Isnin, Julai 15, 2024

Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak laluan pertama ziarah makam bersama anak

Salam pagi Isnin 9 Muharram 1426 Hijriah. Adapun Sabtu malam Ahad saya telah disibukkan dengan satu majlis zikir. Esoknya pagi Ahad buat pertama kali seumur hidup mendaki Bukit Kiara hingga ke puncak, satu perkara yang pertama kali dilakukan seumur hidup walhal sudah lama menyimpan hajat kerana selalu melihatnya dari persekitaran rumah bapa saudara di Bukit Damansara sejak berumur 12 tahun lebih 40 tahun lalu, sebelum ke satu majlis ilmu tertutup di Taman Tun Dr Ismail. Sekarang baru ada sedikit kelapangan untuk berkongsi lagi cerita perjalanan terbaru. Bersambung daripada Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Mengejar 1 Muharram di Perak.



Awal pagi Ahad 7 Julai 2024 bersamaan 1 Muharram 1446 Hijriah. Bersedia untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid warisan keluarga di Batak Rabit, Teluk Intan.



Sebelum itu saya dan anak yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid telah dapat menginap dan beriktikaf dengan selesa dalam masjid.



Berjalan-jalan melihat persekitaran masjid selepas matahari naik bersama anak. Lihat artikel Perak river from Batak Rabit on 1st Muharram 1446 diikuti Views from Batak Rabit mosque tower on 1st Muharram 1446 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Bersarapan di bandar Teluk Intan berdekatan bahagian Sungai Perak yang memberikan nama tempat. Lihat Perak river from the original Teluk Intan on 1st Muharram 1446.




Tengah hari itu, selepas beriktikaf dan berehat sejam dua lagi di masjid warisan, pergi ke majlis perkahwinan sepupu di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan.




Disebabkan majlis inilah saya bertolak ke Perak pada petang sebelumnya lalu beriktikaf Sabtu malam Ahad 1 Muharram di masjid. Kalau tidak, besar kemungkinan Isnin malam Selasa baru bertolak, untuk mengikuti keputusan kes faraid harta Laksamana Muhammad Amin di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pagi Selasa 9 Julai. 




Sekarang pergi pada hal kenapa artikel sebelum ini Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Mengejar 1 Muharram di Perak, atau lebih tepat siri berkenaan, diberi tajuk utama "Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid".



Ada dinyatakan dalam artikel tersebut bahawa anak saya yang bernama Rasyid itu sedang bercuti lama kerana dalam proses bertukar  tahfiz dari Janda Baik ke tahfiz lain yang lebih dekat dan lebih murah yuran. Disebabkan itulah beliau dapat ikut saya ke Perak.



Sebetulnya sejak membawa keluar daripada tahfiz di Janda Baik pada 21 Jun saya memang ingin membawa bermusafir ke negeri Perak. Cadangnya pada sekitar 25 Jun. Kerana ketika itulah keputusan di Mahkamah Syariah Ipoh mahu diumumkan. Tengok-tengok apabila dekat tarikh ditunda ke 9 Julai.



Sekitar seminggu lebih sebelum 9 Julai  pula ibu saudara di Batak Rabit menghantar undangan untuk ke majlis perkahwinan anaknya pada siang Ahad 7 Julai bersamaan 1 Muharram. Itu yang bertolak ke Perak petang Sabtu. Oh. Saya mahu membawa anak untuk menjejak kembali laluan yang pernah saya gunakan ketika pertama kali pergi menziarahi makam-makam lama di Perak penghujung tahun 2001. Sebab utamanya akan diterangkan dalam artikel kemudian.



Bezanya dahulu saya datang dari arah Raub, Pahang melalui laluan berliku ke Bukit Fraser lalu sampai ke makam Keramat Kuala Bidor pada waktu malam. Pagi esoknya singgah lagi sebelum ke rumah ibu saudara lalu bermalam.  Rujuk cerita-cerita lama berikut :-


2. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek

3. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Mencari makam Keramat Kuala Bidor



Dalam perjalanan hampir 23 tahun lalu itu, selepas bermalam di rumah ibu saudara baru ke makam Sultan ke-22 Perak yang ditemui secara tidak sengaja, selepas tersesat di bandar Teluk Intan, kemudian ke makam Sultan ke-10 Perak dan seterusnya. Lihat artikel lama Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar.



Perjalanan baru bersama anak masih mengambil laluan yang sama. Cuma selepas ke makam Sultan ke-22 Perak (gambar pertama menunjukkan anak) baru ke makam Keramat Kuala Bidor (gambar kedua). Kemudian ke makam Raja Ahmad (gambar ke-3) diikuti makam Sultan pertama Perak (gambar ke-4), kedua-duanya tidak ada dalam perjalanan 23 tahun lalu. Kemudian baru ke makam Sultan ke-10 Perak (gambar ke-5). Seterusnya ke makam Sultan ke-13 (gambar ke-6, tidak ada dalam perjalanan lama) kemudian baru menjadi kuala Sungai Sayong (ada dalam perjalanan lama). Lihat Perak river from around Sayong river mouth on 1st Muharram 1446.



Dalam perjalanan lama saya ke makam Tok Temong dahulu sebelum masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar. Kali ini masuk bandar dahulu, melalui jambatan menyeberangi Sungai Perak yang belum siap 23 tahun lalu, Naik ke Bukit Chandan untuk ke kawasan pemakanan diraja Perak.



Ziarahlah ke makam moyang kami Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.




Oh. Semasa di makam Sultan  pertama Perak singgah di satu tempat berdekatan yang kewujudannya baru disedari kurang sebulan lalu. Lihat Kolam bersiram puteri (Princess bathing pool), Teluk Bakong di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas itu ke makam Daeng Selili


Lewat petang baru masuk ke Masjid Ubudiyah yang terletak di sebelah kawasan pemakaman diraja.



Masuk waktu Isyak baru ke Masjid Kota Lama Kanan di mana terdapat batu nesan tanda Sultan ke-2 Perak. Ketika perjalanan 23 tahun lalu tempat ini disinggahi selepas pergi ke kuala Sungai Sayong. Rujuk kembali Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar


Tiada ulasan:

Catat Ulasan