Rabu, Julai 16, 2025

Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Sedikit renungan tentang labah-labah

OK. Perjalanan kali ini meliputi tempoh masa 3 hari 2 malam sahaja. Walaupun tak lama mana cerita tetap cerita. Bersambung daripada Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Menyusur sejarah berkenaan dari Matang ke Beruas ke Teluk Intan.



Merujuk pada artikel Jejak Langkasuka 2025 - Menutup di Batu Bersurat Cherok Tok Kun sebelum ke Perak yang ceritanya berlaku 2 minggu lebih awal. Ada disebut saya dan isteri menunaikan solat Maghrib dan Isyak di masjid warisan keluarga Laksamana di Batak Rabit. Hajatnya hendak bermalam di masjid bagi bulan Muharram tapi tak boleh. Ini kerana ada makanan dibawa balik dari Thailand perlu disimpan dalam peti ais secepat mungkin.

Kali ini baru boleh bermalam. Namun sebelum masuk waktu Subuh pagi Isnin 14 Julai 2025 bersamaan 18 Muharram 1447 Hijriah bergerak untuk meninggalkan masjid dan Batak Rabit. Ini kerana Isnin adalah hari bekerja isteri. Walaupun boleh bekerja secara atas talian dari mana-mana, Selasa, Rabu dan Khamis baru kena masuk pejabat, isteri lebih selesa melakukan kerja dari rumah.



Solat Subuh di masjid jamek Slim River.



Sampai di Behrang matahari sudah terbit.



Masuk menuju ke pekan lama Tanjung Malim.







Sarapan nasi dagang dan nasi kerabu di sebuah kedai kegemaran di Hulu Bernam. Biasanya saya berpuasa sunat setiap siang Isnin dan Khamis. Kali ini tidak supaya dapat makan bersama isteri dalam perjalanan. Lagipun baru sahaja berpuasa 3 hari berturut Rabu hingga Jumaat, puasa putih 13 hingga 15 Muharram. Sebelum itu sudah puasa 3 hari berturut Sabtu 9 Muharram (Puasa Tasu'a), Ahad 10 Muharram (Puasa Asyura) dan Isnin 11 Muharram (puasa sunat Isnin).




Apabila sampai ke rumah hampir jam 9 pagi didapati saya telah memandu sejauh 557 km.


Merujuk kembali pada artikel pertama siri kecil ini iaitu Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Dapat menjunjung keris peribadi Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Ada dinyatakan bahawa telah berlaku satu perkara misteri melibatkan labah-labah di gerai di mana saya, isteri dan dua orang saudara (tidak lama kemudian muncul seorang lagi) minum petang di Taiping. Apa yang berlaku adalah saudara dua pupu sedang bercerita tentang kemungkinan diserang secara batin oleh orang tertentu. Tiba-tiba muncul labah-labah naik ke pinggan makanan saya.

Ada saudara hendak memukul labah-labah. Saya melarang, setakat mengacah agar ia turun dari pinggan. Labah-labah itu kemudian masuk ke bahawa meja. Di atas ini gambarnya, isteri ambil dari bawah meja.

Kami semua merasa pelik. Kalau muncul nyamuk, lalat malah cicak sekalipun tidak menghairankan. Ini labah-labah. Boleh tahan besar. Seperti hendak menyatakan sesuatu.

Terus teringat cerita labah-labah membuat sarang bagi menutup pintu gua tempat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar berlindung menyorok daripada buruan musuh. Dengan adanya sarang dianggap tiada orang dalam gua. Kalau ada tentu sarang telah rosak dilanggar ketika hendak masuk ke dalam.

Teringat juga bahawa pada batu nesan di makam pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Saleh yang merupakan moyang kami ada tertera ayat atau petikan daripada Surah Al-Ankabut, iaitu Surah Labah-labah. Yang ingat terjemahan bahasa Melayu lebih kurang begini : "Dunia ini sementara. Ia seperti sarang yang dijalin labah-labah".

