Selasa, Julai 15, 2025

Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Menyusur sejarah berkenaan dari Matang ke Beruas ke Teluk Intan

Salam malam 20 Muharram. Penceritaan kali ini memerlukan saya menyediakan terlebih dahulu 13 buah artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN. Bersambung daripada Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Dapat menjunjung keris peribadi Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.



Pagi Ahad 13 Julai 2025 bersamaan 17 Muharram 1447 Hijriah, selepas bersarapan bersama bapa saudara, bergerak dari Taiping untuk ke muzium Ngah Ibrahim di Matang.




Kalau ikut rancangan asal malam sebelumnya sudah bergerak ke Beruas lalu bermalam di sana. Tetapi bapa saudara mengajak bermalam di rumahnya di Taiping. Pergi ke Matang kerana saudara dua pupu menelefon meminta menyemak sesuatu di muzium. Bapa saudara yang sebenarnya tidak lagi duduk di Taiping, rumah setakat persinggahan, menyusul kemudian. Dah alang-alang ziarah sekali makam tokoh yang merupakan moyang saudara kami. Lihat Lawatan baru (New visit to) Makam (tomb of) Ngah Ibrahim diikuti Lawatan terbaru ke muzium Ngah Ibrahim (Latest visit to museum of Ngah Ibrahim).



 
Kalau tidak kerana itu tentu telah bergerak ke Beruas awal pagi. Namun sudah aturan Allah SWT. Melihat pameran di lokasi sebenar pernah dijadikan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pejuang Melayu seperti Datuk Maharajelala dan Tok  Sagor, selepas pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W. Birch (pada 2 November 1875) menimbulkan semangat baru untuk mengupas hal-hal berkenaan terutama Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 yang membawa kepada rentetan peristiwa. Rujuk artikel Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun - Webinar pertama selesai.




Bapa saudara kemudian mengajak menziarahi bapa saudara lain di Changkat Jering. 




Dah berbual panjang macam-macam...



Dekat jam 1 baru bergerak ke Beruas.






Singgah di muzium sana yang katanya baru sebulan dibuka kembali, selepas lebih setahun ditutup untuk renovasi. Lihat Muzium (Museum of) Beruas.




Sasaran seterusnya adalah Kampung Kota. Namun terlihat surau ini di tepi jalan, terasa hendak singgah. Lihat Lawatan baru ke surau (New visit to the praying hall of) Tuan Haji Mat Zain, Beruas.




Surau disinggahi kerana teringat ada terbaca, di sekitar itulah penulis buku "Bercakap Dengan Jin" iaitu Tamar Jalis membesar. Tengok-tengok di seberang surau adalah rumah seorang guru silat yang ada kawan kami mahu aturkan bersua muka. Tapi saya sendiri tidak pernah berjanji akan singgah. Dah berbual panjang lagi macam-macam.




Sekitar jam 4.15 petang baru sampai ke sasaran utama kami di Beruas. Lihat Lawatan terbaru (Latest visit to ) Makam (tomb of) Raja Beruas.



Singgah sebentar ke masjid Kampung Kota. Di sinilah cadangnya hendak menginap malam sebelumnya.



Makan 'tengah hari' lewat, bakso dekat gerai tepian jalan Ipoh ke Lumut.




Jam 5.48 baru sampai ke sasaran ziarah seterusnya - makam 3 orang Sultan Perak yang sama nama. Satu di Bota Kanan, satu 4 km ke selatan, satu lagi 4 km ke  selatan. Lihat artikel-artikel berikut,  menurut aturan ziarah dari utara ke selatan :-






Ziarah sepatutnya sudah dilakukan 2 minggu lebih awal. Tetapi tak jadi lantaran terlajak tidur petang di rumah kawan di Kuala Kangsar. Lihat  Jejak Langkasuka 2025 - Menutup di Batu Bersurat Cherok Tok Kun sebelum ke Perak. Alang-alang dah sampai ziarah satu makam berdekatan. Lihat Makam (Tomb of) Abang, Tanah Abang?.




Perjalanan diteruskan menyeberangi Sungai Perak melalui jambatan baru ke Lambor Kiri.




Ada satu makam belum pernah diziarahi sebelum ini. Kali ini baru tergerak. Rupa-rupanya tokoh  berkenaan hidup sezaman dengan moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, pernah memainkan peranan untuk  mendamaikan Sultan ke-25 Perak, Sultan Ismail dalam perselisihan dengan Sultan ke-26, Sultan Abdullah yang disokong Laksamana. Lihat Makam (Tomb of) Toh Maharaja Dewa Panjang Ogek.



Rupa-rupanya cuma 1 km lebih sahaja daripada makam berbatu nesan Aceh besar ini, seingat saya paling besar pernah ditemui di Malaysia. Saya sudah sampai banyak kali. Lihat Lawatan terbaru ke makam Laksamana Aceh (Latest visit to the tomb of Laksamana Aceh).




Hampir masuk Maghrib masuk ke ladang kelapa sawit untuk ke makam ini. Lihat Lawatan baru (New visit to) makam (tomb of) Tok Sego Aceh. Ada satu cerita menarik berlaku tahun 2015 mengaitkan dengan makam-makan berbatu nesan serupa di Aceh. Lihat artikel lama Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam para Merah, punca batu nesan Aceh dan makam Hamzah Fansuri.




Sampai ke sasaran seterusnya sudah jam 7.44 malam. Yang ini pun sepatutnya sudah diziarahi 2 minggu lebih awal. Lihat Lawatan terbaru ke batu tanda Raja Ahmad (Latest visit to the commemorative stone of Raja Ahmad).



Turut sepatutnya sudah diziarahi 2 minggu lalu adalah makam Keramat Kuala Bidor di Kampung Bahagia, Teluk Intan. Keramat Kuala Bidor ini selalu disamakan dengan Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor, Laksamana Raja Mahkota Perak yang pertama.




Ketika sampai jam 8.20 malam baru selesai hujan lebat. Air di sungai sebelah kelihatan tinggi melimpah ke darat.




Isteri terasa risau hendak menjengok ke makam yang terletak lagi 100 meter lebih ke dalam ladang kelapa sawit. 




Pun begitu akhirnya pergi juga walau dalam kegelapan pekat malam. Selepas itu singgah di masjid berdekatan. Makam itu adalah yang pertama saya ziarahi, juga dalam kepekatan malam,  setelah mula ambil tahu hal keturunan, masjid menjadi tempat pertama beriktikaf dan bermalam. Rujuk cerita berkenaan dalam  Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.



Dengan itu selesailah semua ziarah yang disasarkan. Berehat mengeteh dekat Menara Condong Teluk Intan sambil mengejar kembali bacaan Al-Quran bagi proses pengkhataman bulan Muharram.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan