Adapun selepas mempersembahkan artikel Perjalanan selatan penghujung 2024 - Merentas pendalaman Negeri Sembilan ke Hulu Langat tinggal satu sahaja lagi hari perjalanan untuk dikongsikan cerita. Sudah disediakan pun gambar-gambar, cuma menunggu masa untuk diolah cerita. Tetapi biar dikongsikan satu cerita majlis ilmu terlebih dahulu.
Malam semalam, kenalan saya Dr Zain Musa yang merupakan seorang Melayu Champa dari Kemboja yang sudah menjadi rakyat Malaysia menghantar poster ini. Beliau yang pernah menjadi pensyarah sejarah di UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Felo di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam sudah beberapa kali menghantar poster mengajak menyertai wacana atas talian anjuran beliau. Namun setakat ini saya cuma ada kelapangan untuk mengikuti 2 sahaja lalu menulis tentangnya. Lihat artikel-artikel berikut :-
Untuk majlis terbaru saya telah memberikan komitmen akan mengikuti. Sampai masanya jam 9 tadi saya pun masuk melalui Zoom.
Kelihatan Zain memberikan pengenalan tentang acara. Beliau aktif berkongsi tentang masyarakat Melayu Champa di Kemboja. Masyarakat ini sebenarnya berasal daripada kerajaan lama Melayu Champa. Tetapi kerajaan tidak lagi wujud kerana telah 'ditelan' menjadi negara Vietnam moden.
Sedikit biodata tentang pembentang, saudara Jajang Nurzaman. Baru tamat sarjana muda tahun 2022 rupanya. Kemudian dihantar menjadi guru selama setahun di Kemboja.
Memang kelihatan begitu muda pembentang itu. Berdasarkan pengalaman tersebutlah beliau melihat tanggapan orang Kemboja terhadap orang Indonesia...
Aturan pembentangan beliau.
Jajang menjadi guru di wilayah Svay Khleang. Semakan melalui Google Map menunjukkan ia terletak sekitar 50 km ke timur laut bandar Kampong Cham. Saya sebut ini kerana pernah sampai ke Kampong Cham lalu dapat pergi ke beberapa penempatan orang Melayu Cham. Cuma taklah sampai ke Svay Khleang. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Persinggahan dibuat tahun 2018 dalam pengembaraan atas darat 12 hari 11 malam yang meliputi banyak tempat di Kemboja dan Thailand. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation. Sekarang tak perlulah diulas sangat apa yang dikongsikan. Boleh dibaca sendiri melalui slaid dalam bahasa Indonesia.
Cuma nampaknya terlepas slaid perkara 3 iaitu tentang akhlak dan kecerdasan murid di tempat beliau mengajar iaitu sekolah kelolaan badan NGO bernama SEPAMA yang diasaskan oleh Zain. Sebetulnya, sambil mengikuti pembentangan saya juga sedang menghabiskan bacaan satu buku kecil yang diminta mengulas panjang lebar untuk dijadikan artikel jurnal akademik.
Paling menarik adalah persepsi orang Kemboja seperti dinyatakan dalam slaid. Diberitahu, persepsi terbentuk melalui apa yang dapat dilihat dalam Youtube dan Facebook. Entah kenapa banyak keluar cerita-cerita hantu lama seperti Sundel Bolong dan Penangkal Ilmu Teluh. Kedua, cerita pengalaman orang Kemboja yang bekerja di Malaysia bertemu orang Indonesia yang sama mencari rezeki di rantau.
Telah berlaku satu kes tertentu yang mana orang Indonesia itu mempamerkan ilmu yang nampaknya adalah sihir, atau kelihatan seperti sihir. Kata Jajang, mungkin berasal dari desa lalu ada membawa 'bekal'. Pada faham saya kalau dibawa perantau biasanya bukanlah ilmu sihir tetapi ilmu kebatinan seperti pukulan jarak jauh, Nasrul Haq, Budi Suci dan sebagainya. Pun begitu ada juga yang membawa ilmu perdukunan malah sihir tapi jarang. Kita orang Malaysia pun ada terutama yang biasa merantau berseorang di jalanan. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,606 di CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan