Salam semua. Sampai pada hari terakhir perjalanan awal Ramadan. Bersambung daripada artikel Balik kampung Ramadan 2025 - Menyambung ke Jelebu dan Hulu Langat.
Lewat petang Rabu 5 Mac 2025 saya mendapat tahu melalui WhatsApp ada seminar tentang epistemologi tauhid mahu diadakan di tempat saya belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Ketika itu saya dan isteri sedang berada di selatan Cheras. Perjalanan balik kampung secara rasminya sudah bermula, cuma Khamis 6 Mac harus ke Shah Alam terlebih dahulu kerana isteri kena masuk ke pejabat. Lihat bahagian awal artikel Balik kampung Ramadan 2025 - Menyambung eksplorasi Sungai Muar.
Saya yang memang sayangkan ilmu apalagi dengan tajuk tersebut di ISTAC bertekad mahu hadir. Apalagi guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang sedang berusaha mengangkat kerangka pemfikiran berkenaan sejak menjadi Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, badan induk yang menaungi ISTAC) dijadualkan memberikan ucaptama. Lihat artikel-artikel berikut tentang perkara.
2. Minda ketauhidan dan keummahan - Misi pendidikan Islam sejagat
Sudah disebut dalam artikel Balik kampung Ramadan 2025 - Menyambung ke Jelebu dan Hulu Langat bahawa selepas meninggalkan rumah kakak isteri di Jelai petang Isnin 10 Mac kami ke rumah rumah yang di Langat. Di situlah ditulis adan dipersembahkan artikel pertama perjalanan iaitu Balik kampung Ramadan 2025 - Menyambung eksplorasi Sungai Muar. Awal pagi Selasa 11 Mac bergeraklah ke ISTAC untuk majlis ilmu tentang epistemologi ketauhidan itu.
Alhamdulillah isteri dibenarkan membuat kerja dari cawangan pejabat dekat Tasik Titiwangsa, tidak perlu ke ibu pejabat di Shah Alam. Hantar beliau dahulu.
Sebelum jam 9 sampai ke ISTAC.
Seminar bermula jam 10 pagi.
Selain kehadiran fizikal ramai juga mengikuti secara atas talian melalui Zoom.
Dekan ISTAC Profesor Datuk Dr. Abdelaziz Berghout memberikan ucapan pembukaan.
Kemudian guru saya Osman memberikan ucaptama tapi dalam bentuk rakaman. Ini kerana beliau harus berada di kampus Kuantan UIAM untuk satu urusan.
Di sini biar dikongsi ringkas. Professor Dr Jasser Auda dari ISTAC memberikan ucapan tentang implikasi epistemologi Tauhid disertakan pendekatan maqasid (arah tujuan/sasaran) pemahaman Al Quran terhadap pengajian Islam dalam pendidikan tinggi.
Kemudian bermulalah sesi 1 forum. Ia adalah tentang implikasi epistemologi tauhid terhadap falsafah dan kurikulum pemikiran Islam, ketamadunan dan pengajian dalam pendidikan tinggi. Ada dua orang pembentang. Pertama adalah Profesor Dr Zaid Ahmad dari UPM (Universiti Putera Malaysia).
Pembentang kedua adalah Profesor Hamidullah Marazi dari ISTAC. Namun beliau juga memegang jawatan di University of Kashmir lalu membentang secara atas talian dari sana.
Sesi 1 forum selesai hampir jam 1.30. Beriktikaf selepas menunaikan solat di masjid ISTAC.
Masuk sesi 2 forum waktu petang, tentang implikasi epistemologi tauhid terhadap falsafah dan kurikulum sains sosial dan kemanusiaan dalam pendidikan tinggi. Ada tiga orang pembentang, bermula dengan Profesor Madya Dr Sami al-Daghistani dari Lund University di Sweden.
Pembentang kedua, Profesor Emeritus Dr Rosnani Hashim dari UIAM.
Pembentang ketiga, Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican dari UIAM (tengah dalam gambar). Beliau bercakap dari tempat duduk tanpa pergi ke kerusi khas pembentang.
Sesi 3 dan terakhir forum, tentang implikasi epistemologi tauhid terhadap masa hadapan Islamisasi dan integrasi ilmu pengetahun dalam pendidikan tinggi Islam pula menyaksikan dua orang pembentang, bermula dengan Abdelaziz Berghout...
Pembentang kedua adalah Profesor Dr Hazizan Md Noon dari Jabatan Sosiologi and Antropologi UIAM.
Seminar selesai selepas jam 4.30. Boleh disimpulkan, apa dibincangkan sepanjang seminar adalah cabaran diikuti langkah supaya konsep epistemelogi ketauhidan yang dilihat ramai sebagai abstrak dan samar-samar dapat diterjemahkan menjadi sesuatu yang praktikal dalam setiap bidang ilmu demi kemaslahatan ummah. Hampir 5.30 saya bergerak ke pusat bandar Kuala Lumpur untuk mengambil isteri...
Pergi kembali ke ISTAC membawa beliau. Terus menuju ke kafe yang terletak ke hujung timur laut kompleks utama bangunan.
Ada iftar atau majlis berbuka puasa anjuran Duta Azerbaijan.
Selepas menjamakkan Maghrif dan Isyak di tingkat atas kafe pergi pula melawat orang sakit di hospital swasta di Kajang. Kembali ke rumah didapati saya telah memandu lebih 800 km. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,626 di CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan