Cuba teka kat mana ni, hehe! :] Selepas membuat perjalanan jauh seperti dinyatakan bawah tajuk "Siri pengembaraan setelah trilogi siri BKA siap disajikan... " di side-bar kanan bahagian tengah blogspot ini saya sering berniat jika perlu mengembara jauh lagi, saya mahu membuatnya dalam keadaan lebih selesa. Adapun siri pengembaraan setelah triologi siri BKA siap disajikan itu dinamakan sebegitu kerana ia dilakukan setelah buku ketiga saya yang memiliki sub-title "Sirih pulang ke gagang?", buku terakhir dalam trilogi asal "Berpetualang ke Aceh" siap diterbit lalu mula berada di pasaran November 2007. Lalu hujung tahun itu pengembaraan dimulakan sebelum ia tamat sekitar April gitu tahun 2008.
Hmm... saya pun sudah terlupa akan apa-apa pengembaraan yang dibuat selepas itu kecuali pengembaraan untuk membuat buku "Rumah Azan". Disember 2008 pula saya kembali berkahwin setelah lebih 5 tahun menduda. Maka sudah pasti saya tidak cenderung lagi mengembara menaiki bas, hitchiking menumpang kenderaan orang atau berjalan kaki berbatu-batu seperti dahulu. Dalam pada itu, ramai yang bertanya bilakah saya akan pergi ke Aceh lagi untuk menyambung perjalanan Januari 2004 yang tergendala dahulu akibat darurat dan perang. Lagipun setelah peristiwa Tsunami 26 Disember 2004, Aceh mula dibuka kepada orang ramai, tidak lagi seperti dahulu. Saya pula jadi seperti "bodoh menonong" apabila memikirkan ini. Tidak disangka, isteri saya pula yang lebih perihatin lalu merancang perjalanan kami.
Tanpa dipinta, isteri saya mengatur untuk mendapatkan tiket promosi RM10 seorang melalui rangkaian penerbangan AirAsia. Alhamdulillah, sejak 2 bulan lalu dia dapat mengatur agar kami setiap seorang mendapat tiket RM10 untuk pergi, RM10 untuk pergi balik. Memanglah jumlah itu kemudian perlu ditambah dengan segala macam duti dan yuran perkhidmatan. Tetapi jumlah keseluruhan sekitar RM256 untuk kami berdua pergi dan balik Aceh masih jauh lebih baik daripada harga biasa lebih RM400 untuk seorang pergi dan balik.
Apapun, kami mendapat tiket untuk berlepas Isnin 15 Jun 2009 dan kembali Isnin 22 Jun 2009. Alhamdulillah, akhirnya menjadi juga perjalanan itu tanpa apa-apa halangan... lebih manis lagi setelah berjaya melepaskan segumpal perasaan pengalaman lama (yang bergumpal-gumpal sebenarnya) melalui siri artikel "Cerita An-Nur" dan "Umrah 2005" di
blogspot ini dan siri artikel "Remembering the "A" Levels college days" di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH .
Itupun perancangan kami ke Aceh lebih merupakan budget trip dengan kami cuma menukarkan wang sebanyak RM500 gitu kepada Rupiah Indonesia sebagai bekalan dan wang belanja. Fikir kami sekadar menginap di rumah seorang rakan kemudian pandai-pandailah kami berjalan. Tak disangka sungguh, sampai sahaja di sana, rakan ini meletakkan kami di hotel terbaik di Aceh, satu-satunya hotel 4 bintang yang ada di sana... malah tidak cukup itu, kami juga diberi sebuah kereta MPV berserta pemandu sepanjang kami berada di sana dan ini semua membawa kepada nilai perbelanjaan lebih RM3000 gitu!
OK. Seperti biasa butiran cerita berserta gambar akan dilepaskan sedikit demi sedikit di ketiga-tiga
blogspots saya... gambar-gambar masjid, makam dan bangunan akan diletakkan di
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , gambar-gambar panorama pemandangan sekitar dan perjalanan di
BERPETUALANG KE ACEH sedangkan sedikit gambar pilihan berserta penceritaan lebih menyeluruh akan dimuatkan di
blogspot ini. Hujung minggu ini saya harus kembali ke rumah keluarga di Muar. Selain itu saya harus menyiapkan sedikit lagi proses penterjemahan buku Ahlul Bait ya... kemudian baru proses penceritaan pengalaman terbaru di Aceh ini dimulakan, Insyaallah!
Sementara itu biar disenaraikan sedikit tempat-tempat yang sempat dilawati sebagai pembuka selera, saya letak aje apa yang boleh ingat off-hand. Ini dia... maaf jika ejaan atau spelling kurang tepat...
1. Masjid Baiturrahman
2. Gunongan, tempat Puteri Pahang yang menjadi isteri Sultan Iskandar Muda bermain-main
3. Makam Sultan Iskandar Thani
4. Muzium Tsunami
5. Pantai Ulelee (ingat lagu P. Ramlee? Ulelee, di Kota Raja?)
6. Masjid Baiturrahim
7. Makam raja-raja dinasti Bugis
8. Loceng Chakra Donya
9. Makam Sultan Iskandar Muda
10. Makam Syiah Kuala (Sheikh Abdul Rauf Fansuri)
11. Kawasan pasar Peunayong
12. Kampung Keudah (Kedah)
13. Makam Teungku Chik di Anjung
14. Makam Tuan di Kandang
15. Masjid Indrapuri
16. Makam Teungku Chik Di Tiro
17. Pesantren (dipanggil Dayah di Aceh) Tanoh Abee
18. Pantai Lampuuk
19. Masjid Rahmatullah
20. Pekan Saree
21. Masjid Pekan Saree
22. Makam Syahid Lapan
23. Bandar Siglie
24. Masjid Beuracan
25. Bandar Bireun
26. Dayah Saadah
27. Dayah Karang
28. Bandar Lhokseumawe
29. Bandar Langsa
30. Masjid raya Langsa
31. Makam Teuku Banta Chik Bereudah
32. Pekan Perlak
33. Makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah
34. Bandar Idi
35. Masjid lama Idi
36. Makam Sultan Malikus Salih
37. Benteng Indrapatra
38. Makam Laksamana Malayahati
39. Benteng Inong Balee
40. Benteng Iskandar Muda
41. Makam Teuku Nyak Arief
42. Ulu Kareang
43. Menonton tarian tradisional di majlis GTZ Germany di hotel
44. Menonton pertunjukan dabus dalam majlis untuk pilihanraya di hotel
Gitu aje yek. Nanti sampai masa baru dikembangkan cerita. Selamats! :]