Sebelum boleh melelapkan mata saya harus melepaskan lagi satu gerak bercerita. Maka bersambung daripada artikel Kelebihan Istighfar dan saikologi spiritual.
Selesai syarahan Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) saya berlegar-legar lama di sana. Mula-mula untuk meraikan para tetamu lain dari luar ISTAC yang hadir untuk syarahan termasuk seorang kawan lama zaman kolej (penghujung tahun 80an) yang kini sudah menjadi muka biasa menghadiri syarahan-syarahan terbuka di institut ini. Lalu duduklah saya melihat mereka makan kerana sedang berpuasa.
Dekat jam 2 baru dapat bersendirian untuk melengkapkan gerak seterusnya iaitu berkongsi cerita hari ke-3 perjalanan saya dan keluarga di utara baru-baru ini. Untuk itu saya harus menyiapkan dahulu 6 artikel sokongan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 5 di BERPETUALANG KE ACEH. Selepas itu baru dapat disajikan artikel keseluruhan untuk aktiviti hari itu iaitu Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Makam-makam di Langgar, tarikan Gunung Keriang dan Kuala Kedah di blogspot ini. Akibatnya selepas jam 6 baru dapat meninggalkan ISTAC untuk aktiviti seterusnya - ke PWTC iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra di tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk melihat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019.
Pesta tahunan ini telah diadakan sejak hampir 40 tahun lalu. Sejak menjadi penulis buku tahun 2006 buku-buku saya dapat memeriahkan beberapa edisi acara.
PBAKL tahun lepas iaitu 2018 telah menyaksikan tiga tajuk buku daripada saya dipamerkan dan dijual di beberapa reruai buku.
Ia adalah buku ke-10 saya yang diterbitkan oleh Hijjaz Records Publishing penghujung tahun 2017 diikuti buku ke-11 dan ke-12 yang diterbitkan sendiri untuk bulan Mac tahun 2018 tetapi sempat keluar dari kilang awal bulan Februari. Lihat artikel-artikel berikut :-
Tahun ini saya tidak sempat menyediakan apa-apa buku untuk PBAKL...
Ini disebabkan beberapa perkara. Antaranya adalah PBAKL kali ini dimulakan sebulan lebih awal berbanding dahulu. Kedua, saya menunggu maklum balas daripada satu pihak penerbit tentang usaha buku terbaru.
Adapun projek buku baru tersebut dimulakan pertengahan tahun lepas. Selepas selesai menulis lalu disemak dan disunting beberapa kali baru terasa puas hati dan cukup siap awal bulan Januari.
Selepas itu saya mula mencari penerbit.
Pada pandangan saya buku yang mahu mengimbau kembali pengembaraan saya secara solo pusing Eropah dengan cara hitchhike menumpang kenderaan orang keliling benua Eropah tahun 1995 iaitu sejurus selepas menamatkan pengajian dalam bidang matematik di University College of London itu tidak sesuai diterbitkan oleh penerbit-penerbit yang pernah berurusan dengan saya sebelum ini. Ia lebih baik diterbitkan oleh syarikat saya sendiri Wasilah Merah Silu Enterprise tetapi rasa macam tak cukup modal kerana kalau boleh mahu diterbitkan sepenuh warna (full colour). Untuk makluman daripada 12 buku yang sudah saya hasilkan setakat ini 6 diterbitkan sendiri, 6 lagi oleh 3 syarikat penerbitan yang berlainan.
Kali ini saya cuba mencari satu syarikat penerbitan lain yang diharap dapat menghargai usaha terbaru ini. Sekitar 2 minggu selepas manuskrip siap saya pergi ke satu penerbit yang lokasi pejabatnya dirasakan cukup elok. Letaknya hsmpir pertengahan perjalanan dari rumah ke ISTAC. Dekat dengan kilang saya biasa membuat cetakan buku, dekat juga dengan satu syarikat pengedar buku yang biasa saya berurusan.
Tajuk-tajuk yang diterbitkan mereka pula kelihatan seperti boleh serasi dengan penulisan itu. Saya pun pergi bersemuka dengan mereka. Setelah berbincang dalam 2 jam baru beredar dengan mereka kelihatan tertarik dengan usaha penulisan saya juga buku-buku sebelum itu. Manuskrip buku baru sudah diserahkan kepada mereka.
Oh. Kelihatan di atas, kedua dari kanan rak paling tinggi, adalah 2 buku saya yang diterbitkan awal 2018 iaitu "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" berserta 'kembarnya' "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia". Ia berada di reruai Kafilah Buku dalam Dewan Tun Razak Aras 3. Kali ini gabungan beberapa peniaga buku bumiputera ini mendapat kedudukan yang sangat baik. Reruai mereka terletak bersebelahan dengan reruai MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia). Ia juga cukup dekat dengan reruai ITBM (Institut Terjemahan & Buku Malaysia) di sisi kanan hadapan (dari pintu masuk dewan) yang cukup terkenal dengan aktiviti-aktiviti seni di pentas tersendiri seperti membaca puisi dan sebagainya.
Tentang buku-buku yang diterbitkan secara berpasangan ini boleh lihat artikel-artikel berikut (selain yang sudah dipautkan atas tadi) :-
10. Syarahan "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar
11. Pelancaran rasmi buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu di kedai buku Khazanah Fathaniyah
Adapun PBAKL tahun ini bermula pada hari Jumaat 29 Mac. Ia akan berakhir pada hari Ahad akan datang 7 April 2019. Gambar-gambar di sini diambil daripada lawatan petang semalam. Kembali kepada hal usaha penulisan terbaru...
Saya cukup berharap agar penerbit tersebut sanggup menerbitkan buku. Pesan saya walaupun ada banyak lagi perkara, pengembaraan dan sebagainya boleh diterjemahkan menjadi buku saya mahu yang ini diterbitkan sebagai hasil terbaru saya. Ini kerana ia sebenarnya adalah usaha penulisan buku pertama daripada saya ketika mula-mula masuk bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times hampir penghujung tahun 1996. Tetapi hendak dijadikan cerita setelah menulis beberapa lama semua fail hilang daripada sistem.
Kejadian ini menyebabkan saya melupakan usaha tersebut sejak itu. Masuk tahun 2002 saya cuba memulakan usaha penulisan lain yang lebih menggambarkan kesedaran baru saya ketika itu iaitu terhadap suasana sebenar geo-politik dunia yang dimanipulasikan daripada belakang tabir oleh pihak-pihak tertentu. Ketika itu saya sudah keluar daripada NST akibat konflik politik pejabat lalu baru memulakan satu fasa pencarian makna diri yang membawa saya meninggalkan keluarga untuk mengembara ke merata Semenanjung Malaysia. Lihat artikel-artikel berikut :-
Namun sekali lagi rentak penulisan terganggu lalu ia tidak dapat diteruskan. Kali ini akibat gangguan mental block. Dipendekkan cerita pada tahun 2004 baru dapat menulis sesuatu yang betul-betul bermakna, bergerak dan hidup. Ini berlaku setelah saya nekad membuat pengembaraan solo masuk ke Aceh ketika ia masih dilanda darurat akibat perang antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia).
Hasilnya terbitlah buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" bulan Jun tahun 2006. Ia adalah sebahagian daripada siri trilogi pencarian makna hidup berlatarbelakangkan usaha masuk ke Aceh ketika darurat. Sambungannya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" menyusul terbit Mei 2007. Ini diikuti buku ketiga dan penutup "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (November 2007). Lihat artikel-artikel berikut :-
Tentang buku pertama...
Tentang buku kedua...
Tentang buku ketiga...
Selepas itu muncul beberapa buku lagi daripada saya. Dengan 12 buku sudah dihasilkan setakat ini puratanya adalah hampir setiap tahun ada buku baru. Tetapi tahun ini saya belum sempat menerbitkan apa-apa buku untuk PBAKL. Kemudian baru 2 hari lalu mendapat tahu penerbit yang diharapkan dapat menerbitkan buku imbauan saya tentang perjalanan pusing Eropah tahun 1995 itu menolak manuskrip saya.
Penolakan dihantar kepada e-mail saya Ahad lepas. Ketika itu saya sedang sibuk dengan pengembaraan ke utara bersama keluarga. Lihat artikel-artikel berikut :-
3. Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Makam-makam di Langgar, tarikan Gunung Keriang dan Kuala Kedah
Nampaknya mereka tidak menghargai apa yang mampu saya hasilkan. Mungkin mereka lebih suka hasil kerja atas bacaan belaka tanpa pengalaman sebenar di lapangan atau cerita berupa sekali keluar 3-4 hari ke tempat orang terus boleh dijadikan buku asal dapat ditokok-tambah dengan cerita-cerita menarik daripada sumber-sumber lain. Atau mungkin mereka fikir cerita-cerita pengalaman sebenar saya itu cuma rekaan untuk kelihatan hebat. Tak mustahil kerana ramai di luar sana sanggup berbuat begitu, lebih sudu daripada kuah...
Nak tak nak saya harus menerbitkan buku baru itu sendiri. Ini sangat penting kerana saya tidak akan membuat apa-apa penulisan buku lain selagi ia tidak diterbitkan kerana mahu menjadikannya buku ke-13 saya. Ini adalah sebagai ganti ia sepatutnya menjadi buku pertama saya tetapi usaha dilupakan sejak fail tulisan hilang tahun 1997. Gesaan kuat untuk menjayakan ia kembali baru terbit akibat sebuah mimpi pertengahan tahun 2018.
Saya ini ada gila-gila nombor. Kalau jadi ia sebagai buku ke-13 setelah 'gagal' menjadi buku pertama insyaallah akan banyak berlaku lagi perkara baik muncul sebagai susulan gerak yang dituruti. Dengan ini biar diberitahu saya akan membuat cara sama seperti dilakukan pada buku ke-11 dan ke-12 dahulu. Saya akan membuka pre-order dengan pembaca membuat bayaran sebelum menerima buku.
Bayaran ini mahu digunakan untuk menampung kos percetakan. Pada peringkat ini saya cuma perlu melakukan layout dan membuat design kulit buku. Bila dah dapat jumlah muka surat sebenar setelah lay-out atau proses reka letak baru boleh mendapat anggaran harga cetak yang tepat lalu bolehlah dikira harga sesuai untuk senaskah. Bila dah dapat ini saya akan membuka pre-order.
Harap pembaca dapat memberikan sokongan ya. Sementara itu sila baca artikel-artikel berikut sebagai pembuka rasa :-
Nota : Penulisan ini berserta semakan sebenarnya siap jam 4 pagi. Tetapi saya dah siarkan atau publish terlebih dahulu apabila terlihat jam 3.13 tadi. Selepas itu baru update jadi penulisan lengkap...
Nak join preorder.
BalasPadamTerima kasih n noted.
BalasPadam