Merujuk pula pada artikel Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Menyusur sejarah berkenaan dari Matang ke Beruas ke Teluk Intan. Ada dinyatakan kami singgah di rumah seorang bapa saudara di Changkat Jering. Tidak diceritakan bahawa beliau terlibat dalam dunia perubatan tradisional dan hal-hal kebatinan. Apabila diceritakan tentang hal labah-labah tiba-tiba muncul naik atas pinggan di gerai kata beliau ada orang yang duduk berdekatan menghantar santau. Labah-labah itu menghalang.

Teringat ketika berumur 18 tahun ada melepak di sebuah gerai di Bukit Bintang bersama beberapa orang kenalan minum teh tarik. Teh dalam gelas kaca diminum sedikit demi sedikit. Ketika tinggal sedikit untuk hirupan terakhir lalu saya hendak mengambil gelas tiba-tiba ia meletup berkecai tinggal tapak.

Saya terus memandang atas ke arah rumah pangsa berdekatan. Kot-kot ada orang baling atau batu jatuh dari atas. Tapi kalau kena batu dari atas harus tapak yang berkecai, bukan semua bahagian gelas kecuali tapak. Kemudian ada orang memberitahu itu menunjukkan ada orang menghantar santau. Dengan kuasa Allah SWT gelas berkecai supaya tidak kena santau yang telah mendap dalam baki teh untuk hirupan terakhir. Sekian perkongsian.


Selasa, Julai 15, 2025

Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Menyusur sejarah berkenaan dari Matang ke Beruas ke Teluk Intan

Salam malam 20 Muharram. Penceritaan kali ini memerlukan saya menyediakan terlebih dahulu 13 buah artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN. Bersambung daripada Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Dapat menjunjung keris peribadi Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.



Pagi Ahad 13 Julai 2025 bersamaan 17 Muharram 1447 Hijriah, selepas bersarapan bersama bapa saudara, bergerak dari Taiping untuk ke muzium Ngah Ibrahim di Matang.




Kalau ikut rancangan asal malam sebelumnya sudah bergerak ke Beruas lalu bermalam di sana. Tetapi bapa saudara mengajak bermalam di rumahnya di Taiping. Pergi ke Matang kerana saudara dua pupu menelefon meminta menyemak sesuatu di muzium. Bapa saudara yang sebenarnya tidak lagi duduk di Taiping, rumah setakat persinggahan, menyusul kemudian. Dah alang-alang ziarah sekali makam tokoh yang merupakan moyang saudara kami. Lihat Lawatan baru (New visit to) Makam (tomb of) Ngah Ibrahim diikuti Lawatan terbaru ke muzium Ngah Ibrahim (Latest visit to museum of Ngah Ibrahim).



 
Kalau tidak kerana itu tentu telah bergerak ke Beruas awal pagi. Namun sudah aturan Allah SWT. Melihat pameran di lokasi sebenar pernah dijadikan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pejuang Melayu seperti Datuk Maharajelala dan Tok  Sagor, selepas pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W. Birch (pada 2 November 1875) menimbulkan semangat baru untuk mengupas hal-hal berkenaan terutama Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 yang membawa kepada rentetan peristiwa. Rujuk artikel Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun - Webinar pertama selesai.




Bapa saudara kemudian mengajak menziarahi bapa saudara lain di Changkat Jering. 




Dah berbual panjang macam-macam...



Dekat jam 1 baru bergerak ke Beruas.






Singgah di muzium sana yang katanya baru sebulan dibuka kembali, selepas lebih setahun ditutup untuk renovasi. Lihat Muzium (Museum of) Beruas.




Sasaran seterusnya adalah Kampung Kota. Namun terlihat surau ini di tepi jalan, terasa hendak singgah. Lihat Lawatan baru ke surau (New visit to the praying hall of) Tuan Haji Mat Zain, Beruas.




Surau disinggahi kerana teringat ada terbaca, di sekitar itulah penulis buku "Bercakap Dengan Jin" iaitu Tamar Jalis membesar. Tengok-tengok di seberang surau adalah rumah seorang guru silat yang ada kawan kami mahu aturkan bersua muka. Tapi saya sendiri tidak pernah berjanji akan singgah. Dah berbual panjang lagi macam-macam.




Sekitar jam 4.15 petang baru sampai ke sasaran utama kami di Beruas. Lihat Lawatan terbaru (Latest visit to ) Makam (tomb of) Raja Beruas.



Singgah sebentar ke masjid Kampung Kota. Di sinilah cadangnya hendak menginap malam sebelumnya.



Makan 'tengah hari' lewat, bakso dekat gerai tepian jalan Ipoh ke Lumut.




Jam 5.48 baru sampai ke sasaran ziarah seterusnya - makam 3 orang Sultan Perak yang sama nama. Satu di Bota Kanan, satu 4 km ke selatan, satu lagi 4 km ke  selatan. Lihat artikel-artikel berikut,  menurut aturan ziarah dari utara ke selatan :-






Ziarah sepatutnya sudah dilakukan 2 minggu lebih awal. Tetapi tak jadi lantaran terlajak tidur petang di rumah kawan di Kuala Kangsar. Lihat  Jejak Langkasuka 2025 - Menutup di Batu Bersurat Cherok Tok Kun sebelum ke Perak. Alang-alang dah sampai ziarah satu makam berdekatan. Lihat Makam (Tomb of) Abang, Tanah Abang?.




Perjalanan diteruskan menyeberangi Sungai Perak melalui jambatan baru ke Lambor Kiri.




Ada satu makam belum pernah diziarahi sebelum ini. Kali ini baru tergerak. Rupa-rupanya tokoh  berkenaan hidup sezaman dengan moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, pernah memainkan peranan untuk  mendamaikan Sultan ke-25 Perak, Sultan Ismail dalam perselisihan dengan Sultan ke-26, Sultan Abdullah yang disokong Laksamana. Lihat Makam (Tomb of) Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek.



Rupa-rupanya cuma 1 km lebih sahaja daripada makam berbatu nesan Aceh besar ini, seingat saya paling besar pernah ditemui di Malaysia. Saya sudah sampai banyak kali. Lihat Lawatan terbaru ke makam Laksamana Aceh (Latest visit to the tomb of Laksamana Aceh).




Hampir masuk Maghrib masuk ke ladang kelapa sawit untuk ke makam ini. Lihat Lawatan baru (New visit to) makam (tomb of) Tok Sego Aceh. Ada satu cerita menarik berlaku tahun 2015 mengaitkan dengan makam-makan berbatu nesan serupa di Aceh. Lihat artikel lama Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam para Merah, punca batu nesan Aceh dan makam Hamzah Fansuri.




Sampai ke sasaran seterusnya sudah jam 7.44 malam. Yang ini pun sepatutnya sudah diziarahi 2 minggu lebih awal. Lihat Lawatan terbaru ke batu tanda Raja Ahmad (Latest visit to the commemorative stone of Raja Ahmad).



Turut sepatutnya sudah diziarahi 2 minggu lalu adalah makam Keramat Kuala Bidor di Kampung Bahagia, Teluk Intan. Keramat Kuala Bidor ini selalu disamakan dengan Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor, Laksamana Raja Mahkota Perak yang pertama.




Ketika sampai jam 8.20 malam baru selesai hujan lebat. Air di sungai sebelah kelihatan tinggi melimpah ke darat.




Isteri terasa risau hendak menjengok ke makam yang terletak lagi 100 meter lebih ke dalam ladang kelapa sawit. 




Pun begitu akhirnya pergi juga walau dalam kegelapan pekat malam. Selepas itu singgah di masjid berdekatan. Makam itu adalah yang pertama saya ziarahi, juga dalam kepekatan malam,  setelah mula ambil tahu hal keturunan, masjid menjadi tempat pertama beriktikaf dan bermalam. Rujuk cerita berkenaan dalam  Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.



Dengan itu selesailah semua ziarah yang disasarkan. Berehat mengeteh dekat Menara Condong Teluk Intan sambil mengejar kembali bacaan Al-Quran bagi proses pengkhataman bulan Muharram.


Isnin, Julai 14, 2025

Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Dapat menjunjung keris peribadi Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin

Merujuk pada artikel Kehadiran berbusana tradisional penuh di QuranHour - Dah lebih 3 bulan baru sedar ada dalam akhbar yang dipersembahkan jam 12.30 tengah malam, ketika sudah masuk hari Sabtu 12 Julai. Artikel dipersembahkan kerana teruja baru terjumpa artikel surat khabar atas talian menunjukkan kehadiran pada acara berkenaan memakai busana tradisional Melayu penuh berkeris bertanjak bak seorang laksamana lalu dinyatakan berikut :-


Cantik sungguh aturan Allah SWT. Baru menyedari kewujudan artikel ini pada ketika beberapa jam lagi hendak bergerak ke Taiping untuk mesyuarat terbaru jawatankuasa bertindak waris keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin daripada jalur Orang Kaya Arshad dan Aminah.


Adapun saya dan isteri baru sampai kembali dari perjalanan tersebut sekitar jam 9 pagi tadi. Setelah mendapat rehat dan ada sedikit kelapangan eloklah dimulakan perkongsian cerita.



Perjalanan ke Taiping dimulakan jam 8 pagi Sabtu  12 Julai 2025 dengan harapan semoga penemuan artikel surat khabar itu menjadi petanda baik buat saya, dalam konteks keberadaan keluarga Laksamana Perak.




Sebetulnya sebelum terjumpa artikel saya sedang dalam keadaan murung. Penulisan tesis PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam) sedang tersangkut sementara penulisan-penulisan buku juga artikel-artikel di blogspot terasa tidak dihargai. Perjuangan demi memartabatkan Melayu dan Islam sejak puluhan tahun terasa tidak mencapai matlamat. Jalan untuk menguatkan lagi perjuangan melalui hak darah keturunan pula terasa disekat. Ada pihak akan sentiasa menghalang kerana tidak mahu keadaan sedia ada dengan segala macam politiknya, politik yang melibatkan hal duit serta kepentingan bukan Melayu tergugat.

Manakan tidak. Saya pernah menyatakan secara terang-terangan bahawa kalau diberi kedudukan yang sewajarnya menurut hak darah keturunan akan mengurangkan pengaruh orang politik dan merombak sistem sedia ada. Rujuk hal berkenaan artikel lama Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati. Saya seorang idealis. Saya mahu menjunjung amanah berdasarkan amalan kesufian nenek moyang yang bahkan pernah mendirikan kerajaan Islam besar,  markas untuk berdakwah ke seluruh Alam Melayu. Namun ada hari-harinya terasa sangat tidak bermaya, kecewa dengan keadaan semasa. Hati sentiasa menyeru untuk menghidupan amanah. Iradat atau kehendak sentiasa ada kerana itulah saya. Tapi kudrat atau keupayaan tidak seberapa.




Dalam keadaan itulah tiba-tiba terjumpa artikel surat khabar tersebut. Ia seperti mahu memberitahu - jangan bersedih. Kamu mungkin tak sedar. Ramai sebenarnya mengikut dan menghargai perjuangan kamu. Bersabarlah. Tunggu dan lihat perkembangan seterusnya. Ada kebaikan akan disingkapkan nanti.




Oh. Tadi tu gambar dari menara di RnR atau hentian rehat di tepian Sungai Perak iaitu hampir ke tol Kuala Kangsar. Dari situ dapat dilihat Gunung Bubu.




Tertarik melihat formasi hampir ke puncak gunung seperti air terjun tinggi...




Sekitar jam 11.30 sampailah ke tempat mesyuarat. Bukanlah di bandar Taiping tapi di Kamunting. Namun masih dalam daerah Taiping.



Seronok dapat berjumpa saudara mara, masing-masing mewakili satu cabang keturunan.




Sambil itu timbul dalam fikiran hendak mendaki Gunung Semanggol. Dah lama berhajat sebenarnya. Tunggu kelapangan dan masa yang sesuai. Dari tempat mesyuarat cuma 17 km untuk tempat permulaan denai mendaki gunung di utara.




Cuma kalau hendak mendaki gunung setinggi 1,280 kaki dari permukaan dari laut dan turun tanpa terkejar-kejar perlukan masa 3-4 jam. Isteri tak larat nak ikut. Kata beliau buat lain kalilah, bila saya keluar berseorangan. Kalau pergi juga lalu meninggalkan beliau di mana-mana, walau ke rumah saudara sekalipun, apa guna ke Taiping berdua? Maka tak jadilah pergi. Sebaliknya pergi masuk ke bandar Taiping.



Singgah menjamakkan solat di masjid lama yang didirikan oleh keluarga Ngah Ibrahim, waris kami juga. Ini kerana isteri utama almarhum iaitu Toh Puan Halimah adalah anak Laksamana Muhammad Amin. Pemegang jawatan orang besar Menteri Paduka Tuan kemudian semuanya adalah daripada keturunan mereka. Malah Halimah bertanggungjawab mendirikan masjid. Lihat artikel Lawatan terbaru ke masjid lama Taiping (Latest visit to the old mosque of Taiping) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN.



Nak dijadikan cerita di masjid terjumpa saudara dua pupu dari Alor Setar yang turut menghadir mesyuarat. Bersama beliau ada seorang bapa saudara yang datang dari Seberang Perai. Beliau mengajak 'mengeteh' di sebuah gerai tengah bandar. Dah sampai sana menelefon dan mengajak sekali seorang bapa saudara kami yang dikatakan menetap di Taiping. 

Oh. Ada satu perkara misteri melibatkan labah-labah berlaku di gerai. Biar disimpan cerita untuk kemudian. Ketika makan minum turun hujan yang amat lebat. Kata bapa saudara dah lama tak hujan di Taiping. Dalam sebulan katanya.



Selepas mengeteh saudara dua pupu mengajak pergi ke rumah seorang saudara di satu bahagian Taiping. Walaupun umurnya sekitar 70an saudara ini berpangkat moyang kerana bapanya adalah anak kepada isteri bongsu Laksamana Muhammad Amin. Saya cuma pernah bertemu di mahkamah sebelum ini. Rujuk artikel lama Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan. Saudara dua pupu yang lebih rajin mencari saudara mara sudah banyak kali berjumpa termasuk di rumahnya. Kami pun pergi menaiki satu kereta.



Dahulu kami berada di pihak berlawanan disebabkan kes di mahkamah. Kali ini bertemu dalam suasana lebih harmoni berbaik antara saudara mara. Disebabkan lebih rapat daripada segi generasi, dan keluarga belah beliau ada bersama di Singapura pada hari-hari terakhir Laksamana Muhammad Amin (meninggal dunia sekitar 120 tahun lalu) moyang saudara yang bapa dan abangnya pernah memegang jawatan Laksamana Perak ini menyimpan barangan pusaka berupa keris peribadi Muhammad Amin. Saudara dua pupu yang pernah melihat dan memegangnya meminta moyang menunjukkan kepada saya. Saya pun meminta kebenaran untuk membuka ikatan kain kuning lalu mengeluarkan keris.




Masyaallah. Terasa kekuatan aura keris menyerap ke seluruh badan, dari tapak kaki ke ubun.




Sambil menyerap getaran tenaga timbul rasa sayu. Mungkin disebabkan tahu sejarah berkenaan, apa yang berlaku kepada Laksamana Muhammad Amin, dibuang negeri ke Pulau Seychelles pada tahun 1877 atas tuduhan terlibat dengan pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch (pada 2 November 1875) kemudian dapat berpindah ke Singapura tahun 1895, namun masih dalam buangan tidak dapat kembali ke Perak, sebelum meninggal dunia sekitar 10 tahun kemudian pada usia sekitar seabad.



Sungguh tak sangka dapat menjunjung keris pusaka ini. Walaupun dah lama tahu di mana dan pada tangan siapakah ia berada disebabkan perselisihan  dalam kes mahkamah saya tidak berharap pun dapat melihat apa lagi memegang, menghunus, menjunjung dan mengucup. Tiada langsung dalam perancangan malah tak terlintas pun dalam hati. Tiba-tiba dapat. Saya kira ini adalah antara perkara baik yang terzahir, yang petandanya adalah terjumpa artikel suratkhabat seperti dinyatakan dalam Kehadiran berbusana tradisional penuh di QuranHour - Dah lebih 3 bulan baru sedar ada dalam akhbar, artikel ke-2,696 di CATATAN SI MERAH SILU.


Sabtu, Julai 12, 2025

Kehadiran berbusana tradisional penuh di QuranHour - Dah lebih 3 bulan baru sedar ada dalam akhbar

Salam semua. Merujuk pada artikel lama QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf yang dipersembahkan pada 26 Mac iaitu lebih 3 bulan lalu. Ada disebut bahawa saya menghadiri acara berkenaan pada hari Selasa 25 Mac 2025 bersamaan 24 Ramadan 1446 Hijriah berbusana tradisional Melayu penuh bertanjak dan berkeris. Ada ditunjukkan gambar berkenaan dalam artikel. Apa yang tidak diberitahu saya ada dirapati seorang wartawan yang kemudian menemuramah tentang pemakaian. Ada jurufoto juga mengambil gambar. Katanya hendak menerbitkan artikel berkenaan dalam akhbar.

Namun hal-hal yang muncul kemudian menyebabkan saya terlupa tentang perkara. Tadi selepas tengah malam, sudah masuk tarikh 12 Julai bersamaan 16 Muharram 1447 Hijirah baru tahu. Rupa-rupanya artikel berkenaan sudah muncul dalam akhbar Sinar Harian, sekurang-kurang dalam versi atas talian, pada petang 25 Mac itu juga. Boleh lihat dan baca di sini. Biar diabadikan dalam blogspot ini.


Radzi yang lengkap berpakaian seperti laksamana hadir ke program World #QuranHour pada Selasa.
Radzi yang lengkap berpakaian seperti laksamana hadir ke program World #QuranHour pada Selasa.

GOMBAK – Pemakaian busana tradisional Melayu bukan sekadar simbol budaya, tetapi turut mencerminkan nilai peradaban yang tinggi, terutama apabila dikenakan dalam acara berprestij seperti World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penulis buku dan aktivis peradaban, Radzi Sapiee, 55, yang hadir lengkap berpakaian seperti laksamana Melayu berkata, usaha memartabatkan pakaian tradisional ini telah diperjuangkannya sejak 13 tahun lalu.

“Ini bukan kali pertama saya menghadiri program ini, dan setiap kali hadir, saya pasti mengenakan pakaian seperti laksamana.

“Sebenarnya, bukan sekadar minat, tetapi saya juga berketurunan laksamana Perak. Justeru, saya memperjuangkan peradaban serta pemakaian busana tradisional,” katanya pada Selasa.

Menurutnya, masih ramai dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah terhadap pemakaian busana tradisional dan lebih cenderung memilih pakaian moden seperti kot.

“Minda masyarakat hari ini lebih melihat pakaian Barat sebagai simbol kemodenan, sedangkan dahulu, baju Melayu lengkap dipakai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk para ilmuwan,” jelasnya.

Radzi yang pernah menuntut di University College London berkata, pada awalnya beliau lebih cenderung kepada budaya Barat, namun lama-kelamaan menyedari kepentingan menghidupkan warisan bangsa.

“Darah keturunan memanggil saya kembali kepada akar budaya sendiri dan menyedarkan bahawa nenek moyang kita bukan sekadar memakai busana ini, tetapi mereka juga hebat dalam strategi dan ilmu.

"Jika kita sendiri tidak menghargai pakaian dan budaya kita, siapa lagi yang akan mempertahankannya?" ujarnya.

Menyentuh kepentingan program World #QuranHour, Radzi menegaskan bahawa program tersebut tidak pernah gagal dalam menyatukan umat Islam serta menyebarkan nilai al-Quran dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, tema yang diangkat dalam program kali ini sangat bertepatan dengan keadaan dunia Islam yang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya isu di Gaza, Palestin.

“Surah al-Saff mengajar kita tentang pentingnya penyusunan yang teratur dalam perjuangan. Umat Islam perlu bersatu dan membentuk saf yang kukuh bagi menghadapi cabaran zaman ini.

“Seperti yang berlaku di Gaza, surah ini memberi panduan kepada umat Islam untuk memahami kesukaran serta cabaran yang dihadapi saudara seagama kita di sana,” jelasnya.


------------


Untuk makluman. Ini adalah artikel ke-2,696 di CATATAN SI MERAH SILU. Cantik sungguh aturan Allah SWT. Baru menyedari kewujudan artikel ini pada ketika beberapa jam lagi hendak bergerak ke Taiping untuk mesyuarat terbaru jawatankuasa bertindak waris keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin daripada jalur Orang Kaya Arshad dan Aminah.


Selasa, Julai 08, 2025

Jejak Langkasuka 2025 - The compilation

Salam petang Selasa 12 Muharram 1447 Hijriah. Seperti biasa, apabila selesai penceritaan siri satu perjalanan biarlah dibuat kompilasi artikel-artikel berkenaan.



Perjalanan baru selatan Thailand ini tercetus atas permintaan seorang kawan yang berminat untuk menelusuri sejarah ketamadunan Melayu di Patani, dahulun dikenali sebagai kerajaan Langkasuka iaitu sebelum masuk Islam. Beliau meminta agar menunjukkan tempat-tempat yang perlu dijejaki, turutan dan lokasi. Isteri pun mencadangkan agar membawa saya dan menaja perjalanan. Kawan bukan sahaja bersetuju malah mengajak isteri saya sekali lalu turut menaja. Sejumlah peserta pun ikut sekali menaiki van dari Padang Besar, Perlis hingga ke Narathiwat lalu ke Patani, Hatyai dan Songkla.

Perjalanan, sekurang-kurangnya bagi pihak saya, secara rasminya bermula petang Selasa 24 Jun 2025 bersamaan 27 Zulhijjah 2025 apabila saya dan isteri bergerak ke rumah kawan di Seberang Perai. Esoknya pagi Rabu 25 Jun bersamaan 28 Zulhijjah baru masuk ke Thailand. Jumaat 27 Jun bersamaan 1 Muharram 1447 Hijriah meliputi tempat-tempat bersejarah di Singgora/Songkhla setelah bermalam di Hatyai. Keseluruhannya kami suami isteri berjalan tidak kurang 1,796 km.

Cuma saya memandu sejauh 754 km sahaja. selebihnya orang lain membawa kenderaan, saya dan isteri jadi penumpang. Sekadar membandingkan. Ketika ke selatan Thailand pada musim raya Aidilfitri 2 bulan lebih lalu saya memandu kereta sendiri sepanjang perjalanan meliputi jarak  1,653.3 km. Lihat Raya Aidilfitri 2025 di selatan Thailand. Sebulan sebelum itu pula telah memandu sejauh sejauh lebih 1,712 km.. Lebih dua tahun lebih awal ada membuat perjalanan lebih 2,000 km membawa sekali anak-anak. Lihat Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022. Sekarang perjalanan baru Thailand yang dipanggil "Jejak Langkasuka 2025" ini menjadi paling jauh sejak perjalanan penghujung 2022 walau memandu tak sampai 800 km.


1. Tempat kayu menarik (Interesting wooden place in) di Gopeng

2. Jejak Langkasuka 2025 - Bagaimana ia bermula

3.  Muzium (Museum of) Al-Quran, Narathiwat