Salam semua. Adapun petang semalam baru sahaja menamatkan satu perjalanan ke selatan yang memakan masa 8 hari 7 malam. Selepas itu penat ya amat, selepas Zuhur siang tadi ada sedikit lega lalu keluar ke Kuala Kubu untuk satu urusan. Sekarang ada sedikit kelapangan biar mula dikongsikan cerita. Kiranya kembali pada hal perjalanan setelah lebih sebulan kebelakangan banyak bercerita tentang majlis ilmu.
Perjalanan bermula petang Ahad 22 Disember 2024 dengan membawa isteri dan anak-anak menghala ke Tanjung Sepat. Asalnya, untuk hujung tahun kami merancang mahu masuk selatan Thailand melalui Perlis dan keluar melalui Kelantan. Itulah yang difikirkan sejak pertengahan tahun. Tapi apabila masuk pertengahan November asyik mendengar berita banyak tempat dalam laluan terkena banjir tukarlah rancangan untuk ke selatan. Sambil itu boleh balik kampung isteri di Tanjung Sepat dan kampung saya di Muar.
Selain itu terasa baik kereta yang mahu digunakan untuk perjalanan kali ini, kereta terpakai berusia 7 tahun yang baru dibeli penghujung Oktober dipandu uji jauh dalam negara terlebih dahulu. Untuk makluman walaupun pada beberapa hari pertama ia dipakai pun saya sudah memandu lebih 1,000 km itu disebabkan beberapa urusan selain ada balik kampung ke Muar 2 hari setelah memiliki kereta. Lihat Antara urusan keluarga, rumah dan kereta. Selepas itu ada beberapa kali dibawa ke Kuala Lumpur dan Shah Alam, sekali ke Tanjung Sepat. Apa yang belum pernah dikongsikan kepada umum adalah kereta ini mileagenya tinggi, ketika dibeli sudah lebih 275,000 km tercatat pada meter. Namun disebabkan mileage tinggi itulah dapat harga beli yang cukup 'ekonomi'. Ketika memulakan perjalanan baru 22 Disember sudah jadi lebih 279,000 km..
Ketika itu minyak gear tinggal lagi 1,600 km gitu untuk ditukar, minyak hitam ada 2,800 km. Maka memang eloklah baki perjalanan ini diliputi dalam negara sahaja. Kalau ada apa-apa masalah masih termasuk dalama liputan insurans. Walaupun kereta diterima dalam keadaan bagus kerana pemilik dahulu sangat menjaga menurut jadual, mileage tinggi ada buat kerja ambil pelancong pergi balik lapangan terbang di Sepang selain membawa mereka berjalan ke sana ke mari kita sendiri mesti beringat. Setakat yang sudah disemak mekanik saya sendiri tiada apa-apa masalah enjin. Yang ada cuma sedikit masalah suspension tapi dah ganti apa yang patut. Yang mahu berjaga keadaan komponen dalaman gear terutama bahagian yang dipanggil CVT (continuously variable transmission). Selagi tak nyata secara luaran seperti gear 'semput' masalah cuma dapat disemak apabila ditukar minyak.
Yang nyata, setakat menulis ini, setelah tamat perjalanan melebihi 1,200 km, semuanya lancar alhamdulillah. Tiada masalah. Tapi itu sudah 'terlajak' cerita. Berbalik pada hari pertama perjalanan Sabtu 22 Disember. Singgah di Kampung Bandar dekat Jugra lalu bersolat di masjidnya.
Kami dah pergi ke Bandar dan Jugra banyak kali. Tetapi buat pertama kali dalam ingatan tergerak untuk mengambil satu laluan tertentu lalu mendapati ada makam diraja dan tapak masjid lama. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...
Singgah minum di Sungai Buaya. Ya. Di persekitaran Jugra (dan Banting, daerah Kuala Langat) juga ada tempat nama Sungai Buaya. Sedangkan rumah kami adalah di Bandar Sungai Buaya, dalam daerah Kuala Selangor tetapi daripada segi alamat diletakkan di bawah Rawang. Sudah berlaku 2-3 kali kawan mahu ke rumah kami tetapi tersilap arah ke Sungai Buaya belah sini. Antara dua Sungai Buaya itu ada jarak sekitar 90 km!
Ziarah ke makam Raja Berayun di kaki Bukit Jugra. Sebelum itu mahu ke makam Sultan Abdul Samad tetapi jalan naik ke sana sudah diturunkan palang penghadang kerana sudah lewat petang.
Naik sebentar melihat pemandangan di atas Bukit Jugra. Sambil itu boleh uji pickup kereta naik bukit sekali. Lihat artikel New visit to Jugra hill viewing point di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Singgah punya singgah dah gelap baru sampai Tanjung Sepat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan