Jumaat, Ogos 09, 2024

Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC dimuktamadkan 15 Ogos

Salam petang Jumaat pertama bulan Safar 1446 Hijriah. Satu lagi perkongsian tentang diskusi buku terbaru merangkap buku ke-15 saya  "Adam (a.s.) and the Origin of Man : Reconciling the Conflict between Religious and Scientific Narratives".



Merujuk pada artikel Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC 16 Ogos? yang persembahkan lewat hari Selasa malam Rabu. Ada dinyatakan tentang bagaimana majlis diskusi buku saya itu mahu diadakan pada petang Jumaat 16 Ogos iaitu 11 hari kemudian. Tetapi ada pihak mahu ia ditanggungkan ke tarikh lain yang lebih lewat. Pagi Rabu 7 Ogos tergerak untuk melihat saluran Youtube ISTAC. Tengok-tengok ada paparan atas menunjukkan slot bagi siaran langsung diskusi buku telah dibuka, bagi tarikh dan masa yang saya pinta. Walaupun ada majlis lain anjuran ISTAC berselisih masa.

Kelihatan seperti hal pemilihan masa dan tarikh sudah selesai dan dimuktamadkan bukan? Tidak semudah itu. Merujuk pula pada artikel Pihak berkuasa agama, kearifan negara dan lokal di Indonesia dan Malaysia yang dipersembahkan semalam malam Jumaat. Selepas majlis berkenaan selesai petang Rabu saya berlegar-legar berjalan-jalan di ISTAC. Ketika melepasi pejabat kakitangan yang bertanggungjawab mengatur jadual acara juga membuat poster tiba-tiba beliau membuka pintu dan melangkah keluar dari bilik. Kami pun bertegur sapa. Ketika itulah diberitahu kalau diskusi buku masih mahu dijalankan pada masa yang saya pinta maka tidak dapat menggunakan kemudahan Zoom dan Youtube ISTAC. Ini kerana kemudahan bagi membantu perkongsian secara atas talian dapat digunakan bagi satu majlis sahaja buat suatu masa. Dan majlis lagi satu telah menempah lebih awal.




Dengan itu, nak tak nak, saya harus memilih tarikh lain. Asalkan tidak berselisih dengan apa-apa lagi majlis yang telah dimuktamadkan dalam kalendar mahu menggunakan kemudahan sama. Misalnya, selain daripada penggunaan platform atas talian adalah penggunaan ruang bagi kehadiran fizikal. Kalau ada mahu menggunakan ruang pilihan saya iaitu Ibnu Khaldun Conference Room saya boleh pakai salah satu bilik syarahan atau bilik seminar. Tetapi saya tetap mahukan Ibnu Khaldun. 

Saya dicadangkan untuk menangguhkan ke 30 Ogos. Tetapi itu boleh mengganggu momentum yang sedang cantik sekarang yang mana ramai sudah menyatakan minat. Setelah disemak lagi tarikh-tarikh didapati saya boleh menggunakan semua kemudahan yang diminta pada petang Khamis 15 Ogos.

Nasib baik pihak-pihak lain yang terlibat dalam diskusi menyatakan dapat bersama. Cuma Profesor Emeritus Dr Osman Bakar yang merupakan penyelia tesis (yang kemudian diperbaiki untuk menjadi buku) lalu menuliskan kata-kata aluan buku menyatakan, kalau muncul hal menyebabkan beliau tidak dapat hadir maka teruskan sahaja acara pada masa dan tarikh pilihan tersebut. Hari Khamis semalam didapati paparan atas sudah muncul dalam saluran Youtube ISTAC. Ini bahawa menunjukkan masa dan tarikh yang dipilih sudah boleh dikira muktamad.




Tadi pagi Jumaat 9 Ogos sekitar jam 10.20 poster ini telah dipaparkan dalam salah satu grup WhatsApp ISTAC. Dengan ini betul-betullah muktamad tarikh dan masa bagi mengadakan diskusi. Insyaallah jumpa kita di sana.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan