui apa yang dapat dilihat dalam Youtube dan Facebook. Entah kenapa banyak keluar cerita-cerita hantu lama seperti Sundel Bolong dan Penangkal Ilmu Teluh. Kedua, cerita pengalaman orang Kemboja yang bekerja di Malaysia bertemu orang Indonesia yang sama mencari rezeki di rantau.
Telah berlaku satu kes tertentu yang mana orang Indonesia itu mempamerkan ilmu yang nampaknya adalah sihir, atau kelihatan seperti sihir. Kata Jajang, mungkin berasal dari desa lalu ada membawa 'bekal'. Pada faham saya kalau dibawa perantau biasanya bukanlah ilmu sihir tetapi ilmu kebatinan seperti pukulan jarak jauh, Nasrul Haq, Budi Suci dan sebagainya. Pun begitu ada juga yang membawa ilmu perdukunan malah sihir tapi jarang. Kita orang Malaysia pun ada terutama yang biasa merantau berseorang di jalanan. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,606 di CATATAN SI MERAH SILU.