Sabtu, Ogos 10, 2024

"Salam Kasih" oleh Prof Kamal Hassan

OK. Pagi karang saya mahu ke Lembah Klang untuk mengikuti satu majlis ilmu berdekatan kampus utama Universiti Malaya. Kemudian ke majlis melibatkan busana tradisional Melayu dan silat di Bukit Damansara sehingga petang. Seterusnya ke majlis zikir tertutup sebelah malam. Sebelum itu biar dilepaskan satu cerita tentang majlis ilmu yang dianjurkan oleh satu jabatan di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) petang tadi Sabtu 9 Ogos 2024 jam 3 petang.



Majlis yang dibuat sepenuhnya atas talian ini mengenengahkan satu buku kecil bertajuk "Salam Kasih" tulisan tokoh akademik terkenal almarhum Profesor Ulung Emeritus Tan Sri Dr. M. Kamal Hassan (kembali ke rahmatullah awal tahun 2023). Bercakap adalah salah seorang anak murid almarhum, Dr Nur Jannah Hassan.



Beliau adalah salah seorang pemeriksa atau examiner bagi tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) kemudian post supervisor atau penyelia selepas lulus peperiksaan iaitu bagi mengemaskan lagi tesis. Itulah tesis yang kemudian diperbaiki menjadi buku yang diperkatakan dalam artikel sebelum ini iaitu Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC dimuktamadkan 15 Ogos.




Buku kecil  tulisan Kamal Hassan memuatkan sejumlah puisi beliau. Nur Jannah telah memilih beberapa muka surat awal untuk dipersembahkan melalui slaid. Ada ditambah gambar yang tiada dalam buku asal.



Secara rata ia adalah tentang penglibatan Kamal Hassan dengan UIAM, institusi harapan ramai umat Islam yang dikiaskan sebagai "taman atas kapal".



Namun dimulakan dahulu dengan bagaimana pada tahun 1950an umat Islam (di Semenanjung Tanah Melayu) telah meletakkan harapan pada satu institusi bagi membela ummah yang ketika itu sedang terjajah lalu harus menghadapi sepak terajang kolonialisma. Tidak disebut nama institusi dalam puisi. Nur Jannah menyatakan ia adalah Kolej Islam Malaya. Semakan di Internet menunjukkan ia diasaskan di Klang pada tahun 1955. Ini membawa pada pembukaan bangunan baru kolej di Petaling Jaya pada tahun 1966. Seterusnya ia diserap menjadi Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 1970, tahun kelahiran saya.



Semakan dalam Internet turut menunjukkan Kamal Hassan lahir di Kelantan tahun 1942 dan belajar di Sekolah Sultan Ismail di Kota Baru 1950-1960. Pada tahun 1961-1962 beliau menuntut di Victoria Institution, Kuala Lumpur sebelum tamat ijazah Pengajian Islam di Universiti Malaya tahun 1965. Seterusnya menyambung ke peringkat pascasiswazah di Columbia University, New York di mana beliau mendapat ijazah MA tahun 1970, M. Phil tahun 1973 dan Ph.D. Selepas itu bertugas di UKM. Menurut Nur Jannah dari situlah beliau dipinjamkan untuk mengajar di UIA yang baru ditubuhkan tahun 1983. Kamal Hassan dinyatakan sebagai bertanggungjawab menerbitkan logo UIA. Puisi menyebut betapa muda mudi daripada serata dunia berbondong untuk menaiki "taman atas kapal".




Dinyatakan keunikan UIA adalah bagaimana ia mengintegrasikan akal manusia dengan ilmu wahyu lalu memperkayakan bidang profesyional sains dan kemahiran dengan dimensi etika dan kerohanian, memadukan faedah kemodenan dengan nilai-nilai moral dan tradisi suci. Dengan itu juga menjadi pendinding bagi pemimpin akan datang daripada kanser korupsi moral.

Hmm. Disebabkan ada paduan akal manusia dengan ilmu wahyu lalu dimensi ini turut diangkat malah lebih tinggi lagi di ISTAC maka saya akhirnya menyambung pengajian pasca siswazah di sana selepas lama menolak untuk sambung lagi belajar seusai pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di University College of London tahun 1995. Lihat luahan berkenaan dalam .Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia.




Puisi seterusnya menyatakan bagaimana Kamal Hassan membuat keputusan pada tahun 1983 untuk bersama UIA tanpa memikirkan pun akan memimpin universiti satu hari nanti. Pada beliau itu cuma misi yang dipandu ilham daripada Ilahi.



Disebutlah tentang dua Rektor (kepimpinan akademik tertinggi) terawal UIA, Tan Sri Dr Abdul Rauf (pada 1983-1988) dan Dato' Dr Abdulhamid AbuSulayman (1988-1998) sebagai tokoh-tokoh ilmuwan terkenal daripada negara luar yang memandu kapal (UIA) ke lautan lepas. Tanpa pengorbanan dan wawasan mereka kapal tidak dapat menunggang gelombang sorakan (galakan) ramai. Kamal Hassan kemudian naik sebagai Rektor ketiga, merangkap yang pertama daripada kalangan anak tempatan, pada tahun 1998.



Namun dinyatakan dalam puisi bahawa ketika berumur 60 tahun (pada 2002) beliau mahu melepaskan jawatan akibat pelbagai macam tekanan. Namun disebabkan belum muncul pengganti yang cukup sesuai harus bertahan sehingga umur 64 tahun (pada 2006).




Selepas itu beliau berasa lebih tenang menjadi ahli akademik biasa (mengajar dan membuat kajian tanpa perlu membuat kerja-kerja pentadbiran sangat juga harus berhadapan dengan kerenah politik orang).  Beliau memerhatikan sahaja 'taman' berkembang dan 'kapal' bergerak laju tanpa kekacauan.



Seterusnya dinyatakan bagaimana institusi dapat bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan yang bagus. Beliau meminta maaf jika ada menyinggung sesiapa, nampaknya merujuk pada suatu keadaan semasa kemudian menyatakan Rektor kelima, Prof Dato' Seri Zaleha Kamaruddin (2011-2018) sebagai memerlukan sokongan jujur semua untuk memenuhi impian (menentu hala tuju terbaik UIA?). Tidak disebut langsung nama Rektor keempat, Profesor Dr Syed Arabi Idid (2006-2011).



Kemudian disebut bagaimana kerja-kerja mereka dan UIA adalah jihad intelektual yang bertujuan untuk menghidupkan kembali tamadun yang beretika, sebagai alternatif kepada model-model kemajuan dan modernisasi yang telah disekularkan. Memuji "rahib tertinggi kuil' (faham-fahamlah maksudnya) tidak pernah menjadi sebahagian daripada niat suci kami (para penyayang ilmu). Memuji Allah SWT sebagai sumber ilmu pengetahuan, itulah zikir sebenar institusi. Slaid ini menunjukkan gambar pemegang jawatan Rektor UIA menurut turutan masa dari kiri ke kanan, atas ke bawah. Nama-nama mereka telah disebut tadi, kecuali yang ketujuh, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak (baru meninggalkan jawatan kurang 2 minggu lalu).




Dinyatakan pula bagaimana mantan-mantan pelajar atau alumni mesti menjaga identiti dan nama baik UIA. 'Buah-buahan' daripada "Taman" sekarang ada di merata dunia sebagai lambang personaliti yang bersepadu, membawa rumusan bagi segala macam permasalahan menggunakan acuan baru. Para pemimpin hasil lepasan 'taman' mesti mempertahankan 'kubu' daripada mereka yang berkepentingan berniat tidak baik mahu mengambil kesempatan mencuri 'emas' kita.



Akhir sekali dinyatakan risalah (buku kecil) ini adalah sebahagian daripada ibadah. Biar kami, hasil daripada 'taman ilmu pengetahuan dan kemuliaan' menjaganya dengan penuh kepedulian dan rasa kasih sayang. Kerja menjaga ini tidak lain adalah ibadah. Mari kita sama-sama mensucikan diri/nafs lalu menjadikan budaya kualiti, integriti dan kecemerlangan sebagai risalah kita. Amin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan