OK. Pergi pada hari-hari seterusnya perjalanan. Bersambung daripada artikel Balik kampung Ramadan 2025 - Menyambung eksplorasi Sungai Muar.
Mengikut rancangan asal kami mahu meninggalkan rumah ibu bapa di Muar selepas Zohor petang Sabtu 8 Mac 2025. Ambil jalan ke Lenga diikuti Bukit Kepong, Segamat dan Gemas sebelum berbuka puasa di rumah kakak isteri di Felda Jelai, Negeri Sembilan. Tetapi disebabkan banyak kerja perlu dilakukan bagi mengemas rumah ibu bapa sebagai persediaan awal untuk berhari raya, petang Ahad 9 Mac hampir jam 6.30 baru mengorak langkah meninggalkan Muar.
Disebabkan kesuntukan masa selain penat 2 hari berturut asyik mengemas rumah dan bermacam hal kami mengambil laluan terdekat untuk ke Felda Jelai. Lalu di pekan Tangkak di mana Gunung Ledang kelihatan megah walau kadangkala diliputi awan tebal.
Jam 6.59 baru hendak masuk sempadan negeri Melaka menghala ke Asahan.
Tapi tak masuk ke Asahan sebaliknya lalu di Nyalas. Di situlah dibeli air berperisa untuk berbuka puasa. Ketika gambar ini diambil sudah jam 7.17. Kelihatan Bukit Gapis yang sejak tahun 2021 katanya dikenali sebagai Gunung Melaka. Pada ketinggian 512 meter dari paras laut, cuma 2 meter sahaja lebih tinggi dari Gunung Lambak di Kluang (lihat Perjalanan selatan penghujung 2024 - Membawa anak-anak mengecapi pengalaman zaman Sekolah Sains) ia adalah bukit/gunung tertinggi dalam negeri Melaka.
Dipendekkan cerita kami sampai ke rumah kakak sekitar jam 7.50 malam. Gambar menunjukkan halaman rumah beliau diambil pada jam 1.55 petang Isnin 10 Mac. Isnin adalah hari bekerja buat isteri. Namun seperti pada setiap hari Jumaat beliau boleh bekerja dari rumah. Atau mana-mana tempat asal ada talian Internet. Pada hari Selasa, Rabu dan Khamis sahaja wajib hadir ke pejabat.
Jam 2.30 baru menyambung lagi perjalanan. Isteri menyambung kerja daripada dalam kereta...
Kami mengambil jalan menghala ke Bandar Baru Jempol mengelak masuk ke pekan Bahau. Kelihatan Bukit Penarikan di hadapan.
Ke kiri pula kelihatan Bukit Taisho yang lebih dekat dengan pekan Bahau. Insyaallah kedua-dua bukit akan didaki nanti dalam satu perjalanan akan datang bersama Bukit Baginda di Kampung Majau.
Sebetulnya perjalanan kali ini melengkapkan apa yang tidak selesai daripada satu perjalanan penghujung 2024. Ketika itu, selepas bermalam di Felda Jelai mahu ke makam Moyang Salleh di Kuala Klawang tapi tak sempat. Lihat Perjalanan selatan penghujung 2024 - Merentas pendalaman Negeri Sembilan ke Hulu Langat.
Kali ini baru dapat.
Baru juga sempat singgah di masjid lama ini. Lihat artikel Lagi lawatan ke (Again visit to) Masjid (mosque of) Kampung Dulang. di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Adapun kali terakhir kami ke Kuala Klawang dan persekitaran adalah pada tahun 2019. Lihat artikel Perjalanan kecil ke Jelai - Dugaan dari Masjid Taboh Naning ke Masjid Kampung Dulang diikuti Perjalanan kecil ke Jelai - Dari Kampung Dulang menyeberang Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat. Kali ini dapat melihat papan tanda ke satu lagi tempat bersejarah, sebelum ini tiada, lalu buat pertama kali menjejakkan kaki ke tempat berkenaan. Lihat Makam sejarah (History tombs of) Jelebu.
Masuk ke pekan Kuala Klawang.
Perjalanan diteruskan melepasi pekan Titi untuk menyeberang Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat.
Sampai di bahagian tertinggi laluan berhenti sebentar untuk mengambil gambar. Semakan menggunakan Apps berkenaan menunjukkan ketinggian sekitar 510 meter dari paras laut. Lebih kurang sama dengan ketinggian Bukit Gapis/Gunung Melaka di Melaka. Lihat artikel The highest part of the Kuala Klawang- Hulu Langat road di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Ke bawah sudah masuk ke daerah Hulu Langat di negeri Selangor. Ternampak air terjun kecil di tepian jalan. Layan mandi daa...
Sekitar Batu 15 Hulu Langat berhenti di sebuah warung untuk berbuka puasa. Sempatlah membaca lagi beberapa helai Al Quran bagi menyelesaikan juzuk ke-11 sementara isteri menyambung lagi kerja. Sampai di rumah Langat dapat ditulis dan dipersembahkan artikel Balik kampung Ramadan 2025 - Menyambung eksplorasi Sungai Muar, selepas artikel-artikel sokongan. Kemudian disediakan pula artikel ini juga artikel-artikel sokongan. Hari ini di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Bukit Tunku, Kuala Lumpur baru dilengkapkan penulisan lalu dipersembahkan. Kenapa di ISTAC? Tunggu artikel sambungan.