Sabtu, Ogos 10, 2024

"Salam Kasih" oleh Prof Kamal Hassan

OK. Pagi karang saya mahu ke Lembah Klang untuk mengikuti satu majlis ilmu berdekatan kampus utama Universiti Malaya. Kemudian ke majlis melibatkan busana tradisional Melayu dan silat di Bukit Damansara sehingga petang. Seterusnya ke majlis zikir tertutup sebelah malam. Sebelum itu biar dilepaskan satu cerita tentang majlis ilmu yang dianjurkan oleh satu jabatan di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) petang tadi Sabtu 9 Ogos 2024 jam 3 petang.



Majlis yang dibuat sepenuhnya atas talian ini mengenengahkan satu buku kecil bertajuk "Salam Kasih" tulisan tokoh akademik terkenal almarhum Profesor Ulung Emeritus Tan Sri Dr. M. Kamal Hassan (kembali ke rahmatullah awal tahun 2023). Bercakap adalah salah seorang anak murid almarhum, Dr Nur Jannah Hassan.



Beliau adalah salah seorang pemeriksa atau examiner bagi tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) kemudian post supervisor atau penyelia selepas lulus peperiksaan iaitu bagi mengemaskan lagi tesis. Itulah tesis yang kemudian diperbaiki menjadi buku yang diperkatakan dalam artikel sebelum ini iaitu Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC dimuktamadkan 15 Ogos.




Buku kecil  tulisan Kamal Hassan memuatkan sejumlah puisi beliau. Nur Jannah telah memilih beberapa muka surat awal untuk dipersembahkan melalui slaid. Ada ditambah gambar yang tiada dalam buku asal.



Secara rata ia adalah tentang penglibatan Kamal Hassan dengan UIAM, institusi harapan ramai umat Islam yang dikiaskan sebagai "taman atas kapal".



Namun dimulakan dahulu dengan bagaimana pada tahun 1950an umat Islam (di Semenanjung Tanah Melayu) telah meletakkan harapan pada satu institusi bagi membela ummah yang ketika itu sedang terjajah lalu harus menghadapi sepak terajang kolonialisma. Tidak disebut nama institusi dalam puisi. Nur Jannah menyatakan ia adalah Kolej Islam Malaya. Semakan di Internet menunjukkan ia diasaskan di Klang pada tahun 1955. Ini membawa pada pembukaan bangunan baru kolej di Petaling Jaya pada tahun 1966. Seterusnya ia diserap menjadi Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 1970, tahun kelahiran saya.



Semakan dalam Internet turut menunjukkan Kamal Hassan lahir di Kelantan tahun 1942 dan belajar di Sekolah Sultan Ismail di Kota Baru 1950-1960. Pada tahun 1961-1962 beliau menuntut di Victoria Institution, Kuala Lumpur sebelum tamat ijazah Pengajian Islam di Universiti Malaya tahun 1965. Seterusnya menyambung ke peringkat pascasiswazah di Columbia University, New York di mana beliau mendapat ijazah MA tahun 1970, M. Phil tahun 1973 dan Ph.D. Selepas itu bertugas di UKM. Menurut Nur Jannah dari situlah beliau dipinjamkan untuk mengajar di UIA yang baru ditubuhkan tahun 1983. Kamal Hassan dinyatakan sebagai bertanggungjawab menerbitkan logo UIA. Puisi menyebut betapa muda mudi daripada serata dunia berbondong untuk menaiki "taman atas kapal".




Dinyatakan keunikan UIA adalah bagaimana ia mengintegrasikan akal manusia dengan ilmu wahyu lalu memperkayakan bidang profesyional sains dan kemahiran dengan dimensi etika dan kerohanian, memadukan faedah kemodenan dengan nilai-nilai moral dan tradisi suci. Dengan itu juga menjadi pendinding bagi pemimpin akan datang daripada kanser korupsi moral.

Hmm. Disebabkan ada paduan akal manusia dengan ilmu wahyu lalu dimensi ini turut diangkat malah lebih tinggi lagi di ISTAC maka saya akhirnya menyambung pengajian pasca siswazah di sana selepas lama menolak untuk sambung lagi belajar seusai pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di University College of London tahun 1995. Lihat luahan berkenaan dalam .Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia.




Puisi seterusnya menyatakan bagaimana Kamal Hassan membuat keputusan pada tahun 1983 untuk bersama UIA tanpa memikirkan pun akan memimpin universiti satu hari nanti. Pada beliau itu cuma misi yang dipandu ilham daripada Ilahi.



Disebutlah tentang dua Rektor (kepimpinan akademik tertinggi) terawal UIA, Tan Sri Dr Abdul Rauf (pada 1983-1988) dan Dato' Dr Abdulhamid AbuSulayman (1988-1998) sebagai tokoh-tokoh ilmuwan terkenal daripada negara luar yang memandu kapal (UIA) ke lautan lepas. Tanpa pengorbanan dan wawasan mereka kapal tidak dapat menunggang gelombang sorakan (galakan) ramai. Kamal Hassan kemudian naik sebagai Rektor ketiga, merangkap yang pertama daripada kalangan anak tempatan, pada tahun 1998.



Namun dinyatakan dalam puisi bahawa ketika berumur 60 tahun (pada 2002) beliau mahu melepaskan jawatan akibat pelbagai macam tekanan. Namun disebabkan belum muncul pengganti yang cukup sesuai harus bertahan sehingga umur 64 tahun (pada 2006).




Selepas itu beliau berasa lebih tenang menjadi ahli akademik biasa (mengajar dan membuat kajian tanpa perlu membuat kerja-kerja pentadbiran sangat juga harus berhadapan dengan kerenah politik orang).  Beliau memerhatikan sahaja 'taman' berkembang dan 'kapal' bergerak laju tanpa kekacauan.



Seterusnya dinyatakan bagaimana institusi dapat bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan yang bagus. Beliau meminta maaf jika ada menyinggung sesiapa, nampaknya merujuk pada suatu keadaan semasa kemudian menyatakan Rektor kelima, Prof Dato' Seri Zaleha Kamaruddin (2011-2018) sebagai memerlukan sokongan jujur semua untuk memenuhi impian (menentu hala tuju terbaik UIA?). Tidak disebut langsung nama Rektor keempat, Profesor Dr Syed Arabi Idid (2006-2011).



Kemudian disebut bagaimana kerja-kerja mereka dan UIA adalah jihad intelektual yang bertujuan untuk menghidupkan kembali tamadun yang beretika, sebagai alternatif kepada model-model kemajuan dan modernisasi yang telah disekularkan. Memuji "rahib tertinggi kuil' (faham-fahamlah maksudnya) tidak pernah menjadi sebahagian daripada niat suci kami (para penyayang ilmu). Memuji Allah SWT sebagai sumber ilmu pengetahuan, itulah zikir sebenar institusi. Slaid ini menunjukkan gambar pemegang jawatan Rektor UIA menurut turutan masa dari kiri ke kanan, atas ke bawah. Nama-nama mereka telah disebut tadi, kecuali yang ketujuh, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak (baru meninggalkan jawatan kurang 2 minggu lalu).




Dinyatakan pula bagaimana mantan-mantan pelajar atau alumni mesti menjaga identiti dan nama baik UIA. 'Buah-buahan' daripada "Taman" sekarang ada di merata dunia sebagai lambang personaliti yang bersepadu, membawa rumusan bagi segala macam permasalahan menggunakan acuan baru. Para pemimpin hasil lepasan 'taman' mesti mempertahankan 'kubu' daripada mereka yang berkepentingan berniat tidak baik mahu mengambil kesempatan mencuri 'emas' kita.



Akhir sekali dinyatakan risalah (buku kecil) ini adalah sebahagian daripada ibadah. Biar kami, hasil daripada 'taman ilmu pengetahuan dan kemuliaan' menjaganya dengan penuh kepedulian dan rasa kasih sayang. Kerja menjaga ini tidak lain adalah ibadah. Mari kita sama-sama mensucikan diri/nafs lalu menjadikan budaya kualiti, integriti dan kecemerlangan sebagai risalah kita. Amin.


Jumaat, Ogos 09, 2024

Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC dimuktamadkan 15 Ogos

Salam petang Jumaat pertama bulan Safar 1446 Hijriah. Satu lagi perkongsian tentang diskusi buku terbaru merangkap buku ke-15 saya  "Adam (a.s.) and the Origin of Man : Reconciling the Conflict between Religious and Scientific Narratives".



Merujuk pada artikel Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC 16 Ogos? yang persembahkan lewat hari Selasa malam Rabu. Ada dinyatakan tentang bagaimana majlis diskusi buku saya itu mahu diadakan pada petang Jumaat 16 Ogos iaitu 11 hari kemudian. Tetapi ada pihak mahu ia ditanggungkan ke tarikh lain yang lebih lewat. Pagi Rabu 7 Ogos tergerak untuk melihat saluran Youtube ISTAC. Tengok-tengok ada paparan atas menunjukkan slot bagi siaran langsung diskusi buku telah dibuka, bagi tarikh dan masa yang saya pinta. Walaupun ada majlis lain anjuran ISTAC berselisih masa.

Kelihatan seperti hal pemilihan masa dan tarikh sudah selesai dan dimuktamadkan bukan? Tidak semudah itu. Merujuk pula pada artikel Pihak berkuasa agama, kearifan negara dan lokal di Indonesia dan Malaysia yang dipersembahkan semalam malam Jumaat. Selepas majlis berkenaan selesai petang Rabu saya berlegar-legar berjalan-jalan di ISTAC. Ketika melepasi pejabat kakitangan yang bertanggungjawab mengatur jadual acara juga membuat poster tiba-tiba beliau membuka pintu dan melangkah keluar dari bilik. Kami pun bertegur sapa. Ketika itulah diberitahu kalau diskusi buku masih mahu dijalankan pada masa yang saya pinta maka tidak dapat menggunakan kemudahan Zoom dan Youtube ISTAC. Ini kerana kemudahan bagi membantu perkongsian secara atas talian dapat digunakan bagi satu majlis sahaja buat suatu masa. Dan majlis lagi satu telah menempah lebih awal.




Dengan itu, nak tak nak, saya harus memilih tarikh lain. Asalkan tidak berselisih dengan apa-apa lagi majlis yang telah dimuktamadkan dalam kalendar mahu menggunakan kemudahan sama. Misalnya, selain daripada penggunaan platform atas talian adalah penggunaan ruang bagi kehadiran fizikal. Kalau ada mahu menggunakan ruang pilihan saya iaitu Ibnu Khaldun Conference Room saya boleh pakai salah satu bilik syarahan atau bilik seminar. Tetapi saya tetap mahukan Ibnu Khaldun. 

Saya dicadangkan untuk menangguhkan ke 30 Ogos. Tetapi itu boleh mengganggu momentum yang sedang cantik sekarang yang mana ramai sudah menyatakan minat. Setelah disemak lagi tarikh-tarikh didapati saya boleh menggunakan semua kemudahan yang diminta pada petang Khamis 15 Ogos.

Nasib baik pihak-pihak lain yang terlibat dalam diskusi menyatakan dapat bersama. Cuma Profesor Emeritus Dr Osman Bakar yang merupakan penyelia tesis (yang kemudian diperbaiki untuk menjadi buku) lalu menuliskan kata-kata aluan buku menyatakan, kalau muncul hal menyebabkan beliau tidak dapat hadir maka teruskan sahaja acara pada masa dan tarikh pilihan tersebut. Hari Khamis semalam didapati paparan atas sudah muncul dalam saluran Youtube ISTAC. Ini bahawa menunjukkan masa dan tarikh yang dipilih sudah boleh dikira muktamad.




Tadi pagi Jumaat 9 Ogos sekitar jam 10.20 poster ini telah dipaparkan dalam salah satu grup WhatsApp ISTAC. Dengan ini betul-betullah muktamad tarikh dan masa bagi mengadakan diskusi. Insyaallah jumpa kita di sana.


Khamis, Ogos 08, 2024

Pihak berkuasa agama, kearifan negara dan lokal di Indonesia dan Malaysia

Salam. Perkongsian ilmu daripada satu majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) siang semalam.



Pagi Rabu 7 Ogos 2024 sekitar jam 8 tiba-tiba terlihat poster atas ini muncul dalam beberapa grup WhatsApp ISTAC. Ia menunjukkan ada majlis ilmu yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Pihak Berkuasa Agama, Kearifan Negara dan Lokal di Indonesia dan Malaysia". Tetapi saya tidak bercadang untuk mengikuti kerana kesibukan urusan lain di rumah. 



Jam 9.49 ada seorang pensyarah menghantar gambar ini dalam salah satu grup WhatsApp kami. Fikir saya ada mesyuarat kakitangan. Terus diberitahu ini menunjukkan majlis yang posternya dilihat lebih awal tadi sedang berjalan secara fizikal di ISTAC.



Ah. Fikir saya dibuat atas talian sahaja. Ini kerana cuma melihat sepintas lalu sahaja poster, nampak ada institusi dari Madura mengadakan tetapi ada sekali gambar Dekan ISTAC,  Profesor Dr Aziz Berghout. Kelihatan seperti anjuran pihak berkenaan, harus dipancarkan dari Madura di Indonesia dengan penyertaan dekan ISTAC secara atas talian. Saya pun mencari kembali poster dalam WhatsApp. Ada disertakan sekali pautan bagi penyertaan atas talian melalui platform Zoom. Terus masuk lalu mula mengikut majlis sekitar jam 10.45 pagi.




Ternyata perbincangannya sangat menarik. Bermacam-macam isu melibatkan praktik agama dalam masyarakat diperkatakan. Ini termasuk hal perkahwinan sekufu yang sangat dijaga di Indonesia oleh golongan Sayyid dan Sharifah keturunan Nabi Muhammad SAW. Sehingga tergerak untuk terlibat aktif menyatakan soalan. Disebutlah tentang bagaimana di Malaysia itu kalau ada yang membawa ajaran atas nama Islam tetapi kelihatan menyeleweng boleh ditangkap pihak berkuasa tetapi di Indonesia tidak.




Gambar ini pula diambil pada jam 11.59. Fikir saya selepas sesi soal jawab tadi majlis pun selesai.





Rupa-rupanya ada lagi pembentangan. Saya pun menyemak poster lalu mendapati majlis dinyatakan berjalan dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.



Ini membuat saya mahu pergi ke ISTAC. Nasib baik isteri mengambil cuti untuk menyelesaikan satu urusan bersama anak di luar kawasan. Saya pun memberitahu mahu pergi. Isteri cakap boleh. Beliau boleh mengambil alih tuga mengambil anak bongsu kembali daripada aktiviti korikulum sekolah pagi pada jam 3.30 petang.

Dengan itu saya pun bebas untuk keluar lalu bersiap. Sampai ke perkarangan ISTAC lebih 40 kilometer perjalanan hampir jam 1 petang. Cuma dalam perjalanan itu didapati kereta bermasalah suhu enjin asyik naik sehingga ke tahap 3/4 meter. Nasib baiklah dapat juga sampai. Boleh dengar bunyi air dalam radiator menggelegak kuat apabila membuka pintu untuk keluar...




Masuk ke ruang majlis tepat jam 1 menurut kamera digital. Terus dialu-alukan kerana pihak penganjur dapat cam diri saya yang suka bertanjak akibat bertanyakan soalan dalam Zoom lalu diminta berkongsi lagi pemikiran. Saya pun menyebut tentang hal penggunaan kalimah Allah yang selalu menjadi kontroversi di Malaysia. Bagi kita di sini ia sangat dijaga, tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam dalam apa-apa penerbitan. Di Indonesia tiada masalah. Sesiapa pun boleh pakai walaupun membawa makna yang berlainan. Ini kerana tidak ada pihak berkuasa agama yang disokong oleh negeri atau negara untuk mempertahankan kesucian Islam. Yang ada cuma gerakan-gerakan bersifat badan bukan kerajaan yang tidak memiliki kuasa untuk menegah apa lagi menghalang, cuma boleh menasihat.


Gambar ini pula diambil pada 1.37 petang, selepas majlis dinyatakan selesai. Saya sangat teruja dengan pelbagai perkara yang dibincangkan. Sebetulnya ramai yang  kelihatan ini adalah pihak pengurusan dan tenaga pengajar serta pelajar daripada IAIN (Institut Agama Islam Negeri) Madura. Mereka, sekitar 40 orang kesemuanya, telah berada di Malaysia sejak pertengahan Julai untuk menjalankan beberapa aktiviti. Majlis di ISTAC merupakan penutup. Namun antara yang membentang adalah seorang pensyarah UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) yang fikir saya harus berasal dari Madura juga tetapi rupa-rupanya dari Lamongan, Jawa Timur, masih agak dekat dengan Madura. Beliau itulah yang banyak menjawab tentang perbezaan dan persamaan penguatkuasaan agama antara di Malaysia di Indonesia. Kerana berasal dari Indonesia tetapi sudah menetap lama di Malaysia.

Oh. Dalam perjalanan kembali ke rumah suhu enjin naik lagi. kali ini lebih teruk lalu harus berhenti beberapa kali berehat agak lama. Ini supaya turun sedikit suhu lalu dapat menyambung perjalanan tanpa merosakkan enjin. Alhamdulillah dapat juga sampai ke bengkel kebiasaan tidak jauh dari rumah. Rupa-rupanya satu kipas enjin tidak berfungsi selain cecair sistem penyejuk sudah sangat kurang berfungsi. Nasib baik dapar diperbaiki dalam tempoh kurang sejam.

Selasa, Ogos 06, 2024

Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC 16 Ogos?

OK. Beberapa perkembangan melibatkan buku ke-15 saya "Adam (a.s.) and the Origin of Man" dan ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku.




Printscreen yang dibuat lewat malam tadi 17 Ogos...

Merujuk pada artikel Berkat 10 Muharram dan menimba ilmu di ISTAC yang dipersembahkan pada hari Selasa 16 Julai iaitu tepat 3 minggu lalu. Ada diberitahu bahawa ketika itu saya telah mendapatkan persetujuan agar buku terbaru saya itu diwacanakan dalam siri diskusi buku di ISTAC dalam tempoh sebulan selepas itu. Siri tersebut pernah diadakan pada tahun 2019. Tetapi baru dihidupkan kembali 16 Julai 2024. Ia ada diterangkan panjang lebar dalam artikel Tentang siri diskusi bulanan buku di ISTAC.

Sebetulnya buku saya sudah dicadangkan oleh seorang tokoh agar diwacanakan di ISTAC sejak 2 bulan lalu, sebelum  dipersetujui  hampir sebulan setengah lalu oleh beberapa pihak termasuk dekan. Lihat Dari majlis Takrim/Alumni Homecoming ISTAC ke Books Kinokuniya. Cuma belum ditetapkan atas nama atau format apa, jika dalam siri (ISTAC ada banyak siri wacana ilmu) siri yang mana. Dahulu pernah dinyatakan oleh pihak akademik mesti dibuat dalam bulan Julai. Kemudian mahu ditangguhkan ke Ogos, kemudian tak tahu cerita. Selepas mendapat persetujuan untuk diwacanakan dalam siri diskusi buku ISTAC yang baru iaitu bagi edisi kedua pada bulan Ogos orang-orang berkenaan pula disibukkan dengan pelbagai hal terutama majlis ilmu. 

Paling utama nampaknya adalah majlis anjuran ISTAC tetapi diadakan di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak pada 24 Julai. Lihat artikel Persidangan dan deklarasi tentang kesucian and nilai nyawa manusia yang dipersembahkan 30 Julai. Memandangkan pihak berkenaan harus penat selepas menjayakan acara selain harus mengambil masa untuk mengembangkan perkara di media massa pagi Isnin 5 Ogos iaitu hampir 2 minggu selepas acara baru terasa patut untuk bertanya apakah sudah mendapat tarikh untuk mengadakan diskusi buku. Saya pun diminta mencadangkan tarikh lalu memilih 16 Ogos, tepat sebulan selepas edisi pertama. Didapati ia jatuh cantik pada hari Jumaat dan ini dipersetujui. 

Memang sejak awal saya ingin agar diskusi buku diadakan pada petang Jumaat. Ini kerana sejak beberapa bulan kebelakangan agak selalu hadir ke majlis ilmu ISTAC yang berlangsung petang Jumaat lalu turut menunaikan solat Jumaat di masjid ISTAC. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Rum(i), Uthmaniyah dan Turki dalam Kesedaran Budaya dan Kewartawanan Orang Melayu

2. Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari

3.Antara Janda Baik dan ISTAC - Dua tempat kesukaan


7. Ismail al Faruqi - Relevan untuk kajian kontemporari


Saya mudah  ke ISTAC yang terletak lebih 40 km dari rumah pada hari Jumaat kerana pada hari itulah isteri dibenarkan bekerja di rumah lalu boleh menguruskan anak pergi balik sekolah pagi dan petang. Kalau tidak, saya yang perlu melakukannya. 

Berbalik pada hal setelah mendapat persetujuan untuk diskusi buku diadakan pada 16 Ogos. Didapati semua pihak yang perlu bagi menjayakannya juga berkelapangan untuk bersama pada tarikh dan waktu. Maka pada 5 Ogos iaitu selepas menerima persetujuan itu juga dipanjangkan bahan-bahan yang perlu agar dapat dibuat poster. Cuma kemudian didapati lalu dinyatakan oleh kakitangan ISTAC yang bertanggungjawab membuat poster bahawa masa dan tarikh berselisih dengan satu acara lain anjuran seorang tenaga pengajar. 

Walaupun acara itu mahu diadakan sepenuhnya secara on-line iaitu di atas talian sahaja ia mengharapkan penyertaan pelajar dan kakitangan ISTAC. Maka selisih masa itu dilihat bermasalah. Dengan itu perkara jadi seperti tergantung. Sehinggalah saya menghantar WhatsApp kepada dekan ISTAC pagi tadi 6 Ogos bagi memberikan penerangan dan latar belakang agak panjang lebar tentang kenapa mahu mengadakan majlis pada petang 16 Ogos walaupun berselisih dengan acara. Selepas Maghrib baru beliau menjawab lalu memberikan kebenaran dan galakan bagi meneruskan seperti yang dirancang.

Hal ini pun dipanjangkan kepada kakitangan tersebut. Namun beliau memberikan cadangan agar ditangguhkan ke petang Jumaat 30 Ogos pula iaitu 2 minggu kemudian. Saya masih mengharapkan 16 Ogos lalu berkongsi kepada beliau penerangan panjang lebar yang telah diberikan kepada dekan. Beliau belum menjawab lalu timbul rasa untuk berkongsi apa yang berlaku sebagai 'pelepas'.

Di sini biar dikumpulkan artikel-artikel melibatkan rentetan peristiwa yang membawa kepada penerbitan buku juga hal-hal berkaitan sehingga yang terkini.


1. Kira-kira masa sebenar berdasarkan maklumat orang 'lama'

2. Memperhalusi kira-kira masa sebenar berdasarkan beberapa maklumat baru

3. Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?

4. Ulasan ringkas buku berkembar Nabi Adam dan Orang Melayu serta Benua Tua Melayu dalam akhbar dan perkongsian pembaca awal...

5. Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC

6. Syarahan "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar

7. Pelancaran rasmi buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu di kedai buku Khazanah Fathaniyah

8. Sesi bertemu penulis dan tandatangan buku bersama Radzi Sapiee di PBAKL 2018

9. Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia

10. Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan

11. Resensi buku berkembar "Nabi Adam" dan "Benua Tua Melayu" di Kota Buku

12. Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC

13. Majlis ta'aruf pelajar baru dan lama - Membuka semester baru di ISTAC

14. Memasuki fasa baru - Sampai masanya untuk kembali pada penulisan tesis

15. Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat

16.  Dari nasi beringin ke ISTAC ke impromptu reunion A Level 

17. Berjaya mempertahankan cadangan tesis di ISTAC

18. Jumaat 27 Ramadhan di ISTAC dan harapanku bagi hari raya

19. Misi kedaulatan Singgora - Satu pengenalan

20. Apabila perjuangan dihargai

21. Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad

22. Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023

23.  Misi hartanah dan wacana Laksamana - Panggilan tak dirancang ke Tanjung Rambutan

24. Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat

25. Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53

26. Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya...

27. Buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" - Mengejar PBAKL 24 Mei

28. Dari tanah perkuburan ke ISTAC ke PBAKL 2024

29. Coming - Diskusi buku "Adam(a.s) and the Origin on Man" di 2 tempat petang Sabtu 1 Jun di PBAKL 2024

30. Flyer promosi buku"Adam (a.s.) and the Origin of Man"

31. Cara mendapatkan buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man"

32. Musafir ilmu dan buku - Antara ISTAC dan PBAKL

33. Musafir ilmu dan buku - Dari diskusi buku ke majlis persilatan ke walimatul urus

34. Salah ke kajian saya diakui seorang pemikir tersohor Melayu?

35. Dari majlis Takrim/Alumni Homecoming ISTAC ke Books Kinokuniya

36. Berkat 10 Muharram dan menimba ilmu di ISTAC

37. Tentang siri diskusi bulanan buku di ISTAC


Nampak. Ada 37 buah artikel yang saling terkait, diatur menurut kronologi dipersembahkan. Campur yang anda sedang baca ini jadi 38. Yang pertama ditulis tahun 2013 diikuti seterusnya tahun 2015. Kedua-duanya menunjukkan konsep kira-kira matematik yang kemudian dipakai dalam buku ke-11 dan diaplikasikan dalam buku ke-12 saya yang diterbitkan secara berkembar awal 2018. Asbab diminta berkongsi konsep melalui syarahan di ISTAC April 2018 saya kemudian menyambung pengajian di sana. Ini bagi mengangkat konsep yang diketengahkan dengan cara yang lebih kemas dan akademik lalu ia menjadi kerangka konseptual tesis. 

Sejumlah artikel iaitu daripada hampir penghujung tahun 2018 hingga 2023 melibatkan perkembangan dalam penulisan tesis, walau tajuknya kelihatan tidak ada kena mengena. Tesis diperbaiki untuk dijadikan buku lalu artikel-artikel tahun 2024 melibatkan penerbitan diikuti usaha-usaha bagi mempromosikan buku. Sesungguhnya ada rentetan peristiwa demi peristiwa sejak 11 tahun lalu yang menyebabkan saya mahu sangat agar diskusi buku tetap dapat diadakan pada petang Jumaat 16 Ogos,  Namun saya sedia akur jika harus ditangguhkan ke 30 Ogos. Asalkan jadi, tidak ditangguh lagi. Dan semua pihak yang diperlukan untuk menjayakan berkelapangan untuk hadir.