OK. Sebelum menyambung cerita perjalanan daripada Perjalanan selatan penghujung 2024 - Menguji kereta 'baru' bagi perjalanan jauh biar dilepaskan cerita satu majlis ilmu.
Malam semalam selepas jam 9 menerima poster majlis ilmu ini daripada guru saya di ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar melalui WhatsApp. Saya cuma menjawab "Noted Prof" (ambil maklum). Ini kerana tidak dapat memberikan komitmen untuk mengikuti lantaran masih kepenatan akibat perjalanan ke selatan yang memakan jarak pemanduan lebih 1,200 km dan tempoh masa 8 hari 7 malam. Selain itu ada hal-hal lain yang menyebabkan tidak dapat memberikan komitmen. Kalau tidak selalunya saya akan jawab "Insyaallah will follow" (akan mengikuti) kalau secara atas talian atau "Insyaallah will attend", kalau ada kelapangan untuk hadir secara fizikal ke lokasi.
Tadi siang telah meluangkan masa bersama anak membawa makan nasi beringin dekat pejabat lama saya The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar kemudian bersolat Zuhur di masjid Universiti Malaya lalu membawa anak pusing universiti. Tergerak untuk menjengok seorang sepupu yang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Media. Kemudian baru menghantar anak kembali masuk ke asrama tahfiz di Cheras, selepas bercuti sejak 21 Disember. Dari situ bergerak ke sebuah rumah milik saya di Hulu Langat. Tergerak untuk menonton video majlis yang disuakan dalam satu grupWhatsApp ISTAC.
Alhamdulillah dapat mengikuti dengan baik perkongsian daripada majlis, masuk rumah disambung lagi hingga selesai. Didapati penyampaian guru saya kali ini, walau atas kapasiti sebagai Rektor baru UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), lebih santai untuk difahami awam. Apa lagi dibuat dalam bahasa Melayu untuk podcast radio IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia). Sedangkan kebanyakan syarahan beliau yang pernah saya ikuti adalah dalam bahasa Inggeris. Dan walaupun telah dimudahkan penyampaian tetap memerlukan asas kefahaman keilmuan yang cukup, boleh jadi tinggi bagi mereka yang tiada pengetahuan atau pengalaman dalam dunia Sufi.
Dalam majlis kali ini dapat ditelaah dengan mudah sejarah beliau dalam dunia pendidikan tinggi yang meliputi tempoh 50 tahun, tentang bagaimana daripada seorang graduan matematik di University of London yang menyambung ke peringkat PhD boleh bertukar arah minat falsafah dan pemikiran Islam. Tentang apakah makna sebenar falsafah yang boleh terkait dengan pemikiran matematik, tentang makna sayangkan hikmah seperti dinyatakan dalam Al Quran membawa kepada pemikiran 'ketauhidan' yang secara teorinya terkandung dalam kalimah Lailaha il Allah dan amalinya dalam Muhammad ar rasulullah sebagai landasan para ilmuwan yang mahu diterapkan sekurang-kurangnya di UIA bermula sekarang. Ini yang membuat saya terasa harus berkongsi lalu menulis artikel ini. Untuk lebih lanjut boleh tonton video bawah...
Seperti disebut Osman dalam video, wawasan tunggak yang beliau panggil sebagai Tawhidic Epistemology atau wawasan ilmu berdasarkan pemahaman tauhid keesaan Allah SWT yang mendalam bukan suatu hasil fikir baru. Ia adalah suatu yang telah sebati dalam diri hasil pengalaman 50 tahun dalam pendidikan tinggi. Di sini biar dikumpulkan sejumlah pautan artikel bagi majlis-majlis ilmu melibatkan beliau yang pernah ditulis di CATATAN MERAH SILU. Tidak begitu susah untuk mengumpulkan kerana telah membuat banyak artikel kompilasi tentang majlis ilmu. Yang dikongsikan ini cuma sejumlah yang dirasakan sesuai dengan perkongsian dalam video.
5. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang
19. Kesucian dan kekotoran dalam sejarah spiritual Mekah : Muhammad dan kemenangan tamadun monoteistik
36. Islam dan makna kebebasan sebenar - Memasuki dimensi keTuhanan yang kurang difahami orang
37. Tujuan sebenar wujudnya Islam - Ke arah sintesis pelbagai wadah demi kesejahteraan ummah
Cukuplah sedikit ini untuk menunjukkan arah pemikiran Osman, sekurang-kurangnya sejak mengenali beliau tahun 2018, tahun saya sendiri mula menjadi pelajar ISTAC. Sekadar memberitahu. Penulisan artikel ini dimulakan sekitar jam 5.45 petang dengan harapan sempat siap untuk keluar mandi sungai sejenak di mana-mana di Hulu Langat, ada banyak tempat. Atau sekurang-kurangnya sempat mandi air panas, ada dua tempat, sebelum Maghrib. Tengok-tengok tak sempat. Harus juga menunaikan solat dan zikir harian selepas masuk waktu.
Selain itu ada isu menyebabkan saya perlu membuat beberapa panggilan telefon juga pesanan WhatsApp hingga mengambil masa dan tumpuan. Ketika ayat ini ditulis sudah 8.14 malam. Menurut kalendar rasmi seperti dikeluarkan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) malam ini sudah masuk tarikh 1 Rejab. Selesai penulisan ini harus memulakan proses pengkhataman bulanan Al Quran bagi bulan Islam itu walau sekadar 2-3 muka surat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan