Khamis, Januari 09, 2025

'Quality time' bersama anak

Ini ada suatu kesinambungan daripada kisah perjalanan ke selatan seperti dikumpulkan cerita dalam Kompilasi perjalanan selatan penghujung 2024.



Selepas sampai jam 3 petang Ahad 29 Disember 2024 dari selatan kami anak beranak berehat sahaja di rumah. Tiba-tiba petang esoknya Isnin tergerak untuk pergi ke pejabat JPJ, Jabatan Pengangkutan Jalan di Kuala Kubu Bharu untuk menyemak suatu perkara. Ajaklah anak lelaki remaja ikut bersama lalu berjalan-jalan ke pekan.



Sebetulnya memang nak bawa beliau berjalan-jalan. Esoknya petang Isnin 31 Disember anak harus kembali masuk ke asrama tahfiz di Cheras.




Kali terakhir membawa beliau dengan motosikal besar ke mana-mana adalah setakat di sekitar kawasan perumahan di Bandar Sungai Buaya lebih 3 tahun lalu.




Ketika berehat di tasik empangan Hulu Selangor tiba-tiba terasa hendak membuka apa sahaja muka surat yang terbetik dalam buku tulisan  "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad".



Terus terbuka muka surat yang mana saya ada membuat telahan bahawa datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad pernah ke Singapura apabila mendapat tahu bapanya Laksamana Muhammad Amin telah dialihkan ke sana dari Pulau Seychelles di perairan Afrika tahun 1895.




Selepas itu membawa anak ke Sungai Pertak dan Sungai Chilling sebelum minum petang di pekan Kuala Kubu. Solat dan beriktikaf sebentar di masjid lama Ampang Pecah.




Sebelum kembali ke rumah singgah di tasik yang lebih berdekatan. Lihat artikel Bringing a son by bike to Tasik Widuri  di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Petang Isnin 31 Disember membawa anak keluar dengan kereta.



Bersama menikmati hidangan kegemaran, nasi beringin  dekat pejabat lama saya The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.



Selepas itu bersolat di masjid Universiti Malaya kemudian membawa anak berjalan dalam kampus. Buat pertama kali, setelah bertahun singgah terutama untuk majlis-majlis ilmu di Jabatan Sejarah pergi ke Jabatan Media untuk bertemu seorang sepupu yang sudah lama menjadi pensyarah.



Selepas menghantar anak kembali ke asrama tahfiz pergi ke rumah yang di Hulu Langat.




Cadangnya hendak bermalam sambil menyelesaikan suatu urusan. Di situlah  dipersembahkan artikel Perjalanan selatan penghujung 2024 - Ke Port Dickson membawa ke Masjid Tanah dan Muar iaitu tentanh hari ke-2 perjalanan. Selepas beberapa lama terasa elok balik sahaja ke rumah yang di Bandar Sungai Buaya untuk bersama isteri dan anak. Dalam perjalanan kelihatan ramai orang sudah mula berkumpul di satu lereng bukit menghala ke Ampang, nampaknya untuk melihat sambutan tahun baru 2025 yang ada pertunjukkan bunga api di serata Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Dengan ini selesailah apa-apa yang tertunggak tentang tahun 2024.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